Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Episod 42 🍃

BALLROOM Royale Chulan yang dihiasi dengan dekorasi bertemakan taman kelihatan begitu meriah dengan para tetamu yang sedang menunggu acara dimulakan. Suara pengacara majlis yang sedang berpantun sesekali menarik minat para tetamu. Kelihatan, orang-orang kenamaan dan korporat yang terdiri daripada rakan-rakan arwah Datuk Idris sedang berbincang mengenai perniagaan dan projek mereka.

Bahkan, sesetengah para tetamu sedang ligat mengambil foto kenang-kenangan.
Manakan tidak, dekorasi majlis akad nikah Afrina dan Hud yang serba mewah benar-benar membuatkan sebahagian daripada mereka terpukau.

Cantik dan elegan!

Kala itu, darah gemuruh mula menerjah diri Hud Aidan. Matanya bertembung dengan anak mata Encik Talib yang duduk bertentangan dengannya. Jelas, terpancar ketegasan di sebalik wajah bakal ayah mertuanya. Seakan-akan memberikan amaran kepada Hud agar kepercayaan yang diberikan jangan sesekali dikhianati.

Manakan tidak, dalam beberapa minit sahaja lagi, Naurah Afrina akan sah menjadi isteri kepada Hud Aidan. Tanggungjawab ke atas Afrina yang ditanggung oleh Encik Talib akan diberikan kepada Hud Aidan. Sepenuhnya. Itulah amanah daripada seorang ayah kepada suami anak perempuannya.

Sebaik mungkin, Hud cuba menenangkan rasa gemuruh yang semakin mencengkam sanubari. Berkali-kali hatinya melafazkan Zikrullah bagi membuang debaran sambil mendengar khutbah nikah yang disampaikan oleh kadi.

"Tenang, Hud! Kau betul-betul nampak risau sekarang ini. Ada karang bakal ayah mertua kau tarik balik restu dia, kau nak?" bisik Yunus  yang menjadi saksi pernikahan Hud dan Afrina. Bahu sahabatnya ditepuk bertalu-talu. Memberikan sedikit semangat kepada Hud Aidan.

"Kalau kau tak yakin, macam mana kau nak sehidup semati dengan bakal bini kau? Okaylah, apa kata kau bagi balik Afrina kepada aku kalau kau tak yakin," usik Ibrahim pula. Sengaja memberikan provokasi agar semangat Hud kembali membara.

Tak semena-mena, bergelegak panas dinding hati Hud dengan usikan kasar Ibrahim. Hud kalih ke belakang bersama pandangan tajam yang sudah diberikan kepada sahabatnya yang sudah tersenyum sinis itu. Seakan-akan mengejek keyakinan dirinya yang ingin memperisterikan Afrina saja.

"Afrina milik aku. Kau boleh pergi berhambus," bisik Hud sambil menekankan suaranya.

Hampir sahaja Ibrahim dan Yunus ketawa dengan ketegasan Hud itu. Manakan tidak, sepanjang mereka bertiga menjadi sahabat, Hud merupakan seorang yang tenang dan berperangai tidak semenggah. Jarang sekali mereka melihat Hud gemuruh dengan riak wajah yang kelat.

"Aku berguraulah! Kau relakslah. Kalau kau boleh yakinkan abah Afrina yang kau boleh jaga anak dia dengan baik, takkan kau tak boleh yakinkan diri kau yang kau boleh lindungi Afrina dengan sebaiknya," pesan Ibrahim. Segaris senyuman terukir di bibirnya. Menyembunyikan kekecewaan yang menggigit dinding hati.

Omongan Ibrahim hanya dibalas dengan anggukan. Hud mengiakan. Hanya dirinya sahaja yang bisa meyakinkan bahawa semuanya akan baik-baik sahaja. Lantas, nafas panjang ditarik lalu dihembuskan perlahan-lahan.

Sesekali, Hud melilaukan matanya memandang para tetamu yang hadir pada malam itu. Menjadi saksi penyatuan cinta di antara Hud dan Afrina. Saat matanya bertaut dengan Datin Khalida yang duduk di meja makan, serta-merta dinding hati Hud terasa lapang. Senyuman bahagia yang terukir di bibir ibunya membuatkan Hud senang hati.

"Dari seberang ke kota kemuning,
Mencari duku tiadalah jua,
Dua merpati duduk bersanding,
Bagaikan pinang dibelah dua. Tanpa membuang masa, saya dengan ini mengumumkan langkah masuk pengantin perempuan, Naurah Afrina binti Talib yang ditemani oleh ibunda tercinta, Puan Siti Sofea binti Malik di persada pelaminan."

Sebaik sahaja pengacara majlis mengalu-alukan langkah masuk Afrina yang ditemani oleh Puan Sofia, lampu chandelier yang menerangi dewan dimalapkan buat seketika. Selawat ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW mula berkumandang di dalam dewan. Menjadi penyambut pengantin perempuan untuk duduk di pelaminan.

Tika itu, semua mata-mata mula memusatkan pandangan ke arah Afrina yang sedang berpimpin tangan dengan Puan Sofia. Langkah Afrina diatur dengan tertib memasuki dewan. Ada sesetengahnya yang seakan-akan terpana melihat kecantikan Afrina yang anggun dengan sepersalinan baju kurung sutera berwarna putih dipadankan dengan selendang berwarna krim. Bahkan, senyuman yang terlakar di bibir si gadis benar-benar menambahkan kemanisan dan aura pengantinnya.

Tipulah kalau Afrina tidak merasakan gemuruh tika dia menjadi tatapan ramai. Mahu sahaja dia menutup wajahnya dengan topeng dan hanya menampakkan matanya. Dia malu! Bahkan tika ini, wajah Hud Aidan yang sudah duduk berhadapan abahnya juga dia tidak sanggup pandang.

Sebaik sahaja Afrina melabuhkan duduknya di pelaminan, nafas panjang dihela. Tangan ibunya yang digenggam, dieratkan lagi. Saat kepalanya dipanggung, wajah abahnya yang akan menjadi wali dipandang sebelum pandangannya berakhir ke laman wajah Hud Aidan.

Saat mata mereka saling bertentangan, saat itu juga Hud benar-benar merasakan bidadari berada di depan matanya. Masya-Allah, Afrina benar-benar cantik di pandangan seorang Hud Aidan. Walaupun hanya dengan solekan natural, senyuman bakal isterinya itu benar-benar membuatkan hati Hud tersenyum bahagia. Bahkan, bunga-bunga cinta di ruang hati semakin berbunga mekar.

Namun, semuanya hanya seketika cuma apabila suara pengacara majlis kembali kedengaran. Sempat lagi pengacara majlis mengusik Hud yang terpesona melihat wajah anggun Afrina. Membuatkan sesi dewan yang kembali terang benderang tertawa riang.

Dengan lafaz bismillahirahmanirahim, Hud dan Encik Talib saling bergenggaman tangan. Mata bertentang mata. Hanya dengan sekali anggukan daripada Encik Talib, Hud membalas dengan sekali anggukan.

Bersedia untuk melafazkan akad. Bersedia untuk menjadi pelindung dan memimpin tangan seorang Naurah Afrina menuju ke jalan yang diredai oleh Allah.

"Aku nikahkan dikau, dengan anak perempuanku, Naurah Afrina binti Talib dengan mas kahwin senaskah Al-Quran dan tiga ribu ringgit dibayar tunai."

Dengan lafaz bismilahirahmanirahim, Hud menarik nafas panjang dan menghembuskannya perlahan-lahan. Lantas, bibirnya bersedia melafazkan akad.

"Aku terima nikahnya, Naurah Afrina binti Talib dengan mas kahwin senaskah Al-Quran dan tiga ribu ringgit dibayar tunai."

Hanya dengan sekali lafaz, Naurah Afrina dan Hud Aidan akhirnya diikat dengan sebuah pernikahan. Termeterailah janji setia di antara dua pasangan. Bersaksikan bintang dan bulan pada malam itu, kini Afrina sudah menjadi sebahagian daripada hidup Hud Aidan.

Tika itu juga, Ibrahim hanya mampu menatap wajah Afrina dan Hud silih berganti. Sungguh, hatinya benar-benar remuk bagaikan kepingan-kepingan kaca apabila melihat senyuman yang terlakar di bibir Afrina. Di saat gadis itu tersenyum bahagia, dia di sini masih dihurung dengan sebuah kekecewaan.

Yunus yang berada di sebelah Ibrahim hanya mengherot senyum sinis melihat kekecewaan yang terlakar di wajah sahabatnya. Bahkan, melihat kebahagiaan Afrina dan Hud menimbulkan rasa iri di dinding hatinya.

Manakan tidak, sejak zaman remaja lagi dia menyukai Afrina. Meluap-luap rasa irinya bila mana dia tidak dapat menjadikan gadis itu sebagai hak miliknya. Walhal, sebenarnya kematian Umar sudah memberikan peluang ke atas dirinya.

Namun, Yunus seorang yang pengecut. Tidak memperjuangkan cintanya buat Afrina.

USAI sahaja Hud melakukan solat sunat nikah, majlis diteruskan dengan acara pembatalan air sembahyang. Sekali lagi, baik Hud mahupun Afrina, keduanya kembali diserang dengan rasa gemuruh tatkala mereka menjadi tumpuan umum.

Manakan tidak, usikan daripada pengacara majlis membuatkan suasana bertambah ceria. Gelak tawa para tetamu membuatkan kedua mempelai mula tak senang duduk. Jurugambar pula mula bersedia di posisi masing-masing bagi mengabadikan foto pernikahan Afrina dan Hud yang duduk di pelaminan.

Perlahan-lahan, Hud mencapai tangan Afrina. Saat itu juga, keduanya bagaikan terkena renjatan elektrik. Itulah sentuhan rasmi mereka sebagai suami isteri. Saat mata saling bertentangan antara satu sama lain, debaran yang bertalu-talu mengetuk dinding hati semakin kencang. Namun, Hud Aidan bijak mengawal keadaan.

"Hey... Puan Afrina, relaks okay. Kekalkan senyuman dan abaikan mata-mata yang melihat. Malam ini, saya raja dan awak permaisurinya. Anggap saja kita berdua, orang yang terhormat pada malam ini," pujuk Hud tatkala tangan Afrina semakin sejuk. Kata namanya terus berubah lembut. Tiada lagi 'kau' 'aku' yang terpacul daripada mulut Hud.

Afrina hanya mengangguk. Lidahnya benar-benar kelu untuk berbicara. Hanya segaris senyuman manis yang terukir di bibir. Dalam diam, Afrina memuji ketampanan suaminya yang mengenakan baju Melayu berwarna sedondon dengannya. Hud kelihatan berseri. Inilah kali pertama Afrina melihat Hud mengenakan pakaian yang berwarna terang. Jika tidak, selama ini pasti Hud hanya mengenakan pakaian berwarna hitam sahaja.

Saat seutas gelang bertakhtakan berlian disarungkan ke pergelangan tangan Afrina, perlahan-lahan Afrina menunduk lalu mengucup lembut tangan suaminya.

Lama.

Ada rasa sebak bertamu di dinding hati Afrina. Masih terngiang-ngiang omongan Maisarah kelmarin. Rasa bersalah turut bermukim di hati Afrina. Dia sudah menghukum Hud Aidan tanpa dia tahu kisah di sebaliknya!

Malahan, ada rasa takut yang menyelubungi fikiran Afrina.  Takut jika dia kehilangan Hud seperti mana dia kehilangan Umar. Sesungguhnya, Afrina belum bersedia jikalau takdir ingin memisahkan dia dan Hud Aidan buat selamanya.

Saat Afrina memanggung kepala, terasa kucupan hangat di dahinya. Semakin tak betah Afrina duduk di pelaminan dengan keadaan itu. Tubuhnya jadi kejung. Roman wajahnya serta merta membahang panas. Dia malu!

"Sekali lagi. Pengantin perempuan tunduk bawah sangat. Muka tak jelas," ujar si jurugambar berbaju Melayu hijau daun.

Menurut arahan jurugambar, Hud mengucup lagi dahi Afrina. Namun, timbul satu idea nakal di benak fikirannya. Rancangannya ini memang kejam. Namun, niatnya hanya mahu melihat Afrina kembali tenang sahaja.

Klik!

"Pengantin lelaki pegang kepala pengantin perempuan tu. Duduk rapat sikit."

"Tak payah ada halal gap. Kau orang dah halal dah pun. Rapat lagi."

Sungguh, Afrina mula bengang dengan ulah Hud tika itu. Dia sudah menurut arahan namun Hud tak berhenti dari membuat masalah. Lantas, pandangannya dipusatkan ke laman wajah Hud. Mahu sahaja bibirnya meletuskan rasa bengangnya. Sudahlah dia malu tatkala dahinya dikucup berkali-kali di khalayak ramai. Kini, Hud pula sengaja mengenakannya.

"Okay, one more!" kata si jurugambar lagi.

Selesai sahaja sesi fotografi bagi acara pembatalan air sembahyang, automatik Afrina mencubit kuat pinggang Hud dengan kuat. Melepaskan geramnya tatkala Hud sengaja mengenakannya. Muncul sudah aura tegas seorang Naurah Afrina.

"Aduh sayang, sakitlah. Tak sampai sejam lagi kita menikah awak dah dera saya macam ni..."

"Siapa yang dera siapa? Awak yang dera mental saya, kan? Awak sengaja kan buat macam tu tadi! Tolonglah Hud, jangan buat perangai macam tu dekat depan orang. Boleh tak? Saya malu tahu!" omel Afrina. Sama seperti Hud, kata ganti namanya sudah berubah sopan.

Hud Aidan ini gemuruhnya sekejap sahaja. Selebihnya tidak habis-habis dengan tiga sukunya. Bagaimanalah Afrina mahu menerapkan nilai kesabaran dengan setiap ulah tiga suku Hud Aidan ini?

Tak semena-mena, Hud ketawa kecil dengan bebelan isterinya. Dia sudah tahu reaksi Afrina bila dia mula berperangai tiga suku. Terbit rasa kasihan melihat wajah isterinya kemerahan menahan malu. Namun, Hud hanya mahu membuatkan Afrina berasa senang di majlis perkahwinan mereka.

Itu sahaja.

"Saya cintakan awak sampai syurga, Naurah Afrina," bisik Hud. Sengaja mendekatkan bibirnya ke telinga Afrina. Jari jemari runcing Afrina yang digenggam erat lantas dikucup lembut.

Tatkala luahan itu diungkapkan, dinding hati Afrina kembali mekar dengan bunga-bunga cinta. Rasa bengangnya hilang serta merta. Sekali lagi, anak mata mereka saling bertentangan antara satu sama lain. Senyuman yang terlakar di bibir keduanya menambahkan lagi aura mereka sebagai pengantin baru. Genggaman tangan dieratkan lagi. Hanya dengan pandangan yang penuh dengan rasa kasih, Afrina menyatakan bahawa dia juga sangat mencintai Hud Aidan.

"MUMMY! Dina nak aiskrim coklat. Bolehlah mummy. Dina makan sikit saja. Tak banyak pun," rengek Dina sambil menggoncangkan lengan ibunya yang sedang memberikan ubat kepada Datin Khalida. Wajah gadis kecil itu sudah mula monyok tatkala ibunya tidak mengendahkan permintaannya.

"Pergilah layan permintaan anak tu, Sherin. Mama nak borak-borak dengan aunty Sofia dulu," kata Datin Khalida. Kasihan melihat cucunya yang berkali-kali memujuk Sherina.

"Degil betul Dina ni. Mummy dah kata, jangan makan aiskrim nanti gigi rosak tapi nak juga. Nanti kalau sakit gigi, mummy juga yang susah," omel Sherina seraya berpimpin tangan dengan Dina yang sudah tersenyum riang. Ruangan pencuci mulut yang dipenuhi dengan manisan benar-benar membuatkan Dina senang hati.

"Mummy, boleh tak kalau Dina nak ambil marshmallow tu sekali? Lepas tu Dina nak ambil puding coklat, puding karamel, air..."

"Sherin?"

Suara yang muncul dari belakang mematikan terus celoteh Dina. Saat si gadis kecil kalih, terpampang wajah seorang pemuda bermata sepet yang sedang menyapa ibunya.

"Rahim. Terima kasih sebab datang majlis abang saya malam ini. Awak dah makan?" soal Sherina sekadar berbasa basi. Kaget dengan kemunculan Ibrahim di bahagian pencuci mulut.

Ibrahim tersenyum nipis dengan reaksi Sherina. Senang hatinya melihat Sherina sudah kembali sihat. Dalam diam, dia memuji kecantikan Sherina yang berselendang berwrna krim. Itulah kali pertama dia melihat Sherina berhijab.

"Rahim... kenapa awak pandang saya macam tu? Pelik ke saya pakai tudung?" soal Sherina. Tangannya sudah meraba-raba selendang pemberian abangnya yang tersarung di kepala. Rasa janggal mula bertamu di dinding hati tatkala anak mata Ibrahim tak lekang dari memandang penampilan barunya.

Atas nasihat Hud yang bertalu-talu menyuruhnya menutup aurat, akhirnya Sherina membuat keputusan untuk memakai pakaian yang mematuhi syariah. Dia mahu berhijrah menjadi seorang yang lebih baik lagi.

"Awak cantik sangat pakai hijab dengan baju kurung. Ingatkan tadi bidadari manalah yang ada dalam majlis Hud dan Afrina ini," usik Ibrahim seraya mengusap tengkuknya. Dia tersengih kelat. Segan apabila Sherina menangkapnya sedang menatap penampilan wanita muda itu.

"Bidadari ye? Boleh tahan usikan awak Inspektor Ibrahim. Saya ni tak layak nak disamakan dengan bidadari. Terlalu banyak kekurangan yang ada dalam diri saya," ujar Sherina. Senyuman nipis turut terukir di bibir merah jambunya.

"Tapi kekurangan yang ada dalam diri awak tu boleh dibaiki dengan perlahan-lahan. Selagi Allah berikan kita waktu untuk menjadi yang lebih baik, selagi itu kesempatan itu perlu diambil dengan sebaiknya. Betul tak? Tapi... jujur saya akui saya suka tengok penampilan baru awak. Nampak sopan dan manis."

Tatkala pujian Ibrahim kembali menyapanya, wajah Sherina terus membahang panas. Ada sekelumit rasa malu bila mana Ibrahim tak henti-henti memujinya. Malahan, pandangan Ibrahim yang semakin dalam itu membuatkan jantung Sherina seakan-akan berdegup kencang.

"Pak cik... boleh tak ambilkan Dina aiskrim coklat, please?" pinta Dina sambil menarik-nari baju Melayu Ibrahim. Kepalanya dipanggung memandang raut wajah Ibrahim.

Melihat wajah comel Dina yang sudah memujuk membuatkan Ibrahim ketawa kecil. Lantas, permintaan si kecil diturutkan. Tersenyum senang lagi Dina tatkala melihat Ibrahim melayani permintaannya.

"Lepas tu pak cik, Dina nak puding..."

"Tak apa, Rahim. Biar saya layan Dina. Dia ni manja lain macam sikit," pintas Sherina seraya mencubit pipi Dina. Segan bila mana Dina mula meminta-minta dengan Ibrahim.

"Mummy dah pesan jangan minta-minta dengan orang. Kenapalah Dina degil sangat. Cuba berdikari sikit. Dina tu dah nak masuk enam tahun," bebel Sherina sambil menurutkan permintaan Dina yang masih tersenyum riang itu.

Sungguh, telatah Sherina dan Dina membuatkan senyuman Ibrahim semakin melebar. Dinding hatinya seakan-akan diubati buat seketika tatkala melihat telatah Dina. Omelan Sherina juga membuatkan Ibrahim terhibur. Bagaikan kekecewaan yang membungkus hatinya dapat diubati buat seketika.

Tamat 🍃

Eh bersambung... 🤣

Bab kali ini happy2 sajalah sebab majlis perkahwinan Afrina dan Hud 🤭

Tapi sorry kalau cringe 🤣 dahlah selamani Afrina asyik marah Hud tup tup bersatu juga akhirnya 🤭

Thanks guys sudi baca dan sabar dalam berhadapan konflik emosi Hud dan Afrina  💕

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro