Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Episod 34 🍃

"AKAK, cuba senyum sikit. Isha nak touch up muka akak pun macam tak naik seri dah sebab muka monyok akak ni. Kalau abah nampak nanti mesti dia marah. Hah! Isha tak tahu eh kalau abah marah lagi," omel Arisha sambil meratakan blusher ke pipi Afrina.

Berkerut dahinya melihat tampang wajah si kakak yang bermuram durja. Tak fasal-fasal dia merasakan bahawa solekannya rosak kerana wajah si kakak yang masam mencuka. Aneh sungguh! Bukankah kakaknya juga yang bersetuju menerima Ibrahim sebagai calon suami?

Ketika dia mengetahui pengkhabaran itu tiga hari lepas, Arisha dan Diana terus bersorak bagaikan baharu sahaja memenangi sebuah trofi. Manakan tidak, sudah lama mereka mengenenkan Afrina dan Ibrahim dan pengakhirannya, mereka mendapat sebuah hasil yang lumayan.

"Kakak ni cantik tau. Manis je orangnya. Tapi tulah kakak tutup kecantikan kakak tu..."

"Boleh diam tak? Akak tak ada mood nak bercakap sekarang ni!" tegas Afrina seraya mengalihkan pandangannya ke laman wajah Arisha di sebalik pantulan cermin.

"Ish kakak ni kenapa? Period ke nak marah-marah tak tentu fasal ni? Hari ni hari pertunangan akak dengan abang Rahim tau! Kakak dah pilih dia..."

Tak semena-mena, Arisha kematian kata tatkala Afrina menepis tangannya dengan kasar. Tajam anak mata Afrina menikam kornea mata adiknya yang seolah-olah memarakkan api kemarahannya.

"Isha tak tahu apa yang dah jadi sebenarnya! So you better quiet. Isha ingat akak nak sangat ke bertunang dengan Rahim tu? Huh! Tolonglah Isha jangan kusutkan kepala akak. Akak penat tahu tak!" bentak Afrina.

Segala yang tersirat di lubuk hatinya lantas dilepaskan. Kembang kempis dadanya dengan omongsn Arisha. Bingit! Serta merta, wajah Afrina yang kuning langsat bertukar kemerahan. Terasa mahu pecah dinding hatinya dengan kesesakan di jiwa saat ini.

Arisha terkelu buat seketika. Bibirnya diketap menahan sebak yang tiba-tiba mengetuk dinding hati. Tertunduk kepalanya menekur blusher di tangan setelah disembur oleh kakaknya itu.

Keterlaluankah dia tika ini sehingga dia dapat melihat pandangan kekecewaan yang terbias di sebalik kornea mata kakaknya? Paling penting, adakah kakaknya terpaksa menerima Ibrahim?

Kalau benar, Arisha sudah dihurung rasa bersalah! Dia hanya mahukan kakaknya melangkah ke hadapan dan memulakan hidup yang baru dengan pengganti Umar. Itu sahaja sebenarnya yang Arisha harapkan.

"Akak, Isha minta maaf. Kalau kakak tak nak bertunang biar Isha cakapkan pada abah. Ya?" kata Arisha. Kepala kembali dipanggung memandang raut wajah Afrina. Tergaris senyuman pahit di bibir gadis berbaju kurung satin berwarna hijau itu. Menyedapkan hatinya yang diserang rasa bersalah.

Keluhan berat lantas terlepas dari bibir Afrina. Kasihan Arisha. Menjadi mangsa semburannya pada awal pagi. Lantas, segaris senyuman turut terukir di bibir Afrina sebelum dia mencapai selendang berwarna krim lalu diletakkan di atas kepala bagi menutup auratnya.

"Tak apalah Isha. Kalau Rahim ni jodoh akak maka akak redha. Kalau dengan cara ini dapat senangkan mama dan abah... akak terima dengan hati yang ikhlas. Hidup di atas keredhaan ibu bapa ni sudah tentunya mendapat keberkatan  ALLAH," ujar Afrina seraya melilitkan selendang ke kepalanya.

Sungguh, dia tidak rela. Tapi dengan hanya memikirkan kedua orang tuanya membuatkan Afrina redha dengan jodoh yang sudah ditakdirkan oleh ALLAH kepada dirinya. Meskipun cintanya bukan untuk Ibrahim tetapi Afrina lebih mementingkan restu kedua ibu bapa.

"Akak..."

"Afrina dah siap? Tu bakal mak mertua anak mama dah sampai nak sarungkan cincin pertunangan," pintas Puan Sofea tatkala dia melangkah masuk ke dalam kamar Afrina. Tergaris senyuman lebar di bibirnya melihat si anak sulung yang kelihatan cantik mengenakan sepasang baju kurung satin berwarna kuning cair bermanik di pergelangan tangan dipadankan dengan selendang krim.

Tangan Afrina lantas digenggam erat dan dipimpin menuruni anak-anak tangga. Namun, langkah mereka terbejat tatkala pandangan Puan Sofea tertancap pada dua bentuk cincin belah rotan yang masih tersarung di jari manis Afrina.

"Afrina... kenapa tak tanggalkan cincin kamu dengan Umar ni? Lupa ya?" soal Puan Sofea.

Afrina sekadar tersengih kelat dengan omongan ibunya. Terasa kelat liur yang ditelan saat itu. Rasa sebak mula berkecamuk di dinding hatinya. Manakan tidak, mulai hari ini cincin pemberian Umar tidak akan menemani hari-harinya lagi. Jari manisnya itu akan dihias dengan cincin daripada lelaki lain.

Oh sungguh! Itu bukanlah hal yang mudah tambahan pula cincin itu bukanlah datang daripada seseorang yang dicintai oleh Naurah Afrina.

Tanpa berlengah, Afrina melangkah ke almarinya dan mencapai sebuah kotak kayu berwarna coklat yang sudah dilapisi dengan debu. Berterbangan terus debu-debu halus tatkala Afrina meletakkan kotak di atas meja kerja.

"Terlupa pula. Kejap ya mama, Afrina nak letak dalam bekas ni dulu. Afrina takut cincin ni hilang macam Afrina hilang arwah Umar. Ini pemberian terakhir arwah. Sayang kalau hilang," ujar Afrina. Perlahan-lahan, dia menanggalkan dua belah cincin yang tersarung di jari manisnya lalu diletakkan di dalam sebaldu merah yang terletak di dalam kotak coklat tersebut.

Saat itu juga, pandangannya tertancap pada barang-barang pemberian arwah Umar. Polaroid mereka berdua, album mereka ketika berada di zaman persekolahan sehingga ke hari pertunangan, beberapa kuntum bunga mawar merah yang sudah layu dan sepasang baju kurung pengantin yang seharusnya menjadi saksi penyatuan Afrina dan Umar.

Oh sungguh! Melihat barang-barang lama yang sudah lima tahun tak dibuka menambahkan rasa sebak di sudut hati Afrina. Nama Umar tak putus-putus terzahir di dinding hatinya. Tubir mata mula terasa hangat. Lantas, tangan terus menekup mulutnya menahan esak yang sudah kedengaran.

Afrina lemah! Hilang sudah kekuatan yang sentiasa tersimpan di dalam diri. Dia sudah tak mampu menampung segala kesesakan yang berperang di sudut hatinya. Sedih, kecewa, marah! Semua rasa itu sebati menjadi satu!

"Ya ALLAH Afrina. Kenapa ni? Anak mama..."

"Ma... kenapa abah buat macam ni dekat Afrina? Kenapa abah tak pernah faham apa yang Afrina rasa? Afrina tak nak dengan Rahim. Afrina tak cintakan dia mama!" rintih Afrina sebelum dia menggogoi dalam pelukan ibunya.

Melihat kesesakan kakaknya membuatkan Arisha turut menangis teresak-esak. Dia rasa bersalah! Tapi dia hanya mahu melihat kebahagiaan kakaknya sahaja. Afrina layak mengecapi sebuah kebahagiaan dengan seseorang yang dicintai.

"Kakak... maafkan Isha! Kalau Isha tak kenalkan abang Rahim dengan kakak mesti semua ni tak akan jadi. Semua ni salah Isha!" gogoi Arisha seraya memeluk tubuh kakaknya. Saat itu juga, tangisan dua beradik itu semakin sayu kedengaran di bilik itu Suasana hiba lantas menerpa dua beradik yang sedang ditenangkan oleh ibu mereka.

Luluh hati Puan Sofea dengan keadaan Afrina. Intuisinya sebagai seorang ibu mengatakan bahawa Afrina tidak ikhlas menerima Ibrahim! Ada sesuatu yang tersimpan di lubuk hati anaknya. Hanya saja Afrina tidak berani mengungkapkan rasa yang terzahir itu.

"AFRINA setuju dengan keputusan Rahim. Dia kata, dia pun nak bertunang dalam tempoh tiga bulan saja. Katanya, lagi cepat lagi bagus. Bagus tunang kamu tu, Rahim. Ikut saja apa yang kamu putuskan," ujar Puan Rohayu seraya meletakkan lauk di atas meja makan. Tak putus-putus senyuman terlakar di bibirnya. Sejuk hati apabila anak sulungnya bakal menerima seorang isteri yang patuh.

Ibrahim sudah tersenyum lebar dengan berita baik daripada ibunya. Nampaknya, semua berjalan dengan lancar. Saat itu juga, tajam anak matanya menatap wajah manis Afrina yang bergambar bersama Diana dan Arisha di galeri telefon. Gadis itu memang cantik walaupun solekan natural sahaja. Dia bahagia! Afrina akan jadi miliknya.

"Jangan tengok lama-lama Rahim. Kamu dengan Afrina tu baru bertunang. Belum halal lagi. Jaga sikit mata tu," tegur Tuan Yusuf tatkala anak lelakinya semakin ralit memandang foto-foto Afrina.

Bagaikan tersentap, Ibrahim lantas menghulurkan semula telefon pintar Diana. Naik membahang wajahnya dengan omongan ayahnya itu. Malu ditangkap sedang ralit melihat wajah ayu Afrina dengan sepersalinan baju kurung.

"Akhirnya, dapat juga Diana tengok abang Diana yang bujang terlajak ni kahwin. Tak sia-sia usaha Isha dengan Diana kenenkan abang dengan kak Afrina selama ni," ujar Diana sambil mencedokkan sepinggan nasi kepada abangnya. Senyuman di bibirnya melebar sehingga menampakkan gusinya yang tersusun cantik.

"Itulah. Abang pun tak sangka yang semudah ini Afrina terima. Mungkin dia dah sedar yang dia perlu move on dan cari pengganti baru. Terima kasih Diana sebab tolong abang," ujar Ibrahim. Nada suaranya kedengaran ceria.

"Benda kecil saja ni abang! Diana dengan Isha kan bestfriend. Kita orang ni dah lama nak satukan abang dengan kak Afrina. Apa pun abang kena bahagiakan kak Afrina! Bukan senang nak buat kak Afrina terima abang," kata Diana dengan nada yang tegas. Takut kalau-kalau abangnya menyakiti bakal kakak iparnya itu.

Malam itu, Ibrahim mencuba untuk menghubungi Afrina. Mahu memberikan penghargaan buat tunangnya itu. Tatkala teringat bahawa dia dan Afrina sudah diikat dengan tali pertunangan membuatkan Ibrahim tersenyum sendiri.

"Awak nak apa Rahim? Esok tak boleh nak call ke?"

Tanpa salam, Afrina yang berada dalam panggilan terus menyembur Ibrahim dengan kata-katanya yang pedas. Panas hati gadis itu bila Ibrahim menghubunginya walaupun sudah lima kali dia menolak.

Kemaruk sangat nampaknya pemuda itu!

"Saya minta maaf kalau saya kacau awak. Tapi, saya cuma nak ucapkan terima kasih sebab terima saya untuk gantikan arwah Umar. Saya harap awak suka cincin yang saya hadiahkan untuk awak tu. Isha kata awak suka emas putih sebab tu saya pilih cincin tu sebagai tanda pertunangan kita," kata Ibrahim.

"Then?" soal Afrina acuh tak acuh. Matanya terpejam rapat. Dahinya berkerut tatkala rasa sakit kepala kembali menyucuk.

Manakan tidak, sejak kebelakangan ini Afrina banyak menangis. Air matanya semakin murah mengalir tanpa henti. Bagaikan tiada henti tekanan buat Afrina tika ini.

Menyedari Afrina seakan-akan acuh tak acuh terhadapnya membuatkan senyuman Ibrahim mengendur. Banyak sebenarnya yang ingin dipertanyakan kepada Afrina. Namun, suara gadis itu seolah-olah keletihan.

"Esok awak free tak? Saya nak jumpa awak dalam lunch hour. Nanti kita jumpa kat..."

"Maaf Rahim. Esok jadual saya padat. Lepas maghrib baru saya habis shift," pintas Afrina. Tangannya ligat memicit kepala yang berdenyut-denyut.

Ibrahim kelu buat seketika. Rembulan di dada langit malam yang memancar langit menjadi tatapannya. Angin malam bertiup menyapa wajahnya yang mula kedinginan. Malah, kedinginan itu semakin terasa dengan layanan dingin Afrina itu.

Marahkah Afrina bila dia menghantar rombongan merisik tanpa pengetahuan gadis itu?

Tapi dek kerana kerisauannya terhadap Afrina, dia tebalkan juga muka untuk merisik gadis itu. Ibrahim mahu menjaga Afrina dengan menjadikan gadis itu sebagai pasangan sehidup dan sematinya!

"Dah tak ada apa-apa kan Inspektor Ibrahim? Saya nak tutup call. Saya penat dan esok pagi saya kerja. Kalau awak nak jumpa saya, tolong tetapkan tarikh awal-awal. Jangan nak buat benda mengejut sangat. Saya ni masih kerja makan gaji macam awak, Rahim. Assalamualaikum," tegas Afrina. Semakin bergelegak panas hatinya bila Ibrahim seakan-akan mahu mendominasinya.

Ini Naurah Afrina! Pantang sungguh dia diarah-arahkan tanpa persetujuan daripadanya.

"Waalaikumsalam. Af..."

Belum sempat Ibrahim meluahkan isi hatinya, Afrina sudah menutup panggilan. Terkedu lagi Ibrahim dengan tingkah Afrina itu. Hailah! Gadis ini memang aneh sikapnya. Dia tidak pernah mendesak Afrina menerima pinangannya. Gadis itu yang menerima tanpa Ibrahim tahu asbab di sebaliknya.

Intuisinya mengatakan bahawa tiada keikhlasan dalam diri Afrina menerimanya sebagai pengganti. Tapi, cepat-cepat ditapis rasa itu. Barangkali Afrina keletihan dengan majlis mereka sahaja.

Ya, Ibrahim yakin! Kalau tidak, manakan semudah itu Afrina menerimanya memandangkan Afrina sudah cinta mati pada Umar Al-Fatah.

DUSH!

Bunyi tumbukan dan tendangan yang silih berganti dihayunkan ke samsak semakin kuat kedengaran di dalam sebuah dewan. Melantun ke belakang tanpa henti samsak yang tergantung di dalam dewan itu dengan tendangan dan tumbukan padu seorang Hud Aidan.

Rintik-rintik peluh sudah mengalir ke pipinya. Baju T berwarna hitam yang tersarung di tubuh semakin lencun. Wajahnya serta merta membahang panas melepaskan segala kesesakan yang terbenam di sudut hati. Turun naik nafas pemuda itu melepaskan amarah dan kekecewaan ke alat tinju.

Semuanya sudah hancur. Tiada lagi peluang untuk dia menebus kesalahannya dengan melindungi Afrina. Bahkan, Afrina dan seorang Hud Aidan tak akan bisa bersatu! Gadis itu sudah menjadi hak milik sahabatnya sendiri.

'Cinta? Kalau kau cintakan anak aku... kau tak akan biarkan dia berada dekat dengan kau. Sebab kau tahu sendiri kan risiko nyawa anak aku macam mana kalau kau terus-terusan kacau hidup dia? Tolonglah Encik Hud! Aku merayu jangan libatkan anak aku dalam masalah kau lagi!'

"Argh!"

Serentak dengan omongan Encik Talib, Hud terus menjerit sekuat hatinya melepaskan segala amarah yang terbuku. Tendangan terakhirnya membuatkan rantai yang menggantung samsak turut berbunyi kuat.

Lantas, Hud terundur beberapa tapak ke belakang dan meraup wajahnya dengan kasar. Keluhan berat terlepas dari bibirnya. Sungguh, Hud Aidan benar-benar tertekan. Terlalu banyak masalah yang menimpa tanpa henti. Bukan mudah untuk dia melupakan cintanya terhadap seorang Naurah Afrina!

"Kau tak rasa Rahim tu tikam belakang ke? Kalau dia memang sahabat sejati, mesti dia tak akan fight Afrina dengan kau. Ni dia lebih pentingkan diri sendiri daripada persahabatan kau orang. Betul tak cakap aku?" kata Yunus seraya membaling sebotol air mineral kepada Hud yang sudah tercungap-cungap melepaskan bebannya dengan bertinju.

Hud membuka penutup botol mineral lalu diteguk membasahkan tekaknya yang terasa kering. Wajah sinis Yunus dipandangnya dengan dahi yang berkerut. Aneh betul kata-kata pemuda yang sering menemaninya di gelanggang tinju itu.

"Macam mana kau tahu pasal Afrina? Setahu aku... tak pernah sekali kita berbual pasal Afrina. Kau stalk aku ke?" soal Hud. Duduk dilabuhkan bertentangan dengan Yunus yang sering bersifat misteri.

Soalan sinis Hud membuatkan Yunus geli hati. Kepalanya tergeleng-geleng dengan tuduhan bekas rakan sejawatnya itu. Dalam sungguh soalan Hud bersama dengan pandangan yang seolah-olah curiga kepadanya.

"Masa kau koma dulu, aku pernah terserempak dengan dia masa aku dan Rahim datang melawat kau. Dia siap sedekahkan Yassin untuk kau tahu! Sampai aku syak yang kau orang ni ada apa-apa hubungan istimewa. Yelah dah dia risau semacam dengan kau dan kau pula tak habis-habis meracau nama dia masa tidur," jelas Yunus seraya bersandar di belakang dinding.

Mendengarkan kata-kata Yunus membuatkan Hud terkesima buat seketika. Afrina hadiahkan Yassin buatnya ketika koma? Afrina mendoakan keselamatannya? Bukankah sebelum ini Afrina amat membencinya? Oh sungguh! Hud semakin pelik dengan Afrina.

Sudahlah gadis itu asyik merisaukan keadaan dirinya. Malahan, Afrina sanggup membantunya bergasak dengan penyerang-penyerang yang hampir membunuhnya. Perkara yang paling aneh bila mana Afrina bisa mengalirkan air mata kerana kerisauan yang melampau terhadap seorang Hud Aidan!

Adakah perasaan mereka sama?

"Hoi! Jauh kau termenung. Fikirkan masa depan Afrina dengan Rahim ke?" sergah Yunus seraya menolak kasar tubuh Hud.

Tak semena-mena, Hud ketawa sinis dengan soalan daripada Yunus. Pelipis yang tak gatal digaru sebelum air mineral diteguknya lagi. Jelas, Yunus sudah main cucuk jarum.

"Biarlah dia orang. Aku tak rasa Rahim tikam belakang aku pun. Lainlah kalau Afrina dengan aku ada apa-apa hubungan istimewa. Kalau Rahim boleh bahagiakan Afrina, aku tumpang senang. Lagi satu, aku tak pernah fight Afrina dengan Rahim," tegas Hud.

Yunus mencebik sinis dengan kata-kata Hud. Kepul-kepul asap rokok dihembuskan ke udara sebelum dicucuhkan pada abu rokok yang terletak di atas meja.

"Aku bukan apa. Tapi daripada cara kau orang ni macam kau orang suka gadis yang sama. Kalau kau tak suka Afrina, kenapa kau selalu meracau nama dia masa kau baru sedar dari koma dulu? Alih-alih Rahim tu yang dapat gadis pujaan kau. Tak adillah kan?" kata Yunus lagi. Segala kata-kata pedas disuntik kepada Hud Aidan.

"Kau ni kenapa Yunus? Kan aku dah cakap aku tumpang senang dengan Rahim. Walau apa pun dia sahabat yang selalu ada dengan aku. Rahim selalu kuatkan semangat aku ketika zaman kejatuhan aku dahulu," tegas Hud. Yunus ini mahu sahaja ditumbuknya sampai lebam. Tak henti-henti mahu memprovokasi.

"Lah marah pula! Aku cakap benda yang betul kut. Kau tu sebenarnya ada perasaan istimewa kan dekat Afrina? Kau cintakan dia. Kau sayangkan dia. Betul kan?"

Tatkala soalan bertubi-tubi dilontarkan bagaikan peluru berpandu kepadanya, Hud terus mengalihkan pandangan dari menatap wajah Yunus. Kenapa lagi soal hati diungkit saat Hud Aidan sudah patah hati?

Yunus memang cari nahas!

"Okeylah Hud! Aku minta diri dulu. Aku tengok kau ni memang dah tahap frust menonggeng dah. Aku rasa macam cakap dengan dinding saja sekarang ni. Tak habis-habis kau ni nak mengelamun. Terima kasih untuk sparing hari ni. Nice fight. Tak sia-sia kau selalu kena serang. Tak berkarat juga skil fighting kau tu," ujar Yunus seraya menepuk bahu Hud Aidan bertalu-talu.

Saat kata-kata itu menusuk ke telinga, Hud dan Yunus sudah saling beradu pandangan. Ada nada sinis yang terselit di sebalik omongan Yunus yang membuatkan Hud merasakan intuisinya tidak enak.

Ingat dia suka diserang dan bergasak? Sakit tahu dipukul dan memukul! Gila agaknya Inspektor Yunus ini berkata sedemikan rupa.

TAP!

Tap!

Bunyi titisan air hujan yang jatuh dari bumbung kedengaran di lorong belakang dewan tinju. Bahkan, rintik-rintik hujan pada malam itu mula jatuh menyimbah bumi. Hud terus melindungi kepalanya yang terdedah dengan topi hoodie yang dipakai.

Langkah diatur laju menuju ke kereta yang diparkir di hadapan sebuah kedai serbaneka. Hari yang semakin menginjak ke angka 12.30 pagi itu membuatkan suasana mula sepi. Kedinginan malam mula mencengkam hingga ke tulang hitam.

Tika itu juga, Hud dalam posisi berjaga-jaga. Semenjak dia sering terlibat dalam marabahaya, tidak pernah sekalipun Hud tidak berhati-hati. Manakan tidak, marabahaya yang menerpa sentiasa datang tanpa diundang!

Tiba-tiba, langkah Hud terbejat tatkala corong telinganya menangkap bunyi tapak kaki dan bunyi besi yang diheret. Intuisi Hud mula terasa tidak enak. Melalui pengamatannya, lebih dari empat orang yang sedang menghampiri.

Segaris senyuman sinis terukir di bibir pemuda itu. Intuisinya benar lagi malam ini. Hud sedar bahawa dia telah diekori semenjak dia keluar dari rumah lagi. Tidak usah Hud bertanyakan apa yang mereka mahukan selain ingin membunuhnya!

Hujan semakin lebat mencurah-curah bagaikan tiada henti. Sesekali, kilat yang memancar di dada langit turut kedengaran. Ketika itu juga, terpampang lapan susuk tubuh yang berpakaian gelap dan berwajah bengis di hadapan Hud Aidan.

Semakin ramai penyerangnya pada malam itu. Malahan, masing-masing turut membawa kayu dan besbal sebagai senjata. Perlahan-lahan, Hud berundur setapak demi setapak ke belakang. Anak matanya turut melingas ke ruangan yang lapang untuk dia membebaskan diri di lorong yang sempit itu.

Lantas, kelapan-lapan penyerang yang bagaikan zombi kelaparan terus menyerbu Hud. Bunyi tempikan dan pukulan bersatu menjadi satu. Kesemua penyerang berpusu-pusu menujahkan pukulan ke tubuh Hud.

Namun, Hud tangkas mengelak dengan menujahkan tendangan demi tendangan ke tubuh penyerangnya. Malahan, Hud turut menepis pukulan yang dihayunkan ke tubuhnya dengan memulas lengan dua orang penyerang sekaligus dengan kuat. Melolong kesakitan kedua-dua orang penyerang apabila bahu mereka dipatahkan oleh Hud Aidan.

"Mampus kau!"

Serentak dengan jerkahan yang muncul dari belakang, Hud tiba-tiba terdorong ke hadapan apabila tusukan yang tajam ditikam ke pinggangnya dari belakang. Berkerut dahi pemuda itu akibat kesakitan yang maha hebat. Kesempatan itu terus diambil oleh dua orang penyerang yang memegang kayu meluru ke arah Hud.

Tangkas, Hud terlebih dahulu mara ke arah mereka dan menujahkan tendangannya ke kepala salah seorang penyerang. Hud lantas berpusing seraya menghayunkan lagi tendangannya ke tengkuk seorang lagi penyerang. Keduanya terus rebah dengan penangan maut Hud itu.

Turun naik nafas seorang Hud Aidan akibat kelelahan ditambahkan dengan kesakitan yang mula menyucuk pinggangnya yang baru sahaja menerima tusukan. Erangan kesakitan penyerang-penyerangnya sudah memenuhi lorong belakang dewan saat itu.

Dek kerana kesakitan yang semakin menjalar di seluruh tubuh ditambahkan pula dengan kedinginan malam yang mencengkam ke tulang hitam, Hud semakin hilang keseimbangan tubuh. Pandangannya sudah semakin samar dengan tangan menekup pinggangnya yang membuak-buak dengan darah.

Buk!

Hentakan kuat yang ditujahkan dari belakang hampir sahaja membuatkan Hud rebah jika dia tidak berpaut pada dinding. Dengan kemarahan yang semakin membekam di jiwa, Hud menguatkan tubuhnya lantas berpaling ke belakang ingin menentang.

Malangnya, pukulan daripada seorang lagi penyerang menujah abdomennya sehingga Hud tertunduk menahan senak. Belum sempat dia melawan, beberapa tendangan ditujahkan ke tubuhnya sehingga Hud tersungkur di atas lopak air.

Aku risaukan kau Hud Aidan! Kau nak tengking aku, nak maki aku... silakan. Tapi aku... aku tak boleh tengok kau cedera lagi, kau faham tak!

Buk!

Seiringan dengan kata-kata Afrina yang terlintas di ruang memori, saat itu juga tubuh Hud ditujah dengan pukulan dari objek tumpul sehingga erangan kesakitannya kedengaran di lorong itu. Sungguh, Hud merasakan tulang belulangnya seakan-akan dipatahkan tatkala itu juga. Manakan tidak, tusukan di pinggangnya sudah semakin menyucuk. Ditambahkan pula dengan pukulan dengan objek tumpul.

Tidak! Afrina tidak suka melihat dia dicederakan! Hud tak akan membiarkan mereka melumpuhkannya. Lantas, dengan kudrat yang masih tersisa Hud menghayunkan tendangannya membentes kaki penyerang yang ingin menerajang tubuhnya lagi. Kedua belah tangan digenggam erat sebelum Hud bangun perlahan-lahan.

Lantas...

Kedua orang penyerang yang sudah meluru ke arahnya menerima penangan Hud Aidan terlebih dahulu. Tangan si penyerang yang ingin menghayunkan besbol ke tubuhnya tangkas dipatahkan tatkala Hud mengilas kuat tangannya ke belakang. Lantas tubuh si penyerang berkepala botak dibanting kuat ke belakang.

Bang!

Sekali lagi, tembakan dari belakang membuatkan pergerakan Hud terbejat. Tembakan yang datang dari belakang hampir sahaja tersasar pada tubuhnya! Buru-buru, Hud menghayunkan tumbukannya ke wajah seorang lagi penyerang yang hampir memukulnya lantas mencengkam kolar baju si penyerang seraya dipusing untuk dijadikan sebagai perisai.

Bang!

Bang!

Tubuh si penyerang serta merta menggelupur dengan tembakan rambang yang ditujahkan ke tubuhnya bertubi-tubi. Buru-buru Hud berlari masuk ke dalam dewan melalui pintu belakang.

Aku doakan semoga ALLAH akan selalu lindungi kau dan keluarga kau.

Sekali lagi, suara Afrina bermain di benak fikiran Hud Aidan. Dia memerlukan kekuatan Afrina! Dia mahukan Afrina menjadi penguat semangatnya! Tapi semua itu hanyalah angan yang tak akan terjadi.

Derapan tapak kaki yang masih mengejarnya semakin menghampiri. Hud terus menyembunyikan dirinya di sebuah stor. Kunci ditekan. Tatkala itu juga tubuhnya melorot sebelum tubuhnya rebah dengan tubuh yang sudah menggigil kesakitan. Kakinya terus dirapatkan ke dada. Matanya terpejam rapat dengan dahi yang berkerut menahan sakit pada luka.

"Afrina... Ya ALLAH sakit... Afrina..."

Saat itu juga tak putus-putus bibir pucat Hud mengadu pada yang Maha Esa bersama dengan nama Afrina yang dilafaz tanpa henti. Sungguh dia rindu gadis itu. Setitis demi setitis air mata Hud terus mengalir dengan kesesakan di jiwanya. Dia mungkir janji dengan Afrina! Dia tercedera lagi hari itu.

"HUD!"

Bunyi guruh yang berdentum kuat serentak kedengaran dengan suara Afrina yang menyebut nama Hud Aidan. Tatkala itu, turun naik nafas Afrina dengan debaran yang mengetuk hebat dinding hatinya.

Melilau mata gadis itu memandang sekeliling biliknya yang gelap. Dia takut. Dia risau. Tak putus-putus bibirnya melafazkan Astaghfirullahalazim dan kalimah Allahu Akhbar tika mimpi buruk mengenai Hud masih berlayar di ruang fikirannya.

"Ya ALLAH, Hud... aku harap kau baik-baik saja. Lindungilah Hud Aidan, Ya ALLAH. Aku mohon kepadaMu. Aku tak mampu dengar khabar buruk mengenai dia lagi."

Tak putus-putus Afrina berdoa agar semua mimpi buruk itu tidak benar. Tangannya dilekapkan ke dada. Terasa semakin kuat debaran yang maha hebat. Guruh yang berdentum kuat membuatkan Afrina semakin gerun. Dia tidak bisa tenang! Dia mimpi Hud hampir dibunuh dan mimpi itu seolah-olah sebuah kenyataan!

Bersambung...

Thanks sudi baca karya Syaf 💞

Jangan lupa bagi bintang kalau suka ☺

Mesti korang geram dengan Rahim kan? 🤭

Kesian Hud kena serang lagi 😢

Atau

Hanya sekadar mimpi buruk Afrina barangkali? 🤔

Sedutan episod 35...

"Aku hidup ke aku mati ke semua tu ada kepentingan untuk kau ke cik misi? Kau kesah pasal diri kau saja sudahlah! Aku tak nak kacau tunangan orang. Jadi, apa kata kau anggap saja yang Hud Aidan dan keluarga dia tak pernah wujud dalam hidup kau! Baik kau berhambus dari hidup aku!"

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro