Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 11

Keputusan telah pun dibuat. Hari ini Manis telah selamat bergelar tunangan orang. Entahlah, perasaan Manis kosong, sekosong-kosongnya.

Semua maknya yang uruskan. Manis tinggal hulurkan jari sahaja petang tadi. Majlis tunangnya tidaklah segah majlis tunang Nora. Lagipun manalah dia nak cekau duit nak buat majlis tunang yang besar-besar. Lainlah Nora, ramai yang sponsor.

"Majlis nikah tiga bulan dari sekarang. Banyak persiapan yang kita nak buat," beritahu Mek Dilah waktu makan malam setelah mereka selesai mengemas.

"Hah?" Manis sedikit kaget. Cepatnya!

"Yang kamu terkejut ni kenapa? Kamu tak dengar ke waktu orang tengah berbincang tadi?"

Memang itulah permintaan daripada pihak lelaki. Tak mahu bertunang lama-lama. Dia dan Pak Rashid setujukan aje. Sementelah dapat juga mereka lepaskan Manis sebelum giliran Nora tiba. Senang, tak timbul lagi isu langkah bendul lepas ni.

"Manis kan duduk di dalam bilik masa tu, manalah nak dengar."

Jangan kata nak dengar apa yang sedang dibincangkan di luar, kawan-kawan yang datang menemankan dia di dalam bilik tadi pun tak begitu diendahkan. Hatinya tiada di situ. Fikirannya menerawang.

Teringatkan janji yang pernah dia buat dulu. Mungkin waktu Hizbur balik nanti, dia dah tak ada di sini menunggu Hizbur.

Maafkan Manis ya, Hizbur. Manis dah mungkir janji, bisiknya dalam hati.

"Baguslah tak bertunang lama-lama. Lagipun, Remy tu dah stabil dari segala segi. Rumah dah ada, pandu kereta pun kereta import. Segak pula orangnya. Hai, bertuah betul kamu ni, Manis!"

Remy. Ah, nama bukan main glamor lagi. Manis mahu mencebik tapi bimbang maknya nampak. Lagipun, ini julung kalinya Mek Dilah memuji. Walaupun bukan puji dia secara langsung, tapi Manis tetap rasa mahu menangis. Dia dipuji kerana Remy tu nampak hebat orangnya, tapi hatinya tetap rasa terharu.

Selama ini mak tak pernah cakap yang baik-baik tentang dia, tambah-tambah bila di depan orang. Mahu tak rasa nak menangis dibuatnya sebab dalam dua puluh empat tahun dia hidup, baru hari ni mak kata dia anak bertuah!

"Entah apalah yang dipandangnya pada Manis ni. Nak kata cantik, ramai lagi yang cantik dalam kampung ni. Nak kata dah lama kenal, katanya masa majlis tunang Nora yang dia terpandang dan berkenankan Manis. Aku rasa mesti kau ada baca jampi serapah masa majlis Nora tu kan, Manis? Manalah tahu... Orang kalau dah terdesak, macam-macam dia buat."

Kalau tak buat Manis naik darah, bukan Zuhdi la tu namanya. Ini pun dia balik kerana Pak Rashid yang paksa. Kalau tidak, bermacam-macam alasan yang Zuhdi beri. Ah, Manis pun langsung tak kesah. Zuhdi balik atau tidak, sama aje bagi dia.

"Aida pun pelik. Remy tu boleh tahan orangnya. Tapi... Orang macam Manis yang dia pilih?"

Amboi, isteri Zuhdi ni pun boleh tahan juga mulutnya. Tapi memandangkan Mek Dilah ada sama di situ, Manis tahankan hati. Nanti kalau Mek Dilah tinggikan suara di depan mereka suami isteri, tentu Manis lebih sakit hati lagi nanti.

"Sebab tu abang syak Manis ni ada baca ayat pemikat. Atau mungkin juga dah calitkan minyak pengasih pada Remy tu. Nora, Cik Sitam Dukun tu hidup lagi ke? Jangan-jangan Manis ada pergi jumpa dia."

Manis mendengus mendengar tuduhan Zuhdi. Sabar Manis, sabar. Malas dia mahu melayan. Nanti, dia juga yang ditegur kerana berperangai kebudak-budakan. Yalah, Zuhdi sahajalah yang matang di dalam rumah ni.

"Dah meninggal tahun lepas mak dukun tu. Eh, lepas kahwin kau kena ikut dialah kan, kak?"

Manis terpinga-pinga. Ikut? Ikut dia ke mana? Dia tu pun aku ingat-ingat lupa lagi namanya. Panjang sangat. Yang Manis ingat cuma Remy. Sebab nama tu sama dengan nama pelakon pujaan hati.

Tadi katanya masa majlis tunang dia ada datang, tapi entahlah, Manis pun tak tahu yang mana satu. Ramai sangat rombongan dari pihak keluarga lelaki. Takkanlah dia dengan muka tak malu nak bertanya yang mana satu Remy, ya? Saya tunang dia. Remy ooo... Remy. Ah, tak kuasa!

"Sebulan sebelum kahwin tu, jangan lupa beritahu bos kedai serbaneka tu yang kamu nak berhenti kerja. Kalau ikutkan mak, esok lusa pun mak nak kamu berhenti kerja. Boleh juga tolong apa-apa yang patut di rumah sebelum majlis tu nanti," arah Mek Dilah pula.

"Biarlah kalau Manis nak bekerja pun. Dah kahwin nanti kalau suaminya tak benarkan dia bekerja, dia berhentilah. Pandai-pandailah mereka atur hidup mereka lepas berumah tangga nanti."

Kasihan Pak Rashid melihat Manis yang diam tidak bersuara dari tadi. Mungkin lemas diasak dengan soalan dan arahan demi arahan oleh Mek Dilah dan juga Nora.

"Eh, mana boleh! Mustahil Remy tu nak benarkan Manis bekerja. Lagipun kerja setakat pembantu kedai aje pun, bukannya kerja arkitek ke, cikgu ke. Buat malu Remy aje nanti. Suami kerjanya peguam, tapi isteri pembantu kedai. Baik Manis duduk aje di rumah, uruskan hal rumah tangga," bantah Mek Dilah serta-merta.

Lagipun, kalau dah berkahwin, takkanlah Remy nak tinggalkan Manis di sini? Tentulah Remy akan bawa Manis tinggal bersamanya. Kalau Manis tak mahu ikut Remy sebab sayang nak berhenti kerja? Huh! Tahulah dia nak buat apa dengan Manis kalau Manis berani buat perangai macam tu.

"Sudah! Makan cepat. Awak jangan pandai-pandai suruh Remy arahkan Manis ni berhenti kerja. Biar mereka berdua aje berbincang mana yang elok untuk mereka. Baik awak, baik saya, jangan masuk campur."

Semua terdiam bila Pak Rashid sudah bersuara tegas begitu. Manis tarik nafas lega. Serabut juga kepala dibuatnya bila dari tadi tak habis-habis mak mahu mengatur urusan hidupnya.

Mata Manis terkebil-kebil memandang cicak yang sedang berlari-lari di dinding. Bunyi dengkuran Nora yang tidur di sebelah langsung tidak dihiraukan. Ah, berbeza sungguh keadaan Nora dengan dirinya. Nora sejak bertunang, bukan main cepat lagi lenanya. Pantang letak kepala di atas bantal, tak sampai lima minit dah pun selamat berlayar.

Dia pula sejak berita risikan Su Milah sehinggalah ke hari ini, bukan main payah lagi nak melelapkan mata. Dia sendiri pun tak tahu apa yang difikirkannya. Atau mungkinkah dia dah dapat penyakit insomnia?

Semua orang yang perkahwinan mereka diatur keluarga, pun macam ni ke keadaannya? Nak tanya kawan-kawan, semuanya kahwin atas dasar cinta.

Nak tanya Nora, huh, Nora dan Irsyad tu lagilah lama berkawan! Dari zaman sekolah lagi mereka berdua tu dah mengikat janji. Mujurlah dua-dua jenis setia.

Aku? Hurm... Jangan kata bercinta, orang nak dekat pun tak berani. Entahlah, sejak peristiwa dia dikhianati Dania, Manis lebih suka ambil langkah berhati-hati dan buat hal sendiri.

Ah, tak ada kawan pun aku boleh hidup juga. Hatinya berbisik lagi.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro