Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

BAB 1

Tidurnya kali ini terasa sungguh lena. Dia sendiri lupa bilakah kali terakhir dia dapat tidur yang lena seperti sekarang. Badannya yang baring secara mengiring itu dipusing ke arah lain. 

Hampir lima minit dia sudah terjaga dari tidurnya. Dia melihat sekelilingnya. Begitu asing di pandangannya. Bila diperhati secara teliti, bilik itu adalah bilik seorang perempuan. Bagaimana dia tahu? Lihat sajalah cadar katil ini yang bercorak bunga kecil dan terdapat barang-barang yang dimiliki oleh seorang perempuan.

Dia mula bangkit dari baringnya. Dijatuhkan kedua belah kakinya ke atas lantai.

Dia tunduk memandang tubuhnya sendiri. Berkerut nipis dahinya. Pakaian ditubuhnya sudah digantikan dengan pakaian yang lebih sopan. Persoalannya siapakah yang menukar pakaiannya ketika dia tidak sedar?

Terlalu banyak persoalan yang bermain di benak fikirannya saat ini. Dia di berada di dalam rumah siapa sekarang ni? Takkan dia diculik. Kalau dia diculik sekalipun, dia takkan diberikan tempat tidur yang lena.

Dia menapak ke arah tingkap rumah kayu itu yang terbuka luas. Dia meninjau pula keadaan di luar sana.

“Kamu dah bangun.” Suara itu kedengaran lega sekaligus mematikan lamunan dia yang sudah entah ke mana. Suara itu datang dari arah belakangnya. Tidak terlalu dekat.

Takut-takut dia menoleh menghadap pemilik suara itu. Pemilik suara itu sedang berdiri di muka pintu.

Automatik kepala dia menunduk apabila wanita yang dianggar berusia dalam lingkungan 40 an itu menghampirinya. Mungkin sebaya ibunya. 

“Nama kamu apa?” tanya Hajah Aziah, lembut. Dia tidak mahu gadis itu merasa takut dengannya.

Siapa saja tidak akan rasa takut dan cemas apabila sedar dari tidurnya, berada di dalam rumah seseorang yang tidak dikenali.

“Sarra.” Perlahan dia menjawab.

“Mesti Sarra lapar kan.”

Sarra ragu-ragu nak menjawab apa. Bohonglah kalau dikatakan dia tidak lapar sekarang ni. Terasa berat mulutnya ingin menjawab pertanyaan wanita itu.

“Mak cik tahu banyak benda yang Sarra nak tanya. Sebelum tu Sarra kena makan. Perlukan tenaga. Mari ikut mak cik ke dapur.”

Sarra akur seperti yang diminta Hajah Aziah. Diekori langkah wanita itu sehingga ke dapur yang berada di bahagian bawah.

“Duduk la.”

Hajah Aziah mengambil pinggan kaca dan cawan kemudian dibawa ke meja makan. Dia mengangkat tudung saji yang menutup nasi goreng dimasak pagi tadi. Masih banyak lebihan nasi goreng.

Dicedokkan nasi goreng ke dalam pinggan Sarra. Teh panas yang baru dibuat, dituangkan ke dalam cawan Sarra. Semuanya Hajah Aziah lakukan. Tidak berkelip-kelip mata Sarra melihatnya.

“Terima kasih, mak cik,” ucap Sarra.

Hajah Aziah sekadar tersenyum nipis.

Sarra nampak sungguh berselera menikmati nasi goreng yang dimasak Hajah Aziah. Sepertinya sudah berhari-hari dia tidak makan. Apabila dapat makanan seperti ini membuatkan dia sebak. Dia masih diberikan kesempatan untuk merasai semua ini.

Hajah Aziah tambahkan lagi nasi goreng di dalam pinggan gadis itu meskipun tidak diminta. Dia tahu gadis itu segan mahu menambah nasi. Sambil gadis itu makan, dia memerhatikan wajah gadis itu.

Cantik sungguh gadis berbangsa Cina ini.

“Kamu ingat tak apa yang terjadi semalam?” Soal Hajah Aziah selepas gadis itu habis makan.

Kejadian semalam? Apa yang Sarra ingat, dia dikejar sekumpulan lelaki dan dia masuk ke dalam perkarangan masjid. Dia menyorok di situ dan ada seorang pemuda yang telah menyelamatkannya daripada tertangkap. Dia yang terlalu buntu ketika itu telah merayu pada pemuda itu agar menolongnya.

Apa yang terjadi selepas itu, dia tidak berjaya mengingati. Hari ini dia tersedar dari tidurnya di dalam rumah seseorang. Adakah ini berkait rapat dengan pemuda semalam?

“Semalam mak cik jumpa kamu bersama dengan anak mak cik. Tiba-tiba kamu pengsan.” Penjelasan Hajah Aziah berjaya merungkaikan segala persoalan yang bermain di fikiran Sarra.

Hajah Aziah menegur Irfan semalam bertanyakan apa yang terjadi apabila melihat kedudukan Irfan dan gadis itu. Tanpa disangka gadis bersama Irfan itu tiba-tiba pengsan. Masing-masing terperanjat.

Apabila Hajah Aziah bertanya siapakah Sarra kepada Irfan. Lelaki itu terkelu seribu bahasa. Dia sendiri tak kenal gadis itu. Baru bertemu tidak sampai 10 minit. Dalam keadaan yang kelam-kabut, Hajah Aziah meminta bantuan orang lain untuk mengangkat gadis itu masuk ke dalam kereta.

“Saya dah menyusahkan mak cik sekeluarga.” Sarra rasa bersalah selepas mendengar cerita Hajah Aziah. Kenapa la ketika itu juga dia nak pengsan.

Gelengan kepala dibalas Hajah Aziah. Siapa saja yang berada di tempat dia pasti akan menolong Sarra. Ada satu perkara yang mengganggu fikiran wanita itu iaitu luka-luka di badan Sarra. Sewaktu dia menyalin pakaian Sarra semalam, dia mendapati banyak luka di tubuh kurus itu. Dia tahu itu adalah luka kesan dipukul.

Irfan ada menjelaskan kepada Hajah Aziah yang gadis itu dikejar sekumpulan lelaki. Seandainya Irfan tidak menyelamatkan Sarra, pasti Sarra sudah ditangkap.

“Mak oh mak.”

“Tak ada salam. Terus muncul kat dapur ni. Terkejut mak.”

Tersengih Safura yang berdiri di muka pintu dapur itu. Dia memandang Hajah Aziah dan Sarra bersilih ganti.

“Along dah bagi salam tadi. Mak yang tak dengar.” Safura menanggalkan seliparnya kemudian melangkah masuk ke dapur bersama menjinjit barangan dapur di tangannya. Dia mengambil semua barang ini di kedai runcitnya yang diusahakan bersama suaminya.

Safura meletakkan barangan dapur di atas meja makan. 

“Abah mana?”

“Abah kamu pergi kebun.” Kebiasaan Hajah Aziah akan mengikut suaminya pergi ke kebun yang tidak jauh dari rumah mereka. Namun, disebabkan ada tetamu di dalam rumah mereka, dia membuat keputusan untuk duduk di rumah saja sehingga Sarra sedarkan diri.

Sarra membawa pinggan berserta cawan yang digunakan tadi ke singki. Dia mula membasuh dengan diam sambil mendengar perbualan Safura dan Hajah Aziah. Anak-beranak itu mula berborak kosong.

“Mak...” Safura menyiku lengan maknya sebaik saja Sarra meninggalkan dapur kerana pergi ke bilik air. Sejak tadi dia menunggu Sarra pergi dari dapur. Ada sesuatu yang mahu ditanyakan kepada Hajah Aziah.

“Hmm...” Itu saja yang dibalas Hajah Aziah.

“Apa nama budak cina tu?”

“Nama dia Sarra. Cantik kan dia.” Menyempat Hajah Aziah memuji kecantikan gadis itu.

“Amboi mak. Terus puji dia. Nak jadikan menantu ke?”

Hajah Aziah menggeleng kepalanya sambil tertawa kecil.
 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro