EPISOD 6
"HAH eloklah tu. Cepat sangat kesian kan orang sampai lupa pasal diri sendiri. Susah sangat ke nak cakap tidak dekat bapa budak-budak tu? Berat sangat mulut kau nak menolak?"
Baru saja Nailah menjelaskan tugas barunya sebagai pengasuh separuh masa Qaisah dan Qailah, suara petir Ghufran sudah menyapa koklea si gadis berkulit kuning langsat. Dahinya sudah berkerenyut. Bingit mendengar omelan abang ngahnya itu.
"Bila Nailah nak start jaga si kembar?" soal Tuan Muhammad. Janggut sejemputnya diusap. Mengerti bahawa anak bongsunya sedang berniat membantu anak kepada sahabat seperjuangannya dahulu.
"Setiap kali Mak Cik Lateefa nak bawa cucu-cucu dia keluar, setiap kali tu juga Nailah akan temankan mak cik. Tolong jagakan cucu-cucu dia. Begitu je abi. Uthman faham yang Nailah ni pun sibuk dengan business," tutur Nailah sambil memeluk erat kusyen di ruang tamu.
"Tapi dia tahu ke tahap kesihatan kau? Dia tahu sejarah kesihatan kau yang pernah menghidap penyakit jantung? Abang long bukan apa dik. Budak-budak sebaya Bilal ni... energetik. Abang long tak naklah kau sampai sakit jaga budak-budak tu nanti." Suara Nizam turut kedengaran. Figura Bilal yang sedang menonton rancangan televisyen kegemarannya sambil merebahkan kepala di atas riba si ayah diusap lembut.
"Nailah tak bagi tahu apa-apa. Tak apa. Nailah kuatlah. Qaisah dengan Qailah pun dengar cakap. Nailah boleh kawal budak-budak tu. Abang long jangan risau."
"Uthman tu tak ada isteri ke sampai terdesak sangat nak jadikan kau pengasuh?" soal Ghufran. Sungguhlah, dia tak setuju dengan keputusan Nailah yang sudi menjadi pengasuh.
"Isteri dia dah meninggal lima tahun yang lalu. Masa lahirkan si kembar tu. Sebab tu Qailah dengan Qaisah ditinggalkan dengan nenek dia orang bila Uthman bekerja. Dengan berbulan-bulan baru pulang. Tak ada siapa dah nak diharapkan melainkan Mak Cik Lateefa kau orang tu," jelas Puan Khadijah seraya meletakkan sedulang minuman petang dan sepinggan jemput-jemput di atas meja. Dibantu oleh Dahlia. Kakak iparnya Nailah dan Ghufran.
Mendengarkan itu, Ghufran mengeluh berat. Jemput-jemput dicapai bersama secawan teh panas. Terbit rasa simpati buat Uthman dan anak-anaknya. Tapi dia masih belum puas hati tatkala Nailah sudi menerima tawaran itu. Risau jikalau Nailah keletihan hingga jatuh sakit.
"Kalau ada apa-apa yang buruk berlaku dekat kau... dia nak tanggungjawab ke?"
"Abang ngah ni kenapa? Cara cakap macam Uthman tu tak bertanggugjawab pula." Nada suara Nailah mula tegang. Panas pula hatinya bila Ghufran seakan tak berpuas hati dengan keputusannya.
"Hek eleh nak marah aku pula. Dik, kau tu tak sihat mana punlah. Fikir diri sendiri..."
"Ran... dahlah. Kita terima je keputusan Nailah. Lagi pun keluarga kita kenal keluarga Uthman. Dia orang tu keluarga yang baik-baik. Jangan risau sangatlah pasal ni. Kalau kita kongkong Nailah, nanti dia tertekan." Nizam memintas. Lembut saja tutur bicaranya. Tak mahu adik-adiknya bertelingkah hanya kerana isu Qailah dan Qaisah.
"Tengok. Abang long lagi function daripada abang ngah. Tak habis-habis nak kongkong. Rimas tahu!" protes Nailah seraya menjelingkan matanya.
"Eleh kau... nak jeling-jeling aku pula. Kereta pancit panggil aku juga kan." Ghufran tersenyum sinis. Sengaja menyakat Nailah yang kelihatan tak berpuas hati itu. Siapa lagi dia mahu kacau selain si adik bongsu.
Melihat tingkah Ghufran dan Nailah buat Tuan Muhammad geleng kepala saja. Begitulah anak kedua dan anak bongsunya. Sering saja bertelingkah. Seorang kuat menyakat. Seorang lagi suka melawan. Kombinasi yang mantap!
"Mamanya macam mana? Setuju ke dengan keputusan Nailah?" soal Tuan Muhammad. Perlahan-lahan, dia mencicip teh panas.
Seketika, Puan Khadijah memandang raut wajah Nailah. Bibirnya mengulum senyum nipis. Diusapnya lembut kepala Nailah yang berbalut dengan tudung sarung. Berat hati mahu bersetuju dengan keputusan Nailah. Risau dengan kesihatan Nailah. Itulah naluri hati seorang ibu meskipun Nailah Jannah bukan anak kandungnya. Namun, di satu sisi, dia juga tak tega menolak kebaikan yang Nailah hulurkan buat keluarga Uthman.
"Kalau itu boleh senangkan hati Nailah, mama setuju. Tapi Nailah kena janji dengan mama, abi, abang-abang... Nailah tak akan paksa diri. Kalau Nailah penat, tak larat... bagi tahu Mak Cik Lateefa terus. Boleh?"
Mendengarkan hal itu, Nailah menghela nafas lega. Syukur ibunya bersetuju. Dapat restu juga akhirnya. "Ya mama... Nailah janji dengan semua orang yang Nailah akan jaga diri baik-baik. Tak akan paksa diri," tutur Nailah sambil memandang wajah kedua ibu bapanya dan abang-abangnya.
"Baguslah kalau macam tu. Lagi pun pekerjaan Uthman tu bukannya balik hari macam orang kerja ofis. Dia tu berbulan-bulan baru balik. Sekurang-kurangnya, dapatlah kita tolong keluarga Tuan Nain. Hari ni hari dia orang, mana tahu esok hari kita pula kan."
"Uthman kerja apa, abi?" soal Nailah. Persoalan kembali mengasak fikiran si gadis. Berbulan-bulan baru pulang? Apa sebenarnya pekerjaan Uthman? Tak mungkin nelayan. Sungguh, Nailah mula sangsi.
"Dia tak bagi tahu ke dia kerja apa?" Soalan dibalas dengan soalan.
"Dia cakap dia nelayan..."
"Assalamualaikum."
Belum sempat Nailah menamatkan bicara, suara garau seseorang kedengaran di luar rumah. Serentak, mereka memandang pintu yang terpelohong. Kelihatan figura seorang pemuda berkaca mata sedang membawa sebuah bekas.
"Bakal suami kau dah datang dah tu. Pergilah layan."
Sontak, Nailah menghempuk kepala Ghufran dengan kusyen. Geram dengan usikan kasar abang ngahnya. Nampaknya, bala sudah mari sekali gus menggugat ketenteraman Nailah.
"Waalaikumsalam. Ya Ikram? Ada apa-apa ke?"
Dari luar rumah, Ikram melilau memandang ruang tamu rumah teres Tuan Muhammad. Mencari susuk figura si pujaan hati. Sontak, bibirnya mengulum senyum tatkala melihat wajah manis Nailah Jannah yang sudah menaiki anak-anak tangga.
"Eh Nailah pun ada? Ni mesti awak free kan? Teman saya keluar, jom?"
Nailah mencebik. Laju saja dia meluru naik ke bilik. Tak betah berhadapan dengan si pemuda tak faham bahasa itu. Sudah berkali-kali Nailah tunjukkan dia tak berminat, lelaki itu semakin mendesaknya.
"Ada apa kau datang?" soal Nizam.
"Hantar bubur kacang."
"Hantar bubur kacang atau nak kacau hidup adik aku?" Suara tegang Ghufran kedengaran. Pemuda bertubuh kekar itu sudah menghampiri Nizam. Menyambut kehadiran Ikram yang sering saja menganggu ketenteraman adik perempuan mereka di muka pintu.
Tak semena-mena, terasa kelat liur di rangkungan melihat dua figura berwajah bengis yang sudah berdiri di hadapannya. Wajah abang-abangnya Nailah dipandang silih berganti. Ini kalau dia kena debik entah-entah masuk dalam kubur terus.
"Hantar..."
"Kau memang serius dengan adik aku?" pintas Nizam seraya menyambut huluran Ikram. Nada suaranya tegang. Tak berapa suka dengan sikap Ikram yang sesuka hati saja mengajak adik perempuannya keluar. Berduaan.
"Abang tahu kan sejak zaman sekolah lagi..."
"Tapi adik kita orang tak suka kau. Lagi pun... kau ni tak gentleman langsung! Sesuka hati ajak adik aku keluar tanpa hormat keluarga dia. Dahlah. Baik kau balik. Tangan aku dah lama tak jumpa mangsa ni." Ghufran mengugut. Buku limanya diramas. Terherot senyum sinis di bibirnya melihat wajah Ikram yang sudah kecut.
"Maaf bang. Excited jumpa Nailah. Saya minta diri dulu..."
Buru-buru, Ikram melangkah keluar. Tak mahu menjadi mangsa pukulan si jurulatih taekwondo itu. Tapi tak mengapa, cintanya pada Nailah tak pernah pudar. Dia sendiri akan cari jalan supaya dia bisa bersatu dengan Nailah Jannah!
SERAGAM celoreng disarung ke tubuh. Sesekali, sorotan mata Uthman memandang wajah sayu Qaisah dan Qailah yang berdiri di depannya. Tertunduk sambil memintal gaun yang tersarung si tubuh si gadis kecil. Mendung menghias wajah anak kembarnya. Sungguh, setiap kali si kembar menayangkan wajah mendung mereka, Uthman jadi berat hati mahu meninggalkan Qaisah dan Qailah.
"Janganlah sedih. Lepas ni kan nenek dengan Kak Nailah nak bawa Qaisah dengan Qailah jalan-jalan. Dah, salam abah."
Usai saja membutangkan baju seragamnya, Uthman menghulurkan tangannya kepada si kembar. Lambat-lambat, tangannya dikucup lembut oleh si gadis-gadis kecil itu.
"Abah cepatlah balik. Kawan-kawan selalu kata kita orang tak ada ayah. Tak ada ibu."
Mendengarkan itu, Uthman menghela nafas berat. Kedua lututnya dijatuhkan. Berdiri sama tinggi dengan Qaisah dan Qailah.
"Hey... princesses kesayangan abah. Pandang abah..."
Serentak, si kembar menurut. Memandang raut wajah ayahnya yang sudah tersenyum. Tak semena-mena, Qaisah teresak-esak tika hati kecilnya mengerti bahawa dia tidak akan melihat wajah ayahnya dalam jangka masa yang lama. Entah bila lagi dia akan melihat raut wajah ayahnya pun dia tidak tahu.
"Abah... janganlah pergi. Kalau... abah pergi mesti abah balik... lambat. Mesti... Qaisah rindukan abah."
Rengekan Qaisah membuatkan Uthman jadi luluh. Lantas, ditariknya lembut tubuh Qaisah ke dalam pelukan. Diikuti dengan Qailah yang sudah tercebik menahan tangis. Memberikan kehangatan buat tanda cintanya dan arwah Hikmah.
Ya Allah, bagaimana dia mahu menguatkan hati anak kecilnya ini? Dalam usia yang baru saja mencecah lima tahun, sudah pasti anak-anaknya memerlukan kasih sayang ibu dan ayah.
Tapi, dek tanggungjawab yang dipikul, Uthman sendiri tak mampu sentiasa ada buat dua gadis kecilnya yang sedang tumbuh membesar. Apatah lagi hidup anak-anaknya yang tak lengkap tanpa kasih seorang ibu.
"Kalau rindu, hari-hari Qaisah dengan Qailah doakan abah. Jangan lupa sedekahkan Al Fatihah untuk arwah umi juga. Abah janji... abah balik nanti abah belikan mainan baru untuk anak-anak abah ni. Ya?" Uthman memujuk. Perlahan-lahan, dia melepaskan tubuh si kembar. Sisa air mata di pipi Qaisah diusap lembut sebelum dikucupnya dahi kedua anak kecilnya silih berganti.
"Itulah kau Uthman. Kakak suruh kau cari pengganti kau tak nak. Setia betul dengan arwah isteri kau tanpa fikir anak-anak yang dahagakan kasih sayang mak ayah." Suara Syida kedengaran sebaik saja Uthman memimpin tangan si kembar keluar dari kamar. Terpampang riak bengis di wajah wanita itu.
"Assalamualaikum kak. Balik tak bagi tahu pun," ujar Uthman seraya melangkah turun. Membuntuti Syida.
"Aku dengar kau dah jumpa pengasuh baru. Tu yang aku nak tengok dengan mata kepala aku sendiri siapa pengasuh tu. Berguna sangat ke perempuan tu sampai kau pilih dia jadi pengasuh budak-budak ni? Sampai tolak pelawaan Akma yang nak tolong kau jaga budak-budak."
Mendengarkan omongan kakaknya, Uthman hanya menghela nafas berat. Bingit benar telinganya tatkala kakaknya sudah mengungkit perihal Akma. Adik kepada sahabat Syida sendiri yang sering dikenenkan dengan Uthman.
"InsyaAllah, lebih berguna daripada pilihan kau tu. Sekurang-kurangnya, anak aku selesa dengan Nailah. Lagi pun, Akma bukan tahan pun jaga budak-budak ni. Aku tak lupa lagi bila dia tertumpahkan minyak panas dekat tangan Qaisah dulu."
"Qaisah, Qailah... salam mak cik," tambah Uthman lagi.
Lambat-lambat, si kembar menghampiri Syida. Hati kecil mereka gerun melihat wajah bengis wanita itu. Seakan seekor singa yang bersedia membaham mangsa.
"Tak payah nak sedih sangat. Bapa kau orang tu kerja cari duit. Bukan nak pergi berperang bermatian pun..."
"Syida! Apa cakap macam tu dekat adik kau sendiri? Cubalah doakan yang baik-baik untuk Uthman. Haih! Kau bergaduh dengan suami kau... Uthman dengan cucu-cucu bapa pula yang kau jadikan tempat lepaskan emosi."
Tak semena-mena, Syida tersentak dengan suara petir Tuan Nain. Dia mengeluh berat. Hanya sorotan matanya memandang Qaisah dan Qailah yang sudah tertunduk menekur lantai.
"Mak... Uthman pergi dulu. Uthman minta maaf susahkan mak sekali lagi. Doakan Uthman ya mak supaya Uthman selamat pergi dan balik." Tanpa berlengah, Uthman terus mengucup tangan ibunya sebelum mereka berpelukan. Mengendahkan saja emosi kakaknya. Sudah lali.
"Bapa... doakan Uthman."
Tuan Nain menepuk lembut bahu kekar Uthman. Emosinya juga berkecamuk. Apatah lagi melihat cucu kembarnya yang semakin mendung. Tak mahu melepaskan Uthman dari pegangan.
"Jangan risau pasal anak-anak. Mak dengan bapa masih kuat jagakan anak-anak kamu. Jaga kesihatan. Ni... mak ada masakan lauk untuk bekalan kamu kat sana nanti. Kalau ada peluang, hubungi mak dan anak-anak. Terubat juga rindu dia orang nanti." Pesanan dititipkan kepada Uthman. Dengan harapan, Allah akan sentiasa melindungi anaknya daripada sebarang ancaman.
"Susahkan mak je masakkan lauk untuk Uthman. Mak dengan bapa pun jaga kesihatan. Jangan dengar sangat apa budak-budak ni nak. Kak... kalau boleh tengok-tengoklah mak dengan bapa ni juga. Jangan nak bercuti sakan aje." Huluran bungkusan makanan disambut. Uthman terus menyarung stoking dan kasut but hitam.
"Yelah! Tahulah aku nak buat apa. Kalau aku tak sibuk, aku datanglah sini." Suara Syida kedengaran tegas. Panas pula bila Uthman seakan menyindir. Kecil besar saja dipandangnya figura Uthman yang sudah menghampiri Yamaha R15 berwarna merah yang diparkir di bawah garaj.
"Abah! Nak ikut!"
Tak semena-mena, Qaisah meluru ke arah Uthman. Tangisannya kembali pecah. Dibuntuti oleh Qailah yang sudah teresak-esak. Membuatkan suasana semakin hiba di antara anak dan ayah itu.
"Anak-anak abah... abah nak pergi kerja... nanti abah balik abah belikan mainan..."
"Tak nak! Kita orang nak abah. Kalau abah pergi... abah balik lambat... nanti kita orang rindu..."
Mendengarkan itu, dinding hati Uthman makin remuk. Apatah lagi tatkala kakinya sudah dipeluk oleh si kembar. Momen inilah yang sering menjadi rutin hariannya.
Tuan Nain dan Puan Lateefa terus menghampiri. Menarik lembut tubuh si kembar. Membuatkan tangisan mereka semakin berlagu sayu.
"Itulah kau... aku suruh kau cari yang baru kau tak nak. Aku dah kenalkan kau dengan Akma..."
Belum sempat Syida menamatkan bicaranya, Uthman terus menghidupkan enjin motosikal berkuasa tinggi. Hanya dalam beberapa saat, pemuda berceloreng itu sudah keluar dari perkarangan rumah. Membuatkan Syida mendengus geram.
"Bertuah punya adik. Orang nak tolong cari isteri baru tak nak. Nak juga yang dah mati tu! Tak sedar diri anak-anak ni perlukan kasih sayang!" getus hati Syida. Tak mengapa. Cepat atau lambat, dia akan satukan Akma dan Uthman juga!
Bersambung...
21.5.2023
Terima kasih sudi luangkan masa membaca KABP. Semoga murah rezeki dan dipermudahkan urusan 💕
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro