
Bab 1
Darrel Hayes membetulkan alat pendengar yang tersumbat di telinga kanannya. Sambil itu matanya tajam memandang bangunan itu. Lebih spesifik, dia merenung pengawal yang sedang berjaga di pintu hadapan The National Civil War Museum.
The National Civil War Museum yang terletak di Harrisburg, Pennsylvania itu menempatkan lebih dari 3,500 objek atau artifak berkenaan perang saudara di Amerika Syarikat yang pernah berlaku pada tahun 1861 hingga 1865.
Walaupun begitu, hanya lebih kurang 850 item sahaja yang dipamerkan. Selebihnya disimpan untuk pameran yang akan datang dan juga untuk tujuan penyelidikan. Janji temu diperlukan untuk melihat barang-barang yang tersimpan itu.
Tapi, Darrel bukan mahu melihat barang-barang yang disimpan rapi itu. Dia juga tidak membuat sebarang janji temu dengan pihak muzium. Kerana malam itu, dia ditugaskan untuk mencuri satu artifak dari muzium itu. Iaitu sebatang pen yang pernah digunakan oleh Gabenor Wise untuk menandatangani perintah bunuh ke atas John Brown, lelaki yang mencetuskan perang saudara itu.
"Darrel, kau dah sedia?"
Suara dari alat pendengar menerjah telinga Darrel. Darrel merapatkan mulutnya ke alat komunikasi yang terlekat di pipi.
"Lima saat lagi, George," jawab Darrel dengan suara perlahan. Cukup sekadar dapat ditangkap oleh alat komunikasi itu dan sampai dengan jelas kepada George Kaufman. Matanya tidak lepas memandang pengawal. Sambil itu dia mengira.
Cukup lima saat, terlihat pengawal itu memegang perut. Lelaki beruniform itu mencicit berlari ke arah belakang muzium. Darrel pasti pengawal itu akan ke tandas. Ubat julap yang Darrel masukkan ke dalam kopi yang diminum oleh pengawal itu sudah mula bertindak.
"Sekarang, George." Darrel bercakap ke dalam alat komunikasi apabila kelibat pengawal itu sudah hilang di tepi bangunan. Serentak dengan itu, Darrel meluru masuk ke dalam muzium melalui pintu utama. Dia yakin alat penggera tidak akan berbunyi kerana Kaufman baru sahaja mematikannya secara jarak jauh.
Di dalam, Darrel terus sahaja menuju ke kotak pameran yang menempatkan pen Gabenor Wise. Dengan mudah dia membuka kotak dan mengambil pen lama itu. Dia memasukkannya ke dalam beg sandang. Penutup kotak itu dibiarkan terbuka. Dia berjalan ke pintu utama. Ketika itu, dia terdengar derap kaki pengawal.
Eh! Cepat pula dia selesai urusan dia, gerutu Darrel dalam hati.
Dengan pantas, Darrel melekapkan tubuhnya rapat pada dinding sebelah pintu. Dia tidak perlu menajamkan telinga. Bunyi pengawal sedang berjalan mundar-mandir kedengaran kuat. Sambil itu, Darrel mengawal pernafasan agar tidak didengari oleh pengawal itu. Di antara pengawal dan Darrel, hanya dipisahkan oleh daun pintu utama. Kedudukan mereka terlalu hampir.
Pergilah duduk. Minum lagi kopi itu. Dalam bisu, Darrel mengarahkan pengawal agar menambahkan lagi sakit perut.
Dengan keadaan punggung yang tidak selesa kerana cirit-birit, pengawal itu melabuh duduk ke atas kerusi. Dia mencapai cawan kopi Starbucks dan mencicip sedikit. Sambil itu dia terfikir, apa yang mengakibatkan dia kena cirit-birit. Siang tadi, dia makan makanan yang dimasak oleh isterinya. Sebelum pergi kerja syif malam itu, dia ada makan sandwic yang disediakan oleh isterinya. Tak pernah pula dia kena cirit-birit makan makanan isterinya.
Sekonyong-konyong dia merenung cawan kopi yang masih di tangan. Keningnya berkerut. Entahkan kopi ini sudah tercemar. Kerana itu dia kena cirit-birit. Dia cuba mengingati wanita yang belanja dia kopi.
Kenapalah mudah sangat dia menerima pemberian kopi daripada wanita yang tidak dikenali itu? Tapi wanita itu sangat cantik. Solekan tebal. Rambut kuning. Pakaian seksi. Dan wanita itu sangat menggoda. Merengek-rengek memujuknya agar menerima pemberian kopi itu. Sehingga dia tidak mampu menolak. Siapa wanita itu? Dan kenapa dia yang dipilih?
Tika itu juga perutnya memulas. Kesan dari kopi yang tercemar dan juga kecut perutnya kerana kecuaian mempercayai orang yang tidak dikenali. Kali ini, teruk benar sakit perutnya. Bagaikan mahu putus usus. Dia terbongkok menahan sakit.
Dia cuba mengingati wajah wanita itu. Daripada rupa wanita itu, mungkin dia pekerja lorong. Tapi kenapa perdaya dia? Apa yang wanita itu dapat kalau dia sakit? Sakit perutnya memulas lagi. Dia menghembus nafas kuat. Sudah tidak tertahan sangat. Sambil terkemut-kemut memegang punggungnya, dia berlari ke arah tandas.
Ketika itu, Darrel meluru keluar. Pengawal itu sempat terpandangkan kelibat seseorang memecut lari. Namun, isi perutnya sudah mahu terhambur keluar. Dia melupakan saja niat untuk mengejar Darrel. Lebih baik dia masuk ke dalam tandas sebelum terberak di dalam seluar.
Darrel terus melarikan diri menuju motosikal yang terparkir tidak jauh dari situ.
"George. Dah boleh bunyikan alat penggera."
Ketika itu, bingit kedengaran bunyi alat penggera menandakan ada pencerobohan telah berlaku di muzium yang baru sahaja dirompak oleh Darrel. Dia melompat ke atas motosikal. Tanpa berlengah, dia memecut laju meninggalkan kawasan itu.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro