
Episod 28 🍃
Hud Aidan started following you
Sebaik sahaja menerima notifikasi di laman sosial Instagram, Afrina sudah berkerut dahi serta merta dengan persoalan yang mula bermain di benak fikirannya. Diari berwarna biru ditutup. Pen di tangan diletak di atas diari yang sering menjadi nukilan isi hatinya.
Afrina terus menyentuh butang notifikasi tersebut. Barangkali si pemilik nama mempunyai nama yang sama dengan Hud Aidan pak cik kesayangan Medina. Manakan tidak, Afrina tidak meletakkan nama sebenarnya dalam akaun Instagram. Hanya menggunakan nama samaran 'A_U' sahaja. Huruf depan namanya dan arwah Umar. Mustahil Hud tahu akaun Instagram Afrina.
Namun, alangkah terkejutnya Afrina tatkala melihat akaun Instagram si pemilik nama. Si pengguna tidak memprivasikan akaunnya maka Afrina boleh melihat gambar yang dimuat naik ke dalam akaun. Memang, Hud Aidan bin Datuk Idris pemilik akaun Instagram tersebut.
Sebanyak 20 foto yang dimuat naik ke dalam akaun. Pengikutnya Hud Aidan juga ramai. Hampir mencecah sembilan ribu. Hud memang dari zaman sekolah seorang yang boleh dikatakan agak popular. Namun yang diikut oleh Hud hanyalah 10 orang. Lantas, Afrina menyentuh nama akaun yang diikuti oleh Hud. Serta merta tergaris senyuman sinis di bibir Afrina. Kecil besar saja dipandangnya akaun 'M.Ibrahim' dan 'Naurah_Arisha'. Kalau bukan Ibrahim pasti Arisha yang memberikan akaunnya kepada Hud Aidan.
Afrina kembali melihat foto-foto yang dimuat naik oleh Hud. Kelihatan begitu aesthetic di pandangan matanya apabila Hud banyak mengambil foto keindahan alam.
Sesekali, Afrina tersenyum nipis melihat foto Dina yang turut dimuat naik. Aktiviti di sekolah Dina, Dina yang sedang bersukan, foto Hud dan Dina yang berlatarkan sebuah pantai. Sememangnya, Hud sangat menyayangi Dina. Jelas di sebalik senyuman pemuda itu. Malahan, kebanyakan foto yang terdapat dalam akaun pemuda itu hanyalah foto Dina yang sedang melakukan aktiviti sahaja.
Namun, senyuman Afrina serta merta menghilang tatkala matanya tertancap di bahagian bawah akaun. Dua buah foto membuatkan dahi Afrina berkerut. Foto berwarna hitam dan foto Hud yang berpakaian seragam polis membuatkan Afrina kaget.
Foto berwarna hitam disentuh terlebih dahulu. Tulisan yang tertera sebagai caption dibaca. Entah mengapa, rasa senang melihat foto Dina serta merta bertukar menjadi sebuah kesuraman tatkala Afrina membaca bait-bait tulisan tersebut.
Apa ertinya sebuah kehidupan bila roh dalam jasad seolah-olah hilang tanpa jejak?
Bisikan-bisikan itu juga berkata bahawa bukan mereka yang harus pergi. Tapi aku, aku yang harus pergi tika itu.
Kehancuran ini benar-benar membuatkan aku menderita separuh mati. Ada bau-bau kematian yang sering menganggu lenaku setiap saat. Setiap kali aku melangkah, setiap kali itu juga aku merasakan bahawa dunia ini mahu mencelakaiku.
Ketakutan bagaikan peneman setia di sisi tiap kali aku memejamkan mata. Aku lelah. Aku hanya mahu tidur. Berharap bahawa bila aku bangun semua ini hanyalah mimpi ngeri selama hayatku. Namun, semua itu hanyalah sebuah angan. Mimpi indahku sudah terkubur dan diganti pula dengan mimpi buruk yang menyuntik kesakitan di sukmaku.
Badrul, Alfian, Suhail... maafkan aku. Kerana aku kalian pergi tanpa pamit. Kerana aku keluarga kalian kehilangan seorang yang bergelar ayah, abang, adik dan harapan keluarga.
Tapi tidak mengapa, aku terima hukuman ini ditemani dengan Prazosin, Paroxetine dan Lithium. Aku hanya mampu berdoa semoga kalian tenang di sana.
Al-Fatihah...
Usai membaca nukilan hati Hud Aidan, saat itu juga jantung Afrina sudah berdegup kencang. Bibirnya diketap menahan sebak yang datang tanpa diundang. Pandangannya sudah kabur apabila air mata memenuhi tubir mata. Setitis demi setitis air matanya mengalir ke pipi. Wajahnya juga sudah mula membahang menahan sesak di dada. Seakan-akan dia dapat merasakan penderitaan seorang Hud Aidan walaupun dia tidak tahu apa yang sudah berlaku dalam hidup pemuda itu.
Apa yang paling mengejutkan bila mana Hud mencatit nama-nama ubat yang pernah menemani hari-hari Afrina. Prazosin. Itulah ubat yang sering membuatkan dia tidur jika dia mengalami insomnia ketika dia menghidap kemurungan dahulu.
Mana mungkin Afrina lupa detik dia kehilangan Umar Al-Fatah. Separuh jiwanya pergi. Afrina turut merasakan rohnya turut pergi bersama Umar. Sama seperti nukilan yang dicatit oleh Hud Aidan itu. Segala rancangan dan impiannya bersama arwah Umar hancur sekelip mata. Hancur seminggu sebelum dia dan Umar disatukan.
Kerana kejadian itu, Afrina tidak bisa tidur. Dia merasakan bahawa ini semua mimpi buruk. Setiap kali dia melangkah, Afrina hanya mengharapkan Umar muncul dan mengungkapkan kata-kata cinta buatnya.
Apabila kesesakan itu semakin menyucuk dinding hatinya, Afrina menghela nafas berat. Air mata yang sudah mengalir deras dikesat lembut. Tidak! Dia tidak boleh meratapi lagi. Itu janjinya pada diri sendiri. Dia sudah jadi Naurah Afrina yang kuat mental dan fizikal. Sudah menjadi gadis yang semakin lancang dalam berkata-kata.
Afrina lantas memandang tarikh yang tertera di dalam nukilan itu. 5 Januari 2015. Maknanya, lima tahun yang lalu Hud mengalami fasa-fasa depresi. Sama sepertinya. Tanpa sedar, Afrina tersenyum dalam duka. Takdir apa yang sedang diaturkan oleh ALLAH kepada mereka sebenarnya?
Sama-sama merasakan sebuah kehilangan lima tahun yang lalu. Setelah mereka pulih, mereka ditemukan semula selepas 14 tahun terpisah. Oh sungguh, Afrina benar-benar merasakan pertemuannya bersama Hud Aidan adalah sebuah takdir yang sudah diaturkan oleh sang pencipta.
Ini bukan kebetulan. Ini perancangan daripada ALLAH.
Kemudian, Afrina membuka ruangan komen pula. Gadis itu mula tertanya-tanya asbab Hud mengalami kemurungan. Siapa sebenarnya Hud Aidan yang sering mengusiknya tanpa henti itu? Bagi Afrina, Hud seorang yang ceria. Ada sahaja ulahnya untuk mengusik Afrina sehingga Afrina naik rimas. Afrina tidak menyangka bahawa pemuda itu turut mengalami kemurungan suatu ketika dahulu.
Namun malangnya, Hud menutup ruangan komen. Lantas, ibu jari Afrina menyentuh foto terakhir yang dimuat naik. Terpampang Hud yang sedang menerima sebuah penghargaan daripada seorang pegawai polis yang berpangkat ASP. Wajah pemuda itu kelihatan ceria dengan senyuman yang terlakar di bibirnya. Itulah senyuman yang buat Afrina jatuh hati pada Hud Aidan ketika berada di alam persekolahan dahulu.
Congratulations, dearself. How I proud with myself after all the sacrifices that I had been through. Inspektor Hud Aidan, you deserves it dearself! 👮♂️
Akhirnya, tahulah Afrina bahawa pemuda bernama Hud Aidan itu pernah menjadi seorang anggota polis suatu ketika dahulu. Kini Afrina mengerti persahabatan yang terjalin di antara Ibrahim dan Hud. Tergaris senyuman di bibir Afrina lagi. Semakin dia mengenali Hud, semakin banyak kejutan yang mendatang.
Tiba-tiba, telefon Afrina yang berada di tangan bergetar. Serta merta senyumannya mati. Dahi sudah berkerut melihat nama yang terpampang sebagai nama pemanggil. Keluhan berat lantas terlepas dari bibir. Lambat-lambat Afrina menyentuh punat hijau.
"Kau nak apa?"
Tak semena-mena, si pemanggil ketawa dengan suara tegas Afrina. Hatinya tercuit lucu mendengar suara Afrina yang tegas namun terselit dengan getaran seolah-olah orang yang baru menangis.
"Assalamualaikum, cik misi Naurah Afrina. Tak sangka kau jawab juga panggilan aku lepas kau tak nak jumpa aku hari ni," jawab Hud. Senang hatinya bila Afrina sudi menjawab panggilannya malam itu.
"Waalaikumsalam Inspektor Hud Aidan. Kau nak apa? Nak pastikan yang aku selamat..."
"Inspektor Hud Aidan? Macam mana... oh okay aku tahu. Mesti kau stalk akaun aku. Betul tak? Rajin juga kau stalk gambar aku sampai bawah. Tapi, kau tak nak accept ke aku follow kau?" pintas Hud seperti biasa. Tawanya semakin kuat tika itu. Terhibur bila Afrina kantoi.
Tak semena-mena wajah Afrina membahang panas dengan usikan daripada Hud. Dahinya ditepuk lembut bila dia terkantoi tanpa sengaja. Sumpah Afrina rasa malu!
"Hey cik misi. Inpektor Hud Aidan tanya ni. Kau tak nak accept ke? Aku bosan ni so aku nak spam like kat gambar kau pula," usik Hud lagi. Sungguh dia rindu mahu mengusik Afrina dan buat gadis itu marah-marah.
"Kau nak apa call aku malam-malam ni? Kan aku dah cakap yang aku dah selamat. Kau tu kalau sakit cuba ikut cara orang sakit. Kau perlukan rehat yang cukup supaya kau cepat sembuh," omel Afrina. Menutup rasa malu bila Hud tahu bahawa dia ligat melihat foto di dalam akaun Instagram pemuda itu.
"Ya faham cik misi. Saja nak kacau kau sebab kau tak accept lagi follow request aku. Lagi pun, saja nak dengar suara kau. Tak tahu pula rezeki aku malam ni dapat dengar suara garang kau tu. Tapi kan kenapa aku dengar suara kau macam orang lepas menangis? Kau okay ke?"
Omongan Hud membuatkan Afrina menggelengnkan kepala. Hud Aidan sakit atau sihat sama saja. Tak henti-henti mengusiknya. Tapi kali ini Afrina sudah tak rasa rimas lagi. Manakan tidak, rasa amarah dan dendam untuk Hud sudah hilang. Afrina sudah memaafkan Hud seikhlas hatinya. Barangkali tragedi penculikan itu ada hikmahnya.
"Aku okaylah! Rezeki? Huh! Aku tak akan angkat call kau kalau kau tu tak terhegeh-hegeh nak jumpa aku. Look pak cik kesayangan Dina. Buat ke sekian kalinya aku nak pesan... kau jangan risau pasal aku. Aku dah selamat. Rahim pun dah letak aku di bawah pengawasan pihak polis. Kau tu... kau kena pastikan diri kau kembali kuat macam dulu. Kesian Dina tak ada yang jaga. Hari tu dia demam sebab rindukan kau sangat-sangat," omel Afrina dengan nada yang tegas. Hud itu perlu diberikan kesedaran agar jangan terlalu memikirkan orang lain.
Hud yang berada di dalam talian semakin tersenyum lebar mendengar kata-kata Afrina. Seolah-olah kesakitannya dibawa pergi dengan pesanan gadis kesayangannya itu. Kad yang diberikan oleh Afrina dibelek-belek lagi. Seakan-akan mimpi sahaja bila Afrina bersikap prihatin kepadanya. Bila Afrina sudah memaafkan khilafnya.
"Lagi satu, jangan lupa makan makanan yang mengandungi protein supaya luka kau cepat sembuh. Pastikan diri kau ambil makanan yang berkhasiat. Tu buah-buahan tu pastikan habis," tambah Afrina lagi seraya bangun dari duduk di kerusi kerjanya.
Makin melebar senyuman Hud dengan setiap pesanan daripada Afrina. Rasa cemburu sebentar tadi serta merta hilang. Dia tak rasa kemenangan berpihak kepadanya. Hud tak mahu bersaing dengan Ibrahim.
"Tak ada apa dah kan? Aku nak tutup..."
"Terima kasih," pintas Hud.
"For what? Sebab marah kau?" soal Afrina. Sinis.
Hud ketawa lagi dengan soalan sinis Afrina. Pelipis yang tak gatal digaru. Hailah, mahu sahaja dia mengatakan isi hatinya kepada Afrina. Dia mahu Afrina jadi miliknya. Dia mahu melindungi Afrina. Dia mahu sentiasa ada di sisi Afrina setiap detik dan waktu.
"Terima kasih sebab dermakan darah kau untuk aku, bagi aku kekuatan di saat nyawa aku di hujung tanduk walaupun masa tu kau takut, jagakan Dina untuk aku dan... maafkan segala kesilapan aku pada kau walaupun aku sendiri sukar untuk maafkan diri aku sebab sakiti kau, Naurah Afrina," ujar Hud. Hanya itu yang mampu diucapkan saat itu. Belum masanya untuk dia mengujarkan kata cinta buat gadis itu.
Afrina melabuhkan duduknya di birai katil. Nafas dihela panjang. Senyuman terukir lagi di bibir tanpa dia sedar. Sememangnya, kemaafan buat Hud Aidan tidak lagi membuatkan hati Afrina dihurung amarah apabila berbicara dengan Hud. Indah benar sebuah kemaafan.
"Hud..."
Tok! Tok!
Ketukan pintu di luar bilik mematikan omongan Afrina. Lantas pandangannya memandang pintu yang berkunci rapat.
"Afrina tolong buatkan abah air, boleh?" pinta Encik Talib dari luar bilik.
"Ya... abah. Ke... kejap... lagi Afrina buat," ujar Afrina sedikit gagap. Keluhan berat terlepas dari bibir. Tangan sudah mengusap dada yang berdetak kencang di saat abahnya tiba-tiba muncul di luar bilik. Afrina sedang melanggar perintah abah! Sudah tentunya dia gerun.
Kemudian, Afrina kembali dengan telefonnya. Hud sudah menamatkan panggilan terlebih dahulu. Ada pesanan WhatsApp tertera di skrin telefon. Afrina mencebik dengan pesanan Hud itu. Ada-ada sajalah pak ciknya Dina ini.
Hud Aidan
Aku letak call dulu. Maaf kacau kau malam-malam ni. Terima kasih sebab bagi nasihat pada aku. Sekarang aku boleh lega sikit bila kau selamat. Jangan lupa accept follow aku. Aku nak juga stalk gambar kau 😏😉
SEBAIK sahaja figura seorang wanita muda berpakaian korporat dengan blouse berwarna hitam dipadankan dengan palazo putih keluar dari sebuah kafe, Zanif lantas meluru keluar dari keretanya. Dinding hatinya benar-benar dibakar dengan api kemarahan melihat si isteri yang sedang berbual bersama seorang lelaki berpakaian korporat dan berumur.
"Sherina Aida!" tengking Zanif sebaik sahaja klien Sherina berpamit pergi. Melihat sahaja wajah Zanif yang tegang seperti pembunuh bersiri serta merta memberikan amaran kepada Sherina bahawa suaminya akan mencelakainya lagi.
Buru-buru Sherina meluru ke Honda City yang diparkir di belakang kafe. Jantungnya sudah mula berdegup laju dengan adrenalin yang seakan-akan berlari kencang. Tiada lagi ketenangan yang dirasakan saat itu. Serta merta hilang rasa bangga setelah ideanya yang berkaitan dengan konsep dapur kontemporari orang kenamaan diterima dengan baik.
"Sherin!" tengking Zanif lagi bila Sherina ingkar dengan perintahnya. Suaranya sudah memetir di kawasan itu. Dia hanya menonong tanpa mempedulikan kenderaan yang lalu lalang di jalan raya. Apa yang dia tahu, cemburu buta sudah menguasainya serta merta!
Sherina benar-benar buat dia panas hati saat ini. Sudah diberikan amaran berpuluh kali agar berhenti berurusan dengan klien lelaki dan berumur tapi isterinya itu masih berdegil. Mana mungkin dia mahu Sherina dipandang oleh lelaki lain! Sherina Aida hanya hak miliknya seorang sahaja.
Buk!
Tak semena-mena, kepala Sherina terhentak ke tingkap kereta tatkala Zanif sudah berjaya mendapatkannya dan mencengkam rambutnya yang diikat sanggul dari belakang. Malahan, laju sahaja tangan Zanif menumbuk wajah Sherina bertalu-talu tanpa sempat wanita itu bersuara.
"Bodoh! Aku dah kata jangan berurusan dengan lelaki tua tapi kau buat juga! Kau ni memang tak makan saman dengan amaran aku! Kau nak jadi pelacur ke hah!" jerkah Zanif lagi seraya mencengkam dagu Sherina yang sudah menggigil dengan kuat. Tiada langsung empatinya melihat wajah isterinya yang kembali berlumuran dengan darah.
"Zanif... a... aku cuma beker..."
Buk!
Sherina kematian kata lagi tatkala perutnya ditumbuk kuat oleh Zanif. Wanita muda itu sudah tertunduk kesakitan dengan penangan suami durjananya itu. Dahinya bekerut menahan senak. Air matanya sudah mengalir ke pipi dengan nasib yang akan diterima sebentar sahaja lagi.
"Kau masuk kereta sekarang! Aku tak nak dengar sebarang perkataan daripada mulut kau. Perempuan jalang macam kau ni cuma tahu menipu saja!" jerkah Zanif seraya mengheret Sherina masuk ke dalam kereta. Wanita itu hanya menurut sambil melekapkan tangannya ke abdomen. Sungguh, sakitnya luar biasa! Bagaikan ditujah dengan belati tajam sahaja saat itu.
SHERINA menjerit kesakitan tatkala Zanif menolak tubuhnya kasar di ruang tamu. Wanita itu tersungkur dan dahinya tepat terkena pada bucu meja. Titisan-titisan darah sudah menitis sehingga membuatkan pandangan Sherina mula berbalam.
Malahan, Zanif yang masih diserang amuk mula menerajang tubuh Sherina tanpa henti. Jeritan kesakitan Sherina langsung tak diendahkan. Syaitan benar-benar membenamkan api kemarahan di sudut hati Zanif tika itu.
"Zanif! Sakit! Jangan... buat aku... ma... cam ni," rintih Sherina sambil memeluk kaki Zanif. Kepalanya didongak memandang wajah Zanif yang kemerahan melepaskan amarah. Meminta simpati agar suaminya berhenti memukul tubuhnya. Sungguh, tulang temulangnya seakan-akan dipatahkan tika itu.
Amelia yang baru sahaja menuruni anak tangga sekadar mencebik sinis dengan pertelingkahan suami isteri itu. Sudah muak menonton drama adik iparnya dibelasah oleh suami sendiri semenjak ketiadaan Hud di rumah agam itu. Bukan masalahnya! Masalahnya cuma satu. Bila agaknya Restoran Aglio milik Hud Aidan itu jatuh di tangannya?
"Far, let's go! I tak sabar nak high tea sambil manicure dekat rumah Datin Melinda," ujar Amelia seraya mendapatkan Farisha yang sudah melopong melihat Sherina dibelasah teruk.
Kaget!
"Adik ipar you kena pukul tu! Kita..."
"She will be fine! Believe me. Dia tak akan mati katak kat situ. Nanti-nanti kalau husband I datang pandai-pandailah dia leraikan," ujar Amelia seraya menarik lengan Farisha yang tercegat berdiri di muka pintu. Bekas bakal isterinya si Hud Aidan ini memang naif orangnya kadangkala. Sering memberikan simpati pada orang lain. Geram juga Amelia dibuatnya.
Farisha akur. Jeritan kesakitan Sherina hanya mampu dipandang dengan rasa simpati. Pintu ditutup rapat. Mahu dibantu tapi tidak mahulah dia wajah cantiknya menjadi mangsa Zanif yang panas baran itu. Sudah nasib Sherina begitu. Apa boleh buat.
Di ruang tamu, Sherina menggagahkan tubuhnya untuk bangun perlahan-lahan. Sesekali, dia terbatuk sambil menangis teresak-esak. Sungguh, dia benar-benar lemah. Sudah lembik dikerjakan oleh suami durjana. Langkah diatur naik ke biliknya apabila Zanif sudah berhenti menerajangnya.
Namun, keganasan masih belum tamat apabila Zanif mencengkam rambut Sherina yang sudah serabai dari belakang. Berkerut dahi Sherina dengan kekasaran Zanif. Kulit kepalanya seakan-akan turut dicengkam oleh lelaki itu. Tangannya sudah mengenggam erat pergelangan tangan Zanif.
Saat itu, pandangan pasangan itu sudah saling bertaut. Masing-masing dengan pandangan yang penuh dengan amarah. Sherina memberanikan dirinya menentang anak mata Zanif. Senyuman sinis terukir di bibirnya yang pecah.
"Bunuh aku kalau semua tu akan puaskan hati kau! Aku dah tak sanggup lagi dah nak hidup dengan lelaki dayus macam kau! Sudah terlalu banyak kesakitan yang kau hambat pada aku. Baik kau tikam sajalah aku ni. Jadi kau boleh pergi dengan Khadijah!" bentak Sherina dengan pandangan yang berbalam-balam. Sungguh, dia terkseksa emosi dan fizikal. Dia hanya mahu mati. Itu sahaja.
Zanif terkelu saat nama Khadijah meniti di bibir si isteri. Pandangan dan senyuman sinis Sherina benar-benar menambahkan rasa berang Zanif. Nafasnya semakin turun naik dengan api kemarahan yang meledak di jiwa. Lantas, tangannya dinaikkan memukul wajah Sherina sekali lagi. Terteleng ke kanan wajah si isteri menerima tumbukan Zanif.
"Lagi. Pukul lagi sampai kau puas!" jerkah Sherina sekuat hati. Entah keberanian apa yang merasukinya sehingga dia mula mencabar Zanif. Barangkali kerana dia sudah mengalah untuk meneruskan hidup.
Zanif mendengus seraya menolak kasar tubuh Sherina di atas sofa. Terhenyak lemah tubuh wanita itu. Belum sempat Sherina bangun, Zanif sudah memijak abdomennya seraya mencengkam dagunya dengan kuat.
"Jangan sebut nama Khadijah kalau kau tak ada bukti..."
Zanif kematian kata saat Sherina sudah ketawa sinis. Dapat dilihat pandangan yang berselirat dengan amarah di sebalik anak mata Sherina yang sudah bergenang dengan air mata.
"Bukti? Kau ingat aku bodoh ke Zanif? Kau ingat aku tak tahu ke kau curi duit aku sebab nak belikan apa saja yang perempuan tu nak! Aku nampak resit pembelian tu dekat poket seluar kau. Aku juga tahu hubungan sulit kau dengan betina itu! Dia datang rumah ni, dia tak ikhlas pun rawat mama. Dia cuma nak bersama dengan kau!"
"Jahanam!"
"Papa! Jangan pukul mummy!"
Jeritan Dina mematikan pergerakan Zanif. Tumbukannya lantas dijatuhkan tatkala anak kecilnya mengenggam hujung bajunya. Esakan Dina turut kedengaran sayu. Sayu hati anak kecil itu melihat ibunya sudah lembik dikerjakan oleh ayahnya.
"Kau ni memang bangsatlah Zanif!" jerkah Afrina yang turut berada di ruangan itu. Turun naik nafas gadis itu melihat keadaan Sherina. Lantas, Afrina meluru ke arah Zanif seraya merentap kuat kolar baju Zanif dengan kuat. Penumbuknya ditujahkan ke wajah lelaki dayus itu.
Akibat penangan kuat itu, Zanif tersungkur di belakang sofa. Belum sempat dia bangun, satu tendangan ditujahkan lagi ke kepalanya. Serta merta Zanif berasa pusing. Cecair merah sudah mengalir di hidung dan birai bibir. Penangan gadis bernama Naurah Afrina ini sememangnya tajam dan padu!
"Kakak! Jangan pukul papa," rintih Dina apabila Afrina berura-ura mahu membelasah Zanif lagi. Tubuh Afrina lantas dipeluk erat. Sungguh, gadis kecil itu merasakan Dejavu saat ini. Seolah-olah ada Hud dalam diri Afrina. Melindungi ibunya Dina dari dibelasah.
Afrina yang seakan-akan dirasuk dengan kemarahan tertunduk memandang wajah sayu Dina. Tangisan Dina benar-benar meluluhkan jiwanya. Kemudian, pandangannya tertancap ke laman wajah Sherina yang sudah menggigil ketakutan dalam pelukan Mak Timah. Hanya pandangan simpati sahaja yang mampu Afrina berikan di saat melihat keadaan Sherina yang sudah lunyai dikerjakan oleh Zanif yang dayus.
Bersambung...
Thanks guys sudi baca karya Syaf ✌ kalau suka karya ni jangan lupa bagi bintang 123 🤭
Ada nak kecam Afrina lagi ke tu? 🤣
Puas hati tak dengan episod kali ni? 🤔
Rasa nak join Afrina tak belasah Zanif? 🤭
🍃🍃🍃🍃🍃🍃🍃🍃🍃
Glosari ubat:
1. Prazosin
- ubat yang digunakan untuk pesakit yang menghidap PTSD bertujuan untuk mengawal tekanan darah tinggi
- berkesan untuk mengawal insomnia memandangkan pesakit PTSD sering mengalami mimpi buruk ketika tidur.
2. Paroxetine
- ubat antidepresi bertujuan untuk mengawal kebimbangan, mengawal dari mengingati pengalaman buruk dan perkara berbaur ancaman
3. Lithium
- Mengawal kemurungan dan merupakan mood stabilizer namun kadangkala ada banyak kesan sampingan yang akan berlaku seperti kegelisahan, mudah lelah, mudah merasa dahaga, penurunan daya ingatan
Rujukan:
https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC5724881/#!po=2.08333
https://www.racgp.org.au/afp/2015/september/is-there-a-role-for-prazosin-in-the-treatment-of-post-traumatic-stress-disorder/
Ini yang syaf dapat info secara ringkas sahajalah. Sebagai rujukan dalam nukilan IG Hud Aidan tu. Kalau salah harap ada yang sudi betulkan 🤭
Sedutan episod 29...
"Kau tak boleh biarkan diri kau berterusan jadi lemah macam ni Sherin. Kau kena lawan! Sampai bila kau nak biarkan Zanif belasah kau? Lambat laun abang kau akan tahu yang Zanif pukul kau lagi. Kalau kau takut pasal ugutan Zanif, aku boleh slow talk dengan Hud supaya dia tak mengamuk pasal video tu. Aku nak tolong kau Sherin. Jadi kau kena tolong diri kau sendiri juga," pujuk Afrina sambil mengusap lembut air mata Sherina. Luluh hati Afrina melihat wajah cantik Sherina kembali dipenuhi dengan memar.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro