Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 9

SETELAH acara pembukaan, kami dibahagikan kepada beberapa kumpulan. Setiap kumpulan terdiri daripada 12 peserta. Dalam kumpulan tersebut hanya aku seorang sahaja dari bahagian HR. Semua sudah berpecah, tetapi aku sangat terperanjat bila aku sama kumpulan dengan Encik Naufal. Satu kebetulan atau sudah terancang segalanya? Rasa-rasanya macam dirancang saja.

Aku cari juga kalau-kalau ternampak Rosie atau Cik Shiela. Tak nampak pun. Mesti kumpulan lain. Siapalah yang bertuah satu kumpulan dengan dua-dua diva kilang tu.

Untuk hari pertama ini kami terlibat dengan acara berkumpulan. Ada beberapa acara yang berlangsung di dalam kumpulan saja. Dan esok baru ada acara yang melibatkan semua pekerja termasuk acara yang paling aku tak suka iaitu acara mencari harta karun dan juga acara lawan tarik tali. Harap-harap aku tidak terlibat dengan semua acara tu.

Encik Naufal senyum nakal sambil kenyit mata bila nampak aku. Alahai...

Kami duduk bersila dalam satu bulatan. Tidak sangka Encik Naufal memilih untuk duduk bersebelahan denganku.

"Kita bersama akhirnya," bisik Encik Naufal ke telinga.

Aku tunduk. Nak senyum takut orang lain nampak.

"Selamanya..." Aku tokok sebagai penyedap bicara Encik Naufal.

"Insya-Allah," kata Encik Naufal lagi.

Aku jeling dia dan nampak dia senyum. Cantiknya senyuman dia. Sebelum-sebelum ini memang susah untuk melihat senyumannya. Akhir-akhir ini saja aku galak melihat senyuman lelaki itu. Cukup memukau jiwa dan raga.

"Emmm, mudah-mudahan..." doaku.

Sungguh aku berharap agar dapat menemani hidup Encik Naufal satu hari nanti. Dan aku sentiasa ada saat duka dan gembira Encik Naufal. Ah! Jauh pula merawangnya. Entah apa-apa!

"Hesy!" keluhku.

"Kenapa?" soal Encik Naufal. Baru aku sedar aku sudah berbicara dengan perasaan sendiri. Rosak betul.

"Tak ada apa-apa!" balasku sambil kawal malu. Tak sangka Encik Naufal akan perasan.

Aduh! Serba tak kena jadinya.

Kami kembali tumpukan perhatian bila Encik Zainal mula tepuk tangan sekali. Tandanya acara bakal bermula dan kami semua diminta supaya tidak bercakap-cakap lagi.

"Untuk acara pertama, kita akan jalankan satu permainan iaitu permainan di mana peserta pertama akan membacakan nota yang akan saya berikan. Kemudian haruslah disampaikan secara berbisik. Peserta terakhir akan membacakan ayat yang dia terima," kata Encik Zainal selaku ketua kumpulan kami. Dia serah sehelai kertas kepada peserta pertama.

"Mula dengan Maizah dan terakhir adalah Darlina," kata Encik Zainal lagi. Ah! Sudah! Kenapa pula aku yang terakhir? Mesti jawapannya nanti jauh menyimpang. Aku dah biasa dengan permainan ni.

Aku perhatikan saja Maizah, pekerja dari bahagian akauntan mengingati nota yang Encik Zainal berikan. Beria-ia kawan tu menghafal. Tiba kat aku nanti hampeh! Entah-entah apa yang sampai.

Kemudian Maizah berbisik kepada peserta sebelahnya. Bergilir-gilir hinggalah ke Encik Naufal. Encik Naufal rapatkan badannya dan dia mula berbisik.

"Na, saya sayang awak. Saya benar-benar sayangkan awak. Saya harap awak akan terima cinta saya dan kita akan hidup bahagia hingga akhir hayat kita."

Rasa mahu putus jantungku mendengar bisikan Encik Naufal. Serius aku cakap, kalau boleh lari, memang aku lari saja. Takkan aku nak sebut sepatah demi sepatah apa yang Encik Naufal sebut? Tu sah ayat yang dia cipta sendiri. Bukan ayat yang tertulis pada nota.

Aku pandang Encik Naufal.

"Semut mati kerana gula." Dia berbisik semula.

"Semut mati kerana gula." Aku cakap dengan kuat.

Aku dengar beberapa orang gelak.

"Apa yang kamu merepek ni, Darlina?" tegur Encik Zainal. Kata-katanya bersambut dengan ketawa, tapi aku tak terasa apa-apa pun. Tetap berlagak selamba. Nasiblah. Orang sebelah aku ni yang buat perangai. Siapa suruh luahkan perasaan dalam keadaan macam tu. Tak romantis langsung.

"Tengok, betapa pentingnya maklumat yang tepat. Dari permainan ni, menunjukkan kita tidak boleh mengingati semuanya dengan tepat. Sebab itu pentingnya kita menulis semua arahan supaya kita boleh jadikan sebagai rujukan," kata Encik Zainal. Alamak, membebel pula lelaki seorang ini. Macamlah semua itu penting sangat.

Selesai acara tersebut, berlangsung pula permainan lain. Aku gagal memberi sebarang tumpuan kerana kepala aku asyik teringat luahan perasaan Encik Naufal sebentar tadi.

Betul ke tak betul ni? Takkan dia meluah perasaan dengan cara begitu?

Masuk bilik saja, Fisha mula menyumpah.

"Tak guna betul. Entah siapa yang masukkan aku dalam kumpulan perempuan dua ekor tu."

Aku dah agak dah. Habislah Fisha.

"Teruklah kau kena gulai..." Tak berani sebenarnya nak usik lebih-lebih. Fisha kalau dah marah, jangan siapa berani buat pasal. Memang kenalah dengan dia.

"Bajet bagus betul. Sakit hati aku."

"Kau lawan aje mereka berdua tu. Kalau kau diamkan aje, makin lemaklah."

"Memanglah aku lawan aje. Peduli apa aku. Ingat aku takut ke dengan mereka tu? Sikit aku tak hairan."

Bahagian akaun kilang memang agak terkenal. Maklum bahagian tu semua cantik-cantik. Lainlah bahagian HR. Tapi bahagian kami paling berani. Kami berani lawan balik sebab kami ada ketua yang ala-ala ketua samseng.

Kesian Fisha. Kalau aku sendiri pun mesti bengang juga.

Tak berani aku nak sebut perkataan sabar pada Fisha. Tak jalan punya. Fisha tu mana makan pujukan. Dia lain sikit.

"Ingat kilang tu bapak mereka punya kut."

Kalau bapak dah naik nama, maknanya memang seriuslah. Tak berani aku cakap lebih-lebih. Baik aku tutup mulut. Silap hari bulan, aku yang kena.

MALAMNYA lepas solat isyak, kami hanya ada aktiviti sendiri-sendiri. Asalnya aku mahu tidur saja, tapi Encik Naufal ajak aku minum di restoran resort. Fisha terus tidur sebab aku tahu dia tengah sakit hati. Baik jangan kacau.

Dalam penat aku akur juga. Agaknya sebab hati dah berkenan kut. Betul kata orang, sedang ribut taufan pun sanggup diredah inikan pula baru setakat penat.

"Tak jadi masalah ke kita keluar bersama ni?" Aku soal sebab takut berkompang nanti orang kutuk aku. Waktu itu aku mengekori Encik Naufal dari belakang. Sambil-sambil melihat susuk tubuh Encik Naufal dari belakang. Biasa aje. Tak ada luar biasanya. Tapi di mataku tetap ada yang istimewa. Tinggi lampai orangnya.

"Ada masalah ke?" Encik Naufal soal seperti tak faham keadaan. Kemudian dia toleh pandang aku yang sedang perhatikan badan dia. Cepat-cepat aku pandang ke arah kolam renang.

"Manalah tahu." Sambil menjawab aku pandang lagi ke arah kolam renang. Kolam renang diarah tutup bermula pukul 7.00 malam sehingga 8.00 pagi. Tapi rasanya masih ada yang berenang.

"Tak adalah. Tak ada masalah apa-apa. Suka hatilah kita nak keluar dengan siapa pun. Bukan masalah mereka pun," jawab Encik Naufal. Kemudian kami berjalan di tepi kolam renang. Ada beberapa orang pekerja kilang sedang lepak-lepak di tepi kolam tersebut. Masing-masing pandang kami selepas itu. Nampaknya jadi bahan umpatanlah aku sekejap lagi.

Waktu kami tiba di restoran resort, beberapa orang pekerja kilang lain juga ada sama. Ada juga yang sedang berkaraoke. Suasana nampak meriah. Sesekali dapat berhibur memang seronok. Inilah cara pekerja kilang hendak hilangkan tekanan kerja.

Encik Naufal pilih tempat paling hujung. Agak terlindung dan sunyi. Sebaik sahaja duduk, aku mula gementar. Tambahan pula Encik Naufal asyik jeling aku dan senyum.

Seorang pekerja resort datang menghampiri kami. Seorang lelaki yang tertulis namanya sebagai Zack pada tanda nama yang dia pakai.

"Beri saya Milo panas," pesan Encik Naufal.

"Saya pun sama." Aku juga buat pesanan.

"Makan?"

Serentak aku dan Encik Naufal geleng. Zack beredar dan aku kembali gementar. Encik Naufal pandang lagi wajahku. Lama dia pandang. Jadi terpaksalah aku pandang tempat lain.

Suasana masih meriah tetapi aku rasa seperti sangat sunyi bila aku dan Encik Naufal langsung tidak bersuara.

"Errr... Encik ada nak cakap apa-apa ke?" soalku. Tidak mahu suasana berlangsung begitu saja. Tak seronok rasanya kalau tak bercakap-cakap.

Encik Naufal keluarkan sesuatu dari poket seluarnya. Sebuah kotak kecil berwarna biru dihulurkan kepadaku.

"Kita kahwin," kata Encik Naufal selepas itu.

Aku kerut kening. Ini acara lamaran ke? Takkan la. Bukan disebabkan aku belum bersedia tetapi takkan semudah ini? Kahwin tu bukan perkara yang boleh dibuat main.

"Encik ajak saya kahwin ke?"

"Awak dengar saya cakap apa tadi?" Tenang saja Encik Naufal tanya aku semula. Tak ada senyum-senyum lagi. Wajahnya kembali serius. Tiada tanda dia mahu bergurau.

"Saya pun ada dengar benda yang sama tapi takkanlah. Petang tadi encik baru meluah rasa, sekarang encik ajak saya kahwin. Encik tak fikir perkara ni mengejutkan ke? Saya rasa seperti terburu-buru."

Aku harap Encik Naufal sendiri faham situasi yang aku hadapi sekarang ini.

"Kenapa takkanlah? Ke ada perkataan lain yang membawa maksud yang sama?"

Berubah sedikit wajah Encik Naufal. Dia seperti kecewa mendengar jawapanku. Atau dia fikir aku akan terus terima tanpa berfikir panjang? Begitukah yang dia harapkan?

"Saya seperti tak percaya encik akan melamar saya secepat ini. Kita baru saja kenal. Maksud saya kita baru saja jumpa semula. Rasanya kita perlukan lebih banyak masa untuk ke fasa seterusnya. Kita tak boleh terburu-buru dalam hal ni."

Ini sesuatu yang mengejutkan buat aku.

"Sebab awak cinta pertama saya. Saya takkan lepaskan awak begitu saja." Encik Naufal pandang tepat wajahku.

Dia juga cinta pertamaku. Aku pun tak mahu lepaskan dia. Tapi kami perlukan ruang masa untuk fikirkan hal ini.

"Puas saya cari awak. Saya rasa saya tak boleh tunggu lagi. Saya nak kahwin dengan awak. Balik dari Pangkor nanti, saya nak mak saya pinang awak. Kita terus nikah. Jangan tangguh-tangguh lagi. Awak setuju tak?"

Aku nampak Zack datang bersama pesanan kami. Cepat-cepat aku ambil kotak cincin dan sorok atas riba. Segan kalau ada yang tahu, aku sedang diajak kahwin.

"Terima kasih." Aku cakap sebaik sahaja Zack letak cawan di hadapanku.

"Sama-sama," jawab Zack sambil beredar. Aku letak semula kotak cincin atas meja. Kemudian aku nampak Encik Naufal hirup airnya. Nampak tenang. Seperti tiada apa-apa yang berlaku.

"Kita nak bertunang dulu atau kita terus nikah?" Encik Naufal terus tanya sedangkan aku belum lagi memberikan sebarang jawapan. Aku belum cakap aku terima. Tadi ajak kahwin, sekarang dah tanya nak tunang atau nikah terus. Serabut kepala aku jadinya.

"Encik serius ke ni?" Aku pula yang naik risau.

"Awak fikir saya main-main? Tu cincin tu ingat cincin batu aked saya beli kat Chow Kit ke?" Dia muncungkan mulutnya ke arah tempat kotak cincin tadi.

Dah ungkit pasal cincin pula. Aku tak kesah pun dia beli di mana.

"Tidaklah. Saya tak kesah pun encik beli di mana. Bukan soal cincin. Benda ni macam mengejut sangat. Tiba-tiba encik ajak saya kahwin, macam tak masuk akal saja."

Aku kira Encik Naufal seorang lelaki yang sangat matang tapi kenapa dalam soal begini dia kurang berfikir dengan wajar? Apa yang sedang dia fikirkan juga aku tidak tahu. Kenapa begitu terdesak untuk berkahwin? Mak dia juga jenis yang mendesak ke? Makin serabut kepalaku dengan pelbagai soalan.

"Kita dah kenal lama, awak saja tak tahu."

Ya, memang aku tak tahu apa-apa pun. Sebab itulah aku tak boleh nak buat keputusan sekarang ni.

"Awak terima atau tidak?" Encik Naufal seperti desak aku. Semput aku jadinya. Masa ini juga kena beri jawapannya. Macam tak ada masa lain. Memang mendesak sungguh lelaki seorang ini. Lagi satu, dalam dunia ni, ada ke orang ajak kahwin fesyen gini? Main paksa-paksa.

"Tak boleh beri masa saya untuk fikir-fikir lagi?" soalku.

"Tak payahlah. Nak fikir apa lagi? Cakap aje ya. Senang cerita."

Amboi mak, ajak aku kahwin macam ajak aku beli burger. Dia ingat aku ni harganya sekupang dua ke?

Aku diam. Tiba-tiba saja aku teringat Abang Izwan. Mungkin inilah peluang untuk aku menolak pilihan mak. Nanti bolehlah aku perkenalkan Encik Naufal kepada mak.

"Okey, saya setuju kita kahwin," putusku tiba-tiba.

Aku nampak Encik Naufal pula kerut dahi. Mungkin tak percaya aku boleh beri jawapan secepat itu. Hah! Giliran dia pula tak percaya. Padan muka. Siapa suruh desak aku?

"Betul ni?" soal Encik Naufal. Sah, dia tak percaya.

"Betul. Saya setuju kahwin dengan encik. Jangan encik mengada-ada nak tarik balik. Saya karate encik kat sini juga!" balasku bersama amaran.

"Ah! Tak sangkanya. Kalau saya tahu semudah ini, dari dulu lagi saya cakap." Nampak seperti Encik Naufal kegirangan. Dia pegang dadanya.

"Dari dulu?" soalku.

"Sejak saya tahu awaklah Darlina saya."

"Kenapa encik tak cakap?" soalku.

"Segan!"

"Habis hari ni kenapa tak segan?"

Aku lihat Encik Naufal hanya gelak. Pamerkan senyuman cantik dia. Geram saja aku dibuatnya. Kalau dia cakap awal-awal, taklah aku terpaksa kenal dengan Abang Izwan. Taklah susah-susah aku ditimpa perasaan.

"Hari ni seperti saya dapat satu kekuatan untuk meluah rasa. Rupa-rupanya tidaklah sesusah mana. Cuma perlu bercakap saja."

Ya, tidak sesusah mana tapi amat payah. Yang hendak kita tanya itu soal hati, soal perasaan.

Persoalan yang tak boleh kita pandang dengan mata kasar. Jadi aku amat faham perasaan Encik Naufal.

"Emmm, jadi cincin ni untuk apa?" soalku sambil tolak kotak cincin ke hadapan meja Encik Naufal.

"Ini cincin tanda."

"Cincin tanda?" Serius tak faham.

"Tanda awak saya yang punya!"

Amboi, banyak cantik muka dia. Belum apa-apa dah sebut dia yang punya. Tak malu sungguh.

"Hmmm, salah tu. Sebelum kita diijabkabulkan, saya tetap hak milik mak abah saya. Encik tak boleh cakap saya ni encik yang punya. Nanti apa kata mak abah saya? Belum apa-apa dah cakap macam tu," tegasku.

"Bukan begitu. Maksud saya, sekarang ni orang lain tak boleh nak kacau daun. Apa-apa hal kena lepasi saya dulu!"

Aku tarik nafas panjang. Tiba-tiba saja aku jadi bimbang kalau-kalau semuanya tidak menjadi.

Bila nampak Cik Sheila bersama Rosie, terus aku minta diri. Bukan takut tapi aku tak mahu panjangkan cerita. Nanti macam-macam. Encik Naufal pun sama.

"Kenapa nak mengelak pula?"

Encik Naufal seakan tahu aku tidak mahu dilihat oleh dua orang tersebut.

"Malaslah..."

Kami terus saja beredar dari situ. Aku ke bilikku dan dia ke bilik dia.

Aku tengok Fisha tengah makan mihun sup. Mihun sup resort yang dia bawa masuk bilik. Tadi dia tak selera nak makan. Agaknya lepas dia tidur baru dia terasa lapar.

"Fisha, Encik Naufal melamar aku."

"Apa?" Bulat mata Fisha sambil pandang aku. Terus aku tunjuk cincin yang sudah tersarung di jari manis. Lepas ni Fisha nak percaya atau tidak, terpulanglah. Aku tak akan cakap apa-apa lagi.

"Encik Naufal ajak kau kahwin?" soal Fisha lagi.

"Emmm," jawabku sambil angguk.

"Kau tak mimpi?"

Aku dah agak. Fisha tak akan percaya punya. Aku sendiri pun sampai sekarang masih tidak percaya, inikan pula Fisha.

Jangan kata Fisha, aku rasa kalau aku beritahu semua orang, tak ada seorang pun yang bakal percaya.

"Ini buktinya!" Aku tunjuk lagi cincin yang aku pakai.

"Ingat ada duit aku nak beli cincin macam ni?" Aku soal Fisha semula. Aku tengok Fisha macam susah saja nak terima kenyataan.

"Habis, macam mana dengan pilihan mak kau tu?"

"Inilah yang aku tengah runsingkan. Macam mana aku nak cakap dengan mak aku nanti."

"Kau ni pun satu. Tak ada masalah, cari masalah. Selesaikanlah satu-satu. Buatnya mak kau dah setuju terima, apa jadi dengan Encik Naufal? Tak menyabar langsung."

Fisha seperti sedang menyalahkan aku. Terdiam aku jadinya.

"Benda ni bukan main-main tau tak? Ini melibatkan banyak pihak. Kau janganlah jadi budak-budak sangat. Cubalah berfikir secara matang sikit. Kau buat aku risau saja," kata Fisha lagi.

Aku mula jauh hati.

"Memang aku tahu kau suka gila dengan Encik Naufal. Tetapi tu bukan alasan kau bertindak terburu-buru. Bukan penyebab juga kau ketepikan semua dengan mudah. Eh! Aku tak faham betullah dengan kau ni. Suka-suka hati buat keputusan!"

Aku tarik nafas panjang. Tak tahu kenapa Fisha begitu marahkan aku.

"Kau marahkan aku, Fisha?" soalku.

"Memang aku marah. Aku marah sebab kau ni memang jenis tak fikir panjang. Kau tak fikir semua hal. Main ikut kepala kau saja! Aku yang rasa susah hati tengok kau." balas Fisha.

"Aku tak tahu nak cakap apa dengan Encik Naufal tu. Dia macam paksa aku terima dia."

"Memanglah. Tapi kau ada tak fikir tentang perkara yang akan berlaku pada masa akan datang? Kenapa kau tak beri keputusan kau bila kau dah balik KL? Bincang dulu dengan mak abah kau? Itu yang aku tak puas hati tentang kau ni."

Sedihnya...

"Dahlah. Benda dah jadi pun. Lepas ni kau pandai-pandailah selesaikan semuanya. Jangan meraung-raung kat aku nanti sudahlah. Sebab aku faham sangat dengan perangai kau ni. Jenis yang tak makan nasihat orang," kata Fisha.

Aku tak tahu nak cakap apa. Seolah-olah apa yang Fisha cakap tu semuanya betul belaka.

Kenapa aku tak boleh berfikir dengan lebih panjang lagi? Kenapa aku boleh terima macam tu saja?

Aduh, sakit kepala!

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro