Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Episod 24 🍃

"KAKAK, Dina nak jumpa pak cik. Dina rindukan dia. Kenapa kakak dengan pak cik tiba-tiba hilang? Dina takut," rengek Dina sebaik sahaja Afrina melabuhkan duduk di sebelahnya. Tubuh Afrina lantas dipeluk erat sebelum tangisannya semakin kuat. Sungguh, dia merindukan gadis yang sudah dianggap seperti seorang kakak itu. Bahu Dina mula terhinggut-hinggut apabila rasa rindu semakin mencengkam hati si gadis kecil.

"Hey... ni kakak dah datang. Pak cik Dina tu dia tak sihat. Sebab tu dia kena masuk hospital dulu. Kat hospital ada doktor, ada jururawat untuk ubatkan Pak Cik Hud supaya dia sihat semula," pujuk Afrina sambil mengusap lembut ubun-ubun Dina. Pelukan dieratkan lagi untuk memberikan ketenangan buat kanak-kanak itu.

"Pak cik Hud sakit lagi?" soal Dina seraya memanggung kepalanya. Wajah Afrina ditatap dengan pandangan yang sayu. Sungguh, dia tak mengerti mengapa sejak kebelakangan ini pak ciknya itu sering dimasukkan ke hospital. Apa yang sudah berlaku sebenarnya?

"Pak cik Hud tak sihat lagi. Tapi Dina kena banyakkan berdoa untuk pak cik Hud tau supaya dia cepat sembuh dan dia boleh bawa Dina pergi jalan-jalan. Bawa Dina makan aiskrim coklat," pujuk Afrina dengan nada suara yang lembut. Bibirnya tak lekang dengan segaris senyuman manis. Anak rambut Dina yang terjuntai diselit ke belakang telinga. Seketika, Afrina meletakkan belakang tangannya ke pipi Dina. Panas.

"Lama lagi ke pak cik Hud kat hospital? Dina rindukan dia. Cuma pak cik Hud yang sayang Dina kat rumah ni. Pak cik Hud yang selalu ajar Dina buat homework, pak cik Hud yang selalu hantarkan Dina pergi sekolah, ajar Dina solat. Setiap malam, Pak Cik Hud yang akan bacakan buku cerita untuk Dina sebelum tidur. Tapi sekarang..."

Tak semena-mena, tangisan Dina semakin berlagu sayu. Kepalanya kembali ditundukkan dengan esakan yang semakin kuat. Sesekali, gadis kecil itu terbatuk-batuk akibat tersedak. Matanya dipejam rapat apabila dinding hatinya semakin dipagut rasa sayu. Hud seolah-olah hilang tanpa jejak. Dina ketakutan. Dia juga amat merindui Hud sehingga
diserang demam panas.

Mendengarkan rintihan Dina membuatkan Afrina tiba-tiba sebak. Seakan-akan kesedihan Dina meresap ke jiwanya. Berkali-kali rambut Dina diusap lembut bersama dengan wajah yang mula membahang panas. Saat ini, Afrina juga mengharapkan Hud cepat sedar dan melindungi gadis kecil di hadapannya ini. Afrina sangat menyayangi Dina seperti anaknya sendiri. Manakan tidak, jikalau dia dan arwah Umar bersatu dahulu pasti dia juga dikurniakan seorang anak yang barangkali sebaya Dina atau lebih muda dari Dina.

"Sayang... dengar sini. Kita kena doakan untuk Pak Cik Hud supaya dia sembuh. Ya?" pujuk Afrina lagi seraya menolak lembut tubuh Dina. Pipi Dina yang basah diusap lembut. Lantas, gadis kecil itu menadahkan kedua belah tangannya. Memohon kepada yang Maha Esa agar Hud Aidan diberikan kesihatan dan kekuatan seperti sedia kala.

"Pak cik Hud sakit apa kakak? Kenapa lama sangat dia kat hospital?" soal Dina usai mengaminkan doanya.

Sungguh, sukar untuk Afrina menjawab soalan Dina itu. Mana mungkin dia mengatakan bahawa Hud Aidan ditembak sehingga koma dalam kejadian penculikan itu. Anak kecil itu tidak akan mengerti dengan kejadian yang sudah menimpa ayah saudaranya.

"Pak cik Hud demam teruk sebab tu dia masuk hospital. Jadi, Dina nak masuk hospital juga ke kalau tak nak makan ubat?"

"Nak! Nanti Dina boleh jumpa Pak Cik Hud," jawab Dina, polos. Dia mengesat air matanya sambil tersedu sedan. Kehadiran Afrina yang tak putus-putus memujuknya membuatkan Dina beransur tenang. Anak kecil itu kembali merasakan sebuah kasih sayang dengan setiap belaian lembut Afrina.

Tak semena-mena, Afrina ketawa kecil dengan jawapan polos Dina. Dahi Dina dikucup lembut. Lantas, Afrina membetulkan posisi duduk Dina dan mencapai sebotol ubat cair berwarna merah lalu dituang ke dalam sudu mengikut sukatan.

"Nak kena cucuk dengan jururawat ke? Sakit tahu kena jarum dengan jururawat," ujar Afrina sambil menyuakan ubat kepada Dina. Sengaja dia menakutkan gadis kecil itu apabila Dina mengelak untuk makan ubat.

"Tak nak! Sakitlah kena cucuk. Semalam nek su jarum Dina sakit sangat. Tapi Dina pun demam juga. Nanti Dina kena masuk hospital juga ke?" soal Dina. Ubat yang disuakan kepadanya dipandang jelik.

"Dina tak akan masuk hospital kalau Dina dengar cakap kakak dengan Mak Timah. Ubat ni, dia ada magis tau supaya Dina cepat sembuh. Rasa dia macam air sirap je. Dahlah sedap lepas tu boleh lawan bakteria yang ada dalam badan Dina, " kata Afrina lagi. Skil pskiologi lantas dikeluarkan kepada anak kecil itu. Tangan kirinya sudah mengaggau gula-gula di dalam kardigan yang dipakai untuk diberikan kepada Dina.

Perlahan-lahan, Dina mendekatkan mulutnya ke sudu. Dahinya sudah berkerut dengan bau ubat yang kurang enak. Namun, pujukan Afrina sebentar tadi benar-benar menusuk hati anak kecil itu. Dek kerana momokan dijarum jika berada di hospital membuatkan Dina gerun. Lantas, mulut dibuka seraya ubat diminum.

"Pahit!" rengek Dina apabila ubat masih tersisa di lelangitnya. Wajah Afrina dipandang dengan pandangan yang mencuka. Namun, hanya seketika cuma apabila Afrina menghulurkan gula-gula berperisa coklat kepadanya. Berseri-seri wajah si anak kecil apabila Afrina memberikan gula-gula kegemarannya. Apabila gula-gula tersebut dikemam, rasa pahit tersebut sudah tenggelam dengan rasa manis.

"Good girl!" puji Afrina sambil mengusap lembut kepala Dina. Lega hatinya melihat Dina kembali tersenyum dengan pujukannya sebentar tadi. Anak kecil itu terus mencapai buku cerita bertajuk 'Little Red Riding Hood' dengan ilustrasi seorang budak perempuan berhoodie berwarna merah dengan memegang sebuah bakul berlatarkan hutan dan seekor serigala.

"Pak cik Hud selalu bacakan buku cerita untuk Dina sebelum tidur. Boleh tak kalau kakak bacakan dekat Dina pula?" pinta Dina. Sudah terlalu lama dia tidak dibacakan buku cerita sebelum tidur. Mahu meminta Mak Timah, orang gaji di rumah agam itu tidak tahu membaca. Mahu menyuruh Datin Khalida, Sherina sudah terlebih dahulu memberikan amaran jangan menganggu neneknya itu. Ibu bapanya sendiri masing-masing sibuk. Apatah lagi Mirza dan isterinya yang langsung tidak pernah mengendahkan kehadiran Medina di rumah itu.

Sekali lagi, kata-kata Dina membuatkan Afrina tersentak. Jelas, Dina sangat merindukan Hud Aidan saat ini. Rasa sebu kembali mengetuk dinding hati Afrina dengan permintaan anak kecil itu. Dina sememangnya seorang yang manja. Sedaya upaya juga Afrina cuba mengukir senyumannya sambil bersandar di sebelah Dina yang sudah melabuhkan tubuhnya di pembaringan usai diberikan ubat. Ini pertemuan terakhir mereka. Selepas ini, Afrina sendiri tidak yakin andai dia dapat bersua muka dengan Dina atau tidak.

Amaran daripada Encik Talib terus bermain di ruang fikiran Afrina. Sungguh, Afrina sendiri terkejut dengan arahan dan amaran daripada ayahnya itu. Tidak menyangka bahawa tragedi penculikannya menyebabkan Encik Talib nekad untuk membuat sebuah keputusan yang akan mengakhiri pertemuan Afrina dan Dina.

"Naurah Afrina, dengar sini baik-baik. Mulai hari ini, abah tak nak Afrina ada kaitan dengan Hud dan keluarga dia lagi. Kalau hal berkaitan dengan kerja pun abah larang Afrina dari berjumpa dengan Hud serta merta," tegas Encik Talib yang duduk bertentangan dengan Afrina di ruang tamu. Sarapan pagi mereka jadi tegang kerana ketegasan Encik Talib yang tiba-tiba memberikan arahan mandatori.

"Kenapa?" soal Afrina dengan nada yang tegas. Kaget dengan arahan yang penuh autoriti daripada ayahnya. Selama ini, Encik Talib tidak pernah menghalangnya melibatkan diri dengan Hud. Tapi kali ini semuanya berubah. Apa sebabnya Afrina sendiri tidak tahu.

"Abah tahu kes penculikan tu sebab ada kaitan dengan Hud, bukan? Jadi demi keselamatan kamu baik kamu tak payah jumpa dia lagi dah. Abah boleh cakap dekat majikan kamu kalau dia nak bagi kamu tugasan yang melibatkan keluarga Hud lagi," jawab Encik Talib. Raut wajah Afrina yang berkerut seribu dipandang sebelum pandangannya jatuh ke laman wajah isterinya yang duduk bersebelahan Afrina. Encik Talib hanya mahu memastikan keselamatan keluarganya terjamin sahaja.

Afrina yang kaget dengan keputusan abahnya terus memandang wajah Puan Sofia yang turut kaget dengan kenyataan Encik Talib. Wajah Afrina serta merta membahang panas. Ada rasa sebu bertandang di lubuk hatinya tatkala abahnya mula mengeluarkan sebuah amaran yang mengejutkan. "Mana boleh macam tu abah. Afrina rapat sangat dengan anak buah Hud tu. Dalam keadaan Hud masih koma, Dina perlukan Afrina. Janganlah macam ni abah. Okey, kalau abah tak nak Afrina berhubung dengan Hud... Afrina dengar. Tapi bukan dengan Dina!"

"Kenapa degil sangat ni?"

"Afrina sayangkan Dina. Abah, tolonglah jangan larang Afrina jumpa Dina. Af..."

"Kamu sukakan Hud?" soal Encik Talib spontan. Aneh sekali melihat Afrina yang sering menurut tiba-tiba membantah dengan arahan yang diberikan. Anak sulungnya itu seorang yang menurut. Jika itu yang diarahkan maka itu juga yang Afrina akan buat.

Soalan Encik Talib membuatkan Afrina terkesima. Soalan apakah yang diterima pada pagi ini? "Memang taklah abah. Abah..."

"Dah tu kamu cintakan dia?"

"Abah! Abah tahu kan sampai bila-bila pun hati dan perasaan Afrina hanya untuk arwah Umar. Abah tahu kan yang Afrina masih marahkan Hud dengan apa yang dia buat dalam hidup Afrina dulu? Mengarutlah soalan abahni," tegas Afrina apabila abahnya semakin mengujarkan soalan yang dirasakan mengarut. Kenapa orang sekelilingnya asyik bertanyakan soalan tak masuk dek akal ini?

"Dah tu kenapa degil? Kalau Afrina tak sukakan Hud, tak cintakan Hud, kenapa Afrina nak protes bila abah tak izinkan Afrina libatkan diri dengan keluarga dia?"

Afrina mengeluh berat dengan soalan bertalu-talu daripada ayahnya. Pandangannya terus ditundukkan dari memandang wajah abahnya. Tangan yang sudah digenggam erat dipandang sayu. "Tak ada kaitan dengan dialah. Afrina cuma sayangkan Dina macam anak Afrina sendiri. Itu saja," luah Afrina. Abahnya perlu tahu asbab di sebalik dia tidak mahu memutuskan hubungan dengan Hud. Seorang Naurah Afrina sangat menyayangi Medina!

"Macam anak Afrina sendiri? Tengok, Afrina memang perlukan seseorang dalam hidup Afrina. Seseorang yang boleh bimbing Afrina, bahagiakan Afrina, lindungi Afrina. Kalau macam tu, lupakan Umar dan kalau boleh buka hati untuk lelaki lain. Bina keluarga dengan pengganti Umar. Tapi bukan dengan Hud Aidan. Abah tak nak anak abah dalam bahaya lagi. Berhenti membantah, Naurah Afrina. Ini keputusan abah. Noktah!"

Tatkala setitis air mata mengalir ke pipinya, Afrina terus menghentikan bacaannya. Dinding hatinya benar-benar disiat dengan pertelingkahan di antara dia dan abahnya. Lantas, pipi yang basah dikesat lembut sebelum pandangannya jatuh ke laman wajah Dina yang sudah tertidur pulas sambil memeluk patung beruangnya. Senyuman yang terukir di bibir Afrina semakin terasa pahit.

Sungguh, Afrina dalam dilema. Sebagai seorang anak, sudah tentunya dia harus mentaati kedua orang tuanya. Namun dalam masa yang sama, gadis kecil di hadapannya ini sangat memerlukan sebuah kasih sayang. Afrina tidak tega membiarkan Dina kesepian. Sayangnya buat Dina semakin hari semakin bertambah. Hud pula masih terlantar koma. Sungguh saat ini, Afrina hanya mampu berdoa dan mengharapkan sebuah keajaiban akan muncul.

'Hud... tolonglah bangun. Aku tak sanggup biarkan Dina sendirian tanpa sebuah kasih sayang. Hanya kau yang mampu sayangkan Dina setulus hati kau, Hud Aidan.'

SEBAIK sahaja Dina kembali stabil, Afrina pamit untuk pulang memandangkan itu perjanjian di antara dia dan abahnya. Sebaik sahaja waktu Asar tiba, Afrina harus pulang ke rumah. Encik Talib tidak mahu Afrina menghabiskan masa yang terlalu lama di rumah Hud lagi. Jadi, Afrina turutkan sahaja supaya dia tidak dimarahi seperti pagi tadi. Sungguh, pusing kepala Afrina memikirkan Encik Talib yang sudah mula  mengeluarkan arahan mandatori itu. Bahkan kini, Encik Talib tidak membenarkan Afrina untuk keluar seorang diri. Harus ada peneman.

"Cik Afrina, Encik Hud tak stabil lagi ke? Bukan apa, saya risaukan datin. Dia asyik tanya ke mana Encik Hud menghilang. Lepas tu Mak Timah tengok Puan Sherin dengan Encik Zanif tu sering bergaduh. Teruk sangat sampai Dina tu ketakutan. Sejak dua menjak ni pun Cik Khadijah tu pelik semacam saja dengan Encik Zanif. Mak Timah bukan nak buat cerita tapi ni berdasarkan apa yang Mak Timah nampaklah," ujar Mak Timah sambil menemani Afrina yang sedang menunggu kedatangan Encik Talib di gazebo rumah agam itu.

"Buat masa ni keadaan dia masih sama. Tak ada perubahan. Mak Timah doakan yang terbaik untuk dia, ya? Afrina pun kesian dekat Dina. Rindukan pak cik dia sampai demam panas. Pasal datin tu... Mak Timah jangan risau. Afrina yakin Doktor Azizah akan uruskan pasal hal tu. Pasal Khadijah dengan Zanif memang, Afrina dapat rasa sesuatu yang tak kena. Tapi... Mak Timah janganlah pedulikan pasal dia orang tu. Lambat laun nanti apa yang dia orang buat tu akan terbongkar juga. Tapi, kalau Zanif dah mula naik tangan lagi dekat Sherin barulah Mak Timah laporkan terus kat pihak polis," kata Afrina. Memberikan sedikit solusi kepada Mak Timah yang kelihatan khuatir. Sememangnya, kehilangan Hud membuatkan keluarganya bertambah berantakan.

"Baiklah kalau macam tu. Lagi satu..."

"Do I know you?"

Perbualan Mak Timah dan Afrina terhenti sebaik sahaja Farisha dan Amelia menerpa mereka. Serentak mereka berpaling memandang si empunya suara yang sudah berdiri di belakang Afrina. Tatkala pandangan Afrina dan Farisha saling bersatu, tatkala itu juga Afrina dapat melihat sorotan mata Farisha yang penuh dengan kemarahan.

"Exactly I know about you! You yang dah buat Hud koma kan? Yelah you dengan dia dah kena culik alih-alih dia koma dan you masih boleh ada kat rumah dia? Wow! Such  a wonderfull story slut!" marah Farisha seraya meluru ke arah Afrina. Dia kenal gadis itu. Itulah gadis yang dia syak sebagai dalang di sebalik perkara buruk yang sudah berlaku kepada pengarang jantungnya.

Afrina tergamam mendengar lontaran kata-kata keras Farisha. Perkataan makian itu terngiang-ngiang di gegendang telinganya. Lantas, Afrina turut bangun dari duduknya dan berhadapan dengan kemarahan Farisha. 

"Kau ni Islam ke?" 

"Of course I Islam! You buat apa datang rumah ni? Tak malu ke lepas you buat Hud koma you datang rumah dia pula! Where are your manners, slut?" sembur Farisha lagi sambil berpeluk tubuh.

Dipandangnya penampilan Afrina dari bawah sehingga ke atas. Gadis di hadapannya ini benar-benar tak setaraf jika dibandingkan dengan Hud Aidan. Manakan tidak, Afrina kelihatan kolot di pandangannya dengan hanya mengenakan cardigan hitam dipadankan dengan t-shirt hitam serta seluar slack. Tudung bawal yang menutup aurat gadis itu juga membuatkan Farisha tersenyum sinis. Malahan, wajah Afrina pucat tanpa sebarang solekan.

"Manners? Aku rasa kau yang tak ada adab sekarang ni. Kalau kau Islam kenapa tak bagi salam dulu ye sebelum kau nak sembur aku? Slut? Oh kau mesti tak tahu nama sebenar aku kan? Baiklah. Aku kenalkan diri aku pada kau. Nama aku, Naurah Afrina binti Talib. Kau boleh panggil aku Afrina. Pasal keadaan lelaki pujaan kau tu? Minta maaflah sebab dah nasib dia kan terlantar macam tu. Bukan salah aku," ujar Afrina sambil tersenyum sinis. Berhadapan dengan spesis Khadijah memang memerlukan kesabaran. Seenak itu sahaja gadis berambut perang itu menggelar dirinya sebagai pelacur. 

"You jangan cakap macam tu pasal Hud! Sebab Hud nak selamatkan you..."

"Dah memang betul takdir dia terlantar koma macam tu. Kau tak payahlah nak pertahankan dia sangat sebab dia tak pandang kau pun..."

Afrina kematian kata tatkala Farisha mula menaikkan tangannya ingin menampar wajahnya. Namun, Afrina tangkas mengelak dengan mengenggam pergelangan tangan Farisha. Suasana semakin tegang dengan panahan mata dua gadis tersebut. Wajah Farisha yang putih melepak serta merta bertukar kemerahan. Afrina mengetap giginya dengan rasa geram setelah disembur di atas kesalahan yang tak dilakukan. 

"Afrina! Lepaskan Farisha," arah Amelia yang sudah berkerut dahi. Dia turut panas hati dengan jawapan lantang Afrina itu.

Namun, Afrina memulas pergelangan tangan Farisha dengan rasa sakit menerima tuduhan daripada gadis itu. Termengaduh Farisha dibuatnya dengan kekasaran Afrina. Kalau diikutkan emosinya, mahu sahaja dia mematahkan tangan Farisha. Biar gadis itu tahu bahawa Afrina seorang gadis yang pantang dicabar maruahnya.

"Sekali lagi kau salahkan aku di atas apa yang dah berlaku pada Hud, aku tak akan teragak-agak bisukan kau. Kalau kau nak tahu, aku sendiri jadi mangsa keadaan lelaki pujaan kau itu. Aku sendiri cuma mangsa keadaan! Lagi satu, dalam keluarga ni... ada api dalam sekam. Ada seseorang yang nak hapuskan Hud sebab harta!" tegas Afrina seraya menolak kasar tubuh Farisha yang sudah tergamam dengan omongannya.

Saat itu, suasana yang tegang bertukar dingin serta merta. Afrina cuba menahan air matanya dari jatuh. Entah mengapa, memorinya memutarkan semula pada kejadian penculikan itu. Di mana penculik tak henti-henti mencelakai Hud hanya kerana pemuda itu tidak memberikan perkara yang dimahukan oleh ketua mereka. Hud sudah cukup terseksa saat ini! Ya, dalam diam Afrina sedikit simpati. Namun, bagi Afrina barangkali ini adalah kafarah di atas dosa yang pernah dilakukan oleh Hud dahulu.

"Apa yang kau merepek ni, Afrina? Siapa yang khianat Hud?" soal Amelia. Terasa payau anak tekaknya tatkala Afrina mengujarkan sesuatu yang kedengaran aneh. 

Afrina mengalihkan pandangannya ke wajah Amelia. Hanya senyuman sinis yang terlakar di bibir gadis itu.

"Who knows Madam Amelia?" jawab Afrina sambil menjongketkan bahunya. Ketika itu, suara Afrina juga semakin dingin menusuk gegendang telinga mereka. Masing-masing terdiam seribu bahasa saat wajah Afrina semakin berubah dingin. 

Gerun.

TROLI keluli yang berisi dengan ubat-ubatan ditolak menuju ke unit rawatan rapi. Sesekali lelaki berkaca mata dan bertopeng muka tersenyum ramah kepada para jururawat yang lalu-lalang di kawasan koridor. Kelihatan, wajah para petugas di hospital begitu keletihan bekerja seharian. Tambahan pula, hari sudah larut malam pada hari itu. Dalam diam, si lelaki tersenyum sinis. Beruntung juga mereka mempunyai pengkhianat negara yang sering membantu mereka. Dapat juga dia menyamar sebagai jururawat di hospital itu. 

Tatkala pandangannya tertancap ke arah dua orang pegawai polis lengkap beruniform yang sedang berjaga di luar, ketika itu juga keluhan terlepas dari bibir. Strateginya sedikit tergugat apabila mereka masih berada di luar unit rawatan rapi untuk menjaga keselamatan Hud Aidan yang masih terlantar koma. 

"Selamat malam tuan," sapanya sambil tertunduk hormat. 

"Selamat malam. Saya nak tengok kad pekerja kamu sebelum masuk ke dalam. Ini satu prosuder memandangkan salah seorang pesakit di dalam ICU ni berada di bawah jagaan pihak polis," arah Konstabel Fahri. 

Zed lantas berdiri tegak dan berpura-pura menggagau poket seluarnya.  Seperti yang dijangkakan, bukan mudah untuk dia melakukan kerja terkutuk ini. Kawalan pada Hud begitu ketat seolah-olah pemuda itu seorang VVIP sahaja lagaknya. 

"Maaf tuan. Saya tertinggal kat atas meja saya. Maklumlah dah lewat malam jadi saya tak bawa kad nama saya tu ke mana saya pergi," helah Zed sambil tersengih di sebalik topeng mukanya.

Sarjan Siew sudah mengerutkan dahinya dengan ulah Zed. Aneh sekali alasan yang diberikan oleh jururawat itu. Mana mungkin kad nama tidak dipakai tatkala waktu bekerja! Namun, belum sempat dia menjawab, mereka menerima arahan daripada orang atasan melalui fon telinga. Sarjan Siew dan Konstabel Fahri sudah saling berpandangan. Malam-malam sebegitu tiba-tiba sahaja mereka diarahkan untuk pulang ke balai polis dan digantikan oleh pegawai lain yang berada dalam perjalanan.

"Arahan diterima tuan!" jawab mereka serentak seraya melangkah pergi dari ruang unit rawatan rapi.

Saat itu juga, Zed tertawa sinis. Bodoh! Mereka benar-benar memudahkan pekerjaannya malam itu. Berkat dari bantuan si pengkhianat negara! Lantas, tanpa berlengah lagi Zed meluru ke ruang yang ditempatkan oleh Hud Aidan. Hospital swasta itu sememangya kelihatan mewah. Setiap bilik akan menempatkan seorang sahaja pesakit yang berada di unit rawatan rapi. Di setiap pintu juga terdapat nama-nama pesakit. 

Langkah Zed terbejat di hadapan sebuah pintu gelongsor berwarna biru yang ditandakan dengan nama 'Hud Aidan bin Datuk Idris'. Jari jemarinya sudah direnggangkan. Pintu gelongsor lantas dibuka dan terpampanglah sekujur tubuh yang terlantar di katil hospital. Sesekali, Zed ketawa sinis. Seakan-akan terhibur melihat Hud yang sentiasa gagah berlawan dengan konco-konco ketuanya akhirnya kaku tak bermaya di katil hospital.

"Apa khabar, Hud Aidan? Tak sangka kau hidup lagi walaupun dalam nyawa-nyawa ikan," kata Zed sambil mengelilingi ruang yang ditempatkan oleh Hud. Sesekali, dia menarik nafas panjang. Bau ubat-ubatan menusuk rongga hidungnya. Bunyi monitor jantung dan ventilator seakan-akan runut bunyi yang kendengaran merdu di gegendang telinga Zed. Hatinya riang melihat Hud yang seakan-akan terseksa bergantung dengan alat bantuan pernafasan itu. 

"Aku datang ni, sebab aku nak sambung kerja yang tergendala tempoh hari. Apa boleh buat  kalau orang terdekat kau nak hapuskan kau! Tak apalah Hud. Aku harap racun ni boleh tamatkan penderitaan kau. Lagi pun kau bagi sajalah peluang dekat kawan kau untuk dapatkan perempuan kesayangan kau tu. Betul tak?" kata Zed sambil memandang wajah Hud yang terlantar koma dan dibantu dengan ventilator.

Denyutan jantung Hud kedengaran stabil namun sebentar sahaja lagi akan menjadi satu garis panjang. Penamat bagi seorang Hud Aidan. Suntikan yang mengandungi racun Digoxin sudah berada di genggaman Zed untuk disuntik pada tubuh musuhnya.

Sesekali, Zed memandang monitor jantung yang memaparkan denyutan kadar nadi Hud Aidan.  Sekali lagi, dia tertawa sinis mengejek Hud yang kelihatan lemah.

"Kau ni kuat juga kan orangnya? Denyutan jantung kau stabil. Tapi kenapa kau tak bangun-bangun ni? Hah! Aku tahu ni mesti sebab tanda-tanda kematian kau dah dekat. Punca kematian sebab cardiac arrest barangkali? Kalau peluru aku tak dapat matikan kau tak apa. Aku ada ubat lagi baik dari itu. Racun ni akan perlahankan kadar denyutan jantung kau dan akhirnya... tamatlah perjuangan kau untuk hidup. Okeylah Hud. Aku tak nak buang masa jadi... selamat tinggal... Hud Aidan. Kesian kau kan tak dapat nak pandang keluarga kau lagi apatah lagi... wajah Naurah Afrina yang bencikan kau sepenuh hati!"

Lantas, Zed sudah bersedia untuk menyuntik jarum pada kura tangan Hud. Bau kematian sangat menenangkan jiwanya. Malam ini, satu lagi nyawa akan dihapuskan. Selepas ini, dia akan memburu mangsa yang lain pula. Pandangannya tak lepas dari memandang raut wajah Hud yang pucat dan masih ditutup dengan kesan lebam. 

"Jangan bergerak!" 

Hampir sahaja mata jarum menyentuh kulit Hud Aidan. Namun, seorang pegawai polis sudah meluru masuk ke dalam ruang tersebut lantas mengacukan senjatanya ke arah Zed. Jarum yang berada di pegangan lantas terlepas dari tangan. Senjata yang disisip di belakang pinggang lantas dikeluarkan. Dia pembunuh upahan! Sudah tentunya pelbagai strategi yang sudah dirancang untuk menghapuskan riwayat seseorang!

Bersambung...

Hi guys ✌

Thanks sudi baca karya syaf. Maaf kalau ada kurang. Ni je yang mampu syaf coretkan buat masa sekarang 🤭 syaf slow2 tau buat aksi semula dan kalau sudi bagilah syaf bintang  👉👈

Apapun...

Nak tahu apa itu ventilator? 

Ventilator ni fungsinya untuk membantu pernafasan khususnya buat pesakit yang koma. Fungsinya adalah memastikan pesakit menerima oksigen yang secukupnya. 

Apa itu racun Digoxin?

- Racun digoxin merupakan sebuah racun yang berasal dari bunga Foxyglove yang menyerang ke jantung. Ketika racun masuk ke dalam saluran darah, Digoxin akan memperlahankan denyutan jantung sehingga menyebabkan berhentinya denyutan jantung. 

https://analisadaily.com/berita/arsip/2019/3/24/712327/digoxin-termasuk-enam-racun-paling-mematikan/

Sedutan episod 25...

"Yunus? Kau ni Yunus kan? Senior silat cekak Hanafi di bawah Pak Mail dulu? Kau dah lupa aku ke?" soal Afrina dengan suara yang teruja dapat bertemu dengan rakan lama yang sudah terputus hubungan sebaik sahaja dia pulang semula ke kota raya dahulu.

"Aku tak lupa kaulah! Kau yang lupa aku lepas bertunang dengan Umar. Maaflah aku dah lost contact dengan kau orang berdua." 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro