Bab 8
"APA?"
Mak Cik Halimah, Nazim dan Aiza terkejut dengan berita yang baru disampaikan oleh doktor itu. Berita yang benar-benar tidak diduga oleh akalnya. Serta-merta, Mak Cik Halimah meraup kedua-dua belah tangannya ke muka. Dia tidak menyangka ujian Allah ke atas dirinya. Ujian yang sangat berat.
"Mak..." Aiza sudah menangis di dalam dakapan emaknya. Kenapa emaknya yang dipilih untuk melalui ujian ini? Kenapa tidak orang lain sahaja? Hidup mereka sekeluarga sudah banyak menderita. Mereka tidak mampu untuk melalui ujian ini. Dia tidak sanggup berpisah dengan insan yang sudah melahirkannya. Serasa sekejap sahaja masa yang dipinjamkan oleh Allah untuk mereka adik-beradik bersama emak mereka.
Nazim hanya mengeluh berat. Kesian emak. Adik-adiknya masih memerlukan wanita itu sebagai pelindung mereka.
"Saya dah menyemak laporan kesihatan mak cik beberapa kali. Saya juga ada melakukan beberapa pemeriksaan ke atas mak cik. Jawapannya tetap sama," ujar doktor yang memakai tanda nama Johan itu.
Mereka bertiga hanya diam membisu. Masih terkejut dengan berita yang diberitahu oleh doktor itu. Fikiran mereka kosong.
"Jadi, kami perlu melakukan pembedahan dengan secepat mungkin ke atas mak cik," ujar Doktor Johan. Ketumbuhan yang berada di dalam kepala Mak Cik Halimah perlu dibuang dengan segera.
Mak Cik Halimah mengangkat wajahnya. Nazim terkejut. Aiza terus menangis di dalam dakapan emaknya. Dia tidak sanggup mendengar kata-kata Doktor Johan itu.
"Penting ke, doktor?" Nazim bertanya.
"Sangat penting. Jika tidak dibuang, ia boleh meragut nyawa ibu awak."
"Bila pembedahan akan dijalankan, doktor?" Nazim bertanya lagi. Nyawa emaknya dalam bahaya. Dia perlu menyelamatkan nyawa emaknya dengan segera.
"Secepat mungkin dan apabila pesakit sudah bersedia. Ini untuk mengelakkan ketumbuhan itu semakin membesar."
"Berapa kos rawatan doktor?"
"Lima puluh ribu ringgit."
"Hah?!"
NAZIM mundar-mandir di dalam biliknya. Ke hulu dan ke hilir dia berjalan. Sekejap duduk, kemudian berdiri. Semua tidak kena dengan dirinya. Fikirannya buntu. Lima puluh ribu ringgit perlu dicarinya secepat mungkin. Nyawa emaknya dalam bahaya.
Mana aku nak cari duit sebanyak tu? Aku mana ada duit simpanan. Semua duit aku guna untuk persekolahan Aima dan Aiza. Geran tanah? Arghhh! Mak Cik Hasnah. Kenapa emak sanggup bagi geran tanah arwah datuk kepada Mak Cik Hasnah? Lagipun, takkan nak jual tanah ni? Nanti mana kakak dan adik-adik aku nak tinggal? Kesian mereka. Tak boleh. Aku kena dapatkan geran tu daripada Mak Cik Hasnah. Perempuan tamak. Hati Nazim bermonolog.
Tanpa membuang masa, dia terus keluar dari biliknya. Ketika itu hanya dia dan Aima yang berada di rumah. Laju kakinya melangkah menuju ke rumah mak ciknya. Dia memang tidak menggemari sikap tamak Mak Cik Hasnah. Tak boleh tengok orang lebih daripada dia, mesti macam-macam akan dikatakannya.
"Mak cik... Mak cik," panggil Nazim sebaik sahaja sampai di pekarangan rumah batu milik Mak Cik Hasnah.
"Mak cik! Mak Cik Hasnah!" panggil Nazim lagi apabila sahutannya tidak berbalas. Kali ini lebih kuat.
"Oi... Kau tiada adab ke, hah? Mari rumah orang jerit-jerit," marah Hannah.
"Mak kau mana?"
Hannah senyap. Cari mak rupa-rupanya.
"Kenapa kau nak tahu?"
"Hoi, Hannah. Aku tanya kau baik-baik ni. Aku tak nak cari gaduh dengan kau. Buang masa aku aje." Meluat Nazim melihat wajah sepupunya yang berlagak itu.
Hannah mencebik lalu keluar dan menuju ke arah Nazim.
"Mak tak ada."
"Kau tipu."
"Betullah, mak tak ada. Mak keluar pergi kenduri. Petang nanti baliklah," ujar Hannah sambil menjuihkan bibir. Tak percaya sudah.
Nazim merenung tajam ke arah sepupunya. Sepupunya ini, bukan boleh percaya. Banyak bohong daripada bercakap benar.
"Kau balik ajelah. Petang nanti kau datanglah balik," halau Hannah.
"Hah, kau buat apa kat sini?" sergah Mak Cik Hasnah yang baru sampai. Di tangannya ada beberapa plastik berisi ikan dan sayur.
Hannah tergamam. Pantas dia berdiri di belakang emaknya. Takut dia melihat renungan tajam mata Nazim itu.
"Kau nak apa?" tanya Mak Cik Hasnah lagi dengan kasar. Dia meletakkan plastik berisi barangan dapur di atas anak tangga.
"Saya nak geran tanah yang emak bagi kat mak cik," jawab Nazim. Dia tidak mahu berlama-lama di situ. Hatinya makin sakit.
"Geran apa?"
"Mak cik jangan buat tak tahu pula, ya? Saya tahu, emak ada bagi geran tanah kat mak cik."
Mak Cik Hasnah ketawa.
"Kau ingat aku gila ke, hah? Nak bagi geran tu kat kau. Tu harta aku." Mak Cik Hasnah menjawab kasar.
"Itu harta emak, bukan mak cik. Mak cik yang paksa emak suruh bagi kat mak cik, kan? Mak cik ingat saya tak tahu?" ujar Nazim.
"Aku anak sulung, jadi aku berhak. Mak kau dah ada tanah. Arwah ayah kau dah bagi. Apa masalah kau lagi?"
"Mak cik, itu tanah arwah ayah, bukan tanah emak. Sekarang saya nak geran tanah emak saya. Mak cik tiada hak untuk ambil tanah mak saya."
Tangan Mak Cik Hasnah sudah di pinggang. Jelingan maut diberikan buat anak saudaranya.
"Eh, Nazim kau dengar sini baik-baik, ya? Sekali aku dah dapat geran tu, jangan harap aku nak bagi balik kat kau sekeluarga. Tidak akan." Bersungguh-sungguh Mak Cik Hasnah berkata.
"Tapi... Tanah itu milik mak."
"Mak kau yang bodoh. Pergi bagi kat aku kenapa?"
"Mak cik... Mak cik jangan hina mak saya." Jari telunjuknya sudah diangkat ke muka Mak Cik Hasnah. Hannah terkejut dengan tindakan sepupunya. Cepat-cepat dipeluk lengan emaknya.
"Selagi mak saya masih hidup, tiada sesiapa pun boleh menghina mak saya, termasuklah mak cik dan kau, Hannah." Jari telunjuknya turut dihalakan ke arah Hannah.
Mereka dua beranak terdiam.
"Mak saya tak bodoh, mak cik. Mak saya sanggup bagi geran tanah dia kat mak cik semata-mata hendak berbaik semula dengan mak cik. Tapi mak cik tamak, ego, sombong dan bongkak. Kalau mak saya tiada, mak cik dan Hannah dah hidup merempat. Hidup bawah jambatan. Jenis manusia tak kenang budi." Nazim menghamburkan marahnya kepada Mak Cik Hasnah.
Tanpa membuang masa, terus dia berlalu dari situ. Sempat kakinya menendang pasu bunga sehingga pecah berderai. Puas hatinya.
Mak Cik Hasnah dan Hannah hanya berdiam diri. Dasar banduan, bisik hati mereka.
NURIN AIRA melipat telekungnya lalu disangkut pada tempat yang disediakan. Matanya melirik ke arah jam loceng di kepala katil. Sudah 11.30 malam. Dia baru sahaja pulang dari tempat kerjanya. Biasalah, kalau akhir-akhir bulan pasti dia akan pulang lewat. Sebaik dia sampai, keadaan rumah sudah gelap. Ini menandakan bahawa Alia dan Suraya sudah tidur.
Langkah diatur ke meja kerjanya. Dicapai bingkai gambar itu, lalu dipeluknya erat. Bingkai itu diciumnya berkali-kali. Rasa rindunya kepada ahli keluarga begitu ketara. Tiba-tiba, air matanya mengalir keluar sebaik dia terpandangkan wajah wanita yang sedang tersenyum itu. Mak...
Panggilan daripada Aiza pagi tadi benar-benar menyentap perasaannya. Dia sangat terkejut dengan berita yang diberitahu oleh adiknya. Seharian kerja yang dilakukan olehnya tidak menjadi. Mujur sahaja, Syed Ilham tidak masuk pejabat hari ini. Kalau tidak, mesti dia akan ditegur lagi oleh majikannya.
Lima puluh ribu ringgit? Ya Allah, mana aku nak cari duit sebanyak ini? Aku perlukan duit ini secepat yang mungkin. Nyawa emak perlu diselamatkan. Fikirannya ligat memikirkan cara untuk mendapatkan wang sejumlah lima puluh ribu ringgit.
Simpanan aku tak adalah sebanyak ini. Macam mana ni? Jual kereta? Ya... Jual kereta. Tapi, apa aku nak jawab dengan mak nanti kalau mak tanya mana kereta aku? Mesti mak kecewa, sebab aku jual kereta ini. Mak tahu aku sayang kereta ni. Mak tahu dah lama aku nak pakai kereta sendiri. Masa aku beli kereta ni pun, mak orang yang paling gembira mengalahkan aku. Aku biasa-biasa aje. Suraya mesti marah kalau tahu aku jual kereta ni. Kalau aku jual kereta ni, aku nak ambil Alia dan pergi kerja dengan apa? Arghhh... Tu semua tak penting. Yang penting nyawa mak mesti selamat. Mereka semua tak boleh tahu tentang hal ini. Pandai-pandailah aku kelentong. Hmmm, kalau aku jual kereta mesti tak akan sampai lima puluh ribu. Kereta tu kan aku dah guna. Mana aku nak cari duit selebihnya? Ah... Yang tu aku kena fikir kemudian.
"Mak jangan risau, ya? Mak pasti akan sembuh. Itu janji Aira. Aira akan cari duit untuk merawat mak. Mak tunggu, ya?" Pantas dia mengucup bingkai gambar keluarganya berkali-kali. Gambar itu diambil ketika mereka beraya tahun lepas. Mereka sekeluarga nampak sedondon. Dia yang membeli semua barangan raya untuk keluarganya. Itu antara impiannya, untuk berbakti kepada keluarganya.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro