Bab 10
Di bilik bawah tanah itu, Leia lihat Debbie dan beberapa orang pekerja sudah pun berada di situ. Caleb sedang mengikat tali Blackie dan Rookie pada tiang di satu sudut. Leia jatuh terjelepok. Letih dan ketakutan. Tubuhnya tergigil-gigil.
"Bos cedera."
Leia mengangkat muka apabila terdengar suara Matilda. Dia memandang Darrel yang bermuka ketat. Tanpa segan silu, Darrel menanggalkan baju. Dia menunduk memandang lengannya. Ada luka besar yang sedang berdarah.
"Macam kena serpihan kayu." Matilda menyuarakan pemerhatiannya.
Darrel angguk sahaja. Dia sedar ketika lengan itu terkena serpihan kayu yang diterbangkan oleh angin. Tangan itulah yang memegang kaki Leia semasa puting beliung itu melepasi mereka. Kalau tidak kerana dia, tentu Leia sudah terbang entah ke mana. Dia memandang Leia. Mata mereka berlaga.
"Tukar baju basah tu. Nanti sakit pula," arah Darrel dengan suara yang tegas. Mukanya tetap ketat. Kemarahannya kerana Leia tidak mendengar kata mula membara semula.
Leia memandang sekeliling. Takkan dia nak tukar baju ketika semua mata memandangnya. Dia memandang Debbie dan menghantar isyarat. Dia harap Debbie faham tidak mungkin dia membuka baju di hadapan semua orang. Terutama Darrel yang sedang merenungnya tidak lepas-lepas.
"Okey, semua. Tolong pandang tempat lain."
Dengan riuh dan kecohnya, Debbie memberi arahan. Semua pekerja yang berlindung di dalam bilik itu memaling ke arah lain. Kecuali Darrel yang masih merenung Leia. Debbie menepuk pipi Darrel agar berpaling memandangnya.
"Hei, pandang sini." Jari telunjuk dan jari hantu Debbie dituju ke arah mata Darrel. Jari-jari itu kemudian terarah ke matanya pula. Darrel faham isyarat Debbie itu. Dia merenung mata adiknya seperti yang diisyaratkan.
Terkial-kial Leia menukar baju yang dihulur oleh Matilda. Kemeja t dan seluar panjang milik Debbie, mungkin. Mujur ada jaket yang berhud. Leia memasang hud di kepala menggantikan tudungnya yang basah.
Sebaik sahaja Leia siap menukar baju, dia terdengar suara prihatin Matilda.
"Bos, macam mana luka kat lengan tu?"
Leia segera berpaling memandang Darrel.
Darrel menilik lengannya yang masih berdarah.
"Luka ni disebabkan dia. Biar dia yang rawat." Darrel menuding tepat kepada Leia. Leia membulatkan mata. Namun, dia masih tidak berganjak dari tempat dia berdiri. Dia buat-buat mahu mencari tempat untuk duduk. Dia ternampak Blackie dan Rookie yang sedang dijamu makanan di satu sudut. Dia pandang sudut yang lain. Ada beberapa pekerja lelaki sedang duduk di situ. Di mana dia boleh duduk?
"Ke sini kau!"
Suara perintah Darrel membuatkan Leia tidak jadi duduk. Dia terus terpaku memandang Darrel yang sudah bersandar di dinding. Wajah Darrel seperti orang yang sakit sangat. Memang sakit, atau hanya berlakon sakit untuk mendapatkan perhatian Leia?
"Suka hati aje salahkan orang." Sambil melangkah ke tempat Darrel dalam keadaan terpaksa, Leia membebel perlahan. Tapi cukup untuk pendengaran Darrel.
"Memang kau yang salah. Kalau kau tak degil nak balik, tak adalah aku kena cari kau tengah-tengah puting beliung tu." Darrel menoleh kepada Leia yang sudah berteleku di sebelahnya. Nafasnya masih mengah dek keadaan cemas tadi.
"Mana aku tahu puting beliung nak melanda?"
"Aku dah beritahu. Kau yang tak percaya."
"Aku tak akan percaya cakap kau lagi selepas kau... Kau..."
Leia menoleh. Caleb sedang menghulurkan kotak pertolongan cemas kepada Leia. Leia menyambut kotak itu. Sambil itu matanya terlempar ke sekeliling bilik. Dia lihat semua orang sedang menjadi penonton kepada aksi perbalahan dia dan Darrel. Takkan dia nak buat pengumuman tentang peristiwa cabul yang hampir-hampir berlaku? Yang malunya dia juga kelak.
Darrel merenung pekerjanya seorang demi seorang. Matanya dijegilkan. Mereka menundukkan muka. Ada yang memandang ke tempat lain kerana takut disergah Darrel sebab 'jaga tepi kain' dia.
Leia menjeling Darrel dengan tajam dan kemudian dia menumpu perhatian pada kotak pertolongan cemas itu.
"Suka hati aje kau ambil kesempatan tadi, kan?" marah Leia tanpa memandang kepada Darrel. Dia meletakkan kotak pertolongan cemas ke atas lantai dan membukanya. Peralatan untuk mencuci luka dikeluarkan.
"Ambil kesempatan apanya?" Darrel merenung sahaja muka Leia yang tertunduk itu.
"Kesempatan pegang-pegang akulah. Kau dan minda kotor kau tu, tak habis-habis!" marah Leia dengan gigi yang terketap.
"Aku hanya nak selamatkan kau." Darrel bersuara ketat. Sejenak kemudian, dia tersenyum sinis. "Sekarang, siapa ada minda yang kotor?"
Leia mengangkat muka dan memandang tepat ke wajah Darrel. Muka Darrel seperti orang yang menyindirnya. Muka Leia muka orang marah. Tanpa melihat kepada luka Darrel, dia menenyeh kapas yang sudah dibasahkan dengan cecair pembasmi kuman.
"Tak boleh ke lembut sikit?" marah Darrel dengan kekasaran Leia mencuci lukanya. Dia mengernyit sakit.
"Kau kan biasa berlagak kental? Takkan ini pun kau tak boleh tahan?" balas Leia, sarkastik. Dia memandang Darrel dengan lagak menyindir. Sambil itu tangannya menenyeh-nenyeh kapas dengan kasar.
Pergelangan tangan Leia ditangkap Darrel. Leia menepis. Sangkanya, Darrel sengaja mahu menyentuhnya.
"Jangan sentuh aku!" getus Leia dengan gigi yang terkatup.
"Kau nak bunuh aku ke?" balas Darrel dengan suara marah bercampur sakit.
"Kalau ini cara paling mudah bunuh kau, mari aku tenyeh lagi." Leia melawan renungan Darrel. Namun, tangan Leia masih menenyeh luka lelaki itu dengan geramnya.
Tiba-tiba tangan Darrel menangkap pergelangan tangan Leia. Kali ini, Leia tidak sempat menepis. Tangan Darrel tergenggam kuat, dek menahan kesakitan dan juga untuk menghentikan perbuatan kasar Leia.
"Princess, tolonglah..."
Renungan marah Darrel berubah kepada mata orang yang memohon simpati. Matanya juga bersinar lebih dari biasa. Mungkin kerana rembesan air mata menahan sakit. Nafasnya juga seperti orang menahan sakit. Ada erangan perlahan terkeluar dari peti suaranya.
Leia menjatuhkan renungan ke lengan Darrel. Dia terkejut. Patutlah Darrel merayu dan mengaduh sakit.
"Allah! Besarnya luka. Ini kena jahit ni," ujar Leia dengan rasa bersalah. Leia tidak menjangkakan yang luka di lengan Darrel sebesar itu. Persoalan bermain di dalam kepalanya. Memang luka itu asalnya besar begitu, atau dia yang mengakibatkan luka Darrel makin ternganga?
"Kau tahu jahit luka?" tanya Darrel sambil meneliti wajah panik Leia. Suara Darrel bukan suara orang marah. Bukan juga suara yang mahu mempersalahkan Leia. Tapi suara kerisauan dan prihatin. Bukan semua orang tahu menjahit luka. Bukan semua orang sanggup menjahit daging orang yang masih hidup. Dia tidak mahu Leia pengsan dek terdera dengan tugas menjahit lukanya.
Leia geleng. Seriau. Tercucuk jarum pun sudah rasa sakit. Inikan pula menjahit luka yang ternganga seperti itu. Dia pandang wajah Darrel dengan rasa bersalah.
"Balut sajalah," perintah Darrel dengan serius.
Tergigil-gigil tangan Leia membalut lengan Darrel. Darrel hanya memandang ke hadapan.
Menahan sakit.
Menahan rasa.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro