Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 5

"Dah siap kemas beg, mak?" Remy bertanya.

Seminggu ni maknya nampak teruja benar nak menyertai rombongan pertunangan sepupunya, Irsyad. Hampir setiap hari bercerita tak sabar nak berjumpa dan berkumpul dengan saudara-mara yang lain.

"Dah siap kemas pun. Kamu?"

Dah dikatanya yang dia boleh pergi sendiri, tapi Remy tetap juga berdegil nak menghantarnya sampai ke sana. Dia bukannya apa, malaslah nak menyusahkan anak-anak. Masing-masing dah bekerja, dah ada komitmen.

"Tak ada apa pun yang nak dikemas. Cukuplah sehelai dua baju dan seluar. Bukannya kita nak pergi lama sangat."

Petang ni kalau tak ada aral, mereka dua beranak akan bertolak ke kampung mak usunya. Dah diajaknya adik-beradik yang lain, tapi semuanya menolak dengan macam-macam alasan.

Anak-anak ada tuisyenlah, tunggu Irsyad kahwin nantilah baru pergi. Remy malas mendesak, hajatnya cuma nak membawa Puan Meriah ke sana.

"Hurm... Irsyad dah nak bertunang, kamu bila lagi?"

Ah, soalan ini lagi! Mak agaknya tak pernah hilang rasa risau selagi dia tak berkahwin. Tambah-tambah bila Irsyad yang muda empat tahun daripadanya dah pun nak bertunang. Remy senyum kecil.

"Biarlah jodoh tu datang sendiri, mak. Mak doakan ajelah yang baik-baik untuk Remy. Yang penting bagi Remy sekarang ni mak. Selagi ada hayat, Remy nak jaga mak. Kalau ditakdirkan Remy berkahwin pun, Remy nak isteri Remy pun boleh terima mak. Sama-sama boleh jaga mak."

Terharu rasa hati Puan Meriah mendengarnya. Inilah satu-satunya anak lelaki dia, bongsu pula tu. Namun mujurlah Remy ni boleh diharap. Sejak habis belajar dan bekerja, Remy tidak pernah jauh darinya. Kalau tak ada Remy, tentu dia hidup sendiri di rumah ini menghabiskan usia tuanya.

"Tapi janganlah sebab nak jaga mak, kamu sampai tak berkahwin pula."

Mahu tidak risau. Anak lelaki sudahlah seorang, walaupun sudah ada ramai cucu, tapi dia tetap mahu lihat Remy berkahwin, punya anak-anak dan keluarga sendiri. Kalau dia dah tak ada nanti, sekurang-kurangnya ada yang akan menemani, menjaga makan minum dan sakit demam Remy nanti.

"Taklah sampai macam tu, mak. Remy bukan tak mahu kahwin sampai bila-bila. Cuma soal jodoh tu, Remy tak mahu mencari. Biarlah jodoh tu datang sendiri."

"Hurm... Kalau tak usaha, celah mananya nak datang jodoh tu?" tempelak Puan Meriah. Geram pula dia dengan sikap Remy yang ambil mudah. Umur Remy dah berapa? Dah masuk tiga puluh tahun kut, nak tunggu jodoh datang sendiri pula katanya? Haih!

"Jodoh Remy kan dah ditentukan di atas sana, mak. Tak payahlah kita susah-susah fikirkan." Ringkas jawapan Remy. Entahlah, dia langsung tak risau soal jodoh. Baginya, kalau ada jodoh tu, maka berkahwinlah dia. Kalau tak ada, dia akan teruskan hidup seperti biasa. Tak perlu pening-pening kepala.

"Ada saja jawapan kamu, kan? Irsyad ni pun untung juga, dapat jodoh sekampung. Berkawan dari zaman sekolah lagi. Senang. Nanti masa raya tak berebut nak balik kampung masing-masing." Mak semuanya tahu. Itu tak ada lainlah tu, sah Usu Milah yang bercerita.

"Remy masa sekolah dulu sibuk belajar, mak. Tak sempat nak bercinta." Sebelum ditembak, lebih baik dia keluarkan peluru yang Puan Meriah ada.

"Mak cakap aje, yang kamu nak terasa sangat tu kenapa?"

Remy ketawa melihat jelingan tajam maknya. Direbahkan tubuh, lalu kepalanya diletakkan di atas paha maknya yang sedang bersila sambil melipat baju.

Puan Meriah menggelengkan kepalanya. Manja Remy tak pernah berkurang.

"Bakal isteri Irsyad tu jururawat kata mak usu kamu. Anak nombor tiga. Padanlah dengan Irsyad, anak sulung. Abang budak perempuan tu dah kahwin. Ada kakak, tapi belum kahwin lagi katanya. Kasihan Irsyad, tak sempat arwah pak usu kamu nak tengok dia kahwin."

Sayu hati pula bila teringatkan arwah adiknya yang meninggal dunia tak sampai pun setahun. Meninggal waktu dalam tidur. Tak ada sakit, tak ada tanda-tanda, tahunya pagi-pagi hari lagi dia dapat panggilan telefon yang mengatakan Si Kamal tu dah meninggal.

Sebab itulah yang dia bersungguh nak ke majlis pertunangan Irsyad, nak meraikan anak saudara dan adik ipar yang dah kehilangan ketua keluarga.

"Mak ni, macam duduk sebelah rumah dengan mak usu. Semuanya mak tahu. Mengalahkan CCTV."

Pap! Laju tangan Puan Meriah menampar bahu Remy. Bukan main lagi anaknya tu mengata dia depan-depan. Remy ketawa kecil.

Selesanya baring di atas riba mak. Mak, moga mak terus sihat, moga dipanjangkan usia mak. Remy belum puas nak bermanja dengan mak, bisik Remy dalam hati.

Aduh! Nak patah rasanya pinggang Manis. Sana Manis, sini Manis. Semuanya Manis. Macam dah tak ada orang di dalam rumah tu yang boleh dipanggil namanya. Semuanya kena rujuk Manis. Manis, mana senduknya? Manis, mana periuknya?

Ini kalau aku berkahwin nanti, mahunya atas pelamin pun nama aku dilaung. Nak bersanding pun tak senang! Eh, kahwin? Mimpilah kau, Manis... Hati Manis bermonolog sendiri.

"Manis, orang dah datang nak pasang kanopi tu. Mak kamu panggil, suruh kamu tengok-tengokkan." Cik Minah jiran selang empat buah rumah datang menyampaikan pesanan Mek Dilah. Jari telunjuk Manis lurus menunjuk ke dada sendiri.

"Hah, kamulah! Ada lagi ke sesiapa yang namanya Manis dalam kampung ni? The one and only."

Wah, bukan main lagi Cik Minah yang berumur empat puluh lima puluh tahun tu bercakap bahasa Inggeris! Dekat manalah agaknya Cik Minah ni dengar orang sebut macam tu, ya?

"Yalah, yalah. Sekejap lagi Manis turun tengok-tengokkan."

"Sekejap lagi apanya? Orang dah memunggah barang-barang keluar dari lori tu. Kamu nak dengar suara mak kamu menjerit ke? Kalau Cik Minah, Cik Minah tak sanggup. Baik Cik Minah dengar bunyi kapal terbang berlepas dari dengar suara mak kamu memetir."

Ah, betul juga tu! Mak ni pun satu. Sampai ke hal ehwal bangsal dan kanopi jamuan pun aku yang kena tengok-tengokkan. Macam dah tak ada orang lelaki dalam rumah ni. Zuhdi tu, dari semalam, hinggalah ke hari ni duk berkurung suami isteri di dalam bilik.

Keluar pun, bila nak mandi atau perut tu rasa lapar. Makanan pun siap dibawa masuk ke dalam bilik. Mungkin nak makan sama-sama di atas katil agaknya. Ah, romantik betul! Mengalahkan pengantin baru. Padahal dah masuk setahun lebih kut berkahwin. Jengkel betul rasa hati Manis.

"Yalah! Manis turunlah pergi tengok sekarang."

"Kamu jangan lupa, kain alas meja nanti minta mereka pasangkan sekali. Jangan jadi macam majlis dekat rumah Wak Yunus, tak pasal kena cari kertas minyak nak buat alas. Mengalahkan restoran shellout. Padahal nak makan nasi putih, gulai lemak nangka dengan ikan masin aje pun."

Isy, panjang pula pesanan Cik Minah ni. Lebih panjang dari pesanan mak sendiri.

Manis cepat-cepat berjalan ke muka pintu. Hajat hati tadi nak ambil besen. Orang-orang yang sedang merewang di tengah halaman rumah beritahu besen tak cukup.

Nak letak nenas yang dah siap dikupas kulitnya. Nenas tu cadangnya nak dicampur dengan timun, bawang besar dan lada merah, nak dibuat acar darat. Eloklah acar tu dilawan dengan nasi hujan panas resipi asli turun-temurun Wak Yunus.

Turun ke halaman rumah, kelihatan ada beberapa orang pekerja yang sibuk menurunkan tiang besi untuk dipasang kanopi dan juga meja serta kerusi.

Manis berdecit dalam hati, bertunang aje pun, tapi majlisnya mengalahkan majlis kahwin! Mak kalau pasal Nora, majlis kahwin nanti kalau disuruh Nora buat tujuh hari tujuh malam pun mak sanggup agaknya.

Dulu, waktu Zuhdi berkahwin pun bukan main meriah lagi, siap Zuhdi dan Kak Aida tu diusung dalam tandu. Ada majlis berinai besar dan kecil. Dalam pada mulut mak yang tak berhenti mengadu penat pun, sanggup mak berhari-hari mencari segala bahan nak merebus telur pindang.

Bila dinasihat tak payahlah buat kerja yang susah-susah, rebus ajelah telur tu macam biasa, mak bukan main lagi melenting. Katanya Manis apa tahu? Ini majlis satu-satunya anak lelaki mak. Tentulah mak nak buat yang terbaik.

Sudahnya, lepas selesai majlis Zuhdi, hampir seminggu Mek Dilah demam. Malas Manis nak ambil cuti untuk menjaga maknya, dah tahu badan tu dah tak sekuat dulu, nak juga buat.

Biar Mek Dilah rasa. Kadang-kadang Manis rasa dia jahat juga, tapi Mek Dilah pun bukannya layan dia baik mana. Jadi, Manis rasa memang patut pun sesekali maknya diajar pula.

"Manis, mana extension wire? Orang nak pasang lampu dekat bangsal memasak sana tu."

Ya ampun, kalau boleh dibelah badannya, dah lama Manis bahagikan badannya kepada lapan bahagian. Senang, di sana ada Manis, di sini pun ada Manis. Di mana-mana ada Manis.

"Tanyalah dekat mak atau abah. Semuanya nak tanya Manis."

"Laaa, tanya itu pun kamu dah nak sedih? Mak kamu yang suruh tanya kamu. Kalau dia tahu di mana, mak cik rasa dia dah jawab tadi."

Huh! Mak tu bukan tak tahu, tapi malas nak bergerak. Dah seronok duduk, dah sedap bersembang. Beratlah punggung tu kalau nak diangkat.

"Yalah, sekejap! Manis ambilkan." Dia bergegas memanjat lima anak tangga masuk ke dalam rumah semula.

Hailah Manis, orang lain yang bertunang, orang lain yang panas? Ya, ya, ya. Badan rasa panas, hati pun rasa berbahang. Manis mengomel dalam hati.

Nora langsung tak mahu jamah apa-apa kerja. Nak jaga rupa katanya, takut tak naik seri, Ah, semuanya menyakitkan hati!

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro