Episod 37 🍃
KESAKITAN yang sudah menjalar di segenap sendi-sendinya membuatkan Afrina hanya mampu memejamkan mata. Rintik-rintik peluh sudah mengalir ke pipi gadis itu. Dahinya berkerut menahan sakit yang seakan-akan mahu membunuhnya. Tangan yang sudah berlumuran dengan darah hanya ditekup di kawasan luka untuk menahan pendarahan.
Malahan, bau minyak petrol yang dituang ke atas tubuhnya dan bau hanyir darah membuatkan tekak Afrina berasa loya.
Ketika itu, Afrina hanya mampu merintih kepada yang Maha Esa agar dia diberikan pertolongan. Sungguh, Afrina takut. Gadis itu mahu melawan namun tikaman itu seakan-akan melumpuhkan tubuhnya sekelip mata! Siapa sahaja yang mahu mati dalam keadaan dibunuh dengan kejam?
Bukan itu sahaja, luka tikaman pada perutnya yang sedang dipijak oleh si keji membuatkan nafas Afrina semakin sesak. Perutnya benar-benar terasa senak seolah-olah isi perutnya dirodok habis-habisan sahaja.
Dengan pandangan yang pedih dan berbalam-balam, Afrina mencelikkan matanya. Kelihatan si penjahat sudah mengeluarkan mancis dari poket seluarnya. Semakin menggeletar hebat tubuh Afrina dengan tekad si keji yang mahu menyeksanya hidup-hidup!
"Bajingan kau! Lepaskan Afrina aku!"
Tatkala suara keras itu menusup masuk ke corong telinga Afrina, tatkala itu juga Afrina merasakan rintihannya didengar oleh Allah. Manakan tidak, tubuhnya yang sedang dipijak serta merta terlepas apabila si pemilik suara terus menyerang hendap si pengkeji itu.
Si figura berjas hitam itu langsung membantai si penyerang tanpa berkesempatan si penyerang membalas pukulan penyelamatnya Afrina. Pemuda itu benar-benar diserang amarah yang maha hebat!
Bertalu-talu tumbukan dihayunkan ke wajah si penyerang tanpa henti. Melepaskan amarah yang membenam di jiwa tatkala melihat gadis kesayangannya hampir dibakar hidup-hidup di hadapan matanya sendiri!
"Hud..."
Belum sempat Hud menarik topeng si pengkeji, suara lemah Afrina menyapa halwa telinganya. Nafas Hud sudah turun naik melepaskan amarah yang membakar sukmanya.
Lantas, buru-buru Hud menanggalkan jas lalu menjatuhkan lututnya di sebelah Afrina. Luka tikaman Afrina langsung ditekup oleh pemuda itu untuk menahan darah dari terus mengalir.
"Afrina... a... aku minta maaf Afrina. Aku lambat... selamatkan kau! Aku lambat... lindungi kau sampai kau harus terseksa macam ni," rintih Hud Aidan seraya menggagau telefon pintarnya untuk menghubungi paramedik.
Afrina hanya diam. Hanya pandangannya yang semakin kuyu sahaja menatap wajah gusar Hud. Si penyerang pula sudah berjaya melarikan diri tanpa sempat dilumpuhkan oleh Hud Aidan.
"Afrina, kau akan selamat. Aku tak akan biarkan sesiapa sentuh kau walau sehelai rambut sekalipun. Aku janji aku akan lindungi kau dari jauh lepas ni. Tapi tolong bertahanlah. Aku minta maaf Afrina. Semua ni salah aku," rintih Hud Aidan lagi dengan titisan air mata yang mula jatuh membasahi pipinya.
Sungguh, Hud takut jikalau dia kehilangan Afrina. Jiwanya benar-benar rapuh melihat Afrina yang sudah cedera parah di atas jalan. Melalui lampu jalan di kawasan itu, Hud dapat melihat betapa pucatnya wajah manis Afrina. Darah mengalir di atas jalan tanpa henti. Gagal! Hanya itu yang Hud rasakan saat ini apabila dia gagal melindungi Afrina.
Tika itu, semakin Hud berada di sisinya, Afrina semakin beransur tenang meskipun kesakitan semakin menghambat tubuhnya. Sesekali, dahinya berkerut menahan sakit yang sudah menggigit hingga ke tulang hitam. Air matanya juga tak henti-henti mengalir ke pipi dengan perasaan yang bercampur baur.
"Semuanya akan baik-baik sahaja Afrina. Jangan takut. Aku akan selalu ada di sisi kau. Selagi Allah pinjamkan udara untuk aku... selagi tu aku akan selalu jadi pelindung kau walaupun dari jauh," pujuk Hud lagi sambil menatap roman wajah Afrina yang kelihatan sayu.
Sungguh, segala rintihan dan omongan Hud Aidan bagaikan ubat yang mengikis kesakitan Afrina. Gadis itu benar-benar rasa dilindungi dengan kata-kata Hud.
Sememangnya, Hud sudah menyalurkan kekuatan buat Afrina. Afrina juga menginginkan Hud berada di sisinya setiap detik dan waktu! Itu sahaja keinginan seorang Naurah Afrina. Namun, mengapa ketika hatinya sudah terbuka untuk menerima orang baharu harus ada tembok halangan di antara mereka?
Sungguh, Afrina lelah. Jiwanya semakin rapuh dengan segala dugaan yang ditempuhi. Afrina hampir mengalah. Dia hanya mahu berehat panjang dari memikirkan segala masalah yang membelenggu hidup. Itu sahaja.
"Afrina! Buka mata kau. Tolong Afrina... aku merayu kepada kau. Aku akan usaha... ya aku akan usaha supaya kita boleh bersatu. Aku tak akan jadi pengecut..."
Lagi dan lagi Hud melontarkan kata-kata yang semakin menusuk dinding hati Afrina. Dapat Afrina dengar rintihan sayu pemuda yang sentiasa gagah menentang musuh itu semakin mendayu-dayu. Kesedihan Hud juga seolah-olah memberikan satu suntikan halus yang membuatkan jiwa Afrina semakin menderu sakit.
"ABANG... abang okey ke? Kenapa Sherin tengok mata abang sembap? Abang lepas menangis ya?"
Sebaik sahaja Hud melangkah masuk ke dalam wad yang ditempatkan oleh adiknya, soalan cepumas lantas dilontarkan tanpa sempat Hud melabuhkan duduk. Segaris senyuman pahit terukir di bibir pemuda itu. Menyembunyikan sebu yang tertanam di dinding hati.
"Mama kan tak berapa sihat sebab tu abang kena berjaga sampai lewat malam. Mama risau dengan Sherin. Tapi tak apa, abang Sherin ini dah handle semuanya. Jangan risau," helah Hud sambil mengenggam tangan adiknya yang sedang bersandar di kepala katil.
"Tapi kenapa Sherin dapat rasakan yang abang ada masalah?" soal Sherina tidak mahu mengalah.
"Sudah. Jangan fikir pasal abang. Apa yang penting Sherin dah boleh balik rumah hari ini. Dina siap tunggu mummy dia balik tau," ujar Hud. Segera Hud mengubah topik agar Sherina berhenti dari bertanyakan soalan yang dapat menambahkan sebak di sukma Hud Aidan.
Sherina sekadar mencebik geram dengan sikap Hud. Abangnya itu sering sahaja menyembunyikan masalah tanpa berkongsi dengan sesiapa. Dari mereka kecil sehinggalah dewasa itulah sikap semulajadi seorang Hud Aidan.
"Nanti dekat rumah, Sherin rehat ya. Jangan fikir pasal apa-apa lagi dah. Pasal Zanif pun, tahulah abang nak buat apa dekat dia nanti. Abang tak akan biarkan dia terlepas macam tu saja!"
Sherina tersenyum simpul dengan tekad abangnya. Hanya anggukan sahaja diberikan tanda mengiakan omongan abangnya itu. Kalau Hud tidak mahu bercerita mengenai masalahnya, Sherina tidak mahu memaksa.
Tingkah abangnya yang sedang mengemaskan barangannya hanya diperhatikan. Raut wajah Hud tanpa secarik senyuman cukup meyakinkan Sherina bahawa abangnya itu sedang dibelenggu dengan masalah yang bertimpa-timpa.
Hanya sahaja, Sherina tidak tahu apakah masalah yang menimpa abangnya.
"Kenapa Sherin pandang abang macam tu?" soal Hud dengan kening kiri yang dijongketkan. Aneh melihat adiknya yang sedang memberikan pandangan yang membunuh.
"Abang dengan Afrina macam mana?" soal Sherina tanpa mukadimah. Mahu menyiasat sendiri masalah abangnya.
Hud terkesima buat seketika dengan soalan cepumas Sherina. Pandangan terus dialihkan dari memadang raut wajah adiknya itu. Sungguh tika ini, Hud tidak mampu menyembunyikan gelodak di jiwanya!
"Abang..."
"Kenapa tiba-tiba tanya pasal Afrina? Dia tak ada apa-apa kaitan pun dalam keluarga kita. Sudahlah. Jangan tanya abang pasal Afrina lagi. Apa yang paling penting sekarang ni, diri Sherin tu. Sherin dah cukup terseksa angkara Zanif. Abang nak Sherin pulihkan semangat Sherin semula dan terima Dina sepenuhnya sebagai anak kandung Sherin," pintas Hud dengan dahi yang berkerut. Terpampang ketegasan di sebalik wajah pemuda berparut di dahi kiri itu.
Ketika arahan penuh autoriti itu terpacul keluar daripada Hud Aidan, ketika itu juga Sherina jadi bungkam. Wanita muda berambut ikal mayang itu seakan-akan dikunci untuk bersuara tatkala abangnya mula bertegas. Perihal anak perempuannya yang turut ditegaskan oleh Hud membuatkan Sherina kehilangan diksi.
Sudah tentunya dia terasa!
"Jom, balik. Sherin rehat dekat rumah saja lagipun abang risau pasal mama. Sejak dua menjak ni kesihatan mama semakin merosot," tambah Hud lagi seraya mengusap lembut ubun-ubun Sherina. Segaris senyuman pahit terukir lagi di bibir pemuda itu.
Terlalu banyak masalah yang menimpa sehingga Hud mula lelah. Tembok kekuatannya seakan-akan hilang dibawa pergi oleh masalah yang semakin bermaharaja di benak fikiran.
Manakan tidak, belum selesai lagi kes ancaman ke atasnya, ditambahkan lagi dengan masalah keluarga yang tiada penamatnya, kesihatan ibunya pula semakin hari semakin merosot. Afrina, di saat dia merasakan gadis itu tunjang kekuatannya di saat itu juga dia harus menyakiti dua hati yang saling bersatu.
Semuanya demi keselamatan Afrina sahaja!
Kini, satu lagi masalah menimpa tatkala Afrina diserang sehingga gadis itu mengalami kecederaan. Mana bisa Hud berasa tenang tika ini. Hud Aidan benar-benar merasakan kegelapan membaluti hidupnya.
Hanya berserah kepada yang Maha Esa sahaja yang Hud mampu saat ini.
KAD undangan berwarna biru muda yang bertuliskan Naurah Afrina dan Muhammad Ibrahim hanya menjadi tatapan sayu si gadis yang berdiri di hadapan sebuah tingkap.
Tika ini, Afrina merasakan bahawa hidupnya sudah tak ditentukan atas kehendaknya lagi melainkan sedang menjadi percaturan ibu bapanya dan Ibrahim sendiri.
Belum lagi sembuh luka tikaman yang dihunus ke tubuhnya minggu lalu, kini kesakitan di laman sukmanya pula menyusul. Tiadakah erti bahagia buat dirinya saat ini? Sungguh, Afrina seakan-akan dapat merasakan semula emosi di mana arwah Umar meninggalkannya dahulu.
Kesedihan.
"Maafkan saya, Afrina. Tapi majlis kahwin kita harus dicepatkan memandangkan saya tak sanggup nak tengok bakal isteri saya terus dalam keadaan bahaya. Sekurang-kurangya, kalau saya menikah dengan awak... musuh Hud tak akan jadikan awak sebagai sasarannya lagi!"
Itulah kalimat yang diucapkan oleh Ibrahim kepada Afrina semalam. Tatkala itu, dinding hati Afrina yang seakan-akan ditikam dengan mata pedang yang tajam terasa semakin perit sehingga menerbitkan cecair jernih di kelopak matanya.
"Hud... macam mana dengan kita?" desis hati Afrina seakan-akan Hud berada di hadapannya tika itu. Kad undangan perkahwinan terus digenggam erat sehingga renyuk. Seremuk hati Afrina tatkala Ibrahim dan Encik Talib membuat keputusan untuk mempercepatkan tarikh pernikahan tanpa Afrina tahu.
Kecewa, marah, sedih. Semuanya sebati menjadi satu.
"Kau memang nak mengalah ke... Hud Aidan? Kau..."
"Siapa cakap aku nak mengalah?"
Tatkala lontaran suara garau itu menusuk ke corong telinga Afrina, ketika itu juga gadis berselendang hitam itu seakan-akan tersentak buat seketika. Kepala lantas dikalih ke belakang memandang si empunya diri yang memintas rintihan hati Afrina itu.
Terpampang wajah seorang pemuda yang kelihatan letih di kornea mata Afrina. Saat mata mereka saling bertentangan antara satu sama lain, saat itu juga pandangan yang terbias dengan kerinduan tersirat di bening mata keduanya.
"Hey Afrina, kenapa kau jadi cengeng lepas jatuh cinta dengan aku?" soal Hud tak semena-mena. Langkah diatur menuju ke meja tepi katil lalu sekuntum bunga mawar merah diletakkan di dalam pasu bunga. Itulah rutin hariannya selama Afrina terlantar di atas katil. Membawa sekuntum bunga mawar merah buat Afrina pada setiap malam.
"Mana Afrina yang tegas orangnya? Hebat berhujah dan petah berlawan bicara dengan mama aku yang cerewet?" tambah Hud lagi sambil membetulkan tujuh kuntum bunga mawar merah yang sentiasa diberikan kepada gadis kesayangannya itu.
Afrina sudah kaku dengan setiap butir bicara Hud. Tiada lagi keegoan yang tertanam di lubuk hati. Apa yang tinggal, hanyalah rasa terkejut tatkala Hud muncul secara tiba-tiba. Malahan, Afrina juga kaget melihat Hud dengan selambanya meletakkan bunga kegemarannya ke dalam pasu bunga.
"Tak sangka kau berjaga malam ni. Selama ni bila aku datang wad, kau selalu jadi sleeping beauty. Jadi, aku letakkan saja sekuntum bunga mawar merah selama enam hari ini untuk bagi kesegaran buat kau. Alhamdulillah, aku senang tengok kau dah bangun dari katil," ujar Hud sebelum segaris senyuman terukir di bibirnya. Senang hati melihat Afrina sudah mampu berdiri semula setelah seminggu kejadian malang menimpa gadis itu.
"Hud... aku dengan Rahim..."
"Dua minggu lagi kau akan bergelar isteri kepada Ibrahim, kan? Sebab tulah aku kena habiskan masa yang masih tersisa ni untuk jaga kau supaya kejadian dulu tak berulang lagi," pintas Hud. Ada ketegasan di sebalik suara pemuda berkulit sawo matang itu.
"Habis tu kita macam mana?"
Entah keberanian apa yang menyapa Afrina tatkala dia mengujarkan soalan berani mati itu. Ada rasa janggal membisik sukmanya. Manakan tidak, selama ini Afrina tidak pernah menjangkakan bahawa dia akan bermain hati dengan Hud Aidan. Semuanya berlaku secara tiba-tiba!
Melihat air muka Afrina yang sayu turut menikam jiwa Hud Aidan. Titisan cecair jernih yang mengalir di pipi si gadis sudah cukup menjelaskan bahawa Afrina tidak tega untuk melepaskannya pergi. Mahu sahaja Hud mengesat air mata itu dan membawa Afrina lari daripada penderitaan yang berpanjangan.
"Apa kata kau ikut aku. Tamatkan semua kesakitan yang kita rasakan saat ini. Kau sudi?"
"Ikut kau? Pergi mana?"
"Kahwin lari. Yes or no. Itu sahaja jawapannya Naurah Afrina."
Tawaran tanpa sebarang tapisan itu serta merta membuatkan luka Afrina terasa nyilu. Air mata yang mengalir ke pipinya dikesat lembut sebelum duduk dilabuhkan di birai katil. Tertunduk kesakitan Afrina dibuatnya dengan tawaran gila daripada Hud Aidan.
Kaget.
"Afrina, kau okay? Aku panggil..."
"Kahwin lari? Kau jangan main-main dengan benda macam ni, boleh tak?" marah Afrina dengan dahi berkerut seribu. Nada suaranya masih bergetar menahan sebak di dada. Geram pula Afrina bila pemuda tiga suku itu seakan-akan bermain dengan soalan seriusnya.
"Aku tak pernah main-main pasal kita, cik misi. Aku serius dengan apa yang ada dalam fikiran dan hati aku. Kau cintakan aku dan aku terlalu cintakan kau sampai aku jadi tak keruan. Hanya jawapan yang keluar daripada mulut kau akan menentukan hubungan kita," tegas Hud. Hilang sudah senyuman di bibir pemuda itu bila mana Afrina beranggapan bahawa dia tidak serius.
Suasana yang terasa janggal mula memenuhi ruangan wad itu. Baik Afrina mahupun Hud Aidan keduanya sudah kelu untuk berbicara. Hud setia menanti jawapan yang akan terpacul keluar dari bibir Afrina. Manakala Afrina pula sudah membuang pandangannya dari menatap wajah Hud Aidan.
Ada debaran yang mula mengetuk pintu hati Afrina bertalu-talu tika ini. Hud mengajaknya untuk kahwin lari? Sungguh, itu perkara paling gila seumur hidupnya! Mana bisa dia hidup tanpa restu ibu bapa. Tapi Afrina juga tidak mampu menegah keinginannya untuk menjadi pendamping hidup Hud Aidan.
Sungguh, Afrina buntu.
"Semua ni mengarut." Hanya itu sahaja yang terpacul keluar dari mulut Afrina. Bahkan, antara dengar tak dengar saja suara Afrina tika itu.
Hud hanya tersenyum simpul melihat Afrina kebingungan. Hari demi hari, Hud dapat melihat bahawa gadis ini bukan lagi Naurah Afrina yang tegas bila berhadapan dengannya. Sisi Afrina yang hanya ditonjolkan dengan orang terdekatnya sahaja yang dapat Hud lihat saat ini.
Hailah, sikap Afrina yang satu ini buat Hud rasa mahu bawa Afrina lari jauh daripada halangan di antara mereka sahaja. Tapi apakan daya, Hud menghormati keputusan Afrina.
"Hud, kahwin lari tak akan selesaikan semua masalah yang membelenggu kita. Kita dah macam lari daripada masalah kalau kita buat keputusan macam ni. Masih ada cara lain..."
Bam!
Pintu yang dihempas dari luar serta merta mematikan bicara Afrina. Serentak Hud dan Afrina berpaling memandang si figura yang datang secara mengejut itu. Hampir putus nafas Afrina melihat wajah yang terbias dengan riak bengis di hadapannya. Rasa bersalah mula menujah kotak hati.
"Racun apa yang kau dah bagi dekat tunang aku, Hud Aidan?" soal Ibrahim dengan gigi yang saling berlaga menahan geram. Wajah Hud dan Afrina dipandang silih berganti dengan tatapan yang kecewa.
"Rahim... awak salah sangka..."
"Awak diam Afrina! Saya tanya Hud sekarang ni bukan awak!" bentak Ibrahim sambil mencerlungkan anak matanya ke arah Afrina.
Selangkah demi selangkah, Ibrahim menghampiri Hud yang bersandar di belakang dinding. Tangan sudah dikepal erat melihat wajah tenang sahabatnya itu. Dia sudah dengar semua perbualan di antara Hud dan Afrina. Nyata, mereka berdua saling mencintai antara satu sama lain.
"Kau nak pukul aku? Silakan. Tapi kau tak boleh ubah yang tunang kau..."
Buk!
"Itu yang kau mahukan, bukan?" tegas Ibrahim sebaik sahaja dia melepaskan sebiji penumbuk ke rahang sahabatnya. Melepaskan amarah yang sudah tertanam di sudut hati.
Penangan kuat Ibrahim itu membuatkan kepala Hud terteleng ke kanan. Tumbukan padu itu benar-benar membuatkan Hud merasakan rahangnya dipatahkan. Cecair merah yang mengalir di hujung bibir lantas dikesat kasar. Tergaris senyuman sinis di bibir pemuda itu apabila Ibrahim melepaskan amarahnya.
"Apa yang kau cuba buat dekat tunang aku? Kau nak bawa dia lari? Kau dah gila ke apa hah!"
Kemarahan Ibrahim semakin terasa hangat tatkala intonasi suaranya semakin bergema di ruang wad itu. Kolar kemeja Hud lantas dicekak dengan anak mata yang sudah menikam raut wajah sinis Hud Aidan.
"Rahim... tolonglah jangan hangatkan keadaan. Semua ni salah saya..."
"Kau duduk diam-diam dekat situ saja Afrina. Ini masalah di antara dua lelaki yang mencintai gadis yang sama. Kau tak bersalah. Tiada siapa yang bersalah dalam hal ini. Perasaan itu hadir kerana anugerah daripada Allah. Allah juga yang membolak balikkan perasaan kita," pintas Hud. Tajam anak matanya menikam anak mata Ibrahim yang bagaikan mata helang yang bersedia menyambar mangsa.
Afrina jadi kelu tatkala dia terus-terusan dihalang untuk berbicara. Wajah Ibrahim dan Hud dipandang silih berganti. Sungguh, Afrina takut jikalau keadaan tak terkawal. Di saat itu juga, Afrina hanya memikirkan kemarahan Ibrahim tanpa memikirkan kecederaan lukanya yang mula terasa nyilu.
"Aku minta maaf, Rahim. Tapi aku tak boleh nak tengok Afrina terus menipu dirinya sendiri. Aku tak berniat nak bawa dia lari tapi... hati aku... hati aku merana bila mana Afrina terpaksa menurut sesuatu yang dia tak rela. Hati kami saling bersatu," tegas Hud meluahkan isi hatinya yang terpendam setelah sekian lama.
Makin bergelegak panas dinding hati Ibrahim dengan omongan Hud. Wajahnya mula membahang panas impak daripada letusan berapi yang membakar jiwanya. Cengkamannya diketatkan lagi dengan pandangan yang semakin membunuh.
"Kau... kau memang dah cabar kesabaran aku! Kau..."
Jeda.
Mahu sahaja Ibrahim melayangkan lagi penumbuknya jika tiada Afrina di ruangan itu. Melepaskan rasa kecewa dan marahnya tatkala Hud Aidan berjaya memenangi hati Afrina. Sungguh, Ibrahim rasa tertipu dan dikhianati!
"Rahim... kita boleh berbincang..."
"Diam cik misi!" Serentak Hud dan Ibrahim memberikan arahan mandatori kepada Afrina yang semakin diserang khuatir. Keduanya turut memberikan pandangan tajam kepada Afrina.
Tika itu juga hanya keluhan berat terlepas daripada dua ulas bibir Afrina. Bibir diketap menahan geram dengan dua figura yang tak mahu memberikannya peluang untuk bersuara. Apa mereka ingat dia ini tidak mempunyai perasaan? Apa mereka ingat dia ini boneka yang hanya bisa duduk diam?
Sungguh, baik Hud mahupun Ibrahim keduanya sudah menyimbah minyak di dahan hati Afrina sehingga hati gadis itu turut dibakar dengan kemarahan.
"Then, both of you just get out from here! Kau orang nak bertumbuk pun silakan tapi bukan depan aku! Aku perlukan rehat yang cukup," tegas Afrina dengan suara yang naik seoktaf. Hilang sudah kesabaran gadis berwajah pucat itu.
"Afrina... awak kena tahu keputusan..."
"Saya tak nak tahu apa-apalah Rahim! Kepala saya dah cukup sesak dengan semua masalah ini. Baik kau orang berdua keluar dan selesaikan dengan cara lelaki!" pintas Afrina seraya melabuhkan tubuhnya di pembaringan. Selimut ditarik seraya menutup seluruh tubuhnya.
Tak betah dia mahu memikirkan masalah besar tika ini dengan kesakitan yang mula menyucuk lukanya.
Bersambung...
Sorry guys kalau episod kali ini sendu dan cringe semacam 😖
Syaf nak selesaikan masalah Hud dan Afrina dulu sebelum kita saksikan semula aksi bergasak ☺
So macam mana episod kali ni? Serabut bukan? 🤣
Sedutan episod 38
Belakang bertemu belakang. Deruan nafas yang turun naik menyapa wajah keduanya. Baik Hud mahupun Afrina keduanya sudah dalam keadaan bersiap siaga untuk membalas serangan daripada musuh yang sudah mengepung mereka di kawasan berhampiran belukar itu. Sungguh, mereka tiada pilihan lain tatkala kenderaan yang dipandu oleh Hud dikepung dari arah hadapan dan belakang!
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro