Bab 3
Baik Lila atau Pekin, masing-masing tak berani nak angkat muka. Apa yang dilihat oleh orang tua mereka tadi, sangat memalukan. Semua perkara yang berlaku tadi, sudah dijelaskan oleh Lila.
Encik Samad masih berdiri di sebelah majikannya. Sebagai orang tua Lila, sudah tentu dia marah. Malah dia sudah terfikir perkara yang bukan-bukan tadi. Namun hatinya sedikit lega apabila mendengar penjelasan anaknya.
"Jadi kamu berdua satu sekolah."
Keduanya mengangguk.
"Baguslah. Maksudnya kamu berdua dan saling mengenali. Qin..."
"Ya, papa."
"Papa harap perkara tadi, takkan berlaku lagi. Jangan lagi nak kenakan Lila. Faham."
"Tapi papa, dia yang suka-suka hati masuk bilik Qin."
"Diam." Keras nada suara Dato' Rizman.
Wajah Pekin kembali menunduk. Lila di sebelah hampir nak bertepuk tangan. Padan muka. Kenakan dia lagi.
"Saya minta maaf bagi pihak anak saya, Samad. Saya janji, perkara ni tak berulang."
"Tak apa, Dato'. Perkara ni hanya salah faham. Nanti saya nasihatkan anak saya untuk lebih berhati-hati."
Dato' Rizman bangun dan mendekati Lila.
"Kamu... Lila?"
"Ya, Dato'."
"Panggil uncle. Uncle minta maaf sebab budak bertuah ni dah takutkan Lila. Ayah kamu selalu juga bercerita tentang kamu. Katanya kamu anak yang pandai."
Pekin di sebelah rasa nak loya mendengar kata-kata papa. Lila pula nampak segan.
"Kalau tak keberatan, boleh uncle minta tolong."
"Boleh. Apa dia?"
"Ajarkan anak uncle ni subjek yang lemah."
Terbeliak kedua mata Pekin dan Lila. Masing-masing berpandangan seketika.
"No. Qin tak nak."
"Ada papa minta pendapat Qin?"
Pekin mengeluh kasar. Lila pula nampak serba salah. Ikutkan hati, dia tak ingin nak menghadap muka Pekin. Tapi lepas apa yang berlaku tadi, timbul idea untuk mengenakan lelaki itu.
"Saya boleh ajar dia uncle."
Terbuntang mata Pekin.
"Alhamdulillah. Terima kasih sangat. Uncle risau sebab tak lama lagi kamu berdua nak SPM. Tapi budak ni, dah berhantar ke kelas tuisyen, tetap tak ada perubahan."
Berdecit lidah Pekin. Tak suka betul orang tua itu terang-terang mengata dia di hadapan orang lain.
"Kamu tak kisah ke?" Soal orang tua itu kepada Encik Samad.
"Saya tak kisah, Dato'."
Dato' Rizman tersenyum lebar.
"Jangan risau. Nanti uncle akan bayar kamu untuk tugas mengajar Qin."
Lila angguk tanda setuju. Orang kata, rezeki jangan ditolak. Tiba-tiba muncul Nek Jah.
"Makanan dah siap. Nak Kak Jah sediakan ke?"
"Ya. Kita makan sekali. Jemput makan dengan saya, Samad. Ajak anak kamu sekali."
"Eh, tak apa Dato'. Saya nak hantar anak saya balik."
"Makanlah dulu. Kak Jah tambah lagi pinggan untuk mereka."
"Baik, Dato'." Nek Jah terus berlalu pergi.
Dato' Rizman berjalan ke dapur diiringi oleh Encik Samad. Kini hanya tinggal mereka berdua di ruang tamu.
"Sukalah kau. Bangga sangat aku ni nampak bodoh depan papa aku." Pekin rasa nak hempuk kepala Lila.
Memandai gadis itu bersetuju untuk mengajar dia. Belajar tu ibarat musuh ketat dia.
"Awak bodoh ke?"
"Kau..."
"Awak sendiri yang cakap. Bukan saya. Dato' pun tak sebut awak bodoh. Awak yang membodohkan diri sendiri."
"Perempuan ni..."
"Saya lapar. Kalau awak tak nak makan, saya nak makan." Lila tayang senyuman manis sebelum beredar dari situ.
Puas hati Lila. Jangan ingat Pekin boleh membuli dia. Ini Dalila. Bukan Dolla.
Hilang kelibat gadis itu, Pekin rasa nak meraung sekuat hati. Rambutnya diramas kasar.
"Meow."
Pekin pandang ke bawah. Selamba Miko menggesel bulunya ke kaki lelaki itu.
"Ini kau punya pasal." Nyaris dia nak tendang kucing kesayangannya itu sampai ke luar.
Gara-gara takutkan Miko, hampir tercabut rambut dia dikerjakan gadis tadi. Teringatkan permintaan papa, buat Pekin tak duduk dia.
Gila!
Tak ingin dia nak belajar dengan perempuan tadi.
❤️❤️❤️❤️❤️
Lila pandang jam tangan. Sudah hampir pukul 5.30 petang. Sepatutnya ayah datang menjemputnya sejak setengah jam yang lalu.
"Mana ayah ni?" Lila risaukan keselamatan ayahnya. Janganlah terjadi apa-apa terhadap orang tua itu.
Petang tadi, dia ada kelas tambahan. Bella demam. Sudah beberapa hari gadis itu tidak hadir ke sekolah. Ikutkan hati, dia boleh berjalan kaki pulang ke rumah. Namun ayah tak benarkan atas faktor keselamatan memandangkan waktu begini laluan ke rumah mereka agak lengang.
Pin!
Terperanjat Lila. Dia pandang ke arah motosikal di hadapannya. Wajah si penunggang motosikal ditutup dengan cermin topi keledar.
Pada awalnya Lila tak hiraukan. Namun kali kedua motosikal itu membunyikan hon, dia rasa tak sedap hati.
"Hoi!"
Tegak kepala Lila. Kali ini barulah dia nampak wajah si penunggang.
Pekin!
"Cepat naik. Papa suruh aku bawa kau balik."
Mulut Lila ternganga. Biar betul.
"Mereka lambat lagi nak sampai. Jalan jem. Cepatlah naik. Panas ni." Pekin sarung kembali topi keledar di kepalanya.
Lila serba salah. Memang buang tabiat dia nak naik motorsikal bersama lelaki asing.
"Kau buat apa lagi tercegat dekat situ? Naiklah!"
Lila rasa nak meraung sekuat hati. Ikutkan hati, dia tak ingin nak balik dengan mamat tak betul ni. Ayah pun satu. Kenapalah tak beritahu awal tak dapat ambil dia?
"Ayah saya tahu ke awak nak ambil dengan motor?"
"Eh, tak. Dia nak aku angkut kau dengan lori ayam."
Kecil besar Lila pandang Pekin.
"Cepatlah. Aku dahlah ada janji dengan orang. Tetiba nak kena bawa kau balik pula. Kau ingat, kau tu puteri raja."
"Kalau macam tu, saya balik sendiri."
Cepat-cepat Lila pergi dari situ. Dia lebih rela jalan kaki. Tak nak dia naik motor punggung tertonggeng tu. Baru beberapa langkah dia berjalan, tiba-tiba...
"Mak!"
Beg sekolah Lila ditarik kuat dari belakang. Nyaris dia nak terjatuh.
"Kau pilih. Nak duduk belakang atau nak duduk dekat depan aku?"
Terkebil-kebil mata Lila. Dah kenapa nak paksa dia balik sekali ni?
"Diam tu aku anggap kau nak duduk depan."
Tangan Lila ditarik ke arah motorsikal. Selamba Pekin angkat tubuhnya duduk di bahagian depan. Sampai terselak kain baju kurungnya ke atas. Nasib baik dia ada pakai seluar panjang di dalam.
"Kejap!"
Pantas Lila menolak tubuh Pekin.
"Saya... saya duduk belakang."
Gila apa nak dia duduk depan. Memang tak lah! Silap-silap, terbabas motosikal ni nanti.
Pekin bagi laluan gadis itu turun dari motosikal. Sebaik saja Pekin duduk di hadapan, dia pandang Lila.
"Naik." Topi keledar dihulurkan kepada gadis itu. Namun huluran Pekin tak disambut.
"Macam mana nak naik? Tempat duduk awak ni tinggi sangat."
Seram Lila nak naik. Tak dapat bayangkan keadaan dia duduk di tempat itu.
Pekin hembus nafas kasar. Dia turun. Sekali lagi tubuh gadis itu diangkat seperti karung guni. Terjerit Lila. Topi tadi diletak kasar ke kepala Lila.
"Okey. Sekarang kau duduk diam-diam." Selamba dia ketuk topi di kepala gadis itu.
Pekin duduk dihadapan. Lila rasa serba tak kena. Dia rasa nak terjatuh ke jalan tar walaupun motosikal belum bergerak.
"Kalau kau nak hidup panjang, kau pelik aku kuat-kuat."
"Tak ingin!"
"Okey. Jangan salahkan aku kalau ada yang masuk ICU petang ni."
Pekin terus membunyikan enjin motosikalnya sehingga bergema di kawasan itu. Lila rasa tak sedap hati. Seperti yang dijangka, memang betul Pekin memecut laju motosikalnya ke jalan besar.
Dek terlalu takut, Lila tak sedar tangannya memeluk erat di pinggang lelaki itu. Di sebalik cermin topi keledar, Pekin tersenyum puas. Akhirnya dia berjaya kenakan Lila.
🤪🤪🤪
Ada-ada aje akal Pekin ni.
Maaf lama tak update. Terpaksa curi masa siapkan mss sekarang.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro