Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 14

"Tak padan kan Manis dengan suaminya tu. Macam tahi cicak. Seorang cerah, seorang gelap."

Terdengar kekehan kawan yang diajaknya lawan bercakap.

"Handsome sangat suaminya. Macam manalah boleh terpikat dengan Manis, ya?" Ini komen yang lain pula.

"Ini bukan lagi pinang dibelah dua, tapi ini yang dipanggil pinang digelek lori pasir. Tak sangka betul, macam manalah suaminya tu boleh pilih Manis? Muka Manis tu biasa-biasa aje. Apa jugalah yang dia pandang pada Manis tu, ya?"

Gigi diketapnya rapat-rapat. Hingga berkeriut bunyinya. Geram! Manis menahan rasa dari atas pelamin lagi. Bukan dia tak dengar komen-komen orang yang datang ke majlisnya hari ini.

Mujurlah dia yang jadi pengantin. Kalau tidak, dah lama dijawabnya. Rasa nak menangis pun ada. Pada hari bahagianya, tak boleh ke mereka yang hadir bercakap dan doakan yang baik-baik sahaja?

"Kenapa ni? Tak suka ke dapat kahwin dengan saya?" bisik Remy. Dia yang sedar perubahan emosi Manis menggenggam tangan isterinya kuat-kuat. Dia pun dengar sebenarnya tapi dia sengaja buat-buat tidak tahu. Lagipun komen-komen itu langsung tidak menjejaskan perasaannya terhadap Manis.

"Bukanlah. Awak tak dengar ke apa yang orang cakap tadi? Saya..."

Pantas Remy meletakkan jari telunjuknya pada bibir Manis. Dia tak peduli kalau ada mata yang memandang. Malah kalau ada yang merakam sekali pun, Remy tak mahu ambil tahu.

"Syhhh... Manis tahu kan yang saya sukakan Manis terlebih dahulu? Bukan Manis yang sukakan saya."

Mata Manis terkelip-kelip memandang mata Remy. Agak kaget bila Remy buat adegan begitu sewaktu tetamu masih ramai.

"Komen-komen macam tu, langsung tak menjejaskan perasaan saya terhadap Manis. Jadi, saya harap Manis pun begitu. Jangan biarkan orang lain buat hidup kita tak bahagia ya, Manis?"

Bagai dipukau, kepala Manis anggukkan tanpa sedar.

Uda Tina mencebik dari jauh. Berbisik-bisik di atas pelamin macam dia aje yang kahwin. Meluat pun ada rasanya.

"Kenapa muka kau macam tu, Tina?"

"Erm... Akak tengoklah anak akak tu. Langsung tak dihiraukan mata-mata orang yang tengah memandang. Sibuk nak berbisik-bisik di atas pelamin. Mana ada pengantin macam tu."

"Kau tahu kan perangai Manis tu. Ada dia pedulikan orang?" Mek Dilah mengerling ke arah pelamin yang dimaksudkan adiknya tadi. Nampak macam Remy sedang berbisik sesuatu ke telinga Manis. Bertuah kau Manis, dapat suami yang langsung tak padan dengan kau, getus hatinya.

"Dia tu tak macam Nora. Tak macam Zuhdi."

Ya, kedua-dua anak saudaranya itu memang baik orangnya. Bercakap pun lembut, ada nada sopan dan juga santunnya. Tak macam Manis yang suka sangat nak membidas kata-katanya.

"Zuhdi tu anak lelaki aku. Dah tentulah baik. Tengoklah siapa yang didik dia," puji Mek Dilah tidak teragak-agak.

"Tapi isteri dia tu memang jenis tak bersalam dengan orang ke? Jumpa aku pun buat tak tahu aje. Jangan kata nak salam, tegur pun tidak," kompelin Uda Tina lagi.

Mek Dilah tarik nafas panjang. Entahlah, dah puas disuruhnya Zuhdi tegur si isteri. Namun Zuhdi hanya menganggukkan kepala sahaja. Entah ditegur, entahkan tidak. Dia nak nasihat lebih-lebih, Aida tu cuma menantu aje. Nanti terasa hati pula. Buatnya Aida langsung tak mahu balik ke rumah ni lagi sampai bila-bila, lagi haru.

"Dia baik orangnya. Tapi kena kita yang tegur dia dulu."

"Eh, ada pula macam tu? Yang mudalah kena tegur yang tua. Salah ajaran kau tu, kak!" bidas Uda Tina. Tak puas hati pula dia bila si kakak seolah-olah menyokong pula perangai si menantu yang tak semenggah.

"Biarlah dia, Tina. Dia tak mahu salam dengan kau, kau pun jangan salam dengan dia," putus Mek Dilah mudah.

Tina tu tak tahu Aida tu macam mana perangainya. Zuhdi lambat menyahut panggilannya pun dah berjalan hentak kaki hingga bergegar satu rumah. Nak minum, Zuhdi bancuhkan. Nak makan, Zuhdi hidangkan. Dah macam orang bodoh dilihatnya Zuhdi tu.

Tapi bila ditegur, kata Zuhdi, melayan isteri kan dah memang tanggungjawab suami. Biarlah kalau orang lain tak suka melihatnya. Yang penting, dia dan Aida hidup bahagia. Tepuk dahi Mek Dilah mendengarnya.

Malam itu, mereka berkumpul anak-beranak. Esok Manis akan berangkat untuk majlis menyambut menantu yang diadakan di sebelah pihak lelaki pula. Lepas tu, terus tinggal di sana. Walaupun lega yang Manis dah pun selamat dikahwinkan, tapi dalam hati Mek Dilah tetap rasa sayu juga. Walaupun Manis tu dilayan tak sebaik mana, tapi bukankah Manis itu tetap anaknya?

"Tinggal dengan mentua nanti, jaga kelakuan tu, Manis. Jangan nak bangun lewat. Tolong mak mentua tu buat kerja rumah. Jangan asyik nak berlingkar di atas katil aje."

Mata Mek Dilah sempat mengerling ke arah Aida. Harap-harap menantunya tu dengar sama. Nasihat ini pun ditujukan kepada dia.

"Ya," balas Manis ringkas. Duduk rumah ni pun tak pernah bangun lewat, inikan pula bila dah tinggal di rumah orang?

"Ringan-ringankan tulang tu sikit. Dah makan, pandai-pandailah basuh pinggan. Tapi kalau ada pinggan atau cawan kotor yang lain, cucilah sekali. Jangan basuh pinggan kita aje." Mek Dilah sambung lagi nasihatnya.

"Jangan buat suami tu macam hamba. Makan nak kena berhantar, minum nak kena disuap. Ingat, suami tu ladang syurga kita."

Ya, mak. Orang lelaki ni macam raja. Jangan suruh buat apa-apa. Biarkan mereka goyang kaki aje. Bukan itu ke yang mak ajar selama ni? Itu yang Zuhdi bukan main lagi tebal lemaknya. Padan muka! Dah kahwin kena buli dengan isteri. Manis rasa nak ketawa. Tidak sedar ada yang sudah berubah riak mukanya.

"Lain macam aje nasihat mak ni." Nora menyampuk. Dia pun sibuk berkemas. Nak ikut menghantar Manis esok.

"Eh, mak cakap benda yang betul aje! Kamu pun sama, Nora. Nasihat ni mak akan ulang pada setiap anak perempuan mak yang dah berkahwin."

Aida tidak semena-mena bingkas bangun. Menghentakkan kaki lalu masuk ke dalam bilik.

Manis pandang muka Nora, Nora pandang muka Manis. Masing-masing angkat kening tanda tidak tahu apa yang dah berlaku.

Mek Dilah senyum sinis. Tahu pun terasa, ingatkan hati tu kering sangat. Ditegur berulang kali pun, macam itulah juga perangainya. Haish, kalau anak aku tu, dah lama aku sekeh-sekeh kepalanya. Elok betul perangai bila dekat rumah mentua.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro