Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Episod 49 🍃

"PETANG ni saya dah kena masuk kerja," kata Afrina sebaik sahaja dia dan Hud duduk di birai katil. Nada suaranya kembali kedengaran ceria dengan senyuman yang mekar di bibir. Sungguh, Afrina puas hati dengan situasi yang baru sahaja berlaku sebentar tadi. Kemenangan berpihak kepadanya. Memang benar-benar salah orang, dua orang bimbo itu mahu menghinanya.

"Abang tak izinkan. Sayang tu baru kebah dari demam. Baik duduk diam-diam dekat rumah," tegas Hud. Berkerut dahinya melihat roman wajah Afrina yang ceria. Manakan tidak, tiga hari berturut-turut isterinya mengalami demam panas. Mahu bangun dari katil saja Afrina tidak larat. Afrina terlalu banyak memendam ketakutan sehingga antibodinya mula lemah.

"Dah dua minggu lebih saya cuti. Tak senanglah dengan Doktor Azizah kalau saya cuti lama-lama. Saya ni kerja makan gaji. Lainlah kalau Atma Home Nursing tu abah saya punya," ujar Afrina. Lantas, dia bangun dari duduknya dan menghampiri almari. Tidak sabar rasanya mahu memulakan tugasnya sebagai seorang jururawat peribadi.

Melihat Afrina bertenaga membuatkan Hud semakin pelik. Dahi yang tak gatal digaru bersama pandangan yang tunak memerhatikan Afrina yang sedang mengeluarkan uniformnya. Apa Afrina ini benar-benar sihat atau sebaliknya?

"Habis tu yang sayang hampir pitam tadi tu..."

"Encik Hud Aidan, saya sengaja mengada macam tu sebab nak bagi isteri tak jadi awak tu sakit hati. Suka hati dia saja sentuh suami saya. Saya cuma nak bagi dia sedar yang Hud Aidan tu sah milik Naurah Afrina seorang saja," pintas Afrina bersama bibir yang terherot sinis. Ada ketegasan di sebalik nada suaranya.

"Awak ni memang tak ada baju lain ke selain warna gelap?" soal Afrina. Mengubah topik yang tidak menyeronokan. Ligat saja jari jemarinya membelek pakaian Hud yang tergantung di almari. Dipenuhi dengan baju berwarna hitam dan kelabu sahaja.

Hud yang mula memahami maksud Afrina sudah tersenyum lebar. Kepalanya tergeleng-geleng apabila Afrina mula membebel mengenai warna pakaian yang selalu dipakainya. Lantas, perlahan-lahan Hud menghampiri Afrina dan bersandar di belakang pintu almari.

"Abang tak habis cakap pasal tadi. Sayang buat abang risau tahu tak sampai abang pergi dukung sayang. Tak sangka, sayang sengaja rupanya buat macam tu. Orang risau dekat dia, dia boleh pura-pura sakit!"

Tak semena-mena, Afrina tertawa melihat wajah Hud yang mula cemberut. Hatinya tercuit lucu dengan reaksi Hud yang tidak berpuas hati. Inilah kali pertama, Afrina mengusik Hud sehingga suaminya jadi risau. Seronok!

"Gelak suka ya. Belajar dari siapa ni bila orang serius balas dengan gelak-gelak?" soal Hud seraya mendekatkan wajahnya ke wajah Afrina. Sengaja Hud membuat riak wajah tegang seperti yang sering Afrina tunjukkan kepadanya.

Sontak, Afrina terundur ke belakang tatkala wajah Hud hanya sejengkal dari wajahnya. Tatapan mata Hud yang tajam benar-benar membibitkan debaran di dinding hati Afrina.

"Ala..."

Belum sempat Afrina menghabiskan kata-katanya, dahinya tiba-tiba berkerut. Isi perutnya seakan-akan memulas dengan tekak yang berasa loya. Tanpa berlengah, Afrina meluru masuk ke dalam tandas. Sungguh, semuanya mendadak. Afrina jadi sesak saat memuntahkan isi perutnya.

"Sayang... kenapa ni? Sayang tipu abang ke? Sayang nampak tak sihat ni. Muka sayang pucat lagi. Rehatlah dulu, ya. Abang risau tengok sayang macam ni," ujar Hud yang sudah mengusap belakang Afrina dengan lembut. Seksa dia melihat Afrina yang sesekali terbatuk-batuk sambil memuntahkan isi perutnya.

"Tak payahlah pergi kerja hari ni. Sayang tak sihat lagi. Jangan paksa diri. Dekat rumah ni, abang boleh jagakan sayang," pujuk Hud lagi. Hailah, Afrina ini degil benar orangnya.

Afrina sekadar menggelengkan kepala sambil berkumur-kumur. Rintik-rintik peluh mula mengalir ke pipinya. Anehnya keadaan tika ini. Tiba-tiba sahaja tekaknya berasa loya tatkala wangian Hud menusuk rongga hidungnya sebentar tadi. Dia tidak suka.

"Saya nak pergi kerja juga. Kali ni saya betul-betul tak selesa kalau ambil cuti lama-lama. Saya salah makan kut. Awak jangan risaulah," kata Afrina. Dia mengelap mulutnya yang basah dengan tuala yang dihulurkan oleh Hud. Kali ini, kepalanya pula terasa pusing. Seakan-akan berdenyut dan dicucuk dengan berjuta jarum sahaja.

"Tak apa sayang. Nanti abang bagi tahu mak su yang sayang tak sihat. Sekarang ni, sayang duduk dulu. Abang nak buatkan bubur untuk sayang. Sayang nak bubur apa? Bubur ayam? Bubur cendawan? Bubur..."

Tak semena-mena, Afrina ketawa lagi melihat Hud yang benar-benar kelihatan resah. Inilah kali pertama Hud kelihatan tidak tenang di hadapan Afrina. Seolah-olah hilang kesakitan di kepala Afrina melihat keresahan di sebalik wajah suaminya.

"Macam manalah kalau suatu hari nanti, Allah bagi kita rezeki saya mengandung anak kita. Macam ni kut agaknya muka awak. Macam ayam berak kapur," kata Afrina sambil mengenggam erat tangan Hud.

Hud turut tertawa dengan usikan Afrina. Rambut isterinya yang diikat sanggul diusap lembut. Sungguh, hari demi hari Afrina semakin cantik di pandangan seorang Hud Aidan. Bibirnya sentisa dihiasi dengan senyuman. Menambahkan lagi seri di wajah Afrina.

"Sayang... macam tak sabar saja..."

Belum sempat Hud menghabiskan kata-katanya, pintu biliknya tiba-tiba dibuka dari luar. Serta-merta, Afrina menolak lembut tubuh Hud yang hanya sejengkal dari tubuhnya. Malulah dia bila mana orang luar menyaksikan kemesraannya bersama Hud, suami tiga sukunya itu.

"Abang! Mama... mama..."

Melihat wajah pucat Sherina yang sedang mengunjuk ke arah luar, membuatkan wajah Hud terus berubah keruh. Langkah terus diatur keluar dari bilik peraduannya. Mimik muka Sherina yang cemas sudah cukup menjelaskan kepada Hud mengenai keadaan ibunya tika ini.

"Sherin, kenapa?" soal Afrina. Kaget melihat Hud yang kelihatan cemas itu. Dia pula seolah-olah kaku tatkala melihat reaksi Sherina yang sudah kelihatan sayu.

"Mama... mama kena serangan jantung!"

Hanya sebaris kata itu yang mampu Sherina tuturkan sebelum dia membuntuti abangnya ke bilik Datin Khalida. Air mata mula menitis ke pipi saat teringat akan ibunya yang sedang berjuang dengan kematian di atas katil. Sungguh, Sherina masih belum bersedia dengan pemergian ibunya!

SUASANA hiba menyelubungi wad privasi yang ditempatkan oleh Datin Khalida. Sayup-sayup bacaan Yassin menyapa corong telinga. Seiringan dengan bunyi monitor jantung yang menjadi latar bunyi wad tersebut. Tika itu, tiada lagi kebahagiaan terpancar di laman wajah seorang Hud Aidan. Sungguh, Hud masih belum puas mendapatkan kasih sayang ibunya. Manakan tidak, lebih dari lima tahun dia menjadi anak buangan dalam keluarga Datuk Idris.

"Awak... makanlah dulu. Dari siang tadi awak tak makan lagi. Bagi tenaga dalam badan awak tu dulu sebelum awak jaga mama," ujar Afrina sejurus sahaja Hud menyelesaikan bacaan Yassin.

Hud mengalihkan pandangannya ke laman wajah Afrina yang duduk di sisinya. Jelas, wajah isterinya itu masih tampak pucat. Sudah puas Hud menyuruh Afrina pulang. Tapi, Afrina tetap degil. Katanya, mahu menemani Hud sehingga Datin Khalida kembali sedar.

"Saya ada belikan nasi goreng kampung kegemaran awak dekat kantin tadi. Awak makanlah. Sikit saja. Please," pujuk Afrina lagi. Lembut sahaja nada suaranya di pendengaran Hud. Bekas polisterin lantas dibuka sebelum dihulurkan kepada Hud.

"Abang tak lapar," ujar Hud seraya menolak lembut tangan Afrina. Pandangannya kembali dialihkan ke laman wajah ibunya yang sedang berjuang dengan kematian itu. Sungguh, dinding hati Hud benar-benar dipagut rasa sayu melihat roman wajah ibunya yang tak berdaya.

"Okaylah. Kalau macam tu, saya suapkan awak. Sikit saja. Tak banyak pun. Saya risau tengok awak bersedih macam ni," ujar Afrina lagi seraya menyuakan sudu berisi nasi goreng ke arah Hud.

Tak semena-mena, hati Hud sedikit tercuit bila mana Afrina semakin berusaha untuk memujuknya. Wajah Afrina yang penuh pengharapan kembali ditatap. Saat itu juga, tergaris senyuman pahit di bibir Hud. Mulut dibuka sebelum nasi yang disuakan oleh Afrina dikunyah.

"Good man. Awak ni macam budak-budak tahu tak. Makan pun nak kena pujuk dulu baru nak menurut. Sebiji macam Dina," omel Afrina. Sekali lagi, dia menyuap Hud seperti anak kecil dengan mulut tak henti-henti mengomel.

Hud hanya mampu diam dan menikmati keindahan di depan mata. Omelan yang tak putus-putus menyapa corong telinga seakan-akan kedengaran sayup. Hud hanya fokus menatap wajah manis Afrina dengan rasa cinta yang semakin mekar di dinding hatinya. Tidak pernah sekali pun, seorang Hud Aidan bosan menatap wajah isteri tercintanya itu.

Tiba-tiba, lamunan Hud terhapus sebaik sahaja telefon pintarnya berdering di atas meja sisi. Tangannya terus mencapai telefon untuk menjawab tanpa memandang nama si pemanggil. Langkah terus diatur keluar dari wad ibunya.

"Salam takziah aku ucapkan di atas nasib Datin Khalida," ujar si pemanggil tanpa nada. Seakan-akan suaranya tenggelam timbul sahaja.

"Kau siapa?" soal Hud. Intuisi Hud mula berasa tidak enak dengan suara si pemanggil yang kedengaran aneh. Malahan, ucapan takziahnya kedengaran begitu sinis di halwa telinga.

"Aku... seseorang yang pernah menjadi sebahagian daripada hidup kau, Hud Aidan," jawab si pemanggil. Dia mula bermain teka teki bersama musuh utamanya itu. Tujuannya hanya satu. Dia ingin membuat Hud semakin tertekan.

Hud terus memandang skrin telefonnya. Malangnya, nombor tersebut bukanlah nombor yang didaftarkan di dalam senarai kenalan. Nampaknya, si pemanggil sudah memulakan permainannya.

"Mirza Hanif. Ada apa kau call aku ni? Nak pastikan mama aku hidup atau mati? Ke... kau nak pastikan yang aku dan Afrina bernyawa lagi?" soal Hud seraya bersandar di belakang dinding. Tangannya sudah memeluk tubuh bila mana Mirza mula menghubunginya semula.

Tak semena-mena, si pemanggil tertawa sinis dengan soalan bertubi-tubi yang dilontarkan oleh Hud. Tangannya ligat mengelus wajah seorang wanita yang sedang menangis teresak-esak di hadapannya. Jelas, ketakutkan terserlah di roman wajah wanita berambut blonde itu.

"Tak sangka. Kau kenal juga ya suara abang tiri kau. Pasal mama tu, aku dah buat apa yang patut. Aku dah bongkarkan semua rahsia kau kepada dia. Tak sangka pula bila dia tahu hal yang sebenar, kesihatan dia semakin merosot. Aku cuma buat apa yang patut sebagai anak sulung Datuk Idris," ujar Mirza seraya menampar kuat wajah si wanita yang sudah banyak mengguris kekecewaan di lubuk hatinya.

"Kau memang jahanam, Mirza! Aku tak tahu kenapa sejak kita kecil lagi kau selalu bermusuh..."

"Sebab mama kau dah musnahkan keluarga aku. Simple as that, dear brother. Mama kau tu, perosak rumah tangga! Aku cuma... nak buat baik untuk mummy aku. Tak salah kan? Ala, macam kau juga. Cuba nak berbakti untuk perempuan jalang itu!" tegas Mirza. Giginya sudah terkacip menahan geram. Sungguh tika ini, api kemarahan yang membakar sukmanya semakin marak.

Hud terpempan buat seketika. Mindanya kehilangan aksara untuk melontarkan amarah setelah ibunya dicaci. Sontak, memori Hud mula mengimbas semula setiap konflik yang terjadi dalam keluarganya.

Pada mulanya, mamanya merupakan perempuan simpanan arwah papanya. Mamanya yang dahulunya hanyalah seorang setiausaha di Idris Holding turut dilimpahi dengan sebuah kemewahan. Malahan, Hud dikandung sebelum mama dan arwah papanya menikah lagi.

Ya, status Hud selama ini hanyalah seorang anak luar nikah sahaja.

"Kau ni baik sangatlah Hud. Kau lupa ke yang kau tu... anak haram! Arwah papa sendiri yang cakap kau tu anak haram lepas dia buang kau dalam keluarga. Sebab tu... kau tak layak nak dapatkan harta warisan arwah papa. Kau tu... anak tak sah taraf!" cemuh Mirza bersama tawa sinis yang kembali terletus di bibirnya. Terasa kemenangan berpihak kepadanya apabila Hud diam tak berkutik.

Tatkala cemuhan tak henti-henti menusuk corong telinganya, tika itu juga dinding hati Hud seakan-akan ditusuk dengan sembilu. Sakit! Siapa saja yang sanggup dilahirkan dalam status seperti itu? Selama ini, Hud hanya berdiam diri dek kerana dia tidak mahu menyimpulkan dendam buat kedua orang tuanya.

"Kenapa kau diam? Sakit hati? Huh! Sekarang, kau jangan ingat kau boleh jadi pewaris Idris Holding. Kau tak layak! Memang aku sudah berada dalam buruan polis. Tapi ingat... aku..."

"Aku tak luak pun nak jadi pengarah syarikat arwah papa. Aku tak berminat. Tapi itulah, aku boleh jual semua aset dekat syarikat itu. Jadi, kau jangan susah hatilah kalau kau fikir yang aku akan ganti tempat kau," pintas Hud. Telinganya semakin bingit dengan cacian dan ketamakan Mirza.

Kata-kata Hud mematikan senyuman sinis Mirza. Setelah puas melepaskan amarahnya dengan memukul Amelia, Mirza bangun dari duduk seraya melangkah ke balkoni. Sungguh, kata-kata Hud membuatkan Mirza semakin dilanda badai kemarahan. Wajahnya juga sudah tegang dengan dahi yang mula menunjukkan urat-urat hijau.

"Kau jangan nak pandai-pandai jahanamkan syarikat arwah papa aku!" tegas Mirza separa membentak.

Hud hanya mencebik sinis dengan kemarahan Mirza. Pelipis yang tak gatal digaru bersama roman wajah yang mula beransur tenang. Jika Mirza mahu bermain dengan titik kelemahannya, Hud juga bisa mengikut rentak abang tirinya itu.

"Mirza, Mirza. Kau sedar tak yang kau tu dalam buruan polis? Di atas sindiket dadah, pemerdagangan manusia dan rasuah! Aku tak rasa yang nama Idris Holding tu bersih lepas apa yang kau dah buat selama ini. Lagi pun, aku lebih berminat nak uruskan business restoran mama berbanding syarikat arwah papa. Sherina pula, dia sudah capai cita-citanya untuk menjadi pereka dalaman rumah. Sekarang, tak ada siapa boleh uruskan Idris Holding tu lagi, " kata Hud dengan nada yang sinis. Memang silap langkah Mirza mahu meremehkan dirinya saat ini.

Mirza lantas melayangkan penumbuknya ke pintu gelongsor dengan omongan sinis Hud. Wajahnya diraup kasar sebelum Mirza kalih memandang Amelia yang sudah merenungnya dengan tajam.

"Memandangkan aku dan Sherina tak berminat, baik aku jual aset syarikat itu. Jadi, kau nak cakap apa lagi..."

Belum sempat Hud menghabiskan kata-katanya, tiba-tiba seorang doktor dibuntuti dengan dua orang jururawat meluru masuk ke dalam wad Datin Khalida. Kelihatan, Afrina dengan wajah yang cemas pula meluru keluar. Menurut arahan daripada jururawat.

Cepat-cepat Hud menamatkan panggilan seraya meluru masuk ke dalam wad. Situasi tika itu membuatkan Hud kembali resah. Namun, laju saja Afrina menghalang sambil menggelengkan kepalanya.

"Jangan halang! Abang nak tengok keadaan mama..."

"Hud..."

Afrina jeda tatkala anak matanya  bertaut dengan anak mata helang milik suaminya. Tika itu, Afrina dapat melihat beban yang dipikul oleh Hud. Terlalu berat sehingga terpancar kelelahan di roman wajah pemuda berkulit sawo matang itu.

"Saya harap, awak bersedia dengan apa saja kemungkinan yang akan berlaku kepada mama. Saya tahu suami saya kuat orangnya," ujar Afrina sambil mengenggam erat tangan Hud. Menyimpulkan kekuatan buat suaminya yang kelihatan terbeban.

Omongan daripada Afrina membuatkan tubir mata Hud mula terasa hangat. Lantas, pandangannya dialihkan dari memandang wajah isterinya. Hud tidak mahu Afrina menyaksikan air matanya tika ini. Kata-kata Afrina sedikit sebanyak membuatkan jiwa Hud meruntun pilu.

"Encik Hud, Puan Afrina," panggil doktor sebaik sahaja melangkah keluar dari wad.

Serentak, pasangan itu memandang wajah sayu doktor bertag nama Shila. Seakan-akan, terlakar gambaran kekecewaan di tampang wajah doktor muda itu.

"Saya harap, puan dan encik bertabah dengan apa yang saya nak khabarkan. Kami minta maaf, Datin Khalida... tak dapat diselamatkan. Dia meninggal dunia akibat kompilasi jantung. Salam takziah daripada pihak kami," ucap Doktor Shila seraya pamit meminta diri. Meninggalkan Afrina dan Hud yang kaget dengan berita duka itu.

Tanpa berlengah, Hud kembali meluru masuk ke dalam wad. Air mata lelakinya tumpah jua melihat sekujur tubuh yang ditutup dengan selimut putih. Jiwanya meronta-ronta. Seluruh tubuh Hud menggeletar melihat kebenaran di hadapan mata.

Perlahan-lahan, Hud menyelak selimut putih tersebut. Terpampang wajah pucat mamanya yang sudah pergi menghadap ilahi. Lantas, Hud mengucup lembut dahi Datin Khalida sambil memeluk tubuh ibunya. Malam ini, seorang Hud Aidan sangat lemah. Tunjang kekuatannya sudah pergi buat selamanya. Hidupnya sedikit kelam tanpa restu dan doa seorang ibu lagi.

"Maaf... kan Hud. Maaf sebab... Hud bukan anak yang baik... untuk mama. Maafkan Hud... sebab... rahsiakan semuanya... daripada mama. Maaf..."

"Bukan salah awak, Hud. Ini takdir yang Allah dah tulis dalam hidup awak. Saya tahu yang mama awak, bangga dapat anak yang baik macam awak. Walau apapun yang berlaku, awak tak pernah berdendam dengan mama. Awak sudah jalankan tanggungjawab awak sebagai seorang anak," pujuk Afrina sambil mengusap lembut belakang suaminya. Inilah kali pertama Afrina melihat Hud yang tenang dan tiga suku itu menggogoi melepaskan beban di bahunya. Hud yang sentiasa handal dalam beraksi benar-benar kelihatan rapuh tika ini.

Omongan Afrina membuatkan air mata Hud semakin deras mengalir ke pipi. Dia kehilangan diksi. Matanya terpejam rapat saat omongan lembut Afrina menyentuh kalbunya. Tubuh ibunya yang sudah kaku dipeluk seerat-eratnya.

"MIRZA... jangan buat I macam ni. I minta maaf di atas kekhilafan I selama ini. I sanggup tutup semua kejahatan you asalkan you tak seksa  I. Please. I'm begging you," rayu Amelia sambil melutut di hadapan Mirza. Seluruh tubuhnya menggigil ketakutan setelah menjadi mangsa amuk Mirza.

Manakan tidak, sudahlah siang tadi Hud membuat arahan mandatori agar dia keluar dari rumah agam itu. Bila Farisha sudi membantunya, Farisha memberikan kejutan yang maha hebat pula. Mirza tiba-tiba muncul di kondominium Farisha. Di situlah, kebenaran yang membuatkan Amelia diserang amarah terpampang di depan mata.

Namun pengakhirannya, Mirza melepaskan nafsu serakahnya dengan kasar kepada Amelia. Di situlah Amelia mengerti bahawa Mirza benar-benar kecewa di atas kekhilafan Amelia selama ini.

"Aku dah pernah bagi amaran keras kepada kau. Tak guna, kau nak merayu dan menangis sampai buta depan aku. Okay apa jadi... pelacur kelas atasan. Kan? Yelah selama ini tubuh kau tu pun dah selayaknya disamakan dengan... pelacur!" marah Mirza seraya menjambak kuat rambut Amelia. Mahu sahaja dibunuhnya isteri nusyuznya itu. Menjadikan Amelia sebagai tempat melepaskan amarah setelah ketegangan yang berlaku di antara dia dan Hud.

"Mirza... sakit," adu Amelia tatkala rambutnya dijambak kuat sehingga anak-anak rambutnya turut ditarik kuat. Tangannya terus menepis tangan Mirza. Namun, semakin dia melawan, Mirza semakin berkasar.

"Mirza, sudahlah tu. I tahu, you marahkan Amy dan Hud. Tapi you nak jual Amy dalam keadaan macam ni ke? Lebam sana sini. Dah. I nak uruskan Amy. Madam Gina dah tunggu dekat bawah dah tu," ujar Farisha seraya melepaskan tangan Mirza yang sedang menjambak rambut Amelia.

"Let's go dear. I ubatkan luka you. Lepas ni..."

"Mirza, you dah tak cintakan I lagi ke? Tergamak you jual I dekat rumah pelacuran..."

Tak semena-mena, Amelia kematian kata tatkala Mirza meledakkan tawa sinisnya. Langkah diatur menuju ke sofa sebelum Mirza melabuhkan duduknya. Sekotak Dunhill dicapai lalu sebatang rokok dikeluarkan dari kotaknya.

"Cinta? Lepas kau kecewakan aku, kau nak bercakap pasal cinta? Kau dah lupa ke dekat mana aku kutip kau dulu? Kau nyaris dijual oleh kekasih kau dekat kelab malam itu. Aku beli kau sebab aku dah jatuh cinta pada pandangan pertama pada kau. Tapi, bila aku layan kau umpama permaisuri... kau pijak kepala aku. Tujuh tahun kau buat aku kecewa. Sudahlah, kau kembali saja ke tempat asal kau," tutur Mirza. Kepul-kepul asap lantas dihembuskan ke udara. Keluhan berat terlepas dari bibir lelaki dayus itu.

"Aku sudah mati rasa untuk kau. Aku tak perlukan kau dalam hidup aku lagi. Malam ni, Amelia Riana binti Abdullah... aku ceraikan kau dengan talak satu. Kau bukan lagi isteri aku mulai malam ini!"

Tatkala kata-kata itu dilontarkan oleh Mirza, tangisan Amelia semakin kuat. Sungguh, Amelia menyesal kerana terlalu mengejar kemewahan daripada menghargai sebuah cinta yang dihulurkan oleh Mirza. Dia terlalu disogok dengan kemewahan sehingga dia alpa asal usulnya selama ini.

"On my behalf, I dah penatlah bila you asyik desak I pikat Hud. You nak sangat beriparkan I, sebab you nak Restoran Aglio tu saja kan. Padahal selama ini, you tahu dia selalu hina I tapi you masih paksa I pikat Hud. Maruah I dah banyak kali dijatuhkan, Amy. So, daripada I dengan orang yang tak hargai I... baik I ambil suami you. Kita orang senasib," jelas Farisha bersama senyuman yang lebar. Menampakkan gusinya yang tersusun cantik.

Sungguh, Amelia benar-benar merasakan langit seakan-akan menghempap hidupnya. Dia kehilangan diksi dari melepaskan amarahnya. Selepas ini, dia yang sentiasa diberikan kemewahan akan menjadi hamba nafsu semata. Semuanya musnah hanya dalam sekelip mata!

Bersambung...

Thanks korang sudi baca karya syaf 💕

Kalau sukakan karya ini jangan lupa tekan bintang 🐞

Nampaknya, Zanif, Khadijah, Zed dan Amelia si antagonis KABD sudah mendapat balasan yang setimpal 😎 acilah tu kan  alasan diorang dapat ke ringan sangat? 🤣

Sedutan episod 50

"Silap besar kau biarkan bini kau bersendirian hari ini. Kau sempat ucapkan kata cinta untuk Afrina tak hari ini? Yelah, takut terlambat pula kan. Takut kau menyesal bila mayat dia yang balik rumah lepas ni."

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro