Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Special episod 🍃

Special episod ini ditulis sempena KERANA AKU BUKAN DIA yang dah masuk 10K reads💞

Menelusuri kisah Afrina dan Hud ketika mereka kehilangan sesuatu yang amat dicintai lima tahun yang lalu🌹

Kisah Naurah Afrina

GURUH yang berdentum kuat petang itu memancarkan penghuni sejagat. Kilat saling sabung menyabung mengikut rentak guruh. Awan kelabu yang bertakung dengan air mula menutupi langit biru. Setitis demi setitis air hujan mula jatuh menyembah bumi sebelum hujan lebat mula kedengaran.

Ketika itu, bacaan Talkin daripada seorang imam berjubah putih kedengaran di sebuah tanah perkuburan. Beberapa orang ahli keluarga si mati mengelilingi kawasan itu. Ada yang masih kotor dengan tanah sambil memegang cangkul. Malahan beberapa orang pemuda yang mengenakan t-shirt berlogo bomba turut kelihatan.

Hujan pada petang itu seolah-olah runut bunyi melankolik. Menemani suasana hiba dan penuh keinsafan di kawasan itu. Hanya kanopi sahaja yang melindungi sekumpulan manusia ketika itu.

Dalam kehibaan itu, seorang gadis berjubah hitam dan berselendang hitam hanya memandang tanah yang masih merah dengan tatapan yang kosong. Bunyi esakan di sekelilingnya sayup-sayup kedengaran. Dia tak mengerti apa yang sudah berlaku saat ini.

Fikiran kosong.

Jasadnya masih ada di situ namun rohnya seolah-olah pergi membiarkan jasadnya kaku. Afrina benar-benar buntu akibat kejutan yang maha hebat.

"Afrina, bangun sayang. Kita balik dulu dan berehat," ujar Puan Sofia sambil mengusap bahu anak gadisnya. Setitis air mata yang mengalir ke pipi dikesat lembut. Sebu hatinya melihat keadaan Afrina yang pucat dengan tatapan mata yang kosong. Afrina kelihatan bercelaru.

"Siapa yang dah meninggal mama? Kenapa kita ada kat sini? Bukan ke sepatutnya Afrina sibuk uruskan hal kahwin Afrina? Umar... seminggu lagi dia dah nak balik!" kata Afrina seraya memandang wajah ibunya. Berkerut dahi si gadis bila mana dia berada di kawasan perkuburan tatkala itu.

Seketika, pandangannya menerawang memandang persekitaran tanah perkuburan yang semakin lenggang. Kaum keluarga dan sahabat handai sudah berpusu-pusu keluar dari perkarangan tanah perkuburan.

Kata-kata Afrina membuatkan Puan Sofia sudah kehilangan kata. Anaknya sedang menidakkan sebuah kebenaran! Kebenaran bahawa tidak akan ada majlis perkahwinan Naurah Afrina dan Umar Al-Fattah. Mereka sudah terpisah dengan maut.

"Kenapa mak menangis depan kubur tu? Huh? Umar tak suka tau tengok mak dia menangis," tambah Afrina. Dia semakin keliru. Lantas, gadis itu bangun dari duduk di atas tikar seraya menghampiri Puan Suraya yang sedang menangis teresak-esak dalam dakapan anak gadisnya. Mahu memujuk bakal ibu mertuanya.

Namun, niat gadis itu terbejat apabila pandangannya tertumpu pada tiga orang sahabat Umar yang masih setia berdiri di sisi Puan Suraya. Masing-masing dengan pandangan yang sedih. Aneh kenapa sahabat Umar ada di tanah perkuburan saat ini. Kemudian, matanya tertancap pada tanah yang masih merah. Oh sungguh! Afrina makin keliru.

"Mana Umar?" soal Afrina spontan. Intuisinya mula berasa tidak enak tika itu. Sama seperti malam selepas dia menghubungi Umar.

Senyap.

Mereka terkaku dengan soalan Afrina. Tiada yang sanggup menjawab soalan gadis itu. Masing-masing memandang Afrina dengan pandangan yang simpati. Manakan tidak, keadaan cinta hatinya Umar Al-Fatah itu benar-benar kelihatan sayu.

"Saya tanya ni, mana Umar?" soal Afrina lagi. Suaranya ditekankan. Tajam anak matanya menikam tiga pemuda yang berseluar celoreng bomba silih berganti. Faizul, Adri, Halim. Ketiga-tiga mereka itu sahabat Umar. Aneh bila kelibat Umar tak wujud di antara mereka bertiga.

"Umar..."

Jeda.

Faizul kematian kata melihat tatapan mata Afrina yang garang. Kejadian tragis itu berlayar di ruang memori. Ketika Umar menggadaikan nyawa hanya untuk menyelamatkan seorang anak kecil dalam kejadian bangunan runtuh. Kata-kata terakhir daripada Umar benar-benar melumatkan hati Faizul.

'Aku... cintakan Naurah... dia dah... tunggu... aku... Fai... tolong... jangan biar... kan dia... menangis... kalau aku...'

"Umar apa? Jawablah! Dia..."

"Dia dah tak ada Naurah! Tunang kamu dah meninggal dunia. Buka mata kamu dan pandang tanah ni. Dalam tanah ni ada jasad anak mak yang dah tak bernyawa!" bentak Puan Suraya sambil mencengkam kedua belah bahu Afrina. Luluh hatinya melihat tunangan arwah anaknya yang seolah-olah orang kehilangan punca. Menidakkan sebuah kebenaran yang amat menyakitkan!

Afrina tersentak dengan bentakan Puan Suraya. Serta merta tubuhnya jadi kejung dengan kebenaran yang disampaikan. Dinding hatinya mula dihurung kesakitan yang maha dahsyat. Seolah-olah ditujah dengan berjuta belati. Sakit!

"Kak, abang Umar dah tak ada. Kakak ada kat tanah perkuburan ni untuk beri penghormatan terakhir buat abang. Dia dah terkorban ketika menjalankan amanah yang ALLAH berikan kepadanya," ujar Umairah. Adik bongsu Umar. Gadis bertudung bawal hijau daun itu lantas memeluk erat tubuh Afrina dan ibunya dengan erat.

Tak semena-mena, saat itu juga Afrina menggogoi. Tangisannya terlepas serta merta. Tubuhnya serta merta menggigil dengan kebenaran itu. Lututnya terasa lemah untuk menampungnya terus berdiri. Wajah ibu bapa dan adiknya dipandang silih berganti dengan pandangan sayu.

Kerana kejadian itu juga, Afrina hilang dirinya yang ceria. Afrina hilang dirinya yang sentiasa tersenyum manis. Baginya, buat apa dia menjadi seorang yang ceria jikalau hatinya ditutup dengan duka? Umar sudah pergi buat selamanya! Umar, si pengarang jantung Naurah Afrina tidak akan lagi muncul dan mengungkapkan kata-kata cinta buatnya.

"CU, makan sikit. Opah ada buatkan masak lemak cili api kegemaran Naurah. Naurah asyik tak makan saja. Nanti masuk angin Naurah tambah sakit," pujuk Nek Aminah sambil mengusap lembut kepala cucunya yang sedang duduk bersandar di katil sambil menalakan pandangannya ke luar tingkap.

Afrina hanya senyap. Pandangannya menerawang memandang perkarangan rumah neneknya. Mengharapkan Umar muncul dan membawanya lari dari kesedihan. Malangnya, hanya sebuah Persona kelabu kepunyaan Encik Talib sahaja kelihatan. Sebuah kanopi yang sepatutnya menjadi makan beradab Afrina dan Umar turut kelihatan.  Malahan, hanya kedengaran bunyi cengkerik yang saling bersahutan di luar rumah.

"Opah suapkan..."

"Kenapa ALLAH ambil Umar daripada Naurah? Kenapa ALLAH selalu uji Naurah macam ni opah? Naurah dah penat. Naurah perlukan Umar dalam hidup Naurah. Lengkapkan hidup Naurah. Ceriakan hari Naurah," rintih Afrina seraya memandang wajah tua opahnya yang sudah dimamah usia. Suaranya bergetar menahan sebak yang mencengkam jiwa.

"Sebab ALLAH sayangkan Naurah. Sebab tu ALLAH uji..."

"Kalau ALLAH sayangkan Naurah, kenapa ALLAH ambil Umar? Seminggu saja lagi Naurah sah jadi isteri Umar. Naurah terlalu cintakan dia. Dia pemangkin semangat Naurah untuk terus melangkah. Naurah perlukan Umar, opah. Sangat memerlukan dia jadi pelindung hidup Naurah. Sekarang..."

Tak semena-mena, Afrina menangis teresak-esak seraya menekup wajahnya dengan kedua belah tangan. Dia tak mampu menahan rasa sebak itu lagi. Setiap hari Afrina menanti kepulangan Umar walaupun semuanya sia-sia. Afrina benar-benar tidak mampu menerima ujian yang maha hebat ini.

Perlahan-lahan, Nek Aminah mengusap  bahu cucunya seraya melentokkan kepala Afrina di bahunya. Bibir tuanya mula dibasahkan dengan kalimah 'Astaghfirulahalazim' untuk menenangkan diri Afrina. Bukan mudah untuk membuatkan Afrina bangun. Cucunya itu sudah kehilangan separuh dari nyawanya secara mengejut.

"Opah faham keadaan Naurah. Bukan mudah untuk terima semua ujian yang ALLAH berikan kepada Naurah. Ambillah masa banyak mana sekali pun yang Naurah perlukan untuk ubat duka di hati Naurah. Tapi opah yakin, suatu saat nanti cucu opah ni akan kembali kuat. Malahan akan bertambah kuat dengan semangat yang Umar tinggalkan untuk Naurah," ujar Nek Aminah seraya mengusap lembut pipi mulus Afrina yang duduk di sebelahnya.

"Hanya satu pesanan opah yang opah harap Naurah ingat sampai bila-bila. Di sebalik kedukaan itu pasti akan berakhir dengan sebuah kebahagiaan. Mungkin buat masa ini Naurah tak nampak lagi. Tapi percayalah suatu saat nanti, Naurah  pasti akan temui kebahagiaan Naurah  sendiri. Naurah  pasti akan keluar dari kesedihan. Meskipun tanpa Umar di sisi Naurah," tambah Nek Aminah lagi. Jari-jemari Afrina yang masih merah dengan inai lantas digenggam erat. Menyalurkan sebahagian kekuatan buat cucunya yang sudah tewas itu.

Malam itu juga, tangisan Afrina semakin kuat. Segala yang tersimpan di lubuk hatinya dilepaskan. Air matanya semakin lebat. Bahunya sudah terhinjut-hinjut tatkala omongan opahnya bagaikan suntikan semangat agar dia bangun. Malangnya, tak semudah itu.

Umar Al-Fatah, sebaris nama itu akan sentiasa terpahat di dalam jiwa Afrina. Sampai bila? Afrina sendiri tiada jawapan untuk itu. Manakan tidak, dia sudah cinta mati pada pemuda yang sudah terkorban demi
menggalas sebuah amanah yang diberikan! Umarlah yang sudah menjadi tunjang kekuatannya fizikal dan mental. Namun, semua impian mereka sudah hancur sekelip mata.

Kisah Hud Aidan

Hero yang tak didendang

Tajuk utama keratan akhbar yang terletak di atas meja kerja hanya dipandang dengan tatapan kosong. Terpampang foto hitam putih seorang anggota bomba yang terkorban ketika menjalankan tugas di sebuah bangunan yang runtuh.

'Umar Al-Fatah'

Sebaris nama itu terlafaz di sudut hati Hud Aidan. Dia simpati dengan nasib yang sudah menimpa pemuda berlesung pipit itu.

Tapi itulah tugas mereka sebagai anggota beruniform. Sentiasa berhadapan dengan tugasan yang mencabar dan membahayakan. Setiap kali bekerja, mereka hanya mampu bertawakal kepada ALLAH agar keselematan terjamin. Manakan tidak, pekerjaan itu hanya mempunyai dua pilihan sahaja. Sama ada pulang ke pangkuan keluarga dalam keadaan selamat atau sebaliknya.

Tiga bulan yang lalu, pemuda berkulit sawo matang itu juga hampir mati ketika bertugas. Samar-samar di ingatannya kejadian dia mengetuai serbuan di sebuah markas pemprosesan dadah yang terletak di sebuah gudang usang di belakang hutan belantara. Pada mulanya, serbuan mereka berjalan lancar sahaja mengikut strategi yang dirancang. Tujuh orang penjenayah berjaya diberkas. Syabu dan pil estacy juga dapat dirampas oleh pihak polis.

Namun, semuanya berubah drastik apabila dua buah kereta musuh tiba-tiba muncul dan menyerang pegawai polis dengan tembakan yang dilepaskan secara rambang. Inspektor Hud Aidan yang mengetuai serbuan itu serta merta diserang kejutan yang maha hebat! Mana tidaknya, strategi yang disusun rapi hancur serta merta.

Malahan, tiga orang pegawainya turut ditembak mati di depan matanya sendiri. Inspektor Hud Aidan juga turut menjadi mangsa penjenayah tanpa berkesempatan Hud melawan. Dia hanya mampu menyerah dengan yang Maha Esa saat dia sudah masuk ke dalam perangkap tokan dadah.

Bagi melunaskan dendam, teruk Hud Aidan dikerjakan oleh lima orang penjenayah apabila dia diseksa separuh mati. Masih terimbas di ingatan saat dia dibelasah sehingga lunyai. Apabila seluruh tubuhnya seakan-akan dilumpuhkan, penyeksaan ke atasnya ditambah pula apabila besi panas dicucuh pada tubuhnya lagi.

Berjejeran peluh mengalir ke pipinya yang dipenuhi dengan darah kesan daripada kesakitan itu. Erangan kesakitannya pula hanya menjadi bahan jenaka penjenayah.
Pengakhirnya, dua das tembakan dilepaskan ke tubuhnya bertubi-tubi.

Kejadian tragis itu benar-benar memberikan trauma yang hebat dalam diri Hud Aidan. Dia dihurung rasa bersalah. Rakan sejawatnya terkorban kerananya! Tiga buah keluarga kehilangan orang yang tersayang kerana kecuaiannya! Malahan, seksaan yang diterima turut menyebabkan mental Hud terkesan.

Kerana itu, Hud membuat keputusan untuk menghantar surat rasmi kepada orang atasannya. Semuanya sudah musnah sekelip mata. Hud mengalami trauma sehingga dia merasakan dunianya gelap tanpa sebuah cahaya.

"Inspektor dah fikir keputusan masak-masak ke ni?" soal ASP Herman sebaik sahaja dia membaca surat peletakan jawatan yang dihantar oleh Inspektor Hud Aidan.

"Sudah tuan," jawab Hud dengan nada yang tegas.

ASP Herman meraup wajahnya dengan tekad Hud Aidan. Kesal. Keluhan berat terlepas dari bibirnya. Wajah Hud yang duduk bertentangan dengannya dipandang. Anak buahnya ini benar-benar kelihatan parah! Tatapan mata yang kosong. Ekspresi wajah yang sukar dimengertikan. Semuanya tampak kosong!

"Inspektor, susah saya nak lepaskan kamu. Kamu di antara pegawai yang berdedikasi dalam unit narkotik. Kamu cekap dan tangkas menjalankan tanggungjawab yang ditugaskan ke atas kamu. Unit narkotik akan kehilangan seorang lagi pegawai kalau kamu letak jawatan. Inspektor Hud Aidan, sekali lagi saya nak bertanya. Kamu tak menyesal korbankan cita-cita kamu?"

Kata-kata ketuanya membuatkan segaris senyuman sinis terukir di hujung bibir Hud. Dia sudah agak. Tak semudah itu dia dilepaskan oleh ketuanya! Tapi, Hud benar-benar merasakan jiwanya dalam bidang kepolisian sudah hilang setelah kejadian hitam itu berlaku.

"Saya disahkan menghidap Post Traumatic Stress Disorder, tuan. Saya tak boleh nak teruskan kerja saya dengan penyakit mental yang saya hadapi saat ini. Saya tak nak seksa diri saya lagi. Saya ni... nak pegang senjata pun saya akan mengalami panic attack. Saya..."

Hud berjeda.

Semakin dia menceritakan emosi dalamannya ketika itu juga jantungnya mula berdebar kencang. Hud rasa cemas. Mengingati semula kejadian buruk itu benar-benar melemahkan pemuda berjaket kulit hitam itu.

"Saya mengalami insomnia disebabkan saya sering mimpi buruk mengenai kejadian itu. Saya hidup bergantung dengan ubat depresi. Malahan, saya merasakan sekeliling saya tak selamat untuk saya teruskan hidup. Jiwa saya terseksa bila mana saya nak melangkah ke hari seterusnya. Takut, risau semua perkara negatif saling bersangkut paut dalam diri saya," tegas Hud. Matanya lantas tertunduk menekur tangan yang dikepal erat.

Ya, Hud merasakan dia sudah tak segagah dahulu lagi. Dia jadi lemah serta merta. Hanya jasadnya yang sering melangkah. Rohnya seakan-akan sudah mati tika itu.

ASP Herman terpempan dengan penderitaan Hud Aidan. Timbul rasa bersalah di benak hati tatkala dia mendesak Hud untuk kekal di dalam bidang kepolisian. Ketika ini juga dia melihat Hud mula diserang gelisah. Berkali-kali pemuda itu mengesat peluh yang merintik di dahi dengan belakang tangan.

Lantas, ASP Herman menarik nafas panjang lalu dihembuskan perlahan-lahan. Tubuh disandarkan di belakang kerusi. Merehatkan tubuhnya yang mula tertekan.

"Baiklah. Kalau itu pilihan kamu, saya akan turutkan. Maaf kalau saya mendesak kamu untuk kekal di sini. Tapi saya sebagai orang atasan kamu, sangat berbangga sepanjang pencapaian cemerlang kamu dalam unit kita. Lagi satu, kalau kamu ada masalah jangan segan jumpa saya. Kita masih dalam satu pasukan yang sama. Ingat. Kita ni dah macam satu keluarga," ujar ASP Herman. Terselit pesanan dan kata-kata semangat untuk disalurkan kepada Hud.

Hud sekadar mengangguk. Tiada kata yang mampu diungkapkan saat itu. Dia sudah lelah. Dia mahu pergi jauh dan berehat. Itu sahaja yang Hud perlukan saat ini.

"Tuan! Semoga cepat sembuh. Kami sebagai rakan sepasukan tuan akan sentiasa menyokong tuan daripada belakang," ujar Konstabel Zulkarnain. Mewakili rakan seperjuangannya untuk memberikan tabik hormat kepada Hud Aidan.

Ketika itu, ada rasa sebak menikam tepat dinding hati Hud Aidan. Wajah rakan seperjuangannya yang berdiri di muka pintu ibu pejabat dipandang satu per satu. Inilah keluarganya selama lima tahun dia berkhidmat di unit narkotik. Selepas ini, tiada lagi Inspektor Hud Aidan yang sentiasa menceriakan rakan sejawatnya di kala tertekan menghadapi kes yang berat.

"Hud! Kau nak buat apa lepas ni?" soal Yunus yang berdiri di sebelah Hud. Bahu Hud ditepuk lembut.

"Lari. Lari dari masalah. Kau jaga pasukan kita ni baik-baik, Yunus. Aku amanahkan semuanya pada kau," ujar Hud seraya menepuk bahu Yunus. Dua sahabat itu saling berpandangan. Ada sinar harapan di sebalik anak mata hitam pekat Hud Aidan. Mengharapkan Yunus dapat menggantikannya dengan baik.

Kisah Hud Aidan dan Naurah Afrina

BUNYI desiran ombak di gigi air menyapa halwa telinga. Angin petang lembut menampar wajah. Keriuhan pengunjung di kawasan pantai turut kedengaran petang itu. Kelihatan juga beberapa pengunjung yang sedang berkelah di bawah rimbunan pokok.

Anak kecil ada yang kelihatan sedang membina pasir. Ada juga keluarga yang sedang bermandi-manda bersama anak mereka di kawasan pantai. Jeritan keriangan pengunjung yang sedang bermain banana boat di persisir pantai turut kedengaran.

Semua pengunjung kelihatan ceria di pandangan si gadis bertudung bawal hitam itu. Mereka semua kelihatan bahagia bersama orang tersayang. Dahulu, dia juga sama seperti mereka. Ceria. Sering tersenyum. Namun semuanya sudah hancur. Si pengarang jantung sudah pergi dan tak akan kembali menceriakan hidup Naurah Afrina.

"Kau dahaga tak? Jom beli mango float kat lori tu," ajak Adara. Sahabat Afrina yang bercuti bersamanya di Melaka. Sengaja Adara membawa Afrina bercuti ke Melaka setelah genap lapan bulan peristiwa buruk itu berlaku. Mahu memberikan ketenangan buat sahabatnya yang berubah menjadi pendiam.

Afrina hanya mengangguk dan beriringan dengan Adara ke lori yang menjual minuman. Sesekali, hujung tudungnya yang ditiup angin digenggam erat.

Lantas, si gadis berselendang biru muda itu terus memesan dua cawan mango float kepada si penjual. Kemudian, Adara meminta diri untuk membeli kacang rebus. Menyuruh Afrina menghampirinya jika sudah selesai.

"Bang, duit kecil tak ada ke bang? RM 50 banyak sangat ni. Kita orang tak ada balance," ujar remaja lelaki bertubuh gempal pada seorang pemuda bertopi hitam.

"Maaf dik. Aku tak ada..."

"Kira sekali dengan saya punyalah. Saya order dua minuman tadi. Saya pun tak ada duit kecil. Ada RM 30 ni saja. Selebihnya, anggap saja sebagai sedekah," pintas Afrina tanpa memandang pemuda yang berdiri di sebelah. Lantas, wang dihulurkan kepada si peniaga apabila dua cawan mango float dihulurkan kepadanya.

Si pemuda yang sudah tercengang dengan tindakan si gadis hanya kaku di hadapan gerai. Segelas cawan mango float dipandangnya silih berganti dengan si gadis yang sudah melangkah ke gerai kacang rebus.

"Hud! Dah..."

"Pinjam RM 30. Kau ada tak?" pintas Hud tanpa memandang Ibrahim yang baru sahaja menghampirinya. Anak matanya masih tunak memandang raut wajah beku Afrina. Tercalar egonya sebagai seorang lelaki bila gadis itu membayar minumannya.

"Buat..."

"Tak payah banyak tanyalah. Nanti aku bayar baliklah," pintas Hud lagi seraya menghulurlan tangannya kepada Ibrahim. Berkerut dahi Ibrahim melihat Hud yang kelam kabut. Lantas, dompet dikeluarkan dari kocek seluarnya lalu dihulurkan RM 30 kepada sahabatnya.  

"Okay! Thanks brother. Nah, pegang kejap tapi jangan habiskan minuman aku," ujar Hud. Minumannya lantas dihulurkan kepada Ibrahim. Langkah diatur menghampiri Afrina yang semakin hilang dari pandangan. Ibrahim yang sudah kelihatan bingung diabaikan saja.

Misi membayar duit si gadis lebih penting!

Fokus pandangan Hud tertumpu di hadapan. Laju benar langkah si gadis berkulit kuning langsat itu. Hud tiada pilihan lain untuk menghentikan langkah Afrina melainkan menyeru nama si gadis.

"Cik! Tunggu kejap."

Malangnya, suara Hud tak kedengaran apabila bertembung dengan bunyi desiran ombak yang menghempas gigi air.

"Cik tudung hitam dan cik selendang biru! Tunggu sekejap!"

Serta merta, Afrina dan Adara yang berada di hadapan kematian langkah dengan lontaran suara Hud yang kuat. Dua gadis itu sudah kalih ke belakang. Aneh melihat si pemuda bertopi hitam menghampiri mereka.

"Wei! Siapa pula mamat ni?" soal Adara dalam keadaan berbisik. Minuman yang berada di tangannya dihirup. Terpegun dibuatnya tatkala matanya melihat tampang muka si pemuda yang berkulit sawo matang dengan bentuk muka jawline.

"Entah. Salah orang kut. Jomlah balik, aku dah penat," ujar Afrina. Langkah kembali diatur namun baru dua langkah, Hud Aidan sudah berlari-lari anak dan menghalang langkah dua gadis tersebut.

Saat itu juga, pandangannya sudah saling bersatu dengan tatapan kosong Naurah Afrina. Raut wajah si gadis tanpa ekspresi itu menjadi perhatian Hud Aidan. Aneh. Entah mengapa Hud tidak mampu mengalihkan pandangannya dari menatap wajah gadis berkulit kuning langsat itu. Bagaikan ada tarikan magnet yang membuatkan Hud tak mampu mengalihkan pandangannya. Dia akui, gadis kecil molek di hadapannya ini manis orangnya.

"Ya, encik? Ada apa-apa masalah ke sampai pandang kawan saya macam tu?" soal Adara. Berkerut dahinya melihat Hud yang seakan-akan terpegun menatap wajah sahabatnya.

Kata-kata Adara lantas menyedarkan Hud daripada lamunan panjangnya. Dia berdeham membetulkan anak tekak yang terasa payau. Wajahnya serta merta disimbah dengan panas. Malu!

"Tak. Aku cuma... nak bayar balik RM 30 kau tadi. Haah nak bayar balik air tu," kata Hud seraya menghulurkan wang kepada Afrina.

Tak semena-mena, membuntang mata Adara melihat tingkah Hud. Wajah kosong Afrina dipandang silih berganti dengan Hud Aidan. Sahabatnya mula berkomunikasi dengan lelaki lain? Wah! Itu sebuah kemajuan.

"Tak apa encik. Anggap sajalah saya sedekah. Boleh tak encik ke tepi sikit? Saya dan kawan saya nak lalu," tegas Afrina. Tajam anak matanya menikam raut wajah lelaki berparut di dahi kiri itu.

"Nope! Aku tak akan bagi kau lalu selagi kau tak ambil duit ni. Aku nak bayar balik. Nah, lekas ambil," desak Hud. Aduh! Gadis di hadapannya ini bagi pandangan tajam yang bisa menusuk ke dinding hati Hud sahaja. Dia akui, sepasang mata Afrina yang bersinar kelihatan cantik. Anehnya perasaan ini. Panahan apakah?

Afrina mengeluh berat. Lantas wang yang dihulurkan oleh Hud ditarik. Lelaki di hadapannya ini benar-benar sedang mencabar kesabarannya. Afrina tiada pilihan lain.

"Dah! Ke tepi boleh?" tegas Afrina.

Bagaikan lembu dicucuk hidung, Hud berganjak dan memberikan laluan kepada Afrina dan Adara untuk lalu. Tersenyum sendiri Adara dibuatnya menyaksikan dua manusia yang sempat bertelingkah kecil.

"Kau ni garang sangatlah. Mamat tu segak kot. Kau..."

Adara kematian kata tatkala Afrina tiba-tiba menghentikan langkahnya di hadapan seorang pengamen jalanan yang duduk di sebuah gazebo. Alangkah terkejutnya Adara melihat Afrina berpaling menghadap Hud dan mengangkat wang tersebut lalu diletak di dalam bakul yang berisikan wang milik si pengamen.

"Encik tak ada nama! Kira hari ni kita beri sedekah pada oranglah ya. Why not awak dapat pahala dan saya pun dapat. Adil, bukan?  Assalamualaikum," ujar Afrina seraya melangkah keluar dari kawasan pantai. Afrina ikhlas.

Tatkala itu juga, segaris senyuman terkulum di bibir Hud Aidan. Hatinya sedikit tercuit dengan ketegasan si gadis. Siapa namanya? Ingin sekali Hud bertanya gadis yang menarik perhatiannya itu. Namun, tubuhnya seakan-akan kejung terpacak di atas tanah.

"Hud! Aku tak mimpi kan?" suara Ibrahim yang menyapa telinga mematikan senyuman Hud serta merta.

"Mimpi?"

"Ya! Mimpi. Dah lama aku tak tengok kau senyum manis macam tu! Eh kau ada jatuh atau terhantuk kat mana-mana tak sampai kau boleh tersenyum seorang ni?" soal Ibrahim.

Sesekali matanya melilau memandang sekeliling. Mencari sumber yang membuatkan sahabatnya bisa tersenyum. Namun, hanya si pengamen jalanan yang sedang mendedangkan sebuah lagu sahaja kelihatan berhampiran.

Sekali lagi, Hud tersenyum nipis. Matanya lantas tertancap pada si pengamen jalanan yang sedang mendendangkan sebuah lagu yang seakan-akan membaca dinding hati Hud Aidan.

"Aku nampak bidadari turun dari syurga barangkali? Cantik juga walaupun garang," desis hati Hud. Dia suka tengok ketegasan si gadis. Malang sekali pertemuan mereka hanya seketika cuma. Tidak mengapalah. Hud sahaja yang merasakan dia sedang terbawa emosi tanpa sedar.

Tapi, itu tetap aneh! Seorang Hud Aidan sejenis yang hati beku. Bukan mudah untuk dia jatuh cinta dengan mana-mana perempuan. Sungguh, kuat benar penangan gadis bernama Naurah Afrina itu!

Ku sedar bukan, kuasa ku,
Hanya Tuhan yang bisa memberi,
Cinta dia maha indah
Ditakdirkan bersama...

Hanya kepada dirimu,
Bukan jodoh yang ku maksudkan,
Kerna ada telah tertulis,
Itu hanya rahsia Tuhan

Bait-bait lagu yang dinyanyikan oleh si pengamen jalanan benar-benar menusuk hingga ke relung hati Hud. Ya, jika mereka ditakdirkan berjodohan pasti ALLAH akan mempertemukan mereka semula. Sememangnya, jodoh dan ajal keduanya rahsia ALLAH.

Tamat...

Macam mana dengan special episod ni? Nampak tak penderitaan Hud dan Afrina? 😭

Jelas tak kenapa Afrina susah nak move on daripada Umar dan nak terima Hud Aidan? 🤭

Apa pun...

Syaf nak ucapkan setinggi penghargaan terima kasih kepada pembaca yang sentiasa mengikuti kisah Hud dan Afrina sehingga mencecah 10K pembaca 🌹

Syaf tamatkan kisah mereka sampai di sini. Syaf harap segala pengisian yang Syaf sampaikan melalui kisah mereka dapat dijadikan sebagai pengajaran 💞

Syaf_Asriqa 🧕

.
.
.
.
.
.
.

Eh cop! 🤣

Belum tamat sepenuhnya lagi. Maaf kalian Syaf bergurau 🤭 gurau kasar pula tu 🤣 nantikan episod seterusnya pula tau 🤓 episod di mana Hud dan Afrina kembali diancam bahaya 💣

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro