Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Episod 52 🍃

LAMPU bilik pembedahan yang masih merah menyala ditatap dengan tatapan yang penuh dengan rasa gundah. Saat itu, jiwa seorang Hud Aidan benar-benar bercelaru. Fikirannya seakan-akan berselirat tatkala tayangan babak Afrina ditembak di hadapan matanya masih berlegar di kotak fikiran.

Peristiwa lima tahun yang lalu seakan-akan menerpa Hud semula. Tubuhnya jadi longlai. Darah milik Afrina yang masih melekat di bajunya hanya dibiarkan. Mana mungkin Hud meninggalkan isterinya yang sedang berjuang dengan kematian di bilik pembedahan. Hud benar-benar takut!

"Abang, dah lapan jam Afrina dekat dalam tu. Abang pergilah balik. Sherin tunggu dekat sini. Abang nampak betul-betul tak terurus sekarang ini," pujuk Sherina sambil mengusap bahu abangnya. Luluh hatinya melihat keadaan Hud. Dengan wajah yang sembap dan memar, abangnya benar-benar kelihatan serabut.

"Kau pergilah ganti pakaian kau dulu. Lagipun, tak elok biarkan balutan luka dekat bahu kau tu tak ditukar. InsyaAllah, Afrina akan selamat. Kau sendiri tahu yang isteri kau kuat orangnya. Takkan kau nak jadi lemah macam ni?" kata Ibrahim pula. Memberikan keyakinan kepada sahabatnya bahawa keadaan akan baik-baik saja.

Hud hanya diam. Wajah Ibrahim dan Sherina dipandang silih berganti. Nafas berat dihela. Melepaskan beban yang terbenam di sukmanya. Wajahnya diraup kasar sebelum Hud bangun dari duduknya. Omongan Ibrahim benar-benar memberikan suntikan semangat kepada Hud untuk kembali kuat.

"Aku minta maaf Rahim. Aku... dah tuduh kau yang bukan-bukan. Padahal selama ni... kau... kau yang banyak tolong aku. Kau yang sanggup berkorban... untuk aku," kata Hud dengan suara yang serak. Hatinya sebu. Terlalu banyak kekhilafan yang dia lakukan sehinggakan orang sekelilingnya menjadi mangsa.

"Aku tak pernah terasa dengan apa yang dah jadi, Hud. Sudahlah. Kita lupakan saja apa yang sudah berlaku. Apa yang penting sekarang, kau kena kuatkan mental kau untuk isteri dan anak kau. Jangan layan lagi trauma yang ada dalam diri kau itu. Aku tahu, kau kuat orangnya!" kata Ibrahim dengan senyuman yang terukir di bibirnya.

Entah mengapa, Ibrahim merasakan dia sedang berhadapan dengan Hud ketika menghidap PTSD dahulu. Wajah sahabatnya dipenuhi dengan penyesalan. Sememangnya, itu satu kondisi yang terlalu buruk.

"Kalau abang tak nak balik, tak apa. Sherin ada bawakan pakaian baru untuk abang. Abang pergilah tukar dulu. Segarkan tubuh abang lepastu bagi tenaga dalam badan," pesan Sherina seraya menghulurkan beg kertas berisikan pakaian Hud. Memujuk abangnya seperti anak kecil.

Hud hanya mengangguk lemah. Otaknya terkunci untuk mengeluarkan diksi. Jiwa Hud rapuh. Dia penat. Bahkan, kesakitan pada sendi dan tulang temulangnya setelah bergasak dengan konco-konco Mirza seakan-akan dilupakan buat seketika. Dengan langkah yang longlai, Hud meninggalkan bilik pembedahan untuk menggantikan pakaiannya.

Seketika, suasana mulai sepi. Ibrahim mengalihkan pandangannya ke laman wajah Sherina yang kelihatan resah melihat keadaan Hud yang seperti orang hilang punca itu. Sherina benar-benar kelihatan sudah berubah matang. Dengan hijab yang menutup aurat wanita itu dan blouse yang labuh, Sherina kelihatan manis di pandangan Ibrahim.

"Terima kasih sebab tolong abang saya. Awak memang sahabat yang terbaik untuk abang saya. Saya... bersyukur sangat bila Allah hadirkan awak dalam hidup abang saya," ucap Sherina seraya memandang raut wajah Ibrahim yang tunak memandangnya.

"Saya pun, bersyukur sangat bila Allah hadirkan awak dalam hidup saya," ucap Ibrahim tak semena-mena. Bibirnya terukir dengan senyuman nipis tatkala luahan hatinya terungkap tanpa sedar.

Wajah Sherina serta merta membahang dengan omongan Ibrahim. Bibirnya diketap. Jantungnya mula berdetak kencang. Buru-buru Sherina mengalihkan pandangannya dari memandang wajah Ibrahim. Oh sungguh, perasaan aneh apakah yang sedang bertandang di sudut hatinya? Tapi, Sherina juga takut. Dia sudah cukup mengalami fasa trauma menjadi mangsa penderaan domestik.

"Err... maksud saya, saya pun bersyukur sangat bila Allah temukan Hud dengan saya. Dalam diam, banyak yang saya belajar daripada dugaan dalam hidup dia. A... awak dah makan?" kata Ibrahim tatkala raut wajah Sherina mula kelihatan merah. Mendadak betul bibirnya menutukan kata.

"Saya yang patut tanya soalan itu kepada awak. Dari tadi, awak yang temankan abang saya," kata Sherina. Dia semakin kehilangan diksi bila mana Ibrahim seakan-akan memberikan petunjuk mengenai isi hatinya.

Ibrahim mengusap tengkuknya. Ada rasa malu mula bertandang di sudut hati bila mana keadaan mula kekok. Itulah, terlajak perahu boleh diundur terlajak kata buruk padahnya. Tak fasal-fasal, situasi jadi tak senang di antara dia dan Sherina.

"Oh ya Sherin. Saya dah lama nak bagi tahu awak pasal ni. Tapi, saya tak ada kesempatan nak berjumpa dengan awak. Saya harap, awak boleh lapangkan hati awak bila dengar berita ini," kata Ibrahim. Suaranya kembali tegas di pendengaran Sherina sehingga pandangan mereka kembali bersatu.

Debaran semakin kuat mengetuk hati Sherina. Bertalu-talu. Terasa kelat liur yang ditelan tatkala wajah tegas Ibrahim terbias di kornea matanya. Kukunya mula berlaga antara satu sama lain. Habit yang sentiasa dilakukan oleh Sherina ketika gemuruh.

"Fasal... Zanif."

"Kenapa dengan dia?"

Ibrahim menghela nafas berat. Sukar benar dia ingin mengungkapkan berita itu. Namun, Sherina layak mengetahui mengenai bekas suaminya yang dayus. Lantas, tidak dapat tidak, semuanya harus dirungkaikan juga.

"Zanif, ditemui telah dibunuh dengan kejam kira-kira lima hari yang lalu. Di kawasan sampah sarap. Mayatnya rentung akibat dibakar. Ada keberangkalian semua ini berlaku disebabkan tak puas hati," kata Ibrahim.

Sherina tergamam buat seketika. Tidak menyangka pengakhiran Zanif kejam sebegitu rupa. Siapalah yang sanggup membunuh Zanif? Tidak beperikemanusiaan langsung pelakunya.

"Khadijah? Khadijah ke pelakunya?"

"Bukan Khadijah. Kami sudah lakukan siasatan ke atasnya. Namun, keputusannya negatif. Kami dapat tahu yang Zanif berhutang dengan ceti haram. Bila kami lakukan siasatan, barulah kami jumpa pelaku yang melakukan jenayah kejam itu," jawab Ibrahim. Pandangannya dialihkan dari laman wajah Sherina tatkala Sherina kelihatan sayu mendengar berita buruk itu.

Adakah Sherina mencintai bekas suaminya? Entah, Ibrahim tidak tahu. Apa yang pasti, Ibrahim sedikit kecewa melihat air muka Sherina yang kelihatan sayu mendengar berita buruk itu.

"Saya... tak tahu nak bagi reaksi apa. Tapi, saya rasa bebas. Saya rasa selamat. Saya dah tak takut bila Zanif tiba-tiba muncul dan belasah saya. Saya... tak kejam kan sebab rasa macam ni di atas kematian Zanif?"

Oh sungguh, luluh hati Ibrahim mendengarkan soalan Sherina. Dia salah percaturan. Pasti Sherina sedih dan seolah-olah bermimpi bahawa wanita itu sudah bebas. Ibrahim mengerti.

"Tak..."

"Keluarga Puan Naurah Afrina?" suara garau seorang lelaki membantutkan terus omongan Ibrahim. Lantas, mereka berpaling memandang seorang doktor yang masih dengan sepersalinan baju pembedahan. Wajahnya kelihatan keruh tanpa senyuman.

Bunyi derapan tapak kaki turut kedengaran. Hud meluru ke arah doktor yang mengetuai pembedahan ke atas isterinya. Ritma jantungnya mula tak teatur tatkala kornea matanya melihat air muka doktor berketurunan cina itu.

"Macam mana dengan isteri dan anak aku doktor? Huh? Dia orang selamat, kan? Aku dah boleh tengok isteri aku..."

"Encik, luka tembakan pada tubuh isteri encik terlalu parah. Dua peluru tembus hampir berdekatan dengan jantung. Saya harap... encik bertabah dam banyakkan berdoa. Kami sudah keluarkan dua butir peluru dalam tubuh isteri encik. Tapi..."

Doktor tersebut jeda. Berat sungguh hatinya mahu menyambung ayat yang seterusnya. Lapan jam mereka berusaha menyelamatkan Afrina tatkala kawasan peluru yang tertanam dalam tubuh Afrina boleh merisikokan kondisi jantungnya.

"Tapi apa doktor?"

Tak semena-mena, Hud membentak tatkala kesabarannya sudah hilang. Lapan jam dia menanti dan menunggu sinar baik mengenai isterinya. Kini, semuanya lebur sekelip mata. Air mata sudah mengalir ke pipi Hud tatkala jiwanya tak henti-henti menujahkan kekesalan.

"Harapan untuk Puan Afrina selamat... tipis. Keadaan dia sangat kritikal," sambung doktor itu lagi.

Saat itu juga, Hud merasakan dunianya gelap sekelip mata. Anak matanya tertunduk menekur jari jemarinya. Memorinya mula diterjah dengan layanan yang buruk diberikan kepada Afrina. Dia mungkir janji! Dia tidak melindungi Afrina dengan sebaiknya! Malahan, dia menyakiti isterinya yang tulus mencintainya itu.

"Anak... anak kami... anak kami macam mana?" soal Hud dengan suara yang sudah bergetar menahan tangis.

"Akibat tekanan yang melampau, kandungan isteri encik jadi lemah. Saya harap, encik bersedia dengan segala kemungkinan yang akan terjadi dengan kandungan isteri encik," jelas doktor lagi.

Hud semakin sesak dengan jawapan yang diberikam oleh doktor tersebut. Dia hilang punca. Kakinya jadi lemah untuk menampungnya terus berdiri. Terngiang-ngiang lagi di pelupuk telinganya kata-kata yang sudah menyakiti hati Afrina. Afrina mengajaknya untuk melakukan pemeriksaan kandungan. Bisa saja dia menemani untuk sama-sama mendengar khabar baik. Namun, dek kerana tekanan menghambatnya, Hud jadi orang dungu.

Membiarkan isterinya yang sedang mengandung bersendirian. Walhal, dia sudah berjanji kepada Encik Talib untuk melindungi Afrina dengan sebaiknya. Oh sungguh, Hud benar-benar tidak dapat menerima berita buruk ini. Air matanya jadi murah mengalir tanpa henti.

"Sayang... abang minta maaf sayang. Abang yang patut ada dekat tempat sayang sekarang ini. Abang minta maaf," rintih Hud sambil menumbuk dinding batu bertalu-talu. Melepaskan kesesakan yang semakin menujah sukmanya tanpa ada tanda-tanda berhenti.

Dua bulan kemudian...

Suasana tanah perkuburan pada petang itu kelihatan sayu. Angin petang menampar pipi bertalu-talu dengan lembut. Sayup-sayup kedengaran bacaan yassin di tanah perkuburan. Atmosfera seakan-akan mendendangkan hiba dalam jiwa mereka.

Dua bulan sudah berlalu. Masa berlalu begitu pantas. Seiring berjalannya waktu, berbekalkan kekuatan yang ditinggalkan oleh pengarang jantungnya, Hud belajar untuk mengentalkan jiwanya yang nanar. Tak guna jika dia terus melayan atmosfera kesedihan tanpa bangkit melawan kejatuhannya.

"Pak cik, Dina rindu kakak. Dina rindu nak buat kek dengan kakak. Bila Dina boleh buat macam tu lagi?" soal Dina yang duduk di sebelah Hud. Wajah Hud yang sedang mengaminkan doa ditatap dengan pandangan sayu.

Tatkala soalan itu dilontarkan kepadanya, Hud hanya tersenyum pahit. Kepala Dina yang berbalut dengan tudung sarung diusap lembut. Wajah polos anak buahnya ditatap sedalamnya. Itulah soalan yang sering ditujahkan oleh Dina sepanjang dua bulan.

"Kalau Dina sayangkan kakak, Dina doakanlah untuk kakak semoga Allah sentiasa melindungi kakak," pesan Hud seraya bangun dari duduknya. Jag yang dihulurkan oleh Sherina dicapai. Perlahan-lahan, Hud menyiram pusara yang kelihatan baharu. Saat itu juga, dinding hati Hud seakan-akan direnggut sayu.

Sesak.

"Mummy dah ajar Dina kan kena buat apa kalau pergi sini? Dah buat ke belum?" soal Sherina seraya menyambut semula jag yang dihulurkan oleh abangnya. Perlahan-lahan, pusara yang baru sahaja dipacak dengan batu nisan disiram. Sungguh, dia rindu. Masih belum puas untuk menghulurkan kasihnya lagi.

"Baca Al-Fatihah. Dina dah buat macam yang mummy ajar," kata Dina sambil mendongak memandang wajah ibunya.

"Baguslah anak mummy. Dengar cakap. Lepas ni, Dina kena banyak berdoa untuk kakak," pesan Sherina sambil berpimpin tangan dengan Dina. Melangkah keluar dari tanah perkuburan. Mereka bahagia. Tiada lagi ketakutan yang menyelubungi dua beranak itu. Bagi Sherina, Medinalah kebahagiaan dunia akhiratnya. Sherina nekad. Dia akan sentiasa melindungi dan menyayangi anaknya sehingga nafas yang terakhir.

Melihatkan hubungan Sherina dan Dina yang semakin membaik membuatkan Hud senang hati. Tiada lagi derita yang menerjah adik dan anak buahnya. Nafas panjang ditarik sebelum dihembuskan perlahan-lahan. Pandangannya tertumpu kepada batu nisan lalu dielus lembut. Sungguh, sakit benar rindu kepada yang sudah pergi buat selamanya.

"Hud sayangkan mama sampai syurga. Hud rindukan mama sangat-sangat," desis hati Hud seraya melangkah membuntuti Sherina dan Dina. Hanya doa yang mampu disedekahkan kepada ibunya sebagai bekalan.

Tiba-tiba, langkah Hud terbejat. Telefon pintar yang disisip di dalam poket dikeluarkan. Tertera nama Encik Talib di dalam skrin. Punat hijau lantas disentuh seiringan dengan ritma jantung yang mula kencang.

"Waalaikumsalam. Hud ada dekat pusara arwah mama. Kenapa abah?"

"Okay. Kamu pergi bersihkan diri lepas tu datang sini secepatnya. Afrina... Afrina dah sedar!"

Tatkala khabar baik itu menerjah gegendang telinganya, langkah terus diatur laju meluru masuk ke dalam kereta. Tak putus-putus Hud mengucapkan 'Alhamdulillah' setelah semua doanya didengar oleh yang Maha Esa.

Dua bulan. Itulah masa yang sangat kritikal bagi Hud. Menanti keajaiban agar pengarang jantungnya diberikan peluang kedua. Memberikan peluang kepada seorang Hud Aidan untuk menebus semua kekhilafan yang telah dilakukan kepada isterinya.

Bersambung...

Thanks sudi baca karya Syaf 💕Sedih ke tu baca episod ini? Ke suka tengok sherina×rahim? 🤣

Memandangkan Syaf nak tamatkan karya ni dalam bulan 2, jadinya minggu ini, Syaf update dua kali dalam sehari ✌

Esok (ahad malam) karya ini akan melabuhkan tirainya 🤗

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro