Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

SPECIAL EPISOD

SUASANA kelihatan begitu hiruk-pikuk di kantin Kolej Kediaman Mustafa. Para pelajar berpusu-pusu membeli makanan di gerai. Menjamu makan malam setelah seharian melakukan aktiviti masing-masing.

Apatah lagi jam sudah menginjak ke pukul lapan malam. Sudah menjadi kebiasaan bagi para pelajar untuk membeli makan malam pada waktu itu.

"Kak. Macam biasa ya. Nak nasi bujang satu dengan air sirap satu."

Seorang pelajar perempuan bertudung sarung berwarna hitam memberikan pesanan. Wajah pekerja kantin yang kelihatan sembap dipandang dengan rasa aneh.

Manakan tidak, kakak kantin di hadapannya ini seorang yang murah dengan senyuman. Sentiasa menyambut kedatangan para pelajar dengan ceria. Tak lekang bertanyakan hari mereka. Seakan seorang kakak yang prihatin terhadap adiknya.

Hal itulah yang membuatkan gadis berkulit kuning langsat itu disenangi oleh para pelajar.

"Akak! Nasi bujang satu. Saya lapar dah ni akak..."

Iftah memesan lagi. Nada suaranya kedengaran tegas tatkala si pekerja kantin masih termenung. Seakan hanyut dengan dunianya sendiri. Sepanjang tiga bulan dia menjadi pelajar baru, inilah kali pertama Iftah melihat tingkah laku si gadis yang keihatan janggal.

Melihat para pelajar sudah beratur panjang, Puan Aslia terus meninggalkan pekerjaannya yang sedang mengira wang di belakang gerai. Lantas, dia menepuk lembut bahu pekerjanya. Menyedarkan si gadis bertudung labuh dari lamunan panjang.

Ya Tuhan, sejak berita buruk itu disampaikan kepadanya, Puan Aslia tak tega melihat gadis yang sudah dianggap seperti anak sendiri itu hanyut dengan kesedihan. Dia mengerti. Bukan mudah gadis itu menerima sebuah kekecewaan. Menghancurkan dan meranapkan segala impiannya sekelip mata.

"Hikmah... kalau tak sihat biar mak cik je buat. Hikmah pergilah berehat."

Tatkala suara Puan Aslia menyapa koklea, Hikmah tersentak buat seketika. Dia melilau ke sekeliling kantin. Para pelajar sudah memenuhi kantin Kolej Kediaman Mustafa. Entah sejak bila dia hanyut dengan lautan emosi pun Hikmah tidak tahu.

Saat itu juga, tubir mata terasa hangat. Dinding hati seakan ditikam dengan berjuta belati. Bibirnya seakan digam sehingga mahu menguntumkan senyuman ramah pun Hikmah tidak sanggup.

Ya Tuhan, sakitnya bukan kepalang. Peristiwa tiga hari yang lalu seakan sebuah mimpi buruk yang melemahkan seorang Hidayatul Hikmah serta-merta!

Tika dia seharusnya menyambut kepulangan tunangannya sejurus sahaja tamat rekrut dengan sebuah kebahagiaan, dia disajikan dengan berita buruk tentang hubungan mereka.

"Saya minta maaf Hikmah. Saya dah tak boleh teruskan hubungan ni. Cinta saya dah hilang untuk awak. Saya dah ada orang lain. Awak pergilah... cari kebahagiaan sendiri. Pertunangan ni... anggap je tak pernah terjalin di antara kita."

Tatkala kata-kata keramat Azriel menyapa ruang ingatan, Hikmah terus melangkah keluar dari kantin. Sungguh, jiwanya seakan direnggut sekelip mata. Tak sanggup lagi menahan sesak yang mencengkam sanubari. Mulutnya ditekup. Menahan esak yang kembali pecah. Suara Puan Aslia dan Kak Fidah yang memanggilnya langsung tak diendahkan.

Tak.

Hikmah tak mahu menunjukkan kelemahannya di hadapan orang lain. Dia kuat. Dia teguh. Walau ditabrak badai sekali pun seorang Hikmah tak mudah goyah!

Sejak berusia dua tahun lagi Hikmah tak pernah kenal kasih sayang ibu dan ayah. Dia kehilangan kedua orang tua dan kembarnya dalam sebuah kemalangan jalan raya. Sejak berusia dua tahun lagi dia hidup susah.

Jadi, tak semudah itu Hikmah menunjukkan kelemahannya di hadapan orang lain.

Kesedihan ini, biar dia saja yang tanggung...

Tubuh tersandar lemah di belakang dinding. Nafas panjang ditarik sedalamnya. Empangan air matanya pecah jua. Setitis demi setitis air mata mengalir ke pipi.

Sorotan matanya tunak memandang rembulan yang sedang tersenyum di jumantara. Dadanya ditepuk-tepuk. Memujuk hati rawannya dek kekecewaan yang semakin bergayut di ruang hati. Esakannya semakin kuat tatkala pengkhianatan Azriel bermain di ruang fikirannya.

Enam bulan dia menanti Azriel dengan penuh sabar. Enam bulan dia menaggung rindu buat perajurit yang sudah bertakhta di ruang hati. Bahkan, dua minggu saja lagi mereka akan melangsungkan pernikahan.

Namun, hanya kerana kecurangan Azriel, semua impian mereka musnah sekelip mata!

"Memang suka menangis seorang macam ni ke?"

Tak semena-mena, Hikmah tersentak tatkala bunyi enjin motosikal dan suara garau menyapa kokleanya. Dia memusatkan pandangan ke empunya suara. Terpampang figura seorang pemuda berhoodie kelabu yang sedang menanggalkan helmet.

Buru-buru, Hikmah mengesat lembut air matanya. Keluhan berat terlepas daripada bibir tatkala pemuda itu kembali muncul tanpa sebarang petanda. Sungguh, Hikmah kaget.

"Awak... buat apa kat sini?"

"Temankan kau. Macam biasa."

Suasana sepi buat seketika. Hanya sorotan mata dua figura yang saling bertaut. Namun, hanya seketika cuma tatkala Hikmah mengalihkan pandangannya. Tak mahu Uthman membaca emosinya yang masih hancur tika ini.

"Awak baliklah, Uthman. Saya tak nak sebab saya... awak bergaduh dengan Azriel lagi. Hubungan kita orang dah hancur dan saya tak nak hubungan persahabatan awak dan Azriel hancur. Hanya sebab awak nak pertahankan saya."

Nada suara Hikmah yang kedengaran bergetar benar-benar membibitkan amarah di sukma Uthman Firdaus. Wajah sembap Hikmah dipandang sedalamnya. Tiada lagi senyuman manis dan keceriaan yang terpancar di wajah cantik itu.

Sungguh, Uthman tak tega melihat Hikmah terus-terusan hanyut dengan kekecewaan. Kalau saja kekecewaan Hikmah itu bisa dipindahkan kepadanya, Uthman sanggup.

"Uthman... baliklah. Tak payah susahkan diri awak untuk..."

"Kau tahu aku tak suka tengok kau bersedih seorang macam ni, kan? Dari aku jadi student kat sini, dah jadi alumni sampailah aku dah habis rekrut... aku tak suka tengok kau menangis seorang-seorang..."

Jeda.

Uthman menghela nafas panjang. Dia melangkah turun dari motosikal. Selangkah demi selangkah, Uthman menghampiri Hikmah yang hanya tertunduk menekur jari jemari.

"Aku dah balik. Aku nak kembali menjadi pendengar setia kau. Aku tahu kau tak suka harapkan sesiapa bila kau susah hati. Aku tahu dan aku tak pernah lupa yang kau tak suka susahkan orang lain. Tapi, aku tak kesah semua tu. Sebab apa yang aku tahu... selagi hati aku berkata ya untuk kau, selagi tu aku akan sentiasa jadi seseorang yang kau boleh harapkan, Hikmah."

Tatkala nada suara Uthman yang begitu lembut menyapa koklea, dinding hati Hikmah semakin sesak. Kedua belah tangannya digenggam erat. Air mata yang merembes ke pipi seakan tiada tanda-tanda mahu berhenti. Terus mengalir seperti air sungai yang mengalir deras.

Hikmah terkilan dengan ketulusan Uthman yang sentiasa menjadi pendengarnya. Menjadi sahabat yang tak pernah lupakan dirinya meskipun statusnya dan Uthman sangat berbeza. Meskipun sudah berkali-kali dia menolak cinta yang Uthman hulurkan buatnya.

"Menangislah kalau menangis boleh redakan semua kesakitan kau. Menangislah kalau kau dah penat nak lalui semua ujian yang kau tanggung. Awan pun menangis bila dah tak mampu tampung air hujan. Apatah lagi kita sebagai manusia yang tak sempurna. Ada tikanya kita menangis bila kita dah terlalu sakit. Menangis itu bukan melemahkan jiwa. Tapi menguatkan seseorang untuk kembali bangkit dari kejatuhan."

Suasana hening buat seketika. Perlahan-lahan, Hikmah mendongakkan kepala. Sorotan mata sayunya bertaut dengan Uthman. Bibir diketap tatkala esakannya kembali pecah.

Sungguh, setiap tutur bicara Uthman seakan memberikan suntikan di dinding hati Hikmah yang rapuh. Seluruh tubuhnya jadi longlai.

Hikmah tak nafikan, Uthman sentiasa punya magis yang bisa memujuk hati rawannya. Tapi sayang, dia tak bisa mencintai Uthman seperti mana Uthman mencintainya...

"Kau dah lama jadi kuat. Itu bukan satu kesalahan bila kau menangis. Jangan ditahan air mata tu di bening mata kau, Hikmah. Itu akan menambahkan beban di lubuk hati kau," tambah Uthman lagi. Pujukan tak henti-henti meluncur keluar dari mulutnya.

Dengan harapan, Hikmah akan kembali tersenyum. Sungguh, dia rindukan senyuman gadis ini. Dia rindukan keceriaan Hikmah yang banyak berceloteh. Bukan Hikmah yang pendiam dan hanyut dengan lautan kesedihan.

"Terima kasih... selalu muncul... di saat hati saya rapuh..."

Hikmah kembali tertunduk. Tak betah memandang raut wajah Uthman tatkala esakannya kembali pecah. Tiada lagi kata yang mampu dituturkan tika pujukan Uthman meresap ke ruang hati Hikmah.

Seleret senyuman pahit terukir di bibir Uthman. Biarlah Hikmah menangis di depannya. Sekurangnya, itu bisa meredakan kesakitan gadis yang sudah dua tahun bertakhta di hatinya ini.

Melihat senyuman Hikmah, membahagiakan jiwa Uthman. Melihat kekecewaan Hikmah, meremukkan jiwa Uthman.

"Allah yang gerakkan hati aku untuk ke sini. Kan aku dah cakap... aku akan selalu jadi pendengar setia kau. Aku tahu dan aku faham aku takkan mampu jadi yang istimewa dalam hidup kau. Tapi... aku akan selalu jadikan kau yang istimewa untuk aku."

"Tapi... sampai bila?"

Tika soalan Hikmah menyapa kokleanya, Uthman mengalihkan pandangan. Memandang deretan kenderaan yang diparkir di belakang kantin. Soalan ini... tak pernah lekang meniti di bibir Hikmah.

"Sampai kau jumpa seseorang yang boleh gantikan tempat aku."

RINTIK-RINTIK hujan membasahi lantai bumi. Pepohon di halaman rumah menari-nari ditiup angin. Kilat saling sabung-menyabung. Sesekali, angin pada dinihari menabrak tingkap rumah kayu yang kelihatan usang itu. Titisan air hujan dari atap zink mula membasahi lantai dapur.

Usai saja menunaikan Solat Tahajud, buru-buru Hikmah menanggalkan telekungnya. Langkah diatur menuruni anak-anak tangga dapur rumah. Besen dicapai lalu diletak di bawah atap zink yang bocor.

Nafas panjang ditarik sedalamnya. Ada kekesalan di dinding hati tatkala dia masih belum mampu membetulkan atap zink rumah yang kembali bocor.

Mahu mengupah orang untuk membetulkan atap zink, Hikmah tak mampu. Berapa sajalah gajinya sebagai pekerja di gerai Puan Aslia itu. Apatah lagi memikirkan kos rawatan ayah saudaranya yang menghidap barah paru-paru tahap empat. Memikirkan soal itu, jiwa Hikmah bercangkaliwang. Emosinya jadi kacau sekelip mata.

"Sebab saya miskin dan daif ke awak tinggalkan saya... Azriel? Semudah itu ke awak lupa janji awak? Semudah itu ke awak buang saya tika hati saya lebih memilih awak berbanding Uthman?"

Tatkala hatinya kembali berperang, Hikmah tepuk dadanya. Bertalu-talu. Seakan mengusir semua kesesakan yang kembali menghentam jiwa. Entah sampai bila persoalan ini akan berakhir pun Hikmah tak tahu.

Dia buntu. Kenapa semudah itu hati Azriel berubah alih?

"Hikmah..."

Tatkala suara Puan Zaitun menyapa koklea, Hikmah tersentak. Dia kalih. Memandang figura ibu saudaranya yang baru saja menuruni anak-anak tangga dapur. Ada garis-garis keletihan di sebalik wajah wanita 50 an itu.

"Umi tak tidur lagi ke? Umi nampak letih ni."

Seleret senyuman terukir di bibir Puan Zaitun. Raut wajah Hikmah yang kelihatan sayu dipandang dengan rasa kasih.

Perlahan-lahan, Puan Zaitun mengenggam tangan Hikmah. Menarik lembut tangan anak buahnya duduk di kerusi dapur. Ada sesuatu yang perlu disampakan kepada anak buahnya itu.

"Tadi petang... mak ayah Azriel datang jumpa umi..."

"Buat apa?"

Hikmah memintas. Dahinya berkerenyut tatkala nama itu meniti keluar dari mulut Puan Zaitun. Ada amarah, kekecewaan yang sudah sebati menjadi satu.

"Selesaikan hal Hikmah dengan Azriel. Pulangkan semua barang hantaran. Dia orang ada bagi duit sikit untuk keperluan kita. Duit derma. Dia orang tahu pak cik kamu tu makin teruk kesihatannya."

Mendengar omongan Puan Zaitun, Hikmah terus mengalihkan pandangan. Tersungging senyuman sinis di bibir gadis itu. Sungguh, dia bencikan simpati daripada keluarga Azriel. Kalau dulu dia senang dengan penerimaan keluarga Azriel, namun kini semuanya berubah drastik!

"Nanti umi bagi duit tu dekat Hikmah. Nak pulangkan semula dekat keluarga Azriel. Hikmah tak nak keluarga kita terima duit daripada keluarga Azriel lagi. Hikmah tak nak Azriel pandang serong dengan keluarga kita."

Nada suara Hikmah sudah kedengaran tegas. Dia bangun dari duduk. Mencapai gelas seraya menuangkan cerek berisi air ke dalam gelas.

Sungguh, dinding hatinya seakan dirusuh amarah. Dia yakin, Azriel memutuskan pertunangan mereka hanya kerana statusnya yang daif! Sedangkan Azriel itu daripada keluarga yang cukup serba serbi.

"Janganlah macam ni Hikmah. Kita perlukan duit untuk rawatan pak cik kamu. Ini duit derma... tak ada kaitan dengan Azriel..."

"Tak kesahlah umi. Apa yang Hikmah tahu... kita tak boleh termakan budi dia orang lagi. Azriel tinggalkan Hikmah pun sebab kita daif. Dia dah tawar hati dengan perempuan miskin macam Hikmah. Tak ada gunanya dalam hidup dia. Tak setanding dengan dia."

Perlahan-lahan, Hikmah kembali melabuhkan duduk bersebelahan Puan Zaitun. Segelas air suam diteguk perlahan-lahan. Membasahkan tekaknya yang kering.

"Jangan risau pasal duit. Hikmah masih ada kudrat untuk sara kehidupan kita sekeluarga. Sekarang, umi kena jaga diri dan jaga pak cik. Hikmah tak nak umi tertekan memikirkan ekonomi keluarga kita. Hikmah tak nak tekanan darah umi naik lagi."

Hikmah mengenggam erat tangan Puan Zaitun. Diusapnya lembut kura tangan ibu saudaranya. Seleret senyuman manis terukir di bibir Hikmah. Mahu menunjukkan bahawa dia sudah teguh.

Mana mungkin dia membiarkan kesedihannya berterusan di hadapan Puan Zaitun. Hikmah tak mahu membebankan insan yang sudi menghulurkan kasih sayang buatnya ini.

"Kenapalah Hikmah suka sangat tanggung semuanya sendiri? Umi pun masih ada kudrat untuk tolong Hikmah sara kehidupan keluarga kita. Umi pun tak nak tengok Hikmah sesak memikirkan keadaan kita. Tak nak bebankan anak umi ni..."

Perlahan-lahan, Puan Zaitun mengusap lembut bahu Hikmah. Nada suaranya bergetar menahan sebak. Rasa bersalah sudah sedalam samudera.

Di saat gadis seusia Hikmah sibuk mengejar cita-cita, anak buahnya ini terpaksa menguburkan impiannya hanya kerana mereka kesempitan hidup. Bahkan, betapa teganya tunangan anak buahnya itu memutuskan tali pertunangan mereka.

Walhal, Azriel sudah berjanji kepadanya dan Encik Murad untuk menjaga dan melindungi Hikmah. Membahagiakan anak buah mereka. Tapi kini semua janji itu dikubur tanpa sebab.

"Mana ada umi bebankan Hikmah. Janganlah cakap macam tu. Hikmah bersyukur sangat dapat kasih sayang umi dan pak cik. Hikmah cuma nak balas jasa orang yang dah jaga Hikmah dengan penuh rasa sayang. Dahlah... janganlah sedih-sedih. Hikmah dah okeylah. Umi juga yang selalu pesan dekat Hikmah kan... hidup ni kena selalu bersemangat!"

Melihat Hikmah kembali ceria membuatkan Puan Zaitun tersenyum lebar. Dia suka melihat Hikmah kembali bersemangat.

Tapi dia tahu jauh di sudut hati Hikmah, gadis ini masih berduka. Hanya saja Hikmah bijak menyembunyikan kesedihannya daripada orang sekeliling. Sering saja menafikan bahawa hatinya masih rapuh.

"Anak umi ni... suka sangat pendam masalah seorang-seorang. Mentang-mentang pendengar setia dia dah balik... terus tak sudi nak cerita apa-apa dekat umi ya."

Tak semena-mena, Hikmah tertawa kecil dengan lelucon Puan Zaitun. Dia menyelitkan anak rambutnya ke belakang telinga. Teringat akan Uthman Firdaus yang tak pernah berhenti menjadi pendengar setianya selama dua tahun ini.

"Bukan macam tulah umi. Hikmah dah okey. Buat apa nak fikir benda yang bikin sesak fikiran je kan? Eh dahlah. Hikmah nak tolong umi siapkan nasi lemak. Kita siapkan awal jadi Hikmah boleh hantar nasi lemak ni ke warung Pak Tam secepatnya."

Hikmah bangun dari duduk. Mahu menyediakan bahan nasi lemak. Tak mahu perihal Uthman dibuka saat itu. Bukannya Hikmah tak tahu baik mak cik dan pak ciknya, keduanya berkenan dengan Uthman.

Hanya saja mereka menghormati pilihan hati Hikmah.

"Tapi kan Hikmah... jujur umi lebih berkenan dengan budak tu berbanding Azriel. Asal je kita susah... mesti Uthman bertindak dulu daripada Azriel. Kalau suatu hari nanti Uthman pinang kamu... umi terima dia jadi menantu umi."

Suasana kembali hening. Hanya sorotan mata Puan Zaitun dan Hikmah yang saling bertaut. Tiada lagi diksi meniti di bibir dua beranak itu tatkala Hikmah sudah kelu untuk berbicara. Ada biasan harapan di sebalik wajah Puan Zaitun.

Hikmah tahu pandangan itu. Pandangan agar Hikmah membuka hatinya untuk menerima cinta dan ketulusan Uthman Firdaus.

SOROTAN matanya tunak merenung mata helang seteru yang mendominasi perlawanan mereka tika itu. Berkali-kali tumbukan dihenyak ke wajahnya tanpa sempat dia mengelak.

Bahkan, tumbukan yang ditujahkan ke wajah si seteru juga hanya dibawa angin. Dia dapat rasakan, ada amarah terbias di sebalik wajah Uthman Firdaus tika itu.

Tak semena-mena, satu tumbukan kuat menghenyak rahangnya lagi sehingga Azriel tersungkur di atas gelanggang tinju. Berkerenyut dahi pemuda bermata sepet itu tatkala Uthman semakin bertindak kasar. Sungguh, dia merasakan sedang dibelasah oleh rakan seperjuangannya saat ini.

"Aku ajak kau sparing! Bukan belasah aku macam ni. Kau apahal? Sakit hati dengan aku?"

Mendengarkan amarah Azriel, Uthman tertawa sinis. Sarung tinju ditanggalkan sebelum tangan kanannya dihulurkan kepada sahabatnya. Namun, tangannya hanya ditepis kasar oleh Azriel sebelum lelaki itu kembali bangun. Kedinginan mula menghias suasana dua sahabat tika itu.

"Aku rasa kau dah lupa pasal perjanjian kita."

Belum sempat Azriel melangkah keluar dari gelanggang tinju, suara Uthman menyapa pendengarannya. Dia kalih. Memandang figura pemuda berkulit sawo matang yang sedang merenungnya tajam. Seakan mata helang yang bersedia untuk menyambar mangsa.

"Perjanjian apa?"

Uthman mencebik. Bingit benar telinganya dengan soalan Azriel. Seakan tindakan Azriel ke atas Hikmah tidak terkesan buat lelaki itu.

Lantas, Uthman melangkah turun dari gelanggang tinju. Langkah diatur menuju ke sebuah bangku. Mencapai sebotol mineral lalu diteguk perlahan-lahan. Sungguh, amarahnya masih belum sirna.

Kerana Azriel, gadis pujaan hati seorang Uthman Firdaus terluka. Masih terngiang-ngiang lagi tangisan Hikmah beberapa hari lepas.

Dua tahun perkenalan mereka, itulah kali pertama Uthman melihat Hikmah tewas dengan kekecewaan.

"Aku suruh kau jaga Hikmah. Aku suruh kau bahagiakan dia. Lindungi dia. Senangkan dia. Kau dah janji kau akan tunaikan..."

Tak semena-mena, Uthman kematian kata tatkala tawa sinis Azriel kendengaran. Seakan memperlekehkan perjanjian yang sudah termeterai di antara mereka sewaktu Hikmah lebih memilih Azriel.

"Ala... manusia. Biasalah. Hanya tahu berjanji. Kalau tak suka... buanglah. Senang cerita. Tak payah pening kepala fikir benda yang dah tak berkenan!"

Mendengarkan itu, wajah Uthman bertukar bengis serta-merta. Dinding hatinya semakin bergelegak panas. Hanya sorotan matanya yang memerhatikan Azriel yang sudah melabuhkan duduk di atas bangku. Tiada langsung riak bersalah terpancar di wajah pemuda itu.

Ya Tuhan, kalau Uthman hilang sabar, mahu saja Uthman belasah Azriel sampai puas hati! Teganya Azriel mempermainkan hati seorang gadis yang tulus mencintainya!

"Lagi pun... bolehlah kau masuk line usya dia lagi. Hah... bukankah itu satu peluang besar untuk kau? Kau cintakan dia. Aku pula dah rasa bosan dengan perempuan tu. Tak menarik dah bagi aku lepas habis rekrut ni."

"Kau..."

"Awak bosan dengan saya? Itu sebabnya awak tawar hati dan putuskan pertunangan kita?"

Sontak, belum sempat Uthman menghampiri Azriel, suara gemersik menyapa koklea pemuda berbaju jersey biru laut itu.

Serentak, Uthman dan Azriel memandang figura Hikmah yang sudah kaku di muka pintu dewan gelanggang tinju. Ada biasan kekecewaan di sebalik wajah Hidayatul Hikmah.

"Saya cintakan awak. Saya percayakan awak. Saya letak harapan dekat awak. Saya pegang janji-janji awak dan ini bayaran yang harus saya terima di saat saya menanti kepulangan awak?"

Selangkah demi selangkah, Hikmah menghampiri Azriel. Nada suaranya kedengaran bergetar. Tali beg sandangnya digenggam erat. Seluruh wajah mula membahang menahan amarah yang membakar ruang hati.

"Bosan."

"Tak menarik".

Dua perkataan itu cukup meremukkan sekeping hati Hikmah yang tulus mencintai Azriel.

"Saya minta maaf Hikmah. Tapi saya dah tak boleh teruskan hubungan ni lagi. Saya dah jumpa orang yang lebih layak untuk saya. Setaraf dengan status dan pekerjaan saya. Saya dah lama fikirkan benda ni tapi..."

"Jadi awak curang dengan saya sebab saya miskin? Tak ada pendidikan macam awak? Itu sebabnya?" pintas Hikmah. Nada suaranya sudah naik seoktaf.

Ya Tuhan, jadi intuisinya benar.

Hanya kerana mereka tak setaraf, hanya kerana dia daif, Azriel buat sebuah keputusan yang menghancurkan kebahagiaan Hikmah sekelip mata. Dia ditipu hidup-hidup!

Azriel menghela nafas berat. Tawa sinis terletus di bibirnya. Bahunya dijungkitkan seraya mencapai beg galasnya. Tak betah lagi berada di hadapan Hikmah. Tiada langsung simpati melihat kekecewaan yang terpancar di raut wajah bekas tunangannya itu.

"Baguslah kalau sedar diri. Berdiri di bumi yang nyata. Tak payahlah saya nak jelaskan kenapa saya curang dengan awak. Betul tak? Lagi pun, saya rasa kalau awak jadi isteri saya pun... useless! Nanti kalau orang tanya isteri saya kerja apa, isteri saya belajar kat mana... apa saya nak jawab kalau kita tak sama taraf, kan?"

"Hah... tadi awak kata nak jumpa saya kan. Nak apa lagi?"

Tak semena-mena, Azriel kematian diksi tatkala sampul surat berisi wang ringgit dibaling ke wajahnya. Dahinya berkerenyut dengan kekasaran Hikmah. Tercabar!

"Ambil balik duit tu! Saya dengan keluarga saya tak perlukan apa-apa daripada awak dan keluarga awak lagi. Ya! Saya sedar diri. Saya sedar siapa saya dalam hidup awak! Saya perempuan miskin yang tak ada apa-apa kepentingannya untuk awak! Saya tak setaraf dengan awak! Terima kasih untuk semua kesakitan yang awak bagi dekat saya. Semoga awak bahagia dengan pengganti saya tu..."

Tanpa berbasa basi, Hikmah terus melangkah keluar dari dewan. Setitis air mata yang mengalir ke pipinya dikesat kasar.

Ya Tuhan, Hikmah benar-benar kembali hancur dengan setiap omongan Azriel. Teganya Azriel melontarkan hinaan ke atasnya setelah kesetiaannya dibalas dengan sebuah kecurangan.

"Yakin tak perlukan duit? Pak cik awak kan dah nazak. Cukup ke gaji tu nak bayar kos rawatan dia? Ke awak dah ada pekerjaan lain untuk sara kehidupan keluarga awak? Yelah, orang miskin ni kalau terdesak sangat mesti dia sanggup buat apa saja termasuk... jual diri..."

Sontak, Azriel tersungkur tatkala sebiji penumbuk dilayangkan ke rahangnya. Belum pun sempat dia mengambil nafas, kolar bajunya dicengkam. Bertubi-tubi tumbukan dihayunkan ke wajah Azriel tanpa sempat pemuda itu mempertahankan dirinya dengan serangan Uthman.

"Kau ni memang jahanam! Tak cukup kau curang dengan dia... sekarang kau nak hina Hikmah lagi? Kau ni jantan jenis apa hah! Kau tahu dia cintakan kau! Dia harapkan kau untuk bahagiakan dia! Tapi ini balasan yang kau bagi dekat Hikmah? Kau memang jantan keparat!"

Sungguh, kesabaran Uthman sudah sirna. Dadanya berombak kencang. Seluruh wajahnya membahang. Seakan dibakar dengan api yang marak. Urat-urat hijau sudah timbul di dahi pemuda itu. Mana mungkin dia membiarkan Hikmah terus dihina. Maruahnya dipijak-pijak!

"Enam bulan dia tunggu kau! Enam bulan dia rindukan kau. Doakan kau siang malam. Tapi apa yang kau bagi dekat dia? Kau hina dia! Kau pijak maruah perempuan yang aku cinta, Azriel!"

Melihat amukan Uthman tanpa henti membuatkan Hikmah semakin sesak. Kakinya semakin longlai. Dia tersentuh dengan tindakan Uthman yang sedang mempertahankan maruahnya.

Di saat dia sudah menyakiti Uthman dengan memilih Azriel, pemuda itu masih setia menjadi pelindungnya. Masih setia menjadi pendengarnya. Tak pernah berhenti mencintainya meskipun sudah dua tahun dia menolak cinta Uthman Firdaus.

Ya Tuhan, kenapa dia terlalu buta kerana cinta? Kenapa dia tak pernah pandang ketulusan Uthman? Kenapa dia memilih Azriel sedangkan Uthman yang sentiasa ada buatnya? Betapa bodohnya dia kerana memilih Azriel. Menyakiti Uthman dengan menolak cinta pemuda itu...

"Uthman... sudah... sudahlah!"

Tak semena-mena, tumbukan Uthman terbejat tatkala suara Hikmah sudah naik seoktaf. Sorotan matanya tunak merenung tajam wajah Azriel yang sudah bengkak. Darah pekat mengalir dari hidung dan birai bibir Azriel. Nafasnya turun naik. Tubuhnya menggigil menahan amarah yang belum reda.

"Jangan biarkan syaitan bisik amarah di fikiran awak. Tak apa Uthman... tak apa..."

Seketika, pandangan Uthman saling bertaut dengan Hikmah. Betapa luluhnya dia melihat wajah sayu gadis yang tersenyum pahit itu. Dia tahu, Hikmah tak mahu mengeruhkan situasi. Tak mahu persahabatannya dan Azriel hancur hanya kerana gadis itu.

"Kau... kau nak perempuan tu sangat... ambil... ambil perempuan miskin tu. Ambil bekas kawan baik kau sendiri..."

"Kurang ajar!"

Belum sempat Uthman menyerang, Hikmah terus menghalang. Berdiri setentang dengan Uthman. Menggelengkan kepala agar Uthman tidak bertindak kasar lagi. Sungguh, Hikmah gerun melihat amukan Uthman tika ini. Tiada lagi ketenangan terpancar di raut wajah sahabatnya itu.

"Jangan disebabkan saya... awak akan terima hukuman sebab mencelakai seseorang. Jangan disebabkan saya... impian awak menjadi perajurit terkubur sekelip mata. Jangan Uthman... saya merayu. Istighfar..."

Tika pujukan Hikmah kedengaran, Uthman terhenyak. Dinding hati kembali beristighfar. Sesekali, dia memandang figura Azriel yang sudah berkerenyut menahan sakit. Tiada langsung empati di ruang hati Uthman melihat kondisi Azriel yang sudah berlumuran darah. Dia puas. Puas melepaskan amarahnya melihat gadis yang dicintai dihancurkan.

"Terima kasih Azriel... terima kasih sebab sedarkan saya yang saya perlu berpijak di bumi yang nyata. Saya doakan... awak akan temui kebahagiaan awak. Saya maafkan semua kesilapan awak dekat saya dan saya harap takdir tak mempertemukan kita lagi..."

Selangkah demi selangkah, Hikmah melangkah pergi. Tak langsung menatap wajah Azriel lagi. Tak mahu lagi berhadapan dengan Azriel mahupun Uthman tika ini. Hikmah lelah. Semuanya sudah berakhir dan Hikmah takkan sesekali berpaling lagi.

"Hikmah!"

Tatkala suara Uthman menyapa koklea, Hikmah hanya menonong. Menuju ke stesen bas yang berhampiran. Tak mahu berhadapan dengan pemuda itu lagi. Biarlah hanya dia yang memendam semuanya sendiri. Hikmah tak mahu menyusahkan Uthman lagi. Dia kecewa dengan diri sendiri.

Kecewa kerana tak pernah mencintai Uthman seperti Uthman mencintainya. Kecewa kerana dia buta kerana cinta...

"Hikmah! Kau nak pergi mana? Aku hantarkan..."

Uthman terkocoh-kocoh mengejar Hikmah dari belakang. Mana mungkin dia membiarkan Hikmah bersendirian di saat gadis itu dirundung duka.

"Hikmah... jangan macam ni. Aku risaukan kau. Bagi aku jaga kau, Hikmah. Bagi aku peluang untuk jadikan kau yang istimewa untuk aku..."

"Sudahlah Uthman. Berhenti mengejar seseorang yang takkan pernah mencintai awak. Saya tak nak awak sakit sebab saya lagi. Bagi saya ruang untuk bersendirian. Saya mohon..."

Tatkala rayuan Hikmah menyapa koklea, Uthman kematian langkah. Menghormati permintaan gadis yang kelihatan longlai itu. Hanya sorotan matanya menghantar pemergian Hikmah sehingga gadis itu hilang dari pandangan.

"Aku akan bahagiakan kau, Hikmah. Aku akan pastikan kau lupa semua penderitaan yang kau lalui saat ini... itu sumpah dan janji aku kepada kau..." desis hati Uthman tatkala sang hati semakin kuat mengatakan cintanya buat Hidayatul Hikmah.

Ya, Uthman bersumpah. Cepat atau lambat dia akan pastikan hati Hikmah terbuka untuk menerima cintanya. Uthman mahu bahagiakan Hikmah. Membina kisah cinta di antara mereka. Tika itu, akan Uthman jadikan Hikmah sebagai permaisuri dan dia pula rajanya...

"SEL kanser Encik Murad dah merebak ke organ usus. Hal inilah yang menyebabkan Encik Murad semakin kehilangan selera makan. Organ ususnya dah semakin kiritikal akibat sel kanser. Komplikasi dan kehilangan fungsi organ ini juga akan menyebabkan kematian. Apatah lagi Encik Murad tak jalani kemoterapi secara berkala. Ini melemahkan lagi organ tubuh beliau."

Tatkala mendengar penjelasan daripada Doktor Ghanesh, Hikmah kaku. Terkelu. Ruang fikirannya kehilangan diksi tika mengetahui keadaan ayah saudaranya yang semakin kritikal. Kedua belah tangannya digenggam erat tatkala rasa sebak mula mencengkam dinding hati. Senyuman manisnya semakin terasa pahit.

"Saya faham Encik Murad tak nak dapatkan rawatan sebab kos rawatan yang terlalu tinggi. Saya juga tahu dia tak nak susahkan Cik Hikmah. Tapi, tindakan Encik Murad ni semakin merisikokan nyawa beliau. Jadi buat masa sekarang, biarkan dia ditahan di wad dan pihak kami akan pantau keadaan dia," tambah Doktor Ghanesh lagi tatkala Hikmah hanya kelu.

Dia mengerti, gadis itu dirundung kesedihan. Susah hati dengan keadaan Encik Murad yang semakin kritikal sehingga dimasukkan ke dalam wad.

"Terima kasih doktor..."

Hanya itu yang mampu Hikmah tuturkan. Dia sedikit menunduk dengan doktor yang sebaya dengan Encik Murad itu. Kerisauannya terhadap ayah saudaranya sudah sedalam samudera.

Sungguh, Hikmah belum bersedia dengan kehilangan Encik Murad yang sudah berjuang membesarkannya. Dia ditatang bagai minyak yang penuh. Dijaga bak seorang puteri meskipun kehidupan mereka daif.

Tak pernah terlintas di benak fikiran Encik Murad untuk menghantar Hikmah ke rumah anak yatim meskipun kehidupannya serba kekurangan. Sudah tentunya memberikan kesan yang mendalam buat gadis itu.

"Banyakkan berdoa, Cik Hikmah. Saya percaya semua ajaran agama itu berpegang bahawa doa itu punya kuasa yang mujarab untuk permudahkan semua urusan kita."

Doktor Ghanesh menitipkan pesanan buat Hikmah. Dengan harapan, gadis ini akan sentiasa teguh dalam menghadapi setiap ujian yang diberikan oleh Sang Pencipta.

"Ya doktor. Saya tak pernah berhenti berdoa semoga Allah memberikan kesihatan kepada pak cik saya. Terima kasih sebab ingatkan saya semula."

Seleret senyuman manis terukir di bibir Hikmah. Nafas panjang dihela. Ya, dia perlu ingat bahawa semua ini bisa diringankan dengan kuasa doa.

Allah tak pernah tidur dalam mendengar setiap rintihan hambaNya. Setiap dugaan hidup pasti akan berakhir dengan sebuah nikmat. Sebagai hadiah daripada Sang Pencipta buat hambaNya yang bersabar.

Usai saja bertemu dengan Doktor Ghanesh, Hikmah melangkah ke wad yang ditempatkan oleh Encik Murad. Walau perit untuk ditelan, berita ini harus disampaikan kepada Puan Zaitun juga.

Hikmah mahu Puan Zaitun menerima segala kemungkinan yang akan berlaku. Ibu saudaranya itu berhak tahu tentang Encik Murad. Hikmah tak mahu menyembunyikan hal penting ini.

"Pandai betul kamu pujuk pak cik kamu ni ya. Kalau mak cik dengan Hikmah nak suap, asyik menolak aje."

Baru saja Hikmah melangkah ke katil Encik Murad, suara Puan Zaitun sudah menyapa kokleanya. Kakinya terpasak di hadapan katil seorang pesakit bersebelahan Encik Murad. Kaget dengan kehadiran Uthman Firdaus. Apatah lagi Encik Murad kelihatan begitu ceria tatkala Uthman menyuapkan makanan tengah hari kepadanya.

Sudah dua minggu mereka tak bersua muka. Semua pesanan mesej dan panggilan daripada Uthman tak dibalas. Jika Uthman mencarinya di kantin kolej, bijak saja Hikmah mengelak.

Tapi hari ini, nampaknya Uthman semakin tekad untuk kembali bertemu dengannya. Atau hanya kerana Uthman akan pergi dalam jangka masa yang lama tatkala melihat uniform yang tersarung di tubuh jejaka itu.

"Saya balik dari berlayar nanti, saya dah janji dekat pak cik yang saya akan bawa dia memancing. Tu yang termakan dengan pujukan saya. Lagi pun, dah lama kita tak memancing kan pak cik."

Uthman menghulurkan segelas air kepada Encik Murad. Rasa senang menghias tangkai hatinya. Dapat juga dia memujuk ayah saudaranya Hikmah untuk menjamah makan.

Uthman tahu sel kanser Encik Murad semakin merebak. Dia tak akan berdiam diri. Selagi dia punya ruang untuk membantu meringankan beban Hikmah, dia sanggup.

"Sebab tu pak cik kena makan supaya sentiasa bertenaga. Bolehlah kita berlumba siapa dapat ikan paling banyak."

Mendengarkan itu, Encik Murad tertawa kecil. Raut wajah Uthman yang duduk di birai katil dipandang sayu. Bahu kekar pemuda hujung 20 an itu ditepuk.

Sungguh, kehadiran Uthman benar-benar dapat meredakan kegusarannya memikirkan keadaan Hikmah andai Allah menjemputnya suatu hari nanti.

Kerana Encik Murad dapat merasakan bahawa perjalanannya sebagai hamba di muka bumi Allah semakin menuju ke penamatnya...

"Terima kasih, Uthman."

"Terima kasih untuk apa?"

Encik Murad menarik nafas sedalamnya. Sesekali, dia terbatuk-batuk tika dadanya terasa perih. Senyuman pahit terkulum di bibir tatkala Uthman mengusap lembut belakang tubuhnya.

Ya Tuhan, dia sangat memerlukan Uthman untuk melindungi Hidayatul Hikmah. Menggantikan tempatnya untuk membahagiakan Hikmah.

"Sebab selalu ada untuk Hikmah. Pak cik..."

Encik Murad jeda.

Seketika, pandangannya bertaut dengan Uthman. Tubir mata terasa hangat tika rasa sebak semakin mencengkam jiwa. Bibirnya menggeletar menahan sebak.

Di saat dia memerlukan Azriel untuk menggantikan tempatnya melindungi Hikmah, di saat itu juga Azriel mengkhianati kepercaayaan yang diberikan kepada pemuda itu.

"Pak cik harap... kalau pak cik dah tak ada... kamu akan terus ada buat Hikmah. Tolong jangan tinggalkan dia. Kalau boleh... bahagiakan dia, senangkan hati dia bila pak cik dah tak ada nanti. Jangan... sesekali sakitkan dia seperti mana Azriel menyakiti dia."

Tak semena-mena, omongan Encik Murad membuatkan Uthman terkesima. Renungan lelaki tua itu penuh dengan pengharapan. Membuatkan Uthman tersentuh. Memang itulah yang ingin dia lakukan ke atas Hikmah.

Sejak hatinya mencintai Hikmah lagi dia mahu membahagiakan gadis yang sudah mengajarnya erti cinta.

"Jangan risau pak cik. Saya akan jaga Hikmah dengan penuh ketulusan. Saya mencintai dia. Saya sayangkan dia. Dah tentunya saya akan bahagiakan Hikmah. Jauh di sudut hati saya juga... saya..."

Uthman kematian diksi. Dia mengalihkan pandangan buat seketika. Merenung pepohon hijau di luar tingkap. Dinding hatinya berdenyut. Jantungnya berdebar kencang tatkala fikirannya mula menyusun aksara untuk menyampaikan sebuah hajat.

"Saya nak memperisterikan Hidayatul Hikmah. Saya perlukan dia untuk jadi pelengkap hidup saya, pak cik. Saya nak dia mulakan lembaran hidup yang baharu bersama saya..."

Sontak, seluruh tubuh Hikmah jadi longlai tika Uthman mengutarakan hajatnya.

Kaget.

Kepalanya digelengkan. Tubir mata kembali terasa hangat. Sungguh, Hikmah kembali tewas tatkala mendengar setiap diksi yang meniti dari bibir Encik Murad dan Uthman. Lantas, gadis itu melangkah keluar dari wad. Tak betah lagi berada di ruangan itu tatkala nafasnya seakan sesak di rangkungan.

"SAYA nak memperisterikan Hidayatul Hikmah. Saya perlukan dia untuk jadi pelengkap hidup saya, pak cik. Saya nak dia mulakan lembaran hidup yang baharu bersama saya..."

Tatkala lamaran Uthman terngiang-ngiang di koklea, setitis demi setitis air mata Hikmah semakin deras mengalir ke pipinya. Dia hanya tertunduk. Menekur jari jemari yang digenggam erat.

Sesekali, bahunya terhinggut-hinggut tatkala esakannya kembali pecah. Ya Tuhan, kenapa Uthman tak pernah berhenti berjuang demi membahagiakannya?

Tidakkah Uthman mengerti bahawa dia tak pernah mencintai pemuda itu? Dia hanya mampu menganggap Uthman sebagai sahabatnya. Hanya itu...

Sungguh, fikiran Hikmah kian bercelaru. Terlalu sesak sehingga emosinya kembali tak stabil. Tak mampu lagi menjadi si gadis penenang yang sentiasa teguh saat Encik Murad bersungguh meletakkan kepercayaan kepada Uthman. Tika Uthman tekad untuk memperisterikannya yang serba kekurangan ini.

"Akak..."

Tak semena-mena, Hikmah tersentak tatkala suara seorang gadis kedengaran. Dengan pandangan kabur, Hikmah mendongakkan kepalanya. Memandang seorang gadis berambut tocang yang duduk di atas kerusi roda. Ada seleret senyuman manis terukir di bibir pucat gadis bertubuh cengkung itu.

"Untuk akak..."

Sehelai sapu tangan dan tasbih digital dihulurkan kepada Hikmah. Membuatkan dinding hati Hikmah semakin remuk tatkala insan tak dikenali ini memberikan tasbih digital kepadanya.

Ya Tuhan, siapa gadis yang membuatkan Hikmah tersentuh ini? Sejak tadi dia bersendirian di kaki lima hospital. Staf yang lalu lalang juga tak perasan dengan kondisi Hikmah yang hanyut dengan lautan kesedihan.

"Sejak tiga hari lepas lagi saya tengok akak suka duduk seorang kat sini. Hari ni baru saya ada keberanian nak tegur akak. Akak... mesti akak sakit sangat kan sampai akak selalu menangis?"

Hikmah hanya diam. Tak mampu berkata-kata tatkala gadis yang dianggarkan berusia belasan tahun itu seakan membaca emosinya. Memang itu hakikatnya. Dia sakit. Kerana itu air matanya tak pernah berhenti dari mengalir. Seperti air sungai yang mengalir tanpa henti.

"Saya pun macam akak juga. Kalau saya sakit... saya mesti menangis sampai sakit tu hilang. Tapi, mama dengan abi selalu pesan kalau sakit jangan lupa berzikir. Zikir tu dapat tenangkan hati dan fikiran kita. Sebut je Asstaghfirullahalazim, SubhanaAllah, Alhamdulillah berulang kali sampai hati kita tenang dan kembali sembuh. Zikir ni juga mampu meringankan beban kita bila kita serahkan semuanya kepada Allah."

Si gadis berkulit kuning langsat itu semakin petah berceloteh. Membuatkan Hikmah semakin terkesima dengan kematangannya.

Ya Allah, Hikmah sedar dia alpa. Dia lupa bahawa zikir bisa meredakan tekanan. Mendekatkan diri seorang hamba kepada Sang Pencipta. Meningkatkan hubungan dengan Yang Maha Esa agar diri sentiasa teguh dalam menghadapi ujian hidup.

"Kalau kita berzikir pun, Allah akan tingkatkan kesabaran dalam diri kita. Sebab bila kita berzikir mesti kita akan ingat Allah.  Akak jangan selalu bersedih tau sebab Allah akan selalu bersama dengan hambaNya. Tasbih ni... saya hadiahkan untuk akak. Supaya akak akan terus kuat hadapi semua ujian yang menyakitkan akak," tambah si gadis lagi. Tak putus-putus memberikan suntikan semangat kepada Hikmah.

Hikmah tertunduk. Dinding hatinya kian terpujuk dengan omongan si gadis manis. Apatah lagi nada bicaranya yang begitu halus menyapa koklea. Tasbih digital yang diberikan oleh si gadis dipandang. Digenggam erat sebelum Hikmah kembali bertaut pandangan dengan si gadis berbaju pesakit itu.

"Terima kasih sudi berikan nasihat untuk akak. Sedarkan akak dari kealpaan."

"Sama-sama."

"Siapa nama adik? Umur berapa?"

"Nailah Jannah. Panggil Nailah je. Umur saya 15 tahun. Kalau akak nak tahu, hospital ni rumah kedua saya tau. Jadi sebagai tuan rumah, saya tak naklah tetamu saya sedih seorang macamni. Sebab tu saya ni busybody sikit. Tiba-tiba datang serbu orang macam ni je. Tak tahu malu kan."

Nailah tersengih. Nada suaranya kedengaran ceria. Menampakkan sebaris gusinya yang tersusun cantik. Anak rambut yang terjuntai di selit ke belakang telinga.

Mendengarkan lelucon Nailah, Hikmah tercuit hati. Tawa halus terletus di bibirnya. Gadis remaja ini memang petah dalam berkata-kata. Ada aura yang membuatkan Hikmah tenang berdepan dengan si gadis bernama Nailah Jannah itu.

"Boleh akak tanya Nailah sikit? Akak pun rasa nak busybody dengan Nailah."

Tatkala Hikmah mengajuk perkataan "busybody" itu, Nailah turut tertawa kecil. Sungguh, hatinya senang melihat wajah Hikmah yang mula manis dengan senyuman.

Sekurang-kurangnya, dia dapat buat kebaikan hari ini. Hanya itu yang mampu Nailah lakukan di saat penyakitnya ini semakin hari semakin membunuhnya.

"Akak nak tanya Nailah pasal apa?"

Hikmah menghela nafas berat. Tubuh disandarkan di belakang kerusi. Sungguh, dia rasa tenang dengan kata-kata Nailah yang seakan menyedarkannya dari bersedih tika ini.

"Nailah sakit apa?"

Seketika, suasana hening. Nailah tertunduk buat seketika. Tangan dilekapkan ke dadanya. Senyumannya berubah pahit. Nafas digali sedalamnya.

"Nailah ada penyakit jantung berlubang. Sampai sekarang Nailah tak jumpa penderma yang sesuai lagi. Sebab tu Nailah selalu masuk hospital bila keadaan Nailah tiba-tiba kritikal."

Mendengarkan itu, Hikmah kembali terkelu. Wajah manis Nailah membuatkan dia terkilan. Kuatnya gadis ini. Baru saja berusia 15 tahun tapi sudah diuji dengan penyakit yang mematikan. Bahkan, masih mampu menyampaikan perkara positif kepada orang sekeliling.

Sungguh, Hikmah jadi malu berdepan dengan gadis yang muda sembilan tahun daripadanya itu. Kalau Hikmah berada di tempat Nailah, Hikmah tak tahu sama ada dia bisa memberikan suntikan semangat kepada orang lain atau tidak.

Apatah lagi dalam keadaan diri yang begitu kritikal.

"Tapi tak apa. Abi kata... sakit tu penghapus dosa. Nailah tahu Allah sayangkan Nailah sebab tu Allah bagi sakit ni dekat Nailah. Sama juga macam akak... akak sakit sebab Allah sayangkan akak. Allah nak akak sentiasa letak harapan dekat Allah."

Sontak, Nailah terkesima tatkala tubuhnya sudah dirangkul erat oleh Hikmah. Tatkala rambutnya diusap lembut oleh gadis itu, senyuman Nailah semakin melebar. Dia membalas pelukan Hikmah. Dengan harapan, pelukannya ini bisa mengurangkan kesakitan Hikmah.

"Akak doakan supaya Nailah diberikan kekuatan. Akak doakan akan ada seseorang yang jadi penyelamat Nailah. Dermakan jantung dia dekat Nailah supaya Nailah kembali sihat macam orang lain."

Perlahan-lahan, Hikmah meleraikan pelukan. Setitis air matanya mengalir ke pipi. Tangan Nailah digenggam erat.

"Nailah pun... akan doakan akak semoga kesakitan akak diringankan. Beban akak dikurangkan. Nanti jangan lupa guna tasbih digital yang Nailah bagi dekat akak tau. Kalau akak sakit lagi, akak zikir je."

Nailah menitipkan lagi kata-kata semangatnya buat Hikmah. Ini pertemuan pertama dan terakhir bagi mereka. Maka, Nailah mahu menyampaikan semua kata-kata yang sering disampaikan oleh ibunya kepada Hikmah.

"InsyaAllah. Akak..."

"Hikmah."

"Nailah!"

Tatkala dua gadis itu dipanggil, serentak Nailah dan Hikmah memandang figura yang memanggil mereka. Terpampang figura seorang pemuda berceloreng yang dibuntuti oleh seorang remaja perempuan berseragam sekolah.

"Nailah... ish kau ni suka sangat keluar seorang-seorang. Kan aku kata tunggu aku balik dulu."

Si gadis berbaju kurung sekolah dengan rambut yang diikat ekor kuda sudah meluru ke arah Nailah. Sesekali, dia mengerling ke arah figura Uthman.

Ya Tuhan, ini dia pantang. Tengok abang askar betul-betul berdiri di depannya. Segak! Senyuman yang menimbulkan lekuk di pipinya menambahkan lagi kemanisan wajah lelaki itu.

"Kau lambat sangatlah, Fatty. Aku bosan tahu."

Gadis bernama Fatty itu hanya tersengih sehingga menampakkan pendakap giginya. Tak lekang matanya memerhatikan figura Uthman yang sudah berdiri di sebelah Hikmah.

Milik siapakah abang askar di depannya ini? Kalau dia nak try market, adakah itu satu kesalahan besar?

"Akak... saya pergi dulu. Akak jaga diri baik-baik ya. Semoga Allah sentiasa melindungi akak."

Nailah berpamitan tatkala Fatty mula memegang pemegang kerusi rodanya. Tatkala pandangannya saling bertaut dengan figura Uthman Firdaus, Nailah hanya mengulum senyum ramah buat pemuda itu. Membalas senyuman Uthman.

Nailah agak, pasti perajurit itu pasangan Hikmah. Mereka kelihatan serasi. Apatah lagi wajah yang seakan-akan seiras.

"Akak doakan juga supaya Nailah diberikan kesembuhan."

Melihat kemesraan Hikmah dan Nailah, tanda tanya mula bermain di benak fikiran Uthman. Siapa gadis pucat yang duduk di atas kerusi roda ini? Bisa membuatkan Hikmah kembali tersenyum dan nada suaranya juga kedengaran bersemangat.

Sudah terlalu lama Uthman tak melihat keceriaan terpancar di wajah Hikmah.

"Bye akak! Bye abang askar handsome."

Sempat lagi Fatty memuji Uthman sambil melambaikan tangannya. Kerusi roda Nailah ditolak melangkah ke wad privasi yang ditempatkan oleh sahabatnya.

"Gatallah kau ni! Pantang tengok askar semua kau nak try kan." Nailah mencebik. Ditamparnya kuat kura tangan Fatimah yang sedang menolak kerusi rodanya. Kepala digelengkan.

"Ala Nailah. Kau macam tak tahu... asal tengok abang askar ni aku sensitif sikit. Rasa ada magnet yang buat aku tertarik. Tak sabarnya nak habis sekolah. Nanti, aku nak cari abang askar supaya kalau kahwin... boleh lalu bawah pedang macam kakak sepupu aku."

Mendengarkan omongan Fatimah, Nailah tertawa sinis. Nafas panjang dihela. Sungguhlah dia kehilangan diksi dengan impian Fatimah. Mereka baru saja menginjak ke tingkatan tiga. Tapi angan-angan Fatimah itu sudah melampau.

Melihat telatah Fatimah dan Nailah yang bertepuk tampar membuatkan Uthman tercuit hati. Entah mengapa melihat gadis berambut hitam pekat itu menimbulkan tanda tanya di benak fikirannya. Kerana gadis itu, Hikmah kembali tersenyum. Entah apa yang dibualkan oleh dua gadis ini sehingga Hikmah kembali tersenyum pun Uthman tak tahu.

"Siapa budak perempuan tu? Kenalan kau ke?"

"Nailah Jannah. Salah seorang pesakit kat hospital ni. Perasan tak, nama awak dengan dia ada perkaitan antara satu sama lain. Nama awak sama dengan Saidina Uthman. Nailah pula sama dengan nama isteri Saidina Uthman... Nailah Al Farafisha. Kebetulan sangat, kan?"

Seketika, pandangan Uthman dan Hikmah saling bertaut. Tawa kecil terletus di bibir Uthman mendengar omongan Hikmah. Apatah lagi melihat bening mata Hikmah yang sudah tersenyum. Ini Hikmah yang dia rindukan. Hikmah yang sentiasa berceloteh dan kaya dengan senyuman yang bisa meluluhkan jiwa Uthman.

"Nampaknya... budak tu dah buat kau kembali tersenyum. Aku perlu berterima kasih dengan dia kalau takdir mempertemukan kami semula."

Hikmah mengalihkan pandangan. Nafas panjang digali sedalamnya. Hikmah tak nafikan, Nailah berjaya menyedarkan Hikmah daripada kesedihan. Tak seharusnya dia berterusan meratapi nasib. Bersedih hati. Walau apa pun dia perlu sedar bahawa ujian itu menguatkan bukan melemahkan.

Setiap insan yang menjadi pengembara di bumi Allah ini sudah diberikan ujian hidup dan setiap ujian itu punya tahap masing-masing.

"Hikmah... aku dah nak pergi. Sebelum tu, temankan aku makan tengah hari. Boleh tak?"

Tika permintaan Uthman menyapa koklea, Hikmah kembali mendongakkan kepalanya. Memandang figura Uthman yang masih statik berdiri setentang dengannya. Ada biasan harapan terpancar di raut wajah pemuda berkulit sawo matang itu. Lantas, hanya anggukan kecil yang diberikan sebagai tanda setuju.

SUASANA kantin hospital kelihatan lenggang tika itu. Hanya kelihatan dua orang staf hospital dan beberapa orang awam yang sedang menjamu makan tengah hari. Sesekali, bunyi kenderaan di kawasan parkir berhampiran menyapa halwa. Memecahakan keheningan di antara Uthman dan Hikmah tika itu.

Buat seketika, Hikmah bertaut pandangan dengan Uthman yang duduk setentang dengannya. Tiada sebarang diksi yang mampu dituturkan tatkala ruang ingatan masih mengimbas kata-kata keramat daripada Uthman yang sudah mempersuntingnya menjadi isteri.

Ya Tuhan, kenapa secepat itu Uthman bertindak? Tidakkah Uthman mengerti bahawa hati seorang Hidayatul Hikmah belum pulih dari kekecewaan yang diberikan oleh Azriel?

"Terima kasih... sudi jenguk pak cik."

"Tak ada apalah. Aku dah anggap pak cik macam ayah aku juga. Selama ni pun dia dah banyak bagi teguran dan nasihat dekat aku sama ada itu secara langsung atau tak langsung. Lagi pun... aku nak pak cik senang hati bila aku jenguk dia."

Mendengarkan itu, seleret senyuman terukir di bibir Hikmah. Dia menundukkan pandangan. Sungguh, hatinya tersentuh dengan sifat budiman Uthman. Ketulusan dan keikhlasan Uthman yang sering memberikan layanan baik kepada keluarganya.

Ya Tuhan, kenapa ya begitu susah dia mahu menerima Uthman sedangkan sudah terlalu banyak usaha yang Uthman lakukan demi meyakinkan Hikmah bahawa Uthman tulus dengan perasaanyaa?

"Lama ke awak berlayar kali ni?" soal Hikmah seraya memandang figura Uthman.

"Ikut keadaan. Boleh jadi tiga atau enam bulan. Sebab tu juga aku nak jenguk pak cik. Jumpa kau sekali. Buat bekalan rindu bila aku berlayar nanti."

Uthman tersengih. Pucuk hidungnya digaru tatkala Hikmah sudah kembali mengulum senyum manisnya.

"Saya doakan supaya Allah akan sentiasa melindungi walau di mana saja awak berada. Saya akan tunggu awak pulang. Untuk jadi pendengar setia saya lagi."

"Terima kasih. Tapi... kalau kau tunggu aku untuk..."

Uthman jeda. Dia mengalihkan pandangan tatkala dinding hatinya seakan berdenyut. Detak jantungnya mula kencang tatkala sang hati semakin membuak ingin meluahkan hasrat di hatinya.

Dia tahu jawapan Hikmah. Tapi, Uthman akan tetap mencuba sehingga Hikmah bertemu dengan seseorang yang bisa meyakinkan Uthman bahawa seseorang itu bisa membahagiakan gadis idamannya ini.

"Untuk?"

"Untuk jadi... isteri aku yang sah... kau sudi?"

Tak semena-mena, detak jantung Hikmah jadi kencang dengan lamaran Uthman. Terasa kelat liur di rangkungannya dengan soalan spontan itu. Bibirnya diketap. Hikmah dapat lihat pengharapan Uthman agar dia menerima lamaran Uthman. Ya Tuhan, Hikmah serba salah.

"Saya... tak ada apa-apa yang boleh dibanggakan kalau jadi isteri awak. Awak sendiri tahu hidup saya ni serba kekurangan. Saya tak nak awak menyesal seperti mana Azriel menyesal menjadi tunangan saya, Uthman. Awak berhak... cari seorang isteri yang sama taraf dengan awak dan orang tu bukan saya."

"Hikmah... jangan samakan aku dengan dia. Kau sendiri tahu aku cintakan kau. Perasaan aku dekat kau tak pernah berubah walau sedetik pun. Sama taraf atau tidak, itu tak menjadi penghalang untuk aku mencintai kau. Bahkan, Hadis Riwayat Bukhari menyatakan bahawa wanita itu dinikahi kerana empat perkara. Pertama, kerana hartanya. Kedua, keturunannya. Ketiga, kecantikannya dan keempat agamanya. Pilihlah wanita yang taat beragama nescaya engkau beruntung."

"Aku jatuh cinta dengan kau... aku mahu memperisterikan kau sebab ketaatan kau dalam agama. Kau juga daripada keturunan yang baik-baik. Kecantikan kau buat aku terpaut apatah lagi dengan budi pekerti kau yang terlalu tinggi. Kau ada ciri-ciri isteri yang aku idamkan untuk menjadi separuh dari nyawa aku, Hidayatul Hikmah."

Sontak, tubir mata Hikmah terasa hangat dengan luahan tulus Uthman. Kedua belah tangannya digenggam erat. Pandangan redup Uthman yang semakin dalam seakan menerobos masuk ke relung hati Hikmah. Dia terkesima. Dia terkelu. Hatinya jadi libang-libu dengan kata-kata Uthman yang penuh dengan kelembutan.

"Tak apa Hikmah. Aku tak akan paksa kau untuk terima lamaran aku. Terima cinta aku. Kalau pun aku pulang nanti kau dah jumpa seseorang yang boleh gantikan Azriel, aku reda. Tapi... selagi kau tak jumpa seseorang yang boleh membahagiakan kau, selagi itu aku akan tetap berusaha dan berjuang. Demi cinta aku untuk kau."

Ya Tuhan, semakin Uthman meluahkan isi hatinya, Hikmah semakin sesak. Dia kembali menundukkan kepala. Setitis demi setitis air matanya mengalir ke pipi. Jiwanya terasa sesak dengan omongan Uthman. Dia tahu Uthman tulus dengan perasaannya. Sebelum dia dan Azriel bersatu lagi Uthman tak pernah mengalah mendapatkan cintanya.

"Uthman... sebesar itukah rasa cinta awak untuk saya sampai awak sanggup terluka kerana mencintai saya? Saya tak mampu cintakan awak. Saya hanya mampu anggap awak sebagai sahabat saya..."

Sepi. Tiada lagi kata-kata daripada Uthman tatkala Hikmah kembali bersuara. Uthman mengalihkan pandangannya. Nafas panjang dihela.

"Tak pernah terlintas di fikiran aku bahawa mencintai kau merupakan sebuah kesakitan untuk aku. Saat hati aku mula mencintai kau... saat itu juga aku sendiri dah cipta kebahagiaan aku. Kebahagiaan kau... kesenangan aku. Penderitaan kau... keperitan aku. Siapa pun aku bagi kau... tak kan merubah apa-apa tentang kau di mata aku, Hikmah. Aku tetap cintakan kau walaupun cinta aku tak terbalas."

"Aku dah kena pergi. Aku akan tunggu jawapan kau sepanjang pemergian aku. Walau apa saja keputusan kau... aku terima. Tapi, aku harap kau bagi aku peluang untuk membahagiakan kau. Jadikan kau ratu dalam hidup aku. Kita bina kisah bahagia kita dengan cara kita yang tersendiri."

Uthman bangun dari duduk. Waktunya sudah berakhir. Dia harus kembali bertugas. Menjalankan amanahnya sebagai seorang perajurit demi melindungi perairan negara. Sungguh, Uthman rasa hatinya lapang. Meluahkan semua yang tersirat di lubuk hatinya.

Perlahan-lahan, Hikmah mendongakkan kepalanya. Pandangannya saling bertaut lagi dengan Uthman. Masing-masing berperang dengan emosi antara satu sama lain.

Hikmah yang buntu dengan lamaran Uthman dan perasaannya yang tak bisa mencintai Uthman. Uthman yang keberatan mahu meninggalkan Hikmah di saat gadis itu masih belum pulih sepenuhnya dari kekecewaannya.

Tapi, satu hal yang Uthman pegang, walau apa saja keputusan Hikmah, dia akan terima dengan berlapang dada. Dia tak akan memaksa Hikmah mahupun mendesak Hikmah untuk menerimanya. Dia mengerti andai Hikmah hanya mampu menerimanya sebagai seorang sahabat.

Tak lebih daripada apa yang dia rasakan buat Hikmah...

TIGA TAHUN KEMUDIAN...

SEMERBAK bau asam pedas ikan patin menusuk rongga hidung. Memenuhi ruang tamu rumah. Seleret senyuman terukir di bibir pemuda yang sedang memakai jam tangan di pergelangan tangan kiri. Memerhatikan susuk suri hatinya yang sedang menyediakan bekalan buatnya sebelum dia kembali ke samudera.

Ya Tuhan, Uthman bahagia. Indah benar pemandangan di depan mata. Anugerah terindah yang Allah kurniakan buatnya. Apatah lagi melihat kandungan Hidayatul Hikmah yang sudah memboyot itu.

"Sayang... kan abang dah cakap tak payah susah-usah sediakan bekal untuk abang. Sayang tu sarat sangat dah. Abang nak sayang rehat je."

Hikmah yang sedang memasukkan sepotong kek coklat ke dalam bekas mendongak. Memandang figura Uthman yang sudah menyiapkan diri untuk kembali berlayar.

Sungguh, rasa hiba semakin menikam dinding hati Hikmah. Entah berapa lama Uthman akan pergi pun Hikmah tak tahu. Apa yang pasti, dia akan merindukan insan tercintanya itu.

"Biarlah. Nanti abang tak akan ingat orang lain dah selain Hikmah bila makan air tangan Hikmah yang penuh rasa cinta untuk abang ni. Lagi pun... mana tahu ni makanan terakhir yang Hikmah masakkan untuk abang."

Hikmah tersengih. Dia menghampiri Uthman seraya mengenggam erat tangan suaminya. Ditarik ke arah sofa. Mahu memakaikan stokin untuk Uthman seperti yang sentiasa dilakukan selama tiga tahun mereka menjadi suami isteri.

"Sayang... sejak akhir-akhir ni suka sangat cakap macam tu kan."

"Cakap apa?"

Uthman tertawa halus. Tercuit hati melihat Hikmah sudah terkebil-kebil dengan omongan spontannya. Pergelangan tangan isterinya digenggam. Menghalang Hikmah memakaikan stokin buatnya. Sofa empuk ditepuk bertalu-talu. Mengarahkan Hikmah duduk di sebelahnya.

"Sayang suka cakap ni yang terakhir untuk abang. Abang tak sukalah Hikmah cakap macam tu. Hikmah nak tinggalkan abang ke?"

"Bukan abang ke yang selalu tinggalkan Hikmah? Kan? Eleh cakap orang tinggalkan dia padahal dia yang dah bercinta dengan laut. Kata nak bawa Hikmah dengan baby kita balik rumah umi. Tapi... boleh pula dia kena panggil bertugas hari ni. Janji hanya tinggal janji."

Mendengarkan nada suara Hikmah seakan berjauh hati, Uthman tersenyum nipis. Tercuit hati melihat Hikmah sudah monyok. Kura tangan Hikmah dikucup lembut. Tangan kanan mengelus lembut kandungan isterinya yang sudah berusia enam bulan itu sebelum telinganya dilekapkan ke kandungan Hikmah. Mahu mendengar tendangan tanda cinta mereka.

"Anak abah... cakap dekat umi jangan merajuk lama-lama. Nanti abah rindu nak dengar suara umi kalau umi tak nak jawab panggilan abah. Kalau dia tak nak jawab, abah rasa lebih baik abah tenggelam je kat laut sebab tak sanggup tanggung sakit rindukan umi."

Tak semena-mena, Hikmah tertawa halus dengan lelucon Uthman. Hailah, suaminya ini memang bijak memujuk. Rambut hitam pekat Uthman diusap lembut. Menghulurkan kasih dan cintanya buat Uthman Firdaus. Sungguhlah, percaturan Allah itu memang indah.

Siapa sangka, usai saja Uthman melafazkan akad di antara mereka, hati Hikmah mula terdetik untuk mencintai Uthman. Dia luluh, tewas dengan semua perjuangan Uthman dalam meraih cintanya.

Sepanjang tiga tahun pernikahan mereka juga, Uthman mengotakan janjinya. Tak pernah sekali pun Uthman berkasar.

"Abang..."

Uthman memusatkan pandangannya ke laman wajah Hikmah. Senyuman tak lekang di bibir Uthman tatkala Hikmah semakin ligat memberikan belaian lembut kepadanya. Mengusap pipinya dengan penuh kasih. Tatapan cinta Hikmah yang membuatkan Uthman semakin jatuh cinta dengan permaisurinya ini.

"Terima kasih... sebab sudi terima Hikmah apa seadanya. Terima kasih, selalu menjadi suami yang terbaik untuk Hikmah. Sudi memberikan kebahagiaan buat Hikmah. Hikmah cintakan abang... Hikmah sayangkan abang setiap detik dan waktu."

Tatkala nada suara Hikmah kedengaran bergetar, Uthman terus menarik lembut tubuh isterinya ke dalam dakapan. Uthman tahu emosi Hikmah tak stabil tika ini. Apatah lagi dalam keadaan Hikmah semakin sarat.

Ubun-ubun Hikmah dikucup bertalu-talu. Matanya terpejam rapat tatkala pelukan dieratkan lagi. Sungguh, jauh di sudut hati, Uthman tak tega meninggalkan Hikmah. Dia risaukan Hikmah. Entah mengapa, intuisinya jadi sangsi mahu meninggalkan Hikmah kali ini.

"Abang yang patut ucap terima kasih sebab sudi menerima cinta abang. Berikan abang peluang untuk bina kisah cinta kita. Kebahagiaan kita. Sudi bagi abang peluang untuk jadi ayah kepada anak-anak kita. Abang bersyukur sangat Allah anugerahkan Hidayatul Hikmah menjadi bidadari syurga abang. Hikmah salah satu anugerah terindah dalam hidup abang..."

Perlahan-lahan, Uthman meleraikan pelukannya. Jari jemarinya disulamkan dengan jari jemari runcing si isteri. Senyuman tak lekang meniti di bibir pasangan itu. Mengabadikan momen bahagia mereka sebelum Uthman kembali menjalankan amanahnya sebagai perajurit.

"Kalau suatu hari nanti Hikmah dah tak ada... abang kahwin lain tak?"

Sontak, senyuman Uthman kian memudar dengan soalan spontan Hikmah. Dia tertawa kecil. Menyembunyikan rasa janggal dengan soalan isterinya.

Kenapa dengan Hikmah? Sejak akhir-akhir ini sering saja memberikan petanda seakan ingin meninggalkan Uthman. Atau ini hanya perasaan negatif Uthman saja...

"Dahlah. Jangan cakap yang bukan-bukan. Abang pergi dulu. Takut lambat nanti. Ingat, kalau nak pergi mana-mana kena berteman. Abang dah minta tolong jiran sebelah ni tengok-tengokkan Hikmah."

Uthman bangun dari duduk. Mencapai beg galasnya lalu digalas di bahu. Kunci Yamaha R15 dan beg berisi bekalan makanan dijinjit. Langkah diatur melangkah keluar dari rumah kuarters TLDM itu.

"Abang!"

Sontak, Uthman kematian langkah tika Hikmah mengucup lembut pipinya. Senyuman meniti lagi di bibir pemuda itu. Ubun-ubun Hikmah diusap lembut.

"Hikmah cintakan abang... sangat-sangat. Hikmah akan sentiasa tunggu perajurit Hikmah ni pulang dengan selamat."

"Abang pun cintakan Hikmah. Hingga hujung nyawa. Jangan risau... abang akan pulang untuk Hikmah dan anak kita. Tanda cinta kita..."

Perlahan-lahan, Uthman mengusap lembut kandungan Hikmah. Dahi licin isterinya dikucup lembut. Lama. Sebagai bekalan rindu tatkala dia berlayar di samudera nanti. Lantas, Uthman kembali melangkah keluar dari rumah. Tak lagi berpaling ke belakang tatkala hatinya semakin berat meninggalkan Hikmah.

Dengan harapan, Hidayatul Hikmah akan sentiasa teguh dan tabah menanti kepulangannya.

TAMAT

8.8.2023

Terima kasih masih setia membaca KABP walaupun KABP sudah tamat. Masih menanti dan mahukan special episod.

Terima kasih jadikan KABP sebagai karya kegemaran kalian sehingga ada yang reread lebih sekali.

Jika special episod ini tak memuaskan kalian, maafkan saya. Sampai bertemu lagi dalam special episod yang akan datang...

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro