Bab 1
SEBAIK sahaja meletakkan gagang telefon rumah yang berwarna biru tua itu, Nurin Aira terus melabuhkan punggungnya di atas sofa. Niatnya untuk ke dapur, membancuh air Milo hilang sebaik sahaja menjawab panggilan itu.
Keadaan rumah teres dua tingkat yang agak bising dengan bunyi televisyen dan radio yang terpasang langsung tidak menjejaskan tumpuan Nurin Aira yang masih berada di dalam dunianya. Panggilan yang tidak diduga olehnya itu menyebabkan pelbagai persoalan muncul dalam benak. Soalan yang tidak mampu difikirkan apa jawapannya.
"Kenapa dengan kau ni? Muram aje. Tadi okey pula?" tanya Suraya. Pelik dengan perangai Nurin Aira yang tiba-tiba berubah menjadi senyap. Matanya masih lagi melekat pada skrin komputer riba jenama Acer di depannya.
"Tak ada apa-apalah," jawab Nurin Aira yang malas melayan pertanyaan Suraya. Dia tahu yang Suraya saja aje tanya soalan itu. Suraya lebih memberi tumpuan pada komputer ribanya. Entah apa yang dibuat oleh gadis itu, dia sendiri pun tak tahu. Biar ajelah. Malas nak melayan.
Kak Nora? Apa dia nak? bisik hatinya. Panggilan daripada kakak angkatnya sebentar tadi benar-benar mengundang pelbagai soalan dalam fikirannya. Tak senang duduk dibuatnya. Terdengar suara kakak angkatnya macam cemas aje. Ada masalah ke? Isy, nak tercabut kepala aku duk pikir pasal Kak Nora, bebelnya dalam hati.
Nora. Sudah lama nama itu tidak didengarnya. Sebaik sahaja kakak angkatnya mendapat pekerjaan di Kuala Lumpur, hubungan Nurin Aira dan Kak Nora menjadi semakin renggang. Kadang-kadang ada juga Nurin Aira berhubung dengan Kak Nora di Facebook. Namun mereka hanya sempat berbual kosong dan bertanya khabar sahaja.
"Hah, kau nak ke mana?" Hairan Suraya apabila melihat Nurin Aira mula berdiri. Tadi cakap nak buat air. Ni air tak siap lagi, dah cabut lari. Bukan perangai Nurin Aira tu.
"Nak tidur. Selamat malam." Pendek jawapan Nurin Aira.
"Nu..." panggil Suraya. Tetapi terlambat apabila bayangan Nurin Aira sudah hilang dari pandangan.
"Hesy... Dia ni. Awal lagi ni kalau nak tidur," rungut Suraya lalu menutup radio dan televisyen yang terpasang. Tidak ada sesiapa yang dengar dan tengok. Membazir aje. Dia sendiri duk melayan Facebook di komputer ribanya. Jam yang baru menunjukkan angka sembilan empat puluh lima malam itu dipandang sekilas olehnya.
Awal lagi, detik hati Suraya lalu terus leka melayan laman sosial itu.
NURIN AIRA hanya memandang kosong kipas yang berputar laju itu. Fikirannya berserabut. Alasan untuk tidur yang diberikan kepada Suraya tadi itu hanyalah alasan semata-mata. Matanya belum mengantuk. Macam mana nak tidur kalau asyik teringat masalah yang dihadapi? Satu per satu masalah muncul dalam hidupnya. Masalah belajar, keluarga dan yang terbaru masalah yang akan diberikan oleh Nora. Entah apa masalahnya, dia sendiri tidak tahu. Pening kepalanya. Fikirannya kembali teringat pada perbualan telefon dengan Kak Nora sebentar tadi...
"Kenapa kak, ada masalah ke?" tanya Nurin Aira sebaik menjawab panggilan daripada kakak angkatnya. Pelik juga. Selalunya dia yang akan menelefon kakak angkatnya. Ini terbalik pula.
"Nurin... Nurin kat mana?" Kakak angkatnya menjawab. Soalan dibalas soalan.
"Kat rumahlah."
"Oh... Akak nak minta tolong dengan Nurin ni. Perkara ini antara hidup dan mati. Akak tak tahu nak harapkan siapa lagi. Hanya Nurin aje harapan akak." Suara Nora kedengaran cemas sekali.
Nurin Aira tergamam. Hidup dan mati? Bulu romanya mula berdiri tegak.
"Nurin... Nurin," panggil Nora apabila Nurin Aira tidak memberi apa-apa tindak balas. Hanya kedengaran nafas gadis itu dalam talian.
"Ya... Ya... Nurin dengar. Tolong apa, kak?" soal Nurin Aira yang hampir terleka. Bibir bawahnya digigit perlahan. Berdebar-debar dia mahu tahu apa pertolongan kakak angkatnya.
Pelik. Tak pernah sepanjang hidup Nurin Aira, Nora minta tolong dengannya. Dia yang minta tolong daripada kakak angkatnya adalah.
"Emmm..."
"Apa, kak?"
"Macam inilah, nanti akak datang rumah sewa Nurin. Nurin still tinggal kat Sintok, kan?" tanya Nora untuk kepastian. Dia tahu yang Nurin Aira tinggal di sekitar Sintok, Kedah. Dekat dengan tempat belajar Nurin Aira iaitu Universiti Utara Malaysia.
"Macam tu pula akak ni. Cakap ajelah. Nurin dengar."
"Benda ni penting. Akak akan datang jumpa Nurin."
"Okey." Hanya itu yang mampu Nurin Aira katakan.
"Nanti akak sampai sana, akak call."
Lamunan itu tiba-tiba hilang sebaik sahaja dia disergah oleh Suraya. Terkejut dia dibuatnya.
"Kau ni kenapa? Terkejut aku. Kalau orang mengandung, dah bersalin agaknya," marah Nurin Aira lalu mengambil patung beruang berwarna coklat lalu dibaling ke arah Suraya yang tengah tersengih-sengih.
Suraya sempat mengelak. Dia mengambil patung itu lalu memeluknya erat.
"Marah aku pula? Tadi cakap nak tidur. Kenapa tak tidur pun?" Suraya bertanya sambil mencebikkan bibir mungilnya.
"Macam mana kau tahu yang aku tak tidur lagi?"
"Kau tak tutup pintu. Dari jauh aku tengok kau duk termenung atas katil ni," ujar Suraya sambil menepuk-nepuk katil milik Nurin Aira.
Mata Nurin Aira memandang daun pintu yang terbuka.
"Aku tak boleh tidurlah," adu Nurin Aira.
"Kau teringat kat Doktor Haikal ke?" usik Suraya sambil tersengih. Keningnya diangkat beberapa kali. Dia tahu Nurin Aira meminati pensyarahnya itu.
Nurin Aira ketawa. Geli hati!
"Gila kau... Hahaha. Doktor Haikal tu aku simpan dulu dalam hati aku kejap," jawab Nurin Aira sambil tangannya diletakkan pada dadanya. Dr. Haikal merupakan pensyarah Perakaunan di UUM. Sejak mendaftar di UUM lagi dia sudah meminati lelaki itu. Dr. Haikal merupakan pensyarah yang diminati semua pelajar perempuan di UUM. Kacak, baik, cerdik, kaya. Semua ada di dalam diri Dr. Haikal. Yang syoknya tentang pensyarah itu, muda-muda dah ada PhD. Nurin Aira mula berangan.
"Oi, mak engkau." Nurin Aira melatah kerana terkejut. Baru nak berangan sikit, dah kena kacau.
Suraya tersengih. Dia yang menepuk bahu Nurin Aira sehingga menyebabkan gadis itu melatah.
"Kau..." Nurin Aira mengetap bibir.
"Kenapa Kak Nora call kau? Dia nak apa?" tanya Suraya terus kepada Nurin Aira. Kebetulan tadi dia terdengar Nurin Aira menyebut nama Kak Nora.
Bahunya diangkat.
"Entahlah. Dia cakap nak minta tolong aku."
"Tolong apa?" Suraya memotong.
"Itulah masalahnya. Aku tak tahu. Dia cakap antara hidup dan mati. Takut aku mendengarnya."
"Antara hidup dan mati. Isyyy... Besar sangat ke masalah dia?" Terus naik bulu roma Suraya apabila mendengar kata-kata Nurin Aira.
"Entahlah. Eh, Najwa mana?" soal Nurin Aira apabila kelibat seorang lagi sahabat baiknya tidak kelihatan.
"Lah... Kau ni." Suraya membulatkan biji matanya melihat kealpaan Nurin Aira.
"Hah... Lupalah." Nurin Aira tersengih. Baru sebentar tadi Najwa memberitahu kepada mereka berdua bahawa dia ingin keluar bersama ibu saudaranya. Katanya ingin pergi makan. Najwa juga merupakan rakan serumah mereka. Mereka hanya tinggal bertiga di rumah itu.
"Okeylah, aku nak tidur dulu. Kau jangan fikir banyak sangat. Tak ada apa-apa tu." Suraya mula mengangkat punggung untuk menuju ke biliknya.
"Okey."
"Nak tutup lampu tak ni?"
"Tak payahlah. Aku tak nak tidur lagi, kau tutup aje pintu tu." Nurin Aira melemparkan senyuman kepada Suraya. Senyumannya berbalas.
Dia bersyukur kerana dikurniakan dua orang sahabat baik iaitu Suraya dan Najwa. Mereka bertiga memang rapat. Suraya merupakan teman sebilik Nurin Aira pada tahun pertama. Manakala Najwa pula dikenalinya ketika menjalani Program Latihan Khidmat Negara di Cheneh, Terengganu. Mereka satu dorm ketika itu. Tak sangka mereka bertemu kembali di UUM. Kecil betul dunia.
Rumah yang diduduki mereka bertiga merupakan rumah ibu saudara Suraya yang berhijrah ke Rusia bersama keluarganya. Pada awalnya, dia ingin membayar sewa tetapi ditegah oleh Suraya. Katanya, ibu saudaranya ikhlas bagi mereka tinggal. Daripada dibiarkan kosong, baik digunakan. Sekurang-kurangnya ada juga yang akan menjaga rumah ini.
Jadi mereka bertiga hanya berkongsi duit untuk membayar bil air dan elektrik sahaja. Rumah teres dua tingkat itu mempunyai empat buah bilik dan tiga bilik air. Hal ini membolehkan mereka tinggal seorang diri di dalam bilik tanpa perlu berkongsi.
"APA?" Hampir pengsan Nurin Aira, Suraya dan Najwa mendengar permintaan Nora. Permintaan yang betul-betul menguji kesabaran mereka terutamanya Nurin Aira. Mereka bertiga masih lagi tergamam. Tidak tahu untuk berkata apa.
Nora hanya mendiamkan diri. Mungkin sedang berfikir. Dia sudah kematian akal. Hanya Nurin Aira harapan dia kini. Dia percaya kepada Nurin Aira. Mereka sudah berkenalan sejak di bangku sekolah menengah lagi. Gadis itu memang seorang yang boleh diharap.
Keadaan yang sejuk kerana hujan lebat di luar rumah ditambah lagi dengan guruh dan kilat yang sabung- menyabung itu langsung tidak dihiraukan oleh mereka bertiga. Tumpuan mereka hanya pada Nora. Ya, Nora.
"Hanya Nurin harapan akak..." Nora mendekati Nurin Aira sambil melutut.
"Kenapa harus Nurin, kak?" tanya Najwa. Dia tidak berpuas hati dengan permintaan Nora. Dia tidak kenal siapa Nora tetapi dia mengetahui sedikit sebanyak tentang Nora setelah mendengar cerita daripada Nurin Aira ketika di PLKN dulu.
"Akak terpaksa." Lemah suara Kak Nora.
"Akak, permintaan akak tu terlalu besar. Bukan kecil. Ini berkaitan masa depan anak akak. Dia perlukan akak untuk membesar, untuk menjaga diri dia, untuk mendidik dia. Bukan Nurin, kak," luah Nurin Aira kepada wanita yang sedang memangku seorang bayi. Kesian bayi itu menjadi mangsa.
Setelah seminggu panggilan daripada Nora diterimanya, baru hari ini wanita itu datang menemuinya. Ketika itu dia sedang menolong Najwa memasak. Kehadiran Nora begitu memeranjatkan dirinya. Wanita itu sanggup meredah hujan lebat, semata-mata ingin berjumpa dengannya. Wanita itu hadir dengan satu permintaan yang sangat besar iaitu untuk menjaga anaknya.
"Ya. Akak tahu, Nurin. Tapi akak tak mampu untuk jaga anak ini. Akak tak mampu," ujar Kak Nora sambil menangis. "Hanya Nurin harapan akak. Tolonglah Nurin, demi anak akak." Nora merayu kepada Nurin Aira. Tangannya menggenggam kuat tangan gadis di depannya.
Nurin Aira bangun lalu membawa Nora duduk di atas sofa. Dia tak sanggup melihat Nora melutut di hadapannya. Tuala yang diberi oleh Suraya tadi diambil dan dihulurkan kepada Nora. Nora menyambutnya. Suasana senyap seketika.
Nurin Aira masih tidak percaya dengan permintaan Nora yang meminta dia supaya menjaga anak sulungnya. Permintaan yang memeranjatkan, menakutkan dan mengejutkan. Pelbagai soalan bermain dalam fikirannya kini. Sungguh, dia sendiri tidak tahu Nora sudah berkahwin, tup- tup dah ada anak. Nora tidak pernah bercerita apa-apa pun kepada dia.
Matanya dihalakan ke arah seorang bayi yang berada di dalam pangkuan Nora. Jantina bayi itu masih belum diketahui tetapi kelihatan seperti seorang bayi perempuan kerana terdapat rantai pada leher bayi itu.
Nurin Aira tidak tahu apa keputusannya. Dia buntu. Akalnya tidak mampu berfikir ketika ini. Matanya dialihkan pada Suraya, gadis itu hanya mendiamkan diri. Kemudian matanya dihalakan pula ke arah Najwa. Gadis itu seakan-akan marah dengan permintaan Nora. Daripada raut wajahnya yang merah itu sudah dapat diagak oleh Nurin Aira.
"Kenapa akak tak nak jaga anak akak?" tanya Nurin Aira selepas beberapa minit berdiam diri. Kini bayi itu dipangku oleh Nurin Aira. Comel.
"Akak... Akak... Tak mampu nak jaga Alia." Tergagap-gagap Nora menjawab soalan Nurin Aira. Hanya alasan itu yang mampu diberikan.
"Akak, Nurin tak tahu apa keputusan Nurin. Nurin buntu."
"Nurin... Sepanjang akak berkawan dengan Nurin, tak pernah walaupun sekali akak minta tolong dengan Nurin, kan?" Lantas Nora memegang tangan kiri Nurin Aira. Tangan gadis itu gementar dan sejuk.
Nurin Aira hanya mampu menggeleng.
"Nurin... Ini aje permintaan akak. Permintaan akak yang pertama dan yang terakhir, tolonglah jaga anak akak. Akak tak mampu nak jaga Alia. Tolonglah Nurin..." rayu Nora lalu memandang sekilas wajah bayi perempuan yang bernama Alia itu. Di mulut bayi itu terdapat puting. Comel budaknya. Montel.
"Akak... Ada masalah yang belum diselesaikan lagi," sambung Nora sambil mengusap kepala Alia.
"Masalah apa, akak? Kalau kami boleh bantu, kami bantu. Akak cakap sahaja," sampuk Suraya bersungguh- sungguh.
Nora senyap. Seperti sudah kematian akal.
"Akak ada masalah keluarga ke?" Najwa cuba meneka.
Kak Nora menggeleng.
"Masalah kewangan ya, kak? Kalau ada, akak cakap aje dengan Su. Su boleh tolong akak. Berapa pun Su boleh bagi. Asalkan akak jangan serahkan anak akak kepada Nurin. Akak kena jaga anak akak dengan tangan akak sendiri." Suraya membuat andaian tentang masalah yang dihadapi oleh Nora. Baginya, jika Nora mempunyai masalah kewangan, dia sudi membantu.
Nora hanya membatukan diri.
Mereka bertiga sudah kehabisan idea. Nora hanya senyap. Kebisuan Nora juga merupakan masalah buat mereka.
"Nurin... Tolong akak, ya? Tolong jaga Alia untuk akak. Macam inilah, akak janji dengan Nurin. Selepas kerja akak selesai, akak akan ambil Alia daripada Nurin. Itu janji akak." Lembut Nora bersuara sambil memegang tangan Nurin Aira. Tepat anak mata hitam Nora memandang mata coklat Nurin Aira.
Suasana menjadi senyap. Lidah menjadi kelu. Akal gagal berfungsi.
NURIN AIRA memandang kosong bintang dan bulan di langit. Keserian bintang yang berkelip-kelip langsung tidak menarik perhatiannya. Nurin Aira hanya ingin memikirkan masa hadapannya yang akan datang. Di telinganya masih lagi terngiang-ngiang rayuan Nora untuk menjaga anaknya, Alia. Bukan tidak sudi. Tapi... Entahlah. Banyak benda yang perlu dia fikirkan. Bukan dia tidak kesian kepada anak kecil itu. Sebagai manusia, hatinya sedih akan nasib Alia. Kesian Alia.
Hidup ini selalu tidak dapat dijangka. Kadang- kadang kita akan berfikir yang nasib kita akan selalu baik tapi rupa-rupanya ada badai yang menanti. Nurin Aira berfikir, dirinya masih lagi belajar. Banyak tanggungjawab yang perlu dia lakukan. Tanggungjawab terhadap diri sendiri, keluarga... Arghhh!
Apa kata keluarganya nanti apabila dia menjaga Alia? Dia tidak mahu keluarganya berfikir yang bukan-bukan. Keluarganya orang susah. Dia bukan anak doktor, bukan anak Datuk, bukan anak Tan Sri, jauh sekali anak raja. Jauh panggang dari api.
Apa kata orang di sekeliling apabila dia menjaga seorang budak nanti? Mulut manusia bukannya boleh ditutup. Mulut tempayan tu bolehlah. Nanti dia dituduh melakukan perbuatan terkutuk. Kesian keluarganya kalau difitnah. Tetapi apa nak dihairankan? Janji dia dan keluarganya tahu perkara sebenar, itu sudah cukup.
Nora hanya meminta dia menjaga Alia. Nora cakap, apabila masalahnya selesai dia akan mengambil semula anaknya. Tapi sampai bila masalah Nora akan selesai? Sehari? Seminggu? Sebulan? Atau setahun? Bukankah setiap manusia akan diduga dengan pelbagai masalah? Masalah tidak akan pernah selesai. Lepas satu, satu masalah datang.
Tapi... Dia kesian kepada Alia. Jika bukan dia yang menjaga Alia, siapa lagi? Dia tidak sanggup melihat Alia dihantar ke rumah anak-anak yatim. Rumah anak-anak yatim? Alia masih mempunyai ibu. Tak mungkin Nora sanggup menghantar Alia ke rumah anak-anak yatim.
Tapi kalau ya, bagaimana? tanya Nurin Aira dalam hati.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro