Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 3

"Tak manis kalau Nora yang kahwin dulu dari Manis. Tunggulah dulu, lagipun Nora baru berapa umurnya? Muda lagi, kan? Tak payahlah terkejar-kejar sangat nak kahwin tu. Kerja dulu, kumpul duit, kumpul harta, barulah fikir soal kahwin. Ini baru aje habis belajar, terus nak kahwin?"

Nora tarik muka panjang. Digoyang-goyangkan tangan maknya beberapa kali, mahu minta sokongan. Janganlah hasratnya dengan Irsyad nak mendirikan masjid ni musnah dek dihalang abahnya pula.

Ini semua Manis yang punya pasal! Dia yang tak kahwin-kahwin, orang lain pun takkanlah tak kahwin juga? Masing-masing nak kena berkorban untuk Manis ke? Untunglah Abang Zuhdi jadi anak sulung. Sebut nak kahwin aje, terus mak dan abah kata on, omel Nora dalam hati. Rasa geram pada Manis mula berbungkal dalam hati.

"Habis tu kalau Manis tak kahwin sampai tua, Nora pun kita nak biarkan jadi andartu sama ke? Awak jangan nak samakan Manis tu dengan Nora. Nora ni ada pelajaran, ada rupa. Mestilah Si Irsyad tu nak cepat-cepat ikat Si Nora ni. Manis tu, setahu saya tak ada berkawan dengan sesiapa, tak ada orang yang datang meminang pun. Jadi, cuba awak cakap kalau Nora ni nak tunggu Manis tu kahwin, jodoh untuk Si Manis tu awak dah ada ke? Saya tak mahu Nora ni mereput semata-mata nak tunggu Si Manis tu kahwin yang entah bila."

Tajam jelingan Mek Dilah hadiahkan buat suaminya. Yang tidak-tidak sahaja cadangannya. Tak mahu langkah bendul kononnya, siapa lagi yang pada hari ni nak berpegang pada adat yang sebegitu?

"Yang tergesa-gesa sangat awak nak kahwinkan Nora ni kenapa? Ada sesuatu yang dah berlaku ke antara Nora dengan Irsyad?"

Sakit juga hatinya bila Manis terus-terusan jadi mangsa cemuhan mak dan adiknya. Tak tahulah dia, apa juga dosa Si Manis tu. Memanglah Manis tu tak menurun bakanya dengan Mek Dilah, tapi Manis tetap anak mereka.

"Eh, yang awak sebut-sebut sangat tu, awak nak ke? Saya ni bang, sebab nak elakkan perkara yang macam tu la saya nak kahwinkan Nora dengan Irsyad ni. Irsyad dah kerja, Nora pun dah kerja. Jadi, yang kita nak simpan anak kita ni lagi nak buat apa? Anak kita ni perempuan, kalau jadi apa-apa, kita yang lebih rasa malunya. Sementara Irsyad mahu, kita kahwinkan ajelah dia orang ni. Bukannya mereka nak buat perkara yang tak baik pun."

"Saya ni bukan apa, kalau Nora kahwin dulu, kasihan Manis. Tentu dia lagi tertekan. Orang kampung ni awak faham-faham ajelah. Tak terjawab Manis tu dengan pertanyaan dan sindiran orang nanti."

Pak Rashid akhirnya meluahkan apa yang berada dalam fikirannya. Bukan dia tak suka kalau Nora berkahwin, tapi dia kasihankan Manis.

Sebab itu, kalau boleh dia mahu biarlah Manis berkahwin dulu dan kemudiannya diikuti oleh Nora. Lagipun umur Nora baru masuk dua puluh dua tahun. Masih muda pada hematnya.

"Manis tak kesah pun, abah. Biarlah Nora kahwin dulu."

Dek rasa tak tahan dirinya yang menjadi topik pertelingkahan dari tadi, Manis akhirnya menyampuk. Dari dalam bilik, dia dengarkan sahaja dirinya menjadi topik utama. Macamlah besar benar dosanya kerana belum bertemu jodoh. Alahai, dia baru dua puluh empat tahun kut, nak kecohkan apa?

Lagipun dia dah reda kalau jodohnya memang ditakdirkan tak ada. Dia tahulah yang dia tak sebijak dan secantik adik-beradik yang lain, tapi perlu ke mak nak menyebutnya berulang kali? Mak tak bosan ke dari dia kecil hinggalah besar, balik-balik ayat itu juga yang disebut mak?

"Hurm... Kalau dah itu kata kamu, abah pun tak boleh nak buat apa. Hah, Nora! Kamu suruhlah Si Irsyad tu masuk meminang kalau dah tak menyempat sangat."

Nora tersenyum lebar. Hasratnya dan Irsyad akhirnya direstui abah dan maknya. Dia tersenyum sinis memandang Manis. Ada satu lagi perkara yang perlu dikhabarkan kepada keluarganya.

"Errr... Ada lagi satu perkara. Keluarga Irsyad dah beritahu yang mereka tak akan beri hantaran atau hadiah untuk Kak Manis. Bajet tak ada."

Biasanya kalau mengikut adat dalam kampung tu, jika adik yang berkahwin dulu dari kakak, pihak lelaki perlu memberikan hantaran kepada kakak ataupun hadiah sebagai tanda penghargaan buat kakak yang telah dilangkau oleh adik dalam soal jodoh.

"Eh, beria-ia nak kahwin, ingatkan dah adalah duitnya. Takkanlah setakat hadiah kain sepasang untuk Manis ni pun Si Irsyad tu tak mampu? Kalau macam tu, tak payah bertunang! Tunggu ada duit, baru datang masuk meminang anak orang."

Naik angin pula Pak Rashid dibuatnya. Amboi, bukan main berkira lagi keluarga Si Irsyad tu, ya. Cuba kalau orang lain dalam kampung ni yang buat macam tu? Mahu berbulan-bulan lamanya berbuih mulut Su Milah, mak Si Irsyad tu duk bercerita. Bukankah dia tu pejuang adat dalam kampung ni? Biar mati anak katanya, adat dilanggar jangan sesekali.

"Abah ni... Hal kecil macam tu pun abah nak besar-besarkan." Suara Nora dah kedengaran macam nak menangis. Pantas kepala ditolehnya ke arah Manis yang masih berdiri di depan pintu bilik.

"Semua ni kau punya pasallah! Kalau kau tak ada, senang semua orang. Ini aku nak kahwin susah, Nurul nanti nak berlaki pun payah. Semuanya sebab kau. Jodoh kau yang liat, kami pula yang kena tanggung sama? Aku tak mahu jadi andartu. Kalau kau tak dapat nak berlaki, jangan nak diheret orang lain sekali!"

Suara Nora sudah hampir menjerit. Geram dek Manis, semua perancangan yang dibuat bersama Irsyad mendapat tentangan abahnya.

"Abahnya pun... Manis pun tak kesahlah tentang soal hadiah atau hantaran untuk dia tu. Tak payahlah kita nak buat-buat susah benda yang senang. Yang penting, Nora ni. Setakat kain sepasang tu, apalah sangat. Tak apa, nanti saya suruh Si Irsyad tu carikan kain yang elok-elok, yang cantik-cantik untuk diberikan kepada Manis ni nanti."

Mek Dilah cuba untuk meredakan keadaan. Nora ni pun satu, tak pandai nak menyejukkan hati si abah. Kalau diikutkan adat yang lama, apa hantaran yang adik dapat, itulah juga yang bakal si kakak dapat.

Adik diberi beg tangan, maka kakak pun dapat beg tangan juga. Matilah Si Irsyad tu kalau Pak Rashid buat syarat macam tu. Baru kau tahu langit tu tinggi atau rendah.

Pak Rashid mendengus kuat. Semua yang berada di ruang tamu terus diam tidak berani bersuara.

"Awak ni, janganlah kita halang niat Nora dan Irsyad tu. Mereka nak menyegerakan perkara baik, nak mendirikan masjid, kita permudahkanlah urusan mereka tu."

Mek Dilah cuba untuk memujuk suaminya sewaktu mereka berdua ada di dalam bilik. Kasihan dia melihat Nora yang dah bengkak-bengkak mata menangis, takut Pak Rashid tak benarkan dia berkahwin.

"Aku tak halang, aku cuma minta dia tu ada sifat timbang rasa pada Manis aje. Manis tu kakak dia, bukannya orang lain," bidas Pak Rashid pula.

"Habis tu, kalau Manis tak berkahwin, semua adik-adiknya tak boleh berkahwin ke?"

"Aku tak kata macam tu. Aku geram sebab mereka tu berkira sangat dengan Manis. Memanglah Manis tu tak kesah, Manis tu tak minta, tapi tak salah kalau mereka beri sedikit hadiah sebagai tanda timbang rasa pada Manis tu."

Ya ampun, tak habis-habis lagi suaminya dengan isu langkah bendul ni rupa-rupanya.

"Ya, itu awak jangan risaulah, Nanti saya cakapkan pada Si Milah tu. Suruh dia sediakan sedikit sagu hati untuk Manis."

"Awak kalau soal Manis, awak ambil mudah aje. Kalau anak-anak yang lain, bukan main lagi awak beria-ia."

Entahlah. Sejak akhir-akhir ini dia rasa berdosa pada Manis. Banyak hak Manis yang dia dan Mek Dilah dah nafikan. Mungkin disebabkan faktor usia, dia jadi lebih banyak berfikir dan mula terkenangkan masa-masa yang lalu.

"Awak cakap apa ni? Awak dah mula nak menyalahkan saya ke?"

Suara Mek Dilah sudah kedengaran kurang senang. Entah apa angin suaminya malam ini, semua orang pun tak kena. Dia juga perasan sejak akhir-akhir ini, suaminya nampak lebih menjaga hati Manis. Buang tabiat agaknya orang tua ni. Dia menelah sendiri.

"Awak tak rasa ke yang kita ni tak adil pada Manis? Dia anak kita, tapi kita layan dia tak macam anak-anak yang lain. Dia buat macam-macam kerja dalam rumah ni sampai saya tengok dia tak ada masa nak berehat. Dulu, dia nak sambung belajar, kita kata tak payah. Dia..."

"Dia tu kalau sambung belajar pun tak ke mana juga. Lebih baik dia duduk dalam rumah ni, tolong saya buat kerja-kerja rumah yang tak pernah habis tu. Kalau dia tak tolong saya, siapa yang nak tolong? Awak?" tempelak Mek Dilah.

Pak Rashid ni lupa agaknya selama mereka berkahwin, sebiji gelas pun suaminya tak pernah basuh. Dia dalam pantang, waktu dia sakit demam, tetap jugalah dia yang bangun buat semua kerja di dalam rumah ni. Tahu Pak Rashid, tanggungjawabnya cari nafkah untuk belanja anak isteri. Itu sahaja.

"Ya, ya. Betul cakap awak tu. Itu yang menurun pada Zuhdi. Perangai Zuhdi tu pun bukan main lagi. Mengalahkan bos kongsi gelap. Tahunya mengarah itu ini."

Mek Dilah mendengus. Pantang betul dia bila hal Zuhdi diheret sama.

"Zuhdi tu anak sulung kita. Satu-satunya anak lelaki kita. Awak kena ingat, anak perempuan bila berkahwin, tanggungjawab dan taatnya beralih kepada suami. Kalau suami tak izinkan, apa pun dia tak boleh buat. Tapi Zuhdi tu anak lelaki kita, dengan dialah kita nak menumpang. Dia satu-satunya anak yang kita boleh harapkan untuk jaga kita nanti.

Awak fikir, Manis tu nak jaga awak? Nak jaga saya jauh sekali. Melawan aje tahunya bila dah bekerja ni. Sebab itulah Zuhdi tu saya jaga baik-baik. Beri dia pelajaran yang tinggi, bila dia hidup senang, kita pun akan tumpang senang juga."

Berbunga rasa hati Mek Dilah bila menyebut tentang anak kesayangannya. Zuhdi yang dah bekerja sebagai jurutera projek tu memang murah betul rezekinya. Tamat SPM, terus dapat tawaran matrikulasi. Habis matrikulasi terus buat ijazah. Belum pun sempat majlis konvokesyen diadakan, Zuhdi dah pun ditawarkan pekerjaan di tempat dia mengadakan latihan industri dulu.

Tidakkah itu bertuah namanya? Waktu orang lain terkial-kial mencari kerja, Zuhdi dah pun mampu berkereta, dan sekarang dalam proses nak membeli rumah pula. Memang sejuk perut mak mengandungkan kamu, Zuhdi, ucap Mek Dilah dalam hati sambil mengusap-usap perutnya.

"Hurm... Harap-harap betullah Zuhdi tu boleh diharap nanti," ujar Pak Rashid. Dia jadi takut nak meletakkan harapan pada Zuhdi sementelah Zuhdi dah pun berkahwin sekarang. Melihat pada gaya kehidupan berumah tangga Zuhdi, Pak Rashid jadi tidak yakin dengan harapan yang pernah dia sandarkan pada anak lelaki tunggalnya itu.

"Awak tengok ajelah nanti. Mustahil Zuhdi tak kenang jasa dan pengorbanan kita pada dia." Mek Dilah bersuara yakin. Dia yang mengandungkan dan melahirkan Zuhdi. Dia yang berjaga siang dan malam membesarkan Zuhdi. Zuhdi tu anak dia, dia tahulah!

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro