Bab 1
Dengan sebuah buku yang kuat isinya, lancar garapannya dan baik bahasanya dalam tangan, Farihin mampu meng'hilang'kan dirinya dari situasi sebenar. Dering telefon tidak sedikit pun terkesan kepada jurutera mesin itu. Dia statik atas kausnya sambil membaca. Farhana, adiknya yang sedang membuat lukisan kolaj mengangkat muka untuk meminta perhatian abangnya namun tidak berhasil. Ibu mereka, Puan Aliah yang terlebih dahulu mengangkat gagang. Farhana tersenyum kepada Puan Aliah.
"Helo," suara di hujung talian kedengaran seperti menangis.
"Helo," jawab Puan Aliah dengan suara yang perlahan. Ragu-ragu dan tenang sekaligus.
"Assalamualaikum," ucap si pemanggil. Jelas sekali dia memang menangis. Esaknya kedengaran putus-putus.
"Waalaikumussalam, siapa ni?" tanya Puan Aliah.
"Saya... Natasha. Boleh saya bercakap dengan Farihin?" pinta suara yang lembut dalam esak tangisnya.
"Sekejap," Puan Aliah meletakkan gagang ke sisi telefon.
"Yen," panggilnya menepuk bahu Farihin, menyentak si anak dari bacaannya.
"Ya," Farihin segera mengalihkan bukunya dan Farhana sekali lagi mengangkat muka dari kolajnya.
"Telefon. Natasha," beritahu Puan Aliah.
"Ha?" Farihin terkejut besar dan segera menjuntai kaki di kaus.
Ada apa jurutera mesin yang jeran dimarahnya ketika latihan di kilang Gambatte Technologies Pulau Pinang yang telah ditinggalkannya setahun lalu mahu menghubunginya pada pukul 11.45 malam, di rumahnya di Perak ini?
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro