Episod 30 🍃
SEBAIK sahaja kakinya melangkah keluar dari perut kereta, Hud sudah diterpa dengan sebuah pelukan. Tergaris senyuman di bibir pemuda itu tatkala anak matanya tertancap pada Dina yang sedang memeluknya dengan erat.
"Pak cik... Dina nak jalan-jalan boleh? Dah lama pak cik tak bawa Dina makan ice cream coklat," ujar Dina seraya mendongak memandang wajah Hud. Senyuman si anak kecil turut melebar sehingga menampakkan lesung pipit di kedua belah pipinya. Sungguh, Dina senang hati dengan kepulangan Hud.
"Boleh! Tapi sebelum tu Dina dah siapkan homework yang cikgu bagi?" soal Hud sambil mengusap lembut rambut Dina yang diikat kiri dan kanan dengan menggunakan reben.
"Dah! Dina buat semuanya sendiri macam yang pak cik pesan. Kalau Dina tak pandai buat baru Dina tanya cikgu," kata Dina. Tubuh Hud sudah dilepaskan dan berganti pula dengan tangan yang digawangkan minta didukung.
Terletus tawa kecil di bibir Hud dengan kepetahan dan tingkah Dina. Anak kecil itu sering sahaja menghiburkan harinya dengan berceloteh. Manja! Lantas, Hud menyambut huluran tangan Dina dan mendukung tubuh gadis kecil itu. Sama-sama mereka melangkah masuk ke dalam rumah.
"Kau nak jahitan luka kau terbuka ke dukung Dina tu?" soalan sinis Mirza menyapa telinga Hud. Langkahnya serta merta terbejat di muka pintu yang terbuka luas. Segera pemuda itu berpaling memandang abang tirinya yang sudah berdiri di sisi kereta.
"Dina tak berat mana pun. Dosa aku rasanya lagi berat dari tubuh kecil Dina. Kau tu, tak payahlah muka tegang sangat. Sebab tu Dina takut nak dekat dengan kau. Kan aku dah cakap aku bergurau tadi," jawab Hud. Senyumannya terukir lagi di bibir melihat wajah Mirza yang masih tegang setelah dia bergurau kasar di dalam kereta sebentar tadi.
"Terima kasihlah sudi hantarkan aku balik rumah. Kau jangan ambil serius sangat dengan apa yang aku cakapkan tadi. Nak buat macam mana... tadi aku tengah dalam mood nak mengusik kau," tambah Hud lagi seraya memberikan tabik kepada Mirza yang masih berwajah kelat. Hud tahu buktinya masih tidak kukuh menuduh Mirza sebagai dalang.
Sepeninggalan Hud dan Dina, tajam anak mata Mirza memerhatikan Hud yang semakin hilang dari pandangan. Sayup-sayup kedengaran suara Dina terkekeh-kekeh. Hud benar-benar sedang memberikan tekanan kepadanya apabila syak wasangka ditaburkan tanpa sebarang bukti. Seenaknya sahaja adik tirinya itu mentertawakannya mengenai hal yang serius sebentar tadi.
Hud itu dari dahulu sehingga sekarang sering sahaja membuatkan dia tercabar. Tidak henti-henti bersifat provokasi. Pengakhirannya jika mereka bergaduh dahulu, arwah Datuk Idris akan menghukumnya memandangkan dia lebih tua berbanding Hud Aidan.
Bunyi gelak tawa yang kedengaran di belakang mematikan lamunan panjang Mirza. Lelaki berkumis nipis itu lantas kalih memandang figura yang tiba-tiba muncul. Sebuah Mercedes Benz berwarna merah terpampang di depan mata. Namun, perkara yang lebih menarik perhatian Mirza tatkala pandangannya tertancap pada isterinya yang sedang berlaga pipi dengan seorang lelaki yang lebih kurang sebaya dengannya.
Tak semena-mena, api kemarahan di dinding hati Mirza kembali marak. Giginya sudah saling berlaga antara satu sama lain. Wajah lelaki berketurunan eropah itu dipandang silih berganti dengan wajah si isteri yang berpakaian menjolok mata dengan gaun merah berlengan pendek paras lutut. Mahu sahaja dirodok jantung lelaki penyondol itu dengan belati tajam.
"Honey, I will fetch you again tonight. Nine..."
Buk!
"Mirza! You dah gila..."
Pang!
"Kau masuk sekarang juga Amelia! Kau jangan nak melacurkan diri kau depan mata aku!" jerkah Mirza setelah tamparan kuat dihayunkan ke pipi si isteri. Turun naik nafas lelaki itu melepaskan amarah. Tangan Amelia yang sudah melongo lantas direntap dan digenggam erat.
"And you crazy dude! I'm warning you right now! If you want to get a better life, don't you ever close to my wife! Or else, I will shoot you to death!" tegas Mirza seraya menolak kasar tubuh lelaki simpanan Amelia. Sungguh, mahu sahaja dibunuhnya lelaki yang sudah menyeringai kesakitan setelah ditumbuk olehnya sebentar tadi.
Gila!
Semua ini gila! Keluarganya ini benar-benar membuatkan dia jadi gila dengan setiap sikap mereka yang mencabar kesabarannya. Saat ini pula, si isteri semakin berani bermadu asmara dengan lelaki asing di depan rumah keluarganya sendiri!
CUACA redup pada petang itu dirasakan sangat menenangkan. Hembusan bayu pada petang itu menyapa wajah tiga beranak yang sedang berehat di taman mini rumah agam itu. Bunyi aliran air terjun perhiasan di kolam ikan turut kedengaran.
"Mama, Hud minta maaf sebab pergi tak minta izin daripada mama. Hud tak nak mama risau kalau Hud pergi jauh daripada mama. Ampunkan Hud ya mama sebab buat mama risau," ujar Hud sambil mengucup tangan ibunya yang duduk di kerusi roda bertalu-talu. Sungguh, Hud benar-benar rasa berdosa tika ini tatkala sudah sebulan dia tidak memandang wajah Datin Khalida.
Anak mata Datin Khalida tunak memerhatikan raut wajah anak lelakinya. Senyuman terlakar di bibir pucatnya apabila Hud kembali pulang. Wanita itu benar-benar berasa lega dapat menatap wajah Hud. Namun, nalurinya sebagai ibu mengatakan sesuatu yang buruk sudah berlaku pada Hud. Buktinya, lihat sahaja tubuh Hud yang sedikit cengkung.
"Kenapa mama tengok Hud ni macam sakit saja? Hud tak sihat ke?" soal Datin Khalida sambil mengusap wajah anak lelakinya yang berkulit sawo matang. Wajah Hud sememangya tak ubah seperti arwah suaminya dengan hidung yang terletak mancung.
"Haah nenek. Kak Afrina cakap pak cik Hud masuk..."
Apabila Dina hampir terlepas kata, cepat-cepat anak kecil itu menekup mulutnya dengan kedua belah tangan. Terlupa akan pesanan Hud yang melarangnya memberitakan Hud masuk ke hospital kepada Datin Khalida.
"Eh tutup mulut pula. Ni mesti ada apa-apa yang nenek tak tahu. Bagi tahu nenek cepat pak cik Hud pergi mana selama ni? Kalau tak... nenek tak nak kawan Dina," kata Datin Khalida sambil mencubit pipi gebu Dina. Sengaja wanita itu mengusik dengan menggugut cucunya.
"Ala nenek. Tak ada apa-apalah," helah Dina sambil menggelengkan kepalanya. Sengihan terukir di bibir si gadis kecil. Wajah Hud yang sudah memandangnya dengan pandangan yang tegas membuatkan dia gerun. Takut dimarahi oleh pak ciknya.
"Tak ada apalah mama. Tak penting pun semua tu. Mama janganlah overthinking sangat pasal Hud. Bahaya untuk kesihatan mama. Ni, Hud dah masakkan makanan kegemaran mama untuk minum petang. Lempeng pisang tanpa gula," ujar Hud ceria seraya mencapai sepinggan lempeng pisang yang masih panas. Perlahan-lahan, lempeng dicarik dengan garpu lalu disuakan ke mulut ibunya.
"Pak cik, lempeng coklat tak ada ke?" soal Dina yang sedang bermain bersama anak patung beruangnya.
Soalan Dina membuatkan Hud dan Datin Khalida menghamburkan tawa. Gadis kecil itu sememangnya boleh dikatakan 'hantu coklat' memandangkan Dina merupakan seorang penggemar coklat.
"Pak cik tak sempat nak beli Nutella tadi. Esok lepas Dina balik sekolah kita pergi beli sama-sama. Nak?" tanya Hud. Segelas susu dihulurkan kepada Datin Khalida. Ibunya Hud Aidan itu benar-benar kelihatan berselera menjamah minum petang.
"Ala nak sekarang. Bolehlah pak cik. Dina pun dah lama tak jalan-jalan dengan pak cik," rengek Dina dengan bibir yang sudah muncung ke depan. Telinga patung beruangnya dikuis-kuis meminta simpati daripada Hud.
"Pergilah Hud. Kesian mama tengok Dina. Sejak kamu tak ada kat rumah ni tak ada siapa pun nak layan karenah dia. Mama pun tak mampu nak bawa dia keluar," ujar Datin Khalida sambil mengusap lembut rambut cucunya. Simpati pada nasib Dina yang sering diabaikan oleh ibu bapa. Tapi, Datin Khalida tidak hairan kerana dia sendiri gagal menjadi ibu yang baik. Dia memberikan contoh yang buruk kepada anak-anaknya.
"Baiklah mama. Hud akan turutkan kemahuan budak kecil ni. Mengada betul kan nak merajuk dengan pak cik dia yang seorang ni," kata Hud sambil menggeletek pinggang Dina. Terkekeh gadis kecil itu kegelian sambil menolak tangan Hud.
Melihat telatah Hud dan Dina membuatkan Datin Khalida tersenyum senang. Sudah lama tidak melihat rumahnya dipenuhi dengan keceriaan. Doa turut dipanjatkan ke atas Ilahi agar Hud ditemukan dengan pasangan yang mampu membahagiakan anak lelakinya.
"Hud... boleh mama tanya?" soal Datin Khalida. Perkara yang bermain di benak fikiran lantas diujarkan.
Hud kalih memandang wajah ibunya yang bernada serius. Dua beranak sudah saling berpandangan antara satu sama lain. "Tanya apa mama?"
"Mama tengok Hud pandai jaga Dina. Sejak kepulangan Hud mama tengok Dina betul-betul terurus. Masakan Hud pun enak. Kira itu speciality anak mama yang seorang ni. Pandai masak. Kerjaya pun kamu dah ada. Cuma satu tak cukup. Kamu tak nak lengkapkan ke kehidupan kamu?"
Omongan Datin Khalida menimbulkan persoalan dalam benak fikiran Hud serta merta. Hanya senyumannya yang menghiasi bibir bersama dahi yang sedikit berkerut.
"Maksud mama?"
"Maksud mama, tak ada sesiapa yang istimewa dalam hidup Hud ke sekarang ni?"
Hud ketawa dengan soalan ibunya. Pelipis yang tak gatal digaru. Lantas, tangan ibunya digenggam erat. Syurga dunia akhiratnya ini membuatkan dia tercuit hati.
"Depan mata Hud ni dah istimewa..."
"Maksud mama hati kamu ni, tak ada sesiapa yang istimewa ke untuk dijadikan sebagai pasangan hidup?" pintas Datin Khalida sambil melekapkan tangannya ke dada Hud. Senyuman terukir di bibirnya melihat riak wajah Hud yang terpancar dengan sebuah kejutan.
Tatkala soalan itu diujarkan, debaran mula mengetuk dinding hati Hud bertalu-talu. Tangannya turut menggenggam pergelangan tangan ibunya dengan erat.
Pasangan hidup?
Soalan itu benar-benar memberikan kejutan buat Hud Aidan. Dia tidak pernah sesekali memikirkan hal itu. Manakan tidak, hati dan jiwanya hanya untuk Afrina. Malangnya, dia sedar dalam keadaan yang membahayakan dia dan Afrina tidak bisa bersatu.
"Adalah tu kan? Mama dapat rasa debaran di hati anak mama. Mama dapat rasa yang Hud Aidan ni dah jatuh cinta dengan seseorang di sebalik senyuman manisnya. Siapa? Staff nurse Naurah Afrina yang kamu suka usik tu ke?" tebak Datin Khalida dengan senyuman yang semakin melebar. Teringat bila mana Hud sering mengusik Afrina setiap kali gadis itu merawatnya.
Telahan tepat daripada ibunya membuatkan Hud serta merta kelu untuk bersuara. Hanya sorotan matanya sahaja yang memandang wajah si ibu. Sememangnya, naluri seorang ibu sentiasa tepat. Hud tidak dapat menafikan kebenaran itu.
Benar, hatinya sudah dimiliki oleh si gadis bernama Naurah Afrina. Hanya gadis itu yang bisa membuatkan Hud jadi tak keruan.
BUAH-BUAHAN, sayur-sayuran yang pelbagai jenis dan Granola berjenama Oat's yang sudah penuh di dalam troli hanya mampu membuatkan Afrina menggelengkan kepala sahaja. Mahu ditegah, Afrina sudah penat. Arisha benar-benar tekad untuk diet sejak kebelakangan ini. Maka, Afrina teruskan sahaja proses membeli barangan dapur bersama Arisha.
"Kakak jangan nak mengangguk geleng. Isha nak ajak keluarga kita makan makanan berkhasiat sebab tu Isha ambil semua..."
Arisha kematian kata apabila Afrina sudah menonong berjalan tanpa mendengar celotehnya. Berkerut dahi gadis berselendang mustard itu apabila kakaknya seakan-akan tidak melayan karenahnya. Keluhan berat terbit di bibir bersama cebikan sinis.
"Kak..."
Sekali lagi, Arisha hilang kosa kata melihat figura yang berada di hadapannya muncul dari lorong bakeri. Serta merta senyumannya melebar melihat pemandangan indah di depan mata. Nafas panjang ditarik lalu dihembuskan perlahan-lahan. Sempat lagi Arisha berdeham membetulkan suaranya. Ini rezeki terlajak!
"Hai abang handsome. Ops! Maksud saya hai abang Hud Aidan!" sapa Arisha apabila dia sudah bertembung dengan pemuda berkemeja kotak-kotak berwarna kelabu. Tangannya dinaikkan sebagai tanda sapaan.
"Arisha? Adik Afrina kan?" soal Hud meminta kepastian. Tangan Dina yang sedang dipimpin digenggam erat. Tidak mahu anak kecil itu berlari di pasar raya Tesco. Jari telunjuknya sudah dihalakan ke batang tubuh Arisha.
"Abang ingat saya? Seriously? Kita jumpa dua kali saja kot selama ni!" ujar Arisha dengan nada yang ceria. Senyuman di bibirnya semakin melebar sehingga menampakkan gusinya yang tersusun cantik. Crush tahu mengenai dirinya dan sudah tentunya buat Arisha senang hati.
Hud sekadar mengangguk dan membalas senyuman Arisha. Sikap adiknya Afrina yang ceria ini memang jauh berbeza jika dibandingkan dengan Afrina yang tegas.
"Arisha seorang saja?" soal Hud sekadar berbasa basi. Sesekali, terkial-kial pemuda itu seolah-olah mencari sesuatu. Jauh di sudut hati dia berharap dapat bertemu dengan Afrina.
Melihat keadaan Hud membuatkan hati Arisha tercuit lucu. Sempat lagi dicubitnya pipi Dina yang hanya terkebil-kebil menyaksikan pertemuannya dan Hud Aidan.
"Abang kalau nak cari Kak Afrina, memang rezeki abanglah hari ni. Dengan lafaz Bismillah, abang pusinglah belakang," usik Arisha. Matanya sudah tertancap pada batang tubuh Afrina yang sudah berwajah tegang sambil berpeluk tubuh. Memandangnya yang seolah-olah membuang masa.
Hud menurut sahaja kata-kata Arisha yang seakan-akan berlapik. Lantas, pemuda itu berpaling ke belakang. Saat matanya tertancap pada si gadis berbaju jumpsuit berjalur putih berwarna kelabu dipadankan dengan selendang hitam, tatkala itu juga dinding hati Hud mula berentak kencang. Dia dapat lihat, si gadis idaman juga sudah tercengang dengan kehadirannya.
"Kakak!" kata Dina seraya melambaikan tangannya pada Afrina yang kelihatan terpegun dengan kejutan di depan mata. Bertambah ceria wajah Dina tatkala kakak kesayangannya berada di depan mata. Sungguh, dia amat rindu dengan Afrina.
"DINA! Jom kita pergi kedai toy's nak tak? Kakak nak belanja Dina patung barbie. Lagi pun, tak elok kita kacau Kak Afrina dengan Pak cik Hud nak berbual," ujar Arisha tanpa mempedulikan Afrina yang sudah menegahnya untuk bergerak. Jelingan maut Afrina itu cukup meyakinkannya bahawa Afrina tidak suka dibiarkan berduaan dengan Hud Aidan.
Tapi, Arisha peduli apa. Selama 10 minit mereka minum petang di food court, hanya dia dan Hud sahaja yang rancak berbual. Afrina pula sekadar menjadi pendengar. Walhal, Arisha tahu bahawa kakaknya risau mengenai keadaan Hud.
Dina pula bagaikan mendapat durian runtuh. Si gadis kecil terus tersenyum lebar sambil mengangguk setuju. Dia sudah bangun dari duduk dan menyambut huluran tangan Arisha. Sudah lama dia tidak dihadiahkan mainan baru oleh Hud.
Sepeninggalan Dina dan Arisha, saat itu juga Afrina benar-benar merasakan keadaannya tidak selamat apabila ditinggalkan berduaan dengan Hud di food court. Tambahan pula tempat duduk mereka terlindung di bahagian belakang berhampiran pintu keluar pasar raya. Jauh dari pelanggan lain.
Segelas teh o ais disedut dengan straw bagi menutup rasa kekoknya. Sebaik mungkin Afrina melarikan pandangannya dari menatap wajah Hud. Entah mengapa, setelah hampir sebulan kejadian buruk itu berlaku Afrina jadi tak mampu bersemuka dengan Hud lagi. Apa yang Afrina tahu, bayangan Hud hampir mati masih berlegar di ruang memori.
"Kau sihat?" soal Hud. Itu sahaja yang mampu keluar dari mulutnya. Hud juga rasa kekok saat itu. Aneh sekali!
"Sepatutnya aku yang tanya kau. Sejak bila kau keluar dari hospital?" soalan dibalas dengan soalan. Perlahan-lahan, Afrina mendongak memandang wajah Hud yang duduk bertentangan dengannya.
"Tadi..."
"Tadi? Eh kau ni memang sejenis tak makan saman ke? Kau tu koma hampir seminggu. Kau dah cedera parah dalam kejadian tu dan kau perlukan rehat yang cukup! Kenapa kau susah sangat nak jaga diri kau? Macam mana kalau penjahat tu masih nak celakakan kau dalam keadaan kau tak sihat lagi. Gila ke apa kau ni!" bentak Afrina tak semena-mena. Dahi licinnya serta merta berkerut seribu. Pandangannya serta merta bertukar garang. Timbul sudah aura ketegasannya sebagai seorang jururawat.
Melihatkan ketegasan Afrina, Hud cuba menyembunyikan tawanya. Sudah terlalu lama dia tidak disembur dengan kemarahan Afrina. Dia rindu situasi itu. Maka, Hud buat keputusan untuk berdiam diri sahaja. Membiarkan gadis itu terus menyemburkan api kemarahan kepada dirinya.
"Tolonglah Hud, jagalah diri kau tu baik-baik. Kau..."
"Kau risaukan aku?" soal Hud spontan. Kali ini, senyuman nipis sudah terukir di bibirnya melihat Afrina seakan-akan kaget dengan soalannya. Manakan tidak, gadis itu kembali melarikan pandangan.
"Buat apa aku nak risaukan kau? Kau tak ada apa-apa kaitan dengan aku pun! Aku cuma kesiankan Dina..."
"Kesiankan Dina? Ya. Betul cakap kau. Kesian Dina sebab kau sedang jadikan dia sebagai alasan bagi menutup apa yang kau rasa. Kau sedang menidakkan yang kau risaukan aku, betul tak cik misi?" pintas Hud sambil memerhatikan raut wajah tegang Afrina.
Sebaik mungkin Hud cuba membaca bahasa tubuh Afrina. Ini pertemuan pertama mereka setelah kejadian penculikan itu. Saat ini juga Hud seakan-akan merasakan Afrina sedikit berubah. Gadis itu seakan-akan tak berani mahu berhadapan dengannya.
"Kau merepek apa ni? Aku memang kesiankan Dina. Kau tahu tak selama ni dia rindukan kau sampai demam panas? Kau tahu kan yang aku sayangkan Dina..."
Sekali lagi, Afrina kematian diksi bila mana Hud sudah menghamburkan tawanya. Serta merta raut wajah Afrina jadi panas apabila Hud seakan-akan sedang mencabarnya. Pandangan kembali ditalakan ke wajah Hud Aidan.
"Apa yang kelakar! Boleh tak jangan bergurau kalau aku sedang serius?" bentak Afrina. Tangannya sudah digenggam erat apabila Hud cuba bermain dengan emosinya. Tajam kornea matanya menikam anak mata Hud.
"Kelakarlah sebab kau sedang menipu, cik misi. Dari tadi anak mata kau asyik pandang tempat lain. Selama aku kenal kau, tak pernah sekali pun kau pandang tempat lain bila bercakap dengan aku. Kau risaukan aku sebenarnya, betul tak?" ujar Hud dengan tawa yang masih tersisa. Sudah terlalu lama dia tidak mengusik Afrina. Inilah kesempatan untuk dia memulakan hobi kegemarannya itu.
Kata-kata yang meluncur keluar dari mulut Hud membuatkan Afrina tersentak. Setiap butir bicara pemuda itu seakan-akan menampar kuat wajahnya sehingga dia kelu untuk berkata-kata. Buat pertama kalinya, Afrina kematian hujah bila berhadapan dengan Hud.
"Hey cik misi, sebenarnya... kau dah mula sukakan aku, kan? Sebab tu kau tak berani nak pandang aku. Hati kau sedang menidakkan..."
"Boleh tak jangan tanya soalan yang bukan-bukan? Ya, aku dah maafkan kau. Aku dah tak bencikan kau. Tapi tu tak bermaksud yang aku ada perasaan istimewa pada kau! Jangan nak perasanlah Encik Hud Aidan!" marah Afrina. Keluhan berat terlepas dari bibirnya. Lantas, Afrina bangun dari duduknya untuk pamit. Tak betah berhadapan dengan Hud bila pemuda itu tak putus-putus memprovokasi emosinya.
"Aku balik dulu. Hari pun dah nak gelap. Mama dah lama tunggu barang-barang dapur ni. Kalau kau nak terus main-main, teruskanlah. Aku tak ada mood nak layan kau! Assalamualaikum!" pamit Afrina seraya menolak troli yang berisi barangan dapur. Nafas panjang ditarik lalu dihembuskan perlahan-lahan. Oh sungguh, Hud benar-benar bertanyakan soalan yang memberikan tekanan kepada Afrina.
Namun, Afrina tiba-tiba kematian langkah. Dia kalih memandang Hud yang masih memerhatikannya. Senyuman sinis terukir di bibir si gadis. Ada rasa tak puas hati bila Hud menang dalam berhujah.
"Aku terlupa nak cakap satu hal yang sangat penting. Aku memang dah maafkan kau. Tapi aku cuma anggap kau sebagai kenalan aku. For your information, aku tak akan sesekali jatuh cinta dengan orang yang dah buat aku kemurungan dahulu. Ingat ni!" tegas Afrina seraya kembali melangkah pergi. Kepalanya digelengkan bila Hud masih mampu mengukirkan senyuman manisnya. Masih dalam mood mengucar-ngacirkan emosi Afrina.
Hud menghela nafas berat dengan omongan Afrina. Senyumannya semakin melebar dengan kata-kata sinis gadis idamannya itu. Hanya pandangannya sahaja yang menghantar pemergian Afrina. Tidak mengapalah jika Afrina berkata begitu. Apa yang Hud pasti, Afrina sedang menidakkan sesuatu di sebalik bahasa tubuh gadis itu.
Tiba-tiba, telefon Hud yang diletak di atas meja bergetar. Pandangannya terhadap Afrina terus dialihkan pada skrin telefon pintar. Lantas telefon pintarnya dicapai. Membuka peti mesej yang dihantar.
Saat itu juga, senyuman Hud serta merta pudar. Matanya terus melilau memandang sekeliling. Serta merta Hud turut bangun dari duduknya. Afrina sudah hilang dari pandangan. Jantungnya terus berdegup kencang. Terasa kelat liur yang ditelan saat itu. Hud mula dilanda khuatir.
Manakan tidak, seseorang menghantarkan mesej berbaur ugutan kepadanya dengan menghantar gambar revolver yang sedang dipegang. Malahan, latar tempat gambar tersebut juga sama dengan tempat dia dan Afrina berada!
'Indah betul pertemuan korang lepas aku tembak kau dulu. Kau ni memang tak ada erti mengalah ke nak try perempuan tu? Tapi mari kita lihat masihkah ada hari esok untuk perempuan kesayangan kau ini?'
Bersambung...
Thank you so much guys sudi baca karya Syaf yang dah masuk episod 30. Thank you so much sudi jadikan kisah Hud dan Afrina sebagai bahan bacaan kalian. Panjang dah plot cerita ni. Dah sampai episod 30 🤭
Maaf juga kalau karya ni dah tak berapa menarik untuk dibaca 😭
Kalau suka karya ni jangan lupa tekan bintang ⭐
Anyway korang rasa yang sama macam Hud tak bila Afrina pelik semacam? 🤔
Kenapalah hati kau ni beku sangat, cik misi? Sebenarnya, kau buat aku tertanya apa yang ada dalam isi hati kau bila mana kau seakan-akan risaukan aku -Hud Aidan 😎
Pergi ke kedai membeli barang, macam manalah aku boleh terserempak mamat tiga suku ni. Tak habis-habis nak buat aku stres bila dalam keadaan serius pun nak gelak! -Naurah Afrina 🤦🏼♀️
Saya minta maaf sebab musnahkan segala impian yang kita cipta bersama, sayang. Tiada arah jodoh kita untuk saya jadikan awak sebagai permaisuri dalam hidup saya. Tapi tolonglah move on Afrina. - Umar Al-Fatah 😣
Sedutan episod 31...
Arisha hanya mampu menekup mulutnya sambil bersembunyi bersama Dina yang sudah menangis teresak-esak di sebalik dinding di ruangan parkir bawah tanah yang sunyi itu. Air matanya sudah mengalir ke pipi. Terasa seluruh tubuhnya menggigil ketakutan melihat Afrina dan Hud yang masih bergelut bersama lima orang lelaki bertopeng hitam. Kejadian itu benar-benar menggerunkan. Tak putus-putus dia berdoa agar mereka diselamatkan!
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro