Bab 13
Penyapu lidi yang dipegangnya disandarkan pada batang pokok cermai yang sedang lebat berbuah. Sama lebat dengan daun yang gugur tiap-tiap hari. Hingga dah tak larat Mek Dilah nak menyapu.
Dia menunggu sambil memerhatikan lelaki muda yang berpakaian warna merah dan putih yang sedang mengambil sesuatu dari dalam lori. Apa jugalah yang dibeli Nora kali ni? Boleh dikatakan saban minggu ada sahaja barang yang dibeli Nora menerusi dalam talian. Mudah betul budak-budak sekarang ni membeli-belah.
Tak perlu keluar jauh-jauh. Main tekan-tekan aje pada skrin telefon. Tahu-tahu barang pun sampai hingga ke depan tangga rumah.
Kelmarin, pekerja pos laju datang menghantar bungkusan, rupa-rupanya Nora beli kain pasang. Sukalah juga dia sebab ada juga Nora hadiahkan dia sepasang. Cantik coraknya, kain pun sejuk aje. Mahal agaknya kain yang Nora beli tu.
"Assalamualaikum, mak cik. Ini rumah Manis binti Rashid?" Pekerja pos laju itu bertanya.
Mek Dilah kerut dahi. Dah kenapa Manis pula yang ditanya pekerja ni?
"Errr... Ya, ya. Manis tu anak mak cik." Tergagap-gagap pula Mek Dilah dibuatnya. Tak pernah-pernah barang Manis yang sampai. Alih-alih hari ni Manis dah buat sejarah? Amboi, bukan main lagi Manis tu, ya.
"Ini ada barang untuk dia. Mak cik tolong tuliskan nombor kad pengenalan dan tandatangan sekali, ya."
Pekerja pos laju itu menghulurkan borang yang dah biasa ditulis Mek Dilah setiap kali barang kiriman sampai ke rumah itu. Mek Dilah akur, tapi benaknya ligat berfikir. Apa agaknya yang dibeli Manis?
"Nah, ini barangnya ya, mak cik."
Laju Mek Dilah menyambut bungkusan yang dihulurkan. Ringan! Sempat hatinya berdetik.
"Terima kasih, ya." Pemuda itu tersenyum lalu masuk semula ke dalam lori. Menyambung semula tugasnya untuk hari ini.
Tangan Mek Dilah cepat-cepat lari ke bahagian atas bungkusan. Rasa tak sabar nak melihat apa isi di dalamnya. Dia tak peduli kalau Manis mahu marah dia buka bungkusan tanpa kebenaran Manis. Ah, dia kan mak. Dia berhak nak periksa barang apa yang yang sampai. Lagipun, siapa yang suruh pos barang guna alamat rumahnya?
Kalau tak mahu dia buka, lain kali guna alamat tempat kerja. Tangannya mula menarik plastik pos laju dengan kuat. Namun, tiba-tiba gerakan tangannya berhenti. Matanya tidak semena-mena tertarik pula pada slip pos laju di depan bungkusan. Agak lama matanya tertancap di situ, pada bahagian nama pengirim.
Hardy Remy bin Isahaq. Bukankah itu nama tunang Manis? Barang apa yang dikirimkan Remy buat Manis? Dia tertanya-tanya. Tangan yang tadinya laju mahu merobek plastik bungkusan itu tiba-tiba terus hilang daya. Dia mendengus.
"Ada barang untuk kamu di atas katil. Pos laju hantar petang tadi."
Manis yang baru mencapai pinggan di dalam singki menoleh. Memandang Mek Dilah yang sedang duduk di atas kerusi meja makan yang tak pernah bertukar.
"Barang apa, mak?" Tangannya kembali laju menggosok pinggan dengan pukat halus yang dijadikan ganti span.
"Manalah mak tahu, kamu ingat mak ni tak amanah ke? Suka-suka hati nak buka bungkusan orang."
Mek Dilah mencebikkan bibir. Rasa macam tak percaya. Takkanlah baru sekali jumpa Remy terus jatuh cinta? Kalau tak sayang, tak ingat, tak mungkin hingga sampai mengirimkan barang.
Entah-entah Manis ni di belakang dia bukan main lagi galaknya. Mengirim kata-kata cinta, hingga nanar Remy tu dibuatnya. Alamat rumah ini pun Remy tahu, sahlah Manis yang beri. Kalau tidak, siapa lagi?
"Kamu ada berhubung ke dengan Remy tu?" Soalan Mek Dilah penuh dengan prasangka.
"Ada juga sesekali, mak. Tanya tentang persiapan masing-masing. Kenapa mak tanya?"
"Dia yang kirimkan barang tu untuk kamu. Ingat Manis, selagi kamu belum berkahwin, mak tak suka kamu nak melebih-lebih sangat dengan Remy tu. Jangan sampai orang nampak kamu yang terhegeh-hegeh dengan dia. Bertunang aje, tak bermakna dia tu memang jodoh kamu." Mek Dilah beri amaran.
Manis tu kurang dari segi rupa, dari segi pelajaran. Tak hairan kalau Manis yang nampak beria-ia mahukan Remy tu. Manis ni kalau tak dilarang, boleh jadi macam-macam yang dibuatnya.
"Mana ada Manis macam tu, mak. Dia mesej cuma sekadar bertanya khabar aje. Lepas tu tanya tentang persiapan kahwin. Itu aje, tak lebih dan tak kurang."
Manis rasa mahu saja dia menghempas pinggan yang sedang dibilasnya ke atas lantai. Kalau dengan dia, bukan main lagi mak berpesan macam-macam. Berprasangka yang bukan-bukan.
Kalau Zuhdi dengan Nora tu, bukan main lagi ke sana sini dengan tunang masing-masing. Ada mak larang atau marah? Siap dijemputnya naik ke rumah setiap kali Irsyad datang menghantar Nora pulang selepas keluar ke mana-mana. Mak memang tak adil!
"Telefon kamu? Takkan tak pernah?"
"Tak pernah. Dia sibuk. Manis pun kalau waktu tengah kerja manalah sempat nak angkat telefon."
Malas Manis nak mengaku. Memang Remy ada menelefonnya. Sekali dalam sehari sekurang-kurangnya. Tapi kalau dia mengaku, pasti macam-macam lagi tuduhan Mek Dilah. Macamlah selama ni dia anak yang bermasalah.
"Kamu jangan nak hantar mesej yang bukan-bukan pada dia. Jangan nak sebut tentang rindu ataupun cinta, jaga sikit maruah diri kamu tu. Biar rupa dan pelajaran tak ada, asalkan jangan tak ada rasa malu."
Manis mengesat tangan pada tuala yang tergantung pada tangkai pemegang peti sejuk. Mahu cepat-cepat masuk ke bilik. Mahu mandi, mahu buka bungkusan yang dikirim Remy kepadanya juga. Haish, Remy pun satu. Kalau nak kirimkan apa-apa pun, beritahulah dulu. Bila hantar guna alamat rumah, panjang ceritalah jadinya.
"Kamu nak ke mana pula tu?" tanya Mek Dilah bila dilihatnya Manis dah mula nak meninggalkan ruang dapur.
"Nak mandi."
"Nanti tunjuk apa yang Remy tu kirim. Mak nak tengok."
"Hurm... Ya," balas Manis ringkas.
Nampak Mek Dilah pula yang teruja nak tahu apa yang dikirimkan Remy kepadanya.
"Lepas mandi nanti jangan lupa masak nasi. Goreng ikan yang ada dalam peti sejuk tu sekali. Abah kamu tu macam kamu tak tahu, dia tak selera nak makan ikan goreng siang tadi. Nasi nak kena tanak yang baru setiap kali dia nak makan," arah Mek Dilah. Walaupun memang itulah tugas Manis hampir setiap hari, namun dia tak pernah lupa untuk ingatkan anaknya itu.
"Ya. Nanti Manis buat."
Laju-laju Manis mengatur langkah ke bilik. Bimbang makin lama, makin panjang pula deretan pesanan dan senarai arahan daripada maknya.
Haih, cepat-cepatlah tempoh pertunangan ni berlalu. Aku dah tak sabar nak keluar dari rumah ni, getus hati Manis.
Walaupun permintaan Remy tempoh hari agak menggusarkan hatinya, tapi dia cuba memikirkan perkara yang baik-baik. Manalah tahu, dengan mak Remy dapatlah dia menumpang kasih.
"Remy kirim apa?" Aduh, Manis ingatkan yang maknya sudah lupa, rupa-rupanya tidak. Selagi tak tahu apa yang dikirim Remy untuk dia, tak senang duduk agaknya Mek Dilah dibuatnya.
"Tudung," jawab Manis malas.
"Tudung apa?"
Manis bingkas bangun. Mahu mengambil tudung yang dikirim Remy. Biar maknya lihat sendiri, baru puas hati.
"Ni." Manis hulurkan tudung yang masih berada di dalam plastik. Buntang mata Nora melihatnya.
"Wah, untungnya! Ni tudung jenama terkenal tau, mak. Beratus harganya."
Manis malas mahu mengeyakan. Selama ini Nora yang rajin membeli-belah dalam talian dan bukannya dia. Remy pun satu, beri dia tudung yang mahal-mahal macam ni, dia nak pakai pergi mana?
"Hurm..." Mek Dilah hulurkan semula tudung itu kepada Manis. Tak sangka pula dia yang Remy sanggup berhabis duit untuk Manis.
"Mak nak ke?" Nanti kata dia tak pelawa pula.
"Tak mahulah. Nanti dikata dek tunang kamu pula. Dia belikan untuk kamu, tapi mak yang pakai."
Manis malas mahu mendesak. Dah mak kata tak mahu, bukan dia yang tak pelawa.
Mek Dilah memandang belakang Manis yang sudah masuk semula ke dalam bilik. Dia mengeluh.
"Kenapa, mak?"
"Tak ada apa-apalah. Hah! Irsyad tu tak ada ke nak bagi kamu hadiah apa-apa macam Si Remy tu beri pada Manis?" Pula! Nama Irsyad pula yang dikait maknya.
"Remy tu anak bongsu, mak. Ada perniagaan sendiri. Irsyad tu anak sulung, banyak tanggungan. Kerja makan gaji pula tu." Selamba Nora membalas.
Maknya macam tak tahu yang kewangan Irsyad tu macam mana. Kalau tidak, tak adalah dia nak berebut bilik tu dengan Manis.
Manis tersengih-sengih seorang diri di dalam bilik. Remy baru mengirimkannya mesej. Dibacanya dengan perasaan yang berbunga-bunga. Oh... Begini rasanya bila dalam hati ada abang. Eh, salah, dalam hati ada taman!
*Dah dapat tudungnya?
#Dah. Cantik. Terima kasih.
*Saya yang pilih warnanya. Saya bayangkan muka Manis waktu beli tudung tu.
Beritahu Remy tanpa diminta. Manis tersenyum lagi. Gila nak bayangkan perempuan lain masa beli tudung untuk aku? Memang cari pasal namanya tu. Eh, dah pandai cemburu ke, Manis?
#Tak payahlah beli tudung yang mahal-mahal untuk saya. Saya tak ke mana pun nak pakai tudung yang berjenama macam tu. Beli tudung yang harganya sepuluh ringgit pun dah memadai bagi saya.
Memang selama ni Manis pakai tudung yang dia beli dari pasar malam aje. Selesa pun selesa, senang nak bentuk pula tu.
*Pakailah bila-bila masa kita berjumpa. Saya datang sana minggu depan. Kita ada sesi fitting baju, kan?
Manis tepuk dahi. Dia langsung tak ingat. Mujurlah Remy sebut.
#Ya.
*Tunggu saya. Tak sabar nak jumpa Manis.
Senyuman Manis tiba-tiba mati. Ayat tu mengingatkannya pada Hizbur, juga janji yang bakal dia mungkiri.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro