Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 12

"Nama awak Manis?"

Manis hanya mengangguk. Mahu mengangkat muka pun dia rasa tak mampu. Pagi tadi tak ada angin, tak ada ribut, tiba-tiba lelaki yang namanya menjadi sebutan dari semalam, muncul di depan pintu rumah. Memang jenis suka buat kejutan agaknya.

Sempat pula abah ajak sarapan bersama. Bukan main kecoh lagi Mek Dilah suruh Nora siapkan meja dan Manis dikerahnya suruh bersiap. Tak tahulah Manis apa maksud bersiap tu sebab sebelum azan subuh berkumandang lagi dia dah pun siap-siap mandi. Pakaian pun elok aje.

Tapi bila dia keluar semula ke dapur, mata Mek Dilah seolah-olah mahu menelannya. Dia disuruh masuk semula ke bilik dan tukar pakaiannya kepada pakaian yang lebih semenggah kata Mek Dilah. Dalam pada separuh rela tu, Manis turutkan juga kehendak maknya. Malas mahu berbalah sehingga didengari tetamu yang sedang menunggu untuk berjumpa dengannya.

"Nama panjang?"

"Manis binti Rashid."

Remy tersenyum kecil. Ringkas tapi manis nama tu. Semanis tuannya.

"Maaf sebab datang tak beritahu awak dulu. Saya tak tahu cara nak hubungi awak."

"Tak apa."

Mahu jawab apa lagi? Pelik juga kalau Remy tak tahu nombor telefon bimbitnya. Kan Irsyad ada. Bukannya payah kalau Remy minta daripada Irsyad nombor telefonnya. Tentu laju Nora hulurkan nombor itu tanpa minta kebenaran daripada Manis dulu.

"Terima kasih sebab terima pinangan saya." Remy berdehem.

Kali pertama berhadapan dengan Manis, dia masih terasa kekok. Gadis yang diintainya berbulan-bulan sudah, kini sudah selamat bergelar tunangannya.

Dan jika tiada aral, tiga bulan lagi, gadis ini akan menjadi isterinya yang sah. Dia tak tahu apa perasaan Manis. Tapi bagi dirinya, dialah lelaki yang paling bahagia dan paling gembira dalam dunia bila Manis terima pinangannya.

"Manis tak bekerja hari ni?" Remy cuba untuk mengajak Manis berbual. Dia tahu yang Manis masih segan dan kekok dengannya.

Lagipun, inikan kali pertama mereka berjumpa, bertentang mata. Sengaja dia datang pagi ini untuk berjumpa dan berkenalan dengan Manis. Tengah hari nanti dia dah nak bertolak pulang semula ke Kuala Lumpur. Entah dapat berjumpa Manis lagi atau tidak sebelum mereka dinikahkan.

"Saya kerja syif malam hari ni. Pukul dua nanti baru masuk kerja."

Lega. Panjang sikit ayat balasan daripada Manis.

"Manis ada tak nak tanya apa-apa pada saya?" Manalah tahu kalau-kalau gadis ini masih malu. Jadi Remy buka peluang untuk Manis bertanya apa sahaja tentang dirinya.

"Errr... Nama sebenar awak Remy?" tanya Manis. Bukan apa, dia nak tahu sama ada itu nama sebenar atau nama samaran sang tunang.

"Hurm... Kenapa? Pelik sangat ke nama tu?"

Entah kenapa, orang suka sangat bertanya soalan serupa itu. Macam tak percaya yang nama sebenarnya memang Remy. Mungkin sebab sama dengan nama pelakon popular tu agaknya. Macamlah nama Remy tu satu-satunya dalam dunia ni.

"Tak adalah. Saja saya nak tahu. Tapi kalau awak keberatan nak cakap, tak apa."

"Ya, nama saya Remy. Remy Isahaq. Hardy Remy bin Isahaq yang betulnya. But, just call me Remy."

Sebaik mendengar Remy menyebut nama penuhnya, buntang mata Manis memandang Remy. Remy jadi terpegun. Cantik betul bila Manis membulatkan matanya macam tu. Rasa nak ajak bernikah hari ni juga.

Remy berdehem. Rasa malu pula dia bila Manis pandang dia lama-lama.

"Dah, tak payahlah awak nak buat muka kagum sangat. Dahlah nama sedap, muka pun handsome, kan? Tak apa, saya dah biasa dengan pujian-pujian yang macam tu." Remy mengusik. Tidak mahu pertemuan kali pertama mereka jadi kaku.

Manis mencebikkan bibir. Huh, masuk bakul angkat sendiri!

"Lepas kahwin nanti, Manis ikut saya, ya? Tinggal di Kuala Lumpur. Kalau Manis nak bekerja pun saya tak halang. Kalau Manis nak sambung belajar pun saya alu-alukan. Kalau Manis nak jadi suri rumah pun, tak apa. Saya lagi suka."

Lembut suara Remy memberitahu. Takut Manis terkejut pula dengan rancangan yang sudah diaturnya bila mereka dah berkahwin nanti. Dia tak mahulah Manis menuduhnya mahu jadi diktator. Belum apa-apa dah pandai-pandai nak arahkan Manis buat itu ini.

"Saya ikut aje mana yang elok pada awak."

Yalah, seorang isteri kan harus taat pada perintah suaminya selagi perintah suaminya itu tak menyalahi syariat. Manis pun dah berjanji pada diri sendiri, dia akan berusaha menjadi seorang isteri yang baik kepada Remy nanti.

"Lega hati saya dengar Manis cakap macam tu." Semakin lebar senyuman yang terukir pada bibir Remy.

"Tapi kalau boleh saya nak bekerja."

Bosan pula Manis memikirkan kalau sepanjang masa dihabiskan di rumah. Lainlah kalau mereka dah ada anak nanti. Anak? Jauhnya kau berangan, wahai Cik Manis! Muka Manis mula berubah rona. Malu sendiri.

"Boleh. Saya tak menghalang kalau Manis nak bekerja."

Hati Manis terasa lega.

"Manis, mungkin Manis dah tahu yang ayah saya dah meninggal lama dulu. Jadi..."

Ayat Remy tergantung di situ. Dia berdehem sekali lagi. Dada Manis mula terasa berdebar-debar.

"Saya nak tanya, Manis ada apa-apa masalah tak kalau kita tinggal dengan mak saya lepas kahwin nanti? Mak memang tinggal dengan saya sejak dulu lagi. Adik-beradik saya yang lain dah berkahwin, dah ada komitmen masing-masing. Jadi, saya yang jaga mak sejak saya mula bekerja sampailah sekarang."

Tinggal dengan mak Remy? Baikkah mak Remy tu? Betahkah dia? Soalan itu serta-merta menerpa ke dalam fikiran Manis.

"Kalau Manis rasa tak selesa tinggal dengan mak mentua, saya akan fikirkan jalannya nanti."

Melihat Manis yang seolah-olah termangu-mangu buat Remy rasa serba salah. Dia tahu, tak semua menantu suka tinggal serumah dengan mentua, tambah-tambah bagi pasangan yang baru berkahwin macam dia dan Manis nanti.

Tapi kalau tak tinggal dengan dia, mak nak tinggal dengan siapa? Takkanlah nak tinggal dengan adik-beradik lain yang dah beranak-pinak dan tinggal jauh-jauh. Mak tentu tak selesa. Dah lama mereka tinggal di rumah itu, sejak arwah ayah ada lagi.

Dan bila dia berkahwin, mak terpaksa pula tinggal sendiri dan dia akan tinggal di rumah lain bersama Manis? Siapa yang nak tengok-tengokkan sakit pening mak? Kalau darah tinggi mak tiba-tiba menyerang, macam mana? Kalau mak tiba-tiba jatuh dalam bilik air dan tiada sesiapa di rumah tu...

Ah, walaupun dia kata dia akan cuba cari jalan, tapi sungguh Remy rasa tak sanggup. Maknya cuma seorang, takkanlah dia tak boleh nak jaga mak sepertimana mak pernah menjaganya sejak lahir lagi?

"Tak perlu. Saya tak ada masalah tinggal dengan mak awak."

Kata-kata Manis seolah-olah hujan yang turun di padang pasir bagi Remy. Masalah yang memberat di dalam kepalanya sejak sebelum mereka bertunang lagi, rupa-rupanya selesai dalam masa tidak sampai pun setengah jam.

"Alhamdulillah. Terima kasih, Manis. Terima kasih."

Lega hati Remy mendengar keputusan Manis. Memang inilah tujuan utamanya datang berjumpa Manis pagi ini. Dia nak Manis faham situasi bila mereka dah berkahwin nanti. Tiga bulan bukannya lama. Dia tak mahu Manis sangka yang dia sengaja nak sembunyikan perkara itu daripada Manis pula nanti.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro