Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Episod 32 🍃

ERANGAN kesakitan si penyerang kedengaran memenuhi ruangan parkir bawah tanah tatkala tubuhnya  dibanting kuat ke belakang oleh Hud. Terasa tulang tunjangnya seakan-akan dipatahkan oleh pemuda yang semakin kelelahan itu.

Malahan, tubuhnya turut ditujah dengan tendangan bertubi-tubi yang seakan-akan mematahkan tulang rusuknya. Seketika, pandangannya bersatu dengan pandangan Hud yang penuh dengan amarah sebelum pemuda berkulit sawo matang itu duduk mencangkung di sisinya.

"Sakit?"

Si penyerang hanya diam dengan soalan sinis Hud. Hanya nafasnya yang mengah sahaja kedengaran. Sungguh, penyerang itu benar-benar merasakan tubuhnya sudah dilumpuhkan serta merta oleh Hud.  Namun, dek kerana rasa tercabar dengan keangkuhan Hud dapat menjatuhkannya, penyerang itu lantas menggagau sesuatu di dalam kocek hoodienya. Lantas...

Zap!

"Argh!"

Tak semena-mena, Hud ketawa terbahak-bahak bila mana si penyerang mengerang kesakitan dengan mata yang sudah membuntang. Manakan tidak, Hud sudah memulas kuat pergelangan si penyerang yang hampir menikamnya. Pisau yang berada di pegangan terus terlepas.

Prak!

Semakin kuat lolongan kesakitan si penyerang apabila Hud semakin memulas kuat pergelangan tangannya sehingga bunyi tulang yang dipatahkan turut kedengaran. Air matanya sudah mengalir menahan sakit.

Sungguh, sakitnya bukan kepalang!

"Ni balasan untuk tangan yang dah pukul muka aku sampai lebam! Tangan yang dah hayunkan besbol kat belakang aku tadi! Kau ingat aku ni apa? Punching bag kau ke hah jahanam!" tegas Hud seraya menghayunkan penumbuknya ke wajah si lelaki bermata sepet itu.

Puas! Hud puas hati dapat menjatuhkan satu lagi lawan. Amarahnya benar-benar sudah berada di kemuncak tika ini.

Lantas, Hud bangun seraya meluru ke arah seorang lagi penyerang yang sedang bergasak dengan Afrina. Namun, kesakitan pada abdomennya membuatkan langkahnya terbejat. Semakin dia kelelahan, Hud semakin merasakan kesakitan pada luka jahitannya semakin menyucuk.

Apabila tangannya menyelak sedikit kemeja yang tersarung pada tubuh, terpampang cecair merah yang mula memenuhi kain kasa yang membaluti lukanya. Jahitannya sudah terbuka! Manakan tidak, perkelahian itu membuatkan Hud terpaksa mengerahkan tubuhnya untuk bekerja keras lagi. Bila-bila masa sahaja dia boleh terkena infeksi jika dibiarkan.

Buk!

Tatkala tubuh Afrina tersungkur di hadapannya, Hud lantas tersedar dari terus melayan kesakitan. Gadis itu kelihatan terus-terusan berusaha untuk membantunya walaupun wajahnya yang cantik sudah tercalit dengan sedikit darah.

Tak tunggu lama, Hud lantas meluru ke arah penyerang yang sudah menumbuk gadis kesayangangannya sehingga tersungkur. Tika itu juga Hud mahupun Afrina sama-sama cuba menjatuhkan seorang lawan yang bertubuh besar seolah-olah seekor raksasa.

Entah kekuatan apa yang dimiliki oleh si lelaki bertubuh besar yang sedang memegang parang itu. Afrina mahupun Hud sesekali tersungkur ditepis olehnya. Nafas mereka juga semakin mengah. Rintik-rintik peluh mengalir ke pipi yang mula lebam.

Lantas, Hud kembali bangun dan meluru ke arah penyerang terakhir yang masih gagah berdiri. Dia berlari lantas berpusing menghayunkan bertubi-tubi tendangan ke kepala penyerang itu.

Malangnya, penyerang bertubuh besar itu bagaikan tak lut dengan tendangan Hud. Parang yang berada di tangannya lantas dilibas ke lengan pemuda itu sehingga Hud kembali tersungkur berhampiran Afrina.

Ketika itu, si penyerang sudah tertawa sinis mengejek Afrina dan Hud yang tak mampu menjatuhkannya. Malahan, keduanya kelihatan benar-benar kelelahan dan kehilangan tenaga.

Manakan tidak, dengan ketinggian si penyerang 181 cm dan berat 90 kg sudah tentunya memberikan kesukaran kepada mereka untuk melawan. Sesekali, Afrina mengalihkan pandangannya ke wajah pucat Hud. Jelas tampang wajah lelaki itu semakin pucat. Malahan, Afrina dapat melihat baju Hud mula dibasahi dengan darah.

Bertambah khuatirlah gadis itu dengan keadaan Hud. Tapi dia juga susah kehabisan tenaga untuk melawan. Tulang-temulangnya mula digigit dengan rasa sengal akibat perkelahian itu. Kekuatan penyerang-penyerang mereka memang tidak dapat disangkalkan lagi. Tambahan pula mereka turut membawa senjata!

"Selamatkan diri kau cik misi. Kau dah banyak tolong aku hari ni. Cukuplah kau gadaikan nyawa kau untuk tolong aku. Aku hargai..."

"Tak! Aku... aku tak akan tinggalkan kau kat sini. Aku dah nekad... aku nak tolong kau," pintas Afrina. Bibirnya diketap menahan sebak yang tiba-tiba bertamu di dinding hati. Tajam anak matanya memandang raut wajah Hud yang sudah lebam itu. Pipi kanan dan tepi bibir yang masih tersisa darah kering. Dia tidak mahu pemuda itu terus terusan dicederakan!

Sungguh, Afrina sendiri tidak mengerti dengan apa yang baru sahaja diujarkan sebentar tadi. Tapi apa yang dia tahu, dia mahu ada di sisi Hud. Dia mahu membantu Hud. Sama-sama menentang musuh yang mahu membunuh mereka.

Omongan Afrina lantas membuatkan Hud terkelu. Dia menalakan pandangannya ke roman wajah Afrina. Aneh sekali segala percakapan gadis ini. Afrina seolah-olah takut jika dia terus diapa-apakan.

'Aku tak akan tinggalkan kau.'

Sebaris ayat itu membuatkan dinding hati Hud seakan-akan direnjat dengan arus elektrik. Apa maksud Afrina?

Adakah perasaan mereka sama?

Entah, Hud sendiri tidak yakin. Ekspresi tegas Afrina tidak menunjukkan mereka mempunyai perasaan yang sama. Apa yang Hud tahu, saat ini dia merasakan bahawa Afrina mahu melindunginya. Itu sahaja.

Tempikan si penyerang bersama dengan derapan tapak kaki yang menghampiri terus mematikan permainan emosi Afrina dan Hud. Lantas, Hud buru-buru bangun dan menghalang si penyerang dari mencederakan Afrina.

Berkerut-kerut dahi pemuda itu menahan sakit pada bahunya yang cedera akibat dilibas dengan parang sambil mengenggam pergelangan tangan si penyerang yang sedang mengenggam sebilah parang.

"Larilah Afrina! Kau tak payah susahkan diri kau nak tolong aku! Aku tak perlukan bantuan daripada kau! Selama ni pun kau bencikan aku kan? Aku dah sakitkan hati kau. Aku dah mainkan perasaan kau! Jadi... kau tak payah nak tiba-tiba risaukan akulah!" bentak Hud sekuat hati lantas menghayunkan lututnya ke rusuk si penyerang yang sedang mengangkat tangannya dengan sebilah parang. Mahu menikam Hud dengan senjata tersebut.

Tatkala itu, Afrina benar-benar kejung dengan kata-kata Hud yang tegas. Tangannya digenggam erat menahan perih di sudut hati. Sungguh, segala butir bicara Hud umpama butir peluru yang ditujah ke tubuh Afrina sehingga tebus di dinding hatinya. Berdarah!

Bang!

Tak semena-mena, Afrina tersentak tatkala bunyi tembakan yang dilepaskan dari belakang kedengaran. Tangannya lantas menekup mulut apabila tembakan itu dilepaskan ke arah Hud dan si penyerang bertubuh besar itu. Buru-buru Afrina bangun mendapatkan Hud apabila pemuda itu sudah terhempas ke belakang dinding akibat ditolak kasar oleh si penyerang.

Erangan si penyerang yang baru sahaja ditembak oleh Ibrahim hanya sayup-sayup kedengaran di halwa telinga Afrina. Tumpuannya hanya tertumpu pada Hud yang sudah tertunduk kesakitan.

"Hud... kau perlukan rawatan. Aku hantarkan kau ke hospital okay? Takut luka kau terkena jangkitan. Kau..."

"Afrina."

Tatkala suara dingin Hud menyapa telinga, Afrina kematian kata serta merta. Terasa kelat liur di rengkungannya dengan pandangan tajam Hud itu. Seakan-akan pandangan itu menusuk hingga ke tangkai hati Afrina.

Buat seketika, terletus tawa kecil di bibir Hud Aidan. Tercuit hatinya melihat wajah Afrina yang cuak dan  sememeh. Gadis ini memang egonya tidak ada kompromi.

"Aku dah cakap kau risaukan aku sampai aku boleh tengok air mata kau sekali lagi. Hey Afrina... janganlah menangis sebab aku. Aku tak suka tengok gadis yang aku..."

"Kau orang okay tak ni? Afrina, awak okay tak? Ada luka kat mana-mana?" pintas Ibrahim tatkala dia dan rakan sejawatnya sudah menguruskan tiga orang penyerang. Dua yang lainnya pula berjaya melarikan diri.

"Saya okay. Tapi Hud... jahitan pada luka dia terbuka lagi," jawab Afrina seraya mengalihkan pandangannya dari menatap wajah Hud. Malu! Dia menangis depan lelaki tiga suku itu dan sudah semestinya ego Afrina tercabar! Dia tidak suka Hud melihat air matanya. Dia merasakan dia begitu lemah.

Ketika itu, Hud hanya merasakan dunianya hanya ada dia dan Afrina.  Dia suka Afrina yang lembut seperti ini. Hud suka Afrina bersikap prihatin kepadanya. Dia rasa dilindungi oleh gadis kesayangannya. Sesungguhnya, Hud benar-benar jatuh cinta dengan seorang Naurah Afrina. Bunga-bunga cinta di sudut hatinya semakin tumbuh mekar. Mengindahkan hari-harinya yang sering diancam bahaya.

SUASANA di dalam ruangan bilik rawatan  Atma Home Nursing tatkala itu tak ubah seperti berada di sebuah Gurun pada waktu malam. Dingin dan sepi. Hanya bunyi penghawa dingin sahaja yang kedengaran.

Manakan tidak, baik Afrina mahupun Hud keduanya hanya senyap tanpa sebarang kata. Tiada usikan. Tiada kata-kata sinis. Tiada pertelingkahan. Keduanya sudah penat dengan kejadian sebentar tadi.

Namun, Afrina yang sedang membersihkan luka pada abdomen Hud mula berasa tak senang duduk dengan renungan pemuda itu. Mahu sahaja disemburkan kata-kata pedas. Tapi rasa malu bila Hud melihat dia menangis masih tersisa. Lantas, dia menekan abdomen Hud dengan kapas yang sudah ditampal pada luka yang sudah dijahit. Kuat. Melepaskan geram pada pemuda tiga suku itu.

Tak semena-mena, Hud mengadu sakit. Afrina ini memang sedang mengenakannya dalam diam. Pedih sungguh lukanya akibat ditekan kuat oleh gadis itu.

"Kau marah aku ke?"

Senyap.

Afrina masih ligat melakukan pekerjaannya dengan membalut luka libasan pada bahu Hud. Sungguhlah Afrina kesal. Dek kerana tiada jururawat lain di dalam Atma Home Nursing tika itu tak pasal-pasal dia diberikan tugas untuk merawat Hud.

Doktor Azizah pula berada di ruang pejabatnya dan sedang melakukan konsultasi dengan pesakit. Jadinya, Afrina juga yang harus berhadapan dengan Hud Aidan lagi.

Manakala Arisha dan Dina berada di bilik solat. Menunggu Encik Talib yang akan menjemput anak-anak gadisnya memandangkan Afrina mahupun Arisha masih dalam keadaan terkejut. Bahaya untuk meneruskan pemanduan.

Ibrahim jugalah yang menghantar mereka ke Atma Home Nursing sebentar tadi sebelum pemuda itu kembali ke balai bagi menguruskan kes Hud Aidan.

"Kau merajuk ke aku asyik marah kau hari ni?" tebak Hud lagi. Tampang wajah Afrina yang berdiri di sisinya dipandang tanpa berkelip. Kasihan Afrina. Wajahnya yang manis sudah ditampal dengan plaster di bahagian pipi.

"Diam boleh tak? Aku tak nak bercakap..."

Tak semena-mena, Hud ketawa kecil dengan amarah Afrina. Mula sudah mood mengusik Hud seperti biasa. Renungan tajam Afrina yang berselirat dengan amarah membuatkan tawa Hud semakin kuat. Hatinya tercuit lucu.

"Apa yang kelakar! Kau ni memang macam ni ke? Huh?" marah Afrina. Pantang betul dia dengan Hud yang seenaknya sahaja mentertawakannya. Serta merta hilang sudah rasa malu. Diganti pula dengan api kemarahan yang mula membakar hati.

"Macam apa?" soal Hud dengan tawa yang masih tersisa.

"Menyakitkan hati! Dahlah! Aku malas nak berdepan dengan kau ni lama-lama. Aku rasa kalau aku terus berdepan dengan kau... boleh terkena darah tinggi kut sebab kau ni asyik naikkan darah aku saja!" tegas Afrina seraya meluru ke arah sinki. Pili dipusing. Tangan lantas dicuci dan disabun dengan antiseptik.

Keluhan berat terlepas dari bibir. Hud Aidan ini memang sejenis tiga suku yang sering menyakitkan dia saja. Ada saja tingkahnya yang memenatkan Afrina.

Hud sekadar tersenyum nipis dengan tingkah Afrina sambil membutangkan baju kemejanya. Memanglah Naurah Afrina ini sikapnya sukar ditebak. Tapi itulah juga yang membuatkan Hud semakin tertarik dengan gadis itu.

Menarik dan mencabar orangnya.

"Terima kasih sebab rawat aku. Terima kasih sebab sanggup gadaikan nyawa kau untuk tolong aku. Tapi... boleh aku tanya kau sesuatu?"

Ketika suara Hud yang kedengaran serius menyapa telinga, Afrina terus menutup pili air dan kalih menghadap Hud Aidan yang duduk di atas katil bilik rawatan. Tika itu, pandangan mereka sudah saling bersatu antara satu sama lain. Terbias riak serius di sebalik wajah keduanya.

"Silakan Encik Hud Aidan," ujar Afrina seraya berpeluk tubuh dan bersandar di belakang dinding berhampiran sinki.

"Kau akan jawab soalan aku?"

"Go on! Aku akan jawab," tegas Afrina. Tidak mahu membuang waktu. Dia benar-benar lelah dengan kejadian hari ini.

"Kenapa kau risaukan aku? Kenapa kau sanggup buat macam tu tanpa hiraukan diri kau sendiri? Kau betul-betul nampak takut, cik misi. Kenapa? Boleh aku tahu?"

Bertubi-tubi soalan yang dilontarkan Hud kepada Afrina. Bagaikan butiran bom dan peluru yang ditujahkan kepada gadis yang mula tak senang duduk itu. Pandangannya dialihkan dari menatap wajah Hud. Afrina berdeham membetulkan tekak yang terasa payau.

"Afrina..."

"Sebab aku tak nak Dina, Sherin dan Datin Khalida rasa apa yang aku pernah rasa lima tahun yang lalu. Aku tak nak dia orang hilang kau secara mengejut. Kau tahu kan dia orang perlukan kau. Kau saja yang boleh jadi pelindung mereka," ujar Afrina seraya kembali kalih memandang raut wajah Hud Aidan. Keluhan berat terlepas dari bibir.

Afrina tidak suka membangkitkan perihal ini. Perihal yang pernah menjatuhkan dirinya sendiri. Bukan senang untuk dia melangkah setelah kematian Umar. Jiwanya kosong. Tapi, Hud juga perlu mengetahui asbab dia melakukan hal sedemikian rupa.

Hud mula dihurung dengan persoalan di sebalik penjelasan ringkas Afrina. Dia tahu, Afrina itu tunangan orang. Cuma intuisinya seolah-olah mengatakan bahawa hubungan itu tidak panjang. Manakan tidak, dua bentuk cincin yang sama tersarung di jari manis Afrina.

"Lima tahun yang lalu, aku pernah hilang tunang aku. Seminggu sebelum kami menikah ALLAH telah menjemputnya. Dia terkorban ketika melakukan tugas sebagai bomba. Kau tahu masa tu... aku..."

Jeda.

Afrina tersenyum sinis sambil mengetap bibir. Sakitnya saat dia menceritakan semula perihal Umar. Terlalu sakit sampai omongannya terjeda buat seketika.

Tatkala itu, Hud mula merasakan mendung di sudut hatinya yang terdalam. Dapat dia lihat wajah Afrina yang tegas mula berubah sayu. Tak guna! Dia buat gadis kesayangannya bersedih lagi. Tapi rasa ingin tahu itu membuak-buak. Hud tiada pilihan lain.

"Aku rasa aku hilang tempat bergantung. Aku hilang diri aku yang ceria dan sentiasa tersenyum. Sebab tulah terciptanya Naurah Afrina yang kau nampak saat ini. Itulah sebabnya aku risaukan kau. Aku tak nak mereka rasa kehilangan tempat bergantung. Perih rasanya Hud Aidan!" tegas Afrina dengan nada suara yang kedengaran bergetar menahan sebak di dada. Pandangannya bersatu lagi dengan pandangan Hud.

Kini, mengertilah seorang Hud Aidan kisah di sebalik sikap dingin Naurah Afrina. Tiada lagi persoalan di benak fikiran asbab gadis itu sentiasa tegas dan garang. Mengertilah dia mengapa Afrina benar-benar risau akan dirinya. Sungguh, kesakitam Afrina itu seakan-akan meresap ke relung hatinya. Terlalu besar dugaan yang dilalui oleh Afrina selama ini.

"Aku minta maaf sebab tanya soalan..."

"Tak ada apalah. Aku harap kau faham kenapa aku risaukan kau. Okaylah Hud. Aku kena pujuk Isha. Dia masih terkejut dengan apa yang dah jadi hari ni. Hati-hati. Aku doakan semoga ALLAH akan selalu lindungi kau dan keluarga kau. Aku harap akan ada jalan untuk semua masalah yang membelenggu hidup kau," ujar Afrina. Tergaris senyuman manis di bibirnya buat Hud Aidan. Langkah lantas diatur keluar dari ruangan itu.

Afrina lega. Dapat meluahkan sesuatu yang terpendam di lubuk hatinya yang terdalam. Rasa beban yang dipikul terlepas di bahunya.

Saat itu juga, Hud seakan-akan terpukau dengan kata-kata Afrina. Bagaikan mimpi sahaja bila gadis itu mengujarkan sesuatu yang baik-baik kepadanya. Apa yang paling mengejutkan bila mana Afrina boleh tersenyum kepadanya.

Afrina senyum kepadanya? Senyuman manis yang bisa menggetarkan hati Hud Aidan. Oh sungguh! Dia mahu sentiasa berada di sisi Afrina. Menjadi pengganti arwah tunangnya Afrina barangkali?

"Naurah Afrina! Aku ada satu permintaan. Aku tahu aku berlebihan. Tapi... tak salah kan kalau aku cuba buat permintaan ini?"

Tak semena-mena, langkah Afrina terbejat di muka pintu dengan kata-kata Hud. Saat itu juga, sesuatu yang aneh kembali menyelinap masuk ke dasar hati Afrina. Intuisinya mengatakan sesuatu yang mengejutkan akan berlaku. Lantas, nafas berat ditarik dan dihembuskan perlahan-lahan. Menenangkan emosinya. Oh sungguh! Kenapa lagi dan lagi perasaan aneh ini bisa muncul?

"Apa dia?"

Hud menguntumkan senyuman dengan jawapan Afrina. Gadis ini sudah sedikit berubah. Kedinginannya sudah dikurangkan dan Afrina mula bersikap terbuka kepadanya. Afrina benar-benar mengotakan janji untuk memaafkannya.

"Naurah Afrina, permintaan aku ni mungkin keterlaluan untuk kau tapi aku dah lama fikirkannya. Sejak aku mula sedar yang aku cin..."

Bam!

Tak semena-mena, Hud kematian kata tatkala pintu dihempas kasar dari luar. Mati terus senyuman Hud melihat figura yang sudah meluru masuk ke ruangan itu dan terus mencekak kolar kemejanya sehingga Hud terbangun dari duduk.

"Kau buat apa kat anak aku lagi Encik Hud? Hah! Anak aku si Isha tu tak henti-henti menangis sebab takut. Afrina pula..."

"Abah! Bertenang. Jangan macam ni abah. Encik Hud tu cedera," pujuk Afrina yang diserang kejutan. Tangan abahnya ditarik dari terus mencekak kolar kemeja Hud.

Perlahan-lahan, Encik Talib melepaskan Hud daripada cengkamannya lantas menolak kasar tubuh Hud sehingga pemuda itu tersandar di belakang katil. Suasana serta merta berubah tegang dengan kemarahan Encik Talib.

"Dah dua kali anak aku berada dalam keadaan bahaya disebabkan kau! Aku tak fahamlah kenapa kau masih libatkan diri kau dengan anak aku lepas kejadian penculikan dulu! Eh, kau ni memang tak berperikemanusiaan ke?" bentak Encik Talib dengan wajah yang menyinga. Kecil besar saja dipandangnya Hud Aidan yang kaget dengan kedatangannya.

"Abah..."

Afrina kematian kata serta merta saat pergelangan tangannya sudah dicengkam oleh abahnya. Dia kembali resah bila Hud terus-terusan disembur. Afrina tidak mahu Hud disalahkan!

"Kau dengar sini baik-baik Encik Hud. Aku tak nak kau kacau hidup anak aku lagi! Aku merayu pada kau jangan masuk dalam hidup anak aku. Kalau..."

"Tapi saya cintakan Naurah Afrina, pak cik. Terlalu cintakan anak pak cik setulus hati saya. Mungkin selama ini saya pentingkan diri sendiri. Saya masih libatkan Afrina dalam hidup saya walaupun nyawanya menjadi taruhan musuh. Tapi... saya minta maaf. Saya tak boleh buang rasa yang dah terzahir untuk Naurah Afrina," pintas Hud tatkala Encik Talib terus menerus mendesaknya untuk menjauhkan diri daripada Afrina. Dia tidak sanggup!

Saat Hud meluahkan isi hatinya, saat itu juga keadaan berubah senyap serta merta. Baik Afrina mahupun Encik Talib keduanya terkelu dengan luahan Hud Aidan. Hud tidak main-main. Wajahnya serius tanpa segaris senyuman.

Tatkala itu juga, pandangan Hud dan Afrina sudah saling bersatu. Terbias riak wajah terkejut di sebalik wajah manis Afrina. Bagaikan baru sahaja menerima tamparan hebat yang memberikan kesan dalam hidup Afrina. Afrina merasakan nafasnya sudah jadi sesak.

"Cik misi Naurah Afrina, aku sangat mencintai kau lebih dari segala apa yang aku miliki. Kelembutan kau melayani Dina membuatkan aku jatuh cinta dengan kau. Aku mahu jadi pelindung buat kau, Afrina. Aku nak selalu ada di sisi kau setiap detik dan waktu," luah Hud lagi. Nada suaranya ditekankan menandakan dia serius. Dia tidak bermain dengan emosinya terhadap Afrina.

Sungguh, Afrina rasa jantungnya mahu meletup dengan luahan berani mati Hud itu. Gila! Pemuda tiga suku ini memang berani mati meluahkan perasaan di hadapan abahnya yang garang! Tiada lagi diksi yang terzahir daripada mulutnya.

"Kamu cintakan Afrina?"

"Sangat mencintai Naurah Afrina, pak cik," jawab Hud. Yakin!

Encik Talib tersenyum sinis dengan jawapan Hud Aidan. Dia terangguk-angguk faham sambil menepuk bahu Hud. Seketika, pandangannya beradu dengan pandangan anak muda yang bersifat berani itu.

"Kalau kamu cintakan Afrina, kamu akan buat apa sahaja yang walinya pinta?" soal Encik Talib. Nada suaranya kedengaran beransur tenang.

"Apa sahaja pak cik. Demi masa depan Afrina."

"Oh demi masa depan ya? Kalau aku arahkan kau jauhkan diri daripada Afrina... macam mana? Kau akan turutkan demi masa depan anak aku?"

Tatkala permintaan Encik Talib menusup ke halwa telinga Hud dan Afrina, keduanya kembali berpandangan antara satu sama lain. Seakan-akan mereka akan terpisah jauh selepas ini. Keduanya sudah tak mampu berkata-kata lagi. Hanya pandangan mereka yang berbicara.

Pandangan daripada Hud yang tidak sanggup dipisahkan dengan gadis yang bertakhta di hatinya.

Pandangan Afrina yang juga merasakan bahawa... hatinya seakan-akan berkata ya buat seorang Hud Aidan. Hanya sahaja Afrina masih keliru dengan perasaannya sendiri.

Bersambung

Suka chapter ni? Jangan lupa tekan bintang 👉👈

Stress?

Ya syaf pun tertekan tulis chapterni 🤣🤣

Kalian jangan rindu pula Afrina versi garang tahap gaban dengan Hud

Lepasni dah tak ada semua tu 🤣☺

Last syaf nak tanya, kalian rasa ada  vibe cerita ni dah nak tamat tak?  🤔

Sedutan episod 32

"Kalau keputusan ini dapat senangkan hati abah dan mama, Afrina akan turutkan. Bagi Afrina, kebahagiaan mama dan abah lebih penting. Mama dan abah keduanya nombor satu dalam hidup Afrina," jawab Afrina seraya menundukkan kepalanya memandang sebaldu kotak merah yang dihulurkan kepadanya.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro