Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Cat Hill Village - Part 1

Namaku Rahman, berumur 23 tahun,aku bekerja di sebuah kilang getah, bila sebut kilang pastinya waktu kerja aku ini akan mengikut shift-shift yang ditetapkan oleh pengurusan. Kadang kala aku shift malam dan kadang kala shift siang.

Hampir 5 tahun aku bekerja di situ sebagai Operator Mesin, dari tamat SPM hinggalah kini. Aku ini seorang yang gila kerja lebih masa, aku tak suka buang masa di rumah. Jadi walaupun aku kerja shift sekalipun, aku akan ambil OT setiap hari. Jadi bila aku ini gila OT, memang jaranglah aku duk melepak, rumah tu hanya tempat aku tidur je, bila bangun terus pergi kerja.

Aku bukan nak cerita mengenai kilang ditempat aku ini, tetapi mengenai kisah pelik aku ketika pulang dari kerja, ia berlaku beberapa bulan yang lalu. Di mana waktu itu bulan Mei, bermakna Bulan Mei selepas bulan April, ataupun sebelum bulan Jun dan bulan Jun pula belum masuk lagi bulan Julai.

Hahaha........

Okey...balik kepada kisahnya, satu hari tu.....

"Man, kau nak ot tak malam ini? " tanya Supervisa aku.

"Opkos ler, saya ni kan pemuda harapan bangsa berdarah jawa, walaupun orang jawa tak tahan sejuk.. Tapi orang jawa tahan kerja lebih masa! " Tutur ku sambil memperlihatkan lengan yang berurat dawai.

"Haa bagus! Orang macam kau la aku nak, senang kerja aku, aku tak payah pening nak suruh orang buat OT.. Kalau ada 10 orang macam kau, aku boleh jadi Manager tau! Walaupun aku tak ada SPM," balas Supervisaku yang bernama Ahmad Khairil Khusaini bin Ahmad Bunga Wasjudi yang berasal dari Kampung Upih Pinang, Mentakab.

Supervisa aku berlalu dari situ, sambil tersenyum riang menepuk-nepuk perutnya yang sedikit ke hadapan.

Maka bermula lah episod yang sama aku, iaitu berkerja, kerja, kerja, kerja dengan harapan simpanan aku bertambah dan mencukupi untuk aku meminang Loppa.

Loffa adalah seorang gadis cantik yang tinggal di kampung sebelah iaitu kampung Green Hill. Kecantikkannya tiada tandingan jika dibandingkan dengan gadis-gadis yang bermisai. Ibarat langit dan bumi, aku memang menaruh hati padanya. Sejak sekian lama aku mengenalinya ketika bersama-sama memanjat pokok kelapa sawit di kebun Wak Kasman.
Malangnya, buah yang kami mahu petik tidak dapat di ambil. Tetapi sejak dari itu hubungan kami menjadi rapat, walaupun sekadar kawan tetapi dalam hatiku menyimpan perasaan kasih padanya.

Aku berasa sedikit duka apabila mengetahui yang Loppa meminati sebatang kayu, aku tak tahu kenapa dia minat dengan sebatang kayu, adakah kayu itu mungkin dari Kayu Jati sangat bernilai? Tetapi baru-baru ini aku mendengar khabar bahawa kayu itu telah bernikah dengan orang lain, dan Loppa berasa sangat sedih dan selepas berpisah baru aku mengetahui bahawasanya kayu itu orang rupanya. Mati-mati aku ingat Loppa ni peminat kayu pokok. Selepas berpisah, Loppa sering menghubungi aku untuk meluahkan perasaan sedihnya padaku.

Eh... Melalut apa ini?! Ok balik semula pasal aku nk OT tadi.

Lepas habis bekerja dan membuat OT aku pulang ke rumahku yang terletak di Cat Hill Village sambil menaiki motor EX5 Class Turbo Blacktop, dari Kilang tempat aku bekerja untuk ke rumah mengambil masa sekitar setengah jam untuk sampai, ketika itu jam menunjukkan sekitar 1.00 pagi. Untuk sampai ke rumah aku perlu melalui sebatang lorong gelap terlebih dahulu, di awal lorong terdapat sebuah Warung kopi yang di miliki oleh Wak Jedot dan isterinya Wak Siah.

Pasangan dua sejoli ini mempunyai seorang anak gadis, yang aku panggil kakak Mirah. Berusia 26 tahun, bekerja di Shah Alam. Kak Mirah ini cantik orangnya, bekas penari kebudayaan. Jadi agak lemah lembut sikit lah gerak tubuh dan tutur bahasanya. Beberapa kali bertunang tetapi putus di pertengahan, katanya tak serasi (kata Kak Mirah).

Walaupun aku tak pasti sebabnya, tapi dari sumber-sumber mak cik bawang dan ahli-ahli mesyuarat tingkap yang kerap bersidang di tingkap - tingkap dan dapur rumah Mak aku dan di Pengerusikan oleh Bapak aku, menyatakan bahawa Kak Mirah ini 'Queen Control', suka kawal hidup bekas-bekas tunangnya... Seorang yang perengus, tak tahu masak, kuku kaki tak ketip, kaki gaduh, malas mandi dan tak tuang!

"Betul ke mak?! Macam tak percaya je, " terbuntang anak mataku mendengar cerita dari mulut Timbalan Pengerusi Mesyuarat Tingkap.

"Betullaaa... Tak kan la mak nak bohong kau! Kalau tak caya, kau tanya Makcik Romlah, Makcik Senah, Wak Amah, kalau kau tak percaya lagi kau tanya bapak kau.. Dia sendiri dengar dari anak buah Wak Jedot masa dia duk mengopi dekat warung Wak Jedot. " balas Mak aku dengan penuh keyakinan dan kesopanan

"Hummm... Tak sangka pula Kak Mirah macam tu, tengok lemah lembut sebab bekas penari kebudayaan... Haiisshhh" keluh aku panjang bila dengar cerita itu dari Timbalan Pengerusi Mesyuarat tingkap iaitu Mak aku.

Balik pula kisah ketika pulang dari kerja.....

Seperti biasa, aku perlu melalui Warung Wak Jedot, ketika perjalanan pulang keadaan mula gerimis dan kebetulan ketika itu aku terlupa hendak bawa baju hujan, jadi tidak ada persediaan untuk aku redah hujan sekiranya berlaku. Tapi ketika mula bertolak keadaan di langit belum mahu hujan, cuma sedikit gerimis jadi aku jalan jela.

Ketika menghampiri lorong ke rumah, tiba-tiba hujan lebat turun mencurah. Aku terpaksa berhenti sekejap di hadapan Warung Wak Jedot. Warung Wak Jedot ini hanya buka pagi sehingga tengah ari saja. Jadi bila malam ia akan ditutup dan bergelap.

Jarak rumah aku dari warung Wak Jedot sekitar 1 kilometer lagi, disebabkan aku ini Jawa dan jawa tak tahan sejuk maka aku terpaksa berhenti sekejap di warung kerana basah dan kesejukkan. Aku berhentikan motorku di bawah bumbung warung.

"Bamm!! " guruh berdentum di langit. Membuatkan aku terkejut dengan dentuman tersebut.

Aku lihat sekeliling kawasan yang gelap dan aku keseorangan di waktu itu. Sedikit sebanyak buat aku berasa seram. Di hujung lorong ini terdapat rumah aku. Sama ada aku teruskan perjalanan ataupun tunggu sebentar sambil berteduh di Warung Wak Jedot.

Sambil-sambil menunggu hujan reda, aku layang facebook aku sekejap, mana la tahu ada orang like gambar aku yang baru 'upload' tadi ketika selfie di hadapan cermin tandas.

"Shit!! Tak ada siapa like pon!! Aku tak cukup seksi ke?! " marah aku bila melihat tiada orang yang like pon gambar selfie tandas aku.

"Cuba kalau pompuan yang selfie!! Beribu like dia dapat! Apa diskriminasi sangat kaum Facebook ni!? " bentakku marah sambil menghentak meja yang terdapat di warung.

"Bammmm!!! " guruh berdentum lagi, serentak itu terlepas henfon aku dari tangan jatuh ke lantai.

Terus aku kutip di lantai, ketika aku membongkok aku terasa seperti ada seseorang berdiri di hadapanku. Terus memandang ke atas melihat, rupanya Wak Siah berdiri di hadapan sambil tersenyum melihat aku.

"Eh Wak... Minta maaf, hujan lebat ini. Saya tumpang teduh kejap. " aku tersengih memandang mengharap Wak Siah beri kebenaran.

"Tak apalah Man, kau tunggulah.. Sementara belum reda. Kau nak minum?! " tanya Wak Siah.

"Errrr.... "

"Tak apa.. Wak belanja, " pelawa Wak Siah.

Mendengar perkataan belanja, "Kopi tarik Wak! "

Wak Siah tersenyum, dia masuk ke dalam kedainya selepas beberapa minit dia keluar kembali sambil membawa secawan kopi.

"Sekejap siap Wak, air panas memang dah standby ke?" soalku yang sedikit hairan.

"Memang dah ada... Kau minumlah, nak makan apa-apa ke? " pelawa Wak Siah.

"Err..tak apa lah Wak, air pun dah cukup.. " aku menolak lembut. Kerana tak mahu mengambil kesempatan.

Wak Siah tersenyum, lalu masuk semula ke dapur.

Hujan semakin lebat, guruh berdentum-dentum di langit. Melihatkan begitu seperti tidak ada tanda hujan akan berhenti dalam masa yang singkat. Jam pula hampir menunjukkan pukul 2.00 pagi. Ketika sibuk memerhati keadaan sekitar, Wak Siah datang menghampiri dan duduk di hadapanku.

"Kau tak nak kahwin lagi ke Man? " soalan cepumas Wak Siah membuatkan aku tersembur kopi di dalam mulut.

"Saya muda lagi Wak, nak cari duit dulu.. " aku berikan alasan.

"Kau jangan lewat-lewat, kau tengok Wak ini.. Umur dah 60 tahun.. Tapi Mirah baru 26 tahun.. Wak kahwin lewat tau! Nasib wak belim monopouse... "

Aku tertunduk, berfikir.. Betul juga kata Wak Siah, kalau aku kahwin lewat, nanti anak masih kecil pula. Tapi masalahnya Loppa nak kahwin ke dengan aku? Dia boleh terima ke bakal lelakinya hanya ada menunggang Ex5 class Turbo Black Top, mempunyai simpanan RM 35,000 serta ASB loan RM 100,000 ini? Risau juga aku bila memikirkannya.

"Bamm!! "

"Hujan belum nak berhenti lagi, haisshhh... Kalau tunggu lama lagi sampai esok pagi la nampaknya, aku redah jela... Walaupun aku Jawa," bisik hati ku.

"Tunggulah Man, hujan lebat lagi... Buat apa kau nak redah, " sanggah Wak Siah secara tiba-tiba.

Aku tersentak mendengar sanggahan Wak Siah, bagaimana dia boleh tahu bisik hatiku? Dia ada kebolehan baca hati ke?

"Errr..... Wak, saya balik dulu la, kalau tunggu sini takut esok pagi baru reda hujan ini. " aku bangun meminta izin mahu pulang.

Wak Siah tersenyum, dia tidak membantah keputusanku kali ini. Seperti dia memahami maksud ku yang mahu pulang dengan segera. Aku bangun dan terus ke motor EX5 class Black Top.

"Prengggg! Prett... Prettt, " enjin EX5 aku menderum bila aku start. Aku melihat di luar hujan masih tiada tanda mahu berhenti.

Aku toleh memandang Wak Siah yang tekun memerhatiku dengan pandangan yang tajam, aku tenung melihat wajahnya yang seakan berubah kepada lebih hodoh.

"Kau pandang apa Man?! " sergah Wak Siah.

"Errhh tak ada apa Wak, saya jalan dulu... " terus aku memulas enjin berjalan meredah hujan yang menggila.

Aku nekad walaupun sejuk dan basah, fokus aku untuk sampai ke rumah dengan segera. Pandangan aku terganggu dek tujahan butir hujan yang menerjah ke muka. Aku kira jarak aku tinggal lagi 100 meter untuk sampai di hadapan rumah, apabila hampir sampai di hadapan rumah aku seperti terpandang susuk tubuh seorang wanita berdiri di persimpangan masuk ke laman rumah. Mungkin fokus ku untuk segera sampai maka aku tak berapa perasan akan susuk tersebut.

"Tok! Tok! Tok! Assalammualaikum! Mak! oo Mak!"

Pintu dibuka, Mak aku berdiri di hadapan aku. Melihat aku yang kesejukkan dan basah lencun.

"Kau OT ke?! Kenapa lewat sangat balik?! " marah Mak aku.

"Yela... Man nak kumpul duit, nak kahwin.... Hehehe" gurau aku.

"Basah lencun badan, pergi mandi dulu... Air panas tadi mak dah jerang, kamu tu mana tahan sejuk. Nanti Mak buat air minum, " arah Mak aku.

"Yela... " aku berjalan terus ke bilik mandi, aku lihat cerek di atas dapur telah tersedia air panas lalu aku capai terus aku tuang ke dalam besen lalu aku campurkan pula dengan air dari paip bagi mengurangkan sedikit kepanasannya.

Selesai mandi dan memakai pakaian, terus aku ke dapur untuk menghirup air minuman yang disediakan oleh Mak aku. Mak aku sibuk mencuci pinggan yang berbaki di sinki.

"Ayah mana Mak? " tanya aku.

"Dah pukul berapa ini, tengah tidur dalam bilik la... Bapak kau tu penat bergosip hari ini... "

"Gosip apa pula?! Eh mak baru perasaan Mak buat Kopi tarik, tadi minum Kopi tarik jugak dekat warung Wak Jedot."

"Wak Jedot?! Bila kamu minum?! " soal Mak aku seperti terkejut.

"Tadi... Sebelum sampai rumah, Man berteduh dekat Warung Wak Jedot, kebetulan Wak Siah ada sekali. Jadi dia belanja Man minum kopi tarik..."

"Wak Siah?!... Kamu biar betul Man.. Ke kamu mimpi ini?! "

"Laaa apa pula tak betul, betul la.. Tak percaya esok tanya Wak Siah," cabarku.

"Kau gila Man! Nak tanya orang yang dah mati?! " sanggah Mak aku, membuatkan aku kaku dengan jawapannya.

"Mati?! Siapa?!"

"Wak Siah laaa... Kau tak tahu ke semalam dia meninggal dunia?! Kemalangan dengan Wak Jedot, Wak Jedot ada di hospital lagi... Tu yang bapak kau bergosip siang tadi lepas melawat Wak Jedot di hospital.. " terang Mak aku bersungguh-sungguh.

"Kejap... Baru tadi Man jumpa Wak Siah, bila masa pulak dia meninggal?! Siapa Man jumpa tadi?! " aku buntu dan keliru.

"Manalah Mak tahu kamu jumpa siapa. Si Mirah pun dekat Hospital jaga Wak Jedot." balas Mak aku.

Aku keliru, aku tampar-tampar muka aku mengingatkan kembali saat di warung Wak Jedot. Ya! Memang benar Wak Siah yang aku jumpa bukan orang lain dan aku sangat mengenali Wak Siah.

Tapi....

Aku baru perasan sesuatu, sejak aku mula berteduh di situ. Kedai sentiasa gelap cuma ada samar lampu jalan sahaja yang membantu untuk aku melihat dan yang peliknya bagaimana Wak Siah buat air dalam gelap? Lagi satu yang baru aku perasan....

Dia masuk ke dalam warung yang pintunya tertutup seperti dia menembusi pintu itu untuk ke dalam!!

Bersambung....

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro