Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 2

Selepas tamat masa kelas yang pertama, lengan Bella dicuit. Gadis itu menoleh ke arahnya.

"Kau kenal tak siapa nama Jasmin?"

"Kenapa kau tanya pasal dia?"

"Err... ada orang kirim barang dekat dia. Yang mana satu dia?"

Jari telunjuk di hala ke arah meja di hadapan.

"Tu. Yang ada bekas pensil warna merah tu. Aku nak ke tandas kejap sebelum Sir masuk."

Tak sempat Lila bertanya, gadis itu dah menghilang. Pantas dia bangun dan berjalan mendekati Jasmin. Sekarang dia dah pening. Ada dua meja yang ada bekas pensil berwarna merah.

"Mana satu ni?"

Gadis yang duduk di meja hujung itu, memakai tanda nama lain. Yang seorang lagi pun sama. Terpaksalah dia tebalkan muka untuk menyoal.

"Nak tanya. Siapa Jasmin?"

Gadis itu pandang ke arahnya bersama kerutan di dahi.

"Saya nak bagi dia surat. Ada budak kelas 5E bagi."

"Siapa yang bagi?"

"Saya tak kenal dia."

Tiba-tiba gadis itu hulurkan tangan.

"Bagi surat tu."

"Awak ke Jasmin?"

Melihat anggukan gadis itu, lega hati Lila. Pantas dia hulurkan surat tersebut. Tak lama kemudian, muncul guru kelas mereka. Bergegas Lila pergi tempat duduknya.

"Cantik. Patutlah budak tadi kirim surat."

Nak tergelak Lila. Zaman sekarang ni, ada lagi yang bagi surat cinta.

❤️❤️❤️❤️❤️

Lila pandang ke arah jam tangan. Lama betul dia menunggu ayah datang menjemputnya. Hari ini ayah janji nak ajak dia makan bersama. Bella pun tak dapat teman dia di sini disebabkan gadis itu perlu mengambil adiknya di sekolah rendah.

"Woi!"

Terperanjat Lila. Dia pandang ke arah suara jeritan tadi. Dari jauh dia nampak keadaan lelaki itu seperti baru dipukul oleh seseorang. Cepat-cepat dia capai beg sekolahnya untuk lari dari situ.

"Dolla!"

Mamat ni memang nak kena. Dah berapa kali dia ulang nama dia Lila.

"Kau pekak ke?!"

Sekelip mata tangannya ditarik kuat. Mujurlah dia tak terjatuh.

"Saya tak pekak tapi awak yang hilang ingatan. Nama saya, L.I.L.A. Bunyinya Lila." Satu persatu dia sebut huruf. Kalau tak faham juga, Lila anggap mamat ni memang bodoh.

"Tak kisahlah kola ke atau tortila. Ni aku nak tanya. Kau ke yang pedajalkan aku?"

Terkebil-kebil mata Lila.

"Kau tampal surat yang aku suruh bagi dekat Jasmin tu dekat dewan."

Terbeliak biji mata Lila. Tak sempat dia nak menjawab, belakang lehernya dicengkam kuat. Mujurlah masih berlapik dengan tudung sekolah.

"Kau memang belum kenal aku agaknya. Ni dengar baik-baik. Aku... P.E.K.I.N. Cuba kau sebut apa nama kau tadi?"

"Pe... kin."

"Bagus. Pandai pun. Jadi ingat... mulai hari ni, hidup kau tak kan selamat selagi Pekin ada di sekolah ni."

Tertelan air liur Lila. Habislah dia...

Pekin tolak tubuh Lila. Ikutkan hatinya panas, memang teruk dia kerjakan Lila. Tapi dia bukan lelaki yang dayus untuk memukul perempuan.

Lila pandang kelibat Pekin berjalan ke arah motosikalnya. Jatuh rahang Lila. Rupa-rupanya, lelaki itu pemilik motosikal yang besar itu. Selama ini dia fikir, milik seorang guru.

Tiba-tiba dia jadi seram dengan ugutan lelaki tadi. Entah apalah yang  Pekin nak kenakan dia selepas ini?

❤️❤️❤️❤️❤️❤️❤️

Hari hujung minggu, Lila dan Encik Samad keluar mencari buku rujukan.  Lega akhirnya dia dapat juga membeli buku rujukan. Susah juga dia nak belajar kalau tak ada buku.

"Kita ke rumah bos ayah. Dekat sana, Lila duduk dengan Nek Jah kejap."

"Tak naklah. Lila mana biasa."

"Kejap aje." Encik Samad kesuntukan masa. Boleh pula majikannya meminta tolong di saat akhir.

Setibanya di rumah kediaman majikan ayahnya, Lila sedikit tergamam. Rumah ini mengingatkan dia dengan rumah lama mereka.

Encik Samad sempat kenalkan dia bersama Nek Jah. Mujurlah orang tua itu tak sombong.

"Ayah nak pergi ambil bos ayah. Lila duduk dekat sini. Jangan ke mana-mana."

Lila mengangguk lemah. Terpaksalah dia menumpang di sini. Mujur juga ada Nek Jah. Tak adalah dia bosan sangat.

Hilang kelibat Encik Samad, Lila membantu Nek Jah di dapur. Lama juga dia berbual dengan orang tua itu. Sampai tak sedar hampir sejam mereka bercerita.

Baru dia tahu Nek Jah dah bekerja lama dengan keluarga ini. Hampir 12 tahun juga. Selesai kerja di dapur, Lila membantu mengangkat kain jemuran. Tiba-tiba cuaca berubah mendung.

"Ramai ke anak Dato', Nek Jah?"

"Seorang aje tapi mengalahkan 10 orang. Tengoklah pakaian dia ni. Sehari tak sah tukar baju sampai tiga atau empat kali."

Jatuh rahang Lila. Ingatkan ramailah juga anak majikan ayah. Bakul kain tadi dibawa masuk ke dalam rumah.

"Dia ada ke dekat rumah ni?" Segan juga Lila. Tapi tak ada pula dia nampak kelibat orang lain.

"Tak ada. Awal pagi lagi dia dah merayap. Harap budak tu baliklah sebelum Dato' muncul."

Nek Jah angkat bakul yang sederhana besar menuju ke tangga.

"Nek Jah nak ke mana?"

"Nak hantar bakul baju ni ke atas. Kejap lagi budak tu balik, mengamuk pula tengok baju dia tak ada."

"Sini. Biar Lila bawa ke atas. Bilik yang mana?" Kesian pula Lila nak biarkan orang tua itu naik ke atas. Boleh tahan berat juga bakul baju tu.

"Bagus juga. Lila tolong letak dekat bilik dia. Bilik yang ada huruf R.R."

Berkerut dahi Lila dengar dua huruf itu. Malas nak ambil tahu, dia terus ke tingkat atas. Nampak tanda nama R.R di hadapan pintu, Lila terus bukakan pintu.

Tergamam Lila melihat keadaan bilik itu. Langsung tak terurus. Dengan bantal dan selimut ada di lantai. Itu belum lagi dengan baju kotor dibiarkan bersepah.

"Pengotor betullah budak ni."

Disebabkan bau bilik ini kurang menyenangkan, selamba Lila buka pintu tingkap. Baru lega sikit bila udara segar masuk ke dalam bilik.

"Meow..."

"Mak!"

Lila melompat naik ke atas katil. Meremang bulu romanya gara-gara kucing berbulu hitam dan putih itu ada di tepi katil. Nak menangis dia dibuatnya. Sudahlah dia paling tak suka binatang berbulu itu walaupun nampak comel.

"Miko."

Tiba-tiba ada satu suara dari pintu bilik. Keduanya tergamam sambil memandang di antara satu sama lain. Terkejut lelaki itu melihat Lila berdiri tegak di atas katilnya.

"Kau!"

Serentak keduanya bersuara sebaik saja mereka mengecam wajah masing-masing.

"Apa kau buat dalam bilik aku?"

"Saya... err... baju..."

Pekin pandang ke arah bakul baju.

"Sejak bila papa aku upah bibik baru?"

Menyirap darah Lila.

"Saya bukan bibik awaklah."

Pekin tergelak sinis.

"Apa-apa ajelah. Sekarang kau turun. Habis kotor katil aku."

"Tu... alihkan benda tu."

Pekin pandang Miko. Sekarang dia dah faham punca gadis itu berdiri tegak di atas katilnya. Timbul idea untuk mengenakan Lila.

Miko diangkat dan diletak di atas bahu. Dia berjalan merapati Lila.

"Comel tak kucing aku?"

"A... awak nak buat a... pa?"

Selamba Pekin campak kucing tadi ke arah gadis itu. Lila menjerit sebaik saja kucing itu terkena ke tubuhnya. Kucing itu turut menggelupur gara-gara terdengar jeritan Lila.

Macam terkena histeria, Lila terus melompat ke arah belakang tubuh Pekin. Pekin tergamam.

"Ayah! Tolong!"

"Hoi, turunlah." Pekin cuba turunkan Lila. Nak tercekik lelaki itu dikerjakan Lila.

Makin kuat pula gadis itu peluk lehernya. Kedua kaki gadis itu mengepit di pinggangnya dari arah belakang.

Tubuh Pekin hampir tak stabil. Ke kiri ke kanan dia berjalan untuk stabilkan diri. Miko masih memandang ke arah pasangan itu sambil menjilat bulunya.

"Buang bulu tu!" Rambut Pekin ditarik kuat.

"Sakitlah bodoh!"

Pekin hilang sabar. Akhirnya dia jatuhkan dirinya di atas katil. Hanya itu satu-satunya cara untuk dia lepaskan diri dari Lila.

"Astaghfirullah! Raja Rafiqin!"

Pekin pandang ke arah pintu bilik. Lila bergegas bangun sambil betulkan selendang di kepalanya.

Nampak wajah ayah, Lila rasa nak pengsan. Lebih-lebih lagi pandangan tajam orang tua yang ada di sisi ayahnya.

💥

Haish...

Klise sangat nak kena tangkap kering.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro