Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 8

"Su Milah datang tadi. Datang merisik," beritahu Mek Dilah.

"Berapa kali dia nak merisik? Bukan ke Nora dengan Si Irsyad tu dah bertunang dah pun? Tunggulah cukup tempoh macam yang kedua-dua keluarga dah setuju tempoh hari kalau ya pun nak berbincang pasal majlis kahwin. Lelah buat majlis tunang Nora pun belum hilang, dia dah datang nak bincang tentang majlis kahwin pula?" Pak Rashid terus membebel.

Baru dua minggu kut budak-budak tu bertunang, agak-agaklah kalau nak bincang pasal majlis kahwin pun.

"Hesy, awak ni! Dia datang bukan nak merisik Nora, tapi nak merisik Manis." Suara Mek Dilah kedengaran begitu teruja.

Terhenti tangan Manis yang sedang asyik membasuh beras di dalam periuk. Su Milah? Bukan ke Irsyad tu anak sulung Su Milah? Memanglah ada tiga orang lagi adik lelaki Si Irsyad tu, tapi semuanya masih bersekolah. Jadi, merisik aku untuk siapa? Hei, tolonglah! Aku tak mahu anak ikan. Fikiran nakal Manis mula berfikir yang bukan-bukan.

"Anak saudara arwah Kamal ada yang berkenan dengan Manis, minta Su Milah tolong tanyakan. Dia terpandang Manis masa majlis bertunang Nora tempoh hari katanya."

Mata Mek Dilah mengerling ke arah Manis yang diam tidak berkutik dari tadi. Langsung tidak memberikan apa-apa reaksi. Tak macam Nora. Bukan main teruja dan seronok lagi waktu keluarga Irsyad datang meminang tempoh hari.

"Saya minta tempoh seminggu untuk kita anak-beranak berbincang. Lagipun, saya perlu tanya pendapat awak sebelum beri kata putus. Awak kan abahnya. Takutlah saya pandai-pandai nak buat keputusan. Marah pula orang dekat saya nanti." Sempat pula Mek Dilah menyindir sambil matanya menjeling ke arah Manis.

"Rugi kalau Kak Manis tolak pinangan mereka tu, abah. Sepupu Irsyad tu bukan calang-calang kerjanya. Peguam kalau Nora tak salah. Irsyad sendiri yang beritahu Nora," sampuk Nora yang tiba-tiba masuk ke dapur.

Manis menjeling. Kurang senang dengan kata-kata Nora yang seolah-olah mahu ikut campur dalam urusan menentukan jodohnya. Eh, kau ingat aku ni jenis macam kau ke? Pantang dengar orang kerja elok sikit. Mulalah mulut tu nak ternganga. Manis mengutuk dalam hati.

"Hah, kamu dengar tak tu, Manis? Peguam. Rugi abahnya kalau kita tolak jodoh yang baik macam ni. Macam mana kalau esok saya beritahu Su Milah yang kita setuju kalau anak saudaranya tu masuk meminang?" Mek Dilah tidak mahu bertangguh lagi. Jodoh yang baik kata orang tak selalu datang.

"Mak tak mahu minta pendapat Manis ke? Bukan ke persetujuan Manis yang sepatutnya mak tanya terlebih dahulu?"

Akhirnya terlontar juga kata-kata yang Manis simpan dari tadi. Sakit hati pula melihat mak dan adiknya yang beria-ia. Dia yang tuan empunya badan langsung mak buat tak peduli.

"Kamu tu anak dara. Masih lagi di bawah tanggungjawab mak dan abah. Kami yang lebih berhak buat keputusan untuk kamu. Lagipun, atas alasan apa kamu nak tolak risikan Su Milah tu? Kamu fikir senang ke nak dapat jodoh yang baik macam ni?"

Suara Mek Dilah sudah naik nadanya. Geram bila Manis seolah-olah mahu mengajarnya pula. Dia kan mak, dia tahulah apa yang dia buat. Manis tu apa yang tahu?

"Manis tak kata nak tolak. Cuma Manis minta diberikan hak untuk buat keputusan," bidas Manis.

Mak jangan lupa, dia bukan anak-anak kecil lagi yang mak boleh buat sesuka hati macam dulu. Dia pun berhak ke atas hidupnya. Lagipun, dia yang nak berkahwin, bukannya mak!

"Kamu dah ada teman lelaki? Apa kerjanya? Anak siapa? Orang mana? Kalau ada, kamu suruh dia datang ke rumah jumpa mak dan abah."

Manis terdiam. Teringat janji yang pernah dia dan Hizbur buat dulu. Tapi... Hizbur cuma suruh dia tunggu sehingga Hizbur pulang. Tak ada pula Hizbur berjanji yang dia nak masuk meminang. Manis mengeluh dalam hati.

"Kamu jangan nak banyak cerita ya, Manis. Kamu tak terasa apa-apa ke bila orang sibuk bertanya kenapa Nora yang bertunang dulu dan bukannya kamu? Ini dah ada orang datang merisik, keluarganya pun baik-baik, kerja pun elok, apa lagi yang kamu mahu?" leter Mek Dilah.

Sikap Manis kadang-kadang sukar untuk difahami. Nampak lembut, tapi memberontak dalam diam. Itu yang dilarang, tapi itulah yang dibuat Manis. Tengoklah dulu, dilarangnya Manis sambung belajar, senyap-senyap Manis masuk kelas yang dianjurkan GiatMara.

Memanglah dia tak perlu keluarkan sesen pun wang untuk Manis sambung belajar dalam bidang kemahiran tu, tapi dia juga yang susah nak menguruskan kerja-kerja rumah sepanjang Manis menghadiri kelas.

Marahnya makin berganda lepas itu, ingatkan lepas habis belajar tu mudahlah Manis dapat kerja. Sudahnya, habuk pun tak ada. Itulah, degil sangat! Mujurlah kedai serbaneka di pekan tu nak guna pekerja. Rezeki Manis, terpilih bekerja di situ selepas hadir temu duga.

Pada mulanya dia larang juga, tapi Manis tu keras kepala bukan main lagi. Nak juga keluar bekerja. Akhirnya dia diam bila setiap bulan Manis tak lokek hulurkan wang belanja dapur. Sekurang-kurangnya ringanlah sedikit beban.

Nak mengharapkan Zuhdi, kata Zuhdi banyak yang perlu dibayar tambah-tambah bila tinggal di kota besar. Mana nak bayar ansuran kereta, makan minum mereka suami isteri, sewa rumah, tol. Pendek kata, asal bergerak aje semuanya memerlukan duit. Tambah-tambah Si Aida, isteri Zuhdi tu tak bekerja pula. Semuanya Zuhdi kena tanggung seorang diri.

"Betul cakap mak tu, kak. Kalau nak ditunggu jodoh yang lain, entahkan ada, entahkan tidak. Jangan sampai nanti akak mereput jadi anak dara tua pula dalam kampung ni. Masa Nora bertunang dulu pun, semua orang duk bertanya tentang akak tau. Kenapa akak tak kahwin lagi?" Nora pun bukan main lagi jadi nasi tambah.

Manis menjeling tajam.

"Tak payah nak sibuk hal jodoh aku. Aku kahwin atau tidak, orang lain tak perlu nak susah-susah. Apa? Kalau aku tak kahwin sampai ke tua, beri kesan kepada ekonomi negara ke?" sindir Manis halus. Biarlah kalau maknya pun nak terasa sama. Memang Manis tujukan ayat tu kepada maknya juga.

"Eh, berlagak pula budak ni! Orang fikirkan demi kebaikan dia, dia pula nak menyindir kita. Bukan main lagi kamu ya, Manis. Kamu fikir kamu tu ada rupa hingga orang datang beratur depan tangga rumah ni meminang kamu? Atau kamu fikir kamu tu belajar tinggi macam orang lain ke hingga tak perlu dengar pandangan mak ni?"

Malas Manis mahu terus tunggu di situ. Balik-balik ayat yang sama juga yang mak dan Nora ulang. Mahu dia menerima pinangan itu. Manis tahulah, yang mak tak suka dia tinggal di rumah ni lama-lama. Memanglah dia ada menghulurkan duit belanja, tapi tidaklah sebanyak mana.

Lagipun, mak bukan tak tahu, setakat jadi pembantu kedai serbaneka di pekan tu, berapa sangatlah gaji yang dia dapat? Lainlah Nora dan Zuhdi. Habis aje belajar terus masing-masing dapat kerja. Gaji pun lumayan. Itu yang mak suka sangat nak bandingkan dia dengan anak-anak yang berdua tu. Ah, stres betul Manis dibuatnya.

"Sudah! Jangan sesiapa pun pandai-pandai buat keputusan bagi pihak Manis. Biar Manis fikir sendiri, dia yang nak kahwin, biar dia yang tentukan. Sama ada dia terima atau menolak, kita terima saja. Awak pun sama Dilah, awak jangan nak paksa budak tu pula. Saya tak suka!"

Dari tadi Pak Rashid perhatikan saja. Malas nak ikut berbahas. Tapi dia bersetuju dengan Manis. Ini soal hidup Manis, jadi biar Manis yang tentukan. Dia pun malas tunggu lagi di situ. Baik dia keluar ke kedai kopi. Hilang sikit serabutnya dengan macam-macam hal yang jadi dekat rumah ni.

Mek Dilah mendengus kuat. Sakit hati bila suaminya menyebelahi Manis. Sukalah Manis tu bila abahnya ada sebagai penyokong.

"Mak, kita kena paksa juga Kak Manis terima pinangan tu. Rugi mak kalau kita tolak." Nora tak habis-habis lagi mahu mencucuk jarum.

"Hurm... Mak tahulah kamu tu memang nak suruh Manis tu kahwin cepat-cepat. Kamu takut nanti abah kamu suruh kamu yang pindah keluar dari rumah ni, kan?" tebak Mek Dilah.

Nora tersengih-sengih.

Rumah mereka ni ada tiga bilik aje. Satu bilik dah tentulah bilik dia dengan Pak Rashid. Dua buah bilik lagi, bilik Manis yang dikongsi dengan Nora dan Nurul dan sebuah bilik lagi, bilik Zuhdi.

Nurul tak jadi masalah. Lagipun dia dah tinggal di asrama, jadi sesekali aje balik ke kampung. Yang jadi masalahnya, Manis.

Nora dah beritahu awal-awal yang Su Milah tak benarkan mereka menumpang tinggal di rumah tu. Irsyad pun ada ramai adik yang di bawahnya. Jadi, selepas berkahwin nanti, Nora minta izin nak tinggal buat sementara waktu hinggalah mereka dapat cari rumah sewa yang lain.

Masalahnya, bilik Nora tu berkongsi dengan Manis. Kalau Nora dan Irsyad pun nak duduk di rumah ni, di mana pula nak diletakkan Manis tu? Nak tumpang di bilik Zuhdi, mahu mengamuk pula Zuhdi tu nanti.

Kalau Pak Rashid tahu, sah Nora dan Irsyad yang disuruhnya cari rumah lain dan bukannya merampas bilik yang diduduki Manis tu. Aduh, pening kepala Mek Dilah memikirkannya. Jadi, penyelesaian yang terbaik sekarang ialah kahwinkan Manis cepat-cepat, biar Manis yang keluar dari rumah ni.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro