Bab 6
TENGKU Shamil melangkah masuk dengan penuh bergaya ke dalam bangunan SK Holding sambil berpimpin tangan dengan isterinya, Aisyah. Kelihatan beberapa orang pekerja menyapanya dengan mengucapkan selamat pagi. Ada juga yang menunduk tanda hormat. Tengku Shamil dan isterinya hanya tersenyum manis. Kata papanya, Datuk Tengku Shah, seorang ketua tidak boleh sombong dengan pekerja kerana pekerja merupakan tulang belakang sesebuah syarikat.
Sebagai CEO, dia harus menunjukkan sikap yang baik kepada pekerjanya. Dia tidak boleh sombong. Direnung wajah isterinya sementara menunggu pintu lif terbuka. Isterinya nampak manis apabila mengenakan baju kurung moden berwarna ungu lembut. Dia tersenyum. Harap-harap isterinya akan kekal seperti ini. Tiada lagi tangisan mahupun luka dalam hatinya.
"Abang, jomlah masuk," ajak Aisyah.
Tersedar kealpaan diri, terus Tengku Shamil tersenyum. Pagi-pagi lagi aku dah hanyut. Dah lama rupa-rupanya lif terbuka.
Tanpa membuang masa, terus dia melangkah masuk ke dalam lif. Aisyah hanya tersenyum melihat tingkah laku suami kesayangannya. Pelik juga melihat suaminya yang terlebih gembira.
"Abang kenapa?" soal Aisyah ketika di dalam lif. Mujur di dalam lif hanya ada mereka berdua.
"Kenapa apa?" soalnya balik. Tidak faham dengan soalan isterinya. Ada yang pelik ke?
"Orang tanya dia, dia tanya orang balik. Abanglah, nampak happy semacam aje. Pelik, tahu?" marah Aisyah.
"Happy? Bukan ke abang selalu happy?"
"Memanglah, tapi happy abang lain macam aje."
"Macam mana?"
"Macam nak pergi jumpa awek," teka Aisyah.
Tengku Shamil terus ketawa. Geli hati dengan andaian isterinya.
"Haah... Abang nak pergi jumpa aweklah ni." Tengku Shamil ingin mengusik isterinya.
Ting! Pintu lif terbuka.
"Abang!" jerit Aisyah. Dia ingin mencubit bahu suaminya, tetapi lelaki itu sudah berlari keluar.
Prang!
"Eh... Maaf... Maaf. Tak sengaja," ujar gadis di hadapannya. Dia duduk lalu mengutip kembali telefonnya yang jatuh. Aduh, pecah.
"Erk... Erk..." Tengku Shamil tergagap-gagap. Ambil, kau. Mengusik lagi Aisyah.
"Abang..." Aisyah memanggil suaminya. Dia melihat dengan jelas suaminya melanggar seorang perempuan yang sedang bercakap di telefon itu.
Aisyah duduk sambil membantu gadis tadi mengutip telefonnya yang pecah. Dihulurkan bateri telefon kepada gadis yang berbaju kurung biru di hadapannya. Si gadis menyambutnya lalu tersenyum.
"Sekali lagi saya minta maaf ya, encik. Saya betul-betul tak perasan tadi. Leka sangat cakap kat telefon sampai tak tengok jalan," ujar gadis itu. Dia tersenyum sehingga menampakkan lesung pipit di pipinya.
"Tak apa, saya pun salah. Jalan laju sangat tadi," ujar Tengku Shamil. Terpegun dia dengan kecantikan gadis itu. Manis. Aisyah di sebelah sudah masam mencuka. Cemburu.
"Nak saya ganti ke telefon tu? Mesti dah rosak," pelawa Tengku Shamil.
Gadis itu menggeleng lalu tersenyum.
"Tak apa. Ini telefon mahal. Takkan sekali jatuh dah rosak," ujar gadis itu.
"Tapi sa..." Tidak sempat Tengku Shamil ingin menghabiskan ayatnya, satu cubitan hinggap di pinggangnya.
"Auchhh."
Aisyah mengerling tajam ke arah suaminya. Dah orang tak nak, sudahlah. Jangan nak paksa. Isteri ada kat sebelah pun, dia tak perasan. Lagipun dua-dua salah, jalan tak tengok depan.
Gadis itu hanya tersenyum manis melihat telatah pasangan di depannya. Suami isteri agaknya. Mesti isterinya cemburu.
"Tak apalah kalau macam tu. Saya pergi dulu, ya? Assalamualaikum." Usai berkata, terus gadis itu melangkah pergi tanpa mendengar salamnya dijawab.
"Tapi tele..." Tengku Shamil belum habis berbicara dengan gadis itu.
"A... Bang." Mata Aisyah bulat.
"Hehehe... Abang gurau ajelah." Tengku Shamil tersenyum. "Tahu cemburu," sambungnya lagi.
"Mana ada."
"Cantiklah perempuan tadi tu, Sya. Lesung pipit kiri kanan. Sopan santun pula tu." Tengku Shamil mengusik lagi isterinya.
Hampir terkeluar tanduk Aisyah. Berani suaminya memuji wanita lain di depannya. Nak kena ni. Tanpa menunggu lama, terus dia melangkah masuk ke dalam biliknya.
"Alamak! Anak Pak Ishak merajuklah." Tengku Shamil menepuk dahinya. Dia terus mengejar langkah isterinya yang semakin laju.
"Alah. Abang gurau ajelah, sayang. Jangan merajuk," pujuk Tengku Shamil sambil berjalan beriringan dengan Aisyah.
Aisyah diam.
"Sayang, sayang dah jawab belum salam yang perempuan tu bagi? Tak jawab dosa tau."
"Waalaikumussalam," jawab Aisyah kasar lalu menutup pintu biliknya.
Tengku Shamil Zaquan terpinga-pinga di depan pintu. Nasib baik tak kena muka aku. Aduh! Sya merajuk. Padan muka kau. Siapa suruh usik dia? Bak kata Nabil, lu pikirlah sendiri, omel hati Tengku Shamil.
Mak Cik Hasnah mengetap bibirnya. Geram dengan adiknya, Mak Cik Halimah. Baginya, Mak Cik Halimah sejak kecil memang suka menyusahkan orang. Tak boleh tengok dia duduk senang, ada aje benda nak dimintanya. Anak Mak Cik Halimah bukannya tidak bekerja. Ada. Tapi tetap ingin menyusahkan dirinya. Si Nazim ada, tak pun Si Aira tu.
Takkan budak bertuah tu tak kirim duit dekat mak dia? Kerja kat Kuala Lumpur. Kau ingat kelas sangat ke kerja kat sana? Sakit hatinya apabila melihat Nurin Aira berjaya menjadi akauntan dan sudah mempunyai kereta sendiri. Ramai pula penduduk kampung memuji anak adiknya. Pandailah, cantiklah, sopan santunlah. Dia yang mendengar terasa ingin saja menyumbat kapas ke dalam telinganya.
Kalau Si Nazim tu patutlah tak kirim duit. Dia sendiri pun tak cukup duit untuk dirinya sendiri. Kerja kampung katakan. Tapi Si Aira tu. Nak berasap telinganya mendengar nama itu. Dahlah dulu malukan aku. Balik-balik, bawa seorang budak. Gempar satu kampung ni. Dengan dia sekali kena tempias.
"Kau ingat aku ini cop duit ke hah?" marah Mak Cik Hasnah sambil bercekak pinggang.
"Akak, Limah nak seratus aje. Nanti apabila Aira atau Nazim bagi duit, Limah bayarlah balik," rayu Mak Cik Halimah.
"Seratus aje? Kau ingat duit tu turun dari langit ke?!" jerkah Mak Cik Hasnah.
"Limah janji, Limah akan bayar balik, Limah janji." Mak Cik Halimah merayu. Kesian Aima, dia perlukan duit sebanyak seratus ringgit untuk menduduki ujian MUET.
Mak Cik Halimah tahu daripada jirannya yang menyatakan Aima bekerja di kedai makan selepas habis waktu sekolah sebagai pencuci pinggan mangkuk untuk membayar duit ujian MUET. Sedih hati melihat anaknya sebegitu. Tanpa membuang masa, terus dia mencari Aima dan diheretnya pulang.
Dia tidak rela anaknya susah. Biar dia sahaja yang susah. Dia tak kesah. Lagipun Aima masih sekolah. Dia sudah berjanji akan mencari wang sebanyak seratus itu secepat mungkin. Apa yang pasti, anaknya tidak perlu bekerja.
"Akak... Kesian Aima, kak. Dia..."
"Ah! Aku tak kesah. Itu masalah kau anak-beranak."
"Tapi, kak..." Sedih hatinya dilayan sebegitu oleh kakak kandungnya sendiri. Dia ibarat orang luar. Padahal, mereka seibu sebapa.
"Tak ada tapi-tapi. Kau berambus. Naik benci aku tengok muka kau ni." Mak Cik Hasnah meludah ke tanah.
Mak Cik Halimah terkejut. Dia sedih.
Sampai hati akak buat saya macam ni. Disebabkan peristiwa lama, sampai sekarang akak masih berdendam dengan saya, bisik hatinya hiba. Mak Cik Halimah mengesat-ngesat air matanya dengan lengan baju kurungnya. Dengan langkah yang berat, dia meninggalkan rumah kakaknya itu.
Mak Cik Hasnah hanya mencebik. Sakit hatinya apabila teringatkan adiknya itu. Sampai bila-bila pun jangan harap aku bagi duit aku walaupun satu sen kat kau. Mak Cik Hasnah tersenyum sinis.
Tiba-tiba Mak Cik Hasnah teringatkan sesuatu. Pantas kakinya melangkah.
"Bertuah punya budak! Matahari dah ada atas kepala, kau tak bangun lagi. Anak dara jenis apa ni? Hannah, bangun. Dah pukul satu ni," bebel Mak Cik Hasnah sambil tangannya menarik selimut yang tersarung pada tubuh Hannah. Masih tiada respons.
"Hannah, Hannah!" jerit Mak Cik Hasnah.
Hannah mula bergerak. Sakit hati apabila tidurnya diganggu.
"Apa mak ni? Bising tahu tak? Orang nak tidur pun tak boleh!" jerit Hannah.
"Kau tu anak dara. Tak elok bangun tengah hari buta macam ni," marah Mak Cik Hasnah.
"Buat apa nak bangun awal? Bukannya orang kerja pun hari ini," jawab Hannah sambil menggaru-garu rambutnya yang sudah kelihatan seperti puntianak lepas mengamuk.
"Menjawab... Menjawab. Tak kerja pun, kau tolonglah mak kat dapur. Mak banyak kerja ni. Kau ni, bangun aje cari makanan. Bukan nak tolong mak pun. Dahlah semalam kau balik lewat, kau per..."
"Yalah... Yalah, nak bangun ni." Hannah memotong percakapan emaknya. Kalau dibiarkan makin melalut. Sakit telinganya apabila hari-hari dengar maknya membebel. Pantas tangannya mencapai tuala yang tersangkut pada belakang pintu biliknya. Lalu dengan pantas, kakinya melangkah keluar.
Mak Cik Hasnah menggeleng melihat tingkah anaknya. Dialah racun, dialah penawar.
AIMA berjalan sambil mengesat air matanya dengan hujung lengan baju kurungnya. Dia sedih melihat emaknya diperlakukan seperti itu. Dia melihat dengan matanya sendiri bagaimana Mak Cik Hasnah menghalau emaknya. Emaknya tak ubah seperti kucing kurap. Ikutkan hati, mahu sahaja dia keluar dari tempat persembunyiannya lalu menampar muka emak saudaranya. Tetapi dia masih waras. Maruah emaknya perlu dijaga.
Aima sangat terdesak untuk memiliki wang. Kerana itulah dia sanggup bekerja sebagai pencuci pinggan mangkuk. Dia tahu, emaknya tidak memiliki wang. Wang yang diberikan oleh abang dan kakaknya hanya cukup-cukup makan. Tambahan lagi dengan penyakit emaknya yang masih belum dapat dikesan oleh doktor menyebabkan emaknya harus ke hospital setiap minggu. Semua itu memerlukan duit.
Sungguh dia kecewa dengan sikap ibu saudaranya. Disebabkan peristiwa puluhan tahun dahulu, sampai sekarang dendamnya masih belum habis. Padahal, mereka adik-beradik. Emaknya sudah banyak mengalah dengan kerenah Mak Cik Hasnah, tapi Mak Cik Hasnah masih dengan sikap dinginnya itu.
Semua itu berlaku apabila arwah ayahnya dikatakan bercinta dengan Mak Cik Hasnah, tetapi berkahwin dengan emaknya. Mak Cik Hasnah menuduh emaknya sebagai perampas. Tetapi arwah ayahnya pernah bercerita kepada mereka adik-beradik bahawa hanya emaknya yang ayah mereka cintai.
Mak Cik Hasnah syok sendiri tambahan ketika itu Mak Cik Hasnah baru sahaja menjanda. Ayahnya tidak pernah rapat dengan Mak Cik Hasnah. Mak Cik Hasnah yang terlebih perasan.
Sejak itu, hubungan Mak Cik Halimah dan Mak Cik Hasnah renggang. Mak Cik Hasnah sering menuduh keluarganya perampas. Dulu arwah neneknya dikatakan perampas, kemudian emaknya pula dikatakan perampas dan selepas itu Hannah pula menuduh kakaknya, Nurin Aira perampas.
"Huh!" Aima mengeluh kuat. Sakit hatinya mengingati peristiwa itu. Langkah diatur laju untuk pulang ke rumahnya.
"NURIN."
"Apa?"
Matanya masih lagi tidak berganjak dari TV. Cerekarama Talak lakonan Fizo Omar dan Diana benar-benar menarik perhatiannya.
"Aku kena pergi seminar."
"Hah?" Terus Nurin Aira memandang wajah Suraya. Bulat matanya.
Suraya mengangguk.
"Alah... Su. Tak boleh ke kau tak pergi?" pujuk Nurin Aira. Apabila Suraya tak ada, susah hidupnya dan Alia nanti.
Suraya mula mencebik. Kesian pula dia melihat wajah Nurin Aira. "Baru pagi tadi bos aku cakap. Orang yang sepatutnya pergi tu, ada masalah keluarga, jadi aku kena ganti." Suraya menepuk-nepuk bantal yang dipeluknya. Tak pasal-pasal dia pula yang jadi pengganti.
Nurin Aira mengusap-usap kepala Alia yang berada di atas pahanya. Wajahnya masam. Pasti kelam-kabut harinya tanpa Suraya di sisi. Tidak dinafikan Suraya ibarat tulang belakang buatnya.
"Tak boleh tukar dengan orang lain ke?"
"Kalau boleh, memang aku tukar dah."
"Bila kau pergi?"
"Entah."
"Kat mana?"
"Terengganu."
"Terengganu?"
Suraya mengangguk. Ada masalah ke?
"Kampung aku!" Nurin Aira menjerit. Suka!
"Haahlah... Lupa pula aku." Baru Suraya teringat yang Nurin Aira orang Terengganu.
"Kau menginap kat hotel mana?"
"Rasanya Hotel Primula, aku pun lupa. Tadi bos aku cakap kat Pantai Baru Buruk." Suraya ingat-ingat lupa.
"Haah... Betullah tu." Nurin Aira mengangguk.
"Kau okey tak duduk dengan Alia?" tanya Suraya. Bimbang pula akan keselamatan Nurin Aira dan Alia. Nurin Aira ni kadang-kadang cuai.
"Insya-Allah. Harap-harap tak ada apa-apa yang berlaku."
"Kalau kau nak, aku boleh suruh maid kat rumah umi aku datang sini. Temankan kau dan Alia," ujar Suraya. Terbayang tiga orang pembantu rumahnya. Salah seorang baru diambil bekerja oleh uminya, Datin Sumaiyah. Pinjam sekejap, umi tak marah punya.
"Hesy, tak naklah. Menyusahkan dia adalah." Nurin Aira menolak. Tak apalah, bukannya lama sangat Suraya pergi.
"Tak nak sudah, tak paksa pun." Suraya mencebik bibir. Nak tolong tak nak.
"Eh, minah tu lambat lagi ke balik ke rumah ni?" Tiba-tiba Suraya menyoal. Fikirannya teringat akan Najwa.
"Minah???" soal Nurin Aira tidak faham.
"Ya Allah, Nurin Aira. Bengapnya kau."
"Oh... Tau... Tau. Najwa, ya? Yang kau pergi panggil minah tu kenapa? Dengar dek dia, memang dah kena kau. Lagi dua tiga bulan dia baliklah. Kerja dia banyak lagi."
Najwa terpaksa dihantar ke Johor kerana anak syarikat tempatnya bekerja mengalami kekurangan pekerja. Tambahan pula, syarikat itu masih terlalu baru beroperasi. Selepas semuanya stabil, Najwa akan kembali semula ke Kuala Lumpur. Sudah hampir seminggu pemergian Najwa. Ah, rindu pula kat dia! Kalau ada, bergaduh. Kalau tiada, rindu. Lumrah kehidupan.
Alia sudah nyenyak tidur berbantalkan pahanya. Kesian anak itu. Kadang-kadang, Alia bertanya mana Mama Najwanya. Sudah acap kali diberitahu yang Mama Najwanya bekerja. Tetapi Alia masih bertanya perkara yang sama. Ah... Budak kecil bukannya faham masalah orang dewasa.
"Nurin, kalau kau nak berangan, pergi naik atas." Geram Suraya dengan Nurin Aira. Penat dia memanggil berkali-kali, tapi langsung tidak disahut olah Nurin Aira.
"Yalah, aku pun nak naik ni. Kesian kat Alia." Terus Nurin Aira mengangkat punggungnya lalu mendukung Alia. Lama-lama tidur di atas sofa boleh sakit badan. Terutama Alia yang masih lagi kecil.
"Okeylah, jumpa esok. Kau jangan tidur lambat sangat. Assalamualaikum," pesan Nurin Aira sebelum berlalu.
"Habis cerita ni, aku tidurlah. Waalaikumussalam," jawab Suraya.
NURIN AIRA membaringkan Alia di atas katilnya. Sejak bayi lagi Alia memang sudah tidur dengannya. Tetapi, kadang-kadang Alia akan tidur dengan mama-mamanya yang lain.
Selesai membaringkan Alia, terus Nurin Aira merebahkan badannya di sebelah Alia. Tangannya bermain-main dengan rambut lembut Alia. Rambut pendek itu dicium olehnya berkali-kali.
Alia seorang kanak-kanak yang begitu comel. Kadang-kadang Nurin Aira terfikir; betulkah ini anak Nora? Daripada apa yang dilihatnya, wajah Alia sangat berbeza dengan Nora. Suraya, Najwa dan emaknya juga pernah beritahu perkara yang sama. Dia hanya mampu mengangguk mengakui kebenaran itu.
Tambahan pula, warna rambut Alia ala-ala keperangan. Bukan semuanya perang, ada juga warna hitam, tetapi sekali pandang orang akan cakap perang. Mustahil Alia boleh dapat rambut warna keperangan macam tu tambahan pula Nora Melayu tulen. Lainlah kalau...
Hesy... Kau ni, Nurin. Tak baik tuduh Kak Nora macam tu. Mana tahu suami dia orang mat salih ke? Mungkin Alia ikut genetik ayahnya. Lagipun kau bukannya kenal suami Kak Nora. Batang hidung dia pun kau tak pernah tengok, fikir Nurin Aira dalam hati.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro