Bab 6
Wajah Nora yang dah siap bersolek nampak lain benar. Cantik! Yalah, kulit dia kan putih, letaklah warna apa pun pada mukanya tetap nampak cantik.
Pakailah baju warna hijau serindit, atau merah kepala lori pun, tetap nampak berseri. Cuba kalau aku yang kulit kelabu asap ni? Pakai apa pun tak lawa. Payah nak padankan warna kata orang. Manis mengeluh.
"Hai, mengeluh nampak? Kenapa? Hati terasa ke adik dah bertemu jodoh tapi awak tu belum?"
Eee... Kalau boleh dikoyak mulut mak udanya, dah lama Manis buat. Mulut tu kalau tak menyindir, tak menyakitkan hati orang, agaknya tak pernah senang. Sukalah mak uda, anak saudara kesayangan dah bertemu jodoh dulu.
"Tak kesah pun..." jawab Manis selamba.
"Ya ke tak kesah? Mulut bolehlah menipu, tapi dalam hati tu siapa yang tahu?" Tersengih-sengih mak udanya memandang Manis. Dia memang dah lama geram dengan Manis. Anak saudara yang ini memang suka menjawab, tak padan dengan rupa. Mulutnya lancang tak macam Zuhdi dengan Nora.
"Mak uda tahu ke hati saya? Atau dulu, macam tu la perasaan mak uda bila tengok orang lain kahwin? Mak uda pun kahwin masa usia dah masuk tiga puluhan rasanya. Mesti hati mak uda tak senang bila tengok adik mak uda dah kahwin, kawan-kawan mak uda dah kahwin, kan?
Tapi saya bukan macam mak uda, jadi tak payahlah nak menyamakan perasaan mak uda dulu dengan perasaan saya sekarang. Banyak lagi benda lain yang saya nak fikir selain dari kahwin!"
Mujurlah waktu itu Manis ternampak Cik Minah melambai-lambai tangan ke arahnya. Terus ditinggalkan mak udanya terkulat-kulat di situ. Eh, lantaklah kalau mak uda nak kata mulutnya lancang sekalipun. Sejak dia kecil, ada mak uda fikir perasaannya?
Mak uda lupa agaknya, bagaimana layanan mak uda terhadap dia? Dia ni macam melukut di tepi gantang. Nak tumpang bergambar dengan kamera milik mak uda pun, mak uda tak benarkan. Katanya wajah Manis tak fotogenik. Ambillah beratus keping pun, tetaplah muka Manis tu tak lawa dalam gambar.
Tak macam Zuhdi dengan Nora. Haih, mulalah hati ni nak mengenang kisah dulu-dulu. Manis mengeluh lagi. Kisah waktu kecilnya rasa dah tak mahu diingat. Banyak yang pahit berbanding manis.
"Ada apa, Cik Minah?" Suara Manis separuh berbisik.
"Ni keluarga sebelah Irsyad ni, nak beri penganan ke tidak?" Cik Minah turut berbisik dekat pada telinga Manis.
Penganan atau sebenarnya merujuk kepada bungkusan yang berisi kuih-muih dan lain-lain buah tangan untuk diberikan kepada keluarga pihak lelaki memang dah menjadi tradisi dalam kampung itu. Cuma, mungkin Cik Minah bertanya memandangkan Irsyad dengan Nora ni tinggal dalam kampung yang sama.
"Beri ajelah. Nanti Manis minta orang dekat dapur bungkuskan."
Cepat-cepat Manis buka langkah. Kata orang, baik ada daripada tak ada. Nanti jadi isu pula, mentang-mentanglah sekampung, Mek Dilah terus tak mahu beri penganan buat sebelah pihak lelaki. Untunglah Mek Dilah kalau macam tu.
Hai, kalau sampailah ke telinga mak cerita-cerita yang macam tu, teruk Manis dibebelnya. Yalah, maknya nak lepaskan marah kepada siapa lagi kalau bukan dia?
Selesai urusan di dapur, Manis juga yang bawa keluar bakul yang berisi bungkusan penganan untuk diagihkan kepada sebelah pihak lelaki yang ikut serta dalam rombongan pertunangan tadi. Matanya terintai-intai juga mencari Zuhdi. Bukan sebab rindu tapi sebab hati yang rasa berbuku.
Tak semena-mena, dia terpandang Zuhdi suami isteri yang duduk di bawah kanopi jamuan. Haih, berapa kali ulang makan ni? Tak tahu ke nak tolong orang di bawah bangsal memasak ke, di dapur ke? Sibuk nak mengulit kenangan makan beradap agaknya.
Tapi jangan ditegur, nanti ditempelak Zuhdi, siapa suruh susah-susah memasak dan merewang di rumah? Kalau tempah katering aje kan senang? Ini bila penat mulalah nak merungut. Dan akhirnya, dia juga yang dituduh tak ikhlas buat kerja. Ah, Zuhdi... Dalam dunia ni, dia ajelah yang ikhlas.
Manis segera menyerahkan bakul itu kepada Cik Minah. Mujur juga ada Cik Minah dan jiran-jiran sekampung yang lain. Nak harapkan ahli keluarga sendiri yang datang menolong, memang tidaklah.
Masing-masing sibuk melaram baju baru dan tak habis-habis bergambar. Nak singsing lengan mengupas bawang, membersihkan ayam ataupun membasuh pinggan, memang tidaklah jawabnya.
Dalam pada kalut, Manis tidak sedar, ada mata yang sedang memerhatikannya dari tadi. Mata yang hatinya tiba-tiba terasa sesuatu. Suatu perasaan yang indah, yang belum pernah dia rasa sebelum ini.
Siapa nama gadis yang bertudung ungu ni tadi? Manis? Ya, memang manis pun orangnya. Bermata hitam pekat, berkulit sawo matang, dan ada lesung pipit di pipi kirinya. Manisnya awak!
"Remy, kau nak balik terus petang ni ke?"
Mata Irsyad mengecil. Lain macam dilihatnya Remy sejak pulang dari rumah Nora. Sedap sangat ke penangan nasi hujan panas hasil air tangan Wak Yunus hingga Remy dah macam orang mabuk kepayang dibuatnya? Dipanggil berkali-kali pun Remy tak dengar.
Dia memang tak ikut serta dalam rombongan tadi, nanti dikata orang nampak sangat gelojohnya. Lagipun dia dengan Nora tu kan sekampung. Nak buat alasan tolong tunjukkan jalan ke rumah Nora, pun tak ada yang akan percaya. Sudahnya, duduklah dia di rumah menunggu kiriman gambar daripada sepupu-sepupunya yang lain.
"Remy!" Suara Irsyad sedikit kuat. Geram pula dia melihat Remy yang tak habis-habis berkhayal dari tadi. Wak Yunus masak nasi ganja ke nasi hujan panas ni? gerutu Irsyad dalam hati.
"Apa? Kau ni panggil tu macamlah aku ni jauh sangat. Tak sampai pun satu meter kut."
"Habis tu kalau dah panggil lebih sepuluh kali tak menyahut, mahu tak hilang sabar aku dibuatnya?"
"Ah, kau kalau bercakap tu tak pernah tak melebih-lebih," bidas Remy tak mahu kalah. Dia malu sebenarnya sebab ditangkap waktu sedang berangankan seseorang. Seseorang yang baru dilihatnya buat pertama kali. Seseorang yang dah menggoncangkan hati lelakinya.
"Eleh, kalau dah tersengih sorang-sorang tu, mahunya nak dengar kalau orang panggil."
"Kenapa kau panggil aku?"
"Kau nak balik terus ke petang ni? Esok kau dah masuk kerja?" Irsyad kembali semula kepada tujuan asalnya memanggil Remy tadi.
"Tak kut. Pagi esoklah balik. Mak aku dah lama tak jumpa adik-beradik dia, bagilah dia puas sikit. Lagipun tak apa, aku kerja sendiri. Petang esok kalau sempat, aku masuklah ke pejabat sekejap."
"Untunglah, muda-muda lagi dah ada firma guaman sendiri."
Irsyad memang kagum dengan Remy. Sempatlah sepupunya tu bekerja makan gaji dengan salah sebuah firma guaman yang terkenal, tapi tak lama sebelum Remy ambil keputusan untuk membuka firma guamannya sendiri, berkongsi modal dengan dua orang lagi kawannya.
"Orang nampak senang, tapi susah sebenarnya. Dulu hujung bulan, aku just tunggu aje gaji masuk. Sekarang kena fikirkan gaji pekerja sama, kos-kos lain lagi."
Ya. Kalau dulu dia tak perlu risaukan apa-apa, tahunya asal cukup bulan, gaji masuk. Tapi sekarang dia, Firmi dan Khalil juga perlu fikirkan periuk nasi pekerja-pekerja yang bekerja di firma mereka juga.
Mereka perlu pastikan yang setiap bulan mereka mampu untuk membayar gaji semua pekerja dan juga belanja-belanja yang lain. Orang nampak macam senang, muda-muda dah ada perniagaan sendiri, tapi waktu mula-mula nak bertapak dulu, susahnya hanya mereka bertiga yang rasa.
"Hurm... Moga murahlah rezeki sepupu aku ni, nanti bolehlah sponsor apa yang patut untuk majlis kahwin aku nanti. Aminnn..." Irsyad meraupkan kedua-dua tapak tangan ke muka.
Walaupun bibirnya mencebik, namun Remy turut mengaminkan doa Irsyad itu. Ya, moga makin murahlah rezekinya. Bolehlah dia belanja maknya yang selalu menolak bila dibelikan sesuatu. Paling penting, boleh juga dia bersedekah lebih sikit dari biasa.
"Yang tudung ungu tadi tu adik-beradik tunang kau ke?" Remy tiba-tiba bertanya. Kening Irsyad bertaut. Tak pernah-pernah Remy ni bertanyakan anak dara orang, hari ni dah buat tabiat pula ke?
"Kau ni, bertanya macamlah aku pergi ke majlis tu tadi?" tempelak Irsyad.
Lantas tangan Remy menyeluk poket. Mengeluarkan telefon yang disimpan di situ. Dikuis-kuis jarinya, lalu terhenti pada gambar yang tertera wajah si dia. Nak kata jelas sangat pun tidak, sebab langsung si tudung ungu tu tak bergambar di atas pelamin kecil yang dibuat khas untuk majlis pertunangan tadi.
Cik tudung ungu tu nampak sibuk sangat ke sana ke mari. Sebab itulah dia meneka yang gadis itu dari sebelah pihak tuan rumah.
Kalau tak, tak mungkinlah sibuk begitu. Ini pun mujurlah ada juga gambar sekitar majlis yang dikongsikan dalam grup WhatsApp keluarga. Kalau tidak, mungkin wajah si dia tak terakam hari ini.
"Ini. Kau kenal tak ni?"
Irsyad memanjangkan lehernya. Beria-ia melihat gambar yang ditunjukkan Remy.
"Manis?" tanya Irsyad minta kepastian.
"Hah, betul! Aku dengar ada mak cik tu tadi panggil dia Manis." Laju Remy mengeyakan.
"Hurm... Kakak Si Nora ni. Beza umur dua tahun aje mereka berdua tu. Kenapa kau tanya? Takkanlah..."
Remy senyum kecil. Irsyad buat muka tidak percaya. Biar betul Remy ni?
"Ya, aku rasa aku suka dia." Dan senyuman Remy semakin lebar.
Mata Irsyad pula semakin membulat. Manis? Remy suka Manis? Haih, ini betul-betul berita gempar!
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro