Bab 3
LANGKAH diatur semakin laju. Apa yang ada di dalam kepalanya, hanya ingin cepat sampai ke perhentian bas. Nasib baik dia memakai sandal, dapat memudahkannya berjalan dengan laju.
Setiap seminit, pasti matanya akan melihat jam di tangan. Jam jenama Guess yang dihadiahkan oleh pihak sekolah kerana dia berjaya menjadi tokoh nilam semasa di tingkatan empat.
"Mana Su ni? Tadi cakap on the way... Tapi tak sampai-sampai pun lagi." Nurin Aira bercakap sendirian. Dia tak kesah orang cakap dia gila sekalipun.
Serta-merta, matanya tertancap pada sebuah kereta Myvi putih milik Suraya yang sedang menuju ke arahnya. Telahannya semakin tepat apabila matanya melihat nombor plat kereta Suraya. Dari jauh dia melihat, Suraya duduk di tempat duduk penumpang manakala Najwa yang memandu kereta. Najwa??? Minah tu bawa kereta macam pelesit. Lampu merah pun dilanggarnya. Cari nahas betul.
Semua mata tertumpu ke arah kereta Myvi putih milik Suraya. Nurin Aira malu. Terasa ingin sahaja mukanya diletakkan di dalam beg yang dibawanya. Cepat-cepat dia menuju ke arah kereta. Ada ke patut, Najwa membrek kereta dengan begitu kuat sehingga kereta berbunyi akibat tayar bergesel dengan jalan? Semua manusia di situ terus menumpukan perhatian ke arah kereta Myvi putih. Hesy.. Tak pasal-pasal mereka buat drama kat sini.
Nurin Aira hanya mampu tersengih. Pantas dia menuju ke tempat pemandu dengan selamba bagi menutup malu.
"Su... Kau turun," pinta Nurin Aira tegas.
"Kenapa? Eh, cepatlah! Dah lambat ni."
"Haah. Apalagi, Nurin? Cepatlah," panggil Najwa sambil tangannya mengetuk-ngetuk stereng kereta.
"Najwa, kau turunlah. Biar Su aje yang bawa. Kalau kau yang bawa kereta, nanti orang ingat kereta ini tak ada brek pula. Laju sangat." Sempat mulut Nurin Aira menyindir Najwa.
Wajah Najwa masam. Sempat lagi dia sindir aku, omel hatinya.
"Haah... Tadi ada kereta peronda polis hon kita orang. Laju sangat kau bawa, Najwa. Kau turunlah, biar aku bawa," suruh Suraya sambil mencubit bahu Najwa. Teringat dia pada peristiwa sebentar tadi, kereta yang dipandu oleh Najwa dihon oleh kereta peronda polis. Tapi, apa yang memeranjatkan dirinya, apabila dengan selamba sahaja Najwa hon balik kereta polis tadi. Katanya, buat-buat kenal. Najwa... Najwa.
Alia yang berada di pangkuan Suraya diserahkan kepada Nurin Aira. Najwa mengambil tempat duduk penumpang manakala Nurin Aira berada di tempat duduk belakang sambil memangku Alia. Suraya menjadi pemandu.
Nurin Aira cuba menenangkan Alia yang menangis. Merah sekali wajah anak itu. Panggilan daripada Najwa sebentar tadi begitu memeranjatkan dirinya. Alia deman? Tak sampai seminggu Alia ditinggalkan oleh ibunya, terus demam. Kesian Alia.
Rindu kepada ibunya barangkali. Ketika ini mereka bertiga sedang menuju ke klinik. Nurin Aira sanggup ponteng kelas semata-mata ingin membawa Alia ke klinik.
SEBAIK sampai di klinik, mereka bertiga terus berlari masuk. Najwa ke kaunter pendaftaran untuk mendaftar Alia. Mereka bernasib baik kerana tidak ramai pesakit ketika itu. Hanya seorang dua. Tidak sempat kerusi yang diduduki mereka bertiga panas, nama Alia terus dipanggil. Mereka bertiga terus masuk ke dalam bilik doktor.
"Haah... Anak awak demam ni. Badannya panas," beritahu doktor yang memakai tanda nama Johari itu.
"Doktor, kenapa Alia tak mahu minum susu? Semalam saya bagi dia minum susu... Tak sampai beberapa minit susu tu keluar balik. Macam mana, ya?" tanya Najwa.
"Susu formula apa yang sesuai untuk bayi, doktor?" Tak sempat Dr. Johari menjawab, Suraya mula menyampuk.
"Susu formula?"
"Haah," jawab mereka bertiga. Ketiga-tiga mereka memandang tepat ke dalam anak mata Dr. Johari.
Dr. Johari terpinga-pinga. Malu pun ada apabila wajahnya menjadi tumpuan.
Suraya, Najwa dan Nurin Aira terkebil-kebil.
"Ni anak siapa?" tanya Dr. Johari sambil matanya memandang mereka bertiga. Muda-muda dah ada anak.
Mereka bertiga diam.
"Anak kakak saya." Nurin Aira menjawab jujur.
"Oh. Mungkin perut Alia ni tak sesuai minum susu formula. Susu ibu paling terbaik. Alia pun baru sebulan lebih. Pada usia macam ni, susu ibu lebih penting," nasihat doktor muda itu.
"Oh..." Mereka menjawab serentak.
Nurin Aira hanya diam. Suraya mengangkat bahu manakala Najwa hanya menggeleng. Masalah besar ni.
SELEPAS menidurkan Alia di dalam bilik, perlahan-lahan Nurin Aira bangun untuk turun ke dapur. Nurin Aira tidak menutup pintu bilik. Dia risau jika Alia menangis dan dia tidak mendengarnya. Semasa dia sampai di anak tangga yang terakhir, langkahnya mati. Belum tidur lagi Suraya dan Najwa rupa-rupanya.
"Alia dah tidur ke?" tanya Suraya sebaik sahaja matanya melihat kelibat Nurin Aira yang hanya memakai kain batik dan baju T warna biru.
"Dah, baru aje."
"Kau lapar ke, Nurin? Aku dah masak, ada lagi tu. Pergilah makan. Kesian kau," celah Najwa apabila melihat Nurin Aira ingin duduk di atas sofa.
Tanpa berfikir panjang, kaki Nurin Aira terus melangkah ke meja makan. Memang perutnya lapar pun.
Najwa dan Suraya hanya menggeleng melihat tingkah laku Nurin Aira.
Bibir Nurin Aira terus mengukir senyuman sebaik melihat lauk yang ada. Walaupun ringkas, tetap menarik perhatiannya. Apabila perut dah lapar, semua nampak sedap. Memang diakui, dia dan Suraya sangat mengharapkan Najwa untuk memasak. Jika Najwa tiada, jawabnya dia dan Suraya akan menjamu Maggi sahaja.
Tanpa membuang masa, laju tangannya mencedok nasi putih. Ayam berempah, kangkung goreng, dan ketam masak lemak cili api sudah selamat berada di atas pinggannya. Apabila selesai, dia terus membawa makanannya ke ruang tamu. Dia ingin makan di hadapan televisyen. Tak apa... Sudah biasa.
Pinggan diletakkan di atas meja kecil lalu Nurin Aira duduk bersimpuh menghadap televisyen yang terpasang. Kalau kat kampung, memang dah lama dia kena sekeh kepala oleh emaknya. Kata emaknya, tak elok anak dara makan di depan TV. Apa yang tak elok pun, dia tak tahu.
"Ketam tu, Mak Cik Ita yang bagi," beritahu Najwa semasa Nurin Aira tengah makan. Mak Cik Ita merupakan jiran sebelah rumah mereka.
"Aku ingat kau yang beli."
"Tak adalah. Mak Cik Ita bagi yang mentah. Takut simpan lama tak elok pula," ujar Najwa.
Mata Najwa masih lagi tertancap pada televisyen. Suraya pula, asyik menghadap komputer ribanya sahaja. Tak payah tengok, dah tahu apa yang dibuat olehnya. Facebook.
Nurin Aira perasan, sejak mereka mula menjaga Alia, salah satu perangai buruk Suraya mula hilang. Kalau dulu, apabila Suraya mula membuka komputer ribanya, wajib baginya untuk membuka TV dan radio sekali. TV dan radio hanya sebagai peneman Suraya. Telinganya tidak fokus mendengar radio, manakala matanya tidak melihat TV. Hanya tertumpu pada komputer ribanya sahaja. Membazir betul.
"Nurin... Kak Nora tak ada ke call kau?" soal Najwa sebaik sahaja melihat Nurin Aira kembali semula ke ruang tamu. Sudah selesai makan.
Nurin Aira mula melabuhkan punggungnya di atas sofa. Di tangannya, terdapat cawan jenama Darlie. Pertanyaan Najwa berjaya menarik perhatian Suraya yang sedari tadi hanya berdiam diri.
"Tak ada." Ringkas jawapan Nurin Aira.
"Kau tak telefon dia? Cakap anak dia deman?" soal Suraya pula.
"Inilah masalahnya. Nombor dia tak aktif."
"Kak Nora ni, macam sengaja aje," marah Najwa.
"Tak baiklah cakap macam tu, Najwa. Mungkin dia ada masalah," tegur Nurin Aira lalu meletakkan cawannya ke atas meja kecil. Rancangan di TV tidak menarik perhatiannya langsung. Bukan tidak minat tetapi dia tiada mood untuk menonton.
"Yalah... Sekurang-kurangnya, telefonlah kau ke. Tanya khabar anak dia. Sihat ke tidak? Dah minum susu ke belum? Dah mandi ke belum? Ini tak, lepas aje serah anak dia kat kau, terus tak telefon. Hilang macam tu aje. Nak tengok batang hidung dia. Emmm, dalam mimpi ajelah. Bayang-bayang pun tak ada. Apa punya ibu macam tu?" bebel Najwa sambil tangannya mencapai cawan Darlie kepunyaan Nurin Aira. Mereka sudah biasa berkongsi cawan.
Suraya dan Nurin Aira hanya diam membisu. Mereka juga setuju dengan kata-kata Najwa.
"Nurin, entah-entah Kak Nora saja nak lari daripada kau." Suraya membuat andaian sendiri.
"Haah." Najwa bersetuju.
"Hesy, takkanlah. Mesti dia sayang kat anak dia. Anak dia tu manusia, bukan anak patung. Kalau dia tak nak kat Alia, buat apa pergi mengandung, nak beranak lagi. Ingat senang ke?" bidas Nurin Aira.
"Betul juga cakap kau. Bukan senang nak mengandung. Bawa perut ke hulu, ke hilir. Dahlah berat. Kalau tak nak jaga, buat apa nak beranak. Nanti tak pasal-pasal tong sampah jadi mangsa," ujar Suraya.
Selesai sahaja Suraya berkata begitu, satu bantal kecil tepat mengenai mukanya.
"Kau ni, Su... Jangan fikir macam tu la. Aku kenal Kak Nora. Dia baik. Dia takkan tergamak buat macam tu kat anak dia," kata Nurin Aira sebaik saja membaling bantal ke arah Suraya.
"Sorry..."
"Okey, aku naik atas dulu. Daripada duk melayan kerenah kau, baik aku tidur. Selamat malam."
"Nak tidur konon. Nanti aku pergi spot chek dalam bilik kau, tengok-tengok duk termenung," ujar Suraya sambil mencebik bibir.
Sekali lagi, bantal lain pula selamat mendarat ke muka Suraya.
"Nurin!!!"
"Bye. Selamat malam." Habis Nurin Aira berkata begitu, dia terus berlari masuk ke dalam bilik.
"Selamat malam..." ujar Suraya dan Najwa serentak.
Mereka kemudian kembali menyambung kerja masing-masing.
NIATNYA untuk tidur semula sudah hilang.
Mata mengerling ke arah jam loceng. Sudah pukul empat lima puluh pagi. Tidurnya tadi terganggu apabila si kecil Alia merengek-rengek. Mulanya dia buat tak tahu. Tidurnya ketika itu lagi penting. Sudahlah tadi dia tidur hampir jam tiga pagi kerana membuat persiapan untuk pembentangan esok. Tetapi terpaksa juga dia bangun, kesian kat Alia. Tak sanggup Nurin Aira membiarkan Alia menangis.
Selepas menukar lampin Alia, dia mendodoikan pula Alia untuk tidur. Nasib baik Alia ingin tidur semula. Kalau tak, jenuh juga dia nak menjaga Alia. Alhamdulillah, demam Alia sudah semakin kebah. Sudah tidak panas seperti tadi. Lega hatinya.
Keadaan biliknya sunyi sepi dan gelap. Nurin Aira tidak memasang lampu. Hanya cahaya bulan dan lampu jalan menerobos masuk ke dalam biliknya melalui celah-celah tingkap. Suasana suram seperti itu menjadikan dirinya teringat akan perbualan telefon antara dia dan emaknya beberapa minggu yang lepas.
"Apa???" Nurin Aira terkejut.
"Kamu jaga saja anak Kak Nora kamu tu," ulang Mak Cik Halimah bersungguh-sungguh.
"Mak!" Terjerit kecil Nurin Aira dengan keputusan tidak dijangka emaknya.
"Kan kamu cakap... Nora tu ada masalah. Lepas masalah dia selesai, dia ambillah balik anak dia. Bukannya kamu jaga anak dia seumur hidup."
"Yalah, tapi tak tahu berapa lama," rungut Nurin Aira.
"Tapi apa yang pasti, dia akan ambil balik anak dia, kan?" Tegas suara Mak Cik Halimah.
"Haah."
"Kamu jaga ajelah anak dia."
"Mak ingat senang ke nak jaga budak? Budak tu bayi lagi." Nurin Aira tidak mahu mengalah.
"Ya, mak ta..."
Nurin Aira memotong percakapan ibunya.
"Nak jaga budak, nak belajar lagi. Aduh! Bukan benda senang, mak." Dahinya ditepuk beberapa kali.
"Kalau Aira tak nak jaga, suruh Nora bawa balik anak dia kat Terengganu ni. Biar mak jaga."
"Makkk..."
"Mak serius ni, Aira. Alah, sepanjang kamu kenal Nora, tak pernah sekalipun dia minta tolong kamu. Kamu aje yang asyik menyusahkan dia. Dan lagi satu, dia pernah selamatkan nyawa kamu. Ingat tu!" Mak Cik Halimah mengingatkan Nurin Aira tentang perkara itu.
"Ya, Aira ingat. Tak pernah lupa."
"Mungkin dia betul-betul ada masalah. Habis aje masalah dia, dia ambillah balik anaknya. Takkanlah nak tinggalkan kat kamu sampai anak dia besar? Dia seorang ibu. Takkan tergamaknya dia buat anak dia macam tu. Mak faham perasaan dia."
Bunyi azan subuh dari masjid berhampiran mengejutkan Nurin Aira daripada lamunannya. Alia masih lagi belum tidur. Atas nasihat emaknya beberapa minggu yang lalu dan setelah memikirkan baik buruknya, Nurin Aira bersetuju untuk menjaga Alia. Suraya dan Najwa begitu terkejut. Nora hanya mengukirkan senyuman. Wanita itu sempat berjanji yang dia akan kembali untuk mengambil semula anaknya.
Bila? Kata Nora, apabila masalahnya sudah selesai. Nurin Aira hanya perlu tunggu masa itu. Apa yang pasti, Nurin Aira ikhlas menjaga Alia.
"MAK, Kak Aira dah jaga ke anak Kak Nora?" tanya Aima, adik kepada Nurin Aira.
"Kenapa kau tanya?"
"Saje aje," ujarnya lalu meletakkan beg sekolah di atas kerusi rotan. Terus tangannya mencapai tangan orang tuanya lalu disalam.
"Dah."
"Lelaki ke perempuan?"
"Perempuan."
"Oh, berapa lama?"
"Tak tahu lagi. Kak Aira kamu cakap lepas masalah Nora selesai, dia ambillah balik anak dia." Mak Cik Halimah yang leka melipat kain terhenti seketika. Ditatap wajah anaknya dengan perasaan kasih dan sayang.
Aima terus melabuhkan duduknya di atas kerusi rotan. Tudung yang berada di atas kepala, ditarik olehnya. Lega. Lalu tangannya mencapai alat kawalan jauh untuk membuka TV. Buletin 1.30 menjadi pilihan hatinya.
"Aima, kamu tak ada ke jumpa adik Nora kat sekolah?" Tiba-tiba Mak Cik Halimah teringat akan adik bongsu Nora.
"Tak." Aima berbohong.
Sebenarnya ketika di dalam tandas di sekolah tadi, Aima terdengar suara seorang budak perempuan. Dia yakin itu suara milik Suhana, adik Nora. Dia tidak berapa kenal rapat dengan keluarga Nora. Selama ini Aima hanya mendengar cerita tentang keluarga mereka daripada Nurin Aira sahaja.
Ada juga dia melihat gambar Nora di bilik Nurin Aira. Tetapi apa yang membuatkannya terkejut adalah apabila mendengar kata-kata Suhana yang mengatakan bahawa kakaknya itu sudah meninggalkan Malaysia. Kakaknya ingin menetap di luar negara. Kakaknya kecewa kerana cinta.
Tapi apa yang membuatkannya musykil, emaknya kata Nora ada masalah yang ingin diselesaikan. Tapi kenapa sampai nak menetap di luar negara? Kenapa tak bawa anaknya sekali? Masalah apa yang dilalui sampai perlu menetap di luar negara? Hatinya tiba-tiba rasa tak sedap. Jangan-jangan...
Hesy, aku tak boleh fikir yang bukan-bukan. Tak baik. Kalau salah, dah jadi fitnah namanya. Bukan aku pasti pun Kak Nora yang pergi luar negara. Entah-entah kakaknya yang lain. Aku sendiri tak tahu berapa orang adik-beradik Kak Nora. Aku bukannya rapat sangat dengan Suhana, fikir Aima dalam hati.
Sebenarnya dia tidak bersetuju dengan keputusan emaknya yang menyuruh kakak sulungnya menjaga anak Nora. Tapi siapalah dia hendak bersuara? Pasti emaknya tidak akan bersetuju. Atas sebab itulah Aima sengaja tidak mahu menceritakan apa yang didengar kepada emaknya. Nanti takut dikatakan dia saja mereka-reka cerita.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro