Bab 2
Natasha, seperti Farihin ialah jurutera mesin keluaran Jepun. Semasa peringkat percubaan kerjanya, Natasha bertugas di Gambatte Technologies Pulau Pinang dan perlu melaporkan diri kepada Farihin.
"Saya Natasha binti Salim," lapornya.
"Awak ni Islamkah?" tanya Farihin.
"Ya, cik," jawab Natasha. Mukanya nampak terusik kerana dia bertudung dan nama pun berbinti.
"Habis? Tak reti nak bagi salam?" sindir Farihin.
"Maafkan saya, cik. Assalamualaikum. Saya, Natasha binti Salim," ulang Natasha.
"Waalaikumussalam. Saya Farihin bin Yusuf. Mulai hari ini awak dalam tempoh percubaan dan di bawah seliaan saya. Arahan saya, yang tidak bercanggah dengan agama dan apa-apa yang awak belajar... Awak ikut. Kalau saya silap... Betulkan saya. Kalau awak silap... Siapkan diri untuk diperbetulkan. Urusan saya dengan awak... Sepanjang waktu pejabat, jangan sampai keluar. Kalau rasa nak balas dendam di luar... silakan. Kalau tak faham, atau tak tahu atau tak pasti... tanya. Jangan jadi bodoh sombong. Saya tak makan orang. Bukan sikap saya menggagalkan pelatih tapi kalau dia memang tak layak... tak guna saya tolong. Oleh itu... berusahalah. Hal itu tak bermaksud awak perlu merasuah atau mengambil hati saya dengan secawan kopi setiap pagi dan secawan teh setiap petang. Berusaha. Berdoa. Bertawakkal kepada Allah semoga segalanya mudah untuk awak di sini dan... Selamat datang ke Gambatte Technologies," ucap Farihin senafas.
Natasha tersenyap.
Bekerja dengan Farihin memang perit. Dia memang Jepun. Tidak habis-habis Natasha dimarahnya secara peribadi maka orang lain tidak tahu.
"Awak belajar apa di sana? Benda kecil macam ni pun tak tahu nak buat?" bentak Farihin.
"Saya betul-betul tak tahu, Cik Farihin. Lagipun... Cik Farihin yang suruh saya tanya kalau tak pasti," jawab Natasha takut-takut.
"Hmmmph! Kalau macam ni... Balik kampunglah awak. Mari sini! Saya tunjuk sekali sahaja."
Farihin menunjukkan cara-cara membetulkan mesin itu kepada Natasha. Seperti kata Farihin, kerja ialah kerja, jangan dibawa keluar pejabat. Farihin biasa makan bersama Natasha dan jurutera mesin yang lain berserta pekerja-pekerja kilang yang lain. Bergurau, beramah-tamah sekali-sekala.
Ada juga ketikanya sikap Farihin membuat Natasha berubah fikiran bahawa dia bukanlah seorang yang tidak berhati perut.
"Cik Farihin, saya dah buat semua tapi mesin ni masih tak okey," adu Natasha sekali.
"Masih ada bunyi whirr... whirr tu. Cuba encik dengar," sambungnya.
Farihin menghampiri mesin yang dimaksudkan oleh Natasha dan dia menelinga. Antara kemahiran yang perlu ada pada seorang jurutera mesin ialah keupayaan untuk menumpukan perhatian pada satu bunyi tertentu antara pelbagai bunyi hiruk-pukuk deruman mesin yang lain. Farihin mengangguk-angguk, mengerti dan telah mengesan bunyi yang dimaksudkan oleh Natasha.
"Keru," jawab Farihin. Natasha melopong.
Farihin mendekati mesin di hadapan Natasha dan tanpa kira-kira menendang mesin itu keras.
"Tendang," Farihin melihat muka Natasha tepat-tepat seolah-olah dia baru sahaja menunjukkan kepada Natasha maksud perkataan yang disebutnya kerana Natasha gagal memahami.
Seperti makhluk yang berperasaan dan enggan disakiti sekali lagi, mesin itu mula menderam dengan lebih teratur tanpa whirr... whirr lagi.
Ketawa kecil Natasha terlepas dan wajahnya penuh kagum.
Farihin hanya menggeleng-geleng. Senyumnya tetap juga diberikan kepada Natasha.
Oleh sebab prestasinya cemerlang, Natasha diserap masuk sebagai pekerja tetap di Gambatte. Entahkan kerana apa, kopi dan teh Farihin masih tidak putus setiap pagi dan petang.
"Natasha, awak bukan pelatih lagi," Farihin pernah menegur.
"Encik Farihin tetap guru saya," jawabnya membuatkan Farihin tersenyum.
Lama juga Farihin memaksa dia berhenti menghantar minuman namun akhirnya Farihin mengalah, Natasha nampaknya tidak dapat dilarang. Namun Farihin berkeras mahu dia berhenti berencik-encik.
"Sebagai guru awak, saya nak awak panggil saya Farihin saja. Tak perlu cik-cik lagi," tegas Farihin dan dia yakin bahawa jika dia tidak menggunakan bidik guru, belum tentu Natasha berhenti.
"Kenapa awak boleh berhenti berencik dengan saya kerana saya minta sebagai guru tapi awak tak boleh berhenti hantar air kepada saya?" duga Farihin.
"Tak sama, Farihin," jawab Natasha tersenyum manis. Seperti dia, Natasha juga Jepun. Amalan menghormati guru dalam budaya Jepun tidak kurang seperti Imam Malik yang berdiri tegak hanya kerana seorang Yahudi mengajar beliau mengikat tali kuda.
"Apa yang tak samanya? Saya minta sebagai guru dan sekarang kita dah dikira setaraf. Kita rakan sekerja," Farihin masih mahu tahu buah fikiran Natasha.
"Pasal nama saya boleh ubah atas dasar hormat. Kata Saidina Ali, jika seseorang mengajarnya satu huruf pun, dia layak menjadi hamba orang tersebut..."
"Kalau macam tu baik kahwin terus," sampuk Sam, jurutera yang duduk di sebelah Farihin.
Muka Natasha merah padma. Farihin menampar keras bahu temannya.
"Mana ada hamba dah zaman ni," Sam membela dirinya.
"Dan isteri tak patut kau samakan dengan hamba. Nabi suruh layan isteri dengan layanan terbaik kau tahu?" Farihin memandangnya serius.
"Maksud aku..." Sam masih belum puas.
"Kalau dah sudi nak hantar teh dan kopi, baik kahwin terus. Boleh hidang nasi, lauk-pauk, gosok baju..."
Natasha tertawa kecil.
"Saya pergi dulu," dia meminta diri.
"Kau bukan nak isteri, kau perlukan orang gaji!" Farihin menunjal bahu Sam keras-keras.
"Aku rasa kasihan pada isteri kau," usik Farihin.
"Nak kasihan kenapa? Aku yang gosok baju dia," dan ketawa mereka berderai. Sam bercakap benar.
Jika Natasha disibukkan oleh kerja, Farihin akan diberitahu oleh kakak di kantin bahawa Natasha tidak dapat menyiapkan minumannya namun apa juga minuman Farihin untuk hari itu, kakak itu tidak patut mengambil duit. Natasha akan membayarnya kemudian.
Farihin bukan jenis yang mengambil kesempatan. Sekali-sekala dia pula yang membelanja dengan cara yang sama: melarang kakak di kantin mengambil duit Natasha makan atau minum pada hari-hari yang rawak agar Natasha tidak dapat mengagak.
Perlahan-lahan, ada rasa yang halus untuk Natasha tumbuh dalam hatinya. Dia sedar akan hal itu apabila dia ditugaskan ke luar negara selama seminggu dan dia jadi serba tidak kena apabila tidak dapat melihat atau mendengar tentang Natasha. Sekalipun mereka dalam kumpulan WhatsApp yang sama, dia dan Natasha sama-sama lebih bersikap sebagai pemain simpanan yang hanya duduk di tepi padang. Mereka hanya menjawab apabila ada soalan yang ditanya langsung kepada mereka atau soalan yang memerlukan undi.
Selebihnya mereka hanya diam. Farihin berkira-kira hendak menghantar pesanan terus kepada Natasha sahaja namun mereka tidak pernah berkomunikasi di luar tempat kerja melalui WhatsApp apatah lagi tentang hati dan perasaan, perkara yang tiada kena-mengena dengan kerja.
Ada tidak ada pun mereka berbual-bual perkara-perkara yang pelbagai jika ada acara yang diatur oleh kilang atau sekadar kawan-kawan mengajak berkumpul untuk makan-makan atau aktiviti luar.
Kebanyakannya Natasha jarang ikut. Farihin ikut sekadar untuk memenuhi masa kosongnya kerana jika tidak dia bimbang fikirannya akan terganggu. Dia bimbang masa lapang yang tidak terisi akan menarik dia kembali ke dalam kemurungan yang pernah dialaminya semasa di Jepun dahulu. Tiada siapa yang tahu akan hal itu. Tidak juga Puan Aliah dan Farhana.
Oleh itu Farihin menahan dirinya. Dia bimbang akan melukai Natasha tanpa sengaja. Gadis itu riang dan ceria sedangkan dia mempunyai luka yang besar selepas kehilangan ayah dan Sakura. Dia sedar bahawa dia tidak semata-mata suka kepada Natasha kerana bahasa Jepun yang menjadi bahasa komunikasi mereka terutamanya jika hanya mereka berdua yang berbual yang sekali-sekala membuatkan dia terasa seperti berbual-bual dengan Sakura. Lebih daripada itu.
Benar kehilangan ayah dan Sakura ialah tamparan yang besar dalam hidupnya namun dia telah bangkit semula. Dia telah menerima dengan reda dan lapang dada. Farihin tahu bahawa perasaan untuk Natasha ini hanya ada untuk Natasha, tidak pada gadis yang lain. Dia mahu Natasha hadir dalam hidupnya. Ketawa yang mudah sangat gugur dari mulut Natasha itu yang membuat dia selalu tersenyum sendiri.
Selepas pulang dia masih seperti biasa dengan Natasha, cuma dalam diamnya dia memerhati dengan lebih teliti. Menimbang dengan lebih berat. Apabila Natasha pula dihantar ke Jepun untuk beberapa hari dan kemudian menyambung cuti sehingga mereka tidak bertemu selama seminggu, Farihin demam dan tidak sedap badan.
"Kau ni sakit rindu, Farihin," usik Sam.
"Pandailah kau," Farihin ketawa kecil.
Sam memang suka main-main soal-soal lelaki dan wanita. Kadang-kadang melarat pada yang bukan-bukan.
"Kalau tak jumpa saja, kau sakit. Masa kita keluar hari tu kau sakit. Sekarang dia keluar kau sakit," Sam membentangkan pemerhatiannya.
"Kopi dan tehnya tu dah sebati dengan darah kau. Hati kau mahu tuannya," sambung Sam tersengih-sengih. Diam Farihin seperti setuju seorang anak dara.
"Ubat ada depan mata, kalau kau tak makan, sampai bila nak sembuh?" duga Sam.
"Aku tak apa-apalah," Farihin segera bersiap-siap untuk masuk ke bahagian pengeluaran. Ada banyak mesin yang perlukan perhatiannya.
Hari Isnin berikutnya, ketika Natasha memberikannya kopi pada waktu pagi dia terus menjerik dan memberikan komen, "Manisnya!"
"Gulanya sama saja," Natasha kegugupan.
"Mungkin senyuman awak terjatuh ke dalam kopi ni," usik Farihin dan muka Natasha merah.
"Mestilah... Orang dah ada yang ambil tahu," sampuk jurutera meja sebelah. Bukan Sam.
Farihin dan Sam keliru memandang Natasha dan si jurutera bergilir-gilir, menunggu siapa dahulu yang akan memberikan penjelasan.
"Cuba kau tanya kenapa dia sambung cuti?" duga si jurutera.
Farihin tahu, Natasha tidak akan menawarkan jawapan. Natasha telah sedia untuk meminta diri.
"Kejap-kejap," tahan Farihin.
"Apa yang saya terlepas?" soalnya kepada Natasha sekalipun dia yakin jawapan tidak akan keluar dari bibir yang sentiasa tersenyum itu.
"Dia bertunang. Aku tahu pun pasal ayah dia pesan kuih kat mak aku," si jurutera senyum lebar.
"Rahsia sungguh! Aku cakap dengan kau ni pun silap-silap dia calar kereta aku," usiknya makin menjadi.
"Mana ada," sambut Natasha cepat. Tidak sanggup dirinya dikaitkan dengan perangai-perangai yang tidak bertanggungjawab begitu.
"Betul awak bertunang?" tanya Farihin. Dia mula rasa rimas dan suaranya dipaksa-paksa supaya tenang.
"Ya," suara Natasha hampir tenggelam namun angguknya yang lembut seperti pisau lipat yang tajam mencalarkan hati Farihin. Namun Farihin sedar, bukan salah Natasha hatinya terluka.
"Tahniah," Farihin senyum juga.
"Tolong rahsiakan," kata-kata itu lebih ditujukan kepada si jurutera mulut tempayan di sebelah Farihin.
"Okey," si jurutera berikrar dan Farihin kagum yang dia benar-benar tidak lagi menyebut soal itu kepada sesiapapun.
Sam memandang Farihin, matanya cuba hendak menyatakan sesuatu namun Farihin hanya senyum dan meninggalkan mejanya. Sam hanya mengeluh.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro