Episod 38 🍃
"ASSALAMUALAIKUM, Afrina. Maaf kalau aku menganggu tapi mama aku nak jumpa kau. Ada hal penting yang dia nak bincangkan dengan kau secara bersemuka. Bila kau free?"
Keluhan berat terlepas dari seulas bibir Afrina sebaik sahaja dia membaca WhatsaApp yang dihantar oleh Sherina. Datin Khalida yang bermulut puaka itu mahu bertemu dengannya?
Angin kus-kus apa agaknya ya yang meyapa ibunya Hud Aidan itu?
"Afrina sakit lagi ke?" soal Encik Talib prihatin. Risau melihat air muka Afrina yang hanya tunduk di meja makan. Malahan, anak gadisnya juga seolah-olah kelihatan resah.
"Eh, Afrina okeylah. Abah sarapanlah. Kejap lagi kan ada meeting. Jangan risau pasal Afrina," ujar Afrina seraya memanggung kepala memandang wajah kelat abahnya. Senyuman pahit terkulum di bibir gadis itu.
"Macam mana abah tak risau dengan Afrina bila anak gadis abah yang seorang ini masih dalam keadaan bahaya? Nak putus nyawa abah bila ingat balik Afrina kena tikam dulu. Abah rasa sesak," tegas Encik Talib seraya menyisip teh panas.
"Betul cakap abah tu. Kita orang masih takut dengan apa yang sdah menimpa Afrina. Sejak Afrina balik rumah tiga hari lepas pun, Afrina lebih banyak berkurung dalam bilik. Entah Afrina sakit ke apa mama dengan abah tak tahu," ujar Puan Sofia pula sambil mengenggam tangan Afrina.
Intuisinya sebagai seorang ibu kuat mengatakan bahawa anak sulungnya kini sedang menyembunyikan sesuatu yang penting daripada pengetahuannya.
"Afrina minta maaf abah, mama. Afrina tak berniat pun nak buat abah dengan mama risau. Afrina cuma nak tenangkan diri Afrina dulu dengan apa yang dah berlaku. Lagi pula Afrina masih..."
Afrina jeda.
Hampir sahaja dia terlepas kata mengenai ketegangan di antara Hud Aidan dan Ibrahim beberapa hari yang lalu. Wajah mama dan abahnya dipandang silih berganti bersama dengan debaran yang mula mengetuk dinding hatinya.
"Afrina... kenapa? Cakaplah apa dia yang membelenggu Afrina saat ini. Mana tahu abah dengan mama boleh tolong," kata Puan Sofia sambil mengeratkan lagi genggaman tangan Afrina.
Tika itu juga terasa berat sekali mulut Afrina mahu menyampaikan hal yang sebenar. Bibirnya sudah diketap menahan debar yang mengetuk jiwanya bertalu-talu. Manakan tidak, satu kata keramat itu masih belum diketahui oleh Encik Talib dan Puan Sofia!
Tapi, tidak dapat tidak semua masalah ini harus diselesaikan dengan secepatnya. Lelah tidak pernah meninggalkan Afrina semenjak tembok halangan diletak di antara Hud dan dirinya.
Lantas, nafas panjang ditarik lalu dihembuskan perlahan-lahan. Dengan lafaz bismillahirahmanirahim, Afrina menegakkan duduknya dan menatap wajah walinya. Inilah gerangan yang sudah mengiqamatkannya dahulu tika dia lahir di dunia yang fana ini.
"Se... sebenarnya... Afrina dengan Rahim... dah buat keputusan yang kita or..."
Belum sempat Afrina menyampaikan berita itu, telefon pintar Encik Talib bergetar di atas meja makan. Tertera nama Ibrahim di skrin telefon abahnya Afrina itu. Terbejat terus omongan yang ingin dilafazkan oleh Afrina.
"Waalaikumusalam. Ya Rahim. Ada apa?"
"Nak bincang sesuatu? Boleh. Waktu lunch nanti kita jumpa."
Ketika pandangan tajam Encik Talib menusuk anak mata hitam pekat Afrina, ketika itu juga Afrina mula diserang kerisauan. Seluruh mindanya seolah-olah kusut dengan wayar yang bersimpul.
Sudah tentunya dia gerun dengan perkara yang akan diperkatakan oleh Ibrahim kepada abahnya! Bagaikan mahu perang dunia ketiga saja ketakutan Afrina saat ini.
"Isha sudah siap! Kak Afrina nak Isha hantarkan pergi kerja kan?"
Barulah Afrina dapat menarik nafas lega bila mana adiknya sudah menyelamatkan keadaan. Kalau tidak, pasti Afrina tak ubah seperti suspek yang disoal siasat dengan pertanyaan mama dan abahnya.
"Afrina nak pergi kerja..."
"Serius ke kamu nak pergi kerja ni? Mama risaulah kalau anak mama diapa-apakan lagi. Afrina masih perlukan rehat. Lagi pula, Afrina tu bukan kena jentik tahu! Tiga tikaman..."
"Mama janganlah fikir yang bukan-bukan. Insya-Allah, dengan berkat doa daripada mama, Afrina akan dilindungi oleh Allah. Tak naklah Afrina layan sangat rasa takut itu. Nanti apa-apa benda pun Afrina tak boleh buat," pujuk Afrina seraya menyalami tangan ibunya.
"Abah suruh Rahim hantarkan..."
"Tak apa! Afrina tak nak kacau dia. Lagi pun dia sibuk sekarang ini. Afrina janji Afrina akan balik awal hari ini. Please abah, mama... percayakan Afrina," ujar Afrina separah merayu. Senyuman pahit terkulum di bibir gadis itu.
Malahan, pandangan yang tersirat dengan penuh pengharapan turut diberikan agar ibu bapanya mengerti bahawa dia mahu mengelak daripada berbahas mengenai hubungannya dan Ibrahim.
"KAKAK ni berani betul langgar perintah abah, kan? Kakak ni sebenarnya dah jatuh cinta dengan abang Hud, kan? Tak payah nak berdalih lagi dah. Bukti dah ada depan mata bila kakak sanggup tipu mama dengan abah demi bertemu dengan mama Hud," omel Arisha sebaik sahaja mereka sampai di perkarangan rumah agam keluarga Hud Aidan.
"Kenapa? Salah ke?"
Arisha terus menepuk dahi dengan soalan dingin kakaknya. Keluhan berat terlepas daripada bibir merah jambunya dengan soalan spontan Afrina. Kepala terus dikalih memandang raut wajah Afrina yang duduk di sebelah.
"Kakak tahu tak yang kakak tunangan orang? Nanti apa pula keluarga abang Rahim kata kalau kakak pergi jumpa keluarga abang Hud? Ni, mana Isha nak letak muka kalau Diana persoalkan kenapa kakak rapat sangat dengan keluarga abang Hud? Kakak, kalau kakak betul-betul tak nak teruskan hubungan dengan abang Rahim... baik kakak berterus-terang."
Tak semena-mena, terletus tawa kecil di bibir Afrina dengan omelan adiknya. Pipi Arisha lantas dicubit sebelum pintu kereta dibuka. Tak mahu lagi dia berlama-lama mendengar omelan Arisha yang tak akan berhenti.
"Dah! Kalau Isha nak bebel akak, bukan masa akak bekerja. Lagipun Isha tu ada kelas. Nanti tak pasal-pasal terlambat. Oh ya, nanti kakak balik sendiri," pesan Afrina seraya menutup pintu kereta. Kepala digelengkan dengan telatah adiknya yang banyak ragam itu.
Bukan niat Afrina mahu berbohong kepada kedua orang tuanya. Tetapi keputusan besar yang menentukan masa depannya telah pun diputuskan oleh Ibrahim. Hanya sahaja, Afrina tidak mempunyai keberanian untuk menyampaikan keputusan itu. Biarlah, Ibrahim yang berhadapan sendiri dengan abahnya Afrina.
Kini, Afrina juga mahu berhadapan dengan ibunya Hud Aidan sendiri. Sama seperti perancangan yang telah dibincangkan beberapa hari yang lalu.
"Oh wait! Look... who's here right now!"
Suara yang muncul dari belakang mematikan lamunan panjang Afrina. Dari ekor mata, dapat dia lihat seorang figura sudah berdiri di belakangnya. Tak usah lagi Afrina bertanya siapakah gerangan yang tiba-tiba muncul tanpa diundang.
"Ya, Puan Amelia. Ada apa-apa masalah ke dengan kehadiran saya dekat rumah puan? Oh maksud saya rumah mertua puan?" soal Afrina seraya kalih ke belakang. Matanya dipusatkan memandang raut wajah wanita berambut blonde itu.
"Wow! So interesting yang kau boleh tahu kedatangan kau ini membawa masalah buat aku. You know what, bitch... aku tahu hubungan kau dengan adik ipar aku tu macam mana. Such a lovey dovey right? Tapi..."
Amelia jeda.
Penampilan Afrina dari atas sampai ke bawah dipandang dengan rasa jengkel. Kasut tumit tingginya sudah berbunyi tatkala dia berpusing mengelilingi Afrina. Memerhatikan penampilan Afrina yang tertutup bersama tangan yang disilangkan ke dada.
"Tapi kau rasa... kau ni layak ke nak bermenantukan Datin Khalida? Huh? Kau sedar tak penampilan kau yang bertutup ni nampak kampung? Tu hah kalau kau nak jadi pembantu rumah dekat rumah ni aku setuju sangat! Tapi kalau kau nak jadi adik ipar aku... malu tahu tak! Mana aku..."
"Aku rasa kau yang patut malu dengan mertua kau sendiri, Puan Amelia. Kau yang selama ni ambil kesempatan di atas kekayaan suami kau. Aku memang nampak kampung dan mungkin aku tak layak nak berdamping dengan adik ipar kau. Tapi sekurang-kurangnya, aku tahu jaga maruah diri aku sendiri!" tegas Afrina. Segaris senyuman sinis terukir di bibir gadis itu. Panggilan juga sudah bertukar kasar.
Bukan namanya Naurah Afrina yang hanya bisu apabila diperlekehkan. Selagi dia bisa melawan, selagi itu dia bisa mengeluarkan hujahnya.
"Kau nak cakap yang aku tak jaga maruah diri aku? Macam tu?"
Tak semena-mena, naik seoktaf suara Amelia di perkarangan rumah agam itu tatkala Afrina seakan-akan mahu mencalar kesabarannya. Bukan main hebat lagi gadis bertudung bawal putih itu membidas omongannya.
"Kalau kau sedar diri, baguslah! Aku ingatkan kau tak sedar yang kau ni tak pandai jaga maruah diri kau sendiri," bidas Afrina bersama pandangan yang sinis. Tanpa berlengah, langkah diatur memasuki rumah agam itu.
Tak betah mahu terus-terusan berlawan bicara dengan wanita yang tidak mempunyai adab. Ada pula dikatakan menutup aurat itu kekampungan walhal menutup aurat itu sebahagian daripada kewajiban dalam Islam untuk menjaga maruah diri.
Amelia yang sudah disimbah dengan minyak terus merasakan dirinya dicampak ke dalam kolam yang penuh dengan api. Kemarahan terus membakar dinding hatinya. Bibir diketap menahan geram. Matanya dipincangkan ke arah Afrina yang sudah bertegur sapa dengan Sherina.
"Kau ingat kau boleh jadi sebahagian daripada ahli dalam rumah ini ke? Kau tunggu nasib kau nanti macam mana. Kau tak layak! Farisha yang layak untuk menjadi sebahagian daripada keluarga ini!" desis hati Amelia bersama dengan pandangan yang membunuh.
Tika itu juga, syaitan mula bersuka ria memarakkan lagi api dendam di sukma seorang Amelia.
PEGUN.
Hal itulah yang dirasakan oleh Afrina sebaik sahaja Datin Khalida menariknya ke dalam pelukan erat. Berkerut dahi Afrina dengan tingkah wanita yang sering lancang menghinanya suatu ketika dahulu.
Malahan, Afrina benar-benar rasa janggal bila mana hanya dia dan Datin Khalida ditinggalkan berduaan di kamar itu. Intuisi Afrina mengatakan bahawa ibunya Hud Aidan itu sedang melepaskan beban yang dipikul di bahunya.
"Datin..."
"Afrina, saya minta maaf kalau selama ni saya banyak buat silap dengan Afrina. Saya sedar segala kata-kata saya selama ni bagaikan racun untuk kamu. Besar khilaf saya pada kamu sehinggakan saya tak sedar yang kamu masih punya perasaan," rintih Datin Khalida bersama air mata yang berjejeran jatuh menitis ke pipinya.
Sungguh, betapa tergamamnya Afrina dengan permohonan maaf daripada Datin Khalida. Hanya kornea matanya sahaja yang menatap raut wajah Datin Khalida yang sembap. Manakan tidak, semuanya berlaku secara tiba-tiba.
"Mesti kamu pelik kenapa saya turunkan ego untuk minta maaf," kata Datin Khalida seraya mengesat lembut air matanya. Sesak dadanya mula terasa sebaik sahaja dia melepaskan beban khilafnya terhadap Afrina.
Tangan Afrina ditarik lalu digenggan erat. Raut wajah gadis berkulit kuning langsat itu ditatap bersama segaris senyuman yang terukir di bibir pucatnya. Siapa sangka, dia yang dahulunya sentiasa menghina Afrina bisa meruntuhkan ego dek kerana ujian yang melanda hidup keluarganya.
"Saya dah tahu semuanya. Saya dah tahu apa dah jadi dengan anak-anak saya. Termasuklah masalah besar anak saya yang membuatkan kamu turut menjadi mangsa. Saya minta maaf, Afrina," rintih Datin Khalida sebelum setitis demi setitis air matanya mengalir lagi.
Sungguh, Afrina merasakan akalnya sudah terkunci dari mengeluarkan sebarang diksi. Omongan Datin Khalida sudah cukup menjelaskan persoalan yang bermain di benak fikiran sebentar tadi. Malahan, hanya jantung Afrina sahaja yang berdegup kencang dengan kejutan di depan mata!
"Saya dah tahu... nyawa Hud jadi sasaran musuh kerana harta. Kejadian penculikan yang melibatkan kamu juga saya dah tahu. Memang selama ni anak-anak saya berjaya menutup segala masalah yang membelenggu mereka. Namun, saya ini ibu kandung kepada Hud Aidan. Saya tahu ada yang tak kena sejak kejadian dia selalu menghilangkan diri lagi," luah Datin Khalida dengan kepala yang sudah tertunduk melepaskan tangis.
"Datin..."
"Saya juga tahu betapa kuatnya cinta anak saya kepada kamu sehinggakan hatinya terluka parah bila mana... abah kamu menjadi tembok halangan penyatuan kau orang berdua," pintas Datin Khalida. Saat ini, wanita itu hanya mahu melepaskan kesedihan di hadapan Afrina sahaja.
Aneh.
Semenjak Afrina tidak menjadi jururawat peribadinya, Datin Khalida mulai sedar bahawa hanya gadis itu yang boleh dipercayai. Walaupun mulutnya lancang namun terselit kejujuran di sebalik kata-katanya.
"Saya cuma mahu meluahkan semuanya kepada kamu. Keadaan saya sudah semakin memburuk. Kamu tahu kan saya menghidap penyakit jantung kronik? Semakin hari, saya semakin merasakan masa saya dah tak lama. Sebab itulah, saya mahu berhadapan dengan kamu," tambah Datin Khalida lagi. Sesekali, dia terbatuk-batuk menahan perih di dada.
"Datin... saya dah maafkan semua kesilapan datin terhadap saya. Benda yang dah lepas, tak usah dikenang lagi. Pasal Hud, sekarang pihak polis masih berusaha untuk mencari dalang utama. Pasal Sherin, Zanif dah menghilang entah ke mana dan dalam buruan polis. Datin jangan fikirkan sangat pasal masalah itu. Sebab itu, anak-anak datin rahsiakan segalanya. Dia orang khuatir dengan kondisi ibu mereka," pujuk Afrina seraya menghulurkan segelas air suam kepada Datin Khalida. Belakang tubuh wanita itu lantas diusap lembut.
Mahu sahaja Afrina bertanya siapakah gerangan si mulut tempayan yang sudah membocorkan segalanya. Kerana si pelaku, kondisi Datin Khalida mula merosot. Tubuhnya semakin cengkung dengan wajah yang sembab dan pucat.
Kata Sherina, hampir setiap malam Datin Khalida diserang penyakit jantung. Namun, ibu mereka ini degil orangnya. Tidak mahu mendapatkan rawatan di hospital.
"Datin..."
"Afrina, kamu cintakan anak saya?"
Sebaik sahaja soalan itu diutarakan, Afrina terus menatap semula wajah Datin Khalida yang sudah tersandar di kepala katil. Masih kuat genggaman wanita itu seakan-akan tidak mahu melepaskan Afrina pergi.
"Ya, datin. Saya sayangkan anak datin setulus hati saya. Cuma saya tak tahu, sejak bila perasaan itu hadir. Apa yang saya tahu, saya selalu khuatir bila dia dalam bahaya," jawab Afrina seraya tertunduk menekur jari jemari runcingnya. Bahang di wajah mula terasa sebaik sahaja dia mengakui isi hatinya terhadap Hud Aidan.
"Kalau begitu, saya sebagai ibu kandung Hud Aidan... menginginkan kamu untuk menjadi pendamping hidupnya. Saya mahukan kamu menjaga dan menyayanginya. Menjadi sebelah sayapnya untuk melengkapkan hidupnya. Kamu sudi jadi isteri kepada anak saya, Naurah Afrina?"
Nah! Pinangan daripada ibunya Hud Aidan benar-benar menggoncangkan sukma Afrina. Wajah manis Datin Khalida yang sedang tersenyum membibitkan debaran yang maha hebat di dinding hati Afrina. Sungguh, Afrina benar-benar merasakan mimpi di siang hari!
ROMAN wajah gadis yang seakan-akan tenggelam dengan lamunannya sesekali dipandang sekilas lalu. Tergaris senyuman di bibir pemuda itu melihat Afrina yang seakan-akan diserang sebuah kejutan yang maha hebat.
"Kau sedang membayangkan masa depan kita ke, cik misi?" soalnya sambil fokus dengan pemanduan. Mood mengusik sudah mula menerjah akal fikiran.
Afrina hanya senyap. Pinangan daripada ibunya Hud Aidan pagi tadi seakan-akan sebuah paparan yang diulang tayang di benak fikiran Afrina. Semuanya terlalu cepat! Masalah di antara dia dan Ibrahim masih belum selesai dan kini dia berhadapan lagi dengan sebuah kejutan yang membuatkan Afrina jadi sesak.
"Tak sangka, gadis yang bencikan aku separuh mati dulu boleh jatuh cinta dengan aku. Itulah, orang tua-tua cakap jangan benci sangat nanti lama-lama jadi suka," usik Hud Aidan lagi bersama segaris senyuman yang semakin melebar.
"Betul tak cik misi?" tambah Hud seraya memetik jarinya di hadapan Afrina. Jauh benar lamunan Afrina sehingga tidak menyedari dia sudah diusik kasar.
"Hah? Apa dia? Kau cakap apa tadi?"
Soalan Afrina yang bertalu-talu berserta gelabah membuatkan Hud ketawa terbahak-bahak. Hailah, Afrina semakin hari semakin menghiburkan seorang Hud Aidan sahaja. Inilah pertama kali dia melihat kekalutan Afrina.
"Kau gelakkan aku ni dah kenapa? Aku tanya saja kan apa yang kau cakapkan tadi? Lawak sangat ke?" marah Afrina dengan dahi yang berkerut. Geram pula dibuatnya bila Hud mentertawakannya.
"Sudah tentunya lawak, cik misi. Muka kalut kau tu pecah rekod bagi aku. Kau risau ke abah kau tak restu lagi bila aku berniat nak jumpa dia sekarang? Jauh sangat kau mengelamun tadi," ujar Hud dengan tawa yang masih tersisa. Senak perut dibuatnya melihat Afrina gelabah.
"Hud, betul ke apa yang kita buat ni? Aku dengan Rahim baru saja putus tunang. Tak sampai seminggu pun lagi kejadian tu berlaku. Aku... rasa bersalah. Aku..."
Afrina kematian diksi. Kepalanya sudah tertunduk tatkala ingatannya terimbas kejadian Ibrahim melafazkan kata-kata keramat itu. Sudah tentunya Afrina rasa bersalah! Ada hati yang terluka. Air muka keluarga Afrina juga tercalar!
"Saya lepaskan awak sebab saya cintakan awak, Naurah Afrina. Saya nak tengok awak bahagia dengan orang yang awak sayang. Memang kita tiada jodoh. Saya reda. Awak pergilah dengan dia... jangan seksa hati awak lagi"
Sehingga ke hari ini, itulah kata-kata keramat yang membuatkan Afrina khuatir. Tapi, Afrina tidak bisa menipu hatinya lagi.
"Macam mana kalau abah tak restu lagi dengan hubungan yang kita mahu bina?"
"Kau tak yakin lagi?"
Afrina angguk.
"Kau percayakan aku?"
Angguk.
"Kau cintakan aku?"
Angguk lagi.
"Kau betul-betul cintakan aku ke, cik misi?" soal Hud lagi dalam keadaan mengusik Afrina yang asyik terangguk-angguk.
Tak semena-mena, Afrina memandang raut wajah Hud dengan rasa kesal. Boleh pula Hud membaling soalan cepumas ke arahnya. Laju saja tangannya menghentak bahu Hud dengan tas tangannya.
Geram!
Sekali lagi, penangan padu Afrina membuatkan Hud terkekek. Memang dia berniat mahu menghiburkan suasana walaupun caranya itu salah.
"Jangan annoying sangat boleh tak? Kepala kau ni memang ada masalah terputus fius ke apa sampai hal serius pun kau selalu main-main!" marah Afrina seraya memalingkan wajahnya ke tingkap. Bergelegak panas hatinya dengan sikap tak semenggah Hud Aidan itu.
Serta merta tawa Hud berhenti. Aura garang Afrina mula memenuhi pacuan empat roda itu. Tipulah kalau Hud tidak khuatir dengan penerimaan Encik Talib nanti. Tapi, Hud Aidan terdesak. Dia mahu melindungi Afrina dengan sebaiknya.
"Aku minta maaf sebab bergurau tak bertempat. Tapi aku tak nak kau terlalu risau dengan keputusan kita. Aku yakin abah kau juga mahukan kebahagiaan anaknya. Jangan risau, semuanya akan baik-baik saja. Aku akan usaha sampai mendatangkan hasil. Tak kisahlah abah kau nak buat apa pada aku. Aku sudah bersedia. Demi kita," pujuk Hud. Lembut saja tutur bicaranya menusuk corong telinga Afrina.
Tatkala pujukan Hud kedengaran, tanpa sedar segaris senyuman nipis terkulum di bibir Afrina. Wajahnya mula membahang dengan debaran yang mula mengetuk dinding hatinya. Hud Aidan, kadangkala pemuda itu membuatkan Afrina teringat pada arwah Umar Al-Fattah.
Pandai memujuk hati Afrina di saat emosi membaluti gadis itu.
"Afrina, aku dengan arwah Umar orang yang berbeza. Memang aku bukan dia. Tapi aku nak lindungi kau untuk tebus semua kesalahan aku. Aku tahu, aku ada sakitkan hati kau. Itupun, demi keselamatan kau. Tapi... aku sedar yang aku harus perjuangkan cinta kita. Kita saling mencintai antara satu sama lain," ujar Hud lagi. Senyuman kebahagiaan turut terpancar di wajah pemuda itu.
"Aku cuma nak bina kebahagiaan bersama gadis yang aku cinta setulus hati aku. Jadi, selagi hayat dikandung badan... selagi tu aku akan tetap jadi pelindung kau. Aku akan berusaha, jadi yang terbaik untuk kau sebaik sahaja aku lafazkan aku terima nikahnya," tambah Hud lagi. Memberikan keyakinan kepada gadis kesayangannya betapa berharganya seorang Naurah Afrina dalam hidup seorang Hud Aidan.
Serentak, mereka berpaling memandang antara satu sama lain sebaik sahaja Hud melafazkan kalimah cintanya. Masing-masing dengan pandangan yang penuh dengan kebahagiaan. Senyuman yang terlukis di bibir masing-masing membuatkan suasana terasa semakin indah.
Bam!
Namun, kebahagiaan itu hanya seketika cuma apabila bonet kenderaan yang dipandu oleh Hud tiba-tiba dirempuh kuat dari arah belakang.
Tak semena-mena, Hud memijak pedal brek apabila kenderaannya tidak dapat dikawal sehingga sebuah lagi kenderaan yang datang dari arah bertentangan merempuh kenderaan mereka.
Kini, dapatlah Hud tafsirkan marabahaya mula menjemput mereka di kawasan itu. Kepala Hud mula berpinar. Debaran di jantumg mula berlari kencang.
"Hud..."
"Call polis dan kau jangan sekali-sekali berani mati keluar dari kereta ni," pintas Hud lantas memberikan arahan mandatori kepada Afrina.
Kunci kereta lantas dibuka apabila musuh mula meluru keluar dari kenderaan masing-masing. Tidak dapat tidak, Hud harus berhadapan dengan musuh-musuhnya juga. Tambahan pula, kereta kesayangannya sudah remuk teruk akibat rempuhan itu!
"Hud Aidan! Aku..."
Afrina kematian kata lagi tatkala Hud berpaling memandang raut wajah pucatnya. Jas hitam yang dipakai oleh pemuda itu dilepaskan dari genggamannya. Sungguh, Afrina takut!
"Call polis. Aku harus selesaikan masalah ini dahulu sebelum aku minta izin daripada abah kau untuk menikahi anaknya. Kau jangan risau, aku tak akan biarkan mereka cederakan aku," ujar Hud. Kepala dianggukkan agar Afrina yakin sebelum langkah diatur keluar dari kenderaan.
Sebaik sahaja figura Hud terpampang di kornea mata musuh-musuhnya, tempikan dan serangan terus ditujahkan kepada pemuda itu bertubi-tubi. Dapat dianggarkan seramai tiga belas orang musuh sudah mengepungnya.
Kekuda lantas dipasang. Satu tendangan yang mara dari sisi ditepis terlebih dahulu apabila Hud menghayunkan tendangan kuatnya tepat ke tengkuk pemuda berambut punk.
Dua lagi mara dari arah hadapan dengan sebilah parang yang berada di tangan masing-masing. Namun, kesungguhan Hud membuatkan dia berjaya membentes serangan itu. Lengan kedua orang musuh lantas dipusing ke belakang sehingga erangan kuat mereka kedengaran. Bunyi bahu yang dipatahkan kedengaran serentak dengan lolongan kesakitan musuh-musuh.
Baru sahaja Hud menjatuhkan tiga orang musuh, serangan demi serangan ditujahkan lagi kepadanya tanpa sempat Hud mengatur nafas. Dia sudah berjanji dengan Afrina maka janji harus ditunaikan! Hari ini, Hud Aidan juga mahu meminta restu daripada walinya Afrina!
Melihat Hud bergasak tanpa bantuan membuatkan Afrina semakin tak senang duduk. Mana mungkin dia membiarkan Hud berseorangan sedangkan dirinya mempunyai skil mempertahankan diri. Tidak dapat tidak, Afrina tidak mempunyai pilihan lain! Walaupun Hud masih gagah berdiri menentang musuh, namun rasa khuatirnya tidak dapat dikawal lagi.
Lantas, Afrina turut melangkah keluar dari kereta. Dua orang musuh yang mahu menyerang Hud mendapat serangan hendapnya terlebih dahulu. Afrina membentes kaki seorang lelaki berkepala botak dan menghayunkan tendangan kuatnya ke kepala bertalu-talu sehingga lelaki itu rebah.
Malah, Afrina tangkas mencengkam rambut seorang lagi musuh seraya dihentak kuat ke atas bonet kereta. Tendangan bertubi-tubi lantas dihayunkan ke kelengkang si durjana sehingga erangan kesakitannya kedengaran.
Kini, tersisa tujuh lagi musuh yang sudah mengelilingi Hud dan Afrina di dalam sebuah bulatan.
Belakang bertemu belakang. Deruan nafas yang turun naik menyapa wajah keduanya.
Baik Hud mahupun Afrina, keduanya sudah dalam keadaan bersiap siaga untuk membalas serangan daripada musuh yang sudah mengepung mereka di kawasan berhampiran belukar itu.
"Kepala batu betullah kau ini, cik misi," keluh Hud bersama dengan nafas yang sudah tercungap-cungap.
"Aku cuma nak cepatkan urusan rasmi kau saja, Encik Hud Aidan," tegas Afrina sebelum keduanya meluru ke arah musuh untuk membalas serangan.
Bersambung...
Panjang pula episod kali ini 😆 sebab weekend je Syaf free nak update
Macam mana dengan episod kali ini? Mixed feeling tak? 🤣
Maaf kalau episod ini hambar. Kalau dah baca nak bintang boleh? Ehek 🙈
Sedutan episod 39
"Apa jaminan kau yang mengatakan anak aku akan selamat sebaik sahaja dia sah menjadi isteri kau? Ini soal masa depan anak aku! Tugas aku sebagai seorang ayah kepada Naurah Afrina adalah untuk melindunginya. Tolong fikir masak-masak, Encik Hud Aidan."
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro