Episod 33 🍃
SEBAIK sahaja pintu bilik ditutup rapat, Afrina lantas melangkah dengan longlai duduk di birai katil. Lemah sahaja seluruh tubuhnya ketika itu. Bukan sahaja tubuh, malahan Afrina turut merasakan dinding hatinya masih terasa sesak dengan kejadian di Atma Home Nursing sebentar tadi.
"Cik misi Naurah Afrina, aku sangat mencintai kau lebih dari segala apa yang aku miliki. Kelembutan kau melayani Dina membuatkan aku jatuh cinta dengan kau. Aku mahu jadi pelindung buat kau, Afrina. Aku nak selalu ada di sisi kau setiap detik dan waktu"
Luahan itu masih terngiang-ngiang di pelupuk telinga Afrina. Dinding hatinya masih terasa debaran yang maha hebat sehinggakan wajahnya naik berbahang dengan luahan hati Hud Aidan. Seketika, Afrina meletakkan tangannya di dada. Matanya terpejam rapat. Tika itu juga Afrina dapat merasakan degupan jantungnya yang seolah-olah berentak kencang bagaikan tiada hentinya.
'Naurah Afrina. Sah! Ada nama Hud Aidan tersimpan di sudut hati kau yang terdalam. Selama ini, hanya Umar sahaja yang bisa membuatkan jantung kau berentak kencang setiap kali arwah tunang kau meluahkan rasanya untuk kau!' getus hati Afrina sehingga membuatkan Afrina mencelikkan matanya semula.
"Tak! Semua ni mesti sebab aku risaukan dia saja. Mustahil! Aku dah mula cintakan Hud? Huh! Kau jangan buat benda yang bukan-bukan boleh tak Naurah Afrina!" omel Afrina kepada dirinya sendiri. Lantas, wajahnya diraup kasar. Keluhan berat terlepas dari bibir.
Semua ini bukan sesuatu yang melucukan! Tidak pernah terlintas di benak fikiran Afrina untuk jatuh cinta denga Hud Aidan sekali lagi. Tapi... Afrina benar-benar merasakan sesuatu yang pernah dirasakan pada Umar terhadap Hud Aidan.
Buktinya, ketika Ibrahim meluahkan perasaan dulu Afrina rasa kosong. Dia hanya terkejut kerana Ibrahim mempunyai perasaan sayang kepadanya lebih daripada seorang kawan. Berbeza dengan Hud bila mana Afrina merasakan jantung dan hatinya tidak berhenti-henti berlari dan berdegup kencang.
Tak senang duduk!
Oh sungguh! Afrina merasakan dia sudah tidak betul. Bukankah dulu dia bencikan Hud separuh mati kerana kejadian silam itu? Aneh! Kau sudah semakin aneh Naurah Afrina.
"Aku kena buat sesuatu. Aku tak boleh cintakan dia. Tak! Semua ni tak masuk akal! Tolonglah hati... jangan bagi ruang untuk mamat tiga suku tu! Abah tak akan setuju. Kau pula jangan cari penyakit Afrina!" getus Afrina seraya membenamkan wajahnya di atas bantal. Kepalanya tergeleng-geleng dengan rasa yang sudah tak mampu dinafikan lagi.
'Tolong hormat keluarga aku. Kalau kau cintakan Afrina, kau tak akan biarkan dia dalam bahaya. Jadi, aku merayu Encik Hud... aku merayu jangan dekatkan diri kau mahupun keluarga kau dengan anak aku lagi. Demi masa depan Naurah Afrina!'
Tatkala arahan penuh mandatori dikeluarkan oleh Encik Talib terngiang di telinga, tatkala itu juga Afrina mula merasakan hatinya dipagut rasa sayu. Pipinya mula dibasahi dengan mutiara jernih sehingga bantalnya mula basah. Bahu sudah terhinggut-hinggut melepaskan tangis. Afrina benar-benar jadi lemah saat esakannya mula kedengaran di dalam bilik beradunya itu.
"Aku bencikan kau Hud Aidan! Aku bencikan kau sebab kau dah buat aku jatuh cinta dengan kau! Macam mana aku nak buang semua rasa ni? Kenapa kau ni tak habis-habis nak seksa hati aku?" rintih Afrina seakan-akan Hud berada di sisinya. Semua kesesakan di jiwanya lantas dilepaskan saat itu juga.
Tangannya yang sedang mengenggam bantal lantas dihayunkan menumbuk kuat tilam bertubi-tubi. Seakan-akan menumbuk wajah Hud yang sudah membuatkannya tak keruan. Sakit! Jiwanya terlalu sakit tika itu.
Malam itu, Afrina hanya menangis semahu-mahunya. Esakannya semakin kuat kedengaran. Membiarkan dirinya menjadi si gadis lembik yang sering menangis di kala ditimpa kesusahan! Hanya malam ini. Afrina sudah cukup lelah memikirkan soal hatinya. Soal cinta terlarang di antara dia dan Hud Aidan!
ADARA mahupun Umairah keduanya sudah saling berpandangan melihat pemandangan yang aneh pada tengah hari itu. Dengan isyarat mata mereka bertolak-tolak ingin bertanyakan sesuatu kepada Afrina yang berwajah sembab. Malahan, wajah jururawat beperwatakan garang dan tegas itu kelihatan sayu. Namun, keduanya khuatir jika Afrina tiba-tiba mengamuk.
Sudah tentunya melihat Afrina dalam keadaan mendung menimbulkan rasa aneh dan curiga dalam diri mereka selaku sahabat kepada Afrina. Manakan tidak, inilah kali pertama mereka melihat wajah sembab Afrina setelah lima tahun kejadian memilukan itu berlaku.
Bam!
"Oh pocot mak kau meletup kebabom!"
Tak semena-mena, Adara dan Umairah ketawa terkekek dengan latah Zurina. Jururawat baru di Atma Home Nursing yang terkenal dengan sifatnya yang kuat melatah. Malahan, gadis bertubuh gempal itu terus menghentak kaki dan menepuk dahinya.
"Maaflah Zu kalau aku buat kau terkejut. Aku tak sengaja terhempas pintu loker ni," ujar Afrina seraya melabuhkan duduknya di sebuah bangku yang terletak di ruangan rehat untuk para jururawat.
"Tak apalah. Aku tahu kau tak okay. Kan? Kau baru lepas menangis ya Afrina?" soal Zurina seraya melabuhkan duduknya di sebelah Afrina yang sedang membelek telefon baharu yang diberikan oleh abahnya.
Nekad sungguh Encik Talib memisahkan Afrina dan Hud. Sehingga telefon lama Afrina diambil dan digantikan dengan telefon baharu yang langsung tidak mempunyai nama Hud Aidan dalam ruangan kenalan.
"Babe... kau nampak sedih saja hari ini. Cuba cerita dekat kita orang kalau kau ada masalah. Mana tahu kita orang boleh bantu. Kenapa? Pesakit kau ada buat benda yang bukan-bukan ke dekat kau?" soal Adara sambil mengenggam erat tangan Afrina.
Soalan bertubi-tubi oleh sahabatnya membuatkan dinding hati Afrina berkecamuk lagi. Tubir mata mula terasa hangat. Bibir diketap menahan sebak yang kembali mencengkam jiwa.
"Afrina... wei kau okay tak? Kenapa muka kau merah ni? Siapa..."
"Kau orang rasa pelik tak kalau aku dah mula buka hati untuk seseorang?" soal Afrina memintas omongan Umairah. Wajah ketiga-tiga sahabatnya dipandang silih berganti sebelum kepalanya kembali tertunduk menekur meja.
Tak semena-mena, ruangan rehat itu jadi sepi. Hanya bunyi kipas yang ligat berputar sahaja kedengaran. Masing-masing kaget dengan soalan mengejutkan daripada Afrina. Lebih-lebih lagi Adara yang sudah lama mengenali Afrina ketika mereka sama-sama menjadi pelajar jururawat dahulu. Segala kisah duka Afrina sudah terpahat di ingatan.
"Babe, kalau kau dah mula buka hati untuk seseorang tu memang pelik. Sebab bagi pihak aku sendiri aku tahu betapa kuatnya cinta kau untuk arwah Umar. Tapi aku bahagia bila kau dah boleh move on dan buka ruang untuk orang lain. Afrina... memang dah tiba masanya untuk kau cari pengganti," ujar Adara. Nada suaranya kedengaran lembut sahaja di halwa telinga.
"Betul tu Afrina. Lima tahun kau tutup rapat hati kau. Bukannya tak ada orang nak try kau tapi kau terus menolak sebab kekuatan cinta kau terhadap arwah Umar. Jadi, sebab itukah muka kau sembab ni? Cinta kau kena tolak ya?" soal Umairah pula. Dia sekadar menebak perkara yang tersirat di lubuk hatinya.
Afrina hanya senyap. Tiada jawapan yang meluncur keluar dari mulutnya. Benar kata-kata sahabatnya. Sudah masanya dia mencari pengganti. Hanya sahaja Afrina asyik menidakkan kerana semuanya terlalu mengejut.
Hud Aidan.
Semakin hari, Afrina semakin yakin bahawa sebaris nama itu sudah menggantikan tempat arwah Umar di sudut hatinya Afrina. Sejak bila? Afrina sendiri tidak tahu.
Masalahnya, hubungan ini tidak bisa disatukan tanpa restu seorang wali! Sungguh, fikiran Afrina bercelaru. Dia mahu bertemu Hud Aidan dan berbincang mengenai hal perasaan. Afrina mahukan Hud jadi pengganti Umar! Ya, hanya Hud Aidan. Tiada yang lainnya.
"Siapa lelaki tu? Encik Hud ke?" tebak Adara. Tergaris senyuman nipis di bibirnya tatkala pandangan Afrina bersatu dengannya.
Bukannya dia tak tahu apa yang berlaku semalam. Sebaik sahaja dia menapak masuk ke dalam Atma Home Nursing, dia tak sengaja terdengar Hud meluahkan perasaan tatkala dia melangkah masuk ke ruangan rehat yang terletak bersebelahan ruang rawatan.
"Tak salah kan kalau aku dah mula sukakan mamat tak semenggah tu?" soalan dibalas dengan soalan. Segaris senyuman pahit turut terukir di bibir Afrina.
Saat itu juga, suasana bilik rehat itu kembali senyap seribu bahasa. Semuanya kaget dengan pengakuan Afrina. Semuanya terlalu mengejut bila mana Afrina akui perasannya terhadap Hud Aidan. Manakan tidak, Afrina yang mereka kenal selama ini mempunyai kekebalan hati beku yang terlalu kuat! Bukan mudah untuk mencairkan benteng kekebalan Afrina itu.
Persoalannya, apa sahaja kunci yang digunakan oleh Hud untuk membuka hati Afrina semula?
BEBERAPA pasang mata yang berada di ruangan dapur Restoran Aglio seakan-akan terkaku melihat figura yang tekun membantu mereka di ruangan itu. Sesekali mereka saling berpandangan melihat keanehan yang terpancar di sebalik wajah tegang Hud Aidan.
Manakan tidak, hampir seluruh pesanan yang dihulurkan oleh pelayan diambil alih oleh bos mereka. Dari pagi hingga ke lewat malam pemuda itu menyediakan hidangan buat pelanggan tanpa henti. Hanya berehat untuk menunaikan solat dan mengambil Dina dari sekolah sahaja.
"Order kat meja dua dah siap ke?" soal Hud tanpa memandang wajah Chef Reno yang sedang menghiaskan salad yang diletak di bawah udang tempura. Sos yang sudah diletakkan di dalam mangkuk turut diletakkan di atas pinggan.
Chef Reno memanggung kepalanya memandang wajah Hud yang sedang meletakkan bawang, lobak dan daun sup ke dalam periuk. Cekap saja tangan Hud menumis tiga bahan tersebut dengan menggunakan sudip sebelum dua sudu pes tomato dicapai lalu dicampurkan bersama bahan di dalam periuk. Semerbak bau tomato mula naik dan memenuhi ruangan dapur itu.
"Ada lagi satu menu bos. Tapi tak apa. Saya boleh buat. Hari ni bos dah banyak sangat ambil alih tugas kita orang. Rasa tak selesa pula. Dahlah bos yang bayar gaji kita orang selama ni," ujar Latifah. Salah seorang tukang masak di dalam restoran itu. Mewakili Chef Reno yang seakan-akan tekedu dengan ketegangan di raut wajah Hud.
"Tak apa. Kau bagi saja pada aku. Biar aku yang siapkan. Ala bukan selalu aku tolong kau orang dekat dapur ni. Kan? Dah. Lekas bagi aku menu tu," ujar Hud seraya mencampurkan tomato, esen udang, empat cawan air rebusan ayam dan daun bay untuk memberikan aroma kepada Prawn Bisque Soup yang dipesan oleh pelanggan.
Seketika, periuk ditutup dan dibiarkan selama tiga puluh minit. Sudip kayu di tangan diletakkan di atas pinggan kecil. Lantas, kepala dipanggung memandang pekerjanya yang seolah-olah tak mengendahkan arahannya sebentar tadi. Tak semena-mena, bergelegak panas dinding hati Hud Aidan dengan sikap pekerjanya.
"Kau orang ni pekak ke? Aku kata mari sini menu..."
"Encik Hud, sudahlah tu. Dah lama Encik Hud tolong kita orang tanpa rehat. Makan pun tak lagi. Kenapa ni? Encik ada masalah ke sampai tak nak berhenti tolong kita orang masak hari ni?" soal Chef Johan. Ketua tukang masak di Restoran Aglio yang baru sahaja selesai menyediakan pesanan kepada pelanggan.
Lantas, dia menghampiri Hud dan mengambil tempat majikannya itu untuk menyediakan Prawn Bisque Soup. Kerusi yang terletak di penjuru dinding bersebelahan Hud diduduki.
Hud sekadar tersenyum pahit dengan soalan lelaki yang sudah berusia 36 tahun itu. Pandangan mereka saling bersatu buat seketika. Tahu-tahu sahaja Chef Johan emosinya tidak berapa baik hari ini.
"Kenapa? Nampak sangat ke aku ada masalah?"
Chef Johan ketawa kecil sambil menepuk bahu Hud. Tercuit hatinya dengan tingkah aneh Hud pada hari ini. Manakan tidak, Hud banyak berdiam diri. Tak seperti kebiasaannya bila Hud sering menceriakan sesi dapur dan memberikan semangat untuk mereka menghasilkan yang terbaik kepada pelanggan.
"Encik nampak macam orang yang tengah frust! Sengaja sibukkan diri sampai tak berehat. Macam nak lari dari sebuah masalah. Jarang sekali saya tengok Encik Hud macam ni. Muka pun tak ceria macam selalu," jawab Chef Johan.
Tak semena-mena, jawapan daripada Chef Johan seakan-akan meragut sekeping hati Hud yang sudah terluka. Dia jadi senyap serta merta. Benar. Dek kerana tertekan dengan arahan mandatori Encik Talib, Hud sengaja menyibukkan dirinya dengan memasak. Hanya itu yang mampu dilakukan untuk menghiburkan lara di jiwanya.
"Encik tengah putus cinta ke?" tebak Tira yang berdiri bertentangan dengan Hud sambil menghias puding karamel.
"Pedas soalan tu! Macam kena penampar sedas pun ada juga. Tapi apa kata kita tanya si empunya diri. Betul ke soalan Tira tu Encik Hud?" soal Chef Johan pula. Tiada langsung tapisan di sebalik kata-katanya.
Begitulah mereka. Semua bersifat terbuka seperti sebuah keluarga. Hal itu jugalah yang dititikberatkan oleh Hud Aidan. Berbeza ketika Amelia mengambil alih Restoran Aglio buat seketika dahulu. Wanita itu hanya menganggap mereka sebagai kuli sahaja.
Soalan demi soalan yang ditujahkan kepada Hud membuatkan pemuda itu ketawa sinis. Mengejek diri yang sedang dilanda tsunami kekecewaan tika ini. Remuk hatinya usah dikata! Dia sudah ditolak mentah-mentah oleh ayahnya Afrina. Demi menghormati keluarga Encik Talib, Hud turutkan kemahuan walinya Afrina. Hud tiada pilihan lain.
"Pandai-pandailah kau orang ni! Aku cuma stres saja dengan masalah yang tak ada penamat. Tak ada kaitan dengan hal putus cintalah!" dalih Hud. Malulah dia kalau pekerjanya tahu dia sudah ditolak.
"Ye ke Encik Hud? Selama ni Encik Hud memang dah banyak masalah tapi encik masih boleh melawak dengan kita orang saja. Bukan apa Encik Hud, dalam adik beradik saya hanya saya seorang saja perempuan. Abang saya kalau putus cinta memang akan terlebih rajin. Macam Encik Hud sekarang inilah," ujar Tira sambil tersengih kelat. Sengaja mengusik majikannya yang berwajah kelat masam itu.
Omongan Tira seakan-akan menjerat Hud ke dalam sebuah perangkap. Tak dapat dinafikan, gadis yang berkelulusan kulinari itu pedas dalam berkata-kata. Seakan-akan bijak membaca personaliti setiap orang.
"Huysh! Deduksi kau ni memang selalu padulah Tira. Hari tu kau tebak masalah Hani. Sekarang kau tebak masalah bos pula. Hujah kau ni memang selalu berfakta. Baik. Mari kita tanya Encik Hud pula. Benarkah..."
Belum sempat Chef Johan menghabiskan kata-katanya, telefon pintar Hud yang terletak di dalam kocek seluar jeans berdering. Lantas, pemuda itu menanggalkan apronnya lalu dihulurkan kepada Chef Johan. Sempat lagi Hud tersenyum sinis pada Chef Johan yang seolah-olah tak berpuas hati.
Terpampang nama Mak Timah di skrin telefon. Tak lain dan tak bukan pasti Dina sudah mencarinya. Punat hijau disentuh seraya telefon dilekapkan ke telinga.
"Pak cik cepatlah balik. Dina tunggu pak cik bacakan buku cerita untuk Dina. Lama dah ni Dina tunggu."
Rungutan Dina membuatkan Hud tersenyum sendiri. Alahai manjanya Dina itu benar-benar menghiburkan hati Hud. Lantas, Hud berpamit pergi dengan pekerjanya. Sempat lagi dia menyuruh Chef Johan mengambil alih pekerjaannya yang tergendala. Tak mahu Dina terus menantinya lama-lama.
Sepeninggalan Hud, Chef Johan mengeluh berat. Tak puas dia mahu mengorek isi hati Hud, majikannya sudah berlalu pergi. Pemuda berambut kerinting itu lantas bangun dari duduk dan mula merasa masakan Hud. Manis dan masam! Adunan sup yang begitu sempurna. Tiada yang kurang dalam masakan majikannya itu.
"Bos ni dah patut kahwin dah. Pekerjaan dah ada. Masak pandai, jaga anak buah pandai..."
"Tulah. Dahlah segak! Lepas tu hadap apa-apa masalah pun masih boleh nak melawak. Sumpah beruntung gila perempuan yang dapat Encik Hud tu. Tapi tulah macam dah kena reject saja," pintas Tira seraya menghantar pemanis mulut kepada pelayan. Terletus tawa kecil di bibirnya dengan pandangan tajam Chef Johan.
SEPINGGAN buah betik yang baru sahaja dipotong diletakkan di atas meja kopi. Sesekali, kedengaran suara Arisha ketawa menonton video tik tok berunsurkan komedi di telefon pintarnya. Encik Talib pula khusyuk menonton siaran bola sepak sementelah Puan Sofia membaca majalah di ruang tamu.
Semuanya kelihatan sempurna bagi Afrina. Keluarga kecil mereka ini memang bahagia tanpa persengketaan. Hanya satu. Afrina sudah tidak bebas untuk menghubungi Dina atau dalam erti kata lain dilarang untuk bertemu dengan Hud Aidan.
"Mama dengan abah nak cakap apa-apa ke dengan Afrina?" soal Afrina sebaik sahaja dia melabuhkan duduk di sebelah Puan Sofia. Itulah arahan ibu bapanya ketika makan malam tadi. Menyuruhnya untuk duduk berhadapan kerana ingin berbincang mengenai sesuatu.
Encik Talib lantas mematikan televisyen sebaik sahaja Afrina berada di depannya. Jelas, tampang wajah lelaki itu masih kelihatan tegang. Masih ada sisa marahnya pada Afrina kerana berhubungan dengan Hud.
"Isha, naik atas. Abah dengan mama nak bincang hal penting dengan kakak kamu," arah Encik Talib tanpa memandang wajah Arisha.
Arisha yang ralit tertawa serta merta terkedu dengan arahan abahnya. Terasa payau liur yang ditelan dengan ketegasan abahnya itu. Sudah dua hari berlalu sejak kejadian Hud diserang namun abahnya itu masih bersikap dingin. Tanpa berlengah, Arisha menurut meskipun berat kakinya mahu melangkah naik.
Ketika itu juga, Afrina mula merasakan aura kedinginan menerpanya malam itu. Duduknya ditegakkan. Kedua belah tangannya dicantumkan antara satu sama lain. Jantungnya mula berdebar kencang.
Intuisinya tiba-tiba merasakan sesuatu yang tak diingini akan berlaku!
"Sebenarnya, Ibrahim ada hantar rombongan merisik untuk Afrina minggu lepas. Mak dan adik Rahim wakili dia datang merisik kamu untuk dijadikan sebagai isteri," jelas Encik Talib dengan nada suara yang tegas. Sebaldu kotak merah lantas diletak di atas meja kopi.
Nah! Afrina sudah agak akan ada khabar yang mengejutkan malam ini. Sungguh, Afrina merasakan nafasnya sesak di dada. Berkali-kali dia menelan liur yang terasa kelat di rengkungan. Wajahnya serta merta membahang panas.
"Ke... kenapa baru... sekarang abah bagi tahu Afrina?" soal Afrina dengan suara yang tergagap. Oh sungguh! Afrina merasakan hatinya terhiris pilu.
"Sebab abah nak fikirkan yang terbaik untuk kamu. Sebelum tu abah nak minta maaf sebab abah kecewakan Afrina. Abah buat keputusan tanpa fikirkan perasaan Afrina. Abah tahu Afrina akan menolak tapi kali ni abah minta maaf. Abah... tak mampu nak tolak lamaran Inspektor Ibrahim."
Tatkala omongan Encik Talib menusup ke halwa telinga, tatkala itu juga Afrina merasakan tubuhnya lemah serta merta. Wajah ibunya yang hanya diam dipandang dengan pandangan yang sayu. Meminta ibunya memujuk abahnya untuk menolak. Dia tidak mahu!
"Lagi pun Afrina tak cintakan Hud. Abah dah pernah tanya Afrina sebelum ni. Dengan yakin Afrina cakap yang Afrina tak cintakan Hud. Hati Afrina hanya untuk Umar. Tapi sampai bila Afrina nak pertahankan cinta Afrina untuk Umar? Arwah dah tak ada. Sudahlah Afrina. Move on! Umar dah mati!"
"Abang! Kita dah bincang jangan libatkan nama Umar dalam hal ini kan? Abang dah lupa ke? Ya, Sofia faham abang terima lamaran Rahim supaya Afrina tak berhubung lagi dengan Hud. Bagi abang, Rahim yang terbaik untuk anak kita. Tapi sudahlah! Jangan ungkit pasal Umar lagi," tegas Puan Sofia dengan dahi yang berkerut melepaskan amarah. Sesak jiwanya sebagai seorang ibu dengan ketegasan suaminya yang melebihi batas.
Lupakah suaminya pada kesedihan Afrina lima tahun yang lalu? Bukan mudah Afrina bangkit dan mengharungi hari-hari tanpa Umar di sisi!
"Benda yang betul kan! Selama ni Afrina tolak semua lamaran..."
"Abah... mama. Jangan bergaduh sebab Afrina. Please jangan dinginkan hubungan mama dan abah hanya sebab Afrina. Beginilah kalau..."
Afrina jeda.
Kolam mata Afrina mula terasa hangat apabila ibu bapanya bertelingkah hanya kerana kedegilannya. Tapi kali ini dia mahu menolak kerana dia tidak mencintai Ibrahim! Hati dan jiwa Afrina hanya untuk Hud Aidan! Itu sahaja! Tapi, abahnya tidak memahami. Malah tidak akan memahami isi hatinya.
Keluhan berat lantas terlepas dari bibir Afrina. Wajah abah dan mamanya dipandang silih berganti. Kepalanya diangguk lemah. Ya, dia mengerti omongan abah dan mama. Mereka hanya mahukan yang terbaik buat dirinya.
Lantas...
"Kalau keputusan ini dapat senangkan hati abah dan mama, Afrina akan turutkan. Bagi Afrina, kebahagiaan mama dan abah lebih penting. Mama dan abah keduanya nombor satu dalam hidup Afrina," jawab Afrina seraya menundukkan kepalanya memandang sebaldu kotak merah yang dihulurkan kepadanya.
'Ibrahim, kejamnya awak buat saya merana macam ni. Kenapa semuanya tiba-tiba Rahim! Kenapa?' rintih Afrina sambil mengenggamkan kedua belah tangannya. Dia benar-benar dihurung dengan emosi marah.
Sesak!
Sakit!
Malahan inilah rasa yang pernah dirasakan saat Afrina kehilangan Umar. Oh sungguh! Afrina semakin lelah berperang dengan emosi dan masalahnya!
"Bagus! Macam inilah anak abah. Kita akan tetapkan tarikh pertunangan secepatnya. Pasal pernikahan, kalau boleh abah nak cepatkan juga. Mungkin dalam tiga ke empat bulan lagi. Afrina setuju..."
"Afrina nak rehat dulu abah, mama. Afrina tak sedap badan sekarang ni. Nanti esok-esok kita bincang pasal pernikahan boleh? Kalau pasal pertunangan... nak esok pun Afrina okay. Afrina nak tidur dulu. Assalamualaikum!" pintas Afrina.
Dia sudah tak betah duduk di hadapan ibu bapanya lagi saat air matanya sudah penuh bertakung di tubir mata. Langkah diatur lemah menaiki anak-anak tangga meninggalkan ibu bapanya yang sudah saling berpandangan antara satu sama lain. Masing-masing dengan riak wajah yang penuh dengan persoalan.
Sejurus sahaja Afrina melangkah masuk ke dalam kamarnya, tubuhnya lantas tersandar lemah di belakang pintu yang sudah dikunci rapat. Saat itu juga esakan Afrina mula pecah. Kaki yang terasa lemah lantas melorot jatuh. Sungguh kekuatan Afrina sudah semakin hilang.
Kedua belah lutut lantas dirapatkan ke dada. Dahi disembamkan di atas lengan yang sudah memeluk erat lututnya. Sekali lagi, malam menjadi saksi air mata kekecewaan seorang Naurah Afrina. Semenjak Afrina menyedari isi hatinya, sering kali dia ditemani dengan air mata setiap malam.
Manakan tidak, perasannya sama dengan Hud Aidan! Bisa saja mereka bersatu jika tiada halangan daripada walinya Afrina. Bisa saja mereka bersatu jika direstui oleh abahnya Afrina. Bisa saja mereka membina sebuah kebahagiaan jika tiada benteng halangan!
"Hud... tolonglah buat sesuatu untuk kita. Aku dah penat dengan semua ni. Aku perlukan kau dalam hidup aku. Hanya kau yang boleh gantikan Umar. Hanya kau, Hud Aidan!" rintih Afrina dengan tangisan yang semakin mendayu-dayu.
Bersambung...
Stress ke baca? Kalau stress maaf guys 😖 Sekarang memang lagi banyak episod stress2 👉👈
Syaf takut nak post tau sebenarnya.
Takut korang stress sangat2 😖 Of course Syaf rasa bersalah tapi memang cerita ni berat 😪
Lagi pun maklumlah dah konflik 🤭
Kalau suka boleh bagi bintang kecil? 🌹👉👈
Terima kasih sudi membaca 💞
Sedutan episod 34
"Kau tak rasa Rahim tu tikam belakang ke? Kalau dia memang sahabat sejati, mesti dia tak akan fight Afrina dengan kau. Ni dia lebih pentingkan diri dia sendiri daripada persahabatan kau orang. Betul tak cakap aku?" kata Yunus seraya membaling sebotol air mineral kepada Hud yang sudah tercungap-cungap melepaskan bebannya dengan bertinju.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro