Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bila Malam Bulan Mengambang

Pagi itu cuaca di Kampung Sri Rampai agak baik dan tenang seperti biasa. Di sebuah warung yang bernama Warung Haji Soad, sedang duduk beberapa orang kampung untuk bersarapan. Di pagi Sabtu begini biasanya orang yang datang bersarapan lebih ramai daripada hari biasa. Haji Soad tidak menang tangan sedikit, mujurlah ada anak cucu yang datang membantu di warung.

Kampung Sri Rampai yang poplulasi penduduknya tidak sampai lebih 300 orang ini terletak di muka bumi yang agak berbukit bukau sedikit. Tambahan pula tidak banyak fasiliti moden dan juga jalan raya utama terletak di kampung ini. Rata-rata penduduk hanya berkerja kampung, disebabkan itu populasi penduduk kampung tidak terlalu ramai oleh kerana yang muda-muda dan belia-belia sudah berhijrah ke bandar. Mana mereka mahu bekerja kampung, berkotor-kotor berlumpur-lumpur.

Di sebuah meja yang terletak paling tepi sekali, terdapat 3 orang lelaki dalam usia lingkungan 40 hingga 50an sedang duduk melepak sambil bersarapan. Mereka ialah Ghani, Wahid Sepat, dan juga Azman Kayu. Kemudian datang lagi seorang rakan mereka. Jika empat-empat ni tak ada bagai tak cukup korum. Bagai makan nasi lemak tak ada sambalnya. Begitulah rapatnya mereka empat sekawan.

“Haji! bagi nescafe tarik satu, tapi nak suam.”

Man Jali mengibas-ngibas bangku kayu dengan topinya sebelum duduk. Diletak beg kerjanya yang berisi pisau toreh getah di sisi meja.

“Aik, Man Jali.. Sabtu-sabtu pun kerja ke?” Haji Soad mengerling daripada dapur.

“Iya lah, Haji. Kerja sendiri macam ni lah. Kalau tak kerja karang, apa nak dibagi makan dekat anak bini.” Man Jali menyalakan sebatang rokok gulung sementara menunggu nescafe tarik suamnya siap. Asap rokok berkelun-kelun naik ke wajahnya.

Ghani menjeling ke arah Man Jali, Man Jali pula buat tak tahu, manakala rakan-rakannya yang lain hanya menyengih. Man Jali dengan pantas tanpa rasa bersalah mengambil rokok yang baru disiap gulung oleh Ghani. Dah memang tabiat Ghani akan menggulung dahulu dua tiga batang sebelum menghisap. Dan dah juga memang tabiat Man Jali suka merembat rokok Ghani. Kawan-kawan semua dah faham.

Gelas kaca bersaiz sederhana berdenting saat Haji Soad mengacau bancuhan nescafe. Baunya harum semerbak memenuhi ruang dapur. Sambil mengacau matanya melirik pada jam di pergelangan tangan. “Pukul 8.10 pagi dah, matahari pun nak terpacak. Menoreh apa si Man Jali ni? Biasanya orang menoreh awal-awal pagi selepas subuh.” Ujar Haji Soad dalam hati. Nak ditegur takut kecil hati pula nanti si Man Jali.

Mereka berempat berborak sakan sambil mengarut di sana sini, sampaikan gelas nescafe yang Haji Soad letak di meja pun Man Jali boleh tidak perasan. Begitulah empat orang sahabat ini. Akrab. Bagai roti dengan jem, bila makan roti sahaja tak sedap, bila makan jem sahaja juga tak sedap. Mesti nak kena makan digabungkan kedua-duanya, baru lah sedap padu dan umph.

Sementara itu di meja kaunter, Haji Soad tersenyum menjeling sahaja pada Man Jali yang mengetuai sesi berborak. “Nampaknya tak jadi Si Man Jali ni nak pergi menoreh.” Geli hati dibuatnya perangai seekor-ekor yang sudah seusia dengan motor honda cup lamanya.

Sementara melayan karenah empat sahabat pelanggan tetapnya ini, Haji Soad melayan pelanggan-pelangan lain yang ingin membungkus kuih untuk di bawa pulang. Riak wajah Haji Soad berubah apabila terlihat seorang pelanggan lelaki yang sedang sibuk memilih karipap. Lelaki ini tidak biasa Haji Soad lihat di kampung Sri Rampai. Jika dilihat pada fizikal dan wajahnya, usianya agak muda. Lebih kurang dalam pertengahan 20an. Tak pernah dia lihat lelaki ini. Haji Soad terus memerhati. Agak jarang nak nampak kelibat anak-anak muda remaja sebegini di kampung ini.

“Semua sekali 3 ringgit, dik.”

Lelaki asing ini terus mengeluarkan wang kertas yang sudah berlipat-lipat dan bergumpal-gumpal dari kocek seluarnya.

“Dari mana ni? Tak pernah nampak pulak sebelum ni.” Haji Soad menyapa curiga. Plastik oren berisi kuih karipap disambut mesra lelaki tadi

“Ehh.. ada je selalu saya dekat sini Pak cik. Cuma jarang keluar. Rumah saya dekat tepi lereng sana. Baru jugaklah pindah sini”

“Ohh.. baru pindah. Patutlah tak pernah nampak. Dengan anak bini ke?”

“Tak pakcik, dengan kawan-kawan. Dorang ada je dekat rumah tu, ni tengah tunggu sarapan lah ni.. karipap.”

Lelaki muda tersebut mengangkat-angkat plastik oren berisi karipap ke depan wajah Haji Soad. Dia ingat Haji Soad tak tahu macam mana bentuk karipap agaknya. Selang beberapa minit, selepas meminta diri, lelaki muda tersebut pun pulang seorang diri berjalan kaki.

Kelibat lelaki asing tadi menarik perhatian Man Jali, Ghani, Wahid Sepat dan juga Azman Kayu di meja hujung. Masing-masing memandang ke arah lelaki muda yang berlenggang jalan menjinjing plastik berisi karipap.

“Haji! siapa budak tu, anak siapa?” Azman Kayu melaung dari jauh.

“Entah, aku lupa pulak nak tanya. Dia cakap baru pindah sini, dengan kawan-kawan dia sekali.”

“Iya ke? Patutlah tak pernah nampak. Apa dibuatnya anak-anak muda tu dekat kampung kita ni ye?” Azman meragui kehadiran mereka.

“Aku rasa dia orang ni budak-budak Ah Leong lah agaknya.” Sampuk Wahid Sepat cuba meneka atas kehadiran mereka. Ah Leong ialah taukey kilang sawit. Kilangnya beroperasi di pinggir kampung Sri Rampai.

“Boleh jadi jugak. Tapi peliklah. Budak-budak muda macam dia orang ni minat ke kerja-kerja kebun, petik sawit macam tu.” Azman Kayu masih meragui.

“Mana lah tahu, nak cari duit-duit lebih sikit. Daripada melepak manjang tak ada buat apa, baik bekerja. Bagus budak-budak ni, rajin dan berwawasan.” Man Jali mencelah sambil mengambil sebatang rokok Ghani lagi.

“Wawasan tak wawasan. Dah pukul berapa dah ni Man Jali dekat nak terpacak mataharinya tu, bilanya kau nak pergi menoreh? Beria menasihat orang. Hehe.” Sindir Haji Soad sambil berlalu masuk ke dapur warung. Kesemuanya ketawa sakan meraikan sindiran pedas daripada Haji Soad kepada Man Jali yang daripada pagi tadi asyik melepak. Semua orang sudah tahu perangai Man Jali yang bercakap lebih tapi buat kerja kurang.

“Eeelehh, Haji.. Tak payah lah nak peril-perli orang macam tu. Kejap-kejap lagi aku pergilah.” Balas Man Jali, dadanya terasa pedih menerima sindiran tajam daripada Haji Soad. Mahu saja disimbah-simbah dadanya dengan air mineral kerana pedihnya memang berbisa.

…………………………………………………..
Malam berikutnya. Pukul 10.30 malam.

Cuaca di luar tenang seperti biasa, cuma dingin sedikit. Angin sesekali bertiup kencang dari celah tingkap membuatkan langsir melambai-lambai. Zabedah bingkas bangun menutup tingkap untuk menghalang dingin malam daripada masuk. Dia menuju pula ke dapur untuk menutup tingkap bawah. Sebelum sampainya dia ke dapur, Zabedah terdengar satu bunyi yang jarang-jarang didengarinya. Sudah begitu lama rasanya dia tidak mendengar bunyi ini. Bunyi yang mana memang begitu menggerunkan orang-orang kampung suatu ketika dahulu. Terus dia berlari ke atas memanggil suaminya, Ghani.

“Abang.. Bang.. shh.. bangg..”

Ghani yang sedang asyik menonton wrestling di peti televisyen kelihatan buat-buat tidak peduli  dengan panggilan isterinya.

“Abang, shh.. abang woi orang tua!”

Terkebil-kebil Ghani mendengar laungan daripada isterinya. Kali ini baru dia terdengar. Adegan seorang penggusti mahu membuat smack down ke atas lawannya terus hilang ditelan panggilan tersebut.

“Apa dia, hish awak ni. Orang nak tengok wresting kejap pun tak senang.”

“Wrestling apa bendanya, saya tengok perempuan bercoli berspenda je tu??”

“Iyalah, ni wrestling perempuan. Memang laah, pakaian diorang memang macam ni, barulah senang sikit mereka nak buat pergerakan dan skill.”

“Hish tak sedar diri tu dah tua, bawak-bawak lah beribadat malam-malam Jumaat macam ni. Ni tidak, asal malam jumaat dah terpacak depan tv sebab nak tengok wrestling!”

“Iya, iyalah. Ni dah kenapanya awak melolong-lolong panggil saya?”

Zabedah merapati Ghani, dirapati bibirnya ke telinga si suaminya itu. Ghani resah, gelisah dan berdebar-debar. Dah kenapa isterinya tiba-tiba berkelakuan begini. Tebiat apa yang cuba dilakukan. Tahu lah malam Jumaat.

“Shh.. Bang… masa kat dapur tadi saya.. saya, terdengar bunyi serigala menyalak..”

Ghani terus mengurut dada. Dia terkejut kerana Zabedah rupa-rupanya mahu berbisik sahaja. Ingatkan mahu buat yang bukan-bukan. Dah lah dia baru lepas tonton wrestling perempuan tadi. Ghani cuba berfikir seperti normal semula.

“Hahh? Apa betul apa yang awak cakap ni? Mana ada lagi dah serigala semua tu lagi dekat kampung ni? Awak salah dengar agaknya ni”

Ghani cuba menafikan kenyataan isterinya. Menurutnya, kejadian-kejadian aneh berkaitan serigala ni sudah tidak ada sejak berpuluh tahun yang dulu. Seingatnya Tok Moh yang selesaikan hal-hal tersebut. Maklumlah, hal-hal mistik sebegini perlu dipanggil orang yang pakar.

“Mengarutlah, mana ada lagi benda-benda macam tu. Kan Tok Moh yang dah settlekan dulu. Tak kanlah ada lagi serigala jadian tu!”

Zabedah terdiam. Dia pasti dan yakin apa yang dia dengar sewaktu hendak menutup tingkap di dapur tadi memang sah suara salakan serigala. Bunyinya agak sama macam puluhan tahun yang lepas, masa itu dia masih remaja lagi. Mana mungkin dia akan lupa peristiwa penting yang terjadi di kampung Sri Rampai ini.

Pada masa itu diibaratkan seperti zaman kegelapan bagi kampung Sri Rampai. Kewujudan serigala jadian yang datang entah dari mana memang benar-benar mengundang musibah yang maha musibah kepada penduduk kampung. Disebabkan itu juga menjadi salah satu faktor tidak ramai yang memilih untuk tinggal di kampung ini. Apa yang lebih menyeramkan, bukan seekor yang wujud, tetapi berbelas-belas ekor. Pada ketika itu semua orang tidak berani keluar pada malam hari terutama pada malam jumaat kliwon dan juga malam bilamana bulan mengambang penuh. Waktu-waktu yang disebutkan ini memang berbahaya, bagai menempah tiket maut bagi sesiapa yang keluar di malam hari.

Menurut orang tua Zabedah, kewujudan serigala jadian ini berpunca daripada seorang lelaki yang sedang bertapa seorang diri di dalam hutan pada waktu malam. Ketika sedang bertapa dia telah didatangi oleh seorang lelaki tua yang sebenarnya ialah jelmaan syaitan. Ketika itulah lelaki tua itu menawarkan sesuatu yang sukar ditolak oleh lelaki yang sedang bertapa tadi. Iaitu menjadi kebal dan umur yang panjang sehingga ribuan tahun. Mendengar janji-jani begitu membuatkan lelaki tadi lupa diri dan sanggup merelakan diri membuat perjanjian dengan syaitan.

Tetapi ada syarat yang perlu dikuti, iaitu perlu menjadi serigala dan makan daging serta darah manusia. Barulah dua perkara itu dapat ditunaikan, iaitu menjadi kebal dan hidup selamanya. Sejak kejadian itu lah penampakan serigala jadian yang berkeliaran di malam hari membuatkan seluruh orang kampung berasa gerun dan bimbang untuk keluar rumah. Sudah banyak nyawa yang melayang di tangan serigala jadian.

Lelaki yang pada asalnya mahu bertapa tadi telah mengajak rakan-rakannya yang lain untuk membuat perkara yang sama. Syaitan menjadi suka, lalu dikabulkan permintaan mereka semua untuk menjadi serigala jadian. Padahal mereka semua tidak tahu syaitan itu hanya berjanji kosong untuk menyesatkan semua umat manusia.

…………………………………..

Pagi itu seperti warung Haji Soad agak riuh rendah berlainan dengan hari-hari biasa. Kesemuanya kecoh membincangkan tentang kewujudan serigala jadian yang kini sudah kembali di kampung Sri Rampai. Orang-orang kampung semuanya turut mendengar salakan puaka malam tadi. Ghani yang pada mulanya tidak percaya akan kenyataan isterinya terus menggigil satu badan apabila semua orang kampung sememangnya bercakap benar tentang kejadian malam tadi. Tok Ketua turut segera dipanggil ke mesyuarat tergempar di warung Haji Soad. Rata-rata semuanya terdengar salakan berpuaka tersebut.

Wan Kelate terdengar salakan serigala jadian ketika dia sedang menjemur kain di bahagian belakang rumahnya. Ketika itu lintang pukang dia berlari masuk ke dalam rumah kerana mendengar bunyi salakan tersebut. Bunyi puaka itu membuatkan dia teringat kembali kejadian hitam yang menimpa kampung ini puluhan tahun dahulu.

“Ni Wan, aku nak tanya kau satu.. Dah kenapanya jemur kain malam-malam? Ingat boleh kering ke?” Pertanyaan Azman Kayu mengundang gelak tawa yang sederhana daripada orang kampung. Kesemuanya mengawal diri daripada berasa suka dan senang hati memandangkan kampung mereka sekarang dilanda musibat yang pernah sama terjadi suatu ketika dahulu.

Cerita daripada Lokman Bobi juga boleh tahan seram. Katanya, sewaktu dia sedang memancing seorang diri di tepi jambatan, dia ada terdengar bunyi semak samun seperti dipijak oleh seekor haiwan. Pada mulanya Lokman Bobi buat endah tak endah kerana dia sudah biasa memancing di situ. Baginya bunyi tersebut tidak lebih daripada sekadar bunyi ayam hutan yang keluar mencari makan.

Tetapi lama kelamaan bunyi tersebut semakin ‘meriah’ pula. Dia dapat rasakan ada berekor-ekor haiwan dari jenis yang sama sedang berlari-lari di dalam semak tersebut. Melihatkan daun semak-samun yang bergoyang lain macam, Lokman Bobi pun terus cabut pulang ke rumah. Tambah Lokman Bobi lagi, dia ada terlihat sepintas lalu berpasang-pasang mata yang berkilauan saat dia menyuluh ke kawasan semak tersebut.

Orang-orang kampung semakin resah mendengar cerita demi cerita yang disampaikan oleh mereka yang mengalami kejadian seram berkaitan serigala jadian. Man Jali yang sedang menghirup nescafe suam kelihatan terketar-ketar tangannya sewaktu memegang cawan. Dalam ketar sempat juga dia merembat sebatang rokok Ghani ketika dia tengah leka.

“Habislah, tak boleh lagi lah aku nak keluar pagi-pagi motong getah..” Man Jali bersuara sambil menyalakan rokok.

“Iya ke Man Jali? Bukan aku tengok kau dah tengahari baru nak pergi motong getah ke?” Haji Soad seperti biasa membedil Man Jali dengan sindiran yang cukup enak malah cukup pedas. Man Jali pantas menyorokkan mukanya dengan surat khabar seperti kononya sedang membaca.

“Macam ni lah. Buat masa ini kita pastikan diri, anak, isteri dan keluarga kita dalam keadaan berjaga-jaga. Jangan bahayakan diri dengan keluar pada waktu malam. Malang bukannya boleh dibau. Cerita-cerita daripada mereka ini sudah cukup buatkan kita kena sekarang ni kena percaya bahawa serigala tu barangkali boleh wujud lagi masa ni.” Tok Ketua cuba menenangkan keadaan. Semua orang kampung mengangguk faham.

“Tapi Tok Ketua, kita patut selesaikan benda ni sekarang. Jangan nanti dah ada yang mati baru nak kelam-kabut buat itu ini. Kita kena panggil Tok Moh sekarang jugak, dia yang pakar bab hal-hal macam gini.” Wahid Sepat cuba mencantas cadangan Tok Ketua supaya langkah berjaga-jaga diambil. Sebenarnya langkah mencegah yang patut dahulu diambil.

“Iya Wahid. Sejak dari saat pertama aku datang di warung Haji Soad ni tadi aku dah terfikirkan pasal Tok Moh, bukan aku tak ada fikir. Kamu semua jangan risau, aku akan hubungi dia nanti. Sementara ini kita berjaga-jagalah dahulu. Kita usaha, dengan izin Tuhan insyaAllah syaitan ni dapat dibanteras” Jelas Tok Ketua.

Semua orang kampung mengangguk faham. Harapan sudah diberi oleh Tok Ketua, tinggal mereka harus pandai-pandai menjaga diri sahaja.

………………………………………………….

“Dah cukup kuihnya semua Maon?” Soal Haji Soad

“Cukup ni Haji. Sekejap lagi orang-orang surau datang. Mereka suka benar dengan kuih Haji tau.” Maon memuji

Malam ni Haji Soad terpaksa keluar malam oleh kerana Maon Husin dari kampung seberang ada menempah kuih untuk kenduri cukur jambul anaknya di rumah. Demi mencari rezeki Haji Soad terpaksa melanggar ‘peraturan’ baru di kampung Sri Rampai. Peraturan supaya jangan keluar malam untuk mengelak daripada ditemui oleh serigala jadian. Haji Soad tidak boleh lupa tentang kejadian yang memakan nyawa berpuluh-puluh orang suatu ketika dahulu. Ibu mertuanya mati dikokak serigala jadian di depan matanya sendiri. Perutnya lunyai, isi perutnya tersembah ke luar.

“Ok lah, Maon. Aku kena cepat ni, tak boleh lewat-lewat.” Haji Soad meminta diri

“Duduk-duduk dulu Haji, minum dulu kopi o ni.”

“Ehh, tak apa Maon tak payah susah-susah. Aku memang kena balik cepat ni. Nanti dulang bekas-bekas kuih itu esok-esok je lah aku datang ambil.”

Maon tergaru-garu kepala melihat ragam Haji Soad yang kelam kabut benar mahu pulang. Datsun 510 yang dipandu Haji Soad cepat hilang daripada pandangannya.

“Ada hal apa orang tua tu, kelam kabut betul bawak kereta.” Maon bingung

………………………………..

Haji Soad memandu kereta dengan deras. Kalau nak dikutkan kadar kelajuannya bagai hendak sama dengan kelajuan Hammilton memandu jentera F1. Berdesap-desup turun naik jalan berbukit. Segala selekoh yang ada selamba Haji Soad membuat aksi ‘corner lipat’. Takumi dalam cerita Initial D mungkin pencel awal melihat gaya pemanduan Haji Soad. Semuanya kerana mahu cepat sampai ke rumah kerana bayangan-bayangan haiwan setan berbulu bernama serigala jadian sudah berlegar-legar di fikiran.

Namun sewaktu di selekoh terakhir, Haji Soad telah bertemu dengan sesuatu yang tidak ingin dia lihat di waktu yang tidak sesuai ini. Pedal brek dipijak sehingga mencecah lantai. SKRETTTT….! Bunyi bingit bersulam dengan bau getah tayar yang menyeret di tar. Peluh menitik-nitik dari dahi, panik terus menerpa.

“Ya Allah. Siapa pulak yang terbaring tengah jalan ni??”

Haji Soad lekas-lekas keluar daripada kereta apabila melihat seorang lelaki sedang terbaring kesakitan memegang betis yang berlumuran darah.

“Lahh, kau rupanya! Mari-mari naik kereta aku hantar kau ke rumah.”

Rupa-rupanya lelaki yang Haji Soad temui sedang terbaring di jalan itu ialah anak muda yang kelmarin membeli kuih karipap di warungnya. Kakinya agak teruk luka berdarah-darah. Cepat-cepat Haji Soad mengikat dengan kain supaya darah tidak terus keluar, kemudian dipapah naik ke kereta. Budak muda ini tentu tak tahu tentang apa yang sedang berlaku di kampung ini. Dia baru pindah ke sini. Wajahnya lesu bagaikan keliru dan bingung terhadap apa yang terjadi. Haji Soad terus memandu laju.

“Berapa ekor yang nak makan kau tadi?!”

“Du.. duaa.. pak cik”

“Memang tak guna betul serigala setan ni! Esok aku akan ajak orang-orang kampung bunuh kesemuanya!”

“Tadi.. di.. dia cakap dia nak makan semua orang-orang kampung..”

“Apaa, kurang hajar! Benda ni tak boleh dibiarkan. Kalau berani makanlah! Dia tak tahu tiga ratus orang-orang kampung ni sendiri akan lunyaikan mereka semua tu jadi lempeng!”

Haji Soad memandu laju memasuki kawasan kampung Sri Rampai sebelum diminta berhenti oleh pemuda tadi. Di bangsal besar tempat memproses kelapa sawit sudah tertunggu lima hingga enam orang lelaki sebaya sepertinya. Mungkin ini kawan-kawannya.

“Ok pakcik, terima kasih. Tadi sebenarnya kami keluar ke pekan beramai-ramai. Saya suruh mereka pulang dahulu kerana ada benda lain yang hendak dibeli. Tak sangka pula waktu turun bas tadi dan berjalan kaki seorang diri ke dalam kampung, tiba-tiba kena serang dengan haiwan tu.”

“Itulah, ni pak cik nak pesan. Lepas ni jangan keluar malam-malam lagi. Pesan sekali dekat kawan-kawan tu. Serigala setan tu memang dah melampau. Tunggulah nanti balasan daripada kami”

Yang berada di luar semua terkejut melihat keadaan rakan mereka ni berlumuran darah pada kaki. Kesemuanya terus memapah dia pulang ke rumah. Dua tiga orang mengucapkan terima kasih kepada Haji Soad kerana membantu membawa rakannya pulang. Jika terlambat pasti dirinya sudah lunyai dimakan serigala syaitan itu.

…………………………………………………

Pagi esoknya.

Di warung Haji Soad, semua orang berkerumun mahu menemuramahnya tentang kejadian malam tadi. Kejadian di mana dia menyelamatkan seorang lelaki yang telah dimakan sedikit betisnya oleh serigala jadian. Kini warung Haji Soad bagaikan pusat sehenti oleh orang-orang kampung yang mahu mengetahui khabar berita terkini terutama berkaitan isu hangat sekarang iaitu keganasan serigala jadian.

“Budak-budak ni pun satu, keluar malam-malam buat apa. Nasib baik Haji lalu, kalau tak tak tahu apa yang akan jadi. Mungkin dah mati kena siat serigala!” Ghani menghentak meja.

Wajah Tok Ketua daripada tadi kelihatan resah gelisah, seolah-olah ada sesuatu yang sedang dia fikirkan. Sesuatu yang agak berat selain hal serigala jadian. Melihat keadaan orang ramai yang sedang riuh-rendah, Tok Ketua menarik nafas panjang sebelum menyusun kata.

“Baiklah semua.. Aku mahu beritahu satu hal penting. Aku harap semua orang tenang dan sama-sama berfikir mencari jalan penyelesaian lain selepas aku beritahu benda ni.”

Mendengar susun kata daripada Tok Ketua membuatkan semua orang menjadi lebih gelisah. Masing-masing memberi tumpuan dan memasang telinga terhadap apa yang bakal Tok Ketua katakan. Tok Ketua sekali lagi menarik nafas panjang.

“Orang yang kita harap-harapkan iaitu Tok Moh, sudah tiada lagi. Dia sudah meninggal dunia 6 tahun lepas. Anak-anaknya yang memberitahu aku semalam ketika aku hubungi rumahnya.”

“APAA?!!” Orang-orang kampung menjawab serentak.

Semua orang berasa risau dan gundah gulana. Wajah masing-masing menjadi pahit dan kelat, tidak manis seperti kuih muih Haji Soad. Kini ternyata kampung mereka menjadi lebih bahaya setelah ketiadaan orang harapan iaitu Tok Moh.

“Tak kan anak-anak dia tak warisi ilmu daripada Tok Moh tu? Susah lah macam ni!” Wahid Sepat memandang tepat wajah Tok Ketua.

“Bukan semua orang sanggup dan mahu mewarisi ilmu-ilmu sebegitu, lagi-lagi generasi muda. Kita tak tahu apa yang mereka bakal tempuh di sebalik mengamalkan ilmu-ilmu tu. Boleh jadi pengamal ilmu harus mematuhi syarat serta pantang larang yang ketat. Jadi siapa sanggup?” Kata-kata Tok Ketua cukup menjelaskan sebab kenapa tiada waris Tok Moh yang boleh menolong mereka.

Kesemua mereka kelihatan buntu dengan keadaan ini. Tak tahu bagaimana mahu membanteras keganasan serigala kejadian. Sejak kejadian lelaki muda yang digigit betisnya oleh serigala jadian, berlaku lebih banyak lagi kejadian-kejadian yang menyayat hati selepas itu. Setakat ini sudah tiga orang penduduk telah mati dimakan serigala, mayat-mayat mereka disiat-siat sehingga tinggal tulang.

Azman Kayu, Wahid Sepat, Ghani dan juga Man Jali giat mengawal keselamatan kampung Sri Rampai pada waktu malam. Masing-masing membawa senapang patah ketika berjaga dan meronda. Namun begitu tak seekor pun yang dapat mereka tembak kerana pergerakan mereka agak lincah dan laju. Ada juga usaha yang mereka lakukan dengan mencari individu-individu yang mencurigai pada siang hari. Seperti semua orang tahu, pada waktu siang mereka adalah manusia normal.

Mereka juga meminta anak-anak muda yang bekerja di ladang sawit melihat-lihat jika ada individu-individ yang tidak dikenali di kawasan berkenaan. Ini kerana beberapa orang kampung ada terlihat serigala berkenaan di kawasan ladang kelapa sawit pada waktu malam. Anak-anak muda ini juga gigih sama-sama membantu mencari.

Saat berganti saat, jam berganti jam, hari berganti hari. Semakin lama serigala semakin mengganas, bilangan penduduk yang cedera sudah berbelas orang, manakala yang mati bertambah sebanyak 3 orang lagi. Tok Ketua makin runsing, hendak ditinggalkan kampung ini terasa sayang. Bila difikirkan balik, jika kampung ini dibiarkan kosong, kaum-kaum serigala ini bakal semakin bermaharajalela di sini. Aktiviti mereka tidak akan habis, malah akan merebak ke kampung sebelah pula. Ini bererti keganasan ini akan lebih semakin melarat. Lebih baik mereka bersatu padu mempertahankan keselamatan serta keharmonian kampung mereka ini.

Pagi esoknya mereka bermesyuarat lagi, kali ini di balai raya. Kesemuanya menzahirkan rasa kebimbangan yang amat sangat. Kegiatan serigala syaitan ini harus dibanteras secepat mungkin sebelum terlambat, sebelum semua orang kampung menjadi mangsa korban.

Sebenarnya ada satu berita yang agak menakutkan telah mereka terima daripada salah seorang mangsa yang sempat menyelamatkan diri malam semalam. Serigala jadian itu berkata, cukup tiga hari dari sekarang, sewaktu bulan mengambang penuh, mereka semua serigala jadian akan beramai-ramai turun untuk memakan kesemua warga kampung yang tinggal. SEMUA. Atas sebab itu mesyurat tergempar ini diadakan.

Disebabkan kebimbangan ini, ramai yang hadir untuk mengetahui tindakan apa yang wajar diambil di saat genting sebegini. Maka seorang demi seorang bangun memberi cadangan.

“Kita pasang jerat Tok Ketua! Di hutan-hutan, di semak-semak, di belantara-belantara. Biar semuanya mati tergantung.” Man Jali berteriak dari belakang

“Hmm boleh diusahakan. Tapi hati-hati supaya tidak terjerat diri sendiri. Sebab waktu siang, ramai penduduk kampung yang bekerja memungut hasil hutan. Takut-takut mereka yang terpijak jerat nanti. Bahaya” Tok Ketua seakan bersetuju namun perlu ada pengawasan menurutnya.

“Kita cari rumah orang yang mengamalkan ajaran ilmu hitam ni. Kita pergi siang-siang, kita tangkap lepastu kita bunuh dia!” Cadang Faridzul Hanafiah

“Benda tu Ghani dan rakan-rakannya dah lakukan, tapi sampai sekarang mereka tak jumpa pun sesiapa yang mencurigakan. Aku risau kalau korang semua main tangkap je tanpa usul periksa. Serkap jarang. Mendatangkan masalah nanti tu.” Jelas Tok Ketua

“Ok Tok, saya rasa apa kata kita racun semua pokok-pokok, rumput dan tumbuhan. Biar serigala tu mati sewaktu makan tumbuhan-tumbuhan tu nanti.” Kata Kamal Tempe dengan nada yakin

“Apa kau ingat serigala tu kambing ke nak makan rumput, tumbuhan? Dulu tak sekolah ke? Serigala bukan haiwan herbivor. Aduh peninglah kepala aku macam ni.” Tok Ketua mengurut dahi

Masing-masing memandang hina kepada Kamal Tempe yang sedang menunduk ke lantai. Malu rasanya apabila cadangannya ditolak mentah-mentah oleh orang kampung. Kalau ada sepuluh orang macam Kamal Tempe, sudah lama mereka semua mati dibaham serigala jadian.

Di kala mereka semua riuh berbincang sesama sendiri, bangun seorang lelaki mengangkat tangan untuk memberi cadangan. Dia adalah anak muda yang digigit betisnya oleh serigala jadian tempohari. Di sisi kanan dan kirinya turut sama berdiri rakan-rakannya memberi sokongan.

“Hah, kau anak muda yang kena gigit itu hari, ada apa-apa cadangan nak usulkan?”

“Ada Tok. Macam ni, untuk sementara waktu ini kita bina dinding tembok dan orang harus berkumpul di dalamnya supaya tak ada seorang pun yang jadi mangsa serigala tu nanti. Kita berkumpul di padang depan ni kemudian bina dinding tembok di sekelilingnya.”

Tok Ketua dan orang kampung nampak macam berminat dengan cadangan bernas anak muda ini. Anak muda ini menyambung.

“Semua orang diwajibkan berkumpul di padang yang sudah bertembok, kerana diluar tu sangat berbahaya nanti. Tiga hari lagi tok, tiga hari lagi kedatangan serigala-serigala tu. Tak lama dah tu. Sanggup ke kita nak tengok lagi orang-orang kampung mati dimakan serigala?”

“Kamu yakin ke serigala tu tak boleh panjat tembok tu nanti?” Tok Ketua mencelah.

“Ok ini strateginya. Kita bina menara di setiap penjuru tembok, jadi yang mana ada senapang akan berjaga di setiap penjuru tersebut dan akan tembak semua serigala tu dari atas. InsyaAllah mereka tak sempat panjat.” Pemuda itu meyakinkan mereka semua.

Kebanyakan orang kampung semua bersetuju dengan cadangan daripada sekumpulan anak muda ini. Rupa-rupanya ada gunanya juga mereka duduk di kampung Sri Rampai.

Maka bermula hari itu mereka terus bergotong-royong bertungkus-lumus membina tembok dinding seperti yang dibincangkan. Kesemuanya bekerjasama mencari bahan seperti kayu bakau untuk dibuat dinding, manakala yang lain menggali tanah di sekeliling padang untuk dipasak kayu bakau tadi. Mereka bekerja bergilir-gilir tanpa henti daripada pagi sehingga senja kerana masa hanya berbaki dua hari sahaja lagi. Semangat bersatu padu yang mereka tunjukkan ini dengan izin tuhan moga membuahkan hasil. Harapan dan matlamat mereka cuma satu, iaitu menghalang dan membunuh kesemua serigala syaitan yang semakin mangganas.

Hari yang ditunggu pun tiba. Sejak daripada petang lagi sudah ramai yang berkumpul di kawasan padang berdinding tembok kayu bakau setinggi lima belas kaki. Mereka datang bersama keluarga. Semua orang sudah tidak sabar mahu berkumpul di dalamnya. Menara-menara di sudut juga telah mereka bina, semoga semuanya berjalan lancar malam nanti.

Man Jali, Ghani, Wahid Sepat dan juga Azman Kayu sudah tidak sabar mahu beraksi bagaikan rambo gerilla malam ini. Sewaktu sedang memeriksa senapang, mereka berempat didatangi sekumpulan anak muda si pemberi idea di sebalik tembok lima belas kaki. Ada perkara penting yang mahu mereka katakan.

“Abang, kalau nak tembak nanti tak boleh guna peluru biasa. Tak lut. Tubuh mereka dah kebal daripada sebarang bentuk peluru”

“Hah, habis tu nak pakai peluru apa dik?” Wahid Sepat menyoal

“Ni, pakai peluru emas ni. Hanya peluru-peluru ini sahaja yang dapat menumbangkan seriga jadian tu semua.Tak perlu banyak,sekali tembak dah boleh tumbang. Sebiji peluru dah boleh mematikan mereka” Salah seorang pemuda menunjukkan berpuluh-puluh peluru berwarna emas dari dalam beg uncang. Lagak gaya percakapannya macam jurujual.

“Wah betul ke ni? Macam dalam filem orang putih tu eh? Kena tembak drakula pakai peluru emas? Kalau macam ni lebih mudah lah kerja kita! Hahaha.” Wahid Sepat dan rakan-rakannya bergelak ketawa girang.

Sekumpulan anak muda ini kemudiannya memberi uncang-uncang peluru emas kepada mereka si penembak berempat. Mereka terus mengisi senapang patah mereka dengan peluru emas. Kilauan dari peluru menambahkan lagi kadar keyakinan dalam diri mereka. Nasib baik ada kumpulan pemuda ini, jika tidak sia-sia usaha mereka.

Jam melewati 11.45 malam. Semua penduduk kampung kini sudah berada di dalam kawasan padang yang dikelilingi tembok kayu bakau. Tingginya 15 kaki, agak mustahil untuk seseorang memanjatnya dengan mudah. Dan ketinggian ini juga bakal melengahkan sedikit pergerakan serigala jadian nanti untuk memanjat. Sekurang-kurangnya Man Jali dan rakan-rakan ada cukup masa untuk menembak haiwan syaitan ini daripada atas.

Debaran kian terasa, semua orang menunggu dengan penuh rasa gelisah. Ada anak-anak kecil yang sudah menangis ketakutan disamping ibu bapa mereka. Mungkin mereka tidak selesa dan tidak faham mengapa telalu ramai sangat orang berkumpul berhimpit-himpit di padang malam ini. Kumpulan pemuda mastermind di sebalik pembinaan tembok ini berpecah dan mengawal di setiap penjuru tembok. Gaya dan langkah mereka amat bersemangat lagi menyakinkan. Salah seorang daripada mereka berjaga di pintu masuk yang sudah siap-siap dikunci. Mujur ada mereka, nak harapkan orang-orang kampung, semuanya sudah berusia dan terhad tenaganya.

Suasana menjadi sunyi sepi. Anak-anak kecil sudah tenang ditenteramkan oleh ibu bapa mereka. Haji Soad mendongak ke langit. Bulan purnama terus mengambang disebalik langit hitam, bila-bila masa sahaja lagi serigala jadian boleh datang. Apa yang bakal terjadi terpaksa mereka tempuhi. Man Jali dan rakan-rakan penembak bersiap sedia dengan laras senapang mereka. Diacukan muncungnya siap-siap ke luar tembok. Dari atas menara ini semuanya nampak dengan jelas. Moga semuanya berjalan lancar.

Man Jali menjeling jam di tangan, sudah tepat pukul 12 malam. Dia memandang rakan-rakannya di keempat-empat penjuru tembok.

“Semua.. SIAP SEDIAAA! Kita bunuh mereka habis-habisaann!!” Teriak Man Jali memberi semangat

“AAAAAAAWOOOOOOOOOOOOOOOO………………………..!!!!!!!!!!”

Man Jali mengacu terus senapangnya ke luar. Bunyi salakan serigala jadian sudah bergema di seluruh kampung, bunyi kedengaran terlalu hampir dan jelas seolah-olah mereka berada di sini.

“Woi, Ghani! Dapat takk??” Man Jali menjerit kepada Ghani yang berada di sudut sebelahnya.

“Tak adaa! Aku dengar bunyi tapi aku tak nampak seekor pun!!”

“Man Jali manaaa? Ada takk??” Wahid Sepat pula melaung memanggil Ghani. Dia juga tak nampak kelibat serigala jadian. Rasanya bunyi salakannya sudah terlalu hampir.

Man Jali memandang ke bawah apabila terdengar penduduk kampung semuanya melolong menjerit kuat. Man Jali dan rakan-rakannya bagai tidak percaya apa yang dia sedang lihat. Kumpulan pemuda yang mengawal di setiap sudut padang sedikit demi sedikit bertukar wajah menjadi serigala. Muncungnya panjang dengan dua taring panjang tersisip di celah gigi. Tubuh mereka ditumbuhi bulu-bulu hitam yang lebat. Seiring dengan bulan yang sudah mengambang penuh, mereka semua bertukar menjadi serigala-serigala yang sungguh cukup menyeramkan.

Tanpa orang kampung sedari selama ini, sekumpulan pemuda ini lah yang rupa-rupanya merupakan serigala jadian! Sungguh tak disangka-sangka. Patutlah mereka mencadangkan semua penduduk berkumpul dan tembok tinggi dibina di sini. Rupanya ini adalah satu PERANGKAP! Segalanya nampak mudah bagi mereka sekarang kerana ‘makanan’ sudah terhidang di depan mata. Mereka menyerang penduduk kampung dari setiap penjuru padang, orang kampung ketakutan lalu berhimpit-himpit bertolak-tolak semuanya ke tengah.

Tiada satu pun yang terselamat dibaham serigala jadian. Daripada tua sehingga ke muda, semua mati ditangan serigala yang cukup ganas lagi mengerikan. Dataran padang yang berwarna hijau kini bertukar menjadi merah.

“TEMBAKKK!!!!!” Teriak Man Jali mengarah rakan-rakannya.

“Blam! Blam! Blamm!”

Berpuluh-puluh peluru emas singgah ke tubuh serigala-serigala tersebut, namun tiada satu pun yang tumbang malah cedera. Ghani berasa hairan. Dia memeriksa semua peluru yang ada di kelongsong senapang.

“Man Jaliii! Kita dah kena tipuu! Ini bukan peluru, ini plastikk!” Jerit Ghani.

Man Jali dan rakan-rakannya sedar bahawa mereka telah ditipu hidup-hidup oleh pemuda serigala tadi. Peluru emas yang disangka peluru azimat rupa-rupanya hanyalah peluru plastik yang telah dicat warna emas. Sungguh bijak dan menjadi strategi mereka.

Serigala jadian terus memanjat keempat-empat menara dengan pantas. Mereka terperangkap. Ghani, Wahid Sepat, dan juga Azman Kayu sudah mati dibaham. Kepala dan anggota tubuh mereka yang sudah terputus dari badan bergolek jatuh ke bawah. Man Jali ketakutan, dia tiada pilihan lain selain terjun ke bawah. Namun nasib tidak menyebelahi kerana serigala yang lain sudah siap-siap menunggu di bawah. Man Jali merupakan mangsa terakhir pada malam itu.

Semuanya dilakukan dengan amat pantas tidak sampai setengah jam. Kini padang bertembok ini menjadi satu dataran yang dipenuhi mayat-mayat penduduk kampung. Kesemuanya sudah tidak cukup anggota dan hanya tinggal tulang. Semua serigala jadian beredar daripada tempat tersebut dengan rasa penuh kekenyangan. Satu kampung kena tipu.Huh kesian.

••••••••••

TAMAT.

Hari ni terlebih pulak ye hahaha ni cite paling panjang pernah aku buat 5211 patah perkataan so hope korang tak bosan bila baca.Jangan lupa vote sekali.Cerita ni hanya rekaan semata-mata tidak ada kena mengena dengan yang hidup dan yang sudah meninggal dunia.Jika nama-nama itu sama dengan kawan-kawan anda ke apa ke itu hanyalah kebetulan ye.Hahahah.Ingat tau jangan lupa vote huhuhuhu penat aku type.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro