Bab 7
NURIN AIRA meletakkan fail kewangan di atas mejanya. Dia kemudian melabuhkan punggungnya di atas kerusi berwarna hijau tua itu.
Nurin Aira baru sahaja keluar dari bilik majikannya. Nasib baik dia tidak dimarahi dengan teruk. Cuma dia dileter oleh majikannya atas kesalahan yang dibuat. Memang patut pun. Dia yang cuai.
Fikirannya masih ligat memikirkan keadaan emaknya. Semalam sempat dia menelefon Aiza bertanya keadaan emaknya. Terkejut dia apabila Aiza memberitahu emak mereka batuk berdarah. Emaknya telah mengambil upah menjahit pakaian untuk menampung perbelanjaan keluarganya.
Sudah ditegah banyak kali, tapi emak mereka tetap degil. Katanya, tidak mahu menyusahkan anak-anak. Apa yang ada dalam fikiran Nurin Aira sekarang ini ialah dia perlu mendapatkan duit bagi membiayai penyakit emaknya dan menampung kehidupan keluarga mereka.
"Uhuk... Uhuk..."
Nurin Aira masih tidak menyedari kehadiran majikannya.
Syed Ilham terpinga-pinga. Jauh betul Nurin Aira berangan.
"Uhuk... Uhuk." Kali ini Syed Ilham berdeham dengan lebih kuat.
Nurin Aira terus bangun. Terkejut!
"Emmm... Erk... Sa... Saya..." Nurin Aira tergagap-gapap.
"Saya apa?"
Nurin Aira menunduk.
"Kerja yang saya bagi kat awak dah siap ke belum? Dahlah banyak kesalahan nombor dalam akaun awak. Awak kena hati-hati. Salah nombor, lain jadinya," tegur Syed Ilham. Hampir mengamuk dia melihat akaun yang disediakan oleh Nurin Aira. Banyak kesalahan nombor. Kalau ejaan boleh tahan lagi. Ini nombor.
Nurin Aira menggeleng. Tahu kesalahan dirinya.
"Awak ada masalah ke? Sebelum ini awak antara pekerja cemerlang. Dah berapa bulan awak kerja kat sini. Sebelum ini okey aje, kan?" tanya Syed Ilham. Dia perlu prihatin dengan pekerjanya.
Masalah keluarga, encik, jawab Nurin Aira tapi hanya dalam hati.
Melihat reaksi Nurin Aira yang membisu, Syed Ilham menggelengkan kepala. Orang tanya tak nak cakap. Mana tahu, boleh tolong.
"Dah nak masuk waktu lunch, jom pergi makan. Saya belanja," ajak Syed Ilham. Sudah beberapa kali dia mengajak Nurin Aira keluar makan, tetapi ditolak dengan baik oleh Nurin Aira. Dia sendiri tidak tahu apa kena dengan dirinya. Dengan Nurin Aira dia okey, dengan staf perempuan lain dia sedikit sombong.
Nurin Aira mengangkat muka. Lunch?
"Er... Saya..."
"Awak dah kenyang?" jawab Syed Ilham lalu ketawa kecil. Itu antara alasan yang sering diberikan oleh Nurin Aira.
"Saya tak nak dengar apa-apa alasan. Awak kena ikut saya keluar makan. Saya nak pergi ambil kunci kereta sekejap," ujar Syed Ilham lalu terus meninggalkan Nurin Aira yang terpinga-pinga.
Aduh, aku nak pergi ambil anak akulah! Bukannya dah kenyang. Mesti aku kena marah nanti dengan cikgu tadika sebab ambil Alia lambat. Kesian Alia, mesti tertunggu-tunggu.
"KAU kenapa? Sejak akhir-akhir ni aku tengok kau macam ada masalah aje." Suraya bertanya. Pelik melihat sikap Nurin Aira yang gemar termenung sejak ke belakangan ini.
Nurin Aira berpaling menghadap Suraya.
"Tak ada apa-apalah." Nurin Aira berdalih.
Petang itu dia dan Suraya membawa Alia keluar berjalan-jalan di taman permainan. Ikut hatinya, mahu sahaja dia memerap di dalam bilik tapi setelah dipaksa oleh Alia, terpaksalah dia akur. Kesian Alia.
Matanya masih lagi galak memerhati kerenah Alia yang sedang bermain papan gelongsor. Gembira dan ceria sahaja anak itu bermain di samping rakan-rakan sebayanya. Dunia ini ibarat mereka yang punya. Mereka berlari ke sana dan ke sini tanpa memikirkan masalah. Ah, budak kecil mana ada masalah!
"Eh, Su... Bila kau nak pergi Terengganu?" tanya Nurin Aira apabila teringat tentang seminar yang perlu dihadiri Suraya. Sudah seminggu berlalu tapi Suraya masih belum pergi.
"Next week. Bos dengan isteri aku pun pergi tahu?" jawab Suraya.
"Oh... Isteri bos kau pakai tudung tak?" Teringat peristiwa dia melanggar seorang lelaki sehingga telefonnya pecah.
"Pakai. Eh, macam mana kau tahu?" tanya Suraya pelik. Masakan Nurin Aira kenal dengan isteri majikannya.
"Masa aku pergi hantar mc kau hari tu, aku terserempak dengan dia. Alah... Yang aku cerita aku terlanggar seorang lelaki tu." Nurin Aira cuba untuk mengingati semula.
"Oh... Ingat, ingat. Memang isteri bos aku pakai tudung pun. Kesian dia kau tahu tak?"
"Kenapa?" soal Nurin Aira ingin tahu. Entah kenapa dia berminat pula ingin mengetahui kisah majikan Suraya.
"Dia sakit."
"Sakit? Aku tengok okey aje. Siap dia boleh bergurau dengan husband dia lagi." Teringat dalam fikirannya bagaimana wanita itu mencubit pinggang suaminya yang terlebih mengada-ada.
"Sekarang ni okeylah tapi dulu dia sakit. Perempuan tu sebenarnya doktor." Suraya mula bercerita. Dia tahu apa yang terjadi kepada keluarga majikannya itu. Hampir beberapa bulan dia bekerja, bermacam-macam perkara dia dengar.
"Doktor? Dia sakit apa?" Terkejut Nurin Aira mendengar. Sungguh tak disangka wanita ayu itu doktor rupa-rupanya.
"Mama... Mama Su..." Tidak sempat Suraya ingin menjawab, Alia sudah menerpa ke arah mereka.
Terkejut Suraya dan Nurin Aira.
"Nak apa, sayang?" tanya Nurin Aira sambil mengusap peluh di dahi Alia.
"Nak aiskrim..." ujar Alia dengan termengah-mengah.
Suraya dan Nurin Aira ketawa. Ingatkan apa.
"Hesy, budak ni. Ingatkan nak apa. Mama Su pergi beli kejap, ya? Alia duduk dengan mama," arah Suraya. Dia sudah mula berdiri.
"Nak ikut," ujar Alia menyebabkan Suraya pantas berpaling.
"Jom," ajak Suraya sambil memimpin tangan halus Alia.
Nurin Aira hanya ketawa kecil melihat telatah mereka berdua. Sedang matanya meliar-liar ke kawasan sekeliling, tiba-tiba anak matanya tertancap pada satu susuk tubuh. Seperti pernah dilihatnya. Perempuan tu?
Apa yang dibuatnya di sini? Kenapa dia sendirian? Mana suaminya? Matanya masih lagi setia pada wanita yang duduk di atas bangku berhampiran buaian. Bibirnya tersenyum-senyum melihat telatah kanak-kanak yang berlari-lari. Ah... Bukan masalah aku pun.
"HAI."
"Hai aunty," sahut Alia sambil menghulurkan tangannya untuk bersalaman dengan wanita itu. "Nama saya Alia. Tapi mama panggil Lia aje." Petah Alia berbicara.
"Oh, Alia namanya, ya? Nama aunty, Aisyah," ujar Aisyah sambil mengusap kepala Alia. Dari tadi dia memerhatikan tingkah anak kecil itu. Tingkah Alia yang manja dan sopan itu menarik perhatiannya.
Tanpa disedari, perlahan-lahan kakinya melangkah ke arah anak kecil itu yang sedang bermain buaian seorang diri. Dia lantas menegur kanak-kanak itu. Bagai ada sesuatu yang menariknya untuk berbual-bual dengan Alia.
"Oh... Aunty Aisyah," ujar Alia sambil menganggukkan kepalanya.
Aisyah hanya tersenyum manis. Tangannya menggosok-gosok kepala Alia.
"Aunty buat apa kat sini?" tanya Alia. Alia masih lagi berada di atas buaian.
"Oh... Aunty saja aje duduk kat sini. Ambil angin," jawab Aisyah sambil tersenyum. Senang hatinya dapat berbual dengan Alia.
"Anak aunty mana?"
Senyuman di bibir Aisyah terus mati. Lidahnya kelu. Hatinya berdebar-debar.
Tiba-tiba tanpa diduga, Aisyah menarik Alia dari buaian lalu memeluknya dengan erat. Serta-merta air mata wanita itu tumpah. Alia terkejut.
"Puan Aisyah?" panggil Suraya. Pelukan terlerai. Alia terus berlari ke arah Nurin Aira.
Nurin Aira terus mendukung Alia yang menangis. Mungkin Alia terkejut dengan tindakan Aisyah yang mendukung dirinya secara tiba-tiba.
Nurin Aira dan Suraya datang untuk mengajak Alia pulang. Hari sudah hampir gelap. Tetapi alangkah terkejut diri mereka apabila melihat Alia dipeluk oleh orang yang tidak dikenali.
"Suraya?" Aisyah terus mengesat air matanya. Dia sendiri tidak faham kenapa dirinya bertindak sedemikian.
"Haah... Puan buat apa kat sini?" tanya Suraya. Pelik melihat isteri majikannya berada di taman permainan.
"Tak... Tak buat apa-apa. Saja aje saya datang sini," jawab Aisyah sambil matanya memerhati wanita di sebelah Suraya yang sedang memujuk Alia. Siapa wanita ini? Kenapa macam pernah jumpa sahaja? Tapi kat mana? Arghhh...
"Siapa ni?" Tanpa dapat ditahan, Aisyah terus bertanya siapa gerangan wanita yang sedang mendukung Alia itu.
Suraya mengerling ke arah Nurin Aira di sebelahnya.
"Saya Nurin Aira. Mama Alia," beritahu Nurin Aira. Suraya hanya mengangguk.
Aisyah terkejut. Mama?
"Kenapa, puan? Alia ada buat apa-apa ke dengan puan?" Nurin Aira pelik dengan tingkah wanita di depannya.
"Em... Tak... Tak... Alia budak baik."
"Kenapa puan peluk Alia?" Nurin Aira bertanya. Dia bukan marah tetapi terkejut melihat tindakan wanita ini. Tindakannya itu telah membuatkan Alia takut dan menangis. Wanita itu bukan ada hubungan dengan mereka, tetapi kenapa berani benar wanita ini memeluk Alia?
Pertanyaan Nurin Aira benar-benar menyentap naluri Aisyah. Dia tiada jawapan untuk persoalan itu. Sungguh. Dia tidak tahu kenapa tiba-tiba sahaja dia ingin memeluk Alia. Dia terasa bahagia dan tenang apabila memeluk Alia tadi.
"Saya... Saya..."
"Em, Nurin... Jomlah kita balik. Dah nak dekat maghrib ni. Dahlah kita jalan kaki. Lagilah lambat nak sampai rumah," potong Suraya. Dia sengaja mengajak Nurin Aira untuk pulang.
Hesy, dia ni. Kalau ya pun, bagilah perempuan ni habis cakap dulu. Tak sabar-sabar, marah Nurin Aira dalam hati.
"Jomlah... Saya hantarkan," pelawa Nur Aisyah. Sebenarnya, dia ingin berlama-lama dengan Alia.
"Eh, tak apalah. Kami jalan kaki aje. Dah biasa," jawab Nurin Aira. Dia tidak berapa menyenangi kehadiran wanita itu. Macam ada agenda tersendiri.
Suraya pantas menyiku lengan Nurin Aira. Dah orang ajak, terima ajelah. Bukan dia nak culik pun. Nak hantar balik aje.
"Boleh juga, puan. Dah nak gelap ni. Tak elok anak daaa... Eh, wanita macam kita orang jalan kaki." Suraya hampir tersasul.
Bulat biji mata Nurin Aira.
"Jomlah." Aisyah membuka langkah menuju ke kereta Honda Accord miliknya. Hadiah daripada si suami sempena ulang tahun kelahirannya yang lepas.
Nak tak nak, Nurin Aira terpaksa juga melangkah ke arah kereta itu. Jika menolak, nanti dikatakan sombong pula.
"Pergi mana ni? Baru sekarang balik." Tengku Shamil terus menerpa ke arah isterinya yang baru sahaja keluar dari kereta Honda Accord.
Terkejut Aisyah dibuatnya. Dia mengukirkan senyuman buat suaminya yang tersayang. Tanpa menjawab soalan suaminya, terus kakinya melangkah masuk ke dalam banglo mewah empat tingkat itu.
"Sya..." panggil Tengku Shamil. Dia begitu risau akan keadaan isterinya. Dia takut Aisyah masih belum pulih sepenuhnya walaupun isterinya nampak normal. Balik sahaja daripada kerja, alangkah terkejutnya dia apabila pembantu rumah menyatakan Aisyah masih belum pulang padahal tadi Aisyah pulang lebih awal daripadanya.
"Sya... Sya pergi mana? Risau abang, tahu?" Tengku Shamil memegang tangan isterinya, menyebabkan langkah isterinya terhenti.
Aisyah memandang suaminya sambil tersenyum. Dia tidak mahu menyusahkan suaminya lagi. Lelaki itu sudah banyak berkorban masa dan tenaga untuk dirinya.
"Abang tak payahlah risau... Kan Sya dah balik ni." Aisyah membalas genggaman tangan suaminya.
Tengku Shamil membawa Aisyah ke taman yang berdekatan. Mereka duduk di tepi kolam ikan buatan. Taman ikan itu sangat cantik dan bersih. Mamanya sangat menjaga kebersihan kolam ikan itu.
"Mana budak-budak, bang? Senyap aje rumah?" tanya Aisyah sebaik duduk di atas batu di tepi kolam ikan itu.
"Adik bawa mereka keluar. Abang call dah tadi, dia dah on the way nak balik dah," beritahu Tengku Shamil. Tangannya masih lagi melekap dengan tangan Aisyah.
"Oh..."
"Sya... Okey ke?"
Aisyah ketawa.
"Kenapa abang tanya soalan macam ni? Sya nampak tak okey ke? Sya rasa Sya sihat aje. Tak ada apa-apa masalah," jawab Aisyah.
"Taklah, Sya nampak lain hari ini. Tadi, Sya pergi mana? Tak baik tahu tipu abang." Tengku Shamil dapat melihat perubahan raut wajah isterinya.
"Tak pergi mana-mana." Aisyah berdalih.
"Bukan... Sya pergi taman permainan ke?" Tengku Shamil meneka.
Aisyah terkejut.
"Kali ini, Sya pergi ke taman permainan yang mana pula?" soal Tengku Shamil. Dia dah agak. Pasti Aisyah akan merayap ke taman permainan.
Air mata Aisyah mula bertakung. Dia sedih.
Tengku Shamil yang perasan akan keadaan Aisyah mula gelabah. Dia tidak sepatutnya bertanyakan hal itu.
"Hesy, Sya jangan menangis. Abang tak marah kat Sya. Abang cuma risau akan keadaan Sya aje. Lain kali kalau Sya nak pergi mana-mana even taman permainan, Sya beritahu abang dulu. Abang boleh temankan. Abang risau kalau apa-apa terjadi kepada Sya." Tengku Shamil memujuk isterinya. Dia menggosok perlahan bahu isterinya. Ingin memujuk.
Aisyah mengesat air matanya yang jatuh. Dia sudah bertekad, tidak mahu lagi menyusahkan suaminya. Dia harus kuat. Dia sudah berjanji dengan dirinya, yang air matanya tidak akan tumpah lagi. Tidak akan sama sekali.
"Abang, jomlah kita masuk. Dah nak maghrib ni," ajak Aisyah sambil tersenyum.
Lega hati Tengku Shamil melihat isterinya tersenyum. Walaupun senyuman itu nampak hambar, dia tetap berpuas hati. Dia tidak sanggup lagi melihat Aisyah menderita. Cukuplah setakat itu. Jangan ada lagi derita untuk isterinya.
"Jom." Tengku Shamil mencuit hidung mancung Aisyah lalu berlari meninggalkan wanita itu. Terjerit kecil Aisyah dibuatnya. Tanpa membuang masa, terus dia mengejar suaminya. Ingin membalas perbuatan lelaki itu.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro