Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Episod 36 🍃

BAM!

Pintu yang dihempas kuat serta merta mengejutkan si figura yang sedang menonton televisyen sambil melunjurkan kakinya di atas meja kopi. Pandangan dipusatkan ke arah seorang gadis bertudung bawal putih dengan baju uniform Atma Home Nursing. Jelas, terpancar api yang marak di sebalik roman wajah gadis berkulit putih itu.

"Are you okay sayang?" soal Zanif sambil mengupas kulit kuaci yang diletakkan di dalam mangkuk. Aneh melihat kekasih simpanannya itu disimbah dengan api kemarahan. Manakan tidak, pagi tadi Khadijah kelihatan ceria sahaja.

Khadijah yang sedang menuangkan sebotol air sejuk ke dalam gelas terus mengalihkan pandangannya ke arah Zanif yang kelihatan serabai. Makin bergelegak panas dinding hati Khadijah melihat ruang tamu kondominiumnya yang bersepah. Kelihatan, bertin-tin minuman coca cola dan pepsi di atas meja, dua bungkus polisterin putih dan tiga bungkus plastik keropok.

Sungguh, Zanif benar-benar menyimbah minyak di sudut hatinya sekaligus memarakkan lagi api yang sedia ada. Lantas, gadis itu mencabut tudungnya dan meluru ke arah Zanif.

Splash!

"Wo sayang..."

"Bodoh! Apa yang you dah buat dekat rumah I? I dah berkali-kali cakap dekat you jangan sepahkan ruang tamu rumah I! You ni kan... tak ubah macam biawak hiduplah Zanif!" bentak Khadijah dengan dada yang sudah berombak kencang. Melotot anak matanya merenung wajah Zanif yang sudah kebasahan akibat disimbah dengan air.

Melihat air muka gadis kesayangannya merah menyala membuatkan Zanif tergamam buat seketika. Inilah kali pertama Khadijah berkasar dengannya. Tangan Khadijah lantas ditarik dan digenggam erat. Mahu memujuk si pengarang jantung yang sudah diserang amuk.

"I minta maaf sayang. You tahu kan I stres dengan apa yang dah jadi dekat I sekarang ni. Sungguh, I tak berniat nak susahkan you tapi I dah tak ada pilihan lain dari bersembunyi daripada buruan polis!" ujar Zanif. Nada suaranya sengaja dibuat sayu untuk meraih simpati Khadijah.

"Siapa suruh you belasah perempuan tu! Baru padan muka you! Tak pasal-pasal I kena bersekongkol sembunyikan penjenayah," sindir Khadijah seraya menarik kasar tangannya daripada genggaman Zanif.

Kata-kata sindiran daripada Khadijah sedikit sebanyak mula menusuk hati Zanif. Dia tercabar. Kecil besar saja dipandangnya wajah Khadijah yang sudah berpeluk tubuh dan memandangnya sinis.

"Kerja pun you tak boleh pergi. Inikan pula nak bawa I pergi vacation! Sekarang ni apa? You nak susahkan hidup I pula ke? Dahlah I tak dapat pandora yang I dah lama idamkan itu! You dah mungkir janji dengan I!" bentak Khadijah lagi seraya mendengus geram. Langkah segera diatur meluru masuk ke dalam kamar. Tak betah dia melihat wajah Zanif yang kelihatan serabai itu.

Kemarahan yang dilontarkan oleh Khadijah membuatkan Zanif semakin tertekan. Mahu sahaja ditumbuknya bibir gadis itu. Mujur cintanya kepada gadis itu membejatkan segalanya. Mana mungkin dia memukul gadis tercintanya itu!

Tanpa berlengah, Zanif mengemas ruang tamu yang berselerak itu. Operasi memujuk Khadijah harus dilaksanakan walaupun dia sudah dicabar bertubi-tubi. Kalau dia dihalau, tak fasal-fasal dia merempat di bawah jambatan nanti.

Manakan tidak, sejak syarikat daddynya muflis tujuh tahun yang lalu, hanya keluarga Sherina tempat dia menumpang sedangkan daddynya sudah selamat di alam kubur akibat tertekan. Mummynya pula sudah lari dengan lelaki lain.

Usai menyelesaikan pekerjaan, Zanif turut memanaskan semula makanan yang dibeli untuk Khadijah. Sekuntum bunga mawar plastik di atas meja kopi dicapai lalu diletak di atas dulang yang berisikan makanan dan minuman. Taktik dimulai.

"Sayang, I minta maaf kalau I buat you stres, okey? You makanlah dulu sebelum tidur. Tak elok buat perut kosong nak-nak lagi you ada gastrik. Ni I ada belikan makanan kegemaran you. Char kuey teow seafood," pujuk Zanif seraya meletakkan sedulang makanan di atas meja kerja Khadijah.

Khadijah hanya senyap. Langsung tidak dipandangnya Zanif yang sedang memujuk. Aroma bau seafood yang menyelerakan juga tidak menarik perhatiannya. Pandangannya hanya tertumpu ke luar tingkap sahaja.

"Sayang, ada apa-apa yang I boleh tolong?" soal Zanif lagi sambil mengusap lembut ubun-ubun Khadijah.

"Tolong? You boleh tolong I?" Soalan dibalas dengan soalan. Khadijah mengalihkan pandangannya ke laman wajah Zanif. Hilang sudah kemarahannya kepada Zanif tatkala suara Zanif yang lembut menyapa telinganya.

Zanif tersenyum manis dengan soalan Khadijah. Anak rambut si gadis yang terjuntai diselit ke belakang telinga. "You tahu kan I cintakan you sangat-sangat. I sanggup buat apa saja untuk you sayang. Cakaplah, siapa yang buat bakal isteri I ni marah."

"Afrina! Si sundal itu kan tak habis-habis nak sakitkan hati I. Kalau ikutkan, dah lama I simbah asid dekat muka perempuan jalang itu! Biar dia tahu siapa Khadijah yang sebenarnya. Huh! Mentang-mentang dia staff nurse kesayangan Doktor Azizah sesuka hati dia saja malukan I depan staf lain!" marah Khadijah seraya melabuhkan duduknya di birai katil.

"Dia buat apa dekat you?"

"Dia kata I curang dengan menantu Datin Khalidah! Siap cakap I punca Sherina kena belasah sampai keguguran!" bentak Khadijah lagi. Tangannya digenggam erat dengan gigi yang sudah saling berlaga menahan geram. Jeritannya lantas dilepaskan di bilik itu. Sungguh, Khadijah tertekan!

Zanif mengeluh berat dengan keluhan Khadijah. Duduk turut dilabuhkan bersebelahan Khadijah sebelum dagu gadis itu dicuit lalu dikalih memandangnya. Buat seketika, pandangan dua pasangan kekasih itu saling bersatu sebelum Zanif menarik Khadijah ke dalam pelukannya.

"I nak bunuh dia sayang. I bencikan perempuan tu! Dari awal dia ada dekat Atma Home Nursing tu selalu saja dia sakitkan hati I. Cabar kesabaran I! Dia ingat dia cantik sangat ke? Dia ingat dia tu sempurna sangat sampai nak malukan I?" tambah Khadijah lagi. Tubuh Zanif lantas dipeluk erat untuk menenangkan dirinya yang tertekan.

"You nak I buat apa?" soal Zanif seraya menundukkan pandangannya menatap raut wajah Khadijah.

Tatkala itu, segaris senyuman sinis terukir di bibir Khadijah. Wajahnya didongakkan memandang raut wajah Zanif. Tangannya lantas mengelus lembut pipi kekasihnya itu sebelum duduk ditegakkan.

"I nak... you... lenyapkan dia di atas muka bumi ini," bisik Khadijah seraya mengucup lembut pipi Zanif. Senyuman sinisnya semakin lebar dengan rancangan yang diajukan kepada Zanif.

'Kau patut mati, Afrina!' desis hati Khadijah seraya kembali membenamkan wajahnya ke dada Zanif. Mata terpejam rapat dengan elusan lembut lelaki itu.

"Lenyapkan ya? Kerja mudah saja sayang. Kalau you nak I seksa dia perlahan-lahan sekalipun... I sanggup. Semuanya hanya demi you," bisik Zanif dengan tekad yang sudah tertanam di dinding hatinya.

DERETAN bangunan pencakar langit yang terpampang di luar tingkap lut sinar menjadi tatapan pemuda berjas hitam itu. Tubuhnya disandarkan di belakang kerusi beroda dengan kaki kanan yang diletak di atas riba kiri.

Sesekali, kerusi yang didudukinya dipusing-pusing serentak dengan ruang fikiran yang mula menerawang  kepada perbincangannya semalam. Pen yang berada di tangan sesekali mengetuk dagunya dengan dahi yang berkerut seribu. Sukar untuk dia percaya dengan klu yang sudah terpampang di depan mata!

"Hubungan kau dengan Mirza selalu bermasalah sejak kau orang kecil lagi. Berdasarkan perkara yang kau ceritakan kepada aku juga menunjukkan yang Mirza selalu tak berpuas hati dengan apa yang kau miliki. Kau tak rasa dia ni punca kepada segala marabahaya yang kau tempuhi selama hampir setahun ini ke?"

Deduksi Ibrahim yang terngiang-ngiang di corong telinga membuatkan Hud menggelengkan kepalanya. Dia juga beranggapan mengenai perkara yang sama. Tapi dia tiada bukti untuk menuduh abang tirinya!

"Tapi Mirza dah dapat lebih daripada aku dan adik aku. Apa lagi yang dia mahukan daripada kita orang? Memang aku setuju dengan deduksi kau tapi bukti masih tak berpihak kepada kita," tegas Hud sambil berpeluk tubuh. Anak matanya tajam menikam raut wajah Ibrahim yang duduk bertentangan dengannya. Sesekali, bunyi kenderaan di jalan raya berhampiran kedai mamak itu menganggu perbincangan mereka.

"Kalau aku cakap dia nak lepaskan dendam?"

"Dendam?" desis hati Hud tatkala perkataan itu seakan-akan mempunyai unsur yang tersirat. Pen yang berada di tangan terus dipusing-pusing seiringan dengan memori yang mula melayarkan semula mengenai hubungannya dan Mirza Hanif.

Tiada yang indah melainkan sebuah pergaduhan atau permusuhan. Mirza tidak pernah melayaninya sebagai seorang adik melainkan pesaing untuk mendapatkan perhatian daripada papa mereka.

"Hud Aidan! Kau buat apa dekat pejabat aku?"

Tatkala suara keras kedengaran di belakang, segaris senyuman sinis terus terukir di bibir Hud. Dia mengeluh berat seraya memusingkan kerusi menghadap Mirza yang sudah berdiri membelakangi muka pintu.

"Saja. Melawat pejabat arwah papa. Kenapa? Tak boleh ke?" soal Hud seraya menegakkan duduknya. Anak matanya tajam menikam anak mata Mirza yang kelihatan merah menyala seolah-olah ada bebola api yang sedang marak.

"Kau nak apa sebenarnya sampai cari aku dekat pejabat ini?" soal Mirza tanpa menjawab pertanyaan adik tirinya. Sakit betul hatinya melihat Hud duduk di kerusi ketua pengarah syarikat itu. Hud tidak layak!

Soalan sinis Mirza membuatkan Hud tertawa sinis. Geli hatinya melihat wajah Mirza yang seolah-olah tercabar dengan kedatangannya saat itu. Lantas, Hud bersandar di belakang kerusi dan mengetuk meja dengan menggunakan pen yang berada di tangannya.

"Janganlah serius sangat, bang. Aku datang sebab nak tanya kau sesuatu. Hal mustahak dan bahaya juga kalau aku bincang dengan kau dekat rumah," ujar Hud seraya bangun dari duduknya.

Tatkala itu, Mirza mulai menenangkan dirinya dengan provokasi yang seakan-akan berlayar di roman wajah Hud. Sungguh, kalau diikutkan hatinya mahu sahaja dia menembak Hud sampai mati. Melepaskan kepuasan diri!

"Apa dia? Cepat sikit. Jangan nak buang masa aku!" tegas Mirza seraya menanggalkan blazer lalu disangkut di belakang kerusi. Bahang mula terasa meskipun bilik itu mempunyai pendingin hawa.

"As your wish for! Shoot! Aku nak tanya ada apa-apa perkara yang buat kau berdendam dengan aku ke?" soal Hud tanpa mukadimah. Dia terus mengatur langkah dengan perlahan mengelilingi ruang pejabat itu.

Mirza terkelu buat seketika dengan soalan mengejut Hud. Anak matanya hanya memerhatikan Hud yang sedang membelek-belek cenderamata dan anugerah yang diterima olehnya sepanjang menjadi pewaris Idris Holding.

"Kenapa kau tanya aku macam tu? Nampak aku sedang berdendam dengan kau ke?"

Soalan daripada Mirza membuatkan Hud mencebik sinis. Lupakah abangnya bahawa dia ini pernah menjadi seorang anggota polis yang sudah terbiasa melakukan soal siasat? Cara Mirza bertanyakan soalan seolah-olah mahu mengelak sahaja. Itu jugalah perkara yang sering dilakukan oleh suspek untuk mengelak.

"Kenapa kau bencikan aku semenjak kita kecil lagi? Kau cemburu ya papa sayangkan aku lebih daripada kau?" Soalan dibalas dengan soalan lagi. Hud kalih memandang wajah abang tirinya yang sedang bersandar di belakang meja kerja.

Ketika itu, aura dingin mula terpancar di roman wajah Mirza. Bibirnya diketap menahan geram dan amarah dengan reaksi sinis Hud Aidan itu. Manakan tidak, Hud seolah-olah dapat membaca isi hatinya. Ya, dia cemburu!

"Kenapa kau diam? Kau bencikan aku bukan sampai... kau upah orang untuk bunuh aku? Kau upah orang untuk ugut aku dan bahayakan Afrina! Kau jadikan Afrina sebagai titik kelemahan aku sebab kau tahu yang aku terlalu cintakan dia. Sampai abah dia larang kita orang untuk berhubungan! Apa masalah kau Mirza?"

Tak semena-mena, ruang pejabat itu bergema dengan suara Hud Aidan yang lantang menjerkah abang tirinya. Dadanya mula berombak tatkala fikirannya mengimbas air mata Afrina. Ketika gadis itu meluahkan isi hatinya. Ketika Hud takut dengan marabahaya yang menjadi bayang-bayang Afrina.

Hud tertekan! Kerana marabahaya, dia dan Afrina tidak bisa bersatu. Demi keselamatan Afrina, Hud terpaksa menyakiti dua hati yang saling bersatu!

"Kau mengarut apa? Bunuh? Eh aku tak gila..."

"Sampai bila kau nak sembunyikan kelicikan kau?" jerkah Hud lagi. Wajahnya mula berbahang menahan amarah yang semakin berada di kemuncak.

"Kau ada bukti ke nak tuduh yang aku dalang di sebalik ancaman ke atas kau? Sekarang... sebab kau dengan perempuan tu tak boleh bersatu kau nak tuduh aku pula? Hah! Bagus!" cemuh Mirza seraya menepuk kedua belah tangannya. Tergaris senyuman sinis di bibir lelaki berkumis nipis itu. Suka melihat Hud yang semakin tertekan. Hud benar-benar nampak lemah di pandangannya saat ini.

Hud mengeluh berat dengan omongan Mirza. Terasa berat beban yang dipikul di bahunya tatkala kemenangan berpihak kepada Mirza. Bukti. Hanya itu yang dia kurang untuk meyakini dirinya bahawa Mirzalah dalang di sebalik ancaman ini.

"Teruskan... teruskan sandiwara kau Mirza. Memang aku tak ada bukti tapi aku tahu... dalam hidup aku hanya kau yang bencikan aku separuh mati. Mungkin sekarang kemenangan berpihak kepada kau tapi kejahatan tak akan selalunya menang," tegas Hud seraya melangkahkan kakinya keluar dari pejabat itu. Tak betah mahu berhadapan dengan Mirza lagi.

Namun, langkahnya terbejat di hadapan muka pintu tatkala memorinya mengimbas kepada pemilik hatinya yang sudah terluka. Dia juga terseksa melihat Afrina terpaksa menjauhkan diri daripadanya! Hud kesal.

"Satu lagi, kalau kau nak bunuh aku... silakan. Tak payah seksa aku macam ni lagi. Tapi aku mohon, jangan kau sesekali sentuh Naurah Afrina sebab dia tak ada kaitan dalam hidup aku lagi," tegas Hud seraya melangkah keluar dari pejabat itu.

Jiwa Hud Aidan jadi sebu. Tembok pertahanan hatinya runtuh tatkala memorinya mengimbas pada setiap luahan hati Afrina. Manakan tidak, mereka mempunyai perasaan yang sama. Bisa sahaja mereka bersatu jika tiada sebarang halangan. Namun, Hud sendiri tidak mampu membiarkan Afrina terus-terusan terlibat dalam marabahaya!

"YA mama. Afrina dah nak balik. Mama jangan risaulah pasal Afrina. InsyaAllah semuanya akan baik-baik saja," ujar Afrina sambil mengunci mangga pintu Atma Home Nursing. Dek kerana Afrina mempunyai pesakit yang ramai pada hari itu, dia terpaksa pulang hingga ke lewat malam.

Sengaja Afrina menyibukkan diri demi melupakan masalah peribadinya yang satu itu. Afrina hanya mahu memujuk dirinya bahawa dia dan Hud tidak berjodohan. Buat apa meratapi kalau pihak di sebelah sana sudah mengalah? Jadi, Afrina mahu undur diri dan teruskan kehidupannya sambil melupakan semua tentang Hud Aidan.

"Afrina letak phone dulu tau mama. Afrina nak drive ni," kata Afrina lagi seraya menamatkan panggilan telefon. Usai sahaja memastikan Atma Home Nursing dikunci, Afrina segera melangkah ke kotak parkir.

Namun, tika itu juga sebuah motosikal ex 5 tiba-tiba berhenti di hadapan Afrina ketika gadis itu mahu melintas jalan. Bahkan, si penunggang motosikal lantas meluru ke arah Afrina seraya menyembur wajah Afrina dengan spray pemedih mata.

Lantas, jeritan kesakitan Afrina mula kedengaran di kawasan yang sudah sunyi itu. Semuanya secara riba-tiba tanpa Afrina bersedia untuk melawan. Sungguh, matanya begitu pedih sehingga kakinya terundur dengan tangan melekap ke wajah.

"Kau nak..."

Belum sempat Afrina bersuara, isi perutnya seakan-akan dirodok oleh si penyerang bertopeng. Nafasnya terasa tersekat di kerongkong apabila tusukan tajam menghunus perutnya. Bahkan, sebanyak tiga tikaman dihunus ke perut Afrina sebelum gadis itu rebah di atas jalan.

Dengan pandangan yang samar, Afrina dapat melihat darah sudah memenuhi tangannya yang melekap di abdomen. Nafasnya semakin tak teratur dengan tikaman yang seakan-akan membunuhnya. Sakitnya bukan kepalang!

"Ini pengajaran untuk orang yang masuk campur urusan orang lain!" jerkah si penyerang seraya memijak kuat abdomen Afrina yang baru sahaja ditikam bertubi-tubi. Tiada langsung empatinya melihat si gadis yang sudah terseksa dengan nafas yang semakin sesak itu.

Bahkan, minyak petrol yang berada di tangan terus disimbah ke tubuh si gadis yang sudah longlai di atas jalan dengan darah yang membuak-buak mengalir dari abdomennya!

"Esok mesti akan ada berita mengenai seorang jururawat mati dibunuh setelah dibakar hidup-hidup! Menarik!" cemuh si penyerang lagi seraya menekan kuat kakinya yang memijak abdomen Afrina yang sudah menangis ketakutan. Tawanya terletus melihat Afrina terseksa. Puas!

Sungguh, Afrina benar-benar takut meskipun dia mempunyai seni mempertahankan diri. Seluruh tubuhnya seakan-akan lumpuh untuk bergerak. Sesekali, Afrina terbatuk sehingga darah terpercik keluar dari mulutnya.

Adakah dia akan mati akibat dibakar hidup-hidup? Oh sungguh! Afrina tidak mahu mati dalam keadaan tragis seperti ini. Tatkala itu juga, bubirnya tak putus-putus menyebut nama Allah. Hanya kepada Allah dia meminta bantuan. Mengharapkan agar bantuan sampai kepadanya yang sudah lemah tika ini.

"Bajingan kau! Lepaskan Afrina aku!"

Bersambung...

Thanks sudi baca karya Syaf dan yang menanti thanks sudi menanti karya syaf yang dah slow update ini 💕

Syaf dah semakin sibuk macam orang yang berada di alam pekerjaan. Internship kan sebab tulah Syaf semakin slow update ni 😭

Macam mana dengan bab kali ini? Tegang? Saspen? 🤣 dah konflik kan haruslah hehehe

Sedutan episod 37

"Apa kata kau ikut aku. Tamatkan semua kesakitan yang kita rasakan saat ini. Kau sudi?"

"Ikut kau? Pergi mana?"

"Kahwin lari. Yes or no. Itu sahaja jawapannya Naurah Afrina."

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro