Bab 4
Seluruh isi rumah sibuk membuat persiapan pertunangan Nora. Bukan setakat mak dan abahnya sahaja yang sibuk, malah seluruh kaum kerabat malah saudara-mara pun turut sibuk sama. Dah macam mahu mengadakan majlis perkahwinan.
Mak Uda Tina awal-awal lagi mahu sponsor pelamin, sikit pun Manis tak hairan, nak hairankan apa? Nora itu kan anak saudara kesayangan mak uda.
Malah kalau mak uda nak taja dewan dekat hotel lima bintang pun Manis tak pelik. Peliknya kalau mak uda nak sponsor majlis Manis. Erm... Majlis aku? Entah tahun bilalah tu? getus hati Manis sendiri.
"Manis, kau boleh pula ya duduk berehat dekat sini. Kau tak nampak ke semua orang tengah sibuk dekat luar tu? Tahulah ni bukan majlis kau. Tapi takkanlah nak suruh Nora yang buat semua kerja sedangkan ini majlis dia?"
Zuhdi yang tiba-tiba muncul entah dari mana, terus marah-marah. Siap tangannya dicekakkan ke pinggang. Pintu bilik yang tidak dikunci Manis, dibukanya luas-luas.
Bertaut kening Manis dibuatnya. Kalau tak dikenangkan ramai orang yang berada di rumah mereka ketika ini, sudah lama disemburnya Zuhdi. Dari kecil sampai ke besar, tak habis-habis mahu cari pasal.
"Mata kau ni letak dekat lutut ke? Nampak tak apa yang aku tengah buat ni?"
Spontan mata Zuhdi beralih kepada kain yang sedang dipegang Manis.
"Kau tak payahlah susah-susah buang duit buat baju baru. Kau tu pakai apa pun tetap sama. Kalau dah hodoh tu, hodoh juga." Zuhdi ketawa mengejek. Ah, Manis! Kalau dah namanya gelap tu, celah mana pula datang lawanya?
"Eh, ni baju Noralah!"
Geram pula Manis mendengar ketawa Zuhdi yang nampak sangat sengaja dibuat-buat. Bukan apa, sengaja nak menyakitkan hati dialah tu. Bukannya dia tak tahu.
Nora pun satu, waktu orang sibuk inilah dia minta tolong jahitkan manik pada lengan baju. Kenapalah tak disuruhnya tukang jahit tu jahitkan sekali waktu tempah hari tu?
"Oh, baju Nora. Kalau Nora yang pakai, memang cantiklah. Kulit dia tu putih, macam aku. Pakai apa pun cantik," balas Zuhdi selamba.
Manis mengetap bibir. Walaupun kata-kata itu selalu didengarnya, tapi entah mengapa, sakit itu tidak pernah berkurang.
"Dah siap nanti, cepat keluar. Jangan nak berkurung aje. Berkurung pun tak menjadikan kulit kau tu putih."
Tangannya meramas kain yang sedang dipegang. Kurang ajar kau, Zuhdi! Manis rasa mahu menjerit. Tapi ditahannya hati. Kalau dia marah pun, apa yang dia dapat? Silap-silap dia pula yang bakal dimarah mak nanti. Berani dia berkurang ajar dengan Zuhdi? Zuhdi kan putera mahkota di dalam rumah ni.
"Nanti kau tolong bancuhkan air limau. Jangan manis sangat. Aida dah dahaga tu. Dekat luar tu cuma ada air sirap aje. Dia tak minum air sirap. Lepas siap air tu nanti, kau hantarkan ke dalam bilik aku. Ketuk dulu pintu sebelum masuk, jangan nak pakai redah aje."
Manis buat muka meluat. Isteri kau yang nak minum, dah kenapa aku yang kena buatkan?
"Dia isteri kau, kan? Jadi, bukan tanggungjawab aku nak layan permintaan dia yang nak minum macam-macam tu. Semua orang di dalam rumah ni tengah sibuk. Kau pergilah bancuh sendiri. Kata orang, air yang dibancuh suami sendiri tu lebih afdal. Rasanya pun lebih sedap."
Zuhdi mengetap bibir. Kecil-kecil anak dipandangnya Manis. Betullah kata mak, Manis dah pandai melawan sejak dah bekerja sekarang. Macamlah kerja tu hebat sangat. Setakat kerja pembantu kedai serbaneka tu yang Manis nak banggakan? Huh!
"Kau kalau tak menjawab, boleh tak? Kau lupa ke yang aku ni anak lelaki? Lelaki di dalam rumah ni tak buat kerja-kerja macam tu. Itu kerja orang perempuan. Kau ni kan, sejak kecil hinggalah dah besar panjang macam sekarang ni, kau masih tak faham-faham lagi ke? Lelaki dalam rumah ni adalah raja. Kau tu orang gaji. Kalau dah taraf orang gaji tu, buatlah cara orang gaji. Tak payahlah nak banyak songeh sangat."
Dada Manis dah berombak kencang. Ayat yang keluar dari mulut Zuhdi tak pernah tak menyakitkan hati.
"Aku tak mahu buat. Kau nak kata apa?" Mata Manis menentang mata Zuhdi dengan berani. Dia memang nekad. Malas nak melayan arahan Zuhdi kali ini. Dia dah bosan dijadikan hamba Zuhdi.
Sekarang ni, bukan Zuhdi aje, Kak Aida isteri Zuhdi tu pun sama naiknya. Mengarah itu ini. Tak padan dengan taraf menantu di dalam rumah ni. Bila Manis menegur, ditempelaknya Manis kata tak tahu nak menghormati tetamu. Tetamu apa kalau berkahwin dengan Zuhdi dah nak masuk setahun pun?
Dah namanya menantu. Bagi Manis, gelaran itu sahaja pun dah menunjukkan yang Aida tu dah jadi sebahagian daripada keluarga mereka, tapi tidak bagi Aida.
Setiap kali datang, setiap kali itulah dia akan berlagak macam tetamu, perlu layanan istimewa daripada semua orang. Makan berhidang, air perlu disua hingga ke mulut. Ah, tak kuasa Manis nak melayan!
"Kau..." Zuhdi mara ke depan. Tangannya diangkat tinggi.
"Zuhdi!" Dua pasang mata tepat memandang pemilik suara garau itu. Segera tangan yang dah terangkat separas bahu tadi Zuhdi jatuhkan.
"Isteri kamu sibuk ke? Dia tengah buat apa?"
Pertanyaan Pak Rashid buat Zuhdi terkulat-kulat. Takkanlah dia nak jawab yang isterinya sedang sibuk melayari Internet dan mengemas kini status di media sosial.
"Dari mula kamu sampai semalam, sampailah ke hari ni, baik kamu, baik isteri kamu, dua-dua berkurung di dalam bilik. Tak nampak ke semua orang tengah sibuk? Kamu tak ada langsung ke rasa nak menolong apa yang patut?
Isteri kamu tu pula, dia ada sakit apa-apa ke sampai langsung tak boleh bergerak? Makan kamu yang ambilkan, siap bawa masuk ke dalam bilik. Dia tak ada hidung ke yang tak boleh nak makan di luar? Orang lain dah riuh-rendah di luar, isteri kamu, pukul sepuluh pagi pun belum bangun tidur. Dia tak rasa malu ke tunjuk perangai macam tu dekat rumah mentua dia?
Ini nak mengarahkan Manis buat itu ini pula. Dia yang nak minum, biar dia buat sendiri. Kalau tidak, minum aje apa yang ada. Kamu tu anak sulung, patutnya kamu pun sama naik sibuknya. Ini majlis adik kamu. Tapi kamu pula yang berkurung mengalahkan pengantin baru. Hairan aku!"
Baik Zuhdi, baik Manis, kedua-duanya langsung tidak bersuara. Sesekali mata Zuhdi menjeling ke arah Manis. Manis ni memang adik tak guna! Abah yang tak pernah marahkan aku, hari ni dah pun tinggikan suaranya. Di depan Manis pula tu. Zuhdi rasa hari ini egonya jatuh tergolek di atas lantai.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro