Episod 41 🍃
"KENAPA Hud harus rahsiakan semuanya daripada mama? Kalau Mirza tak bongkarkan semuanya, sampai bila-bila mama tak akan tahu yang hidup Hud berada dalam ancaman!"
Pagi itu, bertalu-talu omelan yang dilontarkan oleh Datin Khalida kepada Hud Aidan. Sesekali, dadanya terasa nyeri akibat tekanan yang maha hebat. Manakan tidak, nyawa Hud yang berada dalam bahaya dan keadaan Sherina yang menjadi mangsa penderaan domestik membuatkan wanita itu merasakan dirinya tidak berguna.
Tidak berguna sebagai seorang ibu!
"Mama tak sangka... yang selama ni Hud pernah koma. Hud pernah kena culik. Hud..."
"Mama, tolonglah jangan cakap pasal benda yang dah lepas. Hud minta ampun dekat mama sebab Hud rahsiakan masalah Hud. Tapi, Hud tak mahu mama tertekan. Mama bukannya sihat sangat kalau mama asyik fikir pasal Hud," pintas Hud. Raut wajah ibunya ditatap dengan penuh kasih. Sungguh, melihat lakaran kekecewaan di wajah ibunya membuatkan hati Hud dipagut rasa sayu.
"Mama risaukan Hud. Mama... dah banyak buat salah... kepada Hud dan Sherin. Kalaulah... mama tak ikut telunjuk... arwah papa, kalaulah mama... pertahankan pendirian kau orang adik beradik... mesti hidup Hud dan Sherin... tak akan terumbang-ambing," rintih Datin Khalida sambil mengusap lembut pipi anaknya.
Masih segar di ingatan tatkala Hud Aidan dibuang daripada keluarga Datuk Idris. Semuanya hanya kerana tekad Hud yang ingin menjadi pegawai polis. Menolak untuk menjadi sebahagian daripada Idris Holding dan menolak daripada dijodohkan dengan Farisha.
Ketika itu, dia hanya menurut perintah suaminya. Tidak langsung mempedulikan rayuan Sherina agar Hud dimaafkan. Malahan, Datin Khalida sebagai seorang ibu langsung tidak menghalang anaknya pergi.
Hud dibiarkan hidup sebatang kara. Semua akaun milik pemuda itu juga dibekukan. Dalam erti kata lain, Hud bukan lagi si pangeran yang mendapatkan kesenenangan daripada keluarganya. Hud dibiarkan hidup susah seorang diri.
"Hud berhenti... jadi polis pun mama... tak tahu. Mama ni... memang kejam..."
Tak semena-mena, rintihan Datin Khalida terbejat tatkala tubuhnya sudah ditarik ke dalam pelukan Hud Aidan. Saat itu juga tangisannya dihamburkan. Segala kesesakan dilepaskan serta-merta. Ketika itu, hanya sebuah kesedihan sahaja yang dapat dirasakan oleh wanita itu.
"Siapa Hud nak menghukum kesalahan mama? Hud dah lupakan semua kisah silam keluarga kita. Memang, Hud pernah rasa hidup Hud malang. Hidup sahaja dilimpahi dengan kekayaan. Tapi, apa ertinya kekayaan tanpa sebuah kebahagiaan?"
Hud menghela nafas berat apabila kotak memorinya mula menerawang mengimbas kisah silamnya. Tangisan ibunya benar-benar meruntun jiwanya sebagai seorang anak. Hud mula rasa bersalah di kala kesedihan ibunya terasa begitu mendalam.
Sejak kebelakangan ini, Datin Khalida juga sering kali menyesali perbuatannya. Hud jadi tertanya dengan perubahan drastik ibunya yang semakin sakit-sakitan itu. Dalam diam, dia takut jikalau ibunya pergi di saat genting seperti ini. Manakan tidak, hanya ibunya sahajalah sumber kekuatannya.
"Tapi sebagai seorang anak, Hud sedar bahawa kemarahan dan keegoan Hud itu terbatas. Hud harus memaafkan kesalahan mama dan papa. Sebab itu, Hud tak nak mama ingat benda yang dah lepas lagi. Hud nak senangkan mama. Maafkan Hud. Hud tak berniat nak sembunyikan apa-apa daripada mama selama ini," tutur Hud. Air mata yang mengalir ke pipi ibunya dikesat lembut.
"Jangan risau pasal Hud. Sekejap saja lagi semuanya akan selesai. Pasal Sherin pula, Zanif dah ceraikan dia. Hud tak akan biarkan Zanif sentuh adik Hud lagi. Mama janganlah risau. Hud dah berjanji yang Hud akan lindungi mama, Sherin dan Dina," pujuk Hud lagi seraya melakar segaris senyuman pahit di bibirnya.
"Dengan Afrina... kan?"
Semakin melebar senyuman Hud Aidan tatkala nama Naurah Afrina disebut oleh ibunya. Bagaikan masalah hilang buat seketika tatkala teringat akan hari kebahagiaannya dan Afrina yang akan berlangsung tidak lama lagi.
"Ya, mama. Dengan bakal menantu mama. Hud akan lindungi Naurah Afrina selagi hayat Hud dikandung badan. Terima kasih mama... sebab terima dia menjadi sebahagian daripada keluarga kita."
SEBAIK sahaja mendengar kata-kata Zed, kerusi yang diduduk oleh Mirza terpelanting ke belakang. Turun naik nafas lelaki berkumis nipis itu tatkala khabar buruk menyapa paginya. Cuaca redup pada pagi itu juga sudah tidak dapat menceriakan hidupnya lagi. Semuanya berantakan sekelip mata!
"Kau bodoh sangat ni kenapa? Macam mana orang-orang kita boleh kena tangkap? Kau sebenarnya reti buat kerja ke tak?" bentak Mirza dengan gigi yang terkacip menahan geram. Mahu sahaja dirodok jantung Zed dengan pisau yang berada dalam talian tika itu.
"Kita orang tak tahu, bos. Tapi malam semalam, kawan polis bos itu dah kata dekat aku yang line clear! Dia dah manipulasi pasukan dia untuk berundur dari menjadikan tempat kita sebagai sasaran!" tegas Zed sambil mundar-mandir di bilik sewanya. Berdenyut kepalanya tatkala bahunya yang sudah cedera akibat berbalas tembakan dengan polis terasa nyeri.
Ketika itu, degupan jantung Mirza semakin kencang. Matanya melilau memandang sekeliling taman rumah agam keluarganya. Taman mini yang dihias cantik dengan pelbagai spesis pokok bunga seolah-olah semak samun sahaja di pandangan matanya.
Adakah 'kawan polis' sedang mengkhianatinya?
"Kau sedang ada masalah dengan polis itu, bos. Boleh jadi dia sudah mengkhianati kita. Sebab itulah aku kata lebih baik kita bunuh perempuan itu! Sejak perempuan tu wujud, bos asyik ada konflik saja dengan si kaparat itu!" kata Zed lagi. Api kemarahan di sudut hatinya semakin meluap-luap. Kerana Afrina, sering kali ideanya ditolak mentah-mentah!
"Tak mungkin dia khianat..."
"Bos! Kau sudah gila ke apa? Kalau dia boleh khianat dengan negara dan kawan baik dia sendiri, boleh jadi dia juga boleh khianat dengan kita! Tak mustahil kalau polis itu tak cuba hancurkan business kita, bos," pintas Zed seraya melabuhkan duduknya di birai katil. Hatinya benar-benar mendongkol geram apabila Mirza masih mempertahankan mata-mata mereka itu.
Omongan orang kanannya seakan-akan menyimbah petrol di sudut hati Mirza. Sudahlah perniagaan haramnya berjaya diberkas, konco-konconya pula ditangkap, wasiat yang diberikan kepada Hud juga masih belum dirampas. Kini, ada lagi masalah baru yang menimpa.
Sudah jatuh ditimpa tangga. Itulah yang boleh dilakarkan di seluruh wajahnya. Itu belum termasuk si isteri yang tidak pulang ke rumah selama seminggu!
"Kalau betul dia khianat..."
"Khianat?"
Tatkala suara garau menyapa corong telinganya, kedinginan mula menerpa lelaki berbaju kemeja polo itu. Dari ekor mata, dapat dilihat seorang pemuda berbaju t-shirt berwarna hitam sudah berdiri di belakangnya. Terasa kelat liur yang ditelan dengan si parasit yang tiba-tiba muncul itu.
"Ada apa-apa yang aku ketinggalan ke, abang Mirza?" soal Hud lagi sambil berpeluk tubuh.
"Aku tak percayalah Datuk Zaki khianat aku! Dia tu rakan kongsi arwah papa bertahun lamanya. Sudahlah! Nanti kita bincangkan hal ini lain hari," helah Mirza. Punat merah lantas disentuh sebelum dia kalih memandang wajah adik tirinya yang sudah tersenyum sinis.
"Hah, kau nak apa?"
Hud sekadar mengangkat kedua belah bahunya lalu melabuhkan duduk di atas kerusi taman mini tersebut. Sepotong kek batik dicapai lalu dijamah sebagai sarapan pagi. Kemudian, kerusi yang sudah terbalik dipandang sebelum berhenti ke laman wajah Mirza.
Kini, Hud semakin yakin bahawa Mirza dalang di sebalik kejadian buruk yang sudah menimpanya. Meskipun hanya perkataan 'khianat' yang sempat didengari namun intuisi Hud semakin kuat menyatakan Mirza mahu memusnahkannya.
"Terima kasihlah sebab prihatin tentang aku. Prihatin sampai laporkan semuanya dengan mama aku sampai dia risau. Tak pasal-pasal, mama aku jatuh sakit. Sukalah kau. Boleh balas dendam di atas kematian mama kau? Betul..."
"Apa masalah kau, bangsat! Aku tak ada mood nak bergaduh dengan kau!" bentak Mirza. Bergelegak panas dinding hatinya bila mana Hud mula memarakkan api yang sedia ada.
Seketika, anak mata Hud ralit memerhatilan raut wajah Mirza. Sepotong lagi kek batik dicapai lalu disuakan ke dalam mulutnya. Kaki kanannya disilangkan dengan tubuh yang sudah bersandar di belakang kerusi.
"Kau nak apa sebenarnya daripada aku?" tanya Mirza lagi dengan nada suara yang naik seoktaf.
"Aku nak tahu pasal khianat tadi, boleh? Aku berhak tahu sebab aku ini anak Datuk Idris juga," jawab Hud.
Tak semena-mena, Mirza ketawa sinis dengan kata-kata Hud. Dia kembali melabuhkan duduk bertentangan dengan adiknya. Liat sungguh nyawa Hud Aidan ini. Kalau saja pemuda ini tidak wujud, sudah tentunya ladang kambing kepunyaan arwah papanya bisa dimiliki. Sekali gus boleh meluaskan lagi perniagaan haramnya.
"Kau tak perlu tahu. Biar aku yang uruskan semua masalah ini. Tu, adik kau sendiri pun kau tak boleh nak jaga inikan pula urusan syarikat arwah papa," cemuh Mirza.
Hud mencebik sinis dengan cemuhan Mirza. Kecil besar saja Mirza Hanif dipandangannya saat itu. Omongan abangnya yang sedang memperlekehkan Sherina benar-benar mencabar diri Hud Aidan.
"Tapi bukan kau ke yang tak reti nak jaga bini kau sendiri? Hari tu, masa aku uruskan majlis aku dekat hotel... aku ada nampak dia. Keluar masuk dengan seorang mamat negro mana entah. Tak sangka..."
Hud kematian kata tatkala Mirza menghentak kedua belah tangannya di atas meja. Nyata, provokasi Hud itu bisa memarakkan lagi kemarahan di sudut hati Mirza. Kelihatan api semakin membara di anak mata Mirza.
"Kau..."
"Lah... kat sini rupanya kau orang. Rumah ni besar sangat sampai susah nak cari orang dalam rumah ini."
Suara gemersik yang tiba-tiba muncul di antara ketegangan Hud dan Mirza mematikan bicara Mirza. Serentak mereka berpaling memandang wajah si wanita berbaju dres paras lutut berlengan pendek berwarna hitam. Di sebelah wanita itu, kelihatan seorang gadis berbaju blouse mustard dan skirt paras lutut berwarna putih.
"Hai Hud Aidan. Lama I tak nampak you. Apa kata hari ni kita spend time together. You temankan I pergi Spa lepas tu temankan I pergi shopping," kata Farisha seraya melangkah menghampiri Hud yang mula rimas itu.
Tanpa berlengah, Mirza pula mencengkam kuat lengan Amelia untuk menyelesaikan hal peribadi mereka di dalam rumah. Sungguhlah, baik Hud mahupun Amelia, keduanya sudah menambahkan kemarahan yang sedia ada.
"Hud... jomlah temankan I hari ini. Okay, I tahu you tak suka dekat I. Tapi why not kita berbaik dan berkawan macam dulu. Tak salah pun kalau kita berkawan," kata Farisha lagi seraya bersandar di belakang meja kopi. Sengaja lututnya melekat di kaki Hud. Senyuman yang tergaris di bibir semakin melebar tatkala anak mata Hud tunak merenung raut wajahnya.
"Kaki kau tu baik jauhkan dari kaki aku sebelum aku tolak kau dalam kolam renang tu," tegas Hud seraya bangun dari duduknya.
Keluhan berat terlepas dari bibir merah Farisha. Anak rambutnya diselit ke belakang telinga sebelum jari jemarinya mula merayap di dada bidang pemuda itu. Sungguh, dia menginkan seorang Hud Aidan.
Serta-merta Hud menolak kasar tubuh Farisha yang mula menggeletis itu. Wangian Farisha yang begitu kuat benar-benar bisa membuatkan seseorang lelaki itu kucar-kacir. Baik Farisha mahupun Amelia keduanya hanya tahu bertunjangkan nafsu semata.
"You ni kenapa? I cakap baik..."
"Apa yang kau cuba buat dekat aku? Nak goda aku?"
Tak semena-mena, Farisha ketawa sinis dengan tuduhan Hud. Raut wajah bengis Hud ditatap dengan penuh kasih. Sekali lagi, jari jemarinya merayap ke laman wajah Hud sebelum berakhir ke dahi Hud yang berparut.
"I suka tengok facial muka you. Biarpun dah cacat sebab parut ni tapi you..."
Tak semena-mena, Farisha kematian kata tatkala tangannya ditepis kasar. Semakin Hud menolak, Farisha semakin tercabar. Manakan tidak, selama ini tidak pernah ada mana-mana lelaki lagi yang menolaknya seperti Hud Aidan!
"Berambuslah! Kau jangan nak menggatal jual maruah kau depan aku boleh tak? Asal kau tahu... nak terima kau pun aku tak nak apatah lagi jadikan kau sebagai kawan aku. Aku meluat tengok muka kau! Lagi satu, aku akan menikah dengan Afrina dalam masa yang terdekat. Jadi, kau tak payah nak berusaha pikat aku lagi!" tegas Hud seraya melangkahkan kakinya masuk ke dalam rumah.
Tak betah berhadapan dengan gadis yang miang itu. Mahu sahaja disamak seluruh tubuhnya dengan setiap sentuhan Farisha.
Tika khabar buruk itu ditujahkan kepadanya, tatkala itu juga roman wajah Farisha bertukar tegang. Anak matanya mula berkaca-kaca dengan kesakitan yang ditujahkan oleh Hud itu. Afrina dan Hud akan bersatu?
Tidak! Dia tidak akan membiarkan hal itu terjadi!
"Oh, kau memang nak main api dengan aku, kan? Kau tunggu sampai bila si jahanam itu bertahan dengan keluarga kau!" desis Farisha bersama amarah yang mula membenam di jiwanya.
PERSIAPAN majlis akad nikah yang akan diadakan di Royale Chulan dengan dekorasi bertemakan taman dan pastel membuatkan gadis berselendang maroon itu tersenyum senang. Rekaan minimalist daripada perancang perkahwinan yang ditempah sememangnya menepati cita rasanya.
Pelamin yang sudah dihias cantik dengan gabungan putih dan hijau kelihatan begitu elegan tatkala disinari dengan lampu chandelier. Setiap penjuru pelamin turut dihiasi dengan jambangan bunga yang melingkari pelaminan. Pokok pangkalnya, dewan yang akan menjadi saksi penyatuan Afrina dan Hud Aidan benar-benar kelihatan berada di sebuah taman yang kehijauan sahaja.
Sebenarnya, Afrina tidak mahu mengadakan majlis akad nikah secara besar-besaran. Dia hanya mahu mengadakan majlis yang sederhana sahaja. Namun, dek kerana kehendak Datin Khalida yang menginginkan Afrina disambut dengan kemewahan membuatkan gadis itu mengalah. Lagi pula, Hud Aidan itu merupakan anak kandung kepada seorang ahli perniagaan yang ternama.
Apa sajalah yang Afrina mampu katakan di saat bakal ibu mertuanya beria-ia mahu memberikan yang terbaik buatnya?
Siapa sangka Afrina yang dahulunya sering bertikam lidah dengan Datin Khalida akhirnya akan menjadi menantu dan mertua? Malahan, siapa sangka pemuda yang dahulunya membuatkan hidup Afrina berantakan akhirnya akan menjadi khalifahnya dalam menuju ke syurga cinta?
Itulah percaturan Allah. Tiada siapa yang mampu menebak dan menidakkan takdir yang sudah ditentukan oleh yang Maha Esa.
"Seri bakal pengantin ni memang lain macam, kan? Asyik tersenyum saja," soal satu suara sekali gus menghapuskan lamunan panjang Afrina serta-merta.
"Akhirnya! Kak Afrina jumpa juga putera raja yang ditunggu-tunggu selama ini. Tak sabarnya nak tengok kakak Isha jadi puteri kayangan esok!" usik Arisha. Lengan Afrina yang sedang berdiri di hadapan pelamin lantas dipaut.
Tergaris senyuman lebar di bibir Afrina dengan usikan Arisha. Sungguh tika itu, dinding hatinya benar-benar sedang melakar sebuah kebahagiaan. Setelah bermacan dugaan yang ditempuhi bersama, akhirnya Afrina dan Hud Aidan akan bersatu.
"Lepas ni, Isha kena jaga makan minum mama dengan abah elok-elok tau. Jangan nak buat perangai yang bukan-bukan. Nanti bila akak dengan Hud dah diijab kabul, akak kena ikut suami akak. Akak dah kena jalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri," pesan Afrina.
Adik bongsunya itu sedikit nakal. Ada saja ulahnya yang kadangkala memeningkan kepala. Namun, Arisha tetap seorang anak yang patuh kepada kedua orang tuanya.
"Baik akak! Isha janji Isha akan ganti kakak dan jadi lebih baik daripada kakak untuk mama dan abah. Isha gembira tau tengok akak bahagia. Kalau tak, selama ni nak tengok kakak senyum pun susah," kata Arisha. Sempat lagi dia mengusik kakaknya sambil tersengih-sengih.
"Ada saja kan benda nak usik..."
"Okay dah! Tak payah nak membebel lagi dah. Tu, PA kepada wedding planner nak jumpa akak," pintas Arisha seraya melepaskan kakaknya daripada pautan. Bibirnya sudah dimuncungkan menunjuk ke arah si figura yang dimaksudkan. Namun, tiba-tiba saja matanya membuntang tatkala Afrina memulas bibirnya dengan kuat.
Sakit!
"Dah banyak kali akak pesan jangan buat bibir macam tu! Tak senonoh. Saja kan nak dapatkan cubitan daripada akak!" tegas Afrina. Kepalanya sudah digelengkan dengan perangai tak semenggah Arisha.
Lantas, langkah diatur menghampiri seorang wanita bertudung krim yang sedang berbincang dengan seorang pekerja. Tatkala itu juga, tiba-tiba sahaja senyuman Afrina mula terasa pahit saat kotak memorinya mula mengimbas kejadian silam. Kejadian pahit yang membuatkan Afrina hampir mencabut nyawanya sendiri.
Bukankah itu...
"Maisarah?"
Si figura yang bernama Maisarah terus memanggung kepalanya. Berkerut dahi wanita berwajah kacukan cina tatkala Afrina mengetahui namanya. Perbincangannya bersama pekerja tergendala buat seketika.
"How do you know about my name?" soal Maisarah. Perasaan aneh mula menjalar di ruang hatinya. Manakan tidak, dia tidak pernah melihat si bakal pengantin perempuan. Ini pertemuan pertama mereka.
Tatkala soalan itu ditujahkan kepada Afrina, senyuman yang melakar di bibir drastik berubah sinis. Sudah tentunya Maisarah tidak mengenali dirinya. Dia bukan lagi si gadis berkaca mata dengan wajah sememeh seperti 14 tahun yang lalu!
"Ingat lagi tak budak perempuan yang kau dan geng kau selalu buli dulu?"
Saat soalan itu ditujahkan kepada Maisarah, hampir saja buku nota yang berada di pegangannya terlepas. Matanya langsung tidak berkelip melihat raut wajah Afrina. Hampir saja mulutnya melongo tatkala sebuah kejutan terhampar di ruang mata.
Afrina sangat cantik! Berbeza dengan Afrina 14 tahun yang lalu. Aura tegasnya turut terpancar di roman muka. Sudah tentunya dia diserang dengan sebuah kejutan yang maha hebat!
"AFRINA... kau... tak simpan dendam... dekat aku, kan?" soal Maisarah tatkala dia dan Afrina sudah melabuhkan duduk di dewan itu. Sungguh, perasaan bersalah mula bermaharajalela di sudut hatinya.
"Benda dah lepas. Aku dah belajar untuk memaafkan semua orang yang pernah aniaya aku. Lagi pun, dendam yang terindah itu adalah sebuah kemaafan," ujar Afrina. Ya, sejak dia mula memaafkan Hud Aidan, Afrina sudah kenal erti kemaafan. Kalau tidak, pasti dendamnya masih membara apabila mengingati semula kenangan pahitnya.
"Terima kasih, Afrina." Hanya tiga patah perkataan sahaja yang mampu dituturkan oleh Maisarah. Matanya melilau memandang persekitaran dewan yang dihias cantik. Rasa kekok mula bertamu di dinding hati.
"Panjang betul jodoh kau dengan Aidan. Aku tak sangka, klien aku ni rakan sekolah aku sendiri. Tapi... dia pernah bagi tahu sesuatu pada kau tentang kejadian 14 tahun yang lalu tak?" kata Maisarah. Pandangannya kembali dialihkan ke laman wajah manis Afrina.
"Maksud kau?" Soalan dibalas dengan soalan. Afrina mula tak senang duduk tatkala kisah silamnya diungkit semula.
Maisarah menghela nafas berat bila mana Afrina kelihatan tertanya-tanya. Jelas sekali Afrina tidak tahu mengenai kejadian pahit itu. Maka, semuanya harus dirungkaikan juga. Maisarah sendiri tidak mengerti mengapa Hud Aidan tidak mahu menjelaskan semuanya kepada Afrina.
"Ada sesuatu yang kau perlu tahu mengenai Aidan sebelum kau menikah dengan dia. Sesuatu yang berkaitan dengan tragedi 14 tahun yang lalu. Alang-alang aku dah terserempak dengan kau... aku nak selesaikan semuanya."
Omongan Maisarah benar-benar membuatkan lidah Afrina kelu. Roman wajahnya serta merta bertukar serius. Tiada lagi senyuman terlakar di bibirnya. Entah mengapa, intuisi Afrina merasakan berita itu akan menggigit kepiluan di sudut hatinya. Dia berasa kurang enak!
"Afrina... Aidan tak pernah berniat nak seksa mental kau dulu. Kalau kau nak tahu, dia..."
Maisarah jeda.
Terasa kelat liurnya ingin mengungkapkan hal yang sebenar. Manakan tidak, semenjak kejadian Afrina hampir mati akibat percubaan bunuh diri, mereka seakan-akan terhukum. Masalah menimpa Maisarah dan rakan-rakannya tanpa henti.
"Aidan dah lama... sukakan kau sejak zaman sekolah lagi. Dia cuba nak rapat dengan kau. Tapi... Nisya yang tergila-gilakan Aidan... selalu ugut dia. Nisya kata... kalau... kalau Aidan cuba rapat dengan kau... dia tak akan teragak-agak suruh abang dia yang ketua samseng itu... buat... buat benda yang tak elok... pada kau, Afrina," jelas Maisarah seraya tertunduk menekur jari jemarinya. Tidak mampu dia memandang wajah Afrina yang diserang kejutan.
Oh sungguh! Tatkala kebenaran itu dirungkaikan, saat itu juga dinding hati Afrina dipagut dengan rasa sayu. Hud Aidan tidak pernah terlibat dalam penganiayaan ke atasnya?
Jadi selama ini, Afrina salah percaturan! Kalau saja kejadian penculikan itu tidak berlaku, pasti dia masih menyimpul dendam buat Hud Aidan. Hud bukan pembulinya. Hud terpaksa menyakitinya hanya untuk melindunginya sahaja!
Tika ini, timbul bibit penyesalan dalam ruang hati Afrina. Dia menghukum Hud tanpa usul periksa. Kejam! Hanya itu sahaja yang terzahir di lubuk hati Afrina.
Bersambung...
Aish panjanglah pula lagi bab ni😂 saya nak elak meleret kat bab ini tapi saya nak kurangkan bab 🤣 acilah eh 🤭
Thanks guys sudi baca karya saya 🌺 tanpa korang siapalah Syaf_Asriqa 🤣
Plot twist tak bila korang tahu Hud bukan pembuli Afrina melainkan Hud terpaksa demi keselamatan Afrina? 😭
Sedutan episod 42
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro