Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 5

Terkejut besar Dalila. Tiba-tiba saja dia diminta tinggal di rumah Pekin untuk beberapa hari. Nak duduk di sana selama satu jam pun dia tak sanggup menghadap Pekin.

"Tak nak. Lila nak duduk di rumah kita."

"Bahaya. Ayah nak ke sana selama tiga hari. Bukan sekejap."

"Lila tak selesa duduk dekat sana."

"Sebab anak Dato' tu ke?"

Laju Dalila mengangguk. Tak perlulah dia menipu. Memang dari dulu dia tak suka berjumpa lelaki itu. Ada saja akal Pekin nak kenakan dia. Syukurlah tempoh seminggu dia menjadi hamba kepada lelaki itu sudah selesai.

"Ayah susah hati nak tinggalkan Lila sendiri dekat sini. Kebetulan Dato' buat tawaran untuk Lila tinggal dekat sana. Ada Mak Jah yang boleh temankan."

"Ayah tak perlu risau. Tahulah Lila jaga diri. Balik sekolah, Lila kunci pintu rumah ni. Lila janji tak keluar ke mana-mana sepanjang ayah tak ada di rumah."

Encik Samad serba salah nak bersetuju. Bukan dia tak percayakan si anak tapi dia lebih risaukan keselamatan Dalila.

"Kalaulah ibu Lila boleh..."

"Ayah nak minum tak? Lila buatkan air panas ya."

Tak sempat Encik Samad habiskan ayat, gadis itu segera berlalu pergi ke dapur. Nafas berat dihela lemah. Sedar yang anaknya tidak mahu bercakap tentang wanita itu.

Di dapur, Dalila masih cuba bersikap biasa. Air panas dituang ke dalam cawan. Saat ini Dalila terkenang memori lama.

"Petang ni ibu nak buat teh panas dan cempedak goreng. Dah lama kita tak minum petang bersama. Kebetulan ayah cakap nak balik awal hari ni."

"Sedapnya. Ibu dapat dari mana cempedak tu?"

"Kawan baik ibu yang bagi. Nanti kita tunggu ayah balik, kita makan sama-sama." Teruja wajah wanita itu.

Namun kegembiraan wanita itu tak bertahan lama apabila ayah mungkir janji untuk pulang ke rumah. Malah itu kali terakhir dia melihat senyuman ibu.

"Lila."

Terperanjat Dalila. Nyaris air panas terkena di tubuhnya. Mujurlah Encik Samad sempat menolak tubuh anaknya ke tepi.

"Pergilah masuk bilik. Biar ayah buat sendiri."

"Lila boleh..."

"Tak apa. Ayah dah biasa buat sendiri."

Luluh hati Dalila mendengar ayat itu. Pantas dia memeluk tubuh si ayah dari belakang. Tersentak Encik Samad.

"Ayah jangan risau. Lila tak akan tinggalkan ayah."

Encik Samad tersenyum kelat. Lengan si anak ditepuk beberapa kali sebelum dia pusingkan tubuh menghadap Dalila.

"Jangan sesekali bencikan dia. Yang bermasalah hanya diantara kami."

Dalila tarik nafas panjang. Mustahil untuk dia lupakan perbuatan wanita itu. Nak mengaku sebagai ibu, dia malu.

"Lila nak masuk bilik dulu."

Jalan selamat, lebih baik dia mengelak dari bercakap tentang wanita itu. Cukuplah selama beberapa bulan ini dia menderita disebabkan pilihan yang dibuat oleh ibu kandungnya.

💥💥💥💥💥💥

Hari ni, dia terpaksa tinggal bersendirian. Mujurlah Encik Samad tak memaksa dia tinggal di rumah Pekin. Jujurnya dia tak selesa walaupun masih ada Mak Jah.

"Hari ni balik dengan aku. Aku hantar kau."

"Tak menyusahkan ke?" Soal Dalila kepada Bella.

Selama ini, gadis itu tak pernah meminta wang minyak. Segan juga dia dibuatnya.

"Laluan kita sehala. Tak menyusahkan pun."

"Okey. Terima kasih. Nanti ada rezeki, aku belanja kau."

"Cun." Bella naikkan ibu jari ke atas.

Tamat kelas terakhir, mereka berdua pergi ke tempat letak motosikal. Sepanjang mereka ke sana, Bella dan Dalila berbual sambil bergurau. Tiba-tiba muncul dua orang pelajar lelaki di hadapan mereka.

"Hai. Awak... nama apa?"

Dalila dan Bella saling berpandangan. Masing-masing hanya berdiam diri.

"Saya Tuah. Ini Bad."

Lelaki yang bernama Bad sekadar mengangkat tangan.

"Awak?" Sekali lagi Tuah menyoal.

"Dia Lila." Kali ini Bella yang menjawab.

Buat mata Dalila. Lengan Bella disiku tanda tidak suka namanya disebut di hadapan lelaki itu.

"Cantik nama tu. Macam awak."

"Klisenya. Nak mengorat, janganlah guna ayat sama." Bella julingkan biji mata.

"Eh, awak dah salah faham. Bukan saya nak mengorat. Saya tanya ,sebab takut salah orang. Ini... ada orang suruh bagi."

Berkerut dahi Dalila. Bungkusan beg itu diambil dari tangan Tuah.

"Saya dah sampaikan amanah tuan punya barang. Kami balik dulu."

Tangan Bad ditarik pergi dari kawasan itu. Terkebil-kebil mata Dalila. Bella rampas beg kertas itu untuk melihat isi di dalam.

"Apa tu?" Soal Dalila.

"Comelnya. Sah budak tu memang nak mengorat kau."

Dalila tayang wajah tanpa perasaan. Kali ini dia pula yang melihat isi di dalam beg tersebut. Saat dia keluarkan barang tersebut, bulu roma Dalila mencanak naik.

"Comel kan. Cuba kau tekan sini." Bella terus menekan butang yang ada di situ.

"Meow..."

"Arghhh!"

Seperti terkena renjatan elektrik, Dalila campak patung kucing itu ke tanah. Sampai terlompat-lompat dia dibuatnya. Tergamam Bella.

Dari jauh, Pekin puas ketawakan Dalila. Dia hulurkan beberapa keping wang kepada Tuah.

"Kenapa perempuan tu menjerit?" Risau juga Bad. Nak kata mereka bagi binatang hidup, Pekin hanya hadiahkan patung kucing yang comel.

"Biarlah. Kejap lagi dia okeylah tu. Jom, aku belanja minum."

Suara jeritan Dalila masih lagi kedengaran. Pekin gelengkan kepala. Baru bagi kucing olok-olok dah melalak. Kalau bagi si Miko, agaknya terus pengsan.

Memang dia sengaja nak hadiahkan patung itu debagai tanda berterima kasih menjadi hamba dia selama seminggu.

Hadiah yang sangat sesuai kan...

😅

Kesian Lila. Kalau demam, habislah. Dahlah Encik Samad tak ada.

Maaf baru bersiaran. Beberapa bulan yang lepas, saya sibuk dengan persiapan PBAKL. Skrg kita on track balik ya di sini.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro