Bab 5
Saiful datang ke rumah En. Salim terus dari taman tasik selepas Natasha lari daripadanya. En. Salim terkejut menerimanya pada masa yang lewat begitu dan sebelum sempat En. Salim bertanya apa-apa, Saiful menawarkan penjelasan.
"Pak cik, Natasha dah lari," katanya.
"Hah?" En. Salim terpinga-pinga.
"Saya tak sengaja pukul dia, dia lari," ulang Saiful.
"Kenapa kau pukul dia?" En. Salim masih keliru.
"Kami keluar sekejap. Berdua..."
"Kau keluar berdua dengan Tasha?" En. Salim seperti tidak percaya.
"Dia minta kami keluar berdua, dia kata ada hal nak cakap. Kebetulan mak suruh beli ais," Saiful memulakan.
"Masa kami berdua tu, dia minta dengan saya supaya kami batalkan perkahwinan," muka En. Salim berkerut mendengar kata Saiful.
"Saya tanya kenapa? Pak cik tahu saya cintakan Natasha. Saya tak nak kehilangan dia," Saiful kelihatan sugul.
"Dia kata dia tak mahukan saya. Dia ada pilihan lain," atur Saiful berhati-hati.
Mata En. Salim bulat tidak percaya.
"Bukan sebab tu saya pukul dia," sambung Saiful. Tapak tangannya digesel-gesel seolah-olah mahu memadam bekas kulit Natasha yang disentuhnya.
"Saya tanya dia, kalau tak mahu kenapa terima?" Ya... En. Salim juga mahukan jawapan untuk soalan itu.
"Dia kata... Pak cik orang lama. Fikiran pak cik kolot sikit. Mak saya pun macam tu. Jika pak cik tahu dia ada orang lain, tentu pak cik marah. Jika mak saya tahu, tentu mak saya tak puas hati. Dia takut mak saya guna-gunakan dia, atau sihirkan rumah tangganya..."
"Katanya kahwin sepupu atau keluarga dekat buat baka jadi lemah. Dia tak nak anak-anak dia berbaka lemah."
En. Salim rasa tidak percaya Natasha bercakap begitu.
"Saya kata, sihir tu syirik. Dia kata, orang yang terdesak, imannya keluar ikut tingkap. Saya sabar lagi, pak cik," Saiful menekur kepala.
"Tapi yang saya tak tahan..." mata Saiful berair.
"Dia kata kalau saya tak putuskan, dia akan lari hari kahwin. Biar semua orang dapat malu. Dia kata diri dia ni hanya untuk kekasih dia," Saiful berhenti sekejap, menduga penerimaan En. Salim.
"Saya berkeras nak kami kahwin. Saya janji akan layan dia dengan baik. Dia kata, saya cuba halang dia dapat yang halal, jangan terkejut jika lepas kahwin dia mencari yang haram. Katanya dia mahu ada anak dengan kekasih dia, bukan dengan saya. Terus saya tampar muka dia, pak cik," Saiful menggenggam tangan kanannya.
En. Salim menekup mulutnya. Benar-benarkah Natasha cakap begitu? Tidak mungkin Saiful berbohong kepadanya.
"Saya pun tak percaya, pak cik. Saya lihat Natasha sempurna. Pak cik didik dia baik sangat dah," Saiful hanya menambah keliru En. Salim tentang anaknya.
"Pak cik, saya minta maaf. Bukan salah pak cik, pak cik. Semua yang baik-baik pak cik dah ajar dia. Yang buruk tu dia cari sendiri," Saiful cuba meredakan kegalauan En. Salim.
"Kalau tak silap saya kekasih dia pun orang Perak juga, dia mungkin lari ke rumah budak lelaki tu," darah En. Salim menyirap mendengar kata Saiful.
"Tak apa, Saiful... Tahulah aku mengajarnya," dada En. Salim berombak menahan marah dan kecewanya.
"Saya nak minta diri dulu, pak cik. Mak mungkin bimbang jika saya tak balik. Pak cik jangan bimbang, saya akan pujuk mak," Saiful tunduk menyalam En. Salim dengan penuh hormat.
"Setiap perkara yang Allah buat ada hikmahnya, pak cik," kata Saiful sebelum beredar.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro