Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 2

Ketika Nurin Aira di tingkatan satu...

SUASANA yang panas terik itu menyebabkan Nurin Aira memegang kepalanya dengan

kuat. Kepalanya sakit tiba-tiba. Dunia seakan-akan berpusing- pusing. Akibat tidak mampu menahan kesakitan, Nurin Aira menuju ke tempat duduk di perhentian bas. Ketika itu jam menunjukkan angka dua petang. Dia ingin menunggu bas untuk pulang ke rumahnya. Tanpa disedari, dia terlanggar seorang pelajar yang turut berada di situ.

"Hoiii... Kau apa hal?" marah budak itu lantas menuju ke arah Nurin Aira lalu menolaknya. Akibat tidak dapat mengimbangkan badan, Nurin Aira terjatuh. Kepalanya semakin berpusing.

"Dia saja ajelah tu langgar kau," kata Hannah lalu menuju ke arah Safi, perempuan yang dilanggar oleh Nurin Aira sebentar tadi. Tergedik-gedik Hannah berjalan. Hannah merupakan sepupu kepada Nurin Aira. Tetapi mereka tidak pernah berbaik sejak kecil. Ibu Hannah iaitu Mak Cik Hasnah seolah-olah melancarkan perang kepada Nurin Aira dan keluarganya.

Safi dan Hannah menuju ke arah Nurin Aira yang masih lagi tidak bangun daripada jatuhnya. Hannah mengambil beg sekolah Nurin Aira lalu membukanya. Mereka terus membuang segala isi yang ada di dalam beg sekolah Nurin Aira. Buku teks, buku latihan dan alat tulis berteraburan di atas jalan tar. Nurin Aira tergamam. Dia memandang tajam ke arah rakan sebayanya itu.

"Safi, Hannah!" jerit Nurin Aira. Sakit hatinya apabila melihat barang-barangnya dibuang. Nurin Aira terus bangun. Sakit kepalanya hilang sedikit demi sedikit. Barang- barang miliknya penting. Dia bukan anak orang kaya yang mampu untuk membeli apa saja. Alat tulis yang digunakan sekarang merupakan alat tulis tahun-tahun lepas.

"Kau tak puas hati ke?"

"Kau diam, Hannah." Jari telunjuk Nurin Aira tepat dihalakan ke arah Hannah. Nurin Aira tahu yang Hannah saja ingin menyakitkan hatinya. Dia terlanggar Safi, bukannya Hannah. Hannah aje yang lebih-lebih. Sama macam emaknya.

"Aku langgar Safi, bukannya kau. Jadi kau jangan menyibuk. Okey Safi, aku nak mintak maaf. Aku tak sengaja langgar kau tadi." Nurin Aira tidak mahu memanjangkan cerita. Tangan dihulurkan untuk bersalaman dengan Safi.

Safi menepis. Tidak semena-semena dia menampar pipi Nurin Aira.

Nurin Aira tergamam. Terkejut.

Seumur hidup Nurin Aira, ibu bapanya sendiri tidak pernah menampar dirinya. Ini kali pertama dia merasakan peritnya sebuah tamparan. Dia tahu yang Safi marah kepadanya bukan sahaja kes dia melanggar Safi tetapi ada kes lain. Nurin Aira melihat Safi menuju ke arahnya lalu menolaknya lagi sehingga dia jatuh di atas jalan raya.

Tiba-tiba terdapat sebuah kereta Waja menyusur ke arahnya. Nurin Aira tergamam. Dia tidak sempat bangun dari atas jalan raya tersebut. Sempat matanya menghala ke arah Sufi dan Hannah. Wajah mereka pucat. Nurin Aira hanya mampu memejamkan matanya sambil berdoa supaya dirinya selamat. Dia tidak mahu mati lagi. Masih banyak tanggungjawab yang belum diselesaikan.

Ketika Nurin Aira memejamkan matanya, dia dapat rasa ada orang yang menarik tangannya. Nurin Aira terkejut. Pada saat itu juga dia dapat mendengar bunyi hon yang bertalu-talu dari kereta Waja tadi.

Aku selamatkah? Perlahan-lahan Nurin Aira membuka matanya. Dia masih terkejut akan keadaan yang baru sahaja berlaku.

"Adik... Adik tak apa-apa ke?" kata seorang seniornya. Dia menolong Nurin Aira bangun lalu menyapu- nyapu baju Nurin Aira yang kotor akibat terjatuh. Senior itu juga sempat membelek tangan Nurin Aira, takut-takut ada luka.

"Okey, nasib baik tak cedera. Lain kali hati-hati, ya? Nasib baik tak kena langgar," sambung perempuan yang memakai tanda nama Nora itu. Dia tersenyum manis. Cantik.

"Terima kasih, kak," ujar Nurin Aira.

"Kasih diterima. Hahaha. Okey, akak pergi dulu. Jaga diri baik-baik," nasihatnya kemudian mengalihkan pandangannya.

"Awak berdua lain kali jangan main tolak-tolak kat sini. Kalau dia kemalangan tadi, saya akan jadi saksi." Dia terus berjalan menuju ke arah sebuah kereta Saga yang baru sahaja berhenti di hadapan perhentian bas sekolah.

"Kak," panggil Nurin Aira.

Perempuan itu tidak jadi melangkah. Dia berpaling.

"Tangan akak berdarah," kata Nurin Aira sambil menunjukkan ke arah tangan kiri Kak Nora yang berdarah.

"Tak apa, sikit aje tak sakit pun. Bye. Assalamualaikum."

"Waalaikumussalam." Nurin Aira hanya melihat Kak Nora masuk ke dalam kereta. Tanpa membuang masa, Nurin Aira terus mengutip kembali barang-barangnya lalu disimpan kembali ke dalam begnya.

Safi dan Hannah hanya melihat kelakuan Nurin Aira sambil berbisik sesuatu. Kadang-kadang mata dijulingkan ke atas. Sebenarnya mereka masih lagi terkejut dengan situasi tadi. Nasib baik tidak kemalangan.



TANGISAN bayi yang kuat mematikan lamunan Nurin Aira. Baru tersedar yang dirinya sudah hanyut ke zaman persekolahannya. Zaman yang penuh dengan dugaan untuk insan bernama Nurin Aira. Matanya dihalakan ke arah jam loceng. Ah... Sudah pukul tiga empat puluh lima pagi. Tak tidur rupa-rupanya aku.

Tangisan bayi masih lagi kedengaran. Hampir terlupa dirinya yang Nora menginap di rumah bujangnya ketika ini. Mungkin Alia yang menangis. Tapi takkan Nora tak sedar? Nora penat agaknya.

Nurin Aira mencapai getah rambut berwarna ungu lalu diikat pada rambutnya yang sudah mencapai paras bahu.

Dengan langkah yang berhati-hati, Nurin Aira menuju ke tingkat bawah di mana Nora dan Alia menginap di situ. Nasib baik ada bilik kosong. Tapi kalau tiada pun, dia tidak kesah andai terpaksa berkongsi bilik dengan Nora dan Alia. Dia di sini pun sekadar menumpang.

Bulat mata Alia yang ketika itu berada di atas katil bersama Nora. Nora masih lena tidur. Biar ajelah. Penat agaknya menjaga Alia hari ini. Rupa-rupanya, puting yang dihisap oleh si comel Alia ini jatuh. Patutlah menangis.

"Alah... Jangan nangis ya, sayang. Kesian ibu Alia, penat dia jaga Alia. Tidur, ya?" bisik Nurin Aira sambil mencium pipi montel Alia. Sebaik sahaja Nurin Aira memasukkan kembali puting yang terjatuh tadi ke dalam mulut Alia, anak kecil itu terus diam. Pandai.

Matanya dihalakan ke arah Nora yang sedang tidur. Nyenyak sekali tidurnya. Nora nampak begitu penat. Apa masalah yang dihadapi oleh Nora? Teringin benar untuk dia tahu. Tetapi masalahnya, Nora tidak sudi bercerita kepadanya.

Terkilan rasa hati Nurin Aira. Sampai hati Kak Noranya itu kahwin tidak menjemput dirinya. Sedar-sedar dah ada anak. Kalau Nora tidak ingin menjemput sekalipun, beritahulah dirinya. Sekurang-kurangnya, dia sudah tahu yang Nora berkahwin. Kak Nora ada masalah agaknya, teka hatinya. Nurin Aira tidak mahu berfikiran buruk terhadap Nora. Mungkin wanita itu ada sebab tersendiri terpaksa merahsiakan perkahwinannya.

Nurin Aira meletakkan kembali Alia yang sudah tidur. Sebelum meletakkan Alia di atas katil, sempat dia mencium pipi montel Alia. Nurin Aira menuju ke arah Nora lalu menyelimuti badan wanita itu. Dia hanya berharap yang Kak Nora akan berfikir panjang sebelum melakukan sesuatu. Masa depan Alia sangat penting.



"MACAM mana, kau dah fikir masak-masak ke?" tanya Najwa sebaik mereka melabuhkan punggung di atas kerusi yang berwarna kuning. Ketika itu mereka baru sahaja ingin menjamu selera. Hanya Najwa dan Suraya makan, Nurin Aira hanya ingin minum. Suasana tempat makan di UUM ketika itu hingar-bingar mengalahkan pasar jual ikan.

Nurin Aira hanya mengangkat bahunya sebagai jawapan kepada pertanyaan Najwa. Matanya lebih selesa melihat ke sekeliling. Pelbagai ragam manusia yang dapat dilihat. Ada yang sibuk makan, studi, ada yang membaca surat khabar dan ada juga yang cuma duduk termenung. Merenung masa depan agaknya. Sama dengan dirinya yang dalam dilema.

Esok Nora akan pergi dari rumahnya setelah dua hari satu malam Nora dan Alia menginap di rumah itu. Apa yang menjadi tanda tanya, adakah pemergian Nora akan disertai oleh Alia atau tidak? Perkara itulah yang masih bermain-main dalam fikirannya. Masa yang diberikan terlalu suntuk untuk dia membuat keputusan.

"Nurin... Oh Nurin, kau dah sampai planet mana ni?" tegur Suraya sambil melambai-lambaikan tangannya di hadapan muka Nurin Aira.

Nurin Aira hanya diam.

"Aku tak tahu nak cakap apa sekarang ni. Fikiran aku buntu, kusut. Tadi kat dalam kelas aku tak dapat nak bagi tumpuan sepenuhnya." Tiba-tiba Nurin Aira bersuara.

Tangannya mencapai gelas kaca yang berisi Milo panas lalu menghirupnya perlahan-lahan.

Tadi, ketika di dalam kelas, hanya badannya yang ada di situ tetapi fikirannya jauh melayang. Hampir terkejut dibuatnya apabila Dr. Haikal memanggil namanya secara tiba-tiba. Serta-merta masalah yang melanda dirinya hilang begitu sahaja. Dr. Haikal memanggil dirinya ke hadapan bagi menjawab soalan yang diberi.

Tanpa berfikir panjang, terus dia bangun lalu mengambil buku milik Suraya tanpa diketahui oleh Dr. Haikal. Nurin Aira pasti, Suraya sudah menyiapkan soalan yang diberi. Selamat dirinya, siap mendapat pujian lagi daripada Dr. Haikal kerana jawapan yang diberi memang tepat.

Tiba-tiba Nurin Aira tersengih.

"Kenapa dengan kau ni? Tadi termenung, sekarang suka pula. Takut aku tengok kau." Najwa menegur Nurin Aira sambil mencebik bibir.

"Su, terima kasih tau." Nurin Aira mengenyitkan matanya.

"Kenapa?"

"Pasal tadi... Kan aku ambil buku kau, bulat-bulat aku tiru kau. Penat-penat kau buat, senang-senang aje aku tiru kau. Nasib baik Doktor Haikal tak perasan." Nurin Aira tersenyum mengingati kenakalan dirinya sebentar tadi. Ah, bukannya tak biasa buat pun.

Najwa dan Suraya ketawa serentak.

"Nurin, kalau kau nak tahu, aku pun tiru orang. Hehehe... Aku tiru Si Najwa ni. Aku pun tak sempat nak buat," jawab Suraya selamba.

"Cis! Aku ingatkan kau yang buat. Kau copy and paste yang Najwa rupa-rupanya. Hahaha..." marah Nurin Aira lalu turut ketawa.

"Hah, baru senang sikit hati aku tengok kau ketawa. Ini tak, asyik muram aje. Macam ada masalah negara," usik Najwa.

"Haah... Kan cantik kau ketawa. Nampak lesung pipit kau. Manis tau bila kau ketawa." Suraya pula menyambung.

Nurin Aira hanya tersenyum. Lesung pipit yang menghiasi kedua-dua belah pipinya kelihatan apabila Nurin Aira bercakap, ketawa dan tersenyum. Hannah pernah cemburu melihat lesung pipit di pipinya. Nurin Aira hanya bersyukur dengan kurniaan yang dikurniakan oleh Allah S.W.T untuknya.

"Sebenarnya, kalau kau orang nak tahu, aku pun copy and paste aje jawapan tadi. Aku ambil daripada Murni... Hehehe." Najwa mengaku sambil mengangkat jarinya. Peace...

"Hah???" Suraya dan Nurin Aira terkejut.

"Aku agak dah," kata Suraya dan Nurin Aira serentak.

"Kesian Doktor Haikal kena tipu." Najwa menjawab.

Mereka bertiga terus ketawa tanpa menghiraukan jelingan daripada manusia di sekeliling. Lagipun, ini bukan perpustakaan. Ini tempat makan, ada lagi manusia yang lagi bising daripadanya. Biar aje. Janji hati senang. Hilang sekejap masalah yang melanda Nurin Aira.

"AMBOI... Bestnya ketawa. Saya tumpang sekaki boleh?"

Mereka bertiga berhenti ketawa serta-merta sebaik ditegur oleh satu suara. Lalu mereka mengangkat wajah masing-masing untuk melihat siapakah gerangan manusia yang berani menyapa mereka. Tak boleh nak duduk senang sikit.

Dr. Haikal???

Mereka berpandangan sesama sendiri. Lidah kelu untuk berkata-kata. Harap-harap Dr. Haikal tidak mendengar perbualan mereka. Kalau tak...

"Hai... Nak tengok saya aje ke? Tak nak jemput ke saya duduk? Saya pun nak join awak semua. Gelak sakan nampak." Tanpa dipelawa, Dr. Haikal terus duduk di atas kerusi bersebelahan Nurin Aira.

Nurin Aira tergamam. Pensyarah yang diminati oleh hampir semua mahasiswi di UUM termasuk dirinya duduk di sebelahnya. Hidungnya terbau-bau minyak wangi yang dipakai oleh pensyarah itu. Boleh tak tidur malam dibuatnya.

"Apa lagi? Jomlah gelak. Tadi bukan main awak bertiga gelak. Sampai langsung tak hiraukan orang di sekeliling." Dr. Haikal berkata dalam nada sinis.

Mereka bertiga hanya tersenyum sumbing.

Tiba-tiba Nurin Aira terasa kakinya disepak seseorang dari bawah meja. Lantas tajam matanya merenung ke arah Suraya yang duduk di hadapannya. Nurin Aira faham maksud jelingan mata Suraya.

"Doktor Haikal..." panggil Nurin Aira. "Saya nak minta maaf... Sebab..." "Tak apa, saya tahu. Saya maafkan." 

 Aikkk! Takkan Dr. Haikal tahu yang aku tipu dia tadi? bisik hati Nurin Aira.

"Awak guna buku Suraya kan tadi? Saya dah nampak sebenarnya masa awak ambil buku Suraya tadi tapi saya diamkan aje. Nanti kalau saya tegur awak, malu pula awak." Selamba Dr. Haikal memberitahu perkara yang sebenar. Dia saja aje buat tak nampak tadi. Malas nak memanjangkan cerita.

"Hah???"

TELEFON jenama Sony yang berada di tangan kanan Nurin Aira dimain-main. Baru sebentar tadi dia menelefon keluarganya di Terengganu. Asalnya dia berniat untuk bercakap dengan adiknya Nurin Aima, mahu bertanya khabar mereka sekeluarga tapi terhapus niatnya itu apabila emaknya sendiri yang mengangkat. Kalau boleh dia tidak mahu bercakap dengan emaknya. Bukan apa, dia takut wanita itu perasan akan perubahan dirinya.

Tapi malang, naluri seorang emak selalu tepat. Emaknya dapat menghidu perubahan suaranya yang bergetar. Setelah diasak beberapa kali oleh emaknya untuk bercerita tentang masalah yang dihadapi, barulah dia berterus terang.

"Apa?" Mak Cik Halimah terkejut dengan berita yang disampaikan oleh anak sulungnya.

"Haah, mak. Aira sendiri tak tahu apa keputusan Aira." Nurin Aira menarik nafas panjang setelah selesai menceritakan masalah kakak angkatnya.

 Mak Cik Halimah mengurut dadanya beberapa kali. Nasib baik anaknya tidak berada di hadapan mata. Berita yang disampaikan begitu memeranjatkan dirinya. Tidak sedarkah Nora yang anak sulungnya masih belajar? Keluarganya bukan daripada golongan berada. Dia sendiri terpaksa bekerja siang malam untuk menyara anak-anak. Kenapa tidak meminta bantuan keluarganya sendiri? Tak pun keluarga mentuanya.

Ah... Nora, dia sendiri pun tidak tahu yang Nora sudah berkahwin. Nurin Aira dan Nora memang rapat sejak di bangku sekolah lagi. Selalu juga, Nora datang ke rumahnya untuk mengajar Nurin Aira. Dia sendiri sudah banyak mendengar cerita tentang Nora daripada Nurin Aira. Malah, dia amat berterima kasih kerana Nora sudah menyelamatkan nyawa anak perempuannya.

"Kenapa tak minta tolong keluarganya sahaja?" Mak Cik Halimah bertanya. Masih tidak berpuas hati dengan cerita Nurin Aira.

"Tak tahu, dia cakap ada masalah nak diselesaikan dulu," jawab Nurin Aira. Walaupun masih tidak bersedia untuk menjawab soalan daripada emaknya, akalnya perlu pantas berfikir. Dia tidak mahu emaknya berfikir yang bukan- bukan.

"Masalah apa?"

"Tak tahu. Kak Nora tak cakap. Dia cakap lepas masalah dia selesai dia ambil balik anak dia."

"Lama tak masalah dia nak selesai?" Mak Cik Halimah mengeluh. Masalah oh, masalah.

"Tak tahu."

"Anak Kak Nora kamu tu... Lelaki ke perempuan?" soal Mak Cik Halimah ingin tahu.

 "Tak tahu... Hah? Eh, lelaki... Eh, tak... Perempuan."

"Hesy... Kamu ni, mak tanya jawabnya tak tahu, tak tahu, tak tahu. Jadi apa yang kamu tahunya? Jantina anak dia pun kamu boleh salah sebut?" bebel orang tua itu dalam talian. Geram dengan perangai anaknya.

"Hanya tu ajelah. Kak Nora tak cakap banyak."

Mak Cik Halimah terdiam seketika. Berfikir-fikir apa keputusan yang patut diambil oleh anaknya. Tak salah kalau dia berbuat baik kepada orang yang telah menyelamatkan nyawa anaknya.

Sebaik menekan punat merah di telefon bimbitnya, Nurin Aira mengeluh. Keputusan yang telah dibuat oleh emaknya tadi begitu memeranjatkan dirinya. Adakah emaknya membuat keputusan dengan terburu-buru? Tetapi apa yang dicakapkan oleh emaknya ada juga betul. Tidak kesiankah dengan anak itu? Alia masih kecil. Umur? Ah, aku sendiri tak sempat tanya Kak Nora umur Alia berapa. Aku pun cuai. Macam mana aku nak jaga Alia kalau hal kecil seperti ini pun aku tak tahu? fikir Nurin Aira.

Apa yang pasti, keputusan emak memang akan memeranjatkan Suraya dan Najwa. Apa reaksi mereka nanti, ya?

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro

Tags: