Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Episod 11 🍃


MIRZA ralit memerhatikan isterinya yang sedang berdandan di hadapan cermin. Buku perniagaan yang berada di tangannya langsung tidak menarik perhatiannya apabila sejak kebelakangan ini isterinya bertindak dingin terhadapnya. Sudah seminggu berlalu dia tidak dilayan dengan baik. Amelia yang menyedari dirinya diperhatikan hanya tersenyum sinis. Sakit di hatinya tak lagi beransur hilang setelah Restoran Aglio yang seharusnya memberikan keuntungan kepada peribadinya jatuh di tangan Hud Aidan.

"Where do you want to go again tonight?"

"I ada party kat rumah Mary," jawab Amelia acuh tak acuh. Dia mencapai minyak wangi berjenama Dior lalu disemburkan ke leher jinjangnya.

Tak semena-mena, wangian Amelia membuatkan Mirza jadi serba tak kena. Nalurinya bergelojak dengan kecantikan isterinya yang berkacukan Kazakhstan itu. Lantas, Mirza bangun dari katil seraya mendekati isterinya. Tangannya singgah menyentuh bahu si isteri sebelum satu kucupan lembut singgah di pipi isterinya. Amelia sekadar membiarkan.

"I nak you. Temankan I malam..."

"You should divorce me after you know what I want from your family, right?" pintas Amelia. Nada suaranya kedengaran tegas menandakan dia tidak suka dengan apa yang dimahukan oleh Mirza. Tangan Mirza ditepis kasar seraya wanita itu bangun dari duduknya. Keluhan berat dilepaskan dari bibir mungilnya. Tas tangan berjenama Hermes Birkin yang dihiasi dengan batu permata dicapai dari almari lalu dibimbit.

"But you know right that I can't divorce you because I am deeply in love with you. Only you!" tegas Mirza seraya mendekati Amelia yang bersandar di belakang almari. Apabila dia hampir memeluk tubuh Amelia, satu tamparan kuat dihayunkan ke wajahnya. Terteleng wajah Mirza akibat penangan kejutan daripada Amelia.

"Stupid! I said that I just wanna you to divorce me! Do you understand, Mirza that I didn't want to need you in my life again! I cuma nak harta you. Bukan you, Mirza. Oh come onlah sampai bila you nak bertindak bodoh ni? You listen here, now I tak akan layan you selagi I tak dapat Restoran seafood tu! You tahu tak I nakkan restoran mewah tu sebagai income I. Sekarang apa? Semuanya dah kena rampas oleh adik you yang tak patut hidup lagi lepas papa buang dia dari hidup kita!" bentak Amelia sekuat hati. Melepaskan amarah yang terpendam di lubuk hatinya. Wajahnya yang putih gading mula merah dengan dada yang turun naik melepaskan amarah yang mencengkam sanubarinya.

Mirza hanya memandang wajah Amelia dengan tatapan yang penuh dengan kekecewaan. Ya, dia bodoh kerana masih menginginkan wanita ini. Sudah tiga tahun dia tahu bahawa Amelia tidak pernah mencintainya. Mirza tahu isterinya curang. Tapi dia masih si dayus yang terus mempertahankan isterinya kerana butanya terhadap cinta. Malahan, dia ini hanyalah seorang lelaki bodoh yang sanggup membuat apa sahaja demi isteri tercinta. Namun, semakin hari sikap Amelia semakin mencabar seorang Mirza Hasif.

"You dah ada Spa kecantikan..."

"Tak cukup! I nak Restoran Aglio tu. You tahu kan Hud tu dah kena buang keluarga dan dia tak ada hak nak dapatkan harta warisan daripada keluarga ni lagi, faham tak!" marah Amelia lagi. Dahinya sudah berkerut tatkala Mirza seakan-akan tidak mahu menunaikan permintaannya untuk mendapatkan harta yang diberikan kepada adik iparnya.

Mirza mengeluh berat. Sikap tamak Amelia benar-benar mencabar kesabarannya sebagai seorang lelaki. Lelaki bermata galak itu kembali menghampiri Amelia sehingga tubuh mereka hanya sejengkal. Mirza menghadang tubuh Amelia dengan tangan kirinya. Tangan kanannya kembali ligat mengelus wajah Amelia sebelum dagu isterinya dicengkam kuat. Berkerut dahi Amelia dengan kekasaran Mirza itu. Buat seketika, pasangan itu saling berpandangan. Masing-masing dengan pandangan yang penuh dengan kemarahan.

"Jangan cabar I sayang. Jangan buat ketenangan I hilang sekelip mata. I tak akan ceraikan you dan I akan pastikan kita hanya akan berpisah mati. Bukan berpisah hidup. You ingat ni sampai bila-bila. You tahu kan, you tak akan boleh lari daripada I. Jadi, I nasihatkan you baik you berjaga-jaga dengan apa yang you cuba buat," bisik Mirza seraya menampar kuat wajah Amelia. Melepaskan kemarahan yang berselirat di dinding hatinya.

Amelia tergamam. Kemarahannya semakin membuak-buak dengan penangan daripada Mirza. "Lelaki tak guna! Berani you tampar I kan! You pun jangan nak cabar I sebab I boleh hancurkan keluarga you ni sekelip mata. I boleh bunuh Hud untuk dapatkan apa yang I nak!" tegas Amelia seraya menolak kasar tubuh Mirza. Dia segera mengesat darah yang mengalir di birai bibirnya bersama dengusan yang kuat. Tanpa berlengah, Amelia lantas menuruni anak-anak tangga rumah agam itu. Saat telinganya menangkap suara di ruang makan, dia segera memakai 'topeng muka'.

Kelihatan Dina sedang menjamah makan malam bersama Mak Timah dan Hud. Celoteh Dina bercerita mengenai harinya di sekolah sesekali membuatkan suasana jadi ceria di meja makan. Tatkala pandangan Amelia bersatu dengan Hud, tatkala itu juga kemarahannya semakin mencanak naik. Kalau diikutkan hatinya, mahu sahaja dia merodok jantung pemuda itu agar lelaki itu terhapus dari dunia ini. Sejak Hud muncul semula, dia merasakan hidupnya jadi kacau. Sering kali sahaja dia bergaduh dengan Mirza disebabkan ketidakpuasannya dengan wasiat yang diberikan kepada pemuda itu.

"Kak Amy punya hobi memang keluar malam ke?" soal Hud. Ada kesinisan di sebalik nada suaranya. Dia tersengih apabila Amelia memandangnya dengan pandangan yang tajam.

"I keluar sebab I ada hal penting. Urusan business! Kau orang makanlah puas-puas, I nak keluar dulu," kata Amelia seraya melangkah keluar dari rumah agam itu. Namun, langkahnya terbejat tatkala pintu dirempuh dari luar. Terpampang wajah menyinga Zanif yang sedang mencengkam rambut Sherina meluru masuk ke dalam rumah. Berkali-kali, Sherina meminta ampun agar dia dilepaskan daripada kekasaran Zanif. Melihatkan itu, Amelia sekadar menjelingkan matanya ke atas. Itu urusan mereka!

TUBUH Sherina melorot di belakang almari tatkala Zanif menghempaskan tubuhnya dengan kasar. Tubuhnya sudah menggigil akibat amukan suaminya itu. Air matanya tak henti-henti mengalir akibat kesakitan yang maha hebat pada tubuhnya setelah dibantai oleh Zanif ketika dia dalam perjalanan untuk pulang ke rumah. Belum sempat dia menegakkan duduknya, Zanif terus menyepak tubuhnya bertubi-tubi seakan-akan dia itu sebiji bola di pandangan mata Zanif.

"Sial! Aku dah cakap jangan keluar dengan lelaki..."

"Tapi tu... klien aku, Zanif! Aku berurusan... dengan... dia orang... bincang pasal rekaan... rumah..."

Sherina kematian kata tatkala pintu dirempuh dari luar bilik. Kelihatan Hud sudah meluru masuk bersama dengan Mak Timah dan Dina yang sudah menangis teresak-esak melihat ibunya dipukul. Keadaan semakin tegang apabila Hud membanting tubuh Zanif ke belakang meja solek sehinggakan barangan di atas meja berderai pecah.

Sherina hanya mengerekot menahan sakit sambil memandang Hud yang sudah memukul Zanif tanpa henti. Air matanya semakin deras mengalir ke pipi apabila abangnya datang untuk melindunginya. Kalau tidak, sekali lagi dia pasti akan dipukul sehingga pitam. Seperti yang sering diperlakukan jika cemburu buta Zanif kembali muncul.

Melihat Sherina dipukul separuh mati membuatkan Hud tak mampu mengawal kemarahannya. Tumbukan demi tumbukan diasak ke wajah Zanif tanpa memberikan kesempatan lelaki itu untuk melawan. Segala beban yang dipikul lantas dilepaskan ke wajah adik iparnya itu. Nafasnya sudah turun naik melepaskan amarah. Wajah Zanif yang sudah berdarah itu langsung tidak mematikan tumbukan seorang Hud Aidan.

"Hud! Berhenti!"

Laungan kuat daripada Mirza masih tidak bisa menghentikan Hud. Dia masih belum berpuas hati melepaskan beban melihat penderaan adik kandungnya. Lantas, tumbukan demi tumbukan terus dihayunkan dengan kuat sehingga pandangan Zanif semakin berbalam-balam. Penangan kuat Hud itu benar-benar membuatkan hidungnya seakan-akan dipatahkan. Darah tak henti-henti mengalir di hidung dan birai bibirnya. Mahu mengelak sahaja dia tidak bisa dek kerana kekuatan Hud bersama dengan sebuah kemarahan.

"Hud Aidan!"

"Pak cik... jangan pukul papa."

Saat suara sayu Dina menusuk halwa telinga Hud, serta merta tumbukan Hud terhenti. Nafasnya turun naik dengan sisa kemarahan yang masih berselirat di dinding hatinya. Wajah orang sekelilingnya dipandang sebelum berakhir ke wajah sayu Sherina yang sudah berada dalam pelukan Mak Timah. Sungguh, wajah Sherina yang sudah memar akibat dipukul oleh Zanif membuatkan Hud kecewa dengan dirinya sendiri. Dia tidak bisa melindungi satu-satunya adiknya. Itu sebuah kegagalan buat seorang Hud Aidan.

"Hud. Cukuplah! Aku tahu kau marah dengan apa yang dia dah buat pada Sherin. Jangan sampai tangan kau tu membunuh orang keji macam Zanif tu. Dan kau Zanif... aku dah cakap kawal baran kau! Haish! Aku streslah dengan kau orang semua ni. Kau orang dah besar bukan budak kecil lagi. Hah kau lagi, Sherin. Kau dah tahu laki kau cemburu..."

"Cukup. Kau jangan salahkan Sherin atau aku belasah kau sekali," pintas Hud sambil memandang wajah Mirza yang tegang itu. Berdesing telinganya apabila kesalahan dilontarkan kepada Sherina. Bagi Hud, di rumah agam itu Sherinalah yang paling tertekan dan menerima impak disebabkan ketamakan arwah Datuk Idris.

Mirza mengeluh berat seraya membantu Zanif yang sudah menyeringai kesakitan keluar dari bilik. Tiada kata yang mampu diujarkan tatkala Hud sudah memberikan pandangan tajam dan berselirat dengan amarah kepadanya. Jadi, lebih baik dia membawa Zanif keluar dari bilik itu agar keadaan dapat dikawal.

"Pak cik..."

Suara Dina menyapa lagi. Dengan pandangan yang kabur, Hud mengalihkan pandangannya ke wajah Dina yang sedang teresak-esak. Anak kecil itu seakan-akan takut melihat Hud yang tiba-tiba mengamuk. Lantas, Hud kembali menenangkan dirinya dengan menarik nafas dalam-dalam sebelum dihembuskan perlahan-lahan. Terapi yang sering digunakan jika dia dibakar dengan kemarahan mahupun kesesakan. Bibir lantas beristighfar sebelum dia mengusap lembut air mata Dina.

"Jangan menangis. Pak cik cuma nak ajar papa Dina supaya dia tak pukul mummy. Sekarang Dina pergi tidur. Okay? Pak cik minta maaf sebab buat Dina takut. Pak cik janji pak cik tak akan marah macam tu depan Dina lagi," pujuk Hud. Tergaris senyuman hambar di bibirnya.

"Janji?"

Hud ketawa kecil dengan tingkah Dina yang menghulurkan jari kelingkingnya. Pemuda itu mengangguk lantas menyatukan jari kelingkingnya dengan Dina. Satu kucupan lembut hinggap di dahi anak kecil itu sebelum Hud mengarahkan Mak Timah untuk membawa Dina keluar dari kamar itu. Hud memerlukan masa untuk dia menenangkan Sherina yang kelihatan kesakitan dari segi fizikal dan mentalnya.

"TOLONG jangan report polis dengan apa yang dia dah buat. Sherin tak nak dia masuk penjara."

Tangan Hud yang sedang menuam pipi Sherina dengan tuala yang berbalut dengan ais serta merta terbejat. Dahinya berkerut dengan permintaan adik bongsunya itu. Jelas, ada ketakutan di sebalik wajah Sherina tatkala menuturkan permintaannya. "Dia dah pukul adik abang macam ni, lepas tu Sherin nak pertahankan si jahanam tu lagi?"

Sherina tertunduk dengan soalan dingin Hud. Tangan Hud digenggam erat sebelum dia kembali mengangkat kepalanya. Wajah Hud ditatap dalam-dalam. Mahu ditelan mati emak diluah mati bapak. Sherina benar-benar dilema untuk menyatakan sebab dia menegah Hud daripada melaporkan ke pihak polis. Kalau diluahkan, dia tidak mahu Hud kembali mengamuk seperti tadi. Dia takut! Malahan, ada sesebuah rahsia yang tidak mampu dikongsikan bersama abangnya.

"Abang minta maaf Sherin sebab abang tak mampu nak lindung Sherin. Tapi sekarang abang balik ni sebab abang nak jaga Sherin. Nak jaga Dina dengan mama. Bagilah abang peluang untuk tebus semua kesalahan abang sebab tinggalkan dan abaikan Sherin. Tolong jangan rahsiakan apa-apa daripada abang. Abang sayang Sherin sangat-sangat," ujar Hud sambil mengusap lembut ubun-ubun Sherina. Luluh hatinya melihat wajah cantik Sherina dipenuhi dengan kesan lebam. Mata kiri adiknya sahaja sudah menunjukkan bengkak.

Sungguh, tatkala rasa sayang itu diluahkan hati Sherina jadi sebu. Tangan Hud yang digenggam erat diketatkan lagi. Dia juga menyayangi abangnya. Hanya abangnya yang layak menjadi pelindungnya. Ayahnya juga sudah menjualnya kerana harta. Ketika dia mula menerima Zanif, suaminya itu pula mendera fizikal dan mentalnya sehingga dia seolah-olah merasakan kematian ialah jalan terbaik untuk menamatkan penderitaannya.

"Sherin cuma tak nak rumitkan keadaan. Sherin..."

"Sherina. Jantan tu dah belasah adik abang depan mata abang sendiri. Sherina tengoklah diri Sherina ni. Muka bengkak sana sini. Badan pun dah lebam-lebam. Ikutkan hati abang, mati si jahanam tu abang kerjakan!" tegas Hud. Rasa bersalahnya semakin membuak-buak apabila Sherina seolah-olah mengelak untuk memberikan hukuman ke atas Zanif.

"Abang ni tak payahlah garang-garang! Tak apa. Abang dah ada dekat rumah ni, Sherin yakin dia tak akan berani pukul Sherin lagi. Abang tahu tak, Sherin bersyukur sangat sebab ALLAH makbulkan doa Sherin. ALLAH pulangkan abang Sherin semula dan Sherin rasa dilindungi bila abang ada dekat sisi Sherin. Jadi, selagi abang ada selagi tu Sherin akan rasa selamat," kata Sherina. Segaris senyuman terukir di bibirnya yang lebam sebelum dia memeluk tubuh Hud dengan erat. Matanya dipejam rapat apabila rasa sebu itu semakin mengetuk dinding hatinya.

Hud terkesima dengan omongan Sherina. Tidak menyangka bahawa sudah terlalu lama Sherina menanti kepulangannya. Lantas, pelukan semakin dieratkan. Menyalurkan kasih sayangnya buat adik perempuannya itu. Saat itu juga, setitis demi setitis air mata lelaki Hud tumpah juga. Dia lelah. Ya, Hud lelah berhadapan dengan konflik yang berlaku dalam hidupnya. Ujian ini sememangnya melelahkan seorang Hud Aidan!

ZANIF merasakan rezekinya berada di depan mata tatkala pandangannya tertancap pada susuk tubuh Afrina yang sedang membelakanginya. Tubuh langsing gadis itu dipandangnya dari atas hingga ke bawah. Kelihatan Afrina sibuk membancuh secawan teh panas yang diminta oleh Datin Khalida. Segera dia merapikan pakaiannya dan melangkah menghampiri Afrina.

"Hai! Lama tak nampak," ujar Zanif saat dia sudah berada di sebelah Afrina. Gadis itu mengalihkan pandangan ke wajah Zanif yang kelihatan bengkak sebelum kembali mengacau teh panas.

"Encik kacau isteri, tunang atau makwe siapa pula kali ni?" soal Afrina. Ada nada sinis di sebalik pertanyaan yang diberikan kepada Zanif.

Zanif ketawa dengan soalan Afrina. Tangannya mula menjalar ke kura tangan Afrina yang baru sahaja mahu mengangkat cawan berisi teh panas itu. "You kan perawat. You tak nak ubatkan I ke?" bisik Zanif seraya mengambil teh panas yang dibancuh oleh Afrina. Lantas, dia menghirup teh panas tersebut sebelum kembali dihulurkan kepada gadis yang mula dihurung dengan rasa amarah. Seenaknya sahaja lelaki miang itu mengambil minuman yang sudah siap dibancuh.

"Apa masalah encik ni? Saya buatkan air tu..."

Afrina kematian kata tatkala Zanif semakin mendekatkan tubuh kepadanya. Apabila Afrina berundur ke belakang, Zanif merentap pergelangan tangannya lalu ditarik ke tubuh lelaki miang itu sehingga tubuh mereka hanya sejengkal.

Cawan yang dipegang oleh Afrina dicapai lalu diletak di atas meja berhampiran. Anak mata bundar Afrina kelihatan cantik dan bersinar di mata Zanif. Meskipun gadis itu tegang wajahnya namun kemanisannya tetap ada. Masih ada kelembutan di wajah Naurah Afrina. Pipi mulus Afrina lantas diusap lembut.

Tak semena-mena, Afrina menghayunkan lututnya ke perut Zanif dengan kuat. Serta merta, dia terlepas dari lelaki miang itu. Nafasnya turun naik dengan jantung yang sudah berdegup kencang. Masakan tidak, Zanif sedang mencabul kehormatannya sebagai seorang perempuan! Zanif ketawa sambil memegang perutnya yang terasa senak. Suka melihat wajah kosong itu kelihatan takut.

"Aku nak sikit je. Tak luak pun! Aku dah lama perhatikan kau ni. Kau cantik tapi sayang kau selalu lancang dalam berkata-kata. Kau nak berapa? Aku boleh..."

PANG!

Sebuah tamparan hinggap di pipi Zanif. Makin galak tawa Zanif mendapat sentuhan daripada Afrina walaupun sentuhan itu sentuhan yang menyakitkan. Ditendang dan ditampar. Gadis ini sememangnya bukan calang-calang orang. Penangannya memang menyakitkan. Tapi, Zanif masih tak putus asa untuk mendapatkan Afrina.

"Jantan tak guna! Kau ingat aku ni pelacur ke hah! Aku datang rumah ni sebab nak kerja bukan nak jual tubuh aku. Apa kau ingat aku ni perempuan tak ada maruah diri ke? Kau..." Afrina kematian kata tatkala Zanif mencengkam tudungnya dari belakang seraya menutup mulut gadis itu.

"Senyap..."

Sekali lagi, Zanif kematian kata tatkala Afrina menghayunkan tendangannya ke kelengkang lelaki itu dengan kuat. Serta merta Zanif mengerang dengan kesakitan yang maha hebat. Kemudian, Afrina menendang kuat tubuh Zanif sebelum lelaki itu tersungkur di belakang kabinet. Sungguh, penangan padu Afrina itu membuatkan Zanif tergamam. Tak menyangka gadis ini mempunyai skil dalam mempertahankan diri.

"Ya ALLAH, apa bising..."

Mak Timah yang baru pulang dari pasar bersama Hud sudah tercengang melihat kekecohan di ruang dapur. Alangkah terkejutnya dua figura itu melihat Zanif yang sudah kesakitan sambil mengerekot dan melihat kekusutan pada wajah Afrina. Tudung gadis itu juga sudah senget seolah-olah lepas ditarik sehingga anak rambutnya sedikit kelihatan.

Afrina lantas menjambak kuat rambut Zanif. Kemarahan benar-benar menguasai dirinya saat itu. Nafasnya turun naik melepaskan kemarahan. Satu tumbukan terus dilayangkan ke wajah lelaki itu. Mak Timah cepat-cepat menarik Afrina dari terus mencederakan majikannya. Namun, Afrina yang seolah-olah dirasuk itu terus memberikan tumbukannya ke wajah Zanif bertalu-talu. Gadis itu masih belum berpuas hati apabila dia merasakan kesuciannya diragut. Air mata mula bergenang di tubir matanya

"Afrina! Kau ni dah kenapa? Kau nak bunuh..."

Hud kematian kata tatkala Afrina mencerlungkan mata ke arahnya. Jelas ada kesakitan di sebalik sepasang mata gadis itu. Hud jadi serba salah kerana menengking Afrina.

"Salah ke kalau aku cuba nak pertahankan diri aku? Aku boleh bunuh dia kalau aku nak. Dia dah cabul kehormatan aku sebagai perempuan! Aku boleh bersabar selama ni tapi bila dia dah tawarkan diri aku dengan harga aku tak boleh nak tahan kemarahan aku lagi! Aku datang sini sebab aku nak sara hidup aku dengan keluarga aku dengan cari duit yang halal. Bukannya jadi pelacur!" bentak Afrina seraya melangkah keluar dari ruang dapur. Mak Timah segera meluru ke arah Afrina dan menarik tangan gadis itu keluar dari rumah. Gadis itu perlu ditenangkan dari terus diamuk dengan amarah.

Hud tergamam. Entah mengapa, kata-kata itu sangat menyakitkannya. Ada kekecewaan dan kesedihan di sebalik suara Afrina. Kenapa dia merasakan seperti ini? Entah. Hud bungkam. Seolah-olah hatinya ditusuk dengan kemarahan Afrina. Dia tertunduk memandang Zanif yang sedang kesakitan. Melihat wajah itu seolah-olah memarakkan semula api kemarahan Hud. Lantas, dia duduk mencangkung di hadapan Zanif.

"Tolong aku, sakit..."

"Sakit?" Hud ketawa sinis dengan kesakitan Zanif. Dia menepis tangan Zanif yang mencapai hujung bajunya.

"Aku baru je pukul kau semalam. Tak sangka Afrina boleh tambahkan lagi hadiah untuk kau. Sedap tak? Tu untuk orang yang gatal macam kau," tegas Hud seraya bangun dari duduknya. Meninggalkan Zanif yang sudah menjerit melepaskan kemarahannya. Buat malu sahaja dipukul oleh gadis bertubuh kecil seperti Afrina. Namun satu hal yang sudah bermain di benak fikirannya. Tidak akan sesekali dia membiarkan hidup Afrina aman sejak kejadian ini!

SKRIN telefon pintarnya yang menunjukkan perkataan Samsung hanya mampu dipandang dengan pandangan yang sayu. Rintik-rintik hujan yang semakin lebat dipandang melalui tingkap kereta. Afrina cuba menenangkan dirinya seperti yang diajarkan oleh Mak Timah siang tadi. Istighfar dan teruskan beristighfar jika dilanda kesusahan ataupun kesesakan di dalam jiwa. Sekali lagi, Afrina cuba menghidupkan enjin keretanya. Malangnya, keretanya langsung tidak menunjukkan respons yang baik.

Pengakhirannya, Afrina bersandar di belakang kerusi pemandu sambil memandang Atma Home Nursing yang sudah ditutup. Kawasan yang gelap itu sedikit menggerunkan gadis itu. Jam di pergelangan tangan dikerling sekilas. Sudah pukul 11.30 malam. Apa lagi yang harus Afrina lakukan di saat keretanya tiba-tiba jadi mogok dan telefonnya pula sudah kehabisan bateri? Malang sungguh nasibnya Afrina hari ini.

Tiba-tiba, Afrina tersentak tatkala tingkap keretanya diketuk dari luar. Terhapus terus lamunannya mengenangkan nasibnya yang malang. Melihat figura yang sedang kebasahan di luar kereta membuatkan Afrina kaget. Lebih-lebih lagi melihat wajah yang tak asing lagi dalam hidupnya. Apa yang membuatkan Afrina kaget adalah kenapa pemuda berjaket hitam itu bisa muncul di saat dia kesusahan?

Lantas, Afrina membuka pintu keretanya. Dengan dahi yang berkerut, Afrina memandang wajah Hud yang sudah kebasahan bersama dengan payung yang berada di tangan pemuda berjaket hitam itu. Hud tersenyum saat melihat wajah Afrina yang kehairanan.

"Anda perlukan bantuan, cik misi?" soal Hud bersama dengan bunyi rintikan hujan.

Apa lagi yang Afrina harus katakan di saat darurat seperti ini? Hanya Hud Aidan sahaja yang dia kenali walaupun dia mempunyai syak wasangka dengan kedatangan pemuda itu secara mengejut. Oh Tuhan! Saat ini Afrina tidak tahu adakah nasibnya bertambah malang dibantu oleh Hud ataupun ini hanyalah kebetulan yang tidak dijangkakan.

"AKU minta maaf pasal kejadian siang tadi. Aku sebenarnya... risaukan kau lepas kau balik dari rumah mama. Kau nampak pucat sebab tu aku stalk kau sampai kau habis syif," terang Hud sambil mengawal stereng kereta. Dia tidak mahu Afrina salah sangka di atas kemunculannya secara tiba-tiba.

Afrina hanya diam. Tiada kata yang terzahir dari mulut gadis itu. Pandangannya ditebarkan ke luar tingkap memandang rintikan hujan yang mengalir di tingkap. Apa yang Afrina tahu hari ini merupakan hari yang sangat memenatkan. Fizikal dan mentalnya sama-sama penat menghadap cabaran pada hari ini. Dicabul oleh Zanif. Keretanya rosak dan kini harus berhadapan dengan Hud Aidan. Lelaki yang kalau boleh mahu dielaknya dari bertemu. Tapi apakan daya kalau sudah takdir yang tertulis mereka ditemukan, Afrina tiada hak kerana semuanya sudah diaturkan oleh yang Maha Esa.

"Kau okay?"

"Saya masih bernafas Encik Hud," jawab Afrina acuh tak acuh. Sesekali, dia bermain dengan cincin yang tersarung di jari manisnya.

Hud tersenyum dengan jawapan gadis itu. Wajah pucat Afrina dipandang sekilas lalu sebelum pandangannya kembali tertumpu pada pemanduannya.

"Kau nak makan?"

"Apa masalah Encik Hud? Saya dah kata awal-awal tadi saya nak balik dan saya dah bagi alamat..."

"Jangan garang sangat cik misi..."

"Tak! Masalahnya saya tak suka bila encik asyik tanya saya itu ini. Hantar jelah saya balik! Saya tak nak cakap apa-apa!" pintas Afrina. Tak semena-mena, suaranya naik seoktaf. Semuanya diluar kawalannya apabila Hud terus menerus bertanyakan dan bersikap prihatin terhadapnya.

Buat seketika, Hud dan Afrina saling berpandangan. Hud dengan wajahnya yang masih tenang walaupun sudah menerima tengkingan daripada Afrina manakala Afrina dengan wajahnya yang semakin tegang. Menunjukkan dia tidak menyukai dengan semua pertanyaan Hud kepadanya. Lantas, cepat-cepat gadis itu berpeluk tubuh dan mengalihkan pandangannya ke luar tingkap. Kedinginan malam mula mencengkam hingga ke tulang hitam.

"Okay! Aku tanya soalan yang menarik. Kau dah... berpunya?"

Soalan Hud itu hampir sahaja membuatkan Afrina tersedak. Dia kaget. Soalan yang dilontarkan secara spontan itu membuatkan Afrina kembali memandang wajah Hud. Sesampai sahaja di lampu isyarat berwarna merah, Hud turut memandang wajah Afrina dengan kening yang sudah dijongketkan. Menanti jawapan si gadis bertudung bawal hijau zamrud. Lantas, Afrina menayangkan cincin di jari manisnya sebelum menjelingkan matanya. Tak betah berhadapan dengan Hud lama-lama.

"Dah nampak kan?"

"Nampak apa?"

Afrina mengeluh berat. "Dah ada cincin ni sebagai tanda yang saya milik orang. Jadi, kalau Encik Hud nak try masuk line sila cari orang lain!"

Tak semena-mena, Hud ketawa terbahak-bahak dengan ketegasan Afrina. Dia suka gadis bernama Naurah Afrina ini. Ketegasannya benar-benar membuatkan hati Hud tercuit lucu. Namun, melihat wajah Afrina yang kembali memandangnya dengan pandangan yang penuh dengan kemarahan mematikan terus tawanya. Namun, tawa kecilnya masih terletus dengan kata-kata Afrina sebentar tadi.

"Encik Hud ni ada masalah ke? Kurang kasih sayang sampai benda serius pun encik nak gelakkan?"

Hud terangguk-angguk dan kembali dengan pemanduannya. Sesekali dia menekan perutnya yang terasa senak. Entahlah mengapa setiap kata-kata Afrina menghiburkan hatinya. Wajahnya juga serta merta membahang kepanasan akibat tawa yang tak berhenti-henti.

"Mana kau tahu aku kurang kasih sayang? Kenapa? Nak bagi kasih sayang untuk aku ke? Boleh. Aku memang memerlukan kasih sayang daripada sesiapa sahaja yang sudi memberikan," giat Hud.

Kali ini, kesabaran Afrina sudah hilang. Dia mencapai beg yang diletak di sebelah kaki lantas dipeluk erat. Kedinginan malam itu benar-benar membuatkan tubuhnya semakin menggigil. Tiada kata yang mampu diungkapkan lagi apabila Hud semakin mencabarnya. Jadi, Afrina buat keputusan untuk berdiam diri dan memanaskan tubuhnya. Takut kalau-kalau dia memberikan 'hadiah' seperti Zanif pula kepada Hud Aidan.

Melihat Afrina seolah-olah kedinginan membuatkan Hud mengulum senyum lagi. Sombong! Baginya Afrina selalu berlagak kuat dan dingin. Lantas, tangannya menggagau mencari hoodie di tempat duduk bahagian penumpang belakang lantas dihulurkan kepada Afrina. Suhu penghawa dingin lantas ditinggikan.

"Pakai ni kalau sejuk. Kau kena jaga kesihatan. Kalau kau sakit kau tak boleh datang rumah untuk rawat mama. Jadi, kalau kau tak datang tak adalah orang aku nak usik lagi," kata Hud. Semua yang bermain di benak fikirannya lantas diujarkan kepada Afrina yang sudah sedikit tersentak dengan keprihatinan Hud kepadanya.

Saat itu, Afrina mula berasa aneh. Adakah Hud melupakan siapa dia dalam hidup pemuda itu 14 tahun yang lalu? Manakan tidak, Afrina merasakan di hadapannya saat ini bukan Hud Aidan yang dulu lagi. Jujur Afrina akui bahawa Hud sudah berubah menjadi yang lebih baik. Barangkali kematangan itulah yang membuatkan Hud berubah. Tetapi, dek kerana kenangan silam itu tak semudah itu untuk Afrina memaafkan Hud. Terlalu besar impak yang diberikan dalam hidup Afrina sehingga menjejaskan dirinya sendiri.

Tiba-tiba, Hud melajukan pemanduannya sehingga Afrina mula berasa gerun. Pandangannya kembali dihalakan ke wajah Hud. Saat itu juga tiada lagi senyuman mahupun ketenangan di sebalik wajah Hud Aidan. Ini kali pertama Afrina melihat wajah pemuda itu berubah tegang. Malahan, kerap kali Hud memandang cermin pandang belakang. Keluhan demi keluhan terletus dari bibir pemuda itu sehingga menimbulkan tanda tanya dalam diri Afrina.

"Maaf Afrina. Malam ni, kau kena hadap situasi membahayakan," tegas Hud seraya menekan pedal minyak sekuat hati sehingga Afrina tersentak ke belakang kerusi. Tak semena-mena, degupan jantung Afrina mula berdetak laju. Dia turut memandang cermin sisi. Alangkah terkejutnya Afrina melihat sebuah van putih yang seakan-akan mengejar mereka dari belakang. Maka, deruman kenderaan yang semakin laju membuatkan reseptor Afrina menerima rangsangan bahawa bahaya berada di depan mata!

Bersambung...

NOTA PENULIS: Hi korang ✌ panjang sangat-sangat kan episod kali ni? Sebagai bekalan lah kot sebab minggu ni Syaf update tiga episod je 🤣.

Jadi, macam mana episod kali ni? Mendebarkan? Memeningkan sebab konflik keluarga Hud? Ke manis macam madu? 🤣🤣 Apa pun terima kasih sudi membaca karya ini. 😊😊😊😊💓💓💓

Korang sudi-sudikanlah tekan bintang kecil kat bawah tu lepas baca. Komen je apa-apa yang korang rasa nak kritik dari sudut plot ke, tatabahasa ke. Syaf menerima apa seadanya hehehe✌

Jumpa minggu depan pula 🤓

Sedutan episod 12

Apa yang akan berlaku kalau perempuan tu terima nasib malang macam anak kucing dalam kotak hitam ni? Sebab dia ada dengan kau dalam waktu yang salah. Maaflah, dia dah tersenarai dalam permainan kita. Kaulah pembawa malang dalam hidup perempuan tu. Aku bukan apa, aku cuma nak menambahkan keseronokan dalam permainan kita ni. Jadi, kau tunggulah nasib perempuan tu macam mana. Sebelum tu aku akan senaraikan dulu siapa yang paling kau sayang. Aku akan bunuh jiwa kau perlahan-lahan sampai kau lelah untuk hidup lagi.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro