Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 4

Farihin telah bersedia untuk membawa Natasha ke Pulau Pinang.

"Hati-hati, Yen," pesan Puan Aliah.

"Doakanlah yang terbaik, mak," balas Farihin mencium pipi ibunya.

"Silap-silap mak dapat menantu tak payah pinang," Farihin senyum jadi tak jadi. Kunci kereta dalam tangannya dimain-mainkan untuk mengalihkan rasa resahnya.

Natasha keluar dari bilik Farhana, memakai baju kurung tanah hitam berbunga-bunga kecil warna putih dan tudung hitam yang dipinjamkan oleh Farhana kepadanya. Dia hanya berdiri di ruang tamu tanpa berkata apa-apa.

Dia cuba hendak senyum namun bibirnya tidak mahu bergerak. Dia mahu mengatakan bahawa dia sudah siap, namun suaranya tidak mahu keluar. Seluruh sistem dalam dirinya terasa seolah-olah dimatikan dan dia seperti kilang yang ditutup dan tidak dapat beroperasi maka tidak ada hasil yang dapat dikeluarkan.

"Dah siap, Tasha?" suara manis Puan Aliah yang seolah-olah menjadi lampu berkuasa solar yang akan hidup semasa kecemasan apabila semua sistem lumpuh, yang menyala sebagai panduan untuk orang yang terperangkap mencari jalan keluar.

"Dah," sepatah perkataan itu keluar dengan begitu mudah dari mulut Natasha.

Puan Aliah mengusap kepala Natasha sebelum mencium pipinya dengan berhati-hati. Kemudian Natasha dipeluknya dengan lebih hati-hati kerana dia takut hendak menyakiti Natasha. Belakang Natasha diusap-usapnya penuh kasih sayang, berharap agar sentuhan lembut itu memberikan semangat yang menguatkan Natasha.

Farihin hanya memerhati. Resahnya terasa berganda.

"Pergilah, Tasha mesti tak sabar nak jumpa ayah Tasha," kata Puan Aliah mengiringi mereka keluar.

Sepanjang perjalanan Natasha hanya memandang keluar tingkap dan sesekali mengesat matanya. Farihin ada banyak soalan yang hendak ditanya.

Pertama sekali tentulah 'apa yang telah berlaku?'. Namun dia tahu Natasha masih terkejut dan dia tidak mahu memberikan lebih banyak tekanan kepada Natasha. Farihin memandu terus ke Pulau Pinang tanpa berhenti rehat.

Apabila mereka sampai di pekarangan rumah En. Salim, Natasha terus turun dari kereta sebaik sahaja Farihin berhenti. Farihin membayangkan Natasha berlari ke dalam pelukan ayahnya dan mungkin untuk pertama kali dalam tempoh kurang 24 jam itu berasa sedikit tenang.

"Berhenti!" En. Salim sudah tercegat di muka pintu sebelum Natasha membuka pagar.

Farihin dapat melihat Natasha ke belakang sedikit disergah begitu. Farihin turun dari kereta dan hanya memerhati.

"Mana silap didikan aku sampai kau jadi macam ni?" En. Salim menghampiri Natasha, membiarkan pagar tertutup di antara mereka.

"Ayah..."

"Jangan panggil aku ayah!" En. Salim menepis tangan di hadapan mukanya seolah-olah menghalau lalat yang membuatkan dia berasa jijik.

"Kalau aku ni ayah kau, kenapa kau tak cakap dengan aku kau bercinta dengan budak ni? Kenapa kau tak cakap terus-terang dengan aku kau tak nak kahwin dengan Saiful?" soal En. Salim bertubi-tubi.

"Aku nak kau kahwin dengan lelaki yang baik... Aku pilih lelaki yang aku rasa baik untuk kau," suara En. Salim kecewa.

"Aku tanya kau... Kau kata kau setuju. Kenapa kau bohong? Kalau kau berkenan dengan orang lain, kenapa kau setuju?" asak En. Salim.

"Aku tak pernah paksa kau buat apa pun dalam hidup kau," luah En. Salim.

Kepala Natasha semakin tunduk.

"Pak cik," Farihin cuba hendak menjelaskan duduk perkara.

"Kau diam!" jerkah En. Salim, menuding pada Farihin dengan telunjuknya.

"Saiful beritahu aku kau tak nak kahwin. Kau nak lari dengan orang lain. Bila dia pujuk kau, kau cakap yang bukan-bukan pasal keluarga dia sampai dia pukul kau," En. Salim memandang Natasha dengan rasa kecewa dan tidak percaya.

"Kau suka anak aku?" En. Salim menujukan soalannya kepada Farihin.

"Kau ambillah dia," begitu sahaja kata En. Salim tanpa apa-apa perasaan. Suaranya dingin.

"Pak cik, saya datang bawa amanah pak cik. Saya tak nak bawa balik orang asing," jawab Farihin. Dia tidak tahu mengapa dia menyebut ayat itu.

"Baik! Aku nikahkan kau dengan dia," tegas En. Salim.

Tuan kadi memerhati Natasha yang lebam dan luka dan dia berkali-kali cuba memujuk En. Salim untuk mendengar apa yang hendak dikatakan oleh Natasha. Hukuman mesti diberikan dengan adil, selepas mendengar daripada kedua-dua belah pihak. Entahkan rasa marah atau kecewa yang lebih besar, En. Salim bertindak di luar kebiasaannya. Hatinya seolah-olah terkunci.

Tuan kadi cuba memberikan nasihat agar ditangguhkan dahulu pernikahan Natasha dan Farihin supaya keadaan tenang dahulu moga-moga keputusannya nanti tidak terburu-buru, namun dia tidak endah walaupun tuan kadi menawarkan agar Natasha tinggal di rumahnya buat sementara. Sekalipun suaranya tidak ditinggikan di hadapan tuan kadi namun ketegasannya tidak sedikitpun lentur.

"Tok, dia suka budak ni, saya nak nikahkan dia supaya dia boleh teruskan hidup dia tanpa perlu terikat dengan bapa dia yang kolot ni," luah En. Salim.

Air mata Natasha hanya mengalir. Dia tidak tahu apa yang telah difitnah oleh Saiful tentang dirinya sampai meracun fikiran ayahnya. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro