Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 7

Hizbur berlari-lari anak. Cuba untuk melarikan diri daripada kesejukan yang mencengkam hingga ke tulang hitam. Hampir tujuh tahun dia di sini, namun dia tetap tidak dapat menyesuaikan diri bila tibanya musim sejuk.

Kedua-dua tangan dimasukkan ke dalam poket, sambil langkahnya terus diatur laju. Dua tiga hari ni, hidungnya sudah terasa tidak selesa. Sudah ada bunga-bunga mahu terkena selesema. Dia paling tidak sukakan selesema. Makan tidak berasa apa, nak menghidu bau jauh sekali.

Dia mendaki menaiki tangga yang menempatkan rumah sewa yang dikongsinya bersama lima lagi pelajar yang lain. Rumah yang sederhana besar, ada tiga bilik, lengkap dengan pemanas yang sangat mereka perlukan tambah-tambah pada musim sejuk begini.

"Kau dari mana?" tegur Rahman, kawan yang dia kenali di lapangan terbang sebelum meninggalkan Malaysia dulu.

"Aku ke rumah Hasim. Nak pulangkan buku yang dipinjamkan kepada aku. Dah dua tiga hari dia bertanya, aku pun asyik terlupa aje."

Terbersit rasa bersalah kerana dah menyusahkan Hasim, kawan yang berasal dari Indonesia itu. Tempoh hari Hasim meminjamkan dia beberapa buah buku yang mahu digunakannya untuk menyiapkan projek tahun akhir.

Tapi entah apa sudah jadi dengan dirinya, setiap kali Hasim bertanya, setiap kali itulah dia terlupa untuk membawa buku itu bersama.

Padahal dah berkali-kali diingatkan pada diri sendiri, juga dah diletakkan buku itu di tempat yang mudah dia nampak, pun dia terlupa juga. Lantas hari ini, alang-alang dia ingat, langsung terus dihantarnya buku itu ke rumah sewa Hasim.

"Sejuk-sejuk macam ni, kalaulah dapat ubi kayu bakar dengan air kopi kan sedap." Rahman mula memasang angan-angan. Hizbur menelan liur. Terus hatinya teringatkan kampung halaman.

Manis, awak ingat janji kita, kan? Tunggu, ya. Dah tak lama dah, Manis. Saya akan pulang, saya akan cari awak nanti, desis Hizbur dalam hati.

Hizbur tersenyum dalam hati. Senyumannya tambah lebar bila teringatkan surat Manis yang baru diterimanya kelmarin.

Belum sempat dia buka dan baca pun lagi. Tunggulah, ada masa nanti, baru dia balas. Sekarang ni dia terlalu sibuk. Malah nak teringatkan Manis pun dia perlu pandai-pandai curi masa.

Manis mendekatkan muka ke cermin. Tangannya cuba mengambil bulu mata yang gugur di atas pipi. Hairan! Sejak dua menjak ni bukan main banyak lagi bulu matanya yang gugur. Mahu nanti kalau berterusan dia terpaksa memakai bulu mata palsu pula.

Erm... Kata orang kalau bulu mata gugur, itu tandanya ada orang yang rindu. Siapa pula yang nak rindukan aku? Ada orang yang ingat pada aku pun belum tentu. Manis menjuihkan bibir. Tiba-tiba dia teringatkan seseorang. Ah, beranganlah kau, Manis!

"Dah pukul berapa ni? Kamu belum bersiap lagi ke, Manis?" Suara Mek Dilah sudah nyaring melaung dari halaman rumah.

Manis mendengus. Mak ni nak suruh sekampung dengar agaknya.

"Dah, dah siap dah. Nak turunlah ni."

Manis cepat-cepat mencapai beg galas yang sering dibawanya keluar pergi bekerja. Dia bukannya bekerja macam Nora, sesuai pakai beg tangan. Kerja pembantu kedai serbaneka macam dia, janganlah nak melawa sangat, tak padan dengan gaji tu.

Huh! Bila diingatkan kata-kata Nora tu, rasa mahu dikeronyokkan mulut Nora tu jadi roti canai. Memang anak mak betul! Sebiji-sebiji ayat Nora tu diambil daripada ayat-ayat yang biasa dia dengar daripada mak mereka.

"Bersiap bukan main lama. Muka tetap macam tu juga."

Manis diam. Kunci skuter dimasukkan ke dalam sarangnya. Dipicitnya suis. Menderum bunyi skuter yang baru bulan lepas habis bayaran ansurannya.

"Tak tahu nak salam mak sendiri ke sebelum pergi kerja tu? Nanti tengah jalan kena lenyek dengan bas baru kamu tahu. Pergi kerja tak dapat berkat."

Manis turun semula dari skuternya. Enjinnya dibiarkan terpasang begitu saja. Bukannya ada orang nak curi pun. Seram juga dia dengan ayat yang dituturkan Mek Dilah tadi. Kata-kata mak kan sama macam doa. Tapi masalahnya, jarang benar mak doakan yang baik-baik untuk dia.

Manis menghulurkan tangan tanpa suara. Bimbang kalau bersuara, dia juga yang bakal kena.

"Nak suruh bersalam pun bukan main susah lagi. Dosa dengan mak ni buat hari-hari."

Haih, tak bercakap pun kena juga? Manis laju menuju ke skuternya semula selepas belakang tapak tangan maknya dicium. Lama-lama nanti bukan sahaja punch cardnya bakal merah, tapi takut lagi banyak ayat yang bukan-bukan keluar dari mulut Mek Dilah.

Orang dahlah nak pergi kerja, mak pula doa yang bukan-bukan. Manalah hati ni tak mahu dup dap dibuatnya? Sempat Manis mengomel dalam hati.

Remy termenung sambil memandang fail yang bersusun di atas meja. Bukan soal kerja yang sedang bermain dalam fikirannya. Tapi soal hati. Ah, dah dua minggu hatinya dah tak tenang macam selalu.

Dia mencapai telefon bimbit yang diletakkan di atas meja. Dikuis-kuisnya skrin dengan menggunakan jari. Sekali lagi gambar itu direnungnya. Biarpun wajah gadis itu hanya nampak sipi-sipi, tapi dia dah rasa cukup puas hati. Bolehlah untuk buat ubat menghilangkan rindu.

Kata Irsyad, kakak tunangannya tu belum berpunya. Umur baru masuk dua puluh empat tahun. Remy tersengih lagi. Padanlah dengan dia yang dah masuk umur tiga puluh tahun. Kalau dia kahwin dengan Manis, memang bagai pinang dibelah dua.

Ah, tak boleh jadi ni! Aku kena beritahu mak. Aku nak kahwin dengan bakal kakak ipar Irsyad tu. Remy memasang tekad. Walaupun ada sedikit debar, namun mahu tak mahu, dia harus suarakan hajatnya malam ni. Mak, Remy nak kahwin!

"Apa? Kamu nak kahwin?" Suara Puan Meriah dengarnya seakan-akan tidak percaya. Tak ada angin, tak ada ribut, tiba-tiba aje Remy beritahu yang dia nak kahwin.

"Ya," jawab Remy ringkas.

"Kamu ni betul-betul ke main-main?"

Remy mengeluh. Bila dia tak sebut pasal kahwin, mak sibuk bertanya. Bila dia betul-betul nak kahwin, mak pula macam tak mahu percaya.

"Betul-betullah, mak. Takkanlah soal nikah kahwin ni Remy nak buat main-main? Mak ni bila Remy serius, mak pula tak mahu percaya. Sungguh ni, Remy nak kahwin."

"Bukan mak tak percaya. Kamu manalah pernah bawa balik mana-mana perempuan sebelum ni untuk diperkenalkan kepada mak. Tahu-tahu malam ni kamu kata nak kahwin."

"Remy tak akan bawa balik mana-mana perempuan selagi belum ada ikatan yang sah."

Wah, ayat! Macam stok lelaki baik-baik aje, kan? Eh, memanglah dia lelaki yang baik. Dia tak pernah bercinta, jauh sekali mempermainkan hati perempuan. Dunianya selama ini hanyalah rumah, tempat kerja dan Puan Meriah aje.

"Dah tu, kamu tak berkawan dulu ke dengan budak perempuan yang kamu suruh mak pinang ni?"

Pantas Remy menggeleng.

"Kamu kenal dia dekat mana?"

"Masa ikut rombongan Irsyad bertunang hari tu."

Mata Puan Meriah hampir terjegil keluar. Eh, budak Remy ni... Betul ke tidak cerita dia ni?

"Amboi, sempat pula kamu main mata masa orang sibuk-sibuk dekat majlis tu, ya? Siapa orangnya?"

Remy garu kepala. Nak cakap ke tak? Tapi kalau tak cakap, mak tak tahu siapa pula yang nak dipinang tu. Tapi kalau dia cakap, mak mesti terkejut besar.

"Erm... Bakal kakak ipar Irsyad."

"Maksud kamu, kakak tunang Si Irsyad tu ke?"

Bibir Remy melarik senyum. Kepala dianggukkannya sekali.

"Kamu berhubung dengan dia ke lepas majlis tu?"

"Tak pun. Dia pun tak tahu yang Remy suka dia."

Allah... Complicatednya kisah cinta anak bertuah ni! Puan Meriah mengeluh dalam hati.

"Habis tu?"

"Mak tolonglah minta mak usu risikkan dia untuk Remy. Kata Irsyad, dia tu belum berpunya. Nama dia Manis, mak jangan tersalah orang pula. Remy nak kahwin dengan Manis aje. Masam, masin, pahit semuanya Remy tak mahu. Remy nak Manis."

Puan Meriah menjeling. Gatal semacam pula dia lihat Remy malam ni. Beginilah agaknya bila seru nak kahwin tu dah sampai.

"Hurm... Yalah, yalah. Nanti mak minta mak usu kamu tanyakan."

"Jangan tangguh-tangguh, mak. Takut Manis tu nanti ada orang lain yang pinang dulu," gesa Remy macam orang yang tak menyempat-nyempat nak kahwin.

"Amboi, kalau dulu orang suruh kahwin bukan main dia mengelak. Sekarang bukan main dia menggesa orang. Nampak kemaruk benar kamu ni nak berbini ya, Remy."

Remy tersengih. Biarlah mak nak menembak dia banyak-banyak pun, Remy dah tak peduli. Yang penting dia tak mahu hajatnya itu dilambat-lambatkan.

"Dulu Remy belum jumpa Manis. Sekarang dah jumpa. Jadi seru nak kahwin tu dah sampai, Remy nak buat macam mana?"

Panjang cebikan Puan Meriah. Namun dia gembira, akhirnya Remy mahu berkahwin juga.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro