Bab 11
NURIN AIRA melangkah masuk ke dalam pejabat dengan tergesa-gesa. Hari ini dia lambat lagi. Sudah dua hari dia lambat semenjak ketiadaan Suraya di rumah. Dia terlupa untuk mengunci jam loceng miliknya. Di skrin telefon, ada beberapa panggilan daripada Suraya yang tidak dijawab olehnya. Orang tidur, manalah nak sedar bunyi telefon.
Nasib baik Suraya cerdik. Dia pergi menelefon telefon rumah berkali-kali. Alia yang terjaga mengangkat panggilan itu lalu mengejutkan Nurin Aira daripada tidur. Fuhhh... Mujur ada Alia.
Ketika itu jam sudah menunjukkan angka tujuh sepuluh minit pagi. Kelam-kabut dia dibuatnya. Nurin Aira hanya sempat menyediakan roti bakar untuk Alia. Mujur, Alia tidak cerewet. Apa sahaja yang dia masak, pasti akan dimakan. Tidak pernah merungut.
Nurin Aira menarik nafas lega sebaik sahaja sampai ke biliknya. Tak sia-sia dia memecut Myvi ungunya. Apa yang diharapkan, sepanjang perjalanan ke biliknya dia tidak akan terserempak dengan Syed Ilham. Kalau tidak, memang teruk dia kena leter.
"Alhamdulillah, selamat aku. Tak payah dengar mamat tu berleter pagi-pagi buta macam ni. Mamat tu, kalau berleter memang mengalahkan nenek tua. Benda yang tak ada kena-mengena pun boleh masuk dalam ceramahnya. Pot pet, pot pet mulut dia. Tak penat ke asyik cakap?" Nurin Aira menundukkan badannya untuk mengurut kaki yang terasa sedikit sengal akibat berjalan laju tadi. Mulutnya masih setia mengutuk majikannya.
Nurin Aira tersengih sebaik mengangkat tubuhnya. Alamak, kantoi! Bila masa pula dia masuk? Aku tak perasan pun. Nurin Aira terkejut apabila melihat kelibat majikannya, Syed Ilham sudah pun berada di hadapannya. Segak lelaki itu mengenakan kemeja ungu yang dilipat paras siku. Ungu??? Nurin Aira melirik ke tubuhnya. Haah, samalah warna baju kita.
"Dah habis?" Syed Ilham merenung wajah wanita di hadapannya lalu menarik kerusi dan terus duduk.
Dah habis apa? Memang dia selalu bagi ceramah kalau aku datang lambat. Tapi yang hairannya, staf lain datang lambat okey aje. Tak ada pula dia nak bebel. Tak adil betul. Dahlah main duduk aje. Siapa bagi kebenaran entah? Tahulah ini syarikat bapak dia, bebel hati Nurin Aira.
"Dah, encik. Saya dah hantar laporan itu atas meja encik sebelum saya balik semalam. Takkan encik tak jumpa?" Lurus Nurin Aira menjawab.
Syed Ilham merenung tajam ke arah wanita itu. Dia ni, tak faham ke saja buat tak faham? Boleh pagi-pagi hari, dia duk mengata aku. Di depan aku pula tu. Ni mesti kes tak puas hati lagi ni. Semalam datang lambat, hari ini lagilah dia datang lambat. Balas dendam ke apa? omel hatinya.
"Encik." Nurin Aira mendengus geram. Boleh dia berangan di depan aku? Janganlah dia suruh aku balik lambat hari ini. Kesian Alia duk rumah jiran sorang-sorang.
"Oh, sorry. Saya tanya benda lain, benda lain yang awak jawab, ya?"
"Haah." Nurin Aira menjawab tanpa mengetahui maksud pertanyaan Syed Ilham.
Terjegil biji mata Syed Ilham.
"Awal kan awak datang hari ini? Dahlah awak datang awal, sempat lagi awak mengata saya." Syed Ilham menyindir Nurin Aira. Nak main-main sangat, kan?
"Saya minta maaf, encik."
"Selain perkataan ini, apalagi yang boleh awak cakapkan? Saya dah muak dengar." Tegas suara Syed Ilham kedengaran.
"Sorry, encik... Eh, tak... Tak." Nurin Aira pantas menekup mulutnya. Tersasul pula. Gerun dia melihat renungan tajam mata Syed Ilham. Pantas dia menundukkan wajahnya.
Syed Ilham menggeleng. Tanpa disedari, bibirnya mengukir senyuman kecil. Kelakar dengan tingkah Nurin Aira.
Tiba-tiba hatinya bergetar hebat apabila matanya jatuh ke muka bersih Nurin Aira yang masih menunduk. Cantik. Tak senang duduk dia dengan keadaan seperti itu. Apa kena dengan aku ni? bentak hati Syed Ilham.
Pantas dia bangun.
"Lain kali jangan datang lambat lagi. Ini syarikat papa saya, bukan bapak awak. Kali ini saya maafkan." Syed Ilham mengucapkan ayat itu hanya dalam satu nafas. Dia sendiri tidak sedar apa yang baru diungkapkan oleh mulutnya. Berdebar punya pasal.
"Terima kasih, encik." Nurin Aira cuba memberi senyuman manis kepada Syed Ilham. Ewah-ewah, sedapnya kutuk bapak aku. Tahulah syarikat ini bapak kau punya. Tak kesah pun.
Pantas, Syed Ilham melangkah keluar. Hatinya terpegun melihat lesung pipit di pipi Nurin Aira. Sangat cantik. Hatinya semakin berdebar-debar jadi tidak keruan dengan keadaan itu.
NURIN AIRA merenung tajam ke arah rakan sekerjanya, Amalina. Dia ingat aku main-main ke hah?
"Dia tak cakap lagi bila nak jumpa kau. Aku telefon dia asyik cakap sibuk aje. Dia tak ada masa lagi nak jumpa kau," ujar Amalina selamba. Tangannya bermain-main dengan cawan berisi air itu.
"Dia nak ke tak nak kereta aku tu?" tanya Nurin Aira.
"Dia cakap nak, tapi macam tu la. Time aku call dia, selalu dia cakap sibuk."
"Hesy, aku nak pakai duit secepat mungkin ni. Boleh pula dia main-main. Karang aku cari orang lain, marah." Nurin Aira mengetap bibir geram. Pembeli sudah dapat hasil bantuan Amalina, tapi yang menyakitkan hatinya, sampai sekarang mereka tidak berjumpa. Dia perlu berjumpa bakal pembeli kereta itu secepat mungkin. Masa semakin berjalan.
Nurin Aira juga harus mencari duit lagi untuk menampung RM50,000. Jual kereta terpakai, manalah sampai RM50,000. Dia sendiri tidak tahu berapa harga yang sanggup dibayar oleh pembeli tersebut.
Dalam fikirannya, dia sudah merancang mahu membuat pinjaman bank. Dapat tak dapat, yang pasti dia akan mencuba. Biarlah dia gagal selepas mencuba, daripada dia gagal tidak mencuba. Mana tahu ada rezeki dia.
"Kau serius ke nak jual kereta kau?" Takut-takut Amalina bertanya. Bukan dia tak perasan angin Nurin Aira sejak ke belakangan ini.
"Taklah, aku gurau aje. Aku main-main nak jual kereta aku. Saja nak isi masa lapang." Nurin Aira buat-buat ketawa. Ambil kau.
"Hesy, kau ni. Aku serius, kau main-main pula, ya?" rungut Amalina.
"Tahu pun. Eh... Malaslah aku nak layan kau. Apa-apa kau call aku. Kau cakap kat dia yang aku bagi tempoh seminggu lagi. Kalau tak, aku nak cari orang lain. Aku serius ni." Tegas Nurin Aira bercakap. Tiada secalit senyuman pun di bibirnya. Nyawa emaknya bukan mainan.
"Okeylah."
"Jomlah masuk, nanti tak pasal-pasal orang cakap kita ponteng kerja. Dahlah encik..." Pantas Nurin Aira menutup mulutnya. Nasib baik tak sempat mengata apa-apa lagi. Wajah Syed Ilham sudah muncul di luar pantri.
Amalina yang faham dengan jelingan mata Syed Ilham terus mengangkat punggung untuk beredar dari situ. Selamat aku, desis hatinya.
Melihat Amalina yang mula beredar, Nurin Aira mula melangkah ingin meninggalkan Syed Ilham sendirian. Tapi langkahnya terhenti semula apabila mendengar namanya dipanggil. Lantas, dia berpusing.
"Ada apa, encik?"
"Jom teman saya makan. Ini sebagai denda kepada awak sebab datang lambat. Saya tunggu kat kereta saya," arah Syed Ilham lalu meninggalkan Nurin Aira yang terpinga-pinga.
Tidak berkelip mata Nurin Aira memandang kelibat Syed Ilham. Aku datang lambat macam-macam kena buat. Kena bebellah, kena itulah, kena inilah. Staf lain datang lambat, okey pula dia. Ni nak pergi teman dia makan pula. Tak boleh ke makan sorang-sorang? getus hati Nurin Aira.
Geram pula Nurin Aira dengan sikap suka memaksa majikannya itu. Nasib baik kau tu bos. Kalau kau tu adik aku, dah lama aku cincang-cincang kau.
Hah, anak aku! Nurin Aira menepuk dahinya. Hampir terlupa dia tentang Alia. Maaf sayang, mama kena datang ambil lambat pula hari ini. Kalau ada Mama Su, boleh jugalah dia ambil. Tunggu mama ya, sayang. Aduh... Mesti kena dengar Kak Midah bebel lagi. Apalah nasib aku. Tidak habis-habis hatinya mengomel.
TENGKU Shamil berjalan sambil berpegangan tangan dengan Aisyah. Mereka berjalan sambil bergurau senda. Dunia ini ibarat mereka yang punya. Mereka langsung tidak menghiraukan pandangan orang di sekeliling mereka. Bukannya buat dosa pun.
Persekitaran Pantai Batu Buruk yang berangin dan tenang itu membuatkan hati mereka sejuk. Keadaan laut yang membiru, sangat menenangkan jiwa. Hilang segala masalah yang menghantui diri masing-masing.
Hari itu hari Jumaat yang merupakan hari cuti buat rakyat Terengganu. Pelbagai ragam manusia dapat dilihat. Ada yang bermain kuda, bermain wau dan ada yang sedang bersenam. Tengku Shamil tidak mempedulikan semua itu. Dia hanya ingin bergembira di samping Aisyah.
Setelah penat berjalan-jalan, Aisyah menarik tangan Tengku Shamil untuk duduk di atas pasir. Berpeluh dahinya walaupun cuaca ketika itu redup. Tengku Shamil hanya menurut langkah Aisyah. Mereka duduk betul-betul di hadapan A&W dan menghadap lautan yang terbentang luas. Pantas, tangan Tengku Shamil mengesat peluh yang mengalir di dahi isterinya. Aisyah hanya membiarkan.
"Sayang penat ke?" Tengku Shamil bertanya lembut. Tangannya menggenggam erat tangan wanita kesayangannya.
"Penatlah juga. Ramai betul orang kat sini, abang." Aisyah menjawab sambil matanya meliar melihat orang di sekeliling.
"Memanglah, sayang. Hari ini kan, hari Jumaat. Jumaat hari cuti kat sini. Memang ramai orang," ujar Tengku Shamil sambil tersenyum kecil. Seronok hatinya dapat berjalan-jalan bersama Aisyah. Dapat juga dia curi sedikit masa untuk bersama isterinya. Esok mereka akan berangkat ke Pulau Redang bersama tiga orang lagi pekerja.
Seketika suasana senyap. Mereka masing-masing hanyut dengan keindahan laut yang terbentang luas. Suasana hingar-bingar di sekeliling mereka langsung tidak menjejaskan tumpuan mereka. Indah sungguh ciptaan Allah.
Perlahan-lahan, Aisyah memandang wajah suaminya. Hatinya tiba-tiba menjadi sayu. Dia takut untuk berpisah dengan lelaki yang dicintainya itu. Dia sendiri tidak tahu kenapa. Apa yang dia tahu, dia ingin merenung wajah itu sepuas hatinya. Hatinya sebak. Dia menggenggam erat tangan kasar suaminya.
Tengku Shamil yang perasan akan perubahan Aisyah terus berpaling menghadap isterinya.
"Kenapa ni, sayang?" Lembut Tengku Shamil bertanya.
Aisyah cuba untuk tersenyum. Senyumannya nampak hambar. Dia hanya diam. Matanya masih lagi merenung wajah kacak suaminya yang hanya memakai baju T Polo warna putih dan berseluar jean warna koko paras lutut. Pada leher bajunya, disepitkan cermin mata hitam. Sangat kacak suaminya.
"Abang, Sya nak cakap sesuatu ni."
"Apa dia, sayang?"
"Sya sayang sangat kat abang," ujar Aisyah sambil melentokkan kepalanya ke atas bahu suaminya.
Tengku Shamil tergelak kecil. Kelakar mendengar kata-kata Aisyah. Itu memang dia tahu.
"Abang tahulah, sayang. Kalau Sya sayangkan abang, abang lagilah sayang kat Sya tau." Tengku Shamil mencuit hidung isterinya.
"Abang... Kalau suatu hari nanti Sya dah tak ada, abang nak cari tak pengganti Sya?" Perlahan-lahan Aisyah mengangkat mukanya. Dia ingin merenung wajah itu. Dia ingin melihat reaksi lelaki itu.
Ternyata persoalan itu berjaya merubah riak wajah Tengku Shamil. Dia sebenarnya pelik dengan perangai Aisyah sejak ke belakangan ini. Aisyah kerap kali duduk termenung. Apabila ditanya, dia cakap tak ada apa-apa.
Selepas subuh tadi, matanya sempat menangkap kelibat Aisyah yang sedang menangis. Apabila dia menghampiri, pantas Aisyah menyapu air matanya.
"Kenapa Sya tanya abang soalan macam ini? Kan Sya dah janji dengan abang tak mahu ungkit lagi pasal ni? Sya lupa ke?" Tengku Shamil bertanya sambil anak matanya merenung tajam ke dalam anak mata isterinya. Biar isterinya tahu betapa dalamnya cinta dia.
"Abang... Boleh tak abang janji dengan Sya?" pinta Aisyah. Dia ingin menahan air matanya daripada mengalir keluar.
"Apa dia, sayang? Demi sayang, abang sanggup lakukan apa sahaja." Bersungguh-sungguh Tengku Shamil berkata-kata.
"Abang, Pantai Batu Buruk ini saksi Sya melafazkan yang Sya sangat-sangat mencintai abang dan Sya..."
"Dan Pantai Batu Buruk ini juga saksi abang, betapa dalamnya cinta abang buat Nur Aisyah binti Ishak." Tengku Shamil mencelah percakapan Aisyah.
"Cinta abang kepada Sya seluas laut yang berada di hadapan kita. Tidak putus-putus. Cinta abang kepada Sya tidak akan putus kerana Sya merupakan penyambut cinta yang abang berikan." Sungguh mendalam ucapan Tengku Shamil.
Aisyah sudah menangis. Pantas Tengku Shamil menarik Aisyah ke dalam pelukannya. Dia tidak tahu bagaimana ingin menyatakan apa yang terpendam dalam hatinya. Kata-kata Tengku Shamil begitu menusuk ke dalam sanubarinya.
Lama mereka berkeadaan begitu. Tengku Shamil hanya membiarkan Aisyah di dalam dakapannya. Biarlah Aisyah menangis. Biar dia lega. Menangis juga merupakan terapi diri. Dia ingin Aisyah bahagia di sampingnya.
"Abang..." Aisyah memanggil lembut setelah keadaannya kembali stabil. Dia perlu menyatakan sesuatu kepada Tengku Shamil. Dia perlu kuat.
Tangan Aisyah dicapai lalu dikucup perlahan. "Ya, sayang."
"Abang tolong janji dengan Sya. Apa-apa yang akan berlaku kepada Sya nanti abang akan terima dengan reda. Abang janji ya dengan Sya?"
Tengku Shamil diam.
"Abang, tolonglah. Janji dengan Sya."
"Kenapa Sya cakap macam ni? Sya nak tinggalkan abang ke? Dah tak sayang abang lagi ke?" Bertalu-talu soalan Tengku Shamil.
Aisyah hanya tersenyum. Dia perlu pandai mengawal perasaannya ketika ini. Tengku Shamil dalam keadaan emosi.
"Abang... Tolong, ya? Demi Sya. Abang kena terima dengan reda apa pun yang akan berlaku." Air mata Aisyah mula bertakung.
Tengku Shamil mula tidak sedap hati. Mata Aisyah mula dipenuhi air mata.
"Okey, abang janji." Tengku Shamil melafazkannya dalam keadaan terpaksa. Terasa berat hatinya untuk melafazkan ucapan itu. Tapi demi Aisyah dia sanggup.
Aisyah mengukirkan senyuman di bibirnya. Lega hatinya mendengar kata-kata suami tersayang.
"Abang, ada lagi satu Sya nak abang berjanji dengan Sya. Ini yang paling penting dan Sya harap sangat abang mampu tunaikan."
Tengku Shamil mula tidak senang duduk. Dia dapat rasakan yang permintaan Aisyah kali ini agak keterlaluan dan berat.
"Abang, kalau Sya dah tiada nanti. Abang... Dengar dulu apa yang Sya nak cakap." Aisyah menegur si suami yang ingin memintas percakapannya.
"Abang akan cari pengganti Sya, ya. Wanita yang boleh menjaga abang. Wanita yang akan abang cintai sepenuh hati abang. Seperti abang cintakan Sya."
Tengku Shamil sangat terkejut dengan kata-kata Aisyah. Dia tidak menyangka yang Aisyah sanggup berkata sebegitu. Tengku Shamil terus bangun dan meninggalkan wanita itu sendirian. Dia malas mahu melayan percakapan Aisyah. Semakin mengarut.
Aisyah bingkas bangun. Dia berlari mengejar langkah suaminya.
"Abang... Abang." Aisyah memanggil kuat suaminya. Tangannya sempat memaut tangan lelaki itu tetapi ditepis oleh Tengku Shamil.
Aisyah menghentikan langkahnya. Dia terasa kecil hati dengan tindakan suaminya. Sungguh, dia ingin suaminya bersetuju untuk mencari pengganti dirinya andai dia tiada kelak.
Tengku Shamil memperlahankan langkahnya. Dia memusingkan badan untuk melihat Aisyah. Dia pelik; kenapa Aisyah tidak lagi mengejar dirinya? Tidak inginkah wanita itu memujuk dirinya?
Alangkah terkejutnya dia melihat Aisyah duduk di atas pasir putih sambil menangis teresak-esak. Pantas dia berlari menuju ke arah Aisyah tanpa mempedulikan mata-mata yang sedang memerhatikan mereka.
Aisyah terus mencapai tangan kasar suaminya. Dicium tangan itu berkali-kali sambil menangis teresak-esak.
"Abang tolong janji dengan Sya. Sya nak Pantai Batu Buruk ini sebagai saksi. Abang akan terima dengan reda kalau ada apa-apa yang akan berlaku kepada Sya. Abang akan mencari pengganti Sya. Abang akan mencintai wanita itu sepenuh hati abang, seperti abang cintakan Sya. Abang... Tolong, bang. Janji dengan Sya." Lirih suara itu memohon. Air mata Aisyah sudah lebat membasahi pipinya.
Lidah Tengku Shamil kelu. Permintaan itu sangat berat untuk dirinya penuhi.
Ketawa bersama,
Menangis bersama,
Kubersumpah harap kita,
Mati pun bersama...
Sejak dua menjak ini,
Makin kerapku diganggu visi,
Bila celik, juga bila mimpi,
Aku nampak kau, tapi bukan aku yang di sisi,
Dia membelaimu dengan izin dan permisi,
Sentuhan katanya semuanya kau iakan,
Sentuhan jari kau diamkan dan biarkan,
Aku redha walau tidak kudamba,
Walau hampa semuanya dah dijangka.
Beberapa purnama dulu cinta bertahta,
Kenangan dibina kita indah belaka,
Ketawa bersama, menangis bersama,
Kubersumpah harap kita mati pun bersama,
Namun hakikatnya, bukan mudah,
Aku sembunyikan gulana-gundah,
Segalanya kan berubah,
Dengarkan apa yang kumahu luah.
Rahsia ini...
Telah lama aku pendamkan,
Tiba masanya,
Segala-galanya,
Kuceritakan...
Aku kan pergi...
Pergiku tak akan kembali...
Tiba masanya...
Kau cari teman pengganti...
Lagu ini yang terakhir aku sajikan,
Kalau rindu nanti bolehlah kau nyanyikan,
Jaga diri, jangan makan hati,
Yang patah kan tumbuh, yang hilang kan berganti,
Bilik dah kukemas, katil dah kurapi,
Cincin, kunci, dompet dalam laci,
Ada sikit wang, itu saja baki,
Moga-moga cukup untuk majlis itu nanti.
Aku kan pergi...
Bertemu kekasih abadi...
Tiba masanya...
Kau cari teman pengganti...
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro