Bab 15
Puan Meriah memerhatikan tangan Manis yang lincah mengupas bawang. Manis nampak langsung tidak kekok melakukan kerja-kerja di dapur. Mungkin dah biasa agaknya, telah hati Puan Meriah.
Sudah masuk sebulan Manis tinggal di rumah itu, segala kelakuan Manis diperhatikannya dalam diam. Dan dia akui, dia juga sudah mula jatuh suka dengan Manis.
"Manis nak masak apa?" tanyanya seraya menarik kerusi. Dilabuhkan punggung lalu tangannya mencapai teko air kopi yang masih panas. Dituangnya ke dalam cawan sebelum dibawanya hampir ke bibir. Sedap kopi yang Manis bancuh ni, pujinya dalam hati.
"Ingat nak masak yang ringkas-ringkas aje, mak. Ikan cencaru sumbat, gulai sotong, kerabu mangga dan nak tumbuk sambal belacan aje sikit. Mak ada rasa teringin nak makan apa-apa tak? Boleh Manis masakkan," pelawa Manis. Tersenyum kecil memandang mak mentuanya.
"Hurm... Cukuplah tu, Manis. Masak banyak-banyak pun bukannya ada orang lain dalam rumah ni. Cuma kita bertiga."
Manis diam tidak menjawab. Hanya mengeyakan kata-kata Puan Meriah dalam hati.
"Sedapnya Manis masak. Kalau macam ni, gemuklah abang nanti."
Manis tersipu-sipu bila dipuji oleh Remy. Sebulan berkahwin, dia masih lagi malu-malu dan kekok nak bergurau dengan suaminya sendiri. Mungkin kerana mereka masih lagi dalam fasa berkenalan kata orang.
"Makanlah banyak-banyak kalau sedap," ujar Manis sambil mencedokkan lauk ke pinggan nasi untuk Remy. Rutinnya sejak mereka berkahwin.
"Nah! Manis pun makanlah juga. Jangan ralit tengok abang makan aje." Dua ekor sotong dan beberapa sudu kuah gulai lemak kuning pula diletakkan Remy di atas pinggan Manis. Mereka saling berbalas senyum kemudiannya.
Puan Meriah memerhatikan sahaja gelagat anak dan menantunya. Entah mengapa, ada perasaan aneh yang mula menerjah masuk. Perasaan yang mula datang sejak kehadiran Manis di rumah itu sebenarnya. Perasaan yang cuba ditepis, tapi makin hari makin menjadi-jadi pula.
"Mak tak makan ke?" tanya Manis bila lihat Puan Meriah yang diam dari tadi. Risau pula dia dibuatnya. Ada sesuatu ke yang mengganggu fikiran mak mentuanya?
"Oh, ya, ya. Mak makan ni. Kamu pun makanlah." Laju Puan Meriah menggaul nasi dan lauk yang sudah semakin sejuk. Disuapnya lambat-lambat masuk ke dalam mulut. Diperhatikan saja Remy yang nampak berselera benar makan masakan hasil air tangan Manis.
"Manis lihat mak nampak macam banyak mengelamun sejak akhir-akhir ni. Mak tak sihat ke, bang?" tanya Manis. Hati-hati bicaranya, bimbang dikatakan menyibuk dan mahu memandai pula. Tapi nak buat-buat tak tahu pun, tak boleh. Dia kan duduk serumah dengan Puan Meriah. Kalau Puan Meriah sakit dan dia tak tahu apa-apa, tentu marah adik-beradik Remy yang lain.
"Tak ada pula mak mengadu apa-apa. Mak ada beritahu Manis yang mak tak sihat ke?"
"Eh, taklah! Manis risau sebab nampak mak banyak termenung. Itu yang Manis tanya pada abang."
"Hurm... Tak ada apa-apalah. Mungkin mak teringatkan arwah ayah. Dulu tak sempat nak teringat, sebab sibuk uruskan makan pakai abang. Sekarang Manis kan dah ambil alih tugas mak. Itu yang mak ada masa nak terkenangkan kisah lama-lama," ujar Remy bersahaja.
Dia tak mahu Manis berasa bimbang dan berfikir yang bukan-bukan. Esok, biar dia sendiri yang tanya. Tapi dia rasa telahannya tadi memang betul. Biasanya kalau Puan Meriah tak sihat, memang cepat-cepat dikhabarkannya kepada Remy.
"Abang ni, orang risau boleh pula dia cakap macam tu."
"Tak ada apa yang nak dirisaukan, Manis. Mak okey aje tu. Lagipun, kalau ada apa-apa kan Manis ada di rumah. Tak adalah abang risau sangat."
"Tapi abang tanyalah juga pada mak tu. Manalah tahu, memang betul mak tak sihat. Cuma mak tak mahu beritahu kita sebab takut susahkan kita pula nanti."
"Ya, esok abang akan tanya. Kalau abang terlupa, Manis tolong ingatkan abang, ya. Kenapa Manis tak nak tanya pada mak sendiri?"
"Bukan Manis tak mahu tanya, tapi Manis kan masih baru lagi jadi menantu mak. Mungkin mak tak selesa nak bercerita atau nak berkongsi dengan Manis lagi. Tunggulah bila dah lama sikit, abang pun mungkin mak lupa."
Remy senyum kecil sambil mencebikkan bibirnya.
"Tapi Manis tak akan lupakan abang, kan?" tanya Remy sambil mengenyitkan matanya. Manis tak semena-mena tersipu-sipu malu.
"Remy tak suka nasi goreng yang diletak kacang panjang macam yang Manis masak pagi tadi," ujar Puan Meriah tiba-tiba.
Manis yang sedang mengeluarkan ikan dari dalam peti kerut dahi. Remy ada mengadu dengan mak dia ke? Kalau betul, kecil hati pula Manis dibuatnya. Kalau ya pun tak suka, janganlah diberitahu kepada mak, cakap ajelah dengan dia. Lain kali dia takkan letak kacang panjang lagi dalam nasi yang digorengnya.
"Oh, ya ke, mak? Maaflah, Manis tak tahu."
"Lain kali tak tahu tanya. Kamu tu baru aje kenal Remy, belum tahu seleranya."
Pelik, tadi dia nampak Remy makan sampai menambah nasi goreng yang dimasaknya. Kalau tak suka, janganlah dipaksa diri tu makan. Manis paling tak suka orang yang berpura-pura semata-mata nak menjaga hatinya.
"Gosok baju Remy pun biar kemas. Kalau tak pandai, hantar aje dobi. Ini dekat lengan pun masih berkedut, side pada belakang baju pun tak ikut betul-betul," komen Puan Meriah lagi.
Manis diam. Kepalanya ligat berfikir. Mak mentuanya ada masalah agaknya. Itu yang lain macam aje pagi ni. Selalu, Puan Meriah tidak begini. Ini, sampai menghantar Remy ke kereta tadi pun Puan Meriah ikut. Hingga dia naik segan nak menghulurkan tangan bersalam dengan Remy.
Remy tu biasanya lepas dia salam tangan Remy, balasannya dahi dia pula yang Remy akan cium. Tapi takkanlah nak buat macam tu di depan Puan Meriah? Malulah dia. Tapi Remy bukan kira, tetap dahi Manis dikucup di depan maknya pagi tadi.
Semalam dah disuruhnya Remy tanya Puan Meriah sama ada maknya tu sihat atau tidak, okey atau tak. Sebab dia lihat Puan Meriah banyak termenung. Mungkin ada memikirkan sesuatu yang berat agaknya. Remy tu pun, entah ingat, entah tidak pesanannya semalam.
"Kamu dengar tak apa yang mak cakap ni, Manis?" Suara Puan Meriah yang sedikit kuat tiba-tiba memecahkan lamunan yang baru nak berkembang. Manis terpinga-pinga.
"Hah?"
Puan Meriah mendengus. Beria-ia dia bercakap, rupa-rupanya dia bercakap dengan dinding dari tadi. Manis langsung tak endah apa yang dia katakan.
"Sempat ya kamu berangan masa mak tengah bercakap? Baidab kamu tahu perangai macam tu?"
Manis terkedu. Kenapa pagi ni Puan Meriah garang semacam? Asyik nak marah dia aje. Dia ada buat apa-apa salah ke? Hati Manis tertanya-tanya sendiri.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro