Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Episod 45 🍃

RINTIKAN hujan pada malam itu tiada tanda-tanda akan berhenti. Malah, hujan yang mencurah membasahi alam semakin lebat sehingga membuatkan dua figura yang sedang bertarung di atas rooftop semakin basah kuyup. Bunyi tembakan bertalu-talu kedengaran di tingkat bawah. Bagaikan irama muzik pada malam itu.

"Jawablah siapa ketua kau?  Terhormat sangat ke ketua kau itu sampai kau lindungi dia dengan baik? Hah!" bentak Hud sekuat hati. Amarah mulai menguasai dinding hatinya tatkala Zed hanya kaku tanpa bicara.

Dalam keadaan Hud semakin dirusuh dengan kemarahan, senyuman sinis tergaris di bibir Zed. Sengaja dia memprovokasi pemuda itu dan melihat sejauh mana Hud bisa bertahan malam ini. Sungguh, Zed dahagakan darah Hud Aidan!

"Kau memang pilih kematian  berbanding jawab soalan aku ke?" tegas Hud lagi. Pisau rambo yang dihala ke pinggang Zed semakin ditekan sehingga menghiris kulit lelaki bertopeng hitam itu. Syaitan seakan-akan berbisik ke corong telinga Hud agar dia menghapuskan riwayat manusia yang sudah memberikan ancaman ke atasnya.

Tak semena-mena, tawa sinis Zed terletus saat Hud semakin diserang amuk. Bukan kesakitan yang dirasakan melainkan keseronokan melihat Hud yang dikuasai dengan sebuah kemarahan. Puas hatinya melihat Hud semakin tertekan. Darah yang mula mengalir bagaikan air hujan di pinggangnya tidak diendahkan sama sekali.

"Aku rasa kau dah tahu siapa ketua aku sejak kau diculik lagi. Ala Inspektor Hud Aidan, kau pernah jadi polis suatu ketika dahulu. Takkan kau dah lupa kumpul alibi dengan baik?"

Tatkala itu, pegangan Hud yang sedang mencekik tengkuk Zed dari belakang mula longgar. Air mukanya drastik berubah keruh. Hanya nama Mirza sahaja yang terlintas di benak fikirannya saat ini. Semua ini demi harta! Tapi, bukankah Mirza sudah mendapat tempat di Idris Holding? Apa lagi yang dimahukan oleh Mirza?

"Kau dah tahu bukan?"

Serentak dengan omongan itu, Zed menyiku kuat dada Hud sehingga tubuhnya terlepas serta-merta. Zed terbatuk-batuk mencari nafas yang terasa sempit di dada. Buru-buru, Zed mencapai glock yang tergeletak untuk menyambung semula pekerjaannya yang tergendala.

Melihat Zed sudah terlepas, Hud segera meluru ke arah si lelaki bertopeng hitam. Tiada lagi persoalan yang bermain di benak fikiran Hud. Justifikasinya begitu kukuh! Mirzalah dalang utamanya.

Dua figura kembali bergelut tatkala glock berada di tangan Zed. Berdas-das tembakan terlepas di udara apabila tangan Hud ligat mencengkam pergelangan tangan Zed yang mahu membunuhnya. Lantas, Hud membentes tulang betis Zed seraya menghayunkan tendangannya ke pergelangan tangan si lelaki yang sudah terduduk melutut itu.

Glock kembali terpelanting jauh sehingga ke tingkat bawah. Baik Hud mahupun Zed, keduanya sudah saling beradu pandangan. Terbias riak bengis di wajah mereka. Sungguhlah, Zed mula dibakar dengan amarah tatkala kekuatan Hud mendahuluinya terlebih dahulu.

Hud kembali mara dengan mencengkam kolar baju Zed. Beberapa tumbukan dilayangkan ke wajah Zed tanpa henti. Melepaskan amarahnya dan kekecewaan yang tertanam di atma. Terlalu banyak marabahaya yang berlaku dalam hidupnya sehingga membuatkan Hud Aidan terbeban! Lantas, tendangan kuat ditujahkan ke wajah Zed sehingga lelaki itu terlentang di atas tanah.

Zed hanya membiarkan Hud mendominasi pertarungan mereka dahulu. Membiarkan Hud menggunakan tenaga sepenuhnya. Kesakitan yang mula menjalar di segenap tubuhnya mula mencengkam sehingga ke tulang hitam. Tidak dapat disangkal lagi, tumbukan Hud begitu keras menghentam wajahnya. Terasa hidung dan rahangnya seakan-akan dipatahkan sahaja.

"Mana Mirza!" jerkah Hud seraya menarik kasar topeng Zed. Tatkala itu, kornea mata Hud mula membuntang melihat wajah Zed yang berlumuran dengan darah. Tubuhnya mula menggeletar hebat dengan kesesakan yang mula menghambat rongga pernafasannya. Kepala Hud mulai terasa pusing tatkala kejadian lima tahun yang lalu kembali berlayar di kotak memori.

"K... kau bu... bukan dah... mati ke?" soal Hud tatkala wajah Zed yang dipenuhi dengan kesan terbakar terpampang di depan mata. Sungguh, kesakitan yang mula menjalar di saluran pembuluh darah Hud Aidan membuatkan kepalanya seakan-akan dicucuk dengan berjuta belati.

Tawa sinis Zed terletus jua melihat wajah Hud yang kaget. Perlahan-lahan, dia bangun dengan tangan yang sudah menggagau sesuatu di dalam kocek hoodienya. Kornea matanya fokus melihat Hud yang sudah menggelengkan kepala dengan dahi yang berkerut. Seakab-akan tidak mempercayai kebenaran yang terpampang di depan mata.

"Kau..."

Serta-merta, Hud kematian kata tatkala Zed mula menyerang. Entah sejak bila Zed mula mara dengan menikam belakang Hud bertalu-talu pun Hud tidak tahu. Sungguh, Hud merasakan tenaganya sudah hilang dengan kejutan daripada Zed. Musuh yang sudah menyeksa Hud separuh mati ketika serbuan ke markas pemprosesan dadah lima tahun yang lalu.

"Kau terlalu tunjukkan kelemahan kau! Nampak sangat trauma kau tak hilang sepenuhnya lagi. Kau ada ucap selamat tinggal tak dekat bini kau yang akan jadi balu itu?" kata Zed dengan tawa sinis yang masih tersisa. Senjata yang dihunus ke belakang Hud ditarik kasar sebelum erangan kesakitan Hud menjadi muzik yang mengasyikkan bagi Zed yang sudah berdiri.

"Aku tak mati lagi, Inspektor Hud Aidan. Aku berkomplot dengan abang tiri kau untuk hapuskan riwayat kau. Sebab apa? Sebab kita orang bencikan kau! Kau dengan pasukan bodoh kau itu sudah musnahkan segala rancangan yang kami bina!" tengking  Zed seraya menghayunkan tendangannya ke tubuh Hud yang sudah terduduk itu.

Sontakan hebat Zed itu hampir sahaja membuatkan Hud rebah. Namun, kemarahan yang semakin mencengkam sanubari membejatkan segalanya. Kedua belah tangan, Hud genggam erat sebelum kembali bangun untuk bertarung semula. Tidak. Dia tidak bisa membiarkan dirinya terus-terusan kelihatan lemah di hadapan musuh.

Zed mara terlebih dahulu dengan meluru ke arah Hud yang baru menegakkan posisi. Tangkas, Hud mengelak tendangan daripada Zed dengan menyendengkan tubuhnya. Kornea mata Hud mula kembali fokus sepenuhnya ke arah pergerakan Zed.

Mereka mula mengelilingi antara satu sama lain. Masing-masing fokus membaca pergerakan lawan. Sengaja Hud membuatkan Zed melangkah menghampiri sebuah pintu usang. Akal yang kaku sebentar tadi mula kembali merangka strategi.

Lantas, Hud mulai mara dengan menghayunkan tendangannya ke tubuh Zed. Bertubi-tubi tendangan yang dihayunkan dengan tangkas, membuatkan Zed tidak dapat membaca pergerakan lawan. Sebelum akhirnya, Hud berpusing seraya menghayunkan tendangannya ke kepala Zed. Si lelaki jahat tersungkur kuat di belakang pintu yang turut tertanggal.

Erangan kesakitan Zed mula kedengaran. Dahinya berkerut menahan sakit pada tubuh belakangnya yang seakan-akan dipatahkan. Tatkala Hud kembali mara ingin memijak tubuhnya, buru-buru Zed mengenggam pergelangan kaki Hud seraya dipulas kuat ke belakang. Akibatnya, Hud tersungkur jatuh.

Tangkas, Hud dan Zed kembali bangun. Kekuda kembali dipasang. Mereka mula berbalas tumbukan. Sesekali, mereka mengelak tumbukan untuk mengurangkan risiko kecederaan. Anak mata Zed yang sesekali tertancap ke arah bahu Hud yang basah dengan darah menimbulkan satu akal di benak fikirannya.

Lantas, saat tumbukan Hud hampir dilayangkan ke wajahnya, Zed tangkas menangkap pergelangan tangan Hud seraya mencengkam bahu Hud dengan kuat. Erangan kesakitan Hud kembali kedengaran. Luka akibat tembakan seakan-akan meragut seluruh kekuatannya sahaja. Buru-buru, Zed membanting tubuh Hud ke belakang sehingga Hud rebah di atas kayu-kayan yang tersusun di rooftop itu.

Pandangan Hud semakin berpinar-pinar dengan hentakan kuat pada tubuhnya. Wajah Zed yang sedang menyeringai sambil mengangkat tinggi sebatang kayu samar-samar di pandangan pemuda berjaket hitam itu. Belum sempat Hud mengelak, abdomennya ditujahkan pula dengan hentakan yang maha kuat. Sontak, Hud mengerekot tatkala hentakan kuat itu seakan-akan merodok abdomennya. Matanya dipejamkan dengan dahi yang berkerut kesakitan. Sungguh, sakitnya bukan kepalang!

"Jiwa saya menyatakan bahawa saya... saya sangat mencintai awak, Hud Aidan. Demi Allah saya mencintai awak."

Tika luahan hati Afrina menyapa corong telinga Hud, tika itu juga matanya dicelikkan serta-merta. Afrina. Isterinya itu sedang menanti kepulangannya. Dia juga masih tidak tega meninggalkan Afrina. Terlalu banyak kenangan yang ingin dilakarkan bersama isteri tercintanya itu. Dia tidak boleh mengalah! Sedikit sahaja lagi semuanya akan berakhir.

Lantas, Hud memusatkan pandangannya ke laman wajah Zed yang asyik menujahkan tendangan ke abdomennya bertubi-tubi. Perlahan-lahan, Hud mencengkam pergelangan kaki Zed. Membejatkan terus pergerakan Zed.

"Kau... tak akan... menang. Aku... tak akan biarkan... kau terlepas... lagi!" jerkah Hud dengan suara yang bergetar menahan sakit. Tangan kiri menggagau sebatang kayu di sisinya lantas dihayunkan ke tulang betis Zed. Buru-buru, Hud kembali bangun apabila Zed hampir terduduk. Kakinya yang panjang lantas menghayun pinggang Zed sehingga lelaki itu rebah.

Di kesempatan itu, tangan kanan Hud memulas kuat kaki Zed. Kaki kiri ligat mencengkam pinggang Zed yang tercedera. Lolongan kesakitan Zed mulai kedengaran tatkala kakinya dipatahkan oleh Hud serta-merta. Dalam kondisi tubuhnya yang sudah dikunci oleh Hud, Zed tidak mampu bergerak lagi. Entah kekuatan apa yang dimiliki oleh Hud setelah diterajang habis-habisan juga Zed tidak tahu.

"HUD, kau perlukan rawatan. Teruk keadaan kau sekarang ini. Kalau kau balik dalam keadaan macam ni, mesti Afrina sedih. Aku dah call paramedik tadi," ujar Ibrahim sambil memaut bahu Hud lalu didudukkan di atas tanah. Dahinya berkerut tatkala melihat darah memenuhi tubuh Hud. Wajah tampan sahabatnya juga sudah ditutup dengan darah kering.

Hud hanya mengangguk dengan arahan daripada Ibrahim. Sebotol mineral yang dihulurkan oleh Ibrahim diteguk rakus. Membasahkan tekaknya yang kering. Sungguh, malam ini merupakan malam yang melelahkan bagi Hud. Akhirnya, Zed berjaya diberkas. Semuanya sudah terbongkar. Hud puas!

"Malang betul nasib kau, Hud Aidan. Sahabat kau pun hancurkan hidup kau demi kepentingan sendiri. Apa kau ingat sahabat kau tu betul-betul sayangkan kau ke? Dia cuma nak kau merana sajalah! Betul tak... Inspektor Ibrahim?" laung Zed bersama tawa sinisnya. Buat seketika, pandangannya bersatu dengan pandangan tajam Ibrahim sebelum tubuhnya ditolak masuk ke dalam kereta polis.

Tika itu, air muka Hud mula berubah keruh dengan omongan sinis Zed. Wajah Ibrahim dipandang dengan penuh tanda tanya. Kenapa ya, riak wajah Ibrahim bisa berubah tegang tatkala Zed menuturkan kata-kata sinis itu? Bagaikan ada sesuatu yang tersirat di raut wajah Ibrahim saja.

Tidak mungkin, Ibrahim merupakan sebahagian daripada rancangan Mirza! Ibrahim itu sudah dianggap sebagai sahabat dunia akhirat. Tika dia jatuh, Ibrahimlah yang menghulurkan tangan untuk Hud bangkit.

Jadi, mustahil jika Ibrahim turut  menjadi dalang utama. Tapi, mengapa Zed berkata sedemikian rupa? Oh sungguh, Hud Aidan mula diserang syak wasangka terhadap Ibrahim.

TANGAN Afrina yang ligat menggaul nasi goreng kampung yang sudah dicampurkan bersama bahan kering semakin perlahan. Tumpuannya pada nasi goreng yang sudah harum semerbak menusuk rongga hidung sudah terganggu. Fikiran ligat memikirkan perkara yang berlaku kepadanya semalam.

Manakan tidak, semalaman Afrina dilanda ketakutan dek kerana memikirkan keadaan suaminya. Entah bila masa dia tertidur di ruang tamu pun Afrina tidak tahu. Bangun-bangun untuk menunaikan solat Subuh saja, dia sudah berada di atas katil yang empuk. Siapa yang mendukungnya naik ke bilik pun Afrina tidak tahu.

Tidak mungkin abahnya. Abahnya sudah tua dan mana mungkin ada tenaga mendukungnya naik ke bilik. Hud? Tapi bila masa Hud pulang? Bukankah Hud belum pulang sehingga ke hari ini? Aneh sekali.

"Ya Allah, akak! Hangus dah nasi goreng tu. Akak mengelamun ni kenapa?" omel Arisha. Berkerut dahinya menghidu nasi goreng yang sudah hangit.

Serta-merta, Afrina tersedar dari lamunan tatkala suara nyaring Arisha menerjah corong telinganya. Anak matanya mula terkebil-kebil memandang nasi goreng yang sudah berubah warna. Oh sungguh, rasa susah hatinya semakin parah tika ini.

"Afrina tak sihat ke? Mama tengok muka Afrina ini pucat semacam saja," kata Puan Sofia sambil melekapkan belakang tangannya ke dahi Afrina. Risau dia melihat wajah anak perempuannya yang tidak berseri.

"Afrina okay. Maaf mama, tak pasal-pasal nasi goreng ni hangus. Afrina masak yang baru ya?" ujar Afrina. Tawa kecil terletus di bibirnya. Menyembunyikan keresahan yang membelenggu jiwa.

"Tak payah. Biar Isha yang buat. Afrina pergi panggil Hud sarapan sekali," ujar Puan Sofia. Entah mengapa intuisinya sebagai seorang ibu merasakan ada yang tidak kena dengan menantu dan anaknya tika ini.

"Hud?"

"Ya Allah apalah nak jadi dengan kakak aku ni. Kenapalah sejak dia kahwin, tak habis-habis nak jadi blur. Abang Hud buat apalah agaknya dekat akak sampai akak jadi blur? Ke akak dah lupa yang akak tu dah jadi isteri orang?" omel Arisha lagi. Dahinya ditepuk melihat wajah Afrina yang kebingungan.

Tak semena-mena, Puan Sofia ketawa dengan jenaka kasar Arisha. Ada-ada saja ulah anak-anaknya ini. Lantas, tangan Afrina yang sedang memegang sudip digenggam. Sudip ditarik dari pegangan Afrina lalu dihulurkan kepada Arisha. Tangan Afrina dibawa ke anak-anak tangga.

"Pergi panggil suami kamu. Hari ini, biar mama dengan Arisha yang buatkan sarapan. Kalau ada masalah dengan suami, jangan biarkan macam tu saja. Selesaikan elok-elok. Okay?" pesan Puan Sofia bersama segaris senyuman terkulum di bibirnya. Anaknya ini masih terlalu awal dalam fasa perkahwinan. Harus diberikan pesanan untuk membaiki kelemahan yang sedia ada.

Afrina sekadar mengangguk. Senyuman pahit terkulum di bibirnya dengan nasihat daripada ibunya. Nafas panjang dihela untuk mengusir anasir luar yang akan mengeruhkan suasana. Ya, dia harus berbincang bersama Hud. Menyelesaikan perkara yang bisa menimbulkan masalah di antara mereka.

KEDUANYA pegun buat seketika tatkala pintu bilik dan pintu tandas dikuak serentak. Baik Hud mahupun Afrina, keduanya seakan-akan kaku. Hanya sorotan mata sahaja yang saling bertaut tika itu. Hampir luruh jantung Afrina melihat keadaan Hud Aidan yang begitu teruk di pandangan matanya. Malah, Hud yang sudah tidak mampu mengelak lagi jadi kejung.

"Hud... kita kena pergi hospital. Saya hantarkan awak sekarang," tutur Afrina seraya menutup pintu bilik. Tubir mata mula terasa hangat dengan sesak yang mula menyelubungi jiwa.

Almari dibuka. Selendang dan kardigan lantas dicapai. Sesekali, wajah Hud yang memar dipandang bersama rasa luluh yang menggigit sanubarinya. Tidak usah dia bertanyakan jika dia sudah tahu jawapannya. Pasti Hud diserang lagi seperti biasa.

"Sayang... abang okay. Abang..."

"Okay apanya? Awak tak nampak ke muka awak tu bengkak? Awak tak nampak ke badan awak tu dah berbalut? Tu tak kira lagi kecederaan dalaman awak. Tolonglah jangan buat saya takut!" bentak Afrina tak semena-mena. Anak matanya mencerlung tajam memandang wajah Hud Aidan yang sudah tergamam dengan suara Afrina yang lantang.

"Tak apa, sayang. Abang boleh rawat sendiri. Lagi pun..."

Tak semena-mena, Afrina menumbuk kuat bahu Hud yang berbalut. Melepaskan rasa geram tatkala Hud masih berdegil. Roman wajahnya serta-merta bertukar garang dengan keengganan Hud Aidan itu. Bengang!

Namun, Hud hanya tertawa kecil melihat wajah isterinya yang garang. Afrina memang tegas orangnya. Sifat itu sudah sebati dalam diri Afrina.  Tiba-tiba, Hud membayangkan apabila Afrina menjadi ibu kepada anak-anak mereka suatu hari nanti. Pasti Afrina akan menjadi seorang ibu yang garang.

"Apa yang kelakar? Awak tahu tak, saya risaukan awak? Saya takut, Hud. Awak faham tak saya takut tengok awak cedera macam ni. Tolonglah Hud, saya tak minta banyak pun daripada awak. Saya cuma nak awak tahu yang saya..."

Afrina jeda.

Pandangannya terus dialihkan dari memandang raut wajah Hud. Sungguh, dinding hatinya dipagut rasa sayu melihat kondisi Hud tika ini. Sukarkah Hud mahu membaca bahawa dia tulus mencintai pemuda itu? Malah, tidak henti-henti rasa takut itu menerjah dinding hati Afrina kerana rasa cinta yang terlalu mendalam.

"Saya terlalu mencintai awak, Hud Aidan. Saya cuma nak awak tahu yang saya risau, saya takut sebab saya cintakan suami saya. Saya tak boleh... tengok awak balik dalam keadaan luka-luka macam ni," sambung Afrina seraya setitis demi setitis air matanya mengalir ke pipi. Oh sungguh, murah benar air mata Afrina sejak dia mula belajar mencintai Hud Aidan.

Hud terkesima saat rintihan Afrina menusuk corong telinganya. Rasa bersalah mula menyelinap masuk ke dinding hati apabila air mata isterinya jatuh lagi. Perlahan-lahan, Hud mengusap lembut air mata Afrina. Kornea matanya tunak merenung wajah Afrina yang sudah tertunduk itu.

"Abang minta maaf sayang. Abang tak berniat nak buat sayang bersedih. Tapi, abang cuma nak bina kebahagiaan dengan sayang tanpa sebarang ancaman. Abang mengaku abang silap. Abang buat sayang takut. Abang janji abang tak akan buat sayang risau macam ni lagi. Okay?" pujuk Hud seraya memimpin tangan Afrina duduk di birai katil.

Saat omongan Hud menjentik tangkai hatinya, Afrina kembali mendongak. Senyuman yang terlakar di birai bibir Hud membuatkan degupan jantung Afrina semakin kencang. Tanpa sedar, segaris senyuman turut terkulum di bibirnya. Tangan yang sedang digenggam oleh Hud lantas diangkat lalu pipi Hud yang memar dielus lembut.

"Baiklah. Saya pegang janji awak. Sekarang ni, saya nak laksanakan tugas saya untuk rawat pesakit yang degil macam Encik Hud Aidan ini," ujar Afrina seraya mencubit kuat pipi Hud. Geram! Gara-gara Hud, sekali lagi dia menangis. Sungguh, kuat benar penangan Hud Aidan sehingga bisa meruntun jiwa Afrina.

Sekali lagi, tawa Hud terletus dengan tingkah Afrina. Dia bahagia. Seakan-akan rasa sakit setelah bergasak dengan Zed pergi begitu saja dengan omelan yang meniti di bibir isterinya. Entah ini jatuh cinta buat ke berapa kali Hud tidak tahu. Tapi, setiap kali waktu berdetik, setiap kali itu juga Hud jatuh cinta berkali-kali pada Afrina.

Raut wajah Afrina yang masih membebel sambil menyediakan ubat-ubatan untuk merawat lukanya hanya ditatap tanpa berkelip. Indah benar ciptaan Allah. Bagaikan bidadari dianugerahkan di hadapan matanya sahaja. 

"Kenapalah awak ni degil sangat? Badan awak dah lebam pun awak biarkan. Apa awak ingat badan awak ni besi ke? Sekurang-kurangnya, kalau kita dapatkan rawatan, kita boleh tahu luka dalaman awak. Ini, mana yang patah pun saya tak tahu," omel Afrina seraya menanggalkan balutan pada tubuh Hud. Sesekali, jari jemarinya menyentuh parut-parut lama pada tubuh suaminya. Pasti setiap parut itu ada kisahnya yang tersendiri. Hanya saja, Hud tidak pernah menceritakan kepada Afrina.

Rasa ngilu melihat parut di tubuh Hud sesekali membuatkan dahi Afrina berkerut. Omelannya terbejat buat seketika. Hanya tangannya yang mula ligat menyapu ubat ke abdomen Hud yang terdedah. Pelbagai persoalan mula bermain di benak fikiran Afrina mengenai parut-parut lama di tubuh suaminya. Apa yang pasti, Afrina yakin semuanya berkaitan dengan pekerjaan Hud sebagai seorang anggota polis suatu ketika dahulu.

Tak semena-mena, Hud melekapkan tangan Afrina ke parut panjang berhampiran jantungnya. Serta-merta, roman wajah Afrina membahang kemerahan dengan tindakan spontan Hud itu. Terasa kelat liur yang ditelan tatkala tangannya melekap ke dada bidang suaminya.

"Abang tak pernah cerita pada sayang, kenapa abang berhenti jadi polis. Sayang sudi nak dengar kisah tragis Inspektor Hud Aidan?" kata Hud. Anak rambut Afrina yang terjuntai diselit ke belakang telinga.

"Awakkan suami saya. Saya wajib tahu apa saja yang berkaitan dengan awak. Lagipun, saya dah lama nak tanya awak pasal benda ni," kata Afrina. Kornea matanya tunak merenung anak mata Hud dengan penuh kasih.

Senyuman yang terkulum di bibir Hud semakin lebar apabila Afrina sudi mendengar kisah tragisnya. Tatapan anak mata Afrina yang dalam seakan-akan menggetarkan jiwanya. Cantik. Afrina terlalu cantik di pandangan seorang Hud Aidan.

"Parut yang sayang sentuh ini, parut yang sudah menghancurkan impian abang untuk terus menjadi seorang anggota polis yang berdedikasi. Abang hampir mati, sebab parut ini. Abang hidup dalam kekhilafan sebab parut ini juga," ujar Hud. Dia mahu berkongsi semuanya bersama Afrina. Tragedi yang meragut tiga orang rakan seperjuangannya hanya kerana kecuaiannya memberikan arahan.

Bersambung...

Thanks guys sudi mengunjungi karya syaf 💕

Maaf kalau babak aksi cringe 😖 syaf dah lama tak tulis babak aksi  🍃 maaf juga kalau sendu 😖

Akhirnya kena tangkap juga si Zed ini 😌 dia mengaku juga Mirza dalang.  Tapi betul ke ni Ibrahim jahat? Ke Zed saja ni tuduh2? 😱

Sedutan episod 46

"Genggam tangan saya kuat-kuat. Saya nak tenangkan suami saya. Saya tahu, awak trauma sebab kejadian itu. Saya pernah baca caption awak dalam instagram dulu. Post traumatic stress disorder. Kan? Awak dah terlalu banyak menderita, Hud Aidan. Izinkan saya... bahagiakan awak. Sampai hujung nyawa saya," ujar Afrina seraya mengetatkan lagi pelukannya. Dia hanya mahu menghulurkan kekuatan buat Hud.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro