Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 1

PROLOG

"Manis akan tunggu saya?"

Manis mengerling ke arah Hizbur yang berdiri agak jauh darinya. Dahinya berkerut. Tidak faham Manis dengan soalan yang diajukan Hizbur tadi.

"Tunggu?" Mata Manis berkalih semula memandang Nurul dan adik-adik Hizbur yang begitu seronok bermain pondok-pondok di tepi sawah.

"Ya. Tunggu hingga saya habis belajar," pinta Hizbur. Manis mengerutkan dahinya. Pelik dengan permintaan tiba-tiba Hizbur.

"Saya nak ke mana lagi, Hizbur? Di sinilah tempat saya. Saya lahir, dibesarkan dan mati pun mungkin di sini juga. Saya tak nampak adanya peluang untuk saya keluar dari sini. Tak macam awak..."

Ada keluhan pada hujung kata-kata itu. Dia teringin sebenarnya mahu keluar dari kampung dan pekan kecil yang dihuninya sejak lahir. Dia mahu melihat tempat orang, mahu mencari pengalaman baru dan ingin sekali hidup jauh dari situ. Jauh daripada mereka yang tidak dapat menerima kehadirannya.

"Insya-Allah, Manis. Suatu masa nanti, awak akan keluar juga dari sini. Mulakan penghidupan baru di tempat yang baru. Saya akan selalu doakan awak." Tulus kedengaran suara Hizbur. Manis senyum kecil.

"Janji ya, Manis tak akan ke mana-mana. Tunggu hingga saya pulang. Saya akan cari Manis nanti bila saya dah habis belajar." Hizbur masih belum berpuas hati selagi Manis tidak berkata ya.

"Insya-Allah, Hizbur."

Ah, Hizbur! Macamlah aku ni mampu nak keluar dari sini. Kalau tidak, pasti dah lama aku pergi. Manis merenung sawah yang terbentang di depan mata. Pokok-pokok padi dah mula menguning. Tak lama lagi, musim menuai akan tiba. Dan dia, tak kira musim apa, akan terus berada di sini.

Mata Hizbur turut merenung ke arah yang sama.

Tunggu saya ya, Manis. Kita akan tengok pemandangan ini bersama-sama lagi nanti. Jangan pergi selagi saya belum pulang, pinta Hizbur dalam hati.

Dia masih belum mampu untuk menyatakan apa yang tersimpan sejak bertahun dulu. Masih belum tiba masanya dan sehingga itu, dia berharap yang Manis akan terus setia menunggu.

"Manis sakit, mak! Tolonglah, jangan pukul Manis lagi." Manis merayu sambil kedua-dua tapak tangannya dirapatkan. Air mata sudah tidak mampu disekanya lagi. Hanya dibiarkan luruh menuruni pipi.

"Gatal sangat kau, ya? Senyap-senyap kau pergi jumpa lelaki dekat belakang aku. Nanti tahu-tahu, perut dah buncit, baru kau nak datang rasa menyesal! Seronoklah kau kan, malukan nama aku, malukan nama abah kau!" tuduh Mek Dilah. Marahnya hingga ke kepala, mendengar laporan Zuhdi tadi, buat dia rasa mahu aje mengheret Manis balik ke rumah. Tapi ditahannya rasa hati kerana tidak mahu menjadi buah mulut orang kampung pula nanti.

"Manis tak buat macam tu, mak. Lagipun, adik-adik Hizbur pun ada. Manis pun bukannya seorang, Nurul pun ada sekali tadi."

Huh! Nurul yang baru masuk darjah dua tu yang ditarik Manis sebagai saksi. Bukannya tahu apa-apa budak tu. Sampai aje di sawah, tahunya berkubang.

"Kau jangan nak seret nama adik kau yang belum baligh tu. Dia tahu apa? Kau tu yang patutnya tunjuk contoh yang baik-baik pada adik-adik kau. Ini tak, perangai macam perempuan yang tak ada maruah. Terhegeh-hegeh pergi berjumpa lelaki dekat tepi sawah tu. Kau fikir orang kampung ni tak nampak? Tak bercerita tentang hal kau dengan Hizbur tu? Eh Manis, ini kampung tahu? Beritanya lebih laju sampai kalau nak dibandingkan dengan Internet!"

"Manis tak buat apa-apa pun, mak. Manis cuma jumpa Hizbur untuk ucapkan selamat jalan."

Mek Dilah merengus. Balik-balik, itulah alasan Manis. Tak buat apa-apa. Kalau tak buat apa-apa, takkanlah Zuhdi beria-ia balik mengadu? Mujurlah ada abang yang prihatin macam Zuhdi tu. Kalau tidak, entah apa-apa jugalah yang dibuat Manis di belakangnya. Inilah gunanya ada anak lelaki. Boleh jadi pelindung, penjaga maruah keluarga.

"Yang mengada-ada sangat pergi jumpa anak teruna orang tu kenapa? Dah gatal sangat nak berlaki? Eh Manis, kau sedar tak kau tu siapa dan Hizbur tu siapa? Dia tu nak sambung belajar ke luar negara, nak jadi doktor. Kau ingat dia nak pandang kau yang tak ada apa-apa ni? Hah? Kau fikir dia akan ingat pada kau lepas dah sampai dekat negara orang tu? Jangan kata muka kau, nama kau pun dia akan lupa nanti. Kau peganglah cakap mak ni kalau kau tak percaya!"

Berapi-api marah Mek Dilah.

Kecil-kecil anak sahaja Manis pada pandangan matanya. Malu kalau orang mengata yang dia tak pandai menjaga anak daranya. Belum apa-apa, dah sibuk nak menyondol anak teruna orang.

Kalau Manis tu setaraf dengan Hizbur, lainlah cerita. Ini Manis yang keputusan SPM pun cukup-cukup makan. Ada hati pula nak sambung belajar macam Zuhdi dan Nora. Huh, buat habiskan duit aje!

"Hizbur tu kawan Manis, mak. Dia banyak tolong Manis dalam pelajaran."

"Tapi kau tetap tak pandai-pandai juga, kan?"

Manis diam. Ya, otaknya tidaklah secair otak abang dan adik-adiknya. Mungkin sebab itulah mak dan abah tak mahu ambil tahu kalau dia mahu menyambung pelajaran lagi.

Tak macam Zuhdi dan Nora, mak dan abah sanggup bergolok-bergadai demi mereka. Sudahnya, lepas tamat SPM dua tahun lepas, Manis terperap aje di kampung. Bekerja di pekan kecil yang tak sampai tiga kilometer dari rumah. Mahu mohon masuk ke mana-mana pusat kemahiran pun, baik mak, baik abahnya tak benarkan.

Kata abahnya, tinggal sahaja di rumah, bantu apa yang patut.

Kalau semua sambung belajar, siapa yang nak uruskan hal-hal di rumah tu? Mak dan abah bukannya makin muda. Cukuplah Zuhdi sahaja yang sambung belajar. Dia anak lelaki, tanggungjawabnya berat nanti.

Tahun ini, Nora pula yang dapat tawaran masuk kolej kejururawatan. Bila Manis persoal, kenapa Nora dibenarkan sambung belajar dan dia tidak? Jawab mak, Nora tu pandai, sayanglah kalau peluang disia-siakan. Bukan macam Manis, kalau sambung belajar pun, bukannya boleh jadi bakal engineer macam Zuhdi ataupun jururawat macam Nora.

"Kau dengar sini baik-baik, Manis. Sekali lagi aku dengar kau pergi jumpa Hizbur atau mana-mana lelaki, siaplah kau! Lagi teruk dari ni lagi mak akan buat. Kalau kau gatal sangat nak berlaki, beritahu mak. Senang mak carikan calon untuk kau! Lagipun, kau bukannya ada apa nak dibuat dekat rumah lepas ni selain daripada makan tidur. Baik kau cepat-cepat berlaki supaya kurang sikit tanggungan beban abah kau dan aku."

Sempat dahi Manis ditunjalnya sekali. Geram! Dalam pada rupa dan otak yang tak seberapa tu, macam-macam onar pula yang diolah Manis. Macam manalah dia tak mahu marah? Manis seolah-olah sengaja mahu mencabar kesabarannya.

Manis mengusap-usap betis dan lengannya yang terkena libasan hanger yang dilibas maknya tadi. Pedih!

"Sedap?" Zuhdi tersenyum-senyum di sebalik daun pintu biliknya.

Manis mengemam bibir. Geram! Kalau tidak kerana mulut Zuhdi, tidaklah mak menggila marahnya sampai berbekas lengan dan betis Manis dibalun dengan penyangkut baju.

"Kenapa kau sampai hati buat aku macam ni, bang? Apa dosa aku pada kau?"

"Apa pula? Aku cuma beritahu mak apa yang aku nampak aje tadi. Betul kan kau dengan Hizbur berjumpa dekat tepi sawah Haji Ludin petang tadi?"

"Tapi kenapa kau tak beritahu yang aku bukannya berdua dengan Hizbur masa tu? Ada ramai orang di sawah petang tadi sedang menangkap puyu. Adik-adik Hizbur pun ada sama. Kenapa kau fitnah aku?"

"Oh, ya ke? Maaflah, aku tak perasan masa tu ada orang lain dekat situ. Aku ingatkan cuma ada kau dengan dia aje. Tapi aku nak nasihatkan kau, Manis. Kalau kau ada hati dekat Hizbur tu, baik kau lupakan ajelah. Dia tu bakal doktor, kau tu setakat pembantu kedai aje.

Sebelum kau kecewa, baik kau muhasabah diri kau. Layak ke bakal doktor bergandingan dengan perempuan yang macam kau? Rupa kurang, pelajaran pun tak seberapa. Lainlah kalau Nora, dahlah cantik, bijak pula tu."

Sengaja Zuhdi buat-buat menggelengkan kepalanya. Biar Manis sedar, yang dia dengan Hizbur bukan lagi macam enggang dengan pipit, tapi dah macam siang dengan malam. Terlalu jauh bezanya.

Hizbur tu kalau dari segi rupa, pun tak kalah juga. Dahlah pandai, segak pula. Masakan dia mahu dengan Manis yang tak punya apa-apa ni.

Kalau dia pun, dia tak ingin dengan Manis. Dahlah berkulit gelap, rambut kerinting, kulit muka pun tak licin. Hesy, tengok pun tak selera!

Tak tahulah dari mana datangnya kata-kata pujangga, hitam-hitam si tampuk manggis, biarpun hitam, kupandang manis. Bagi Zuhdi, Manis bukannya manis dipandang pun!


BAB 1

"Anak yang ni lain sikit mukanya berbanding dengan adik-beradik dia yang lain, ya? Hitam pun hitam."

Dia yang sedang menatang dulang yang berisi air kopi cuba untuk berlagak biasa walaupun hatinya sudah terasa sakit. Setiap kali ada tetamu yang datang, itulah yang selalu diulang. Kulit dia hitam, dia lain daripada adik-beradiknya yang lain. Dan perkara ini tidak akan berakhir di sini sahaja, tengoklah nanti!

"Haah, kan? Abang dan adik-adiknya bukan main cerah lagi kulit masing-masing. Mengikut kulit mak dan abahnya. Tapi bila tiba yang ni, gelap! Masa buat anak yang ni, rumah Dilah dengan Rashid ni blackout kut. Betul tak, Dilah?"

Dan tawa mereka pun berderai. Dia pula hanya mampu menahan hati, mahu sahaja dia membidas, tapi masakan mungkin, tambah-tambah dengan adanya mak di situ. Sempat dia menjeling ke arah mak yang hanya tersenyum-senyum mendengar anak sendiri dijadikan bahan gurauan. Gurauan ke tu?

"Mengarut aje semua tu. Anak yang ni mengikut kulit datuk sebelah abahnya. Itu yang lain sikit. Bentuk muka pun lebar, berbanding yang lain, bujur sirih. Eh, jemputlah minum. Air bujang aje. Lepas ni nak ke mana pula?"

Dan mereka terus menyambung perbualan tanpa menghiraukan dirinya. Dia menarik nafas panjang. Sabar Manis, sabar. Ini bukannya kali pertama pun yang kau nak terasa hati sangat. Perkara biasa Manis, dah terlalu biasa. Dia cuba memujuk hati sendiri.

"Manis, jangan makan ayam goreng bawah tudung saji tu. Itu untuk abang kamu!" laung Mek Dilah dari ruang tamu. Nampak sahaja kelibat Manis yang masuk ke dapur, laju dia berpesan.

"Satu aje ke mak, ayam goreng ni?" tanya Manis dari arah dapur.

Terkelip-kelip memandang paha ayam yang digoreng kunyit elok terletak di atas pinggan. Dia menelan liur. Sedapnya kalau dapat makan ayam goreng dengan nasi panas-panas. Tak perlu lauk lain pun tak apa. Dapat ayam goreng ni pun dah cukup. Tapi larangan maknya tadi terngiang-ngiang pula di telinga.

"Satu aje. Itu pun Cik Pah yang beri tadi. Kamu jangan nak ambil. Itu untuk abang kamu."

Manis menoleh. Padanlah suara tu dia dengar semakin dekat, rupa-rupanya mak dah pun sampai dekat dapur.

Mungkin tak percaya pada aku agaknya, bimbang aku ambil ayam goreng yang disimpan khusus untuk anak lelaki kesayangan mak. Satu-satunya anak lelaki mak dan abah.

Anak sulung pula tu. Manalah mak tak mahu tatang Abang Zuhdi tu bak minyak yang penuh. Itu yang Abang Zuhdi bukan main lagi naik lemaknya. Sebab dia tahu yang dia anak kesayangan mak dan abah.

"Habis tu, Manis nak makan apa?" Dia memandang pinggan yang sudah diletakkan di atas meja. Ada nasi dan juga sayur kobis digoreng bersama kicap. Kalaulah dapat makan dengan ayam goreng tu... Sekali lagi hatinya menguji.

"Eh, ikan selar goreng tu kan ada! Makanlah ikan tu. Jangan nak memilih makan sangat, Manis. Kita ni bukan orang senang. Aish, muka tak seberapa, makan bukan main lagi memilih." Sempat Mek Dilah menyindir.

Manis diam. Ayat tu dah lali di telinganya.

"Cik Pah beri satu aje tadi. Mak sendiri pun sanggup tak makan, simpan untuk anak-anak. Tak boleh ke kamu bertolak-ansur sikit, Manis? Jangan tamak dengan adik-beradik sendiri. Pasal makan pun tak boleh nak berlebih kurang."

Masalahnya mak simpan bukan untuk anak-anak, tapi untuk anak yang seorang itu ajelah. Selalu macam ni, kalau tentang Abang Zuhdi, semua orang dalam rumah ni kena beralah. Balik-balik, Abang Zuhdi tu satu-satunya anak lelaki mak, anak harapan mak dengan abah.

Tua-tua nanti, anak lelaki itulah yang mak harap dapat jaga mak dengan abah, anak perempuan dah kahwin akan pergi tinggalkan keluarga, perlu patuh kata suami. Sebab itulah mak perlu layan Abang Zuhdi tu baik-baik. Abang Zuhdi tu aje yang mak boleh bergantung harap bila tua nanti.

Manis mengemam bibir. Itulah ayat yang selalu diulang mak bila Manis persoalkan kenapa balik-balik Abang Zuhdi sahaja yang dapat layanan istimewa.

Kalau bergaduh pun, dia juga yang terpaksa minta maaf, terpaksa beralah, meskipun itu bukan salahnya. Kata mak, adik perlu beralah dengan abang. Yang muda perlu beralah dengan yang tua.

Manis dah lama rasa jengkel dengan sikap mak yang satu ni. Pilih kasih! Kadang-kadang dia terfikir, malangnya dia dilahirkan sebagai perempuan dalam keluarga ni. Lelaki di dalam rumah ni dilayan macam raja, perempuan pula, tak ubah macam orang gaji.

Dalam pada tidak puas hati, dicapainya juga ikan selar yang digoreng garing. Matanya melirik lagi ke arah ayam goreng kunyit buat kali terakhir. Ah, bila aku dah bekerja nanti, aku akan makan ayam goreng puas-puas! Tak perlu nak berebut dengan anak kesayangan mak ni lagi. Manis memasang tekad.

"Manis, kau dah gosok belum baju aku?"

Manis buat-buat tak dengar. Malas nak melayan pun ya juga. Dah besar panjang pun asyik nak mengharapkan orang lain buat semua kerja.

Diri sendiri duduk bermaharajalela macam sultan negara kayangan. Meluat Manis dibuatnya. Tapi apa boleh dikatakan, itu kan anak harapan mak dan abah.

"Eh, kau pekak ke? Aku tanya ni baju aku, kau dah gosok belum?"

"Banyak lagi kerja yang Manis nak kena buat. Pinggan mangkuk dalam singki tu, baru sekejap tadi Manis basuh, dah penuh semula. Itu, kain baju yang bertimbun dalam bakul, pun Manis juga yang nak kena lipat. Nak mandikan Nurul, nak siram pokok bunga, nak masak nasi untuk makan malam, semuanya harapkan Manis. Masing-masing kan dah besar, takkanlah setakat iron seluar dan baju sekolah sendiri pun tak boleh?"

Zuhdi terpaku. Bukan kerana kagum dengan kata-kata Manis, tapi kaget dengan mulut Manis yang bukan main lepas lagi hari ni. Selalunya Manis menurut aje. Angin apa agaknya yang dah merasuk Manis petang ni?

"Aku lelaki. Lelaki tak buat kerja-kerja macam tu," balas Zuhdi. Bukan main angkuh bunyinya.

"Habis tu, lelaki macam Abang Zuhdi buat kerja apa? Melepak sambil main gitar dengan kawan-kawan dekat tepi simpang tu? Tengok televisyen dari pagi sampai petang? Atau makan tidur aje?" Manis pun nampaknya tidak mahu mengalah kali ini.

"Eh, banyak cakap pula kau hari ni! Kau dah pandai merungut, ya..."

"Zuhdi... Manis! Apa yang bising-bising sampai dengar hingga ke tengah laman? Tak malu ke dengar dek jiran-jiran? Mak dengar macam orang bertekak sebab tak cukup makanan!"

Mek Dilah merenung tajam wajah kedua-duanya. Malu rasa mukanya bila Kak Jarah pun turut dengar sama. Walaupun tidak jelas kedengaran biji butirnya, tapi nampak seolah-olah dia tidak pandai nak mendidik anak-anak. Di depan orang pun tak tahu malu, boleh bergaduh macam anjing dengan kucing.

"Bukan sebab tak cukup makanan, tapi sebab anak perempuan mak ni dah pandai nak merungut, dah pandai nak mengelat dari buat kerja," adu Zuhdi.

Tidak dihiraukan mata Manis yang sudah mencerlung memandangnya. Ah, apa saja yang boleh dilakukan Manis?

"Manis?" Mek Dilah beralih pandang, merenung anak keduanya. Wajah Manis kelihatan tegang. Marah pada Zuhdi agaknya masih belum hilang.

"Manis cuma minta Abang Zuhdi gosok baju sekolah dia sendiri. Salah ke? Manis banyak lagi kerja yang nak dibuat. Kerja sekolah Manis pun belum siap. Lagipun masing-masing dah besar panjang, dah bersekolah menengah. Takkanlah setakat nak gosok baju sekolah sendiri pun tak boleh? Manis ni, dari darjah tiga dah tolong gosok baju untuk semua orang. Takkanlah untuk sekali ni Abang Zuhdi tak boleh buat sendiri?"

Mek Dilah tarik nafas. Berdesing telinganya mendengar kata-kata Manis.

"Tak ada sejarah dalam keluarga ni lelaki buat kerja rumah. Anak lelaki mak tak buat kerja-kerja macam tu. Kamu ni kenapa yang malas sangat? Dah itu memang kerja perempuan pun, nak rungutkan apa? Sebelum kamu lahir, sebelum kamu besar panjang, siapa yang buat semua kerja-kerja tu? Bukan ke mak ni? Pernah kamu lihat abah kamu buat kerja-kerja orang perempuan dalam rumah ni? Pernah abah kamu basuh pinggan? Pernah abah kamu jemur kain baju? Hah? Pernah ke, Manis?" herdik Mek Dilah.

Panas hati dengan rungutan yang keluar dari mulut Manis. Baru umur lima belas tahun, dah pandai merungut macam-macam. Besar nanti tak tahulah macam mana agaknya. Mahu ditendang mak mentua kalau dah begini perangai Manis. Nanti, yang dikata orang tak pandai mendidik anak, dia juga. Manis ni memang suka nak memalukan dia!

Manis diam. Tak berani menjawab bila suara maknya sudah nyaring begitu.

"Kalau susah sangat nak buat, penat sangat macam yang kamu kata tadi tu, kamu tinggalkan aje. Biar aku yang buat. Sebelum-sebelum ni pun, aku juga yang buat semua kerja itu. Ingatkan bila kamu dah besar, boleh kamu bantu aku buat kerja-kerja dalam rumah ni, tapi nampak gayanya tak boleh diharap juga. Merungut aje yang kamu pandai!"

Manis tunduk merenung lantai rumah yang dilapik tikar getah. Entahlah... Mendengar kata-kata maknya, hati Manis terhiris lagi.

"Aku dengar sekali lagi kamu merungut pasal kerja rumah, kamu pindahlah duduk di mana-mana tempat yang kamu tak payah buat kerja langsung. Tengoklah siapa yang nak bela dan jaga budak pemalas macam kamu ni."

Mek Dilah menjeling si anak yang sudah menikus. Mendengus kuat sebelum kembali turun ke halaman rumah. Perbualan yang tadinya tergendala harus disambung semula. Rugi kalau tak ambil tahu isu-isu semasa dalam kampung mereka.

"Betul tak apa yang aku cakap tadi? Orang lelaki macam aku tak buat kerja-kerja remeh macam yang orang perempuan buat. Jadi, kalau kau tak mahu mak tambah marah, tambah benci pada kau, baik kau buat aje kerja kau tu diam-diam. Tak payahlah nak banyak cakap. Kau lupa ke yang kau tu anak angkat yang mak dan abah jumpa dalam tong sampah? Tengok kulit pun dah tahu. Orang lain semuanya kulit cerah, kau seorang aje yang kulit gelap. Dah anak angkat tu, buatlah cara anak angkat."

Zuhdi ketawa. Sinis bunyi tawanya. Manis mengetap bibir. Anak angkat! Itulah yang diulang sebut oleh Zuhdi. Malah bukan Zuhdi sahaja, malah mak-mak saudara dan bapa-bapa saudaranya juga. Jika mereka berniat untuk bergurau, sungguh Manis kurang senang dengan gurauan itu.

Berulang kali Manis tanyakan kepada abahnya, tapi jawab abahnya, Manis bukan anak angkat, Manis anak kandungnya sama macam Zuhdi, Nora dan Nurul. Tapi kalau dia anak kandung, kenapa Manis rasa layanan yang dia terima tak sama macam yang adik-beradiknya terima? Kenapa dia rasa terasing di tengah-tengah keluarga sendiri?

Mata Manis jatuh pada lengannya. Kerana warna ini ke? Kerana kulitnya gelap dan dia tidak secantik dan secomel adik-beradiknya yang lain? Dia dipinggirkan hanya kerana perbezaan fizikal yang dia ada?

Manis tertanya-tanya sendiri. Persoalan yang tidak pernah terjawab dan Manis tidak tahu mungkinkah ada jawapannya?

Setitis demi setitis air matanya tumpah. Entahlah, Manis sudah malas mahu mengira berapa titis air matanya tumpah hari ni. Cepatlah masa berlalu. Aku dah tak sabar nak keluar dari rumah ni.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro